...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 28 February 2007

Bang Mat Sabu Mai Kat Swansea


Kekawan minta teman ambil bang Mat kat Cardiff International Airport. Pagi itu 19 Feb. 2007 hari Senin, Merc E Class Brother Bob meluncur lancar menuju ke ibu negeri Wales itu. Tanpa poster sebagaimana biasanya menanti kedatangan Bang Mat Sabu berceramah, kami berkumpul dengan seadanya. Ok. Teman-teman Swansea memang menanti dengan tangan terbuka. Sebelum berjumpa dengan teman-teman di Swansea, Bang Mat Sabu aku bawa roung-round town Swansea – hujan renyai-renyai pula pagi itu. Ambil gambar di hadapan kapal layer di Marina. Aku bagitau, bukan PM Malaysia je ada kapal layar……..kami setakat bergambar je lah!

Kami pergi ke pantai percutian Mambles. Sampai di hujung jalan. Cantik. Akupun first time pi sedangkan jauhnya lebih kurang 5 batu je dari rumah. Kura-kura betullah! Berehat sebentar di Restoran Italy – menikmati kopi Eropah sambil menikmati keindahan pemandangan yang mengadap tiga anak bukit di pinggir laut. Ada rumah api – klasik sekali.

Ambil gambar lagi.

Abang Mat ajak cari market kat Mambles. Mana ada! Yang ada kedai ikan. Ikan mackerel sekilo 6 paun - RM35 sekilo!

Lepas tu? Pi round sekitar universiti Swansea dan pekena Laksane kat rumah Bro. Bob. Singgah ke kedai kebab Bangla – Oasis di St. Helen Street. Pekena lagi.

Kemudian baru balik ke Hanover Street. Rumah teman le. Seorang demi seorang warga Swansea datang bertandang sambil bersembang – berbual tentang multi disiplin! Sambil minum kopi panas dan pekana biskut serta mee goring – kami terus berbual rancak sehingga melewati waktu Magrib. Selepas solat maghrib berjamaah – kekawan dari Cardiff datang menjemput Bang Mat untuk meneruskan jalan perjuangannya yang masih panjang.

Terima kasih Bang Mat! - kerana datang dan juga kerana bawakan barang kiriman keluarga dari tanahair.

Selamat Datang Bapak Pengarah MSD

Pengarah MSD diapit oleh aku dengan Ust. Erfino Johari.


Kami seluruh warga WWMSS (West Wales Malay Student Society) berterima kasih atas kunjungan dan ramah mesra Pengarah MSD yang baru, En. Ahmad Nazeri Sulaiman bersama keluarganya dan pegawai atase agama, Ust. Erfino Johari. Program tersebut diadakan di Masjid Universiti Swansea (teringat pula pada Masjid Universiti Malaya) pada 2 petang 19 Feb. 2007 - Ahad.

Dimulakan dengan ucapan alu-aluan teman sebagai pengerusi majlis. Kemudian, Presiden MASU (Malaysian Student Union), Sdri. Lim dan diteruskan dengan ucapan Penghulu kami, Mohd. Salahuddin Yusuf.

Selepas ucapan daripada En. Ahmad Nazeri Sulaiman – agenda yang dinanti-nantikan oleh perut yang keroncong . Mungkin sebab itulah, maka sesi soal jawab kurang rancak berbanding sembang masa makan. Jamuan ditaja oleh wang saku dan titik peluh kami warga Swansea kerana belum dapat sebarang budget daripada pihak atas-atasan. InsyaAllah selepas ini, bolehlah.

Seperti biasa, acara ambil gambar diadakan bagi menjadi bahan bukti kewujudan program berkenaan. Masing-masing ber`posing’ seadanya sambil menikmati kesejukan angin yang bertiup kencang.

Dengan kehadiran Pengarah MSD ini maka berakhirlah kemarau kehadiran pegawai atasan MSD ke bumi Swansea. (sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 tahun yang lalu)

Terima kasih semua samada yang terlibat atau yang tak terlibat.

Thursday 15 February 2007

Jumaat Yang Bersalji Itu


Allah Akhbar!

Untuk kesekian kalinya dalam hidup ini, Allah s.w.t. memberikan kami rezeki untuk melihat sendiri akan kebesaran ciptaanNya. Kira-kira 11.00 pagi Jumaat 9 Feb. 2007, kaki kanan ini melangkah keluar untuk meneruskan rutin harian, tiba-tiba terhenti seketika. Mata ini terpaku memandangnya. Terasa seperti ada sesuatu yang pernah kutahu akannya. Tapi tiada siapa yang nak kutanya pada waktu itu. Puin-puin putih melayang dari langit yang putih - jatuh ke bumi - yang semakin dilitupi warna putih. Salji! Aku panggil isteriku - untuk melihat dengan mata sendiri akan kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah s.w.t. Ya ! Itulah salji yang selama ini kubaca, kubelajar, kuajar, kufikirkan, kubayangkan - kini terbentang di hadapan mata.

Kusentuh lembutnya salji itu. Sejuk. Lembut. Bajuku agak basah diselaputi salji yang turun semakin lebat - semakin besar.


.......kusambung kembali.

