...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday 30 December 2010

Anugerahlah Mereka dan Kami!

1. Yang sudah pasti, hari Jumaat ni diistiharkan sebagai hari cuti umum oleh Najib Razak selepas pasukan bolasepak Harimau Malaya menang piala Suzuki.

2. Manakala sebagai rakyat Malaysia yang bekerja di sawah, ladang ataupun di lautan akan mengambil cuti sendiri. Termasuklah aku, jika ingin bercuti juga.

3. Jurulatih Rajagopal mungkin boleh dianugerah Dato Rajagopal. Pemain lain, berilah pingat yang tertulis PJK, AMN atau apa-apa yang patut. Atau sekeping tanah di pinggir kota.

4. Atau pemimpin kerajaan menganugerahkan sejuta kata manis untuk halwa telinga pemain, jurulatih dan pegawai.

Wednesday 29 December 2010

Go Harimau Malaya !

1. Aku terlepas menyaksikan tiga jaringan pasukan bolasepak Malaysia. Dinner time. Dengar dari dapur sahaja suara sorakan.

2. Memang layaklah pasukan Harimau Malaya itu menang bergaya. Bukan kerana laser atau jampi di pintu gol.

3. Malam ni, aku tak dapat menyaksikan last final. Ada ceramah dengan Dr. Hatta Ramli di Kg. Atta Duri, Langkap. Dah lama tak berceramah.

4. Barangkali yang dengar ceramah tu, tak berapa minat bolasepak. Lebih minat politik.

5. Sebenarnya, bolasepak itu sendiri satu politik. Waktu begini, semua pihak sibuk nak tayang sokong pasukan Harimau Malaya. Yang tak pernah-pernah pergi stadium, belajar-belajar pergi. Yang tak reti main bola, berbuih bercakap tentang bola. Jika ditakdirkan, Harimau Malaya kecundang di Jakarta. Apa akan jadi?

6. Pasukan Harimau Malaya akan dikritik habis-habisan. Tak semangat nak cakap bola.

7. Begitu lah politik hari ini. Bila sudah menang, berpusu-pusu orang bersama.

Sunday 26 December 2010

Merry Christmas, Sandra!

1. Bos tempat aku kerja, Sandra. Tiap-tiap tahun dia dan keluarga meraikan Christmas seperti kebiasaan orang Kristian. Samalah dengan big bos kami, Alan Synmon. Walaupun begitu mereka tidaklah penganut Kristian yang setia ke gereja setiap Ahad.

2. Seorang kawan aku berkahwin dengan 'ahli kitab' Kristian. Dia sudah tidak ke gereja. Bahkan sudah berpuasa sepanjang Ramadhan. Sesekali ke masjid meraikan majlis hari raya, ia akan bertudung.

3. Setiap menjelang pertengahan bulan Disember, aku berbelah bahagi nak ucap selamat hari natal pada mereka. Memang ada pro-kontra tentang hukum memboleh dengan hukum membenarkan.

4. Lalu kuhitung dari segi dakwah, menghormati pegangan orang lain, kuucap jua `Merry Christmas'. Setiap tahun kami akan diberikan hadiah dan kad ucap selamat hari Krismas kepada kami.

Friday 24 December 2010

Kenaikan Yang Mendinginkan

Penghujung tahun ini, kenaikan harga barangan berlaku secara bertalu-talu. Buatlah seberapa banyak demonstrasi, hasilnya tidalah banyak berbeza. Kenaikan tetap berlaku. Ini merupakan antara kejayaan kapitalis menanamkan sikap sedia menerima keperitan hidup sebagai suatu yang perlu ditempuhi. Inilah yang pernah disebut oleh Gramcsi bila memikirkan bagaimana komunisme gagal di Italy. Sikap ini dibentuk melalui gaya hidup, pendidikan dan juga sistem pentadbiran kerajaan.

Sebagai hasilnya, kenaikan barangan tidak memberi kesan besar terhadap gaya hidup masyarakat. Orang terus berbondong-bondong membakar wang secara tidak bijak.

Ini menjadikan aku merindui kehidupan di Swansea pula yang mendidik kami menghargai setiap pence (sen) di poket kami. Untuk pengetahuan, Perdana Menteri Britain ialah David Cameron yang bukan Islam.

Monday 13 December 2010

Masjid Yang Kurang Mesra

Masjid adalah antara tempat suci dan menyucikan. Entah mengapa kebanyakan masjid tidak membayangkan begitu. Berapa banyak masjid yang kita pergi. Hampir mempunyai tahap yang sama. Masjid di kampong dan bandar tidak terkecuali terutama jika dilihat kualiti tandas.

Ada sesetengah langsung tidak menyediakan tandas untuk perempuan. Bahkan ruang sembahyang untuk perempuan juga tidak ada. Sewaktu kami hendak menunaikan sembahyang maghrib di salah sebuah masjid di Coventry Road di Birmingham, ada jamaah semacam pelik melihat aku dan keluarga bertanyakan tempat sembahyang perempuan. Memang ada mazhab yang tidak menggalakkan perempuan bersembahyang di masjid. Aisyeman.... kami musafir la. Tak kan nak sembahyang tepi jalan kalau dah ada masjid!

Semalam aku pergi ke Masjid Beijing di Rantau Panjang. Mak dan Pak Mertua aku teringin nak tengok masjid unik di Kelantan tu. Bersiaplah mereka hendak pergi. Malangnya sampai di sana, mereka tidak boleh masuk masjid. Masjid tidak menyediakan laluan untuk Orang Kurang Upaya. Nak naik tangga, kesian pula. Tengoklah dari luar.

Kalau tidak silap hal yang sama juga ada di masjid negeri Shah Alam dan Putrajaya. Indah untuk dipandang. Cantik rekabentuknya. Sayangnya tidak mesra terutama untuk OKU.













Tuesday 23 November 2010

Secawan Kopi di Gurun

Merentasi padang pasir
langit biru berbatu-batu
menjadikan aku haus
mengantuk kepenatan berjalan

Ada warung sederhana kecil
di tepi jalanraya
menyediakan kopi panas
dengan secawan tak sampai satu dinar
menambah-nambah peluh
keringat

Seperti warung-warung di tepi jalanraya
dari Sg. Manik ke Ipoh
Orang Melayu menerus kegetiran hidup
di tanah sendiri
tanpa lesen
tanpa daftar syarikat
menunggu anak Melayu berkereta besar berhenti
jika-jika ingin menjenguk
air tebu,
goreng pisang,
durian dusun,
yang kami jual
buat anak-anak kami membayar
yuran tuisyen
dan hutang
melanggan Astro

Kuhirup kopi yang manis
perlahan-lahan
dan dalam-dalam

Senyum kupahit
pahit sekali.

