...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 29 April 2009

Ada Orang Melayu

Ada orang membaca dengan akal
Ada orang membaca dengan hati
Ada orang membaca dengan budi
Ada orang membaca dengan emosi

Dari situ kita kenal bagaimana
panjang tidak akalnya,
dalam singkat hatinya,
cetek tinggi budinya,
luas sempit emosinya.

Ada orang menulis dengan tangan
ada orang menulis dengan kepala
ada orang menulis dengan kaki
ada orang menulis dengan mata

Dari situ kita kenal bagaimana
cacat elok tangannya,
berotak tidak kepalanya,
kuat lembik kakinya,
sinar kelat matanya,

Sajak ini aku tulis spontan bila membaca blog Nik Abduh dan Nasaruddin Tantawi semalam. Lepas gemuruh dalam kelambu Umno, kini giliran gempita dalam rumah PAS. Semua gara-gara hendak mencari pemimpin. Benarlah seperti hikayat lama, ketika dilahirkan seorang putera, gegak gempita guruh di langit, kilat sambar menyambar......

Sebenarnya samada orang PAS atau Umno yang sememangnya Melayu begini.....

Mereka bergaduh dari jauh
Dekat mereka senyum, bersalam dan berpelukan
Lengkuk bibir tak sama lengkuk di hati
Marah orang Melayu cukup bersantun
Bising di belakang
Depan duduk bersimpuh
Diam tetapi berdendam
Cemburu melihat orang maju
Senang tengok orang susah
Bercakap tidak, mengumpat bertan-tan
Mudah maafkan tetapi sukar melupakan
Mengungkit jika disakit
Berbisik sebelum bercakap
Berfikir selepas terlajak

Saturday 25 April 2009

Sajak Untuk Kalian

Setiap kali pilihanraya diadakan
adalah sambutan kenduri kematian
akal budi
yang diraikan secara besar-besaran
dengan bendera
lambang
dan manifesto

Dan sering langit pagi itu
serta bumi, gunung yang berdiri hampir lumpuh
mendengar sang pemimpin melaungkan
suara keadilan,
suara kebajikan
dan suara keamanan
dengan kata yang mengisi perut
dan otak rakyat

Sedalam-dalamnya dilaungkan daripada
awal hingga penghujung pidato
di kaca tv, pasar, dewan dan mimbar masjid
betapa aku juga mahukan keadilan
kebajikan
dan keamanan

Sedang di luar sana,
berpuluh ribu mahasiswa mencari kerja
masih terus berbangga dengan handset
yang dibayar oleh poket ibubapa mereka sendiri

Sedang di luar sana,
beratus ribu petani mengais subsidi
terus membajak tanah, memugar tanaman
untuk membayar zakat

Sedang di luar sana
beratus ratus ribu pekerja di kilang dan pejabat
beratur membayar hutang keliling pinggang
bil kehidupan, saman, tuntutan lapuk
dan yuran persekolahan anak

Lalu siapa yang menang
membakar si kalah searang-arangnya
agar terus menjadi abu

Kemudian, dilaungkan lagi
suara untuk keadilan,
kebenaran
dan keamanan.

Di luar sana, berjuta-juta rakyat
tidak lagi bertanya
keadilan
kebenaran
dan keamanan
untuk siapa?

Kerana keadilan, kebenaran dan keamanan itu sudah
dilenyapkan selepas kemenangan.

Swansea. 25 okt. 2009

Thursday 23 April 2009

Fenomena Susan Boyle


1. Stop kejap cerita politik. Kali ini cerita tentang kemunculan `Sherk' di UK. Kalau dalam filem Melayu klasik, ia merujuk kepada watak seniwati Sarimah yang berkulit hitam. (aku lupa lak tajuk filem itu). Tiba-tiba nama Susan Boyle menjulang naik. Hitnya di internet dalam tempoh seminggu lebih 30 juta. Meski UK sekarang dilanda ekonomi teruk, kemunculan Susan Boyle seperti menghentikan kebimbangan itu. Kalah fenomena Obama, beb!

