...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 30 August 2011

Komunispun Beraya Juga

1. Abang Mat Sabu jangan bimbang. Saman mungkin boleh menang. Akan tetapi sejarah komunis selama akan hitam selegam-legamnya dalam buku Sejarah. Itu silibus dari tadika hingga universiti di Malaysia.

2. Puak nasionalis biasa bersamping lengkap songkok hitam tinggi melangit. Puak tradisionalis pula, lilit serban menutup kepala yang tak berambut atau berambut uban. Puak sekularis kapitalis meraikan dengan mengedarkan sampul berisi wang untuk undi.

3 Puak-puak arwah Rashid Maidin beraya di Selatan Siam bagaimana? Ohh mereka juga beraya macam kita.

4. Selamat hari raya puak-puak Komunis seMalaya. Hentikah perang.


Khutbah Raya Yang Mengantukkan

1. Sebelum subuh, aku sudah mandi sunat hariraya. Nak tambah-tambah pahala yang ada sikit.

2. Berwirid panjang di masjid selepas solat subuh bagai menyambung talian Ramadhan yang berakhir.

3. Memang sebelum solat sunat aidil fitri, mengikut sunnahnya sarapan sedikit dulu.

4. Mendengar khutbah pak Imam muda mengantukkan. Khusyukku tersengguk-sengguk ke hadapan. Nasib baik tidak kebelakang. Jia tidak, alamat terlentanglah pahlawan Melayu terbilang ini.......

5. Apakah hendak kusalahkan nasi dagang yang terlebih kolestrolnya itu atau pak imam yang membaca khutbah itu?

6. Maaflah. Roh dan jasad.


Monday 29 August 2011

Peduli Apa Dengan Raya?

Hari ini teriakkanlah
kalimah untuk membesarkan perut
dengan mercun
dan lemang
bakarlah
helai ringgit
dengan asap
kemeyan keramat

Peduli apa dengan raya
kerana tanpa Ramadhan pun
kami tetap berpuasa

Aku sekadar mewakili
komuniti yang dilupakan
tanah tanpa air
bumi tanpa petrol!


Friday 26 August 2011

Tiada Lagi Salam Perantauan

1. Kini, tiadalah lagi sibuk hendak menghantar foto ke ruang salam perantau pada akhbar harian dan juga Harakah. `Nak masuk juga ke dalam Utusan?’ tanya aku pada anakku yang asyik memilih foto terbaik untuk dihantar sebagai ucapan pengganti diri. `Tak apa lah ayah, bukan semua kawan kita baca Harakah. Ada juga yang masih baca Utusan dan Berita’ . Satu jawapan yang agak boleh diterima. Aku biarkan anak-anak aku uruskan soal itu.

2. Meraikan Aidil Fitri samada di Istanbul, Norway, Swansea. Lampeter ataupun di Malaysia, sama tapi tidak serupa. Samanya, kami bersolat sunat Aidil Fitri. Khutbahnya pelbagai versi, dari English, Turki, Arab, Norwgien, Bangla dan Urdu. Bahasa Melayu tetap terus ke dalam hati.

3. Sayangnya, ramai pak khatib menjadi pembaca teks khutbah daripada memberi khutbah yang benar diperlukan.

4. InsyaAllah, raya ni, aku dengar khutbah raya dari Tok Guru Nik Aziz di Masjid Pulau Melaka.

5. Tentu sekali kami merindui khutbah Sheikh Muhsin di Swansea University Mosque.


Thursday 25 August 2011

Kembali Beraya di Tanahair

1. Sudah lima kali meraikan Aidil Fitri di perantauan. Dan empat kali berRamadhan di tempat orang. Tibalah kini meraikan keramatnya bulan mulia ini di tanahair sendiri.

2. Memanglah ada beza, ada yang sama jika hendak dilihat antara Malaysia dengan UK.

3. Berbaju Melayu dan berkurung kebaya kelihatan bergaya meskipun tidak begitu sesuai terutama pada musim dingin. Tapi kerana, hendak mempamerkan betapa tebalnya keMelayuan, maka sarungkan juga pakaian tradisi kita.

