...
- MS
- Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
Thursday, 17 April 2008
Doakan Ayahanda Kami
Tuesday, 15 April 2008
Kukenang Kembali BLACK 14
Lapan tahun sudah berlalu. Black 14. Dari stesyen keretapi Tapah Road hingga ke lori Blackmaria, PULAPOL Padang Tembak, Kuala Lumpur Cerita itu bermula……..dari seorang penakut. Setidak-tidaknya aku berani untuk menghargai kewujudan diri sebagai manusia yang merdeka. Biar sekadar lapan malam terkurung dalam lokap, jiwaku tetap lepas bebas merdeka. Biar seribu hukuman yang mungkin dijatuhkan. Aku tetap pasrah pada keadilan yang kami perjuangkan. Sekurang-kurangnya semua itu kuhimpunkan dalam bukuku, `Diari Lokap BLACK 14’ dan kemudian menjadi pencetus pada puisi `Salam Syair Perjuangan’ yang kubaca pertama kali di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. Selepas itu, kubaca kembali di Baling, di sebuah daerah Melayu paling miskin di Kedah.
Seperti kubaca puisi, kutulis buku adalah atas tujuan yang sama – menyedarkan kewujudan diri sebagai manusia yang bebas dan merdeka. Aku baca – aku tulis – aku tidak mahu bermimpi lagi tentang rembulan atau ombak.
Selepas mata Anwar Ibrahim lebam, baru mata rakyat terbuka. Entah berapa banyak mata rakyat lain yang lebam sewaktu di bawah tahanan Polis. Nasib Anwar Ibrahim kira ok kerana dia pemimpin besar. Tak macam rakyat biasa – hilang begitu sahaja.
BLACK 14 telah menghimpunkan rakyat pada keazaman menuntut keadilan yang lebih luas. Keadilan buat rakyat. Keadilan sejagat. Ratusan rakyat ditangkap. Sesetengah karam di tengah lautan. Tak sampai lagi ke pelabuhan. Patah di tengah jalan. Sesetengah bagai bahtera gagah terus melayari laut samudera. Kini selepas Anwar Ibrahim bebas daripada penjara dan sekatan politik - aku akan tetap berdiri bagi menuntut keadilan meski dari Pakatan Rakyat. Keadilan dituntut. Keadilan mesti diperjuangkan. Dia tidak datang daripada langit atau lubang bumi yang terbentang. Kitalah yang akan perjuangankan. Biar dengan kudrat kecil ini. Meski dengan darah. Meski dengan nyawa.
Semalam aku tengok TVPAS - Anwar Ibrahim berucap di Kg. Baru sempena hari ia bebas daripada sekatan politik. Aku tengok juga KelantanTV, Pidato 5 MB di Stadium Negeri Perak, Ipoh. Aku tengok melalui internet. Jauh dari sini. Sesekali fikiran aku melayang;
Bagaimana kawan-kawan kita yang kena lokap, kena balun, kena tendang, kena denda, masuk penjara.......... apakah sekadar kita kenang mereka. Saat-saat bau kemenangan semakin hampir, berbondong-bondong makhluk sesumpah duduk melukut di tepi pejabat MB Pakatan Rakyat! Ini yang membuat aku berfikir berkali-kali untuk bertemu rakan-rakan yang bergelar Yang Berhormat!
Wednesday, 9 April 2008
Eros, Fahd Razy dan Anak Muda Melayu Dublin
Antologi puisi GLKN habis kubaca berkali-kali sepanjang perjalanan pulang dari Dublin ke Swansea. Habis kuconteng-conteng buku itu. Itu memang cara aku membaca buku. Menggaris, menconteng, melukis dan menulis di ruang yang kosong. Aku terasa tercabar sekali bila membaca barisan penyair yang rata-rata hampir sebaya dengan usia anak aku bersungguh menulis dan membukukan karya mereka. Mengurus karya rakan seangkatan dan mewujudkan jaringan seluruh dunia. Ahhh…. Memang hebat anak-anak muda ini. Dari Tokyo hingga ke Australia, dari Rusia hingga ke Tanah Arab. GLKN nampaknya boleh dianggap jaringan penyair Melayu yang popular. Dalam bab ini, kita seharusnya angkat tabik spring pada Fahd Razy dan rakan-rakannya.
Sekurang-kurangnya aku tumpang gembira biarpun barangkali aku adalah yang paling senior di kalangan mereka dari segi usia. Aku bukan terlewat tapi tak sempat!
Sajak `Berteduh di bawah Hujan’ karya Assyaffa menarik kerana tajuk itu sendiri mengundang makna yang cukup luas. Manakala Ainun Nazrin KZ bereksperimen dengan sajak ringkas. Walaupun sepatutnya sajak-sajak pendek ini padat tapi nampaknya Ainun memilih kata-kata yang mudah, seperti sajak `Pimpin’. Aku mula menyukai sajak-sajak pendek untuk dideklamasikan kerana biasanya pendengar kurang stamina mendengar sajak yang panjang dan berat. Sebab itu, sewaktu di Dublin minggu lepas – aku memilih membaca sajak pendek – `Sekali Aku Pergi’ dan `Bacalah’. – dalam lima baris setiap sajak. Dan untuk menambahkan maknanya, diulang beberapa patah kata penting.
