...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday, 28 March 2008

Llyfrgell Canalog Abertawe Dah Dibuka

Orang Wales taksub pada bahasanya. Mana tempatpun mereka pasti utamakan bahasa mereka dan kemudian barulah bahasa Inggeris. Llygrgell Canalog Abertawe adalah Perpustakaan Swansea Pusat. Swansea Central Library yang baru dibuka di bangunan Swansea City County memang menarik. Di daerah West Glomorgan ini sahaja hampir setiap kampong ataupun daerah kecil terdapat sebuah perpustakaan. Kira-kira 400 meter daripada rumah aku di Alexandra Terrace, sebuah perpustakaan kecil sentiasa menjadi tumpuan penduduk yang berhampiran. Buku? Usah berkira nak cari buku apa - datang je. Melambak-lambak buku yang menarik untuk dibaca. Orang sini begitu menghargai sejarah tempatan mereka. Sebuah ruang yang agak besar telah menempatkan buku sebarang tajuk yang ada kaitan dengan Swansea. Daripada soal sejarahnya hinggalah sains, sastera dan sebagainya. Buku mengenai Dylan Thomas, penyair terkenal Swansea ada berpuluh-puluh. Kisah dia, koleksi suratnya, gambarnya dan sebagainya.
Hujung minggu lepas aku pergi ke Brecon Beacon, sebuah kawasan tanah tinggi yang menjadi tumpuan para pelancong. Jauhnya dari Swansea hanya tidak sampai sejam perjalanan yang cukup mengasyikkan. Memasuki ke daerah Brecon Beacon seperti memasuki ke alam lain- yang terasing dari segi bentuk dan cuacanya. Sekali pandang seperti berada di tengah-tengah padang di Granada. Padang ragut yang luas sejauh mata memandang, tasik biru yang mendebarkan, langit yang putih, gunung yang gagah - sukar untuk dinyatakan dengan kata melainkan kalian sendiri yang datang ke sini.
Kami pergi ke Pusat Pelawat Brecon Beacon yang mempunyai bilik pameran tentang kawasan yang telah dijadikan National Park - di sinipun ada pameran lukisan dan seni! Mereka cukup menghargai kesenian. Aku terpandang sebuah buku kecil yang menerangkan tentang latar belakang Brecon Beacon. Buku itu macam buku coretan tentang perjalanan penulis - ada peta ringkas, ada ulasannya dan sedikit coretan adan lakaran ringkas. Buku nipis itu dalam bentuk fotostat tetapi dijual dengan £2. Dalam masa yang sama, pihak Pusat Pelawat ada menyediakan sebuah pamplet yang mengandungi peta, latarbelakang tempat yang lebih menarik dan percuma! Aku ambil satu sebab percuma.
Namun, buku nipis fotostat itu masih mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dan mampu menarik orang untuk membelinya. Aku cuma tertarik bagaimana masyarakat di sini begitu menghargai tulisan-tulisan yang ringkas, asli dan mudah. Aku termenung sebenar, mengenangkan nasib penulis tanahair - kaya idea tapi miskin kaedah dan kemudahan.

Thursday, 27 March 2008

Selamat Tinggal Malaysia!
















Gambar: Selamat Tinggal Malaysia!

Dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah karya Pak Hamka, antara bait kata yang masihku ingat adalah kata-kata watak utama novel itu; Zainuddin. Sewaktu Zainuddin hendak meninggalkan Medan, kata-katanya itu memang terpahat kuat pada diri aku. Meski kutinggalkan tanahair bukan keciwa bercinta, seperti Zainuddin. Zainuddin pergi belayar ke Mekah kerana di sanalah pusat pengetahuan dunia ketika itu. Tapi mungkin protes Zainuddin pada pemikiran masyarakat Minang ketika itu ada pertalian yang sama dengan protes aku pada pemikiran masyarakat Melayu hari ini.



Beginilah kira-kiranya kata-kata itu:


Sekali dayung sudah di tangan
Layar sudah terbentang
Biar ombak besar datang

Untuk undur pulang ke pelabuhan
Jangan sebut aku anak jantan!

Tuesday, 25 March 2008

Mengapa Membaca Karya Itu?

Gambar: Cuba membaca doktrin Kristian dalam Masjid Cordoba.



Biasanya aku malas nak baca cerpen. Baca sekerat kemudian dah tak larat. Tapi aku rasa pertama kali ini dalam e-group karyawan luar negara - aku baca habis! Persoalannya itu jarang disentuh walaupun kelihatan agak ingin mengajar pembaca. Memandangkan pembaca itu kurang mendalam tentang persoalan itu dan rasa ingin tahu menjadikan pembaca secara tak sedar telah terperangkap!

Mengapa orang nak baca karya kita? Pertama, kerana penulis itu sendiri. Aku akan baca kalau aku tau siapa yang tulis. Lebih-lebih lagi kalau penulis itu dikategorikan penulis terkenal atau hebat. Kelihatan aku agak tidak demokratik dalam hal ini. Tak mengapa.


Kedua, ada orang cadangkan agar aku baca karya itu. Jika aku dapati, cadangan itu menarik, aku cari dan baca. Dulu sewaktu aku berada di Tingkatan Lima, cikgu aku cadangkan baca novel Indonesia - sebagai anak murid yang baik - aku baca semua novel klasik Indonesia yang dia ada seperti Salah Asuhan (Abdul Muis), Atheis (Achadiat K. Miharja), Keluarga Gerilya (Pram), Siti Nurbaya (Marah Rusli) dll. Sesetengah novel itu, akupun tak faham apa yang nak diceritakan. Baca sebab cikgu kata bagus. Jadi aku baca. Hasilnya, aku dah faham mengapa cikgu aku suruh baca novel-novel itu.


Ketiga bagi penulis muda dan biasa, hanya yang kerap berkarya saja yang aku baca. Aku tertarik kerana kesungguhan mereka berkarya - walaupun mungkin karyanya hanya sekadar biasa-biasa sahaja. Aku selalu pergi ke kedai buku Sarjana Media di Puduraya yang kebetulan milik kawan aku - bila aku tanya apa novel yang laris minggu ni? Dia akan sebut beberapa nama yang sama. Jadi, aku belilah novel itu (kadangkala dapat free! - sebab itulah aku selalu datang) - sebab aku nak tau apa lah hebat penulis itu sampai seminggu boleh 20-30 buah novelnya terjual di kedai itu sahaja.Cemburu juga. Baca karya dah banyak tapi masih belum berkarya hebat.