4. Biarpun makanan tradisional seperti ketupat, lemang, rendang kini mudah didapati di sini (dibungkus mengikut teknologi terkini), ia tetap tidak sama dengan di tanahair.

4. Apapun, semua itu tetap bumi Tuhan.

5. Selamat hari raya, maaf zahir batin.


Wednesday 24 August 2011

Politik Mercun Raya

1. Mercun, meriam tanah ataupun meriam katak adalah fenomena biasa menjelang hari raya. Tiba-tiba sahaja berdentum bunyi melantak kesunyian malam. Tidak kira di desa ataupun di kota.

2. Inilah waktunya, jari tangan terputus angkara ekspriment mercun yang tak menjadi.

3. Percayalah, seminggu dua lepas takbir raya tamat, hilanglah demam mercun atau meriam. Masing-masing menjadi lebih waras dan kembali normal.

4. Samalah dengan percakapan orang politik, dentuman dan percikan api mereka berapi-api hingga terbakar dan membakar kedinginan siang dan malam.

5. Mereka tidak pernah berhenti. Mercun politik berterusan. Meriam politik terus hala menghala sesama mereka bagi mempamerkan siapa yang lebih berdengung bunyinya.

6. Sempena raya ini, halakan sekali lagi meriam pada mereka. Kirimlah salam aidil fitri, maaf zahir batin. Meriam perdamaian. Politiknya begitulah.

Tuesday 23 August 2011

Melayu Yang Terjajah

1. Menanti detik hari untuk menyambut kemerdekaan tidaklah semeriah menunggu tabuh Hari Raya berbunyi.

2. Makna merdeka kini lebih kepada pensejarahan politik.

3. Hakikatnya, rakyat masih terpenjara dalam belenggu kemiskinan dan ketakutan yang panjang. Dari Pak Mat penjemur ikan masin hinggalah Pak Professor yang berfikir tidak habis. Kesemua terjajah dalam lingkaran kebergantungan kepada sang penguasa.

4. Apalah malang nasib pelajar di Universiti al Azhar yang mendapat biasiswa daripada Yayasan Terengganu diberikan surat tunjuk sebab. Apalah malang pelajar Melayu yang mendapat `elaun' terpaksa menutup mulut semata-mata sekeping cek yang bernama hutang pendidikan.

5. Malang sungguh nasib peniaga Melayu yang mendirikan warung di tepi jalan, terpaksa berhadapan saman Majlis dan tekanan sang penguasa.

6. Marilah kita laungkan MERDEKA seberapa banyak kali. Muga mendapat pahalanya (jika ingin mencari pengajarannya).

Monday 22 August 2011

Kisah Pemegang Kad Pengenalan Merah

1. 'Encik, ini rumput mau racun ka? Hari raya mau mari' seorang tua India beruban kerinting datang pag-pagi ke rumah aku. Dia tak puasa. Mulutnya menguyah sireh merah.

2. `Saya tak mau racun. Kasi potong bolehlah' Aku malas nak melayan. `Ayoo, ini rumput tarak bagus punya. Saya boleh kasi rumput baik punya. Tapi kena kasi racun dulu la' Dia memujuk.

3. Aku pendikkan cerita. Depan kereta Mazda buruknya ditampal bendera Malaysia. Cermin tingkapnya tidak boleh tutup. Kalau hujan, aku tau apa kan jadi orang dalam kereta itu. Patriotik sungguh orang tua ni.

4. Dia tunjukkan kad pengenalannya. Kad Merah. `Annai, apa pasal ini kad Merah?' . `Ayoo saya lahir sini, bapa saya lahir sini. Itu gomen suruh saya baca. Mana boleh saya baca. Saya sudah tua. Mau mati.'

5. `Saya sudah minta itu Anwar tapi tarak dapat'. Anwar? Anwar mana? `Itu keadilan punyala'. Aku mengangguk faham. `Saya sudah minta Samy tapi tarak dapat'. `Tak dapat juga' aku tambah simpati. Lepas itu, dimakinya Samy Vellu bertalu-talu. Marah sungguh pak cik tu pada Samy Vellu. `Itu lagi tarak guna punya orang!', `itu kaya tarak boleh kasi tolong orang susah'. Dia maki sambil meludah-ludah. Entah kerana dia marah sangat atau sireh merahnya sudah penuh dalam mulut.

