...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday 31 January 2009

Itulah Politik Islam!


1. Sukar membuat tindakan seperti yang dilakukan oleh Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki di tengah pentas dunia. Bukan mudah. Berapa banyak pemimpin Islam yang berkesempatan untuk bercakap tetapi membisu kelu sejuta kata. Tapi Erdogan telah membuktikannya.


2. 'Kau pembunuh!' Jari telunjuk Erdogan menikam ke dalam hati Shimon Perez hingga tertonjol mata bulat pemimpin Israel itu. Sambil matanya Erdogan merenung tajam pada mata penonton yang gembira dengan berita pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Suara Erdogan bagai bunyi dentuman bom yang menggegarkan seluruh alam!

3. Tiga peluru (mata, jari dan mulut) Erdogan mengena tepat pada batang hidung semua yang terlibat dalam Holocoust Isreal terhadap rakyat Palestin.

4. Semua itu tentu adalah hasil daripada kekuatan dalaman Erdogan yang mengerakkan untuk menghimpun kekuatan yang ada untuk bertindak. Empat peluru Erdogan adalah iman dan jiwanya terhadap rasa tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi dan hamba kepada Maha Pencipta Lagi Maha Berkuasa.

5. Muntazar sudah lempar kasutnya ke muka Bush. Erdogan memanjangkan serangan. Ada yang mengharapkan ada peluru berpandu dari Tehran atau Lubnan menjunam ke bumi Israel. Ada yang mengharapkan sesuatu buruk berlaku pada para pemimpin Arab yang penakut. Ada yang mengharapkan agar Allah turunkan bala pada Isreal dan Amerika. Stop.

6. Tanamkan saja harapan itu pada diri sendiri. Lakukan seadanya.

Wednesday 28 January 2009

Itulah Politik!

1. Tanpa angin, masakan tiba-tiba sahaja dahan bergoyang jika tidak digoncang oleh orang.

2. Penyeberangan YB Nasaruddin, ADUN Bota dari tebing UMNO yang semakin rebak ke tebing PKR yang beraur mengejutkan juga. Bukan senang nak menyeberang Sungai Perak ni. Mungkin, YB Nasaruddin tahu selok belok Sungai Perak yang mana cetek, yang mana dalam.

3. Dalam politik, tanpa tawaran yang hebatpun akan berlaku perubahan. Samada perubahan itu berasaskan keperluan semasa, kepentingan peribadi, keutamaan bangsa, itu adalah persepsi. Persepsi adalah salah satu fakta daripada beberapa fakta lain yang perlu difikirkan juga.

4. Nik Abduh kata, ada perbezaan antara lompat katak dengan lompat kijang. Walaupun sama tetapi cara lompatnya berbeza. Itupun persepsi. Ibrahim Ali pernah juga berkata, walaupun dia melompat banyak parti tetapi dia tetap setia di Pasir Mas! Maknanya, politiknya adalah untuk kepentingan rakyat Pasir Mas.

5. Ada yang mengatakan, tindakan melompat atau keluar parti (menentang balik parti atau wadah perjuangannya dulu) adalah pengkhianatan, atau juga satu pemberontakan. Apabila Ezam masuk UMNO, dia bilang, dia sudah hilang kepercayaan pada kepimpinan Anwar Ibrahim. Sumpah keramatnya hanya pada perjuangan keadilan bukan parti Keadilan.

6. Sewaktu Anwar Ibrahim masuk UMNO, itulah ijtihad siasahnya. Apa yang tak dikata, kritik atau dikutuk terhadap perjuangan PAS pada masa itu? Aku masih ingat, dia kata PAS itu parti pak lebai. Begitu juga Ustaz Nakhaei Ahmad, Naib Presiden PAS yang masuk UMNO dengan Saifuddin Nasution, Fuad Zarkarsi, Che Johan Che Pa dll, mereka sudah buat ijtihad yang sama. Pengalaman dan ilmu mereka mungkin semakin bertambah dan nampak hujah baru untuk wasilah baru.

7. Contoh yang sangat rapat dalam isu ini - Dr. Mahathir sendiri.

8. Yang penting di dalam politik, bagaimana untuk mengekalkan kuasa dan pengaruh politik. Baca dan perhatikan hujah mereka. Anda nanti akan membuat kesimpulan.