Keempat, membaca kerana karya itu mencetuskan kontroversi hebat. Contohnya karya Shahnon Ahmad - Shit. Tak pernah berlaku dalam sejarah penulisan novel tanahair, novel yang begitu laris di pasaran hingga dicetak rompak. Kedua, novel Saman tulisan Ayu Utami - novel yang mempamerkan kebebasan gila.Novel 'Larung' karya diapun aku baca sewaktu di Perpustakaan ATMA, UKM. Aku baca novel Salina karya A. Samad Said kerana novel itu adalah novel tertebal sewaktu diterbitkan. Masa itu, aku tak berapa kenal dengan A. Samad Said. Jadi kalau nak berkarya - tulislah yang bisa mencetuskan kontroversi! Kawan aku bilang, bila ada ura-ura nak haramkan al Quran di Belanda (?) - maka berpusu-pusu orang beli al Quran terjemahan. Bagus juga kalau begitu kontroversinya.


Itu jalan singkat untuk terkenal sementara.

Saturday, 22 March 2008

Keris Jawa



Si Tuah itupun berkata-kata:


Sudah berkurun keris ini kering
Mana Jebat – biarkan kuserang
Akan kutikam depan dan belakang
Biar mati kau penderhaka
Biar bangkai kau membusuk
Biar nama kau hina


Si Jebat inipun berkata-kata:


Aku masih tidur bang
Malam masih muda lagi
Lepas subuh, tunggu
Aku di depan pintu masjid
Dan jangan lupa
Bawa keris buatan Jawa



22 Mac 2008
Wales, UK.

Kepimpinan Oligarki: Pendekatan Politik Semasa Anarki


(Tulisan ini adalah mesej khas aku kepada pemimpin PKR-DAP-PAS di semua peringkat yang baru mendapat kuasa mandat rakyat untuk membentuk kerajaan campuran ataupun kerajaan rakyat. Berdasarkan pengamatan dari jauh, saya fikir ini sekadar satu pandangan yang boleh dipertimbangkan kewajaran dan kemunasabahannya. Aku akan menulis dan bercakap secara bebas sehendak-hendaknya. Aku mungkin boleh cuba ajak harimau ke tasik tetapi tidak sesekali saya boleh memaksa harimau minum air tasik.)


Anarki adalah merujuk kepada situasi politik yang tidak menentu di sesuatu tempat seperti yang berlaku di tanahair pada hari ini. Secara lahiriahnya, kelihatan kuasa politik berada pada jawatan-jawatan tertentu seperti Perdana Menteri, Menteri Besar, ataupun Pengarah Jabatan, Ketua Jabatan, Ketua Kampung dan sebagainya tetapi hakikat kuasa itu masih belum jelas berada di mana. Siapa yang benar-benar berkuasa ketika ini?


Manakala kepimpinan oligarki adalah satu bentuk kepimpinan yang melibatkan segelintir pihak tertentu dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan bersama. Mereka mungkin hanya tiga empat orang sahaja tetapi keputusan yang dibuat akan melibatkan kepentingan jutaan orang. Apakah ini tidak adil? Tidak, ini pernah berlaku sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. berbincang tentang perkara-perkara penting seperti penghijrahan Rasullullah s.a.w., peperangan dan pelantikan beberapa jawatan tertentu kepada para sahabat. Bahkan ini merupakan fenomena biasa dalam mana-mana organisasi seperti parti politik dan juga syarikat perniagaan.


Ada sesetengah pihak terlalu taksub dengan pendekatan syura ataupun mesyuarat dalam membuat sesuatu keputusan. Mesyuarat hanya salah satu kaedah membuat sesuatu keputusan. Ia bukan satu-satunya kaedah yang mesti diikuti. Pernah suatu ketika dulu, aku diamanahkan untuk mencari jalan penyelesaian krisis dalaman parti di sebuah kawasan di Perak. Ketika itu, aku fikir dengan membawa pihak-pihak yang terlibat dalam mesyuarat boleh menyelesaikannya. Tak. Ia sebaliknya yang berlaku. Bertambah-tambah masalah itu meruncing. Kononnya, aku hendak jadi seorang pemimpin yang sedia mendengar – demokratik – prihatin tetapi ternyata tindakan aku itu silap. Ada sesetengah orang boleh dibawa mesyuarat tetapi tidak semua orang boleh dibawa mesyuarat.


Mesyuarat hanya satu proses mengambil hati kepada suatu pandangan seseorang pemimpin ataupun kelompok kecil – oligarki. Meskipun tujuh jam perbincangan hangat berlangsung di dalam muktamar khas bagi memutuskan penyertaan PAS di dalam kerajaan campuran Perikatan selepas peristiwa 13 mei, 1969 – hakikatnya mesyuarat itu sekadar satu proses legitimasi (mengesahkan secara undang-undang) pandangan Dato’ Mohd. Asri Hj. Muda ketika itu. Pengundian yang dijalankan kelihatan suatu unsur demokrasi dalam parti tetapi hakikatnya, keputusan itu sudah direncanakan lebih awal daripada waktu pengiraan undi para perwakilan.


Soal pelantikan Exco, portfolionya, agenda utama pentadbiran dan pembangunan kadangkala dibincangkan oleh segelintir pemimpin tertentu. Ada kawan-kawan saya mengadu betapa mereka diketepikan. Dulu time nak perang (pilihanraya) merekalah yang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan rakyat tetapi bila sudah menang, macam-macam tabiat pelik yang berlaku. Cemburu itu lebih membakar bila kemunculan `Imam Mahdi jadi-jadian’ di saat-saat getir begini. Rasa tercabar itu memang berlaku. Nasib baik aku jauh kat sini – terhindarlah segala dosa itu. Kemudian akupun kasi tahu, hakikat ini beginilah bla bla bla……..