6. Encik..... saya sudah 30 tahun baca beca itu pekan Teluk Intan. Itu ramai kawan-kawan saya di sana. Anak sudah besar-besar. Saya mau cari makan saja.

7. Aku faham. Bolehlah kau racun rumput aku yang semakin meninggi. Aku beri kembali kad pengenalan merahnya.

8. Untung kau Mismah berbanding Sankaran, pakcik India yang menyambung hidup dengan membersihkan halaman rumah orang.

Friday 19 August 2011

Jangan Begitulah, Pak Jeneral!

1. Sehari dua selepas Dewan Pemuda PAS mendedahkan penyelewengan undi pos dalam tentera, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd. Zin menyangkal sekeras-keras dakwaan tersebut.

2. Menurut bekas anggota tentera yang keluar dalam akhbar Harakah, mereka diperintah memangkah kertas undi sehingga lengguh tangan. Bayangkanlah, tentera yang gagah itu melaksanakan perintah pegawai atasannya.

3. Pak Jeneral, janganlah keras sangat statement tu. Semudah begitu Pak Jeneral menuduh `pengkhianat'.

4. Antara UMNO-PAS mendakwa musuh politik mereka itu sebagai pengkhianat. Sekarang, Pak Jeneral tambah lagi jumlah pengkhianat dalam negara. Wow ramainya pengkhianat. Di mana-mana!

5. Nanti tahap Pak Jeneral setakat Suhaizan Kayat dari Dewan Pemuda PAS sahaja. Atau Suhaizan dah naik marhalah?

5. Kesetiaan jangan diminta. Ia lahir daripada pengertian pada tanggungjawab.


Thursday 18 August 2011

Menentang Kristianisasi, Berdemonstrasi Depan Masjid

1. Orang Melayu-Islam ini pelik. Marahkan nyamuk, bakar kelambu. Cubit cucu, sindir menantu. Pencak silatnya berbunga-bunga sampai letih bertarung. Keris tak keluar, tubuh sudah bermandi peluh.

2. Orang Melayu-Islam masih terkongkong dalam tradisi lama, berseloka berpantun menyusun kata. Jarang bersuara terang dan terus. Berbelit seperti hujung Sungai Rejang.

3. Oleh sebab itu hendak marahkan agenda Kristianisasi, berbondong-bondong bawa orang berdemonstrasi di hadapan masjid sendiri. Maki-hamunlah puak kristinisasi sambil diselitkan kalimah `Allahu Akbar'. Songkok dan kopiah tidak lekang di kepala.

4. Marahkan musuh, bunuh rakan sendiri!

5. Betapa bijaknya kita orang Melayu.

Tuesday 16 August 2011

Cerita Berbuka Puasa di Gereja dengan Masjid

1. Oleh kerana tahun ini aku mula kembali berpuasa di tanahair, aku biasa berbuka di masjid atau surau.

2. Semalam, Richard Wong sempat menikmati berbuka puasa di Masjid Lama Changkat Lada. Para jamaah meraikan. Dia suka sambal belacan. Sayangnya aku tidak boleh makan, sakit mulut.

3. Hari ini, aku ajak Ricard berbuka di Pengkalan Pegoh, Ipoh. Dia akan ajak kawan Cina dia datang. Ini bukan pasal ajak makan. Ini kerana makanan yang lebih lazat dan sedap boleh didapati di Langkap. Keinginan untuk berbuka puasa bagi Richard adalah satu pengalaman baru.

4. Berkurun amalan tradisi berbuka puasa di tempat kita, jarang sekali kita jemput masyarakat bukan Islam berbuka puasa. Mengapa?

5. Apabila berlaku isu 12 orang Islam berbuka puasa di gereja, ia mencetuskan kembali isu `kristianisasi'. Apakah isu itu penting atau sekadar modal untuk orang politik kembali ke persada awam?