2. Susan Boyle masuk pertandingan `Britain's Got Talent'. (Korang tengok sendirilah kat internet). Selain daripada bakatnya, kekuatannya terletak pada kejujuran dan keberaniannya untuk menjual bakatnya yang terpendam, yang tak pernah diberikan kesempatan sebelum ini.

3. Ramai mengira, bakat penyanyi itu lebih kepada susuk tubuh. Oleh kerana jujur itu sukar diukur dan ikhlas sukar dipandang, ramai mengukur dengan perkiraan persepsi yang salah dan sesat pada seseorang.

4. Aku teringat sewaktu aku berada di tingkatan satu di Sek. Men. Sultan Abdullah, Chenderong Balai. Aku dipilih oleh kawan-kawan aku untuk jadi Ketua Kelas. Aku tak mau sebab aku seorang saja yang dari Sekolah Rendah Sg. Lampam di dalam kelas itu. Tak ada geng atau istilah sekarang kroni. Semua kawan baru. Aku tanya mengapa mesti aku? Depa kata, sebab ko pakai cermin mata!

Wednesday 22 April 2009

Perangai Sesetengah Orang PAS

1. Ada sesetengah orang membahagikan kepimpinan PAS ini kepada tiga jenis; ulama, profesional dan aktivis. Walaupun aku kurang bersetuju, tetapi itulah yang popularnya. Ini kerana ada waktunya, ketiga-tiga itu bertindan antara satu sama lain. Ada sesetengahnya tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan tetapi oleh kerana dia ulama, profesional dan aktif, maka dianggap sebagai pemimpin.

2. Pemimpin yang baik apabila ia mampu memimpin dan dalam masa yang sama, dia boleh dipimpin oleh orang bawahan. Yang terbaik di kalangan kamu adalah orang yang memberi manfaatkan kepada orang lain. Menyedari betapa PAS pada peringkat awal memerlukan pemimpin yang baik, Dr. Abbas Elias (Presiden PAS Kedua) telah merelakan pimpinan pemudanya mencari kepimpinan baru. Akhirnya, mereka telah membawa dua tokoh besar ke dalam PAS iaitu Dr. Burhanuddin al Helmy dan Dr. Zulkifli Muhamad. Meskipun personaliti kedua-dua tokoh ini dan Dr. Abbas Elias tidak susuk ulama tetapi jiwa dan pemikirannya adalah setaraf ilmu ulama. Akhirnya PAS berjaya dengan menguasai Kelantan dan Terengganu dalam PRU 1959.

3. Antara faktor kejayaan PAS ketika itu adalah kebijaksanaan Dato' Asri Hj. Muda sebagai Setiausaha kerja PAS pertama membuat percaturan politik PAS. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu telah membawa semua pimpinan tertinggi PAS Pusat bertanding di Pantai Timur. Beliau dari seorang penoreh getah di Padang Rengas, mengajar di Maahad Yahyawiah, jadi tukang taip surat di Kota Bharu dan sekaligus menjadi aktivis parti yang tidak pernah kenal penat lelah. Beliau berjaya membawa PAS sebagai sebuah parti pembangkang di peringkat nasional menjadi parti kerajaan dengan mewujudkan kerajaan campuran dengan Perikatan. Akhirnya, beliau tersingkir juga setelah ada gelombang dalaman parti yang mahukan perubahan kepimpinan.

4. Kalau nak lanjut panjangkan sejarah, berjela-jela nanti. Ringkasnya, susahlah berjuang dengan PAS. Masa pemimpin susah naik bas, naik kereta yang selalu meragam, siapa pun tak kisah. Jihad beb! Jual keropok, jual buku selepas ceramah untuk cari duit poket. Duit ceramahpun tak lepas minyak dan tol. Join MLM. Ikhlas dalam hati. Tapi bila pemimpin sudah dapat kuasa dan agak senang sedikit, berebut orang nak cium tangan, sanjung puji, iring sana-sini dan seribu satu lakonan yang meloyakan.