Ketika menghadapi perang Khandak, sahabat nabi bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. adakah pandangan tentang strategi peperangan Nabi suatu wahyu. Nabi menjawab tidak. Maka, Salman al Farisi mencadangkan agar tentera Islam membuat parit di Madinah untuk berhadapan dengan kedatangan musuh. Apakah Nabi Muhammad s.a.w. tidak cekap mengatur strategi peperangan sehingga menunggu pandangan sabahat nabi? Namun Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin mampu memperlihatkan keterbukaannya menerima idea daripada sahabat dan ini merangsang para sahabat memberikan pandangan ketika bertemu Nabi Muhammad s.a.w. Yang demikian, pemimpin oligarki perlu memperlihatkan keterbukaan hubungan mereka dengan pelbagai pihak sambil terus bijak mempertegaskan keputusan yang telah dibuat.


Pemimpin yang berkuasa kadangkala membuat keputusan sendiri tanpa mesyuarat dan mengarahkan orang bawahan mematuhinya tanpa soal jawab. Jika dalam parti atau gerakan Islam – ungkap dari al Quran sering digunakan – kami dengar kami patuh! Seolah-olah pemimpin berkuasa itu bercakap atas landasan suci yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Realitinya memang begitu dan kena begitu. Pemimpin yang berani dan bijak, ia akan mampu berhadapan dengan kerenah pemimpin pertengahan, bawahan dan rakyat jelata. Jika terlalu open macam Pak Lah – mungkin akhirnya dia akan tenggelam karam sendirian!


Mesej aku kepada pemimpin oligarki di mana-manapun, teruskan fungsi kalian asal saja tidak mengabaikan kepentingan rakyat bawahan dan berfikir secara terbaik bagaimana setiap keputusan yang dibuat dapat difahami dan dihayati oleh pemimpin pertengahan, bawahan dan rakyat umumnya.


Sesekali, pemimpin perlu bersikap autokratik. Mengutamakan pandangan peribadi daripada pandangan umum yang popular. Tragedi demokrasi di Yunani menyaksikan, ahli falsafah Socrates dihukum mati atas keputusan popular dan bukan keputusan kebenaran. Ketika itu, masyarakat Yunani berfikiran bahawa majoriti adalah kebenaran, keadilan dan kesejahteraan. Hakikatnya, majoriti yang tanpa dikawal akan memusnahkan keharomonian minoriti dan majoriti sekali gus!


Thursday, 20 March 2008

BN pecah-kalut bila kalah. BA jangan pecah-kalut bila menang!


Gambar: Aku, Misbah, Hj. Nizar, Hj. Aris di lembah yang ditenggelami air Selat Melaka kerana benting yang pecah. Teringat pada kisah budak kecil dengan tembok negeri Belanda. Ko tau ke cite tu?
(Doa itu senjata mukmin. Kami yang jauh ini sekadar mendoakan. Doa musafir katanya dimakbulkan. Seperti doa orang yang dizalimi. Kami yang jauh sekadar mendengar khabar, dan sesekali sekadar ingin mengingatkan.)


Keadaan politik tanahair masih tidak menentu. Walaupun isu pelantikan MB samada di pihak BN ataupun BA & DAP sudah sampai penghujungnya kecuali di Terengganu yang masih mencari jalan penyelesaiannya. Pelantikan barisan kabinet dinamik oleh PM Malaysia terus menyambung kegusaran politik tanahair. Pelantikan dan pengguguran beberapa pemimpin terus mengundang polemik yang tak berkesudahan. Dari Perlis hingga ke Sabah, yang telah dilantik menolak jawatan, yang berjawatan bertindak melepaskan. Dan bermacam-macam adegan politik yang boleh kita saksikan. Akhbar di Malaysia mungkin laris sekali.


Ku Li sudah bersedia untuk mengambil alih kedudukan Pak Lah sebagai Presiden UMNO. Tentu sekali Najib tidak akan berdiam diri orang lain memotong tripnya. Khairi yang selama ini berdiam diripun akan bangkit. Saya tidak berhasrat menghuraikan satu persatu apa yang telah berlaku di dalam UMNO dan BN sendiri.


Ringkasnya, UMNO dan BN sedang menuju jalan perbalahan, krisis dalaman yang memungkinkan perpecahan berlaku. Itu mungkin. Mungkin tidak jika barisan kepimpinan dan pengurusan parti dapat mengawal dengan baik samada oleh nakhoda dan anak-anak kapal. Inilah fenomena apabila sebuah parti yang sukar dicabar dan berdiri kukuh dalam takhta kerajaan selama lebih 50 tahun menghadapi saat-saat kehilangan kuasa. Mereka tidak ada pengalaman kalah dan terkikis kuasa yang begini besar. Meskipun ada juga suara yang mengatakan bahawa UMNO tidak kalah tetapi yang kalah adalah MCA, MIC dan juga Gerakan. Itu sekadar ungkapan helah bela diri yang tidak membantu mereka.


Cuba bayangkan bagaimana lagak buaya yang kena tembak atau harimau yang terluka? Mereka akan mengamuk, hilang pertimbangan dan mungkin akan membunuh sebelum terbunuh!


Keadaan yang hampir serupa apabila BA dan DAP memperolehi kuasa melalui sistem pilihanraya. Ia tidak pernah berlaku di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Meskipun keputusan pilihanraya 1969 keadaannya hampir-hampir berlaku tetapi Perikatan masih mampu mengawal kondisi kuasa mereka. Pun demikian, PAS dan Gerakan bertukar alih daripada sebagai parti pembangkang menjadi parti komponan kerajaan dan membentuk kerajaan campuran. Itu perubahan yang besar. Itu sejarahnya politik.


Ketika negeri-negeri yang dikuasai BA dan DAP ke arah pembentukan kerajaan negeri, terlalu banyak khabar angin dan khabar api yang kedengaran – hingga ke UK! Beberapa pimpinan BA dan DAP sebahagiannya mungkin seperti kehilangan arah ataupun masih terkejut dan terpaksa bersedia. UMNO dan BN pun khabarnya sudah berusaha membuat perundingan dan tawaran yang memungkinkan kuasa mereka dapat diteruskan. Ketika inilah episod yang benar-benar menguji kesetiaan dalam perjuangan. Rundingan sulit, kunjungan hormat, kenyataan provokasi, pembatalan persetujuan dan sebagainya memang mengecutkan hati rakyat. Penyokong dan pemimpin BA dan DAP mungkin sudah mula berkira-kira tentang keuntungan yang bakal diperolehi melalui jawatan politik, projek dan juga sebagainya. Golongan yang ingin mengambil kesempatan mula tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Masing-masing mula mengistiharkan diri sebagai penyokong BA dan DAP. Memang perlu diraikan semua ini. Jangan bersikap sombong dan ingin berbalas dendam.