6. Islam-Kristian-Yahudi adalah agama samawi. Pertentangan antara ketiga-tiga agama ini lebih kepada faktor politik berbanding masalah antara agama itu sendiri.

7. Teringat sewaktu tinggal di UK. Berkali-kali kami berbuka puasa di dewan milik gereja. Bahkan kami berterawih bersama-sama. Di situlah kami bertemu orang Islam Afrika, Arab, Parsi dan juga muslim tempatan. Oleh kerana agama bukan faktor penting dalam mengisi agenda politik sekular, ia tidak pernah menjadi isu.

8. Sebaliknya di tanahair, agama sering dijadikan faktor penting untuk memperkukuhkan pengaruh politik peribadi dan kumpulan meskipun belum tentu intipati agama itu dihormati.


Monday 15 August 2011

Malaun Politik

1. Politik itu pelbagai. Terkadang boleh bercampur antara dosa dan pahala. Kebijaksanaan sangat diperlukan untuk meniti jambatan sehalus rambut.

2. Adapun, destinasi politik adalah untuk memperolehi kuasa. Sedangkan kuasa itu terlalu mudah untuk disalahgunakan.

3. Lalu, lahirlah malaun politik yang bertindak melebihi tatacara haiwan liar yang membunuh tanpa kasihan. Tidak lagi menggunakan pantun seloka dan budibicara yang sopan. Malaun politik akan mengaum menunjukkan taringnya nan tajam.

4. Malaun politik suka mencari kawan untuk dijadikan penyokongnya. Bukan rakan berburu, apatah lagi rakan makan setalam. Jika dapat mangsa tergolek lazat, malaun politik bersedia bertarung dengan kawan sendiri.

5. Hari-hari malaun politik berfikir, siapa lagi yang menjadi mangsanya.

Sunday 14 August 2011

Ramadhan Bulan Merdeka

1. Secara kebetulan, Ramadhan tahun ini jatuh pada Ogos yang menjadi bulan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara.

2. Tapi Tuhan tidak cipta sesuatu dengan sekadar kebetulan. Ada sesuatu yang ingin disampaikan dari setiap kejadian.

3. Ramadhan adalah bulan memenjarakan segala iblis dan syaitan dan diberikan manusia merdeka daripada pengaruh pujukan berbisa sang iblis.

4. Adapun nafsu adalah sebahagian dalam diri manusia sebagaimana jasad, rohani dan akal. Sepanjang Ramadhan, nafsu dikekang melalui ibadah yang berpanjangan dan berterusan.

5. Bila begitu, merdekalah kita!

Friday 12 August 2011

Cara Melihat Demonstrasi London Yang Kacau

1. Hampir setiap minggu (bahkan mungkin hari-hari) upacara demonstrasi satu ritual biasa dalam negara demokrasi sekular itu.

2. Demonstrasi dari pasal lubang longkang yang sumbat hinggalah kucing yang mati tersepit di pintu flat. Macam-macam ada.

3. Ada beberapa perkara bagaimana pemimpin politik dan media massa di Malaysia melihat tentang demonstrasi London yang kacau dengan kemalangan yang menimpa pada pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rosli.

4. Kejadian yang menimpa pada pelajar itu seperti ada kaitan dengan demonstrasi. Pihak polis, doktor, media, masyarakat tempatan dan pemimpin UK memandang serius kejadian itu. Bahkan diperbesar-besarkan statement David Cameron, cerita wartawan yang berkumpul di Hospital Royal London, di White Chapel, pihak hospital yang cepat bertindak, manakala pihak universiti yang ingin membantu sama dan sebagainya.

5. Ya, semua itu betul!

6. Tetapi ada satu perkara utama yang dilupakan oleh media di Malaysia; itulah cara orang British bertindak. Bukan kerana Mohd. Asyraf Haziq yang malang itu, bukan kerana demontrasi kacau itu tetapi itulah bagaimana media, pemimpin, masyarakat tempatan, hospital memainkan peranan mereka.

7. Jika berlaku satu kemalangan samada di jalanraya ataupun kebakaran rumah, pasukan keselamatan seperti polis, bomba, ambulan akan sampai segera. Bukan satu dua, bahkan kadangkala satu kemalangan kecilpun, tiga atau empat kereta polis atau ambulan yang datang memberikan bantuan. Wartawanpun sibuk ambil gambar. Itu biasa. Sebaliknya jika kemalangan kecil berlaku di Malaysia. yang mengerumuni mangsa ialah lima atau enam `tukang tarik kereta'. Polis belum sampai-sampai lagi.

8. Kejadian pecah rumah lazimnya berlaku di bandar-bandar besar yang ramai pendatang. Sebaliknya, di kawasan seperti Swansea, ia jarang berlaku. Bukan tidak ada.

9. Ruginya, kejadian tersebut berlaku selepas Bersih 2.0. Jika tidak, itulah modal tambahan untuk menyatakan betapa demontrasi boleh menjejaskan keselamatan dunia dan akhirat.




Thursday 11 August 2011

Air Asia Berbuka Puasa Dengan Menelan Sebiji MAS

1. Sekarang tibalah waktu berbuka puasa bagi kawasan Tony Fernandez dan rakan-rakannya tinggal.

2. Tanpa perlu berlapar, dahaga atau letih, maka majlis iftar jama'e yang dilakukan secara live selamat diadakan.

3. Majlis baca doa diadakan oleh Ustaz berkopiah putih berbelang halus hitam. Langgam doanya sarat keAraban sehingga kami terasa seakan terlalu hampir pada malaikat yang mencatat amalan kami.

4. Selamat berbuka puasa. MAS sudah masuk dalam perut mereka.

Monday 8 August 2011

'Political Punishment' dalam Pakatan Rakyat

1. Dalam politik sebenar tiada istilah `memaafkan' pada kesilapan. Meskipun kesilapan itu berlaku sebelum aqil baligh. Buku rekod tadika ataupun sekolah menengah akan dijadikan bahan bukti pengukuhan dakwaan. Oleh itu, ia akan dihukum sepanjang zaman. Selagi ada nadinya.

2. Anehnya, ia seperti tidak berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR). Sukar untuk aku mengketogorikan kondisi ini sebagai betapa `jiwa besar' pemimpin PR. Apatah lagi, jika hendak dikaitkan dengan PAS itu sendiri. Apakah ini dinamakan toleransi atau demi masa depan politik kita?

3. Contohnya, adegan lompat-melompat di kalangan beberapa pemimpin politik dilihat sebagai isu individu. Tiada kena mengena dengan kredibiliti dengan parti yang terbabit. Sedangkan secara normalnya, penyakit kronik itu menjadikan pengundi dan rakyat merasa jijik, geli geleman dan mengambil langkah berjaga-jaga dan semakin curiga.

4. Menjelang PRU13, PR seakan langsung tidak belajar atau tidak buka kitab sebelum ingin buat keputusan. Terdapat beberapa pemimpin PR sedikit angau dengan istilah `politik baru' yang dicipta reka untuk kelihatan dilihat hebat.

5. Ingatlah, memang kerja orang politik mencipta imaginasi yang merentas langit ke tujuh hanya dengan sepatah dua kata.

6. Oleh itu, ada waktunya,`political punishment' adalah bertujuan untuk mengajar mengenal diri. Setidak-tidaknya tidaklah si bangang berfikirnya bagai cendiakawan, si tempang memarahi lantai yang tak rata.

7. PAS jangan takut melaksanakan `political punishment' sebelum rakyat membuat `political punishment' mereka sendiri dalam PRU 13. Pada ketika itu, hukuman rakyat akan bersifat menyeluruh.

8. PAS perlu PR sebagaimana PR perlukan PAS itu sendiri. Ini tidak bermakna PAS seharusnya berkepit memanjang dengan si kurap yang korup tanpa mengubati terlebih dahulu.

9. Setidak-tidak dijentik telinga pekak badak atau dicubit perutnya yang boroi itu!






Friday 5 August 2011

Salam Ramadhan Yang Terlewat

Sudah berhari hari berada pada bulan puasa
Maka sudah berhari-harilah kita ditawarkan
pahala berganda-ganda

selamat meraikan hadirnya
Ramadhan mulia