Debu Pasir Mu'tah

Debu Pasir Mu'tah

Jika bukan kerana tanah
ini pernah menjadi saksi
darah syuhada lembah Mu'tah
panggilan panglima Salahuddin al Ayubi
aku pasti menyumpah pemandu kereta
dan lori
yang senang-senang melemparkan
ribuan debu terbang ke muka aku.

Aku bertanya pada kau,
apalah ada pada tanah gersang ini?
dengan airnya dicatu setiap minggu
bangunan tua tak berwarna
lalat bagai beburung yang bebas
berterbangan
Kau jawab,
ilmunya bagai langit bumi yang tidak bertepi

lalu kau tidak menyesal meninggalkan
bumi kau yang subur menghijau
berlembah ruah rezekinya ini?

Monday 22 November 2010

Sebelum ke Pusara Bapa


Bapa

Sebelum aku ke pusaramu,

biarkan kaki ini melangkah dulu

ke bumi yang pernah kau hadir


kukutip kembali jejak langkah yang
kau tinggalkan di tanah Syam

pinggir pergunungan gersang

dan hiruk pikuk

laluan berdebu

runtuhan kota Busra


kan kucatat syair rindu

di celah titis hujan

menjelang maghrib yang kelam

agar dapat berteduh madrasah

yang kauwariskan


Bapa

Sebelum aku ke pusaramu

aku ingin terbang jauh lagi

melebar sayap

seadanya

izinkan kubelah langit biru

melangkah mencium

bau kasturimu

Aku tau kau telahpun

sampai ke tanah yang kutinggalkan kini

meski tanpa jasad

kerna kau selalu berkata

denganku tanpa kata

tanpa warna


Hujan Air Di Negeri Sendiri

Sudah masuk minggu ketiga
aku tinggal di negeri sendiri

tiada hujan batu
tiada hujan emas
yang ada
hujan air
hampir setiap petang
yang lebat
yang menenggelamkan

Tuesday 16 November 2010

Waktunya Kudatang Padamu, Malaysia

1. Memang semasa dalam perjalanan, destinasi itulah yang kita fikirkan. Susah senang terpaksa diharungi demi sampai ke destinasi.

2. Sewaktu kutinggalkan tanahair empat tahun lalu, kufikir bagaimanakah susah senangnya belajar di sini. Ketika kumenduduki peperiksaan penilaian darjah lima pada 1975, ibuku menemani aku belajar waktu malam yang disinari pelita. Sesekali menari-nari api pelita itu ditiup angin yang tembus dari lubang rumah kami di Sungai Lampam. Arwah bapa selalu balik lewat kerana mengajar agama di surau atau masjid di kampong berhampiran. Walaupun mak bapa aku selalu mengingatkan agar belajar bersungguh-sungguh, aku kurang terasa nak belajar. Belajar setakat datang ke sekolah, dengar cikgu cakap, buat kerja rumah, jumpa kawan dan balik ke rumah jalan kaki. Petang masuk sekolah agama tepi rumah tapi akulah pelajar yang paling lewat sampai ke kelas. Kadang-kadang, ustaz masuk dulu.

3. Di sekolah agama, kami kena hafal sorof bahasa Arab secara berlagu. Aku tidak tahu apa gunanya nanti. Yang pasti, hafalan itu akhirnya kutemui maknanya sewaktu aku ambil paper bahasa Arab di UM. Kira-kira selepas berbelas tahun kuhafal. Malangnya banyak yang sudah kulupa.

4. Di sekolah menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai, aku berangan-angan menjadi seorang pujangga. Melukis jiwa dengan kata. Mewarna alam dengan rasa. Atas meja menjadi kanvas. Dinding tandas kutulis syair anak muda. Akhirnya, cikgu lukisan aku ajak buat pameran lukisan di sekolah. Ah mau jadi pelukis la!

5. Jiwa orang muda memang bergolak. Tidak pernah tetap. Asyik berubah. Sekejap menjadi pujangga, pelukis, sekejap mahu menjadi peniaga, sekejap mahu menjadi peguam. Arwah bapaku kata, jadi anak soleh!

6. Kukenal apa itu UMNO-PAS semasa di UM. Kawan aku kata, itu sejenis mee dengan laksa. Semua untuk dimakan. Aku ketawa. Suka analogi itu. Aku ambil Geografi, yang kudapat Politik. Waktu itu, student power kununnya hebat sangat. Berjinak-jinaklah menjadi anti-establisment. Kebebasan mahasiswa. Mahasiswa menggugat. Mahasiswa menggigit. Nasib baik aku tidak gigit jari selepas habis belajar di universiti.

7. Waktu terus berputar. Aku dan keluargaku berada di tanah Inggeris di awal musim dingin 2006. Menyambung impian belajar di negeri orang. Kuingat panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Bukan senang hidup di negeri orang. Malam bekerja, siang belajar. Tapi sudah berapa laut kulalui, aku tidak boleh berundur pulang. Redah juga gelombang lautan yang tidak pernah sudah. Pintu langit tidak pernah tertutup. Bukankah Tuhan Maha Pemurah? Manusia sahaja yang kedekut dan miskin usaha dan berfikir.

8. Kini aku berada di tanahair sendiri. Pengajianku memang dah selesai tapi belajar tidak pernah padam. Genap semingguku berada di sini, kuhayati sendiri perubahan dan pembangunan di sekeliling. Hutan hijau menjadi hutan batu. Pohon nyiur melambai-lambai berganti menara seribu kaki melangit.

9. PAS sendiri sudah berubah wajah. Pemikiran pemimpinnya juga bercambah dan bercapah. Sesekali membinggungkan. Sesekali mengajak aku berfikir sebentar. Apakah ini suatu proses transformasi sebelum diberikan tanggungjawab yang lebih besar. Atau apakah ini satu proses merundumkan perjuangan?

10. Parti-parti lain, bertarung sesama sendiri. Tarik rambut dan janggut kawan. Kalau boleh tanggalkan baju kawan. Politik itu memang begitu. Membenarkan perlumbaan dan pertarungan meski sesama sendiri. Untuk menyedapkan telinga mendengar, lunak memandang, maka ditafsirnya sebagai satu perlumbaan mengejar kebajikan. Demi memperkukuhkan parti. Untuk nusa dan bangsa. Kerana agama. Lillahi Taala.

Lalu, akupun berkata-kata; inilah waktunya kudatang padamu, Malaysia.

Thursday 26 August 2010

Puasa Panjang, Pendek Pahala

1. Secara tradisinya, kanak-kanak diajar berpuasa dengan motivasi pahala. Puasa separuh hari, pahalanya separuh. Jika mahu pahala penuh, kena puasa satu hari. Maka digagahilah kanak-kanak kecil itu untuk mendapatkan pahala penuh. Itu masa kecil kecil. Sudah besar, lain pula perkiraannya. Puasa satu ibadah yang membentuk kejujuran diri.