Sunday 25 January 2009

Demonstransi Hanya Permulaan Dari Ribuan Permulaan

1. Anak-anak aku, Najihah dan Nabilah agak `frust' kerana demonstrasi isu Palestin di London kali ini tak nampak orang Malaysia. Ada dua anak muda Melayu dari Cardiff yang kami terjumpa di Trafalgar Square. Mereka kata, kawan-kawan mereka takut nak join kerana kerajaan sponsor diaorang. 'MARA atau kerajaan hantar pelajar ke luar negara supaya menjadi penakut! Bila balik nanti, senang cucuk hidung.' Aku berbisik sendiri. `Tapi kami jenis pemberontak, bang!' salah seorang itu bercakap seperti dia terdengar bisikan aku. Demo itu dianjurkan oleh Stop the War Coalition, Palestine Solidarity Campaign dan British Muslim Asc. dan beberapa pertubuhan lain.


2. Melihat ribuan yang hadir dalam demonstrasi itu, rasanya malu pada diri sendiri. Ketika rakyat Palestin berjuang bermatian-matian menentang Israel, perit menangung kehidupan yang derita jika dibandingkan kehidupan harian kita. Tersangat malu bila terfikirkan tambang ke London itu sama gaji sehari aku. Sekurang-kurangnya aku masih ada gaji 20 hari untuk kehidupan aku dan keluarga. Terlalu sedikit yang kita korbankan untuk perjuangan Palestin. Aku tengok ramai orang kafir bersemangat sokong Palestin. Pengikut Marx pun bangga bawa bendera Hamas. Aku sendiri naik bas rombongan yang dianjurkan oleh Sosialist Workers Party of Wales. Ada dua budak muda berambut ala mohican yang turut sama. Hippies, Gay pun ada.



3. Apatah lagi untuk boikot barangan Zionis. Mula aku taklah berapa kisah untuk ke Tesco, Mark & Spencer atau McD. Memang sukar untuk tidak pergi ke situ. Tambahan pula, harganya sesuai dengan keupayaan kami berbelanja. Pilihan yang ada memerlukan sedikit tambahan kos dan waktu. Tetapi bila difikirkan, rakyat Palestin langsung tiada pilihan. Mereka terkurung di dalam negara yang dikepung Israel dan kerajaan Arab yang hilang maruah. Sekurang-kurang aku masih ada pilihan.



4. Ada orang kata, demonstrasi tidak membantu sangat rakyat Palestin. Kita mesti berdoa dan bermunajat. Ada yang lain pula berpendapat, kita mesti terus berdakwah, mengajak kebaikan kepada umat manusia dan sebagainya. Buatlah!

5. Ada yang lebih berani, cadangkan kita belikan senjata atau pergi berjihad. Berjuang hingga syahid. Buatlah!

6. Ada yang kutuk habis pemimpin Arab yang langsung tak prihatin. Berbillion duit minyak habis dibelanjakan sekadar beli pemain dan kelab bolasepak. Tak guna punya pemimpin!

5. Lu buat apa? Lu pun tak guna!

Friday 23 January 2009

Hikayat Sang Anjing Sultan Melaka (1)

1. Melihat tentera Pasai yang seramai 120 000 sedangkan tentera Melaka hanya 20 000, Laksamana Hang Tuah dan Siri Bija Diraja mengajak Tun Mat anak Tun Perak yang bernama Tun Pikrama Wira pulang ke Melaka.

2. Tun Pikrama Wira mencadangkan agar satu lagi peluang dimanfaatkan. Pilihanraya kecil di Pasai akan dibuat selepas lima pilihanraya mereka dapat ditewaskan oleh tentera Pasai yang gagah.

3. Menunggu matahari terbit, Bendahara Paduka Raja menyurun menanak nasi untuk makanan esok sebelum turun ke medan pertempuran. Bendahara meminta kepada segala Orang Kaya (Aristokrat Melaka), untuk makan sedaun dengan hulubalang rakyat biasa. Mana Orang Kaya yang berdatang perang dengan menaiki bot mewah diminta menaiki kapal yang sama dengan hulubalang rakyat biasa. Lalu, semua Orang Kaya Melaka menyimpan seluruh bot mewah mereka. Mereka berkumpul di dalam Kapal Petala Wala yang dibina oleh tukang kapal dari Melaka. Malam itu, berwirid dan bertahajud semua Orang Kaya dan hulubalang. Adapun, kebanyakan Orang Kaya menungang nunging di dalam keadaan sangat mengantuk.

