...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday 29 November 2009

Politik itu Pengorbanan

Sewaktu Brutus membunuh Ceaser,
kukorbankan kau pemimpin agung
demi empayar Rom.

Sewaktu Hang Tuah membenamkan
Taming Sari ke perut Jebat,
kukorbankan kesetiakawananku
demi kedaulatan Sultan Melaka.

Sewaktu Tok Mat Bulat (Dato Mohammad Rahmat)
digugurkan dari Kabinet oleh Dr. Mahathir Mouhamad,
ini pergorbanan demi parti.

Sewaktu-waktu seorang pemimpin tersisih,
maka yang bangkit berdiri akan mengatakan
inilah pengorbanan perjuangan.

Thursday 26 November 2009

Salam Aidil Adha

Telah kucuba Ismailkan segala yang ada
agar terasa keIbrahiman
dalam diri

Sunday 22 November 2009

'Shahid' Komunis

Baghat Singh adalah pejuang kemerdekaan India sezaman dengan Gandhi. Mati di tali gantung British. Orang India menyebutnya sebagai Shahid Baghat Singh. Berkahwin tetapi tidak pernah bersama dengan isteri demi seruan revolusi. Lebih 10 filem menceritakan perjuaangannya. `Ay Watan' dalam filem Baghat Singh adalah lagu `wajib' pada rakyat India. Berjuta-juta sudah menonton. Termasuk aku. Meskipun dia komunis karat, pemikirannya dibenarkan berada di tanahair. Sebab dia Hindustan, bukan Cina seperti Chin Peng.

Saturday 21 November 2009

Wednesday 18 November 2009

Tip Pemimpin Malaysia

1. Bagi projek pada orang kanan sendiri. Sikit-sikit boleh bantu diri kita sendiri waktu sesak.

2. Kemudian, simpan semua rekod dan maklumat apa projek yang diperolehi orang kanan sendiri. Sebab belum tentu orang kanan akan terus di kanan kita. Kalau ada apa-apa berlaku akan datang, buka rekod!

3. Apabila wartawan tanya, selalulah bercakap, 'insyaAllah kita, siasat'.

Tuesday 17 November 2009

Biar Betul Berita Ini?

Kota Seputih berperang lagi atas nama demokrasi. Tuang lagi sebanyak janji dan projek mee maggi. Tadahlah sebanyak mana yang korang mampu. Sebab tuan hakim bilang, cakap Speaker DUN Kedah ada betul.

Harap panas biarlah sampai ke petang.

Monday 16 November 2009

Kronisme dan Nepotisme

Pantang jumpa istilah baru, guna selalu. Biasanya orang tidak ingin mendalami makna istilah. Sekadar ingin tahu makna yang selapis sahaja. Sahabat paling rapat Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja dijamin syurga oleh baginda tetapi diberikan kedudukan yang tinggi dan baginda sendiri menantu kepada Syaidina Abu Bakar As Sidiq r.a. Ali k.w dan Syaidina Uthman r.a. dijadikan menantu baginda.

Kualiti utama pemilihan ataupun pelantikan mereka adalah kemampuan untuk memperkukuhkan pengaruh dan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. selaku pembawa risalah al Islam. Sejarah telah membuktikan bagaimana pengorbanan mereka.

Kalau lantik kawan, terus sebut kronisme. Kalau pilih ahli keluarga, langsung dihukum nepotisme. Kita tunggu generasi hadapan menghukum pelaku 'kronisme' dan 'nepotisme' hari ini. Atau penghukum hari ini akan dihukum sebagai kelompok kurang akal.

Wednesday 11 November 2009

Pangkor 1874: Mesyuarat Orang Melayu

Memang baginda sudah ditabalkan sebagai Sultan Perak. Ini tidak ada kena mengena majoriti Raja Abdullah sedikit berbanding dengan undi yang diperoleh Raja Ismail. Ini kerana Raja Abdullah bijak mengurus persepsi Inggeris. Pergaduhan antara kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin menyebabkan lombong bijih timah tidak beroperasi. Waktu adalah bijih timah. Sehari tidak mendulang bijih, bermakna rugi beribu-ribu ringgit.