2. Berpuasa di UK dalam musim panas memang satu pengalaman yang menarik. Kami berpuasa hampir 17 jam. Kenalan aku di Sweden pula berpuasa hampir 18 jam.

3. Apakah puasa kami yang sepanjang ini, bermakna pahala kami juga berganda-ganda panjangnya? Dua tahun lagi, mereka yang berpeluang puasa di UK akan menikmati puasa selama tidak sampai sepuloh jam. Ahh pendeknya puasa, bagaimana dengan pahalanya?

4. Orang kecil biasanya didendangkan dengan pahala. Orang yang berjiwa besar terusik dengan damainya jiwa yang hampir dengan Allah s.w.t. Mudah-mudahan kita semua digolongkan orang yang berjiwa besar di sisi Allah s.w.t.

5. Amin.

Sunday 18 July 2010

Jangan Lupakan Dato' Asri

1. Kebetulan aku berjumpa dengan YB Ust. Mohd. Hussein, ahli parlimen Pasir Putih yang menziarahi anaknya di sini beberapa hari ini. Sudah lama kami tak berjumpa. Sewaktu aku tahun pertama di UM, Ust. Mohd. Hussein baru sahaja habis belajar tapi selalu bertemu di pejabat PMIUM. Panjanglah sembang kami.

2. Beliau menyebut bahawa PAS banyak mencipta sejarah tetapi kurang mencatat sejarahnya sendiri. Aku memang sangat setuju. Sejarah PAS memerintah Kelantan sejak 1959 kurang ditulis. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) dulu, Dr. Dzulkifli sudah jadi ahli Parlimen. Sekarang PPP diterajui Ustaz Wan Abdul Rahman, bekas pensyarah sains politik aku di UKM. Aku kurang dengar hasil kajian PPP. Mungkin rahsia.

3. Dewan Pemuda PAS juga ada Institut Kajian Polisi yang diketuai Dr. Zuhdi Marzuki yang dianggotai beberapa sarjana dan intellektual untuk membantu Pemuda PAS. Dr. Zuhdi pernah satu universiti di sini dengan aku. Kami selalu berbincang bagaimana mahu membantu perjuangan melalui hasil daripada penyelidikan dan kajian saintifik. Akupun tak tau setakat mana `laku' idea kami itu.

4. Malangnya, ada beberapa pimpinan PAS lebih tertarik dengan pandangan sarjana luar dan sanggup membayar beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan hasil kajian mereka. PAS jangan selalu lupa pada kekuatan dalamannya. Kagum pada kekuatan luar. Kagum pada kepimpinan orang lain.

5. Sehingga sekarang ramai pimpinan PAS mendendangkan bahawa Kelantan telah 20 tahun (1990 - 2010) di bawah kepimpinan PAS. Sejarahnya, PAS telah memerintah Kelantan sejak 1959 - 1978 (19 tahun) kemudian diambil alih secara tidak demokratik oleh UMNO-BN. Rampas kuasa melalui akta Darurat.

6. Biarpun ada perbezaan pandangan dan pendekatan yang dilakukan oleh Dato' Asri dan rakan-rakannya, hakikatnya PAS yang sama juga memerintah Kelantan pada hari ini. Ustaz Mohd. Hussein kata, kerajaan negeri Kelantan akan sambut 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan. Aku kata tak betul. Ustaz Mohd. Hussein pun setuju.

7. Kerana itu, aku tidak hairan jika Dato' Asri yang banyak berjasa pada PAS, Kelantan dan negara senang-senang begitu dilupakan oleh pemimpin PAS sendiri.

8. Siapalah aku!

Thursday 8 July 2010

Tumbanglah Kau Holland!

1. Puyol kau!

2. Petang Ahad ini, aku plan nak tengok bola akhir di skrin besar Swansea Castle Square. Tengok beramai-ramai. Tentu meriah. Aku tak ada jersey Spain. Aku akan pakai jersey Perak, Kejor Yop Kejor berwarna kuning. Warna larangan yang penuh berdaulat.

3. Kawan aku kata, dia sokong Spain kerana Islam pernah bertapak di situ. Benci Holland kerana penjajah durjana. Dua-dua tak masuk book beb! Ini bukan kelas tawarikh.

4. Sewaktu aku kecil-kecil dulu, aku berdoa depan tv untuk Liverpool menang. Bapa aku memandang aku semacam je. Tak boleh ke?

5. Ketika Ustaz Azli Taliban menjadi Pengurus Bolasepak Perak, dia mungkin berdoa sambil pejam mata untuk kemenangan Perak. Mungkin.

6. Mungkin, tumbanglah kau Holland!

Wednesday 7 July 2010

Kenapa Sokong Holland?



1. Saat-saat akhir perlawanan antara Uruguay dengan Holland, aku mengharapkan ada gol menyamaan walaupun Diego Forlan dah keluar awal. Memang benar, minit 90 Uruguay mendapat gol kedua. Biar terlewat tapi menampakkan kekalahan mereka bermaruah. Berjuang hingga minit terakhir.

2. Aku memang meminati Holland. Lagenda Holland, Johan Cruff dan J. Neesken menjadi inspirasi aku sewaktu aku di sekolah rendah. Bermain di padang berpasir depan sekolah Arab, terasa beraksi seperti Johan Cruff. Berebut-rebut nak jadi Johan Cruff. Namun akulah yang menang menjadi Johan Cruff walaupun bukan hebat manapun aku bermain. Rupa-rupanya sudah lebih 30 tahun dulu!

3. Jersey keramat Holland berwarna oren. Warna itulah yang kupilih sewaktu menubuhkan DACS Dewan Pemuda PAS Pusat. Warna revolusi.

4. Tapi jangan sokong Holland kerana warna itu sama dengan warna simbol Pakatan Rakyat. Nampak naif sekali.

Sunday 4 July 2010

Cerminlah Bolasepak Malaysia

1. Dari sekolah lagi aku penyokong Brazil. Lepas itu, Argentina. Walaupun aku tahu, Jerman kuat, Spain juga kuat. Aku sokong Paraguay sebuah pasukan underdog. Semua pasukan pilihan aku tak masuk semi final.

2. Ramai yang kutuk kerana Brazil, Argentina kalah. Lebih-lebih lagi England. Habis kena kutuk.

3. Aku sekadar teringatkan malang nasibnya pasukan bolasepak tanahairku, Malaysia. Korea Selatan dan Jepun yang dulu sama taraf kini sudah jauh meninggalkan kita.

4. Aku tanya pada Jong, kawanku dari Korea. Bagaimana pasukan bolasepak negaranya boleh mencapai tahap seperti begini. Jong yang sedang menyiapkan Phd dalam Politik dan ahli parti sosialis Korea itu menjawab ringkas: kesungguhan kerajaan.