4. Esoknya, setelah sudah makan pagi, segala Orang Kaya dan hulubalang mereka naik ke darat melanggar Pasai hingga gemuruh bunyi bahana hulubalang berjalan dan berpercikan cahaya dari sinar senjata. Maka bertempurlah tentera Melaka dengan Pasai dan berbunuhan sesama bangsa serumpun mereka demi memuaskan hati dan mengukuhkan kuasa Sultan masing-masing. Adapun sesetengah Orang Kaya yang mengantuk, tiadalah akal di atas hatinya. Lalu mereka mengamuk membunuh tentera Pasai tiada terhitung banyaknya. Sesetengah Orang Kaya tidak sedar akan bila dia sudah mati kerana terlalu mengantuk. Lalu meracau yang bukan-bukan dari mulutnya sebelum mati.

5. Saat pertempuran sangat hebat. Berhamburan fitnah dan kutukan melimpah bagai air sungai selepas hujan lebat. Tiada lagi siapa yang mengelih-gelih ke belakang melainkan yakin pada keris dan lembing di tangan. Berkata Nina Ishak pada Tun Pikrama, `Orang Kaya, bagaimana kita bertahan, hanya tiga orang ini. Segala orang kita yang lari. Tentera Pasai sudah guna tv dan radio untuk melemahkan hulubalang kita. Baik kita bacakan qunut nazilah agar Allah s.w.t. mendatangkan bala pada tentera Pasai dan dimenangkan untuk kita.'

6. Setelah menang, Sultan Zainal Abidin lupalah akan dirinya. Angkuh dihadapan Bendahara Paduka Raja. Lalu, ditinggalkan Sultan Zainal menabal diri selepas menang tipis dalam Pilihanraya kecil itu. Tidak lama sepeninggalan itu, rakyat Pasai bangun memberontak dan menjatuhkan baginda daripada takhta. Khabarnya, Bendahara Paduka Raja tidak mahu merajakan orang yang sombong dan lupa diri itu.

7. Sekembalinya ke Melaka, amat murkalah Sultan Mansur Syah pada Bendahara Paduka Raja. Tiga hari, tiga malam tuanku menutup telefonnya dari dihubungi Bendahara Paduka Raja. Lalu, Laksamana Hang Tuah bersembah jahat pada Tuanku akan perilaku Bendahara.

8. Ketika Sultan Mansur Syah menyuruh Bendahara datang mengadap. Maka diceritakan peri baiknya Laksamana Hang Tuah. Maka hairanlah Tuanku mendengar khabar itu. Tiada setitis khabar jahat diberikan. Dianugerahkan sepersalinan pakaian kerajaan akan Bendahara Paduka Raja oleh baginda. Manakala Tun Pikrama, Hang Isap, Tun Hamzah dan Nina Ishak dikurniakan persalinan kerajaan dan juga diberi gelaran keutamaan. Sedang Pulau Buru dianugerahkan kepada Tun Pikrama untuk mengenang jasa menyiahkan orang Pasai.

9. Setelah itu, Sultan Mansur Syah berangkat masuk untuk menyambung peraduannya yang terganggu. Sedangkan Orang Kaya Melaka tersangat gembira dengan kurnia baginda.

Tuesday 20 January 2009

Demonstrasi Menentang Zionis Israel - Bidaah Hasanah


1. Hujung minggu lepas, kami sekeluarga keluar ke Swansea town untuk demonstrasi mengutuk Isreal dan bagi sokongan pada perjuangan Palestin. Demonstrasi yang disertai oleh pelbagai kaum dan agama berjalan aman.

2. Dr. Abdul Salam, Pengerusi Persatuan Palestin di Wales berkata, demonstrasi yang begini sebenarnya memberikan semangat kepada rakyat Palestin yang sedang dibedil teruk oleh Israel.

3. Ibubapa dan keluarga Dr. Abdul Salam masih bertahan di Gaza meski setiap detik, rumah mereka tak pernah lekang daripada bunyi jet pejuang Israel.