Pemimpin dan penyokong PAS yang sudah biasa kehidupan susah, jika tidak kena tarbiah yang mantap, mungkin kecundang berhadapan cabaran kemewahan kuasa, status dan harta. Perasaan busuk dalam diri seperti cemburu, irihati dan hasad dengki perlu diawasi daripada menjangkiti diri pemimpin dan penyokong PAS. Pengalaman PAS memerintah di Terengganu pada 1959 dan 1999 perlu ditelaah kembali. Mengapa kerajaan PAS boleh jatuh dalam masa yang singkat. Meskipun ada alasan tentang kehadiran pengundi hantu, tawaran wang yang banyak dan.......semua itu sekadar satu alasan luar. Alasan dalamannya adalah cemburu di kalangan pemimpin dan ahli PAS ketika itu. Begitu juga pengalaman PAS memerintah Kelantan 1959 – 1978 dan 1999 – 2008 juga perlu difikirkan sekali. Rasanya tak perlu dihuraikan panjang di sini. Bak kata Raja Lawak, Nabil - Lu fikirlah sendiri!



Ketepikan soal BN dan UMNO, kuasa yang ada sudah dijadikan sebagai sumber pendapatan peribadi, parti dan keluarga sendiri. Rakyat sekadar mendapat mimpi di siang hari. Rakyat terus tidur dibuai selagai kuasa ada pada mereka. Hari ini, rakyat terjaga – tetapi masih terpinga-pinga. Fikiran belum jitu. Masih mamai.


PAS, PKR, DAP yang telah berkuasa - jangan berpecah, jangan berundur, jangan sombong meskipun rakyat masih tidur!



Maaf, saya selalu prejudis pada fungsi rakyat dalam membuat perubahan. Sekali fikir - Rakyat hanya sekadar alat! Bangkit tetapi tidak sedar. Bingkas bangun tetapi sekadar untuk ke bilik air! Cittt!

Monday, 17 March 2008

Menteri Besar Perak dan Pembentukan Kerajaan Campuran

Sebenarnya bukanlah suatu keanehan dalam politik tanahair sebuah parti yang kecil kerusinya akan dilantik menjadi ketua. Namun, dalam persoalan pelantikan YAB. Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang sebagai Menteri Besar Perak ke 10 dilihat sebagai suatu yang asing dan pelik oleh sesetengah pihak. Dato’ Rais Yatim yang lebih maklum tentang undang-undangpun kelihatan keliru memberikan padangan dalam isu ini. Dan sesetengah pengkaji dan pemerhati berpendapat langkah kesediaan PAS Perak menerima jawatan MB Perak sebagai langkah yang bakal menjual prinsip perjuangan.

Mungkin pelik kerana Menteri Besar Perak itu daripada PAS dan yang menang majoritinya adalah DAP. Dengan kekuatan enam kerusi yang dimenangi oleh PAS adalah angka yang terlalu jauh untuk dibandingkan dengan bilangan kerusi DAP Perak yang memperolehi 18 kerusi dan PKR yang mendapat tujuh kerusi. Dari segi agihan kerusi EXCO juga memperlihatkan kekuatan angka tidak berada pada YAB Mohammad Nizar Jamaluddin kerana PAS hanya memiliki satu kerusi Exco berbanding DAP yang mempunyai enam dan PKR pula tiga.

Kini kekuatan angka hanya satu andaian yang tidak tepat pada semua tempat dan keadaan. Pelantikan dan perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak kepada pemilihan YAB Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan pelantikan ketua kerajaan negeri harus juga dinilai dari segi kekuatan peribadi. Berdasarkan latar belakang MB Perak, agak sukar bagi DAP dan PKR apatah lagi BN untuk mempertikaikan potensi keupayaannya. Sememangnya cabaran yang terpaksa dipikul oleh MB Perak baru ini cukup besar. Situasi ini seharusnya memberikan signal kepada DAP untuk memilih calon daripada kalangan orang Melayu dan PKR perlu juga mendapatkan calon-calon yang benar berkelibar. Sifat berani untuk bertanding di dalam satu-satu pilihanraya atas tiket parti pembangkang bukan tiket menjadi pentadbir yang baik. Calon bidan terjun dan kurang kredibiliti harus dielakkan daripada berlaku.

Antara DAP dan PAS memang saling bertentangan dasar perjuangan sejak ia ditubuhkan hinggalah sekarang. Itu bukanlah suatu rahsia tetapi suatu yang diterima oleh oleh kedua-dua parti. Kedua-dua parti ini tidak pernah bekerjasama secara langsung kecuali sewaktu PAS dibawah kepimpinan Dato’ Fadzil Mohd. Noor di bawah Barisan Alternatif namun DAP keluar daripada pakatan politik itu.

Meskipun antara DAP dan PAS dikatakan saling bertentangan dasar perjuangan tetapi terdapat banyak persamaan dalam perjuangan yang boleh dimanfaatkan. Sebagaimana pertentangan antara PAS dengan UMNO, tidak menyebabkan untuk menenggelamkan hakikatnya kedua-dua parti mempunyai beberapa kepentingan bersama seperti dalam isu Palestin, Afganisthan, memerangi jenayah, dadah, kemiskinan orang Melayu dan sebagainya. Pertentangan seharusnya dilihar sebagai suatu imbangan kepada daya kuasa politik daripada terjebak ke kancah kerosakan. Kritikan akan menghasilkan kreativiti kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan sesuatu usaha atau projek yang dapat mencapai matlamat pelaksanaannya.

Menafikan peranan pembangkang seperti slogan sifat pembangkang oleh BN Selangor dan Perlis sebenarnya boleh membawa pentadbiran negeri ke arah autokrtik. Bekas PM Malaysia, Tun Mahathir sendiri mengakui betapa pembangkang diperlukan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Hatta, di dalam negara komunis sekalipun, ia tetap memberikan peluang kepada pesaing politik mereka untuk berada di dalam parliament mereka.