5. Kerajaan Malaysia, tak bersungguh ke?

6. Sungguh aku bertanya.

Monday 14 June 2010

Perginya Ustaz Hasan Syukri

1. Dua tahun lalu, dua kali aku jumpa Ustaz Hasan Syukri untuk sessi interview dengannya. Sekali di rumahnya, sekali di Muktamar PAS yang berlangsung di Ipoh. Itulah terakhir aku berjumpanya sebelum beliau meninggal dunia. Ceritanya penuh sejarah. Aku malas nak buat catatan, aku rakam je sebab nak menghayati mendengar ceritanya. Kadangkala ceritanya lari daripada tajuk yang aku nak buat.

2. Oleh kerana aku berasal dari kawasan Pasir Salak, Ustaz Hasan Syukri selalu bercerita tentang PAS kawasan Pasir Salak yang pernah diuji dengan krisis dalaman yang agak lama suatu ketika dulu. Satu-satu nasihat yang diberikan kepada aku yang baru nak berjinak-jinak dengan PAS kawasan Pasir Salak. Bila aku diamanahkan sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Perak, bertambah-tambahlah nasihatnya kepada aku terutama dari segi mengurus parti. Beliau selalu juga singgah di Surau Simpang Tiga Sg. Manik, surau tempat aku tinggal. Banyak pimpinan PAS Pasir Salak yang dia kenal. Bukan setakat kenal tetapi tahu perangai dan sikap mereka.

3. Yang aku respectnya, seingat aku dia jarang menghukum. Dia cari dan bagi jalan penyelesaian. Setidak-tidaknya mengurangkan ketegangan sesama sendiri. Kadang-kala teringat pula macam kaedah Haji Subky Latif untuk selesai masalah dalaman PAS. Hj Subky kata, kebanyakannya penyelesaian krisis dalaman parti selesai apabila salah seorang yang berkrisis itu meninggal. Letih juga kalau begitu. Penat bergaduh sesama sendiri. Tapi aku tahu, idea-idea Haji Subky memang pelik sikit. Dia banyak berfikiran terbalik.

4. Dari situ aku belajar mengurus krisis dalaman parti. Tidak semua nasihatnya menjadi. Tetapi setidak-tidak di situlah aku belajar berani membuat keputusan terutama dalam suasana kritikal

5. Orang PAS kalau bergaduh sesama sendiri, mengalahkan bergaduh dengan UMNO. Bukan senang nak damaikan sesama sendiri. Kadangkala terpaksa kena tahan telinga, tebal muka, tunjuk berani depan ahli terutama pimpinan peringkat akar umbi. Masing-masing bijak mentafsir buku perlembagaan parti. Kalah Hanifa Maidin, peguam PAS.

6. Bila begitu, biasanya aku akan cepat-cepat merujuk Ustaz Hasan Syukri. Ada yang dia setuju cara aku, ada juga dia tak setuju tapi dia tak marah. Kadangkala aku cuba mempengaruhinya agar beliau menyokong cara aku. Tapi aku tahu, dia dah masak dengan perangai orang PAS berkrisis sesama sendiri.

7. Waktu petang-petang, kami selalu nampak Ustaz Hasan Syukri membersihkan kawasan markaz Taman Melewar. Dengan t'shirt pagodanya, dia selamba memegang sabit walaupun ketika itu dia adalah Timbalan Presiden PAS. Berpeluh-peluh dia menebas. Aku tengok je. Baru sekarang aku terasa, mengapalah aku tak tolong bersihkan kawasan markaz tu?

8. Baru sekarang aku mula terfikir kembali cerita, kerja dan impiannya. Al Fatihah.

Saturday 12 June 2010

Cara Bukan Melayu Berpolitik

1. Semua orang dah tahu. Aku sekadar menulis kembali. Cara bukan Melayu berpolitik sentiasa memberi faedah kepada mereka. Kalah tak rugi, menang menguntungkan. Bukan sahaja berniaga mereka menguntungkan.

2. Penerimaan bukan Islam dalam PAS adalah satu transformasi politik kepada parti Islam itu jika ia dapat berterusan. Bukan Islam telah menambah satu lagi channel politik mereka selain sedia ada mempunyai dalam tubuh parti kerajaan (MIC, MCA,Gerakan dll) dan dalam Pakatan Rakyat (DAP dan PKN). Dari segi ekonomi, beribu-ribu syarikat bukan Islam mendokong sistem ekonomi yang boleh menguntungkan sesama mereka. Dari segi pendidikan dan perjuangan bahasa ibunda, perbezaan politik dapat diselesaikan. Begitu juga dengan persoalan perkembangan agama dan budaya mereka.

3. Politik Melayu?

4. Tahu sendiri. Kalau boleh bunuh semua politik Melayu yang menentang ketuanan politik Melayu. Biar dibunuh peniaga Melayu meski berwarung di tanah rizab. Melayu pandai santau. Bijak bersihir. Pakar mengadu domba. Jangan beri subsidi atau biasiswa jika Melayu itu ingkar. Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

5. Biar Melayu berdiri sombong seorang diri.

Friday 11 June 2010

World Cup dan Muktamar PAS

Afrika Selatan:

Selamat menyepak bola
Terus menerjah ke pintu gol
Harap bukan menyepak pemain

Kota Bharu:

Semalam mula bermuktamar
Harap bukan masa untuk
menyepak pemimpin
atau menyepak sesama sendiri
mengharap jadi hero
tapi sebenarnya
menjaringkan gol sendiri

Swansea:

Sekadar membaca dari internet
menonton tivi
untuk sekadar bercerita.

Alangkah naifnya!

Friday 21 May 2010

Peguam Bukan Muslim: Cabaran Islam Untuk Semua

Victoria Jayaseele Martin yang berkelulusan Diploma Undang-undang dan Amalan Syariah UIA akhirnya berjaya menjadi peguam Mahkamah Syariah selepas Mahkamah Sivil memutuskan demikian. Sekaligus ini mengenepikan larangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang hanya membenarkan peguam beragama Islam menjadi peguam syariah. Victoria bukan beragama Islam. Mahkamah Syariah pula mahkamah khusus untuk orang Islam.

Mahkamah syariah Malaysia bukanlah boleh dikategorikan sebuah mahkamah syariah yang syarie sepenuhnya. Ia adalah sebahagian syariah. Syariah dalam konteks sekular adalah persoalan nikah cerai, faraidh, kematian dan sebagainya. Ruang yang agak terhad. Oklah juga daripada tak ada langsung. Tapi perlu dimantapkan dan diperluaskan lagi.

Penyertaan bukan Islam dalam sistem perundangan syariah memberikan gambaran lebih jelas tentang Islam. Bagaimana orang bukan Islam menggunakan sistem Islam untuk memberikan keadilan. Seharusnya langkah ini digalakkan. Victoria mempunyai kelayakan yang diperlukan oleh sebuah mahkamah syariah di Malaysia. Hanya agamanya sahaja yang menjadi halangan. Agama seharusnya menghapuskan diskriminasi kerana perbezaan agama.