Tuesday 13 February 2007

Kaum Yang Terbunuh

Kaum Yang Terbunuh

Aku adalah sisa

Dari kaum yang terbunuh

Mati di tanah sendiri

Permisi sebelum waktu

Berdiri aku di tanah pusaka

Yang berlembah hiba

Hilang sudah

Rimbun dedaun hijau

Tegak kota batu, pagar keluli

Yang meminggir ke penjuru

Seluruh desa permainanku

Semalam yang memanggil aku

Penuh dingin menikam sukma - berdarah

Menitis mengalir darah

Selendang merah luka bangsa

Jangan lagi bicara soal

Yang kurik itu kendi

Yang merah itu saga

Kerana kaum ini

Telah hilang istilah dan peribadi sendiri

Telah roboh kotanya

Rebah madrasahnya

Ranap gedungnya

Dan remaja gersang hidup

Racun sang penguasa yang rakus

Sedang si tua hilang akal

Mengitung luka bertahun

Di tengah-tengah kamruk pada pangkat dan harta secubit

Rela membunuh sesama rumpun

Mencabut damai

Memenjara lelayang

Yang bebas berterbangan

Suara ini semakin pudar

Hilang sudah susilanya

Mencari kata-kata yang sukar diberi makna

Seperti langkah

kehilangan gagah

Tidak persis lelaki sejati

Yang berani dan berahi

Mencabar zaman

Mengisi ruang

Dan kaum yang terbunuh

Terpinggir di bumi sendiri,

Lemah, dimamah

Terkapai, tak terbela,

Tenggelam, mati, hanyut

Si bangsat yang hilang

Buminya sendiri

Teringat aku pada hikayat lama

Bagaimana Temasik di langgar todak

Bisanya keris Laksamana Bentan

Amuk si Jebat derhaka

Titah berdarah Puteri Gunung Ledang

Ada lagi Musang Berjanggut,

Pak Pandir, Si Kadok menang sabung,

Kampong tergadai.

Aku menuntut hak kaum yang telah mati

Biar kuburnya bertanda akan

Ayat-ayat Tuhan yang hampir dilupakan

Kerana yang tinggal pada kaum ini

Hanyalah ingatan pada keyakinan yang samar

Akan ajaran lama yang ditinggalkan

Berdiri seakan bertafakkur

Kerana al Fatihah belum mampu dihabiskan

Aku terus berdiri dan melangkah

Kerana kau adalah sisa kaum yang terbunuh

Yang ingin hidup lebih bermakna.

Muhaimin Sulam

2006

Sajak ini mula kubaca di tengah-tengah perhimpunan umat di hadapan pejabat SUHAKAM bagi membantah cadangan mengubah Artikal 112. Kemudian kubacanya berkali-kali. Kali terakhir, aku baca di Karnival Halal Ria di Chenderong Balai dengan iringan petikan gitar oleh Zua Apache, gitaris XPDC.

Monday 5 February 2007

Malangnya Kerana Aku Melayu

Sajak ini aku tulis selepas aku mendengar secubit daripada keluhan seorang anak estet yang beberapa keturunannya dilahirkan di tanah ladang salah sebuah daerah di Kedah. Kini anak muda itu berhijrah di Wigon, England. - barangkali mencari kehidupan baru di bumi asing yagn lebih simpati daripada bumi sendiri - hujan batu bertalu-talu. Kebetulannya saya ziarah menyimpul salam persaudaraan. Ceritanya memang mengasyikkan tapi menyedihkan. Mudah sahaja ceritanya. Dia dan keluarganya diusir keluar dari tanah pusaka dan kini tinggal menyewa di Sungai Bakap - satu lagi daerah orang Melayu terpinggir di negeri yang maju. Diusir atas nama pembangunan dan kemajuan. Ada banyak lagi cerita yang sama dari orang yang berbeza. Yang samanya adalah mereka yang mengaku sebangsa dengan sang penguasa negara!


Malangnya Kerana Aku Melayu

Kerana aku Melayu
Aku terus malu untuk bersuara
jauh lebih daripada yang ada
berpada apa yang ada
memandang penuh ikhlas pada yang lepas dan terlepas

Kerana aku Melayu
ayat-ayat pada kitab perlembagaan negara
yang kononnya memberi hak untuk
kalian anak cucu Demang Lebar Daun mendapat apa yang disebut
sebagai biasiswa hanya cerita tawarikh yang tercatat
pada buku kebanggan negara

Kerana aku Melayu
Tanah aku semakin hari semakin menyempit
tidak lagi seluas seperti kangkang si kera di hutan
airnya pun semakin hitam
sesekali tak upaya membasuh merah darahku
yang mengalir di celah kelopak mata

Kerana aku Melayu
Aku semakin tidak berkuasa
untuk bersuara dan mengorak langkah
duduk membeku
diam kematu
menunggu sesuatu daripada langit
jika ada rezeki secupak
menggunung harap

Kerana aku Melayu
terluka dan terluka
berhari-hari pada bahasa sendiri
yang sukar diungkap
yang payah ditangkap

Kerana aku Melayu
terus mengaku Melayu
tidak malu menjadi Melayu
enggan lari dari Melayu
biar sekian lamanya Melayu
itu sekadar satu bangsa
yang megah pada nama
mekar pada suara
tapi lemah pada yang berkuasa
enggan melawan
pantang derhaka
meski merah darah mengalir
air mata telah kering
jerit sakit hilang tenggelam
pada ayat dan langkah yang melukakan




Sajak ini belum siap. Jadi tunggu lah.