Sebuah kerajaan yang kuat apabila ia mendapat sokongan majoriti yang banyak di dalam suatu pilihanraya. Kedudukan kerajaan baru di Selangor dan Perak memang mengundang cabaran besar kepada kerajaan baru itu. Pembangkang di kedua-dua buah negeri akan berperanan sebagai `check and balance` kepada semua plan dan tindakan kerajaan. Walau bagaimanapun, kegagalan mengawal situasi ini boleh menyebabkan kerajaan berada di dalam keadaan tertekan kerana sibuk melayan kritikan dan kerenah pembangkang. Oleh itu, kerajaan negeri perlu menentukan prioriti di celah-celah timbunan kritikan yang diberikan tanpa menafikan hak pembangkang berperanan di dalam membangunkan negeri. Pembangkang juga sebenarnya memainkan peranan membangunkan negeri biarpun sekadar bercakap, mengkritik dan menghentam. Ia jauh lebih baik daripada sindrom yes men, pak anguk ataupun tukang ampu. Kumpulan-kumpulan berkepentingan akan wujud dalam masa keadaan sekalipun meskipun dalam waktu pakatan PAS-PKR-DAP memerintah.

Di Sabah, sejak pelaksanaan sistem penggiliran Ketua Menteri, parti-parti kecil dalam komponen Barisan Nasional berhak untuk mengetuai kerajaan negeri Sabah. Pelantikan Ketua-ketua Menteri daripada UMNO tidak dipertikaikan tetapi bagaimana pelantikan Ketua Menteri Sabah seperti Yong Teik Lee daripada SAPP sebuah parti kecil dan Chang Kah Kiat (LDP) sebuah parti yang hanya ada dua ADUN sahaja?

Di Pulau Pinang, walaupun UMNO yang memenangi banyak kerusi DUN tetapi parti Gerakan yang diberikan jawatan Ketua Menteri.Bukan sepenggal tetapi berpenggal-penggal lamanya. Tidak pernah berlaku, selepas Gerakan menguasai Pulau Pinang, orang Melayu khususnyua daripada UMNO yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Tun Razak sendiri pernah berjanji akan memberikan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sewaktu usaha penubuhan Barisan Nasional 1973, Adakah ketika itu, Ketua Menteri Pulau Pinang menjadi `puppet’ pada UMNO? Atau sebaliknya, UMNO menjadi `puppet’ kepada Gerakan? Ini sekadar satu lontaran soalan yang menuntut kajian terperinci sebelum menjawabnya.
Apabila kita meninjau ke peringkat politik antarabangsa, pakatan politik antara Nawaf Sharif yang mengetuai PML (N) ataupun Liga Muslim Pakistan dengan Benazir Bhutto yang memimpin PPP dalam memberikan tekanan politik ke atas General Musharraf untuk melepaskan kuasanya. Walaupun antara PPP dengan PML (N) mempunyai pertentangan dasar tetapi dalam berhadapan General Musfarraf mereka berpakat. Bahkan pakatan ini sebenarnya melibatkan 33 buah parti politik. Apabila Benazir Bhutto mati terbunuh, pakatan politik itu diteruskan dan Asif Ali Zardari, suami Benazir Bhutto kemungkinan akan dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan dengan sokongan oleh Nawaf Sharif.
Begitu juga ia berlaku di Turki sewaktu Najmuddin Erbakan memimpin parti Refah menang 33.5% dan terpaksa berkongsi dengan parti sekular TPP pimpinan Tansu Ciller yang mendapat 21.1%. Pada tahun 1996, Najmuddin menjadi Perdana Menteri dengan bekerjasama musuh politiknya, Mesut Yilmez (ANAP) dan Tansu Ciller (TPP) untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Terdapat banyak contoh yang boleh diberikan untuk menunjukan terdapat situasi politik yang sama dalam sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi berpilihanraya.

India sebuah negara demokrasi terbesar dunia juga mengalami beberapa pakatan politik untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Selepas India National Congress hilang dominasi pada 1980 kepada Bharitiya Janata Party (BJP), Parti Komunis India dan beberapa parti kecil lain, Janata telah bergabung dengan barisan parti kiri untuk membentuk kerajaan. Namun kerajaan itu hanya dapat bertahan selama dua tahun sahaja. Pada 1998, Janata menubuhkan pakatan politik lain National Democratic Alliance (NDA) dan dapat bertahan sehingga sepenggal. Pada tahun 2004, Parti Kongress menguasai Lok Sabha (Parliment India) selepas mewujudkan pakatan politik United Progressive Alliance (UPA) yang terdiri daripada parti yang menentang NDA pimpinan parti Janata.

Pakatan politik ataupun kerajaan campuran yang dibentuk di Pakistan, India, Turki atau di kebanyakan negara bermula selepas ketiadaan parti benar-benar menguasai parlimen. Sebelum pilihanraya berlangsung, kebiasaannya parti-parti pembangkang tidak berpakat secara rasmi mereka berpakat secara tidak langsung seperti yang pernah dilakukan antara Parti Negara dengan PAS dalam pilihanraya 1959. PAS secara dasarnya bersetuju untuk memberi laluan kepada Parti Negara bertanding di beberapa kawasan tertentu. Dato’ Onn Jaafar berusaha mengajak PAS bersatu dalam satu pakatan politik dalam menentang Perikatan tetapi Dr. Burhanuddin al Helmy yang memimpin PAS berpendirian kaedah itu tidak perlu pada waktu itu.

Kerjasama ataupun pembentukan kerajaan campuran dan pelantikan Ketua Menteri atau Menteri Besarnya terdiri daripada parti yang minoriti samada dalam kes Gerakan di Pulau Pinang, PAS di Perak atau LDP di Sabah berlaku atas semangat kerjasama dan perkongsian kuasa untuk memerintah negeri. Oleh itu, samada DAP-PKR-PAS ataupun BN di Sabah (dulu), PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang, mereka terpaksa mencari satu landasan yang boleh mereka duduk bersama. Sekiranya, setiap parti begitu ghairah untuk memenuhi kepentingan dan keperluannya dan melupakan kepentingan parti komponen lain, ia akan menyebabkan perikatan dan kerjasama terlerai dan mungkin menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan. Sesungguhnya, kefahaman masyarakat terhadap konsep kerajaan campuran masih terlalu cetek dan mudah terpengaruh dengan putar belit yang sengaja diwujudkan.