Seperti analogi seorang lulusan jururawat bukan Islam yang tidak dibenarkan merawat orang Islam yang sakit. Bukankah itu satu kezaliman?

Monday 17 May 2010

Bapaku, Ustaz Sulam


Sebelum aku meninggalkan tanahair, bapaku memberikan sebuah kitab lama, `Dzadul Mutaalim' ataupun 'Bekalan Pelajar'. Dibelek-belek almari di biliknya untuk mencari kitab itu. Kitab inilah yang bapaku gunakan sewaktu mengajar budak-budak Maahad di masjid al Mansor, kampong aku, Sungai Lampam. Helaian awal kubaca, ayatnya sukar untuk difahami. Maklumlah, kitab tahun 1958. Bahasa kitab tua. Kubacakan kitab itu pada anak-anak aku di sini, ahh memang sukar untuk mereka memahami.

Kini kumengerti, hakikatnya kehidupan ini adalah belajar. Bekalan utama sebagai pelajar adalah tauhid, fiqah, tasawuf dan akhlak. Peganglah keempat-empat teras kehidupan ini. InsyaAllah akan selamat dunia akhirat. Tiada pusaka yang lebih berharga selain sebuah kitab tua ini. Aku khatam kitab ini semasa aku tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan yang sebenar. Aku masih kecil lagi. Yang kuingat adalah sifat 20 bagi Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu sehari semalam. Berpuasa di bulan ramadhan dan sebagainya. Memang kelihatan agak tradisional pendekatan kitab itu.

Sudah bertahun-tahun kutadah telinga mendengar bicaranya. Sewaktu duduk makan, selepas solat, tengah berbendang dan sedang memandu. Dari huruf Alif hinggalah kukenal erti kehidupan. Waktu gembira, saat berduka. Waktu bersama, kala bersendiri. Bapa tidak berhenti mengajar sehinggalah waktu aku memimpin bapa mengucapkan kalimah Allah di hujung sakaratul mautnya.

Sedari kecil, aku memang biasa mengikuti bapa pergi memberi ceramah maulid, maal hijrah dan mengajar di masjid. Dari motorsikal Suzuki hinggalah bapa mampu membeli kereta Opel kuning terpakai. Setidak-tidak menjadi teman bapa pulang di waktu malam. Aku masih ingat, bapa menepuk-nepuk aku yang tersenduk-senduk mengantuk ketika membonceng motorsikal. Memastikan aku tidak tidur. Kulawan juga mata ini daripada terlelap di tengah jalan. Aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Selepas pulang sekolah rendah, kami akan bersiap ke sekolah agama. Memang zaman itu, tidak ada istilah kelas tuisyen atau kelas tambahan.

Bapa mengajar untuk tidak bermusuh kerana parti politik. Memang sukar untuk mematuhi ajarannya bila aku sendiri aktivis politik. Politik semasa pula mengajar, merangsang politik sukuan, politik kauman, politik identiti dan politik untuk politik. Politik kita adalah hitam putih. Hanya ada dua pilihan. Tiada jalan ketiga. Bila bapa cenderung sedikit pada politik. Bapa terus menjadi mangsa.

Bertahun-tahun sebelum maut menjemputnya, bapa sudah memberi wasiat pada anak-anak muridnya. Ada lima wasiat yang tertulis di tembok pintu masuk ke Maahad al Islah. Itulah juga yang sering diungkapkan pada aku sewaktu aku kecil. Dua malam terakhirnya, bapa terus menasihati aku. Nasihat tidak pernah lekang dari mulut bapa biarpun aku sudah memutih helaian janggutku.

Bapa mengajar aku dengan rotan. Mendidik aku dengan cubitan. Menghukum aku dengan gigitan kerangge. Aku membuka lipatan al Quran perlahan-lahan sambil bapa mendengar bacaanku yang sering tersasar. Membetulkan dengan pandangan matanya yang tajam. Jenuh kuulang-ulang bacaan itu sehingga dia diam puas mendengarnya. Selalu bapa mengajar aku di depan tingkap. Sambil bersila menghadap bendang yang menghijau. Sambil melihat beburung berterbangan mencari padi.

Kini tiada lagi setapakpun bendang yang tinggal. Tiada lagi bendang yang pernah kuberkubang. Sudah tiada lagi kolam ikan keli atau sepat. Bapa dirikan bendang dengan madrasah. Dari madrasah yang dibina secara gotong royong bersama orang kampong hinggalah kerajaan turut bersama membesarkan madrasah. Hampir habis semua pohon mempelam ditebang. Hanya tinggal tiga empat pohon yang masih tertinggal. Bapa tinggalkan setapak kebun durian di penghujung tanah kami. Di situlah danau tempat bapa melelahkan penat berbendang dulu. Tempat berteduh tatkala mentari terik di langit. Minggu-minggu terakhirnya, kubawa bapa menghampiri kebun durian itu. Entah mengapa bapa minta aku menolak kerusi rodanya ke situ.

Madrasah ini adalah taman syurganya. Di sinilah benih ibadah itu berlanjutan tanpa henti, selagi masih ada mereka yang ingin belajar mengetahui. Selagi masih ada yang ingin beramal pada ilmunya. Inilah modal bapa. Inilah tanah bendang bapa yang subur. Subur dengan manusia yang beriman, ilmu dan beramal. Kini kusaksikan sendiri, anak-anak muridnya dari penoreh getah, penanam padi, budak pejabat hinggalah pegawai atasan yang berkuasa, usahawan yang berjaya, peguam, pensyarah lulusan Phd dan sebagainya. Bapa tidak pernah putus asa berdoa di sebalik kedegilan dan kenakalan anak muridnya. Didenda, digantung dan dibuang sekolah. Kusaksikan sendiri, saat mereka mencium tangan bapa di hospital bagai tanda kasih yang tidak pernah putus.

Jangan pulang sebelum tamat pengajian. Pesannya sebelum aku berlepas. Aku dengar dan faham betapa besar perbelanjaan yang diperlukan sekadar untuk pulang nanti. Dua tahun berlalu, kulanggar pesan bapa. Aku mahu pulang. Entah mengapa jiwaku mengajak kembali ke kampong biarpun sebentar. Tiba-tiba sahaja saat menanti tarikh pulang, aku terasa panjang. Seperti malam enggan melabuh tirainya.

Dan ketika aku pulang,
aku sebenarnya pulang untuk menghantar bapa pulang buat selama-lamanya.
Al Fatihah.

* Dedikasi buat semua guru.