Sekali Aku Pergi
Sekali dayung sudah di tangan
Layar sudah terbentang
Biar ombak besar datang
Untuk undur pulang ke pelabuhan
Jangan sebut aku anak jantan!
Sajak ini sebenarnya aku ubahsuai daripada novel Hamka – Di Bawah Lindungan Kaabah. Apabila keadaan politik tanahair seperti berlaku perubahan besar selepas pilihanraya baru-baru ini, ada kawanku mengusik untuk mengajak aku pulang ke tanahair. Tidak. Jika aku pulangpun, aku akan kembali ke sini – selagi belum tamat pengajian. Jangan harap aku pulang. Aku harap mesej ini juga dapat difahami terutamanya oleh para pelajar yang menuntut ilmu dengan duit rakyat. Biarpun atas nama biasiswa, pinjaman ataupun bantuan pendidikan. Semua itu adalah duit rakyat.
Sajak tulisan Fahd Razy – Al Andalus Menangis, memang mengesankan. Tambahan apabila sewaktu aku dan keluargaku ziarah ke Andalusia, aku dapat memahami mengapa puisi itu ditulis – namun jika orang tak ke sana – sekadar mendengar kisah – mungkin sukar untuk dimengertikan. Lain kali, baca sajak itu di depan pintu al Hambra! Jika aku ke sana lagi – itulah yang barangkali keutamaan akan kubuat!
Sajak `Selamat Mati Siang’ tulisan Hafez Iftiqar, satu lagi sajak ringkas dan mudah. Membaca `Keringat Buat Abang’ tulisan Kausar Jiwa mengingatkan aku pada sajak-sajak Usman Awang. Begitu juga sajak `Apabila Jiwa Mengingatkan Mati’ ciptaan Mardiah Masharudin. `Sehening Kata Jiwa’ oleh Mohd. Bakri Bakar juga antara yang mengesankan.
Usaha menghimpunkan sajak dalam sebuah buku memang satu yang wajar dihargai namun apa yang lebih penting bagaimana sajak itu menyentuh pemikiran dan hati masyarakat. Aku berpegang bahawa sajak bukan sekadar himpunan kata puitis tetapi kata yang menyengat dan merangsang masyarakat untuk bangun, bangkit dan bergerak atas kesedaran diri. Oleh itu, usaha pendeklamasian sajaklebih penting daripada menghimpunkan sajak. Kita himpunkan sajak itu dengan teknologi dan internet – seperti Youtube ataupun blog. Ia mudah disebarkan dan tak perlu melibatkan kos. Sesekali aku malas nak menulis sajak selagi sajak yang ada tidak dibacakan.
Cerita tentang Eros ataupun Afik dengan rakan-rakannya yang mementaskan `Bila Tuhan Berbicara’, kumpulan muzik dan nasyid (aku lupa nak catat) juga perlu diberikan perhatian serius. Medium muzik ibarat jarum yang boleh menyuntik rasa kesedaran diri seperti puisi. Bahkan ia aku fikir, ia lebih hebat pengaruhnya. Aku tengok sewaktu persembahan itu, penonton asyik sekali. Cuma tak pasti asyik tentang apa dan mengapa. Meskipun mereka sibuk dengan pengajian perubatan, tetapi menganjurkan program seperti itu memang menagih pengorbanan yang tinggi. Sewaktu pementasan itu, aku sempat menulis sebuah sajak sebagai dedikasi aku pada mereka;
Bila Anak Muda Berbicara
Bila anak muda berbicara
Terlalu mudah
Panas, menggelegak
Sesekali sengaja menanggung padah
Kata-katanya seakan ingin bersopan
Biar kelihatan kurang ajar
Kerana anak muda bila berbicara
Riwayat hidupnya kurang mengikat
Bukan akal fikirannya singkat
Tapi mereka terlalu nekad.
Monday, 7 April 2008
Aku Datang Padamu Dublin
Aku sembahyang subuh di Swansea Bus Station kerana bas ke Bristol akan bertolak beberapa minit selepas waktu subuh. Jiran aku, Ramli menghantar aku ke Bus Station pagi buta itu. Terima kasih. Kami bekerja di Sport Village Swansea University malam itu. 4.30 pagi kena bersiap-siap ke Bus Station.
Perjalanan ke Bristol memakan masa hampir tiga jam kerana bas berhenti di beberapa buah tempat seperti Neath, Bridgent, Cardiff, dan Newport. Selepas sampai di Bristol, aku kena tunggu 40 minit lagi untuk bas ke Bristol Airport. Masa beginilah yang mengajak aku membaca buku. Ahh..aku bawa buku Bernard Bass & Riggio - berat. Sekejap dah bosan. Malas nak fikir-fikir. Aku baca sajak-sajak aku yang akan kubaca nanti di Dublin. Syok sendiri. Sementara itu, aku beli secawan coklat dan bersarapan mi goreng yang isteriku bekalkan. Lapar pula pagi ini walhal dah makan sikit sebelum bertolak subuh tadi.