Di tanahair kita, konsep pembentukan kerajaan campuran pertama kali dipraktikkan sewaktu pilihanraya kerajaan tempatan 1955 apabila UMNO berpakat dengan MCA dengan mewujudkan Perikatan untuk bertanding dengan parti-parti lain seperti IMF pimpinan Dato’ Onn Jaafar, MIC pimpinan dan PAS pimpinan Hj. Ahmad Fuad Hassan. Parti-parti pembangkang tidak pernah berpakat secara formal untuk mewujudkan satu barisan pembangkang yang kuat. Mereka hanya berpakat secara tidak langsung dan menggunakan manifesto dan symbol masing-masing. Meskipun begitu wujud juga pakatan pembangkang yang kuat seperti Barisan Rakyat(Sosialist Front) tahun 60an, Angkatan Perpaduan Ummah (90an) dan terkini Barisan Alternatif. Namun kesemua pakatan itu tidak membentuk satu kerjasama yang bersifat formal seperti Barisan Nasional. Ini mungkin kerana Barisan Alternatif tidak mempunyai kuasa politik yang sepenuhnya. Proses ke arah itu mungkin sedang berjalan berdasarkan percapaian pilihanraya 2008 baru-baru ini. Sudah ada satu percikan kepada pemikiran baru di kalangan pimpinan parti pembangkang untuk meneroka satu eksperiment politik tanahair. Kita saksikan nanti!

Friday, 14 March 2008

Ghazal Untuk Rabiah

Bosan dengan cerita politik dan pilihanraya? Letih juga menanti saat yang mendebarkan. Aku nak bercakap soal lirik lagu Ghazal Untuk Rabiah yang kawan kita tanyakan..


Mula-mula mendengar baris pertama lagu Ghazal Untuk Rabiah (time itu, aku tak tau tajuknya lagi), waktu Jamal Abdillah tarik suaranya yang tinggi itu……aku ingat lagu itu memuji Rabb. – Tuhanku. Tapi selepas dia sebut ya Rabiah dan bukan ya Rabbi – hanya dibezakan ada yah . Rabiah adalah nama perempuan. Mungkin diambil daripada nama wali dan penyair perempuan yang masyhur Rabiahtul Adawiah yang sezaman dengan ulama terkenal, Hasan al Basri di Basrah dan sufi terkenal Ibrahim Adham.


Suatu ketika dulu, aku pernah membaca cerita Rabiahtul Adawiah. Kisahnya bersumber daripada tulisan Farid din Attar. Ada yang sebut kisahnya suatu lagenda dan ditokok tambah untuk menjadi hikayat yang menarik untuk didengar. Entahlah. Rabiah adalah anak keempat daripada sebuah keluarga yang miskin tetapi dihormati. Selepas kematian ayahnya, Basra dilanda kebuluran, Rabiah terpisah dengan keluarganya dan jatuh ke tangah perompak. Ada yang menyebut Rabiah terpaksa menjadi penari istana. Kemudian, Rabiah dijadikan hamba untuk dijual di pasar. Rabiah dibeli oleh seorang hartawan. Dari situ, bermulalah kehidupan Rabiah dari seorang yang merdeka kepada hamba. Siang dia bekerja, malam dia bermunajat. Suatu malam, tuannya mendengar doa Rabiah yang menyentuh hatinya. Akhirnya dia membebaskan Rabiah sebagai manusia yang merdeka.


Rabiah pergi ke tengah-tengah gurun menghambakan dirinya kepada kehidupan sufi. Pelbagai peristiwa menarik yang berlaku pada dirinya sehingga menjadi sebutan orang ramai. Kecantikan Rabiahtul Adawiah menambahkan tarikan untuk lelaki melamarnya termasuklah Amir Basrah dan juga Hasan al Basri tetapi semua ditolak. Bagi Rabiatul Adawiah, cintanya hanya satu, cinta pada Allah s.w.t.. Cinta itu sudah memadai untuk dirinya.


Ketika Hasan al Basri hendak melamarnya, Rabiahtul Adawiah memberi tiga syarat. Sekiranya Hassan al Basri boleh menjawab ketiga-tiga soalannnya dengan memuaskan hatinya, dia sanggup berkahwin dengan Hassan al Basri. Tapi Hassan al Basri gagal ujian itu!


Suatu ketika, Rabiahtul Adawiah bertanya mengapa mereka begitu ghairah untuk melamarnya. Maka, disebut oleh Hasan al Basri, `Mata kamu, ya Rabiah’. Rabiah terdiam. `Tunggu sebenar Tuan’. Agak seseberapa ketika terhenti. ‘……………Jikalaulah mata aku yang menyebabkan kalian tertarik untuk melamarku, maka terimalah mataku ini’ sambil dia menghulurkan sebajana yang terletak biji matanya!



Kisah itu mungkin terlalu sadis tetapi itulah sufistiknya Rabiahtul Adawiah dengan cintanya pada Allah s.w.t. Lalu, hendak dijadikan cerita, lirik lagu ini mungkin ingin membayangkan cinta lelaki kepada Rabiah tetapi Rabiahtul Adawiah memiliki cinta agungnya pada Rabbnya. Lagu-lagu M. Nasir kebanyakannya memang bersifat begitu; ada dua makna seperti lagu Kepadamu Kekasih dalam album pertama dia yang kurang menyengat. Orang ingat itu lagu kisah cinta biasa. Tapi sekali baca, ia mungkin kisah lain. Kisah cinta antara hamba dengan Tuhannya. Seperti juga lagu Tanya Sama itu Hud-Hud, Kias Fansuri, Rumi Menari….. Terpulang kepada yang mendengar dan terpulang kepada yang menghayatinya. Itulah mainan bahasa!.


M. Nasir & Jamal Abdillah
Ghazal Untuk Rabiah
Jamal:
Kilauan intan berkelip-kelip di langit tinggi
Dan cahaya menari-nari di langit biru
Tidaklah dapat menenangkan perasaanku
Yang rindukan kehadiran kasih
M. Nasir:
Gemersik irama merdu buluh perindu
Dan nyanyian pari-pari dari kayangan
Tidaklah dapat tenteramkan sanubari
Yang mendambakan kepastian kasihmu
Jamal:
Rela lepaskan segala-gala yang ku ada
Andai itu yang kau hajatkan
M. Nasir:
Rela terima apapun syaratnya dan dugaan
Untuk ku buktikan cintaku
Jamal:
Asalkan dapat ku mengubati hatiku yang cedera ditumpaskan cinta
M. Nasir:
Asalkan dapat ku menundukkan amukan gelora jiwa
Yang menagih kasih
Duet:
Yang halus yang tulus
Yang mulus yang kudus
Jamal:
Semoga malamku tidak lagi jadi medan airmata
Menusuk segenap kalbuku

Tuesday, 11 March 2008

Bukan Untukmu Demokrasi


Bukan untukmu demokrasi


Kemenangan ini
Sesekali tidak menjadikan
Aku menutup
Kitab revolusi dan
Bagaimana adab demonstrasi
Kisah sirah nabi
Yang kupelajari
Bukan untukmu demokrasi
Tapi untuk harga diri


Selagi manusia ini
Aku
Aku
Aku kanbertarung lagi


Muhaiminsulam.blogspot.com
11 mac 08
Swansea.Wales.
Gambar: Demonstrasi Di Castle Square, Swansea. Ahhh tanpa FRU atau Polis!