Thursday 13 May 2010

Sifir Politik Negara Maju

Selepas berjaya mewujudkan kerajaan campuran di UK, David Cameron dan sekutunya Nick Clegg mula mengorak langkah yang meyakinkan. Gandingan pemimpin muda (PM termuda dalam sejarah UK. David Cameron, 43 tahun dan Nick Clegg, 42 tahun).

65 tahun lalu, kerajaan campuran UK (coalition government) disebut national government. Kerajaan campuran UK hari ini disebut sebagai kerajaan stabil dan responsibiliti. Atau mungkin kerajaan perpaduan. Itu hanya cap. Brand. Yang pentingnya, bagaimana kerajaan itu diterjemahkan dalam kehidupan rakyat.

Musuhnya musuh adalah kawanku. Begitulah sifir dalam politik. Nick dan David banyak tidak sehaluan. Tetapi politik itu menyatukan. Bukan memecahkan. Yang berpecah adalah mereka yang dangkal berpolitik. Politik haiwan. Membunuh musuh bagai mangsa yang rangup.

Perbincangan utama dalam rangka mewujudkan kerjasama antara Konservatif dan Lib Demokrat, isunya adalah mengurus perbezaan manifesto. Bukannya berapa banyak kerusi kabinet yang bakal diperoleh. Memang ada manifesto yang terpaksa digugurkan.

Parti yang besar tidak cuba menarik ahli parlimen yang menang untuk melompat ke dalam parti mereka demi menubuhkan kerajaan. Mereka bincang antara parti dengan parti. Bukan antara pemimpin parti dengan pemimpin politik. Tidak seperti senaif idea 16 September atau coup d etat Perak. Politikorup.

Bahasa yang retorik tidak lagi penting untuk dinilai keupayaan dan kesungguhan. Masyarakat menilai bahasa badan pemimpin.

Gordon Brown balik kampong di Scotland. Orang kampongnya pun dah tolak dia. Brown kata, dia nak penuh kehidupan peribadinya. Letak jawatan Perdana Menteri dan ketua Parti Buruh. Biarlah pemimpin muda lain yang memimpin parti untuk membawa cabaran masa hadapan.

Sekali lagi, berilah peluang kepada orang muda.

Orang muda!

Friday 7 May 2010

Keputusan Pilihanraya Kawasan Aku

Aku mengundi di Parlimen Swansea West. Berikut adalah keputusannya.


Geraint Davies (Labour)12,335 (34.7) -7.2
Peter May (Liberal Democrat)11,831 (33.2) +4.3
Rene Kinzett (Conservative)7,407 (20.8) +4.8
Harri Roberts (Plaid Cymru) 1,437 (4.0) -2.5
Alan Bateman (British National Party)910 (2.6) +2.6
Tim Jenkins (UK Independence Party)716 (2.0) +0.2
Keith Ross (Green)404 (1.1) -1.1
Ian McCloy (Independent)374 (1.1) +1.1
Rob Williams (Trade Unionist & Socialist Coalition) 179 (0.5) +0.5

Majority 504 (1.4)
Turnout 35,593 (58.0) +1.3

Thursday 6 May 2010

Pengundian Di UK

Bermula jam 7 pagi hingga 10 malam ni, semua yang mendaftar sebagai pengundi bolehlah mengundi di tempat mengundi yang disediakan.

Sebagai warganegara bekas jajahan Britain, aku diberikan peluang untuk mengundi bagi menentukan siapa peneraju kepimpinan Britain. Aku sekeluarga dah mengundi dua hari lepas - undi pos. Bukan pengundi hantu. Pengundi sah.

Samada Labour atau Konservatif, kedua-duanya lebih kurang sama. Liberal Demokrat, parti pertengahan. Orang kata, parti yang sederhana. Kanan tidak, kiripun tidak. Walaupun calon Liberal Demokrat kawasan Swansea West adalah jiran aku, aku tidak pernah jumpa. Calon Konservatif, Rene pula seorang gay. Calon Labour, aku tidak kenal. BNP, parti racist. Parti Green pun bertanding. Tapi tiada kena mengena dengan PAS yang hijau. Undi aku separuh rahsia.

Sekolah tidak cuti. Pejabatpun tidak cuti. Pusat pengundian dibuat di gereja, dewan awam dan ada juga di tempat letak kereta. Budak-budak sekolah yang berumur 18 tahun mengundi di sekolah (18 tahun layak mengundi). Pelajar universiti pun mengundi di universiti.

Syarikat judi menawarkan pakej perjudian yang menarik. Ramai yang tak undi tapi berjudi. Pub-pub sudah menyediakan tong beer untuk meraikan kemenangan.

Tiada pondok panas. Jauh lagi perayu undi. Tiada bendera atau poster. Tiada caci maki antara penyokong parti. FRU kalau ke sini, tak ada kerja. Polis sekadar tukang pacak. Ke hulu ke hilir. Boring gila. Tak boleh main tembak-tembak macam......koboi.

Friday 30 April 2010

Tuesday 27 April 2010

Tiada Taubat Dalam Politik

Aku bercakap tentang politik atas tanah bukan politik atas langit. Mana manusia yang tidak pernah buat dosa kecuali para nabi.

Kempen pilihanraya di tanahair menjelaskan bagai tiada istilah taubat dalam politik. Oleh sebab itu, segala dosa dulukala dan terkini diungkit-ungkit demi memperlihatkan betapa pendosanya musuh politik mereka. Masing-masing cuba mempamerkan gunungan pahala yang mereka telah lakukan hingga mereka menjanjikan syurga yang diimpikan.

Seperti kaum yang marahkan pada Umar al Khatab, lalu diburukkan bahawa Umar pernah menanam bayi perempuan hidup-hidup, kaki minum, gedebe sewaktu zaman jahiliyyahnya. Untungnya Umar al Khatab dikelilingi para sahabat.

Kalau ditakdirkan orang seperti Umar al Khatab bertanding dalam pilihanraya di salah sebuah kawasan Parlimen di Malaysia, mau hilang pertaruhannya!

Tiada ampun dalam politik. Yang ada, ampun patek!

Thursday 22 April 2010

Menerima Kejahatan UMNO

Berdasarkan dengar-dengar cerita dari kempen pilihanraya Hulu Selangor, yang disibukkan adalah peribadi calon. Idea dan kepimpinan calon tidak begitu tertonjol dan ditonjolkan.

Untungnya BN berhadapan dengan Zaid Ibrahim yang pernah menjadi ahli dan pemimpin UMNO. Parti yang bertanding pula PKR, parti Anwar Ibrahim, bekas Timb. Presiden UMNO. Lalu, dibongkar semua dosa-dosa lalu seluas-luasnya. Dari kaki minum arak, terlibat judi, perempuan, bersetongkol dengan Yahudi dan sebagainya.

Kesimpulan yang mudah di sini ialah UMNO memang sarang pelaku dosa. Oleh sebab itu, tidak hairan jika dosa-dosa itu cuba disucikan dengan terus menyokong BN. Seolah-olah BN memegang pintu taubat.