`Beta tidak puas hati. Mendidih hati beta.’ Sultan Abdullah menahan geramnya. Bibirnya digetip rapat-rapat. Rasa nak menelan sesuatu. `Kome, buat surat pada Raja Bendhara, Menteri, Seri Maharaja Lela, Tok Muda Rafar, Panglima Kinta……..’ Baginda terhenti sejenak, difikirkan lagi siapa pembesar Perak yang boleh dibawa berbincang. Ini soal penting. Ini soal maruah orang Perak. Pantang orang Perak dicabar. Pantang orang Perak dimalukan. Kulup Mat Ros menunggu siapa lagi nama yang perlu dijemput. “….ha…jemput juga, Temenggung dan Orang Kaya Mat Arshad” Baginda senyum puas. Cukup korum,


“Bagaimana dengan Tok Maharajalela dan Tok Sagor, tuanku?” Tanya Kulup Mat Ros, takut-takut tuanku terlupakan mereka. Maklumlah kedua-dua pembesar Perak itu sangat rapat. `Tak payah, tak payah…..dema datang tak pakai surat jemputan’ Sultan Abdullah memang tahu sangat perangai pembesar. Semua besar kepala. Semua kena pakai adat. Nak buat mesyuarat, mesti hantar surat. Bukan senang, masa itu bukan ada Pejabat Pos macam hari ini. Jilat setem, kemudian masuk peti pos. Tunggu tiga empat hari, sampailah. “Tentang surat Raja Yusuf, biar patek yang buatnya, Ampun tuanku” Syahbandar menawarkan dirinya. Dia tahu, sakit hati Raja Yusuf pada baginda belum terubat.


Rumah Haji Mat Yasin di Durian Sebatang tengahari itu kelihatan sibuk. Ramai yang berdiri di laman rumah Haji Mat Yasin itu. Ada kenduri. Kambing tiga ekor dan beberapa ekor itek dan ayam jadi lauk. Berselera mereka makan. Maklumlah ada sambal tempoyak. Kenduri tengahari ini ditaja oleh Laksamana yang sememangnya kaya raya. Setiap kapal atau perahu yang berlabuh dan lalu akan dikutip bayaran. Kecil besar kena bayar. Lagi banyak kapal atau perahu yang berurusan di Sungai Perak, makin besarlah keuntungan Laksamana. Kenduri ini sangat penting. Biarlah pembesar Perak kenyang sebelum mereka bermesyuarat. Memang sudah menjadi adat orang Melayu. Sebelum mesyuarat, agenda utamanya adalah jamuan makanan. Itulah yang difikirkan. Nak buat mesyuarat kenduri kahwin, kena buat kenduri dulu. Nak buat kenduri kecil, mesti ada minum-minum dulu. Paling tidak biskut kering atau kerepek pisang atau cekodok dengan kopi O. Mesti. Itu adap istiadat orang Melayu bermesyuarat atau berusrah.


Seperti biasa mereka bermesyuarat. Mereka bersila di ruang hadapan rumah Haji Mat Yasin yang besar itu. Ramai yang tak datang tapi cukup korum kerana yang tidak datang hantar wakil. Bendahara, Seri Maharaja Lela, Temenggung tidak hadir. Sultan Ismail dan Raja Yusuf juga tidak hadir. Sebelum masuk agenda pertama, Sultan Abdullah menyeluk poketnya. Semua memandang. Takut-takut ada sampul berisi wang untuk elaun kehadiran mesyuarat penting itu. Mereka tahu, Sultan Abdullah sekarang sudah banyak sumber terutama dari Cina-cina tokey lombong.


Sultan Abdullah membuka sampul perlahan. Semua yang ada memandang pada sampul berwarna putih itu. `Ni surat daripada Sultan Ismail’, Sultan Abdullah memaklumkan pada yang hadir. Tarik nafas. Lega. `Laksamana, kome bacakan surat ni, beta tak lupa bawa spact mata’ Titah Sultan Abdullah membuat alasan untuk tidak melepaskan rokok gulungnya yang tersepit di celah bibirnya. Yang lain diam anguk. Laksamana pun berdiri membaca surat itu. Macam nak bersyarah. `Terima kasih atas jemputan mesyuarat. Beta menerima surat daripada Laksamana. Pun demikian, beta mohon maaf kerana tidak dapat hadir mesyuarat yang penting hari ini. Beta ada uzur syarie. Beta memang mahukan agar Birch sebedebah itu dihapuskan. Tidak hari ini, hari esok, tidak minggu ini, minggu depan, tidak bulan ini bulan depan. Tidak tahun ini, tahun depan. Lawan tetap lawan! ‘Reformasi! Reformasi Reformasi! Ahli mesyuarat yang hadir berteriak ramai-ramai. Semangat.


“Hoi….apa reformasi-reformasi ini? Itu perkataan Inggerislah. Takbirlah! Bodoh!’ Sergah Sultan Abdullah. Allah Akbar! Allah Akbar! Allah Akbar! Ahli mesyuarat bertakbir dengan penuh semangat. Orang yang ada di luar rumah Haji Mat Yasin pun ikut takbir bersama. Yang tengah makanpun tersembur-sembur keluar dari mulut kerana nak itu sekali bertakbir.