Monday, 10 March 2008

Aku Kerikil Tajam


Aku Kerikil Tajam

Biar kubuka seluruh
Mataku yang terluka
Buta

Untuk kubacakan
Puisi-puisi terlarang
Karangan sewaktu
Sendiri di benua seberang

Aku mau berdiri sendiri
Seperti kerikil
Tajam menikam

Aku mau mati
Berkafankan sabda Nabi
Tak kanterkubur
Biar seribu kali mati!


8 Mac
Alexandra Terrace
Swansea

Aku Hanya Satu




Aku Hanya Satu


Aku ada batu
Kamu ada hantu
Aku ada kayu
Kamu ada peluru
Aku hanya satu
Kamu ada beribu


Setapak kakiku melangkah
Sedenyut jatung kamu terhenti
Aku tak takut mati


Aku
10 March 08
Byrnmill. UK

Saturday, 8 March 2008

Waktu Mendakwa Aku Menyokong Barisan Alternatif

Tahniah kepada yang menang. Memang memeranjatkan. Menang terperanjat. Yang kalah lagi terkejut. Aku dengar, Dato Dr. Awang Adek yang disebut-sebut bakal MB UMNO Kelantan membuat sidang akhbar sendirian. Wajah Pak Lah dan Najib - serius - itu yang boleh dilihat pada media arus perdana. Shahidah Kasim meminta pimpinan UMNO tertinggi membuat penilaian semula. PWTC muram. Bertubi-tubi aku menelefon dan ditelefon. Masing-masing nak tau. Masing-masing nak beritahu. Waktu inilah ramai mendakwa; aku menyokong Barisan Alternatif. Baguslah.
Seperti yang telah kukatakan sebelum ini, aku pasif terhadap sistem pilihanraya Malaysia. Biarpun pembangkang membuat kejutan besar - aku tetap prejudis pada pilihanraya. Jangan pecat Tan Sri Rashid - biar dia rasakan betapa indahnya hidup dalam keadaan begini. Sebagaimana pernah yang dinyatakan oleh arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor, dia mendoakan agar Tun Mahathir panjang umur - agar dia rasa keindahan negara yang ditinggalkan. Aku juga tak yakin pada kuasa rakyat biarpun rakyat telah menunjukkan kuasanya pada pilihanraya kali ini. Pada aku bukan rakyat tapi sebilangan kecil rakyat yang disebut barisan kepimpinan yang berupaya menjana kekuatan rakyat yang terpendam selama ini untuk bangkit. Oleh itu, pada aku kepimpinan adalah kuasa. Kuasa itulah yang menyuntik kuasa yang dimiliki rakyat. Kuasa rakyat tidak digunakan apabila rakyat tidur kerana didodoikan pemimpinnya.
Akupun semacam semakin bersemangat. Biarpun Pasir Salak tak menang. Tapi Perak, BN jatuh. Barisan Alternatif berjaya membuat kejutan setelah setengah abad UMNO berkuasa di atas takhta. Takhta itulah yang meninggikan hidung mereka sehingga lupa amanah yang seharusnya dilaksanakan.
Kemenangan ini satu ujian kepada ikatan kerjasama Barisan Alternatif dan pembangkang khususnya DAP. Pengalaman pertama untuk membentuk sebuah kerajaan campuran di Selangor dan Perak sebenarnya menuntut kebijaksanaan dan kehikmahan dalam membuat keputusan. Kedah mungkin agak selesa biarpun kerana bentuk kerjasama PAS dengan PKR sudah kemas. Berbeza di Perak dan Selangor, kerjasama itu dalam awal pembentukan. Apapun, aku percaya pimpinan Barisan Alternatif dan DAP Perak dan Selangor akan membuat keputusan yang tidak mengecewakan.
Hari ini aku istiharkan kepada kalian - AKU SOKONG BARISAN ALTERNATIF!!! kemudian aku terdengar suara ramai yang melaungkan; AKU SOKONG BARISAN ALTERNATIF!!!!
Suara aku seakan tenggelam sebentar......

Thursday, 6 March 2008

Cerita Pilihanraya Stupid*

Berdasarkan cerita dan berita, seperti bola itu berada di kaki pembangkang. Permainan sudah dalam kawalan walaupun tak sepenuhnya. Pintu gol terbuka. Permainan di waktu tambahan begini memang meletihkan dan mendebarkan. Masing-masing tak ingin mengalah. Masing-masing mula main kasar. Tarik baju,, sepak kaki dan tarik rambut. Tak dapat bola, kaki pun jadi. Kering tekak kerana jenuh memaki hamun. Marah. Jam hanya menanti wisel berbunyi. Pengadil berdiri keletihan hanya memandang jauh. Penjaga garisan setia memegang bendera. Kali ini, bola betul-betul berada pada gawang gol. Sepakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!!!!!


Tak gol!

Sebab pengadil tak nampak! Penonton sembah cat merah kat muka dia.

Tak gol!

Waktu telah tamat. Pembangkang diistiharkan kalah oleh penjaga garisan! Penonton marah tapi jurukemera tidak fokuskan kemera pada mereka. Esok, berita utama akhbar perdana, BN Menang Besar!

Penonton yang marah akhir gol.
Stupid maknanya bodoh. Penggunaan perkataan Inggeris itu sekadar untuk menyedapkan pandangan telinga yang pekak. Kalau terus sebut bodoh, nanti nampak kurang ajar, kurang asam, atau kurang manis.

Monday, 3 March 2008

Kuasa Rakyat? Tipulah!