4. Namun, ada juga ulama' yang menghukum demonstrasi begini sebagai bidaah.

5. Biarlah, ulama' itu asyik dengan hukum hakamnya. Kerana banyak lagi ulama yang menyokong demonstrasi. Bidaah hasanah.

Kita Diajar berfikir `Double Standard'

1. Apa jua isu yang ada, kita biasanya bersikap `double standard'. Kita boleh buat asal orang lain jangan buat. Jika orang lain buat, kita akan kritik habis-habisan. Ataupun kita tidak kisah orang lain buat, asal kita tidak buat.

2. Tidak kira apa jua ideologi dan anutan politik kita, paksi kita terus pada ketaksuban pada pendapat kelompok atau diri sendiri.

3. Pendekatan untuk mencari kebenaran sebagaimana yang pernah dilakukan oleh al Ghazali perlu diambil perhatian. al Ghazali bersikap skeptisme dalam banyak hal hinggalah kepada persoalan aqidah. Namun skeptismenya tidak sama dengan pendekatan pemikiran barat, al Ghazali terus mencari hujjah, rasional untuk memperkukuhkan kebenaran yang dicari. Aku tak suruh kalian berfikir jauh sebagaimana al Ghazali. Memadai fikir yang ringan-ringan je.

4. Sebagai contoh mengenai isu tanah yang dikurniakan oleh Kerajaan Perak kepada orang Cina di Kampung Baru yang dikatakan telah dinafikan hak milik terhadap tanah yang berpuluh tahun didiami. Tanah yang diberikan tidak sampai berpuluh-puluh ribu ekar berbanding dengan jumlah tanah rizab orang Melayu yang hilang. Mengapa tidak sibuk? Sila buat kajian sikit.

5. Kononnya sekarang semua sibuk buka buku sejarah untuk membongkar kehilangan kuasa dan kedaulatan orang Melayu. Sesekali kita perlu membaca buku sejarah secara `terbalik'.

6. Sehingga kini, aku berpegang pada prinsip bahawa `SEJARAH ADALAH HASIL KARYA ORANG BERKUASA'.

Saturday 17 January 2009

PAS jangan lupa, UMNO perlu belajar

1. Keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu sudah diketahui. Tahniah kepada YB. Abdul Wahid Endut. Kepada Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mungkin bukan rezeki nak menang.

2. Pun demikian, PAS jangan terlalu ghairah dan lupa janji yang ditaburkan pada pengundi sewaktu kempen pilihanraya. Menang satu ujian. Tiada keuntungan melainkan bertanggungjawab pada kemenangan itu sendiri.

3. UMNO harus belajar daripada kekalahan itu agar dapat menjadi parti yang belajar daripada kemarahan dan kekeciwaan rakyat. Jangan mencari kesalahan pada pihak lawan. Renunglah diri sendiri.

4. Kepada para penyokong yang datang bertandang ke Kuala Terengganu, selamat kembali ke kampung halaman. Yang kalah, eloklah berehat. Yang menang, kena kerja kuat bila sampai kat kampung atau taman sendiri.

Thursday 15 January 2009

Politik Yasir Arafat dan Sheikh Ahmad Yasin


1. Yasir Arafat dan Sheikh Ahmad Yasin, dua pemimpin politik Palestin yang pernah mengubah landskap politik Palestin. Kedua-dua telah tiada. Yasir Arafat meninggal kerana kanser (walaupun ada khabar mengatakan diracun) dan Sheikh Ahmad Yasin shayid akibat bom Israel.


2. Kedua-dua saling bertentangan pendekatan meskipun mempunyai matlamat yang sama untuk membebaskan tanahair mereka; Palestin.


3. Selepas berjuang berpuluh-puluh tahun, Yasir Arafat menukar pendekatan militannya kepada pendekatan diplomatik. Untungnya, Yasir Arafat bijak berdiplomasi dengan Israel, Amerika Syarikat dan juga negara-negara Arab. Akhirnya, Yasir Arafat berdamai dengan Israel melalui Perjanjian Camp David dan mendapat dua wilayah autonomi; Gaza dan Tebing Barat.


4. Dalam masa yang sama, kumpulan yang menentang Perjanjian Camp David terus berjuang secara gerila. Meneruskan pendekatan Yasir Arafat dulu. Selepas Yasir Arafat mendapat 'kuasa' memerintah dua wilayah autonomi, Hamas ataupun Sheikh Ahmad Yasin memberi peluang kepada Yasir Arafat mengurus wilayah autonomi itu.


5. Apabila negara-negara Arab sudah hilang selera dengan Palestin, Yasir Arafat meninggal dunia, Hamas mengubah pendekatan gerilanya kepada sebuah parti politik yang menyertai pilihanraya di wilayah autonomi. Hamas berjaya mengalahkan Fatah, parti yang ditinggalkan oleh Yasir Arafat dan kini menjadi kerajaan di wilayah tersebut. (wilayah itu secara politiknya masih di bawah Israel)


6. Ada waktunya, Hamas terpaksa berunding dengan Israel samada secara langsung atau tidak sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Yasir Arafat. Jika ada perundingan atau perjanjian selepas ini, apakah itu bermakna Hamas sudah mengadai prinsip perjuangan mereka?


7. Tidak sama fikiran orang yang berada di luar kuasa dengan fikiran orang yang sedang berkuasa. Kita mungkin silap apabila cepat menghukum seseorang pemimpin yang berkuasa tentang keputusan yang diambil dengan membandingkan pendirian mereka sewaktu mereka tiada kuasa.

Wednesday 14 January 2009

Jangan Confident Sangat Brother!

1. Meskipun belum sampai ke pusingan terakhir pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, masing-masing mendakwa yakin benar untuk menang.

2. Ada perbezaan yakin dengan ingin menang. Kadangkala kedua-duanya terangkum menjadi satu. Ada kenyataan yakin menang itu sekadar satu serangan psikologi kepada lawan tetapi sebaliknya ia boleh melekakan jentera pilihanraya parti.

3. Pengundi atau rakyat biasa `termakan' dengan serangan psikologi demikian. Mereka memilih yang selamat. Pengundi Melayu jarang membuat sesuatu pilihan yang berisiko. Meskipun hakikatnya, pilihanraya adalah pemilihan risiko. Memilih `ketidaktentuan'.

4. Oleh itu, pengundi Melayu akan mengundi parti atau calon yang dijangka akan menang. Mereka bukan memilih calon yang berkebolehan dan berkemampuan memimpin. Ini pendapat aku, jangan terlalu yakin.

Tuesday 13 January 2009

Alasan Graduan Lulusan 'Oversea'

1. Aku cuba nak respon pada komen yang diberikan pada blog aku. Terima kasih semuanya.

2. Memang berbillion wang kerajaan dan bukan kerajaan mengalir ke `oversea' demi mendapatkan segulung ijazah dan pengiktirafan manusia. Bagi kerajaan Malaysia, sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan disambung dengan Dasar Pembangunan Ekonomi Negara, orang Melayu sudah kian sebati dengan `oversea' terutama di UK, sebagai 'kiblat' ketamadunan baru manusia.

3. Contoh yang paling mudah adalah sikap pemandu di UK yang begitu 'gentle' kepada pengguna jalanraya lain. Sebagai `orang luar', akupun menjadi begitu `gentle' sewaktu memandu. Tetapi apabila kembali ke tanahair, habis semua pengalaman yang berharga dan sikap yang baik itu. Jadi `ganas' meskipun tak sampai tahap gaban.

4. Contoh lain ialah betapa di UK berharganya suara kita sebagai manusia biasa. Inilah yang dinamakan kebebasan bersuara. Bebas berdemonstrasi tanpa rasa takut. Bebas beragama tanpa rasa kongkongan ideologi atau doktrin. Tetapi apabila kembali ke tanahair, semuanya mati begitu sahaja. Termasuklah rasa berani dan bebas itu. Seperti kepala kekura yang masuk ke dalam tempurungnya mendengar ranting pokok yang jatuh.

5. Aku pernah bertanya dengan rakanku yang sudah lulus dari universiti UK tentang cita-citanya sewaktu belajar dulu. Beliau khabarkan tentang cita-citanya yang tinggi. Mahu berkhidmat pada nusa dan bangsa. Mahu bangunkan negara. Ingin merdekakan keluarga dari kepompong kemiskinan dan kemunduran.

6. 'Sudah kau lakukan?' Aku bertanya.

7. 'Dah' Jawabnya mudah. Kemudian dia ketawa kecil sendiri. 'Tak semua' Jujur dia menambah.

8. 'Tak semua?' Aku gatal lagi bertanya.

9. 'Susahlah bila dah kerja kat sini. Sistem bekerja kat sini susahlah. Orang kat sini tak macam orang UK........bla bla bla...... Ringkasnya dia menang dalam memberikan alasan untuk menangguhkan atau menguburkan cita-cita tingginya itu.

10. Aku? Sedang mencari alasan yang munasabah. Alasan lain. Yang berbeza. Dan di belakang aku barangkali ada ribuan yang sedang mereka-reka alasan mereka. Belajar mencari alasan yang benar-benar saintifik dan sistematik! Kemudian dihormati sebagai golongan teknokrat dan intelektual yang hebat. Agaknya begitulah.

Solat Jenazah di St. James Funeral Home

1. Sewaktu beratus-ratus orang Palestin syahid dibedil oleh Israel, seorang wanita tua Palestin meninggal dunia di Swansea. Dia adalah ibu kepada Supervisor PhD aku, Dr. Dawood al Alami.

2. Aku dan beberapa rakan pergi menghormati jenazah dengan membaca surah Yasin dan solat jenazah di St. James Funeral Home, tidak jauh daripada rumah aku. Berhampiran Gereja St. James di Walter Street.

3. Ibunya meninggal hari Jumaat. Kami bercadang hendak ziarah pada hari Ahad tetapi Funeral Home itu cuti. InsyaAllah, jenazahnya akan disemadikan di Cardiff pada hari Rabu ini.

4. Rumah itu menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah tanpa mengira agama atau fahaman. Itulah pertama kali aku solat jenazah sepanjang lebih dua tahun di sini. Bacaan surah Yasin dan solat jenazah diadakan di sebuah bilik seperti sebuah gereja.

5. Lalu kami hadapkan diri kami ke arah kiblat sambil melaungkan takbir, Allahu akbar.

Monday 12 January 2009

Siapa Lagi Yang Mahu Bantu Kereta Nasional?

1. Selepas Kerajaan Terengganu menukar kereta rasmi kerajaan dari Perdana V6 kepada Merc., kemudian diikuti oleh Kerajaan Perak yang menukar kepada Camry. Begitu juga kerajaan Selangor.

2. Mengikut kenyataan semua kerajaan yang menukar kereta nasional kepada kereta tak nasional kerana kos pengendalian kereta nasional itu terlalu tinggi. Bagi menjimatkan wang rakyat, semua kerajaan tersebut telah membuat keputusan yang `tidak nasional'.

3. Benarkah kereta nasional tidak tahan lasak ataupun berkualiti rendah? Selepas lebih dua dekad industri kereta nasional berkembang, teknologi automatif kereta nasional masih dipertikaikan.

4. Berlakukah pemindahan teknologi Mitsubishi kepada Proton selepas bertahun-tahun bekerjasama? Bagaimana pula peranan graduan-graduan automotif yang dihantar oleh kerajaan ke serata dunia. Berjuta wang rakyat sudah dibelanjakan dalam pelaburan untuk meningkatkan teknologi automotif.

5. R&D Proton tentunya memakan belanja yang banyak. Pelaburan memasuki Formula One juga tentu ada kaitan dalam usaha meningkatkan teknologi dan promosi Proton.

6. Sekarang, senang-senang kita abaikan pelaburan yang berjuta-juta itu. Siapa lagi yang mahu bantu kerata nasional jika bukan kerajaan kita sendiri? Kerajaan kena bantu projek kerajaan. Lainlah jika kerajaan itu milik peribadi.

7. Penjimatan wang bukan soal kuantiti wang yang digunakan tetapi sejauhmana setiap kuantiti wang itu dapat dimanfaatkan. Sayangnya ramai lagi pemimpin masih berfikiran berdasarkan kuantiti. Bukan kualiti.

Thursday 8 January 2009

Demonstrasi Palestin Dengan Puak Sosialis


1. Puak Sosialis UK ni sokong perjuangan Palestin pasal dia faham Islam ke?

2. Yang umat Islam kononnya faham agamanya, berapa banyak yang pergi protes?

3. Aku dengar seorang ulama - demonstrasi itu bidaah. La....... Masuk universiti, belajar entah apa-apa ni, tak bidaah? Kerja kumpul duit Pound bagai nak gila, tak bidaah? Cari kereta brand Merc atau BMW tak bidaah?

4. Aku dan keluarga demonstrasi dengan puak sosialis yang tak faham Islam. Biarlah ulama dan para pengikutnya itu bersungguh-sungguh dengan pandangan mereka.