Sultan Abdullah melirik ke arah Laksamana. Baginda menggerakkan kepalanya isyarat untuk Laksamana sambung balik bacaan surat Sultan Ismail yang terhenti tadi.


“Beta sokong apa jua keputusan mesyuarat hari ini. Sekian, terima kasih. Beta . Sultan Ismail.’

Sunday 8 November 2009

Dengki Melayu Nampak Bersopan

1. Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w wafat, para sahabat sibuk berhimpun di Balai Saqifah. Mereka bincang siapa yang patut mengetuai umat Islam selepas ketiadaan nabi. Dalam pertemuan tersebut, para sahabat Nabi berbincang tetapi sesetengah pendapat mengatakan berdebat, bertengkar sampai ungkit tentang merekalah yang banyak membantu nabi sewaktu nabi Muhammad berada dalam kesusahan. Ada yang mengungkit tentang susur jalur keluarga masing-masing. Macam-macamlah. Sekali pandang macam tak patut betul sahabat Nabi (termasuk yang dijamin masuk syurga) bertengkar kerana nak cari pengganti nabi. Kalau sekarang, masing-masing claim sebagai orang Kedah...orang Kelantan....orang Perak.... Tak orang Jawa, orang Bugis....Mandeling, Banjar.....

2. Ada yang mengatakan para sahabat memang membelakangkan Syaidina Ali yang sibuk mengurus jenazah Nabi. Ada riwayat menyebut, Syaidina Ali patut jadi khalifah kalau beliau hadir dalam mesyuarat itu. Kalau..

3. Bagi orang yang mahu menerima Abu Bakar sebagai khalifah, mereka terus memberikan ketaatan kepadanya. Sebaliknya mereka yang enggan, sering mengulangi cerita apa yang berlaku di Balai Saqifah.

4. Keadaan inilah yang berlaku dalam mesyuarat, seminar, persidangan dan sebagainya. Tak kira apa jenis mesyuarat atau apa pertemuan. Keputusan mesyuarat atau pertemuan, ramai tak ambil kisah. Yang dikisahkan ialah cerita dalam mesyuarat atau pertemuan. Memanglah dalam mesyuarat, kita berdebat, bertengkar, berhujah dan kadangkala sampai tumbuk meja untuk menguatkan pendapat. Memang ada jenis yang datang mesyuarat bawa telinga tapi apabila balik mulut pula sibuk pet pot pet pot.....

5. Orang Melayu (UMNO ke, PAS ke, PKR ke....) memang tidak mahu bergaduh depan-depan terutama dalam mesyuarat. Nanti dipanggil orang tak beradab. Orang Melayu dulu-dulu, kalau dengki, marah, tak reti nak bantah......mereka main hantu (macam Sultan Abdullah nak bunuh J.W.W Birch) ataupun main santau..... sekarang depa main internet.....sejenis makhluk halus jugalah. Banyak yang halimunan. Anonymous.

6. Sebab itulah, sesetengah orang Melayu memang kelihatan sopan santun walaupun dalam hati penuh rasa dengki yang meruap-ruap.

Buat Sang Nakhoda

Kulihat ombak makin bergelora, biarlah bahtera terus berlayar.

nakhoda lebih mengerti bicara laut, angin dan langit
dari aku di seberang benua
mencatat setiap bintang
yang beredar,
sejarah mengajar
kita jua yang jarang belajar:

"Kita selalu berbangga dengan
monyet di hutan
biarpun monyet itu comel, jinak
dan menghiburkan
Jangan bergantung pada ekor
monyet
berdirilah pada kaki sendiri"

06 November 2009 22:51

Swansea

Friday 6 November 2009

Senarai Nama Agen UMNO

Berikut adalah senarai nama-nama agen UMNO seperti yang dikutip dari blogger dan mulut ahli politik. Presiden PAS, TG Abdul Hadi Awang, Ust. Nasaruddin Mat Isa, Dato' Mustafa Ali, Dr. Hasan Ali, Ketua Ulama PAS Pusat, Ust. Harun Taib. Banyaaaaakk lagi.

Mufti Perak, Dato Harussanipun termasuk dalam senarai sebagai agen UMNO. Terkini, Dr. Abdul Aziz Bari dan orang-0rang yang nak jatuhkan Presiden PAS pula disebut sebagai agen UMNO.

Hebatnya UMNO! Oleh sebab itulah, Malaysia terus kekal dibawah kangkang UMNO dulu, kini dan se......

Wednesday 4 November 2009

Bencilah Mereka!

Memang mudah untuk membenci mereka
kerana mereka bukan kita

Semakin ramai yang bukan menjadi kita
semakin membarah benci
mendalam balam
hingga memutus segala
urat rasional dan sejarah semalam.