Bas ke Airport Bristol sampai tepat waktunya. Kupilih duduk bersendirian. Melayan angan panjangku sambil melihat pemandangan bandar Bristol yang kerap juga aku ke situ. Dua bula lepas aku ke sini untuk acara baca sajak sempena Kerabu Night. Aku baca sajak `Warkah Sang Pencinta Dunia’. Untuk di Dublin, aku masih belum memutuskan apa sajak yang nak kubaca. Mungkin ada idea sewaktu perjalanan yang panjang ini. Setakat ini, aku cuma tulis tajuknya; Hari-hari Adalah Peperangan. Itupun sewaktu berehat selepas bekerja malam tadi.
Selepas check in, aku ada masa kira-kira dua jam sebelum flight. Kucuba habiskan sajak itu…..
Hari-hari adalah peperangan
Demi kelangsungan hidup
Untuk makan
Untuk jawatan
Dan perempuan
Atas nama negara
Atas nama bangsa
Atas nama agama
Atas nama dunia
Dan tatkala tangan
Ada kuasa
Bersalut kata suci
Luhurnya undang-undang
Dihujung mata pedang
Menghimpun seluruh kekuatan
Rela bertarung sesama teman
Bertempur sekampong halaman
Yang menang terus berapi membakar
Yang kalah bersekam mendendam
Hari-hari adalah peperangan
Penangguhan perdamaian
Keadilan yang terlewat
Singleton – Bristol Airport
5/4/08
Namun, aku tak baca sajak ini. Aku baca sajak `Puisi Buat Si Bangsat’ yang kufikir mempunyai mesej penting kepada audien yang datang.
Kira-kira 1 tengahari aku keluar dari pintu ketibaan Dublin Airport. Seorang anak muda Melayu melambai-lambai tangan ke arah aku. Aku fikir itulah gerangan yang akan menjemput aku. Ohh.. Afik Izuddin – Pengarah program itu sendiri yang menjemput aku. Meskipun inilah pertama kali kami kenal – bersembang macam dah lama kenal.
Aku terus ke rumah penginapan – lupa nama tempat. Sebuah banglow dua tingkat. Beberapa anak muda bersalaman menyambut kehadiran aku. Semuanya bakal-bakal doctor perubatan yang akan menghulur bakti ke tanahair selepas tamat pengajian. Hari panas terik tetapi tiupan angin yang sejak agak menyederhanakan suhu. Selepas rehat, solat dan makan – akupun bersiap-siap untuk ke tempat program.
Aku masuk ke dewan persembahan – kulihat anak-anak muda sedang berlatih. Bersemangat mereka. Ia seperti mengingatkan diri ini sewaktu seusia dengan mereka di kampus.
Sewaktu bersembang dengan mereka. Mereka fikir aku lebih kurang sebaya dengan mereka! Sempat juga aku ketawa kecil.
Wednesday, 2 April 2008
Tarikan Liverpool: Antara Kelab dan Kugiran
Kedua tentang Liverpool adalah Beatles. Kugiran yang bukan sahaja mencetuskan satu revolusi muzik di Britian bahkan seluruh dunia. Gandingan mantap Paul McCartney, John Lennon, Geogre Harisson, Ringgo Star dan menjadi ikon anak-anak muda pada tahun-tahun 60an. Daripada style rambutnya hingga kepada
muziknya - menjadi fesyen ikutan yang dominan hingga awal tahun 70an. Irama pop yeah-yeah adalah produk Beatles ke dalam dunia muzik tanahair. Time tu, kugiran di tanahair turut terpengaruh dengan irama Beatles. Apabila Beatles hidup secara hippies, para pengikutnya pun turut menyelami kehidupan hippies. Hinggalah fenomena itu ke tanahair. Fahaman hippies-atheis itu begitu kuat pada kehidupan John Lennon sehinggalah dia menyanyikan sebuah lagu yang membayangkan dunia tanpa agama - Imagine. Kira-kira setahun lalu, lagu itu dinyanyikan oleh Ella pula. Kononnya, dia nyanyi bukan kerana liriknya tetapi iramanya!
Kini anggota Beatles tinggal dua orang sahaja; Ringgo dan Paul. Kira-kira lima bulan lepas, Paul buat konsert sempena memperingati Beatles di Liverpool tanpa Ringgo. Sebuah muzium tentang sejarah Beatles terletak di Edward Court. Tiket seorang 9.90 PGB. Mahal untuk orang seperti aku. Tak masuklah akhirnya. Cuma bergambar di hadapan pintu masuk. Evidence lagi!
Tuesday, 1 April 2008
Diskusi Pasca PRU12 di Manchester
Ruang intelektual semakin disempitkan dengan pelaksanaan undang-undang yang membataskan kebebasan rakyat untuk berfikir, mendengar, bercakap dan bertindak. Dasar media perdana yang bersifat `terlalu berlebihan mengajar' telah membentuk satu gelombang kuat pada media alternatif sebagai satu sumber maklumat rakyat. Itik jangan diajar berenang. Burung usah diajar terbang! Taulah mereka nantinya.