Wednesday 15 April 2009

PAS Mula Mencari Kepimpinan Baru

1. Pemilihan Barisan Kepimpinan UMNO sudah berlalu. Biar apapun kritikan terhadap proses pemilihan dan barisan kepimpinan baru UMNO, parti itu akan bernafas lebih semangat. Agenda perjuangan parti telah dinilai kembali, strategi baru akan dibentuk dan kesan politik kepimpinan baru itu akan dapat dinilai setahun dua akan datang. Tiga pilihanraya kecil yang lepas tidak boleh dianggap kayu ukur kepimpinan baru. Jika hendak digunakan, ia hanya untuk menyedapkan hati penyokong Pakatan Rakyat sahaja.


2. Kini, proses pemilihan Barisan Kepimpinan PAS sudah bermula di peringkat akar umbi. Mesyuarat cawangan-cawangan mungkin hampir selesai dan sudah ke peringkat mesyuarat kawasan.


3. Kayu ukur pemilihan kepimpinan PAS adalah mudah. Setakat ini, penggunaan politik wang tidak popular tetapi kemungkinan itu akan wujud jika tidak dibendung. Kayu ukur yang biasa digunakan oleh ahli PAS memilih pemimpin adalah kebolehan pidato, kekerapan keluar di Harakah, ada title tertentu dan ada kedudukan YB. Soal kebolehan memimpin organisasi dan bekerja secara berjamaah tidak begitu diambil perhatian sangat.


4. Isu utama pemilihan kepimpinan PAS kali ini adalah soal pembentukan kerajaan perpaduan akan digunakan untuk meraih dan menolak sokongan. Sudah ada pemisah dalam memahami idea pembentukan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS. Idea itu sebenarnya bukanlah suatu yang utopia tetapi ada kalangan tertentu (banyak) naif dalam memahami keperluan dalam membentuk sebuah pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya yang menuju keredhaan Allah [Fasal 5 (1)].


5. Ramai kepimpinan PAS masih di dalam kerangka politik UMNO yang menganggap kuasa politik adalah perkongsian kuasa sesama pakatan politik. Sudah sampai waktunya, usaha meletakkan kuasa politik sebagai tanggungjawab politik awam. Oleh itu, pendidikan politik kepada rakyat bukan dengan cara membakar emosi, menenggelamkan rasionaliti dan mentafsir al Quran dan Sunnah secara umum dan bersifat hukum semata.


6. Sokongan yang mula meningkat pada PAS telah menjadikan parti itu dikongsi oleh ramai pihak sehingga kepada peringkat dalam pemilihan kepimpinan parti. Orang baru yang setahun jagung sokong PAS sudah bijak memberikan pandangan siapa yang perlu memimpin PAS dan siapa pemimpin PAS yang perlu ditukar. Sehingga ke peringkat Presiden PAS sekarang perlu disingkirkan kerana alasan tidak memenuhi aspirasi nasional. Apatah lagi dalam jawatan Timbalan, Naib dan AJK. Ketua Pemuda, Muslimat dan Ulama tidak terkecuali. Dalam semangat demokrasi dan Islam, rebut merebut untuk mengejar kebajikan tidak masalah.

7. Ahli PAS perlu bijak memilih dan berhati membuat keputusan. Jangan bermentaliti JKKK yang mengikut arus. Arus yang datang sebulan dua nanti cukup mencabar. Fitnah bersulamkan inti al Quran dan rasional yang kuat. Hujah digandingkan dengan rekaan cerita yang menarik. Ia seperti sebuah novel.

Tuesday 7 April 2009

Menang Jua Akhirnya

1. Samada BN atau PR, kedua-dua lebih menaruh harapan menang di Bukit Gantang. Banyak faktor mengapa kedua-dua perlu menang di situ berbanding di Bukit Selambau dan Batang Ai.

