...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 8 January 2008

Memahami Kebebasan Berpolitik (catatan 1)

Biarlah kita korek khazanah silam sistem nilai orang kita sebelum berbincang soal kebebasan politik kita pada hari ini. Mungkin agak historical tapi hakikatnya memang harus dimulakan begitu.

Dikatakan juga hubungan antara raja Melayu dengan rakyat adalah "hubungan bertimbal balik" di mana raja menyediakan kepimpinan dan keselamatan kepada rakyat sebagai balasan rakyat menyerahkan taat setianya dan tenaga kepada pemerintah. Inilah intipati penting dalam perjanjian antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Walaupun perjanjian itu tidak adil kerana kesalahan samada pada pihak rakyat atau raja, hanya dihukum melalui hukum karma. Tiada institusi seperti mahkamah yang menentukan kesalahan dan juga hukuman. Ini menyebabkan raja dan pembesar Melayu yang berkuasa menggunakan kedudukan untuk terus menekan rakyat.

Frank Swettenham juga melaporkan yang pembesar Melayu (waktu dia menulis) membelenggui rakyatnya dengan hutang. Dengan cara itu pembesar dapat menjadikan rakyatnya sebagai hamba. Gullick pula berpendapat, orang Melayu akan menyerahkan kebebasan mereka kepada tuannya. Ungkapan berpatek dan berhamba telah mengukuhkan betapa rendahnya kedudukan orang Melayu kebiasaan pada pembesar Melayu.

Institusi sosial juga bergantung kuat kepada nilai-nilai dalam masyarakat tersebut. Nilai masyarakat Melayu adalah menerima bahawa rakyat adalah hamba kepada raja. Berkhidmat kepada raja dianggap suatu kemuliaan bagi orang Melayu. Seperti komentar oleh Hugh Clifford bahawa rakyat tidak mempunyai hak ke atas harta, tanaman, anak dan isteri. Kesemuanya milik Raja termasuklah kebebasan dirinya!

Soalnya sekarang bagaimana nilai ini harus dikaji semula? Ungkapan `Raja zalim raja disanggah, raja adil raja disembah’ sebenarnya hanya berakar umbi daripada tradisi Hindu yang masih tebal berkarat. Biarpun kata `adil’ itu daripada kosa kata Arab yang menunjukkan pengaruh Islam namun tafsirannya itu sendiri masih lagi berasaskan Hindu!
Bukan sembahan kita hanya pada Allah s.w.t sahaja? Kalian tentu boleh memikirkan selanjutnya.

No comments: