...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday 14 August 2020

Charles Darwin, Alfred Russel Wallace dan Buang Muhamad Ali

 

Buang atau nama panggilan Inggerisnya Ali Wallace hidup membesar bersama dengan abangnya, Panglima Putad yang mahir dalam perubatan tradisional yang diwarisi daripada bapa mereka. Seorang lagi abang Buang ialah Panglima Seman adalah orang kuat dan kepercayaan James Brooke. Ini memudahkan Buang bergaul dengan masyarakat Barat di Sarawak. Alfred Russel Wallace menemui Buang melalui hubungannya dengan James Brooke yang mempunyai kenalan dengan orang tempatan di Sarawak.

Buang mengikut ekspedisi Alfred Russel Wallace di Singapura, Bali, Ternate, Surabaya, Betawi, Makasar, Lombok, Aru, Bangka dan Palembang. Buang Muhamad Ali akhirnya menetap di Ternate, kampong halaman isterinya dan dipercayai meninggal dunia di situ juga.

Mengikut tulisan Charles Brooke dalam bukunya ‘Ten Years in Sarawak’, beliau menganggap bahawa kebanyakan orang Melayu sebagai teruk kecuali Panglima Seman dan Panglima Putad. Charles Brooke memuji kedua-dua abang Buang itu. Panglima Seman telah dianugerahkan tanah oleh James Brooke sehingga menyebabkan ada pembesar Melayu lain berasa dengki. Akibatnya, Panglima Seman telah dituduh cuba membuat penentangan keluarga Brooke secara senyap-senyap.

Khabar angin itu sedikit sebanyak mempengaruhi keluarga Brooke dan hubungan antara mereka semakin renggang. Tambahan pula, Panglima Seman mempunyai bengkel besi yang memungkinkan menjadi tempat membuat senjata api yang boleh mengancam kuasa keluarga Brooke. Akhirnya, Panglima Seman telah menghilangkan diri pergi ke Sambas untuk mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Ketika itu, keluarga Brooke semakin mencengkam kuasa dan menjarah khazanah pribumi di bumi  Sarawak.

 

Thursday 6 August 2020

Ali Wallace: Saintis Melayu yang terbuang

Teori evolusi yang dikemukakan oleh Charles Darwin sebenarnya bermula dari Alam Melayu melalui usaha pengumpulan species tumbuhan dan binatang oleh Alfred Russel Wallace. Alfred Russel Wallace mengembara di Alam Melayu pada tahun 1855 hingga 1862. Sepanjang pengembaraan dan penyelidikan beliau telah dibantu oleh ramai orang tempatan. Hasil kajian Wallace dihantar ke Charles Darwin di England.

Antara pembantu Wallace yang sering disebut dalam bukunya ‘The Malay Archipelago’ dan ‘My Life’ adalah Ali atau nama sebenarnya Buang Bin Muhamad Ali yang berasal dari Sarawak. Menjadi kelaziman orang Inggeris memanggil nama keluarga sebagai nama seseorang. Buang membahasakan dirinya sebagai ‘Ali Wallace’ terutama di kalangan orang Barat bagi memudahkan hubungannya dengan mereka.

Seorang pembantu Alfred Russel Wallace adalah Baderoon, remaja Melayu dari Makasar. Wallace juga mempunyai pembantunya yang berbangsa Inggeris bernama Alllen dan ramai pembantu tempatan lain namun Ali dianggap sebagai orang kepercayaan Walace dan memiliki kehebatan ilmu tentang alam dan masyarakat.

Sayangnya, nama Buang Bin Muhammad Ali seperti ‘terbuang’ dalam lipatan sejarah sains evolusi yang telah meledakkan satu revolusi intelektual Barat.  Sebuah artikel yang bertajuk ’I am Ali Walace’ The Malay Assistant of Alfred Russel Wallace’  tulisan John Van Wyhe dan  Gerrel M. Drawhorn dalam JMBRAS Vol. 88 Part 1 (2015) menyebut tentang remaja Melayu Islam bernama Buang yang menjadi pembantu ahli sains Inggeris itu. Buang bertugas dengan Wallace ketika berusia 15 tahun dan tinggal di Kampong  Jaie, Santubong di pinggir Sungai Sarawak.

Buang mula bertugas dengan Walace pada 1855 dan tidak menyertai semua ekspedisi Wallace di kepulauan Nusantara. Pada 1869, Buang berkahwin dengan gadis Melayu Ternate dan terus menetap di Ternate meneruskan kajian sainsnya di situ. Beliau membina makmal dan membuat banyak eksperimen dan catatan sains.

Seorang jurnalis Perancis pada 2015, Dr Isabella Desjeux telah membuat satu dokumentari tentang saintis hebat ini. Penemuan kehebatan Buang bermula apabila dengan penemuan kotak besi yang tertanam dalam tapak pembinaan sekolah di Ternate. Kotak tersebut mengandungi buku-buku catatan Buang Bin Muhamad Ali yang mengandungi kajian sains. Catatan-catatan itu telah disimpan dan dikaji oleh Dr. Ola Madunagu, University of Abuja, Nigeria.

 

Sumber:

https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/

https://www.thepatriots.asia/ali-wallace-buang-saintis-melayu-sarawak-yang-dilupakan/

 


Kebangkitan Semula Aku Melayu di Kota Inggeris di blogspot.com

Kali terakhir saya menulis di blog 'Aku Melayu di Kota Inggeris' ialah pada 2015.  Ketika itu, saya beralih ke medium Facebook dan sedikit demi sedikit saya tinggalkan blogspot.com. Saya mula menulis di talian blogspot pada 2006 ketika saya berada di Swansea. Teknologi cepat berubah dan berkembang. Sebagai penulis kadangkala tiada masa untuk mengikuti kecenderungan semasa. Namun sebagai penulis tiada pilihan. Penulis akan mencari medium yang ideanya dapat dibaca. Ini kerana tanggungjawab penulis bukan sekadar menulis sahaja.  

Saya cuba menulis kembali di blogspot.com.