2. Akhirnya, PAS menang dengan kelebihan majoriti berbanding PRU 12 dan meletakkan DS Ir Nizar Jamaluddin sebagai calon PR adalah satu tindakan tepat meski risikonya tinggi. Siapa yang berani berumah di tepi pantai, jangan takut dilambung ombak.

3. Biar perubahan berlaku di saat-saat akhir waktu kempen, mood pengundi tidak dapat dipengaruhi oleh pendekatan drastik BN seperti kembalinya Tun Mahathir ke dalam Umno dan perubahan dalam kabinet Umno. Mungkin, tidak sempat meninggalkan kesan dalam masa yang begini singkat.

4. Referundum rakyat sudah dibuat. Restu rakyat sudah diperolehi. Kini waktu pemimpin meneraju bahtera ke lautan yang lebih luas. Kelasi jangan lalai, nakhoda jangan angkuh, layar jangan terus biar berkembang, takut angin membawa jauh. Ada waktu layar beralih arah, agar tidak melanggar ombak besar. Tujulah ke pelabuhanNya dengan jaya.

5. Selamatlah kalian semua berjuang.

Friday 3 April 2009

Politik Silap Mata

1. Beta ada kuasa. Apakah Tuhan kamu lebih berkuasa? Tanya Namrud pada nabi Ibrahim a.s. Tuhan kami berkuasa daripada yang lebih berkuasa. Dia boleh menghidup dan mematikan. Kalau begitu, beta pun boleh menghidup dan mematikan. Lalu dibawa dua orang banduan yang dijatuh hukuman mati. Seorang dibunuh dan seorang dibebaskan. Lalu, Namrud itupun bertitah, `bukankah aku ini tuhan yang berkuasa mengidup dan mematikan manusia'.

2. Lalu, nabi Ibrahim a.s. menyebut bahawa, Tuhannya adalah yang mengarahkan matahari terbit di timur dan tenggelam di barat. Lalu, nabi Ibrahim a.s. meminta agar Namrud mengalihkan agar matahari terbit di barat, dan tenggelam di timur. Akhirnya Namrud kalah dengan rasional nabi Ibrahim a.s. dan mengajak nabi Ibrahim berperang dengan bala tenteranya..........hinggalah Allah s.w.t. menghantar seekor nyamuk untuk menamatkan keangkuhan sang Maharaja Namrud.

3. Aku boleh haramkan, boleh gantung, boleh tangkap - dan sekarang aku berkuasa untuk membenarkan Harakah dan Suara Keadilan diterbitkan seperti biasa. Aku bebaskan tahanan ISA demi keterbukaan politik baru aku pada rakyat aku. Bukankah aku seorang pemimpin yang berkuasa dan berfikiran jauh ke hadapan?

4. Ketika api menjulang membakar nabi Ibrahim a.s., rakyat Babilyon berasa hebatnya kuasa Namrud. Namun setelah api padam dan susuk nabi Ibrahim kelihatan utuh, kebesaran Allah s.w.t. terus terserlah. Hingga anak Namrud, Puteri Razia mengakui Tuhan nabi Ibrahim adalah Tuhan semesta alam. Tuhan yang sebenar yang lebih berkuasa dari segala-gala yang berkuasa.

5. Lalu api fitnah menyala-nyala terbakar di kaca tv, radio dan akhbar. Membakar rasionaliti dan adab sesama sendiri. Berhari-hari Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai dan seluruh jiran tetangganya dihujani air kebencian, kemarahan, kepalsuan dan keamarahan yang panjang.

6. Aku sedang mencari pengertian `nyamuk' dalam politik sekarang.

Laluan Salahuddin Ayub Selepas Ini


1. Setelah Salahuddin Ayub mengumumkan untuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat, laluan ke manakah beliau selepas ini? Muktamar PAS kali ini adalah muktamar pemilihan kepimpinan.

2. Apakah kedudukannya akan serupa dengan Hishamuddin Hussein yang beralih post asalnya sebagai Ketua Pemuda Umno kepada Naib Presiden Umno? Anwar Ibrahim, Najib Abdul Razak adalah antara contoh yang mungkin ada persamaan dengan Hishamuddin Hussein. Zahid Hamidi mungkin terlewat sedikit.

3. Sejarahnya, tiada Ketua Pemuda PAS Pusat yang dapat naik terus ke kerusi Naib Presiden parti tersebut. Bermula daripada Sheikh Ahmad Badawi sebagai Ketua Pemuda PAS pertama hinggalah Mahfuz Omar, tiada seorangpun yang dapat terus ke post tersebut. Selepas era kepimpinan ulama, Ketua Pemuda PAS Pusat ketika itu, Mustafa Ali hanya berada dalam AJK PAS Pusat. Meski beliau pernah menjadi Naib Presiden tetapi bukan terus dari post Ketua Pemuda. Ust. Halim Arshad dilantik sebagai Setiausaha Agung selepas memberi laluan kepada Ust. Abu Bakar Chik untuk menjadi Ketua Pemuda. Kemudian, Ust. Abu Bakar Chik agak tenggelam. Mahfuz Omar setelah mencuba beberapa kali, belum berjaya setakat ini.

4. Namun, sejarah juga mencatatkan kebanyakan Ketua Pemuda akan mengisi jawatan ahli Harian sebagai unit yang merangka tindakan politik parti. Kemudian laluan mereka akan banyak bergantung sejauhmana kebolehan kepimpinan dan kreativitinya mendapatkan sokongan di peringkat akar umbi. Suatu ketika dulu, Ust. Hasan Syukri dan kini Mustafa Ali adalah contoh terbaik.

5. Jika Salahuddin Ayub berani menentang sejarah, beliau mungkin akan mencipta sejarah tersendiri. Jika beliau ingin mencipta sejarah itu, inilah waktunya. Inilah kesempatan yang terbaik meski akan bertanding sesama bekas kepimpinan Pemuda yang lalu seperti Husam Musa, Mat Sabu, Mahfuz Omar.

6. Menjadi kecenderungan ahli PAS akan menyokong berdasarkan populariti calon tersebut. Post Ketua Pemuda adalah jawatan yang popular dalam rangka organisasi parti. Jika Salahuddin Ayub ingin menyemarakkan semangat demokrasi dalam parti, beliau perlu menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden PAS.

7. Aku ingat, kalau Ir Nizar Jamaluddin menang di Bukit Gantang, orang Perak mungkin akan mencalonkan beliau sebagai Naib Presiden. Masa itu, kedudukan Ust. Ahmad Awang mungkin akan dinilai oleh perwakilan.

8. Sekali dayung sudah ditangan, layar sudah dilabuh. Pantang untuk anak muda berundur. Mara lah ke hadapan.


Thursday 2 April 2009

Cik Siti Jumpa Tok Guru

1. Orang PAS mesti suka bila penyanyi terkenal negara, Siti Nurhaliza pergi jumpa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu.

2. Aku agak, Tok Guru waktu muda-mudanya dulu pun suka dengar lagu Hindustan, Lata Mengeshkar ataupun Ummi Kalthom, penyanyi Mesir yang terkenal.

3. Memang agak sukar mewujudkan hubungan antara pendakwah dengan penyanyi atau khalayak seni. PAS khususnya terlalu berhati-hati untuk melewati daerah ini. Meskipun ramai pimpinan mereka mengetahui betapa khalayak seni memiliki kekuatan tersendiri.

4. Al marhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor pada ucapan penangguhannya yang terakhir pada Muktamar ke 48 di Putik, Kelantan ada menyebut tentang keperluan melewati daerah ini. Tetapi sehingga kini, masih belum mendapat sambutan yang menggalakkan.

5. Tak kan nak tunggu para artis datang merafak sembah baru kita mendekati mereka.