Cara Untuk Orang Bersangka Jahat Pada Kita

1. Apabila kita bercakap atau berucap, cakaplah berdegar-degar seboleh yang mungkin. Walaupun sebenarnya kita sedang belajar cara berpidato di hadapan orang ramai. Kerana inilah cara untuk menarik minat orang mendengar ucapan kita. Cara yang mudah ialah mencari platform yang popular untuk membina nama. Singkatnya adalah cara politik.

2. Cara politik tidak memerlukan kelulusan yang tinggi macam nak jadi doktor atau jurutera. Memadai dengan kepetahan bercakap dan lincah silat pergaulannya. Politik kita bersifat sectarian. Ia sangat mudah mendapatkan sokongan. Kalau nak jadi jaguh dalam PAS, kena ada nilai keIslamannya. Jika nak jadi hero dalam UMNO, kena kuat Melayunya. Buat permulaan, nilai diukur dari segi fizikalnya ataupun gaya percakapannya.

3. Anggaplah kita sahaja yang betul manakala yang lain adalah salah, sesat dan menyesatkan. Kalau boleh hukum sepulan itu sebagai begini atau begitu. Carilah nas ataupun ayat yang boleh disandarkan hukuman itu. Walaupun sebenarnya kita sedang belajar mengetahui mana yang betul atau yang salah.

4. Selepas kita belajar dan hidup panjang sikit, barulah kita dapat sesuatu yang tak sama dengan apa yang kita cakapkan dulu atau hukumkan dulu. Cakap kita sudah berlainan cara. Cakap sudah tidak merapu bahkan kononnya agak lebih ilmiah. Hukumpun sudah berubah. Sesuai dengan pemikirannya yang berubah.

5. Kemudian kita hukumkan mereka yang bersangka jahat dengan kita dengan hukuman-hukuman versi baru yang tak sama dengan hukum versi lama.

5. Akhirnya, orang akan bersangka jahat dengan kita.

Palestin, Pilihanraya dan Pemimpin

1. Derita Palestin tak pernah berhenti. Dari ghairah membuat persidangan tergempar, demonstrasi, bantuan kemanusiaan dan sebagainya, mengapa tidak sahaja kita marakkan peperangan ini?

2. Berikan peluru pada rakyat Palestin untuk mempertahankan diri dan keluarga mereka. Berikan senapang ataupun meriam. Kubunuh kemanusiaan demi sebuah kemanusiaan. Kata-kata yang kukutip dari novel Pramoedya, Keluarga Gerilya.

3. Mereka sudah kenyang dengan janji pemimpin Islam di serata dunia.

4. Pilihanraya kecil di Kuala Terengganu. Satu lagi medan yang mempamerkan mentaliti dan kedunguan sesetengah pemimpin politik tanahair. Kempen pilihanraya bukan lagi medan mempromosikan mesej perjuangan parti atau peribadi tetapi lebih kepada kesempatan untuk mempamerkan kebodohan diri sendiri. Tak percaya. Datanglah dan saksikan sendiri. Hanya rakyat yang buta hati sahaja kagum dengan setiap kalimah ucapan pemimpin mereka.

5. Pemimpin. Selagi kau masih boleh dipimpin, pemimpin boleh menjadi pemimpin.

Monday 5 January 2009

Dua Minggu Yang Sepi

1. Dua minggu yang sepi lalu adalah minggu sarat pengalaman dan persaudaraan. Menambahkan lagi nikmat pertemuan dan perpisahan.

2. Mengenali diri dan tanahair sendiri lebih mudah berada di bumi yang asing begini. Tiada lagi istilah Melayu, Cina atau India bila bertemu dengan orang Malaysia. Masing-masing memperkenalkan diri sebagai `orang Malaysia' tidak seperti di tanahair, masing-masing bangga dengan kesukuan dan kaum sendiri.

3. Malam terus panjang di musim dingin meski salji belum turun lagi. Aku insyaAllah tidak pernah berhenti menulis meski di dalam sel penjara atau di istana.

4. Terima kasih kepada rakan-rakan baru, Safwan, Hatimi, Ami, Azizi,Tan yang sanggup menghulur salam persaudaraan. Kita akan bertemu lagi. Kita masih membina agenda yang masih panjang.