Ayoh mari kita benci mereka
kita perbanyakan garisan yang memisahkan antara
puak kita dengan puak mereka!


* Biasanya kebencian disaluti dengan istilah yang suci dan murni seperti demi perjuangan, kebenaran. Demi bangsa dan negara. Lalu, tidak kira samada ahli politik, akademik, kakitangan kerajaan dan swasta, blogger, kebencian pada seseorang selalu dianggap sebagai benar lagi dibenarkan. Begitulah mudahnya membenci dari mencintai.

Monday 2 November 2009

Tangkap Dr. Asri, Dakwa Dr. Hasan Ali

JAIS di bawah pentadbiran Exco Agama yang dipengerusikan oleh Dr. Hasan Ali. Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Itu semua orang tahu.

Dr. Asri semakin glamer. Dr. Hasan Ali semakin gelisah. Tentu ada yang suka.

Sunday 1 November 2009

Metos Ketokguruan dalam PAS

Semua aku respect. Dua-dua tok guru. Bukan pasal ketokguruan mereka sahaja tetapi kesederhanaan hidupnya itu memang menyenangkan. Senang memandangnya. Tapi untuk aku sendiri, belum tentu boleh buat. Tok Guru bukan maksum. Dan tiada siapapun terfikirkan begitu. Ketidakmaksuman seseorang pula bukan boleh dijadikan alasan untuk mengkritik, mengutuk apatah lagi menghina.

Konsep kepimpinan ulama tersasar daripada makna sebenarnya. Makna sebenar bukan daripada tulisan atau ucapan. Makna sebenar adalah daripada pemahaman bagaimana proses konsep itu berkembang dan dikembangkan. Kepimpinan ulama adalah idea untuk melakukan perubahan parti. Memberi nafas baru. Rebranding. Ia tidak salah bahkan diperlukan. Tajdid.

Bidaah daripada pengembangan idea kepimpinan ulama apabila rasa takjub dan taasub kepada seseorang yang diistilahkan sebagai ulama. Kesilapan manusia yang ada pada seorang ulama didiamkan. Kelompok ini apabila ia membarah, kesilapan ulama disucikan oleh para pengikut yang taklid. Kemuncaknya, lahirlah kelompok yang marah, keciwa terhadap kepimpinan ulama dan seterusnya mengaitkan dengan kelemahan golongan ulama dalam memimpin. Kedua-dua kelompok akan bersaing.

Persaingan akan melahirkan jalan pertembungan secara gelap dan terang. Ada watak sebagai tok dalang, pak turut, pak pacak dan sebagainya. Siapa watak utama. Kadangkala, pengarang novel itu sendiri adalah watak utamanya. Dia akan membunuh watak-watak yang tidak diperlukan dalam perjuangan. Tak pasti, samada Tok Guru bercakap atas kapasitinya sebagai Murshidul am, Presiden ataupun sebagai manusia biasa. Setiap patah kata tok guru akan disyarah dan ditafsirkan oleh pengikut secara taklid dan taksub.

Pertembungan pendapat dalaman PAS ataupun mana-mana organisasi politik, selalu dijadikan sebab untuk menyingkirkan kelompok yang berbeza pendapat. Ada yang menyatakan tindakan tersebut macam komunis. Bahkan dalam organisasi ataupun negara demokrasi sekalipun, mereka mempunyai kecenderungan untuk mewujudkan satu pendapat, satu kelompok, satu usrah, satu kepala dan akhirnya macamlah satu Malaysia!

Oleh kerana metos ketokguruan terlalu tebal. Sukar dihakis. Caranya adalah menarah akar-akar yang menjadi penyokong kepimpinan tok guru. Taruhlah racun pada orang kanan mereka. Biarkan mereka mati kering dalam politik. Tidak lama paling tidak, lambat laun racun itu menjalar juga ke tubuh tok guru yang menunjangi kepimpinan ulama. Membahagikan kepimpinan kepada dua kelompok tok guru dalam PAS saling tidak tumpah memecah karismatik Dato Asri Hj. Muda dengan pimpinan kanan dalam parti. Lalu dilabelkan Dato Asri sebagai nasionalis berbanding Islamis. Meskipun Dr. Burhanuddin al Helmy dan Zulkifli Muhamad sebenarnya lebih nasionalis berbanding Dato' Asri. Naif sekali dalam memahami maksud nasionalis dan Islamis.

Kepinsulannya, apa yang berlaku dalam PAS hari ini adalah proses penyingkiran kepimpinan. Untuk kelihatan lebih demokrasi, lebih sopan lalu disebut sebagai proses pemulihan, pematangan parti, pengukuhan ataupun proses pembersihan.