Seorang pemimpin UMNO berkata sewaktu di London, bahawa dia memang tahu ramai pemimpin UMNO korup, kurang akhlaknya, kaki minum dan bla bla bla..... aku dengar je. Nasib baik, aku tak tanya siapa gerangan pendosa itu. Tapi katanya sambil bola matanya memandang wajahku, menarik simpati agaknya, setidak-tidaknya UMNO itu Melayu......orang Islam. Kalau bagi PAS menang, nanti DAP yang tunggang. Tengok Nizar tu.... habis! PKR pula dikuasai oleh Islam Liberal. Sheikh, anta orang perjuangan, anta tau kan..... pujuknya lagi. He..he..he dengan sopan santun aku menolaknya.

Skrip ini aku dah lama ulang tayang. Skrip lapuk BTN. Terimalah kejahatan UMNO seadanya!

Terima padah.

Saturday 17 April 2010

Kenyang Dengan Slogan

Seminggu dua ini
pengundi didendangkan
slogan keramat

Nasi kandar tahun lepas
yang dipanaskan
terasa sedap dimakan
aromanya menyelerakan
lubang hidung

Kita kenyang dengan telinga
mereka kenyang seluruh usus
dan perut

Friday 16 April 2010

Perang Bermula

Gelanggang perang sudah dibuka
manifesto dibentang
janji air liur melaut bergelombang
biar kupetik mentari
dan kupersembahkan pada kakimu

Simpanlah keris atau pedangmu,
susunlah ayat pendinding
lagu menyentuh hati
hari ini dan esok
adalah hari-hari untuk rakyat
selepas waktu perhitungan tamat
adalah hari pemimpin
menentukan langkah kaki rakyat

* Selamat berkempen pada Gordon Brown, David Cameron dan Nick Clegg. Juga kepada PR dan BN.

Wednesday 7 April 2010

Bukan musang berbulu ayam

Setiap krisis atau masalah yang berlaku di dalam parti ataupun organisasi, biasanya ditimbulkan oleh orang yang mengetahui parti itu sendiri. Untuk itu, siapa yang mendapat kepercayaan daripada pemimpin, senanglah masuk ke dalam. Tambahan lagi jika pemimpin itu terlalu `suci' dan amat dihormati, segala barang apa juapun boleh masuk mudah. Unit Amal pun tak boleh sekat.

Musang memang biasa mencari peluang. Simpan fail penting, cari minit mesyuarat dan pasang telinga bila orang berbincang. Kekadang sempat menyempit diri dalam kelompok elit pemimpin. Konon nak tuang kopi dalam cawan tapi sebenarnya nak curi cerita daripada sembang pemimpin. Ini biasa berlaku dengan mudah.

Hakikatnya, ada sesetengah pemimpin parti yang rabun ayam. Tidak dapat membezakan antara musang dengan ayam. Semua yang nak berjuang, dianggap satu bakul yang sama. Ingat, parti lainpun anggap mereka juga berjuang. Jangan anggap, kita sahaja berjuang.

Thursday 1 April 2010

Serahkan Saja Darjah Itu!

Apabila sesuatu parti mula menguasai pentadbiran kerajaan melalui pilihanraya dan demokrasi, gelaran Yang Berhormat adalah darjah kemasyhuran yang diberikan oleh rakyat ataupun pengundi.

Apabila seseorang alim mengajar ikhlas, gelaran tok guru adalah darjah kemuliaan itu adalah anugerah masyarakat kepadanya. Tidak boleh diberikan ataupun merancang untuk memberikan gelaran tok guru pada semua orang alim, biarpun mengajar penuh ikhlas. Masyarakat yang memberikan darjah kemuliaan itu sendiri.

Bekas Pesuruhjaya PAS Perak, almarhum Ustaz Sabran Asmawi dulu cuba dipanggil dengan gelaran Tuan Guru. Hampir-hampir nak menjadi tapi akhirnya tak menjadi. Begitu juga Ustaz Ahmad Awang. Tak menjadi bila nak panggil Tuan Guru ataupun Tok Guru. Ini kerana anugerah oleh masyarakat yang tidak boleh dipaksa.

Adapun darjah dari istana yang bergelar Dato, Dato Seri, Tan Sri ataupun Tun, hanyalah proses pengukuhan feudalisme dalam kelompok ahli politik. Dari sudut sejarahnya, tradisi feudal sebenarnya halangan besar kepada perubahan besar. Feudal hanya mengekalkan kuasa dalam lingkaran elit mereka sahaja.

Tidak rugi kiranya, darjah kebesaran Istana diserahkan kembali demi perubahan yang lebih bermakna.

Bagaimana YB Dato Seri Ir. Nizar? Setuju tak?

Friday 26 March 2010

Ir Nizar: Nilai Sendiri Krisis Politik Perak

London: Muhammad Nizar Jamaluddin meminta agar rakyat Malaysia di UK menilai sendiri krisis politik di Perak secara bijaksana. Beliau yakin dengan kemampuan rakyat Malaysia menilai secara rasional dan mendapat maklumat yang secukupnya. Krisis politik Perak yang membawa kes ke mahkamah tidak akan menyelesaikan masalah politik. Sebaliknya, isu itu akan berlanjutan dan merugikan pembangunan negeri Perak secara keseluruhannya.


Dalam ucapan beliau yang bertajuk, `The Challenges of Islam and Democracy in Malaysia’ di Pippard Lecture Theatre, Imperial College London, beliau menyeru agar masyarakat Malaysia lebih memahami konsep ketaatan raja dan keluhuran perlembagaan secara lebih terbuka. Konsep pemisahan kuasa dan juga federalisme yang sewewang-wenangnya diceroboh oleh kerajaan BN menunjukkan bahawa jalan demokrasi di Malaysia semakin sempit dan sukar. Keadaan ini bukan sahaja memerlukan kerberanian tetapi kesungguhan dan kecekapan rakyat membuat keputusan tepat di luar musim pilihanraya.


Beliau juga menyentuh tentang kecenderungan pendekatan politik perkauman yang digunakan oleh BN hanya akan menyebabkan memberi tanggapan buruk terhadap Islam dan orang Melayu. Formula politik yang dibangunkan oleh Pakatan Rakyat kini dianggap sebagai ancaman kepada hegemoni politik perkauman sempit Barisan Nasional.


Beliau menegaskan bahawa kerajaan haram BN Perak hanya akan melahirkan perkara-perkara haram lain yang menjadikan sistem politik tanahair semakin rumit pada masa akan datang. Sekiranya kegagalan usaha membubarkan DUN Perak, Muhammad Nizar Jamaluddin berkata bahawa PAS Perak sudah menyediakan jentera pilihanraya bagi pilihanraya umum ke 13. Lawatan Badan Perhubungan PAS Perak ke UK/Ireland turut disertai AJK PAS Pusat, Asmuni Awi yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim dan beberapa pimpinan PAS Perak lain.