Hujan diluar lebat lagi. Hujan tengahari buta ni. Aku terperangkap kat library. Zuhor dah nak masuk. Appointment dengan Carole tak lama lagi. Nasib baik aku masih teringat password untuk sign-in kat komputer universiti ni...... bolehlah.....aku nak memekak kat library!
Betulkah ada `kuasa rakyat' ataupun sekarang ni diaorang sebut `Mahkkal Sahkti'. Akupun dulu suka guna istilah ini. Tapi sekarang aku fikir istilah itu ciptaan orang yang berkuasa. Istilah rakyat terlalu rapat dengan agama dan budaya. Bila sebut rakyat, tergambar dalam kepala bahawa ia adalah sesuatu yang ada nilai keagamaan dan kebudayaan. Contohnya, Sekolah Agama Rakyat - sekolah yang didirikan oleh rakyat untuk mendidik rakyat. Bank Rakyat - bank untuk membantu rakyat. Wakil rakyat - pihak yang dipilih untuk menyuarakan hasrat rakyat. Cukuplah tu.
Apa sudah jadi pada Sekolah Agama Rakyat? Bank Rakyat dan Wakil Rakyat? Sekolah Agama Rakyat hampir terkubur, mana rakyatnya?........
Rakyat hanya diperkudakan untuk mendapatkan kuasa oleh orang yang nak kuasa. Setelah kuasa diperolehi - sukar sekali untuk mencari kuasa itu kembali kepada rakyat. Rakyat berjiwa pasif kecuali ada orang yang berkuasa menghasut atau meracuni pemikiran rakyat untuk bangkit dengan laungan `suara rakyat'. Rakyat memang begitu sifatnya. Sifat rakyat memang ramai tetapi ia hanya sekadar angka yang boleh dipergunakan.
Sebab itulah - aku nak ringkaskan - akulah yang berkuasa sebab Tuhanku Maha Berkuasa!

Pilihanraya; Perayaan Untuk Si Miskin

Seminggu dua ni, aku terasa membuang waktu membaca laman yang membangang dan membinggungkan otak. Terasa lebih baik baca buku yang Dr. Dawood kasi. Entah berpuluh-puluh buku yang disuruhnya baca. Sengsara. Tapi lagi sadis membaca laman yang bercerita tentang pilihanraya.
Pilihanraya ini ..........sebenarnya satu perayaan untuk orang-orang miskin yang duduk di kampong, setinggan dan hutan banat. Orang bijak pandai, kaya raya dan golongan berada tak rasa apa-apa kecuali mereka jadi calon. Tanyalah kawan kalian yang dah kaya, yang dah ada title Prof. dan pangkat berjela-jela tentang pilihanraya.......majoriti mereka kritis terhadap politik tapi tak pernah mengundi. Yang kelakarnya, daftar mengundi pun tak. Ahhhh stupid betul mamat ini. Aku teringat sewaktu kena tahan dalam lokap semasa semangat reformasi dulu, ada seorang mat ganja tu, cakapnye........kalah Mat Sabu. Tapi aku respect juga kat dia, sebab paling tidak dia mendaftar juga sebagai pengundi. Ada tanggungjawab pada negara. Ada perasaan pada demokrasi daripada kawan-kawan aku yang kaya raya, hidup senang, berkelulusan PhD dari luar negeri.
Siapa yang beria-ia time pilihanraya selain daripada parti, calon dan penyokong? ORANG MISKIN DAN PAPA KEDANA. Nama mereka sudah tersenarai dalam daftar orang yang setiap tahun terima zakat, wang kebajikan dan juga menjadi pendaftar pengundi. Setiap lima tahun mereka akan menerima sehelai kain pelekat, segantang beras, secupak gula dan sebotol minyak masak sebagai gula-gula dan bunga api sewaktu pilihanraya ini. Mereka akan kenyang dengan mimpi dan impian yang indah dan lumayan. Mereka sanggup tinggalkan anak bini untuk tampal poster dan panjat pokok kelapa kerana bayarannya lumayan. Semakin tinggi dipanjat, semakin tebal mimpi yang diberikan. Dapat t'shirt dan topi percuma. Dua minggu pakai tak basuh seperti pakaian daripada kayangan - suci.
Orang miskin ini selalu percaya bahawa kerajaan telah mengirimkan para malaikat untuk menentukan mereka memangkah dengan betul. Sebab itu, undi orang miskin jarang rosak. Orang miskin setia. Orang miskin rela ditipu dan dihina. Sebab itulah mereka miskin. Mereka dibiarkan menjadi orang miskin supaya yang berkuasa boleh memimpin mereka.
Satu alasan mudah mengapa kawan-kawan aku yang kaya raya dan berjawatan hebat-hebat tidak mengundi; pilihanraya tidak mengubah nasib mereka. Alaaa benggapnya otak. Betul-betul otak bawah lutut. Aku tak nak jawab. Kalian sendiri yang jawablah. Kalau jumpapun, aku malas nak buka kitab tentang politik dan pilihanraya. Biar aku bacakan tentang khasiat perkahwinan dan makanan. Itulah penghujung kemuncak hidup manusia itu.
Kalau ada parti yang boleh menjamin perutnya terisi - mereka akan menjadi ahli dan penganutnya. DAN apabila mereka keluar dari rumah banglow, kereta mewah, menara gading - mereka tidak keluar sebagai manusia tetapi sebagai SHIT!

Saturday, 1 March 2008

Deklarasi Anjing

Sajak ini khas kepada mereka yang telah dianjingkan berpuluh-puluh tahun di tanahair. Tubuh lahir sebagai manusia tapi nalurinya persis anjing yang hanya tahu setia membabi buta. Hari ini, bulan ini, semua anjing-anjing telah bangkit untuk menjadi manusia sebenar. Mereka tidak mahu jadi anjing jadi-jadian ataupun anjing peliharaan. Selamat Jadi MANusia!


Deklarasi Anjing

Anjing-anjing
Berhimpun kalian
Keluar dari kandang
Dan ladang

Kita padamkan
Api sumpahsetia
Penghuni dan penunggu
Lembah berzaman
Biar dengan kuku
Biar dengan bulu

Aku anjing jantan
Yang kelaparan
Biar aku berlari
Kanku menyalak
Kan kumenggigit

muhaiminsulam. blogspot. com
Penghujung Feb.08
Brymill, Swansea