Monday 15 March 2010

Poster DS Nizar Tour de UK/Ireland


Aha! ape lagi hebohkan le!

Turut mengiringi YB DS Ir. Hj. Nizar Jamaluddin ialah isteri beliau, DS Fatimah Taat, YB Khalil, Idham Lim (ADUN Titi Serong), Hj. Asmuni Awi (AJK PAS Pusat), Hj. Azlan, Hj Azhar Rafei dan Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar. Selamat Datang.

Sunday 14 March 2010

DS Hj. Nizar Jamaluddin UK Tour


An Evening With DS Ir. Nizar Jamaluddin
19 March 2010 (Friday)
7.45 pm - 10.00 pm.
Park Inn Victoria Hotel
4 Cheetham Hill Road, M4 4EW, Manchester.

Talk: The Challenges of Islam and Democracy in Malaysia
20 March 2010 (Saturday)
1.30 pm - 4.00 pm
Pippard Lecture Theater,
Level 5, Sherfield Building,
Imperial Colllege London,
Exhibition Road, SW7 2AZ, London

Executive Talk by DS Ir Nizar Jamaludin
21 March 2010 (Sunday)
2.00 pm - 5.00 pm
Hilton Dublin Kilmainham,
Dublin 8, Rep. of Ireland.

* The rest will be announced soon. Please come and spread the news!

Saturday 9 January 2010

Setengah Juta RM Untuk Membakar

Solat Jumaat pertama aku di UK ialah di sebuah chapel kecil Hospital Carmerthen. Sudah dua kali aku berbuka puasa di gereja St. Mary. Sebelum aku pergi demonstasi Palestin di London tahun lalu, aku dan keluarga pergi ke forum tentang Palestin di Unitarian Church, Swansea. Jika berkesempatan, kami mungkin akan solat terawih tahun ini di St. Helen Church yang telah dibeli untuk dijadikan sebuah masjid.

Minggu hadapan, kawan aku Adli akan berbincang dengan ketua paderi Univesiti of Wales untuk menyusun program dialog dengan mereka. Ia tiada kena mengena isu di Malaysia. Masjid Universiti aku pun sebenarnya adalah asalnya sebuah bangunan Chapel. Mungkin mereka begitu liberal atau aku sendiri semakin liberal.

Dalam peperangan sekalipun, gereja adalah tempat yang dilarang untuk dimusnahkan. Ini sudah termaktub dalam adab berperang dan diistiharkan dalam Konvesyen Geneva tentang perang.

Walau bagaimanapun memberikan sumbangan setengah juta RM kepada gereja yang dibakar boleh menyemarakkan api yang masih belum padam. Persembahan berita tentang isu ini hanya akan meneruskan agenda yang masih belum tamat. Ada banyak perkara lain yang perlu diutamakan selain daripada penyelesaian dengan duit.

Friday 8 January 2010

Melayu Memang Ada Amuk

Istilah `Amuk' tidak wujud dalam mana-mana bahasa di dunia kecuali dunia Melayu. Orang Ingggerispun tumpang guna istilah `amuk' kerana miskinnya kosakata dalam bahasa itu. Amuk biasanya dikaitkan satu tindakan mendadak yang diluar kawalan. Biasanya diakhiri dengan tragedi yang melibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda. Walau bagaimanapun, amuk Melayu bersifat setempat dan tersendiri. Tidak berorganisasi. Tindakan spontan. Tak sempat nak rancang-rancang. Tau-tau tup meletup.

Banyak lagenda amuk Melayu, antaranya Hang Jebat dan Laksamana Bentan. Prebet Adam. 13 Mei pun dikatakan spesis amukan Melayu.

Revolusi? Lagi jauh daripada perut orang Melayu. Tak pernah wujud revolusi dalam sepanjang sejarah orang Melayu wujud di mukabumi.

Melayu berubah memakan masa, Bagai batu yang melekuk dari titis air atap nipah. Bakarlah sentimen agama ataupun perkauman dalam jiwa orang Melayu. Kemuncaknya adalah amuk. Bukan revolusi. Bukan reformasi.

Tuesday 5 January 2010

Kristian - Islam - Yahudi

Sepanjang sejarah tamadun manusia, pertembungan antara tiga agama samawi ini tidak pernah kunjung padam. Yang kita marakkan adalah api permusuhan. Yang barangkali kita terlupa ialah hubungan perdamaian dan persefahaman.

Apabila umat Islam Andalusia dibunuh, dibuang, dimurtadkan oleh King Ferdinand dan Ratu Isabella, kita mengaitkan dengan angkara Kristian. Memang ada kebenarannya juga kerana mereka melakukan atas nama agama Kristian. Begitu juga apabila Ferdinand Magelan menyerang wilayah kesultanan Sulu di Mindanao, berjuang atas nama agama Kristian. Ramai Melayu dimurtadkan. British menganjurkan Perjanjian Balfour 1917 yang menyerahkan BaitulMaqdis, dibuat atas simpatinya Kristian pada aspirasi masyarakat Yahudi.

Soalnya benarkah ajaran Kristian dan Yahudi mereka daulatkan setelah mereka berkuasa?

Seperti juga dalam sejarah Islam. Memang ramai pihak yang bersuara atas nama menjaga kesucian Islam daripada ancaman Kristian dan Yahudi untuk meraih sokongan tetapi benarkah Islam itu benar-benar yang dapat memanfaatnya?

Agama samada Islam atau Kristian dan Yahudi hanya dijadikan upacara yang merasmikan legitimasi kuasa mereka sebagai penguasa. Bukan sebagai pendokong ajaran agama yang sebenarnya. Kebanyakannya begitulah.

Saturday 2 January 2010

Selamat Tahun Baru Snouck!

Belum habis kubaca buku Mohammadism, Kevin Brice pinjamkan satu lagi buku Snouck Hurgronje, `De Islam in Nederlandsch-Indie' yang telah dialihbahasa. Ada satu lagi konflik sejarah pemikiran aku.

Tempoh 17 tahun Snouck di Indonesia bukanlah satu tempoh yang singkat. Konfliknya dengan pegawai Hinda Timur Belanda seperti Van Heutz dan Colijn menambah-nambah lagi dramatik sejarah hitam Snouck dari kaca mata orang Islam.

Cerita Snouck berkahwin dengan puteri seorang ulama Jawa Barat dan Bandung, tinggal di Mekah, bergaul dengan ulama besar Hijaz tidaklah menarik simpati aku pada Snocuk. Karyanya sepatutnya diadili dengan dibaca sendiri. Bukan dibaca dengan perantara.

Jangan percaya kecuali kalian baca!