...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 27 March 2013

Mengajar Pelajar Universiti

1.  Bertahun-tahun belajar di universiti adalah pengembaraan yang sungguh mengesankan.

2.  Tidak sampai tiga tahun aku mengajar di universiti, satu pengembaraan yang menyedarkan.

3.  Menyedarkan betapa universiti itu adalah sebuah ruang yang masih kecil untuk dihebahkan. Kerana masih  ramai para pelajar yang menagih markah tinggi untuk diisi pada skrol ijazah.

4.  Secalit yang ingin 'membaca yang tiada', 'membaca yang hilang' apatah lagi untuk 'membaca yang ditenggelamkan'.

5.  Aku sedikit terhanyut meski masih selamat dari telanan arus keras.

Menyuburkan Kebebalan Bangsa

1.  Ibu dan anak-anak ayam yang berkejaran mendapatkan dedak padi yang ditabur di halaman rumah adalah tamsilan mudah bagaimana umpan dalam politik memerangkap kecerdasan akal masyarakat.

2. Menghimpunkan segunung andaian yang tak rasional. Mengipas-ngipas rasa kebencian yang berputik tunas.

3. Menawarkan manifesto dari 'syurga' yang membikin negara bakal menjadi 'neraka'.

4. Adalah bagaimana manusia bersiasah untuk menyuburkan kebebalan bangsa.


Sunday 24 March 2013

Pemurah Yang Memurah-murahkan Harga Diri

1.  Waktu inilah, sang jahil berlagak alim. Si kedekut berwajah pemurah dan yang berhidung tinggi, menjadi ahli sufi.

2.  Berlakonlah di depan cermin sebelum keluar rumah. Agar nanti, lakonan itu benar-benar hidup dan menghidupkan survival hidup anda sebagai ahli politik.

3.  Inilah saat untuk tabung dipecahkan untuk diagih-agihkan pada sang pengemis yang miskin. Kerana ada segunung emas yang masih belum terusik di seberang benua.

4. Para pengemis kini beratur-atur dengan perut kenyang dan poket yang penuh di hadapan rumah Sang Pemurah jadi-jadian. Pemurah musim-musiman. Lakon-lakonan.

5.  Mengapa harus berbaris panjang begini, kalau kalian sudah kenyang dan ada duit dalam poket? Aku bertanya dengan bayang mereka yang lebih mengerti perangai tuannya.

6.  'kami akan lapar dan kehabisan wang.....dan kami terpaksa menanti lima tahun lagi untuk berada di kaunter 'janji ditepati' ini'. Bayang-bayang itu tunduk malu sedang tuan pada bayang itu terus berdiri tegak menanti gilirannya sampai.


Bertemasyalah Melayu!

1.  Dalam sebuah lagu dalam filem klasik' Antara Senyum dan Tangis', Momo Latif ajak P. Ramlee 'bertemasya lah sayang' tapi P. Ramlee jawab 'sabarlah dulu Dinda'.

2.  Usman Awang menulis dalam puisinya yang bertajuk 'Melayu', orang Melayu kaya dengan temasyanya.

3.  Malam tadi, aku termacet di bandar Kuantan. Hotel-hotel fully booked dari Gambang, Teluk Cempedak, Indera Mahkota, Beserah dan Kuantan sendiri.

4.  Depan Hotel Green Leaf, berpuluh-puluh bas parking di tepi jalan. Bunga api mencarik-carik kegelapan malam yang bulannya separuh menyala. Dentuman mengegarkan.

5. Orang Melayu (kecik-besar-tua-muda-laki-perempuan) bert'shirt oren 'Janji Ditepati' melintas gagah di tengah-tengah kereta yang berbaris panjang.

6.  Di jari mereka ada beg-beg kertas berisi 'cenderamata' dari pemberrian anak bangsawan Pekan, bandar diRaja Pahang.

7.  Dari raut muka mak cik tua itu, puas hatinya aku!




Friday 22 March 2013

Peristiwa: Membaca dan Mencipta

1.  Setiap saat, peristiwa penting berlaku samada disedari ataupun tidak. Hanya kita sahaja yang dapat menentukan ia penting atau tidak.

2.  Pada kebanyakan orang, mereka mengetahui peristiwa penting melalui pembacaan, menonton tv, mendengar ceramah, internet atau lain-lain.

3.  Bukankah yang penting; mencipta peristiwa penting!

Thursday 21 March 2013

Bubarlah, agar bebas!

1.  Usah lagi berteka teki bila hendak parlimen dibubarkan. Kerana sudah tiada lagi keperluan untuk berteka-teki di saat-saat penghujung waktu.

2.  Bubar parlimen bermakna, perang pilihanraya diistiharkan.dan demam pilihanraya mula berwabak ke seluruh negara.

3.  Inilah kenduri demokrasi terbesar di tanahair. Tawaran dan keghairahan untuk rakyat disuap dengan janji, projek mee segera dan juga wang yang turun dari langit dan keluar daripada perut bumi.

4.  Inilah waktu-waktu rakyat bebas memilih parti, ahli politik mana yang akan mewakili aspirasi mereka.

5.  Bebas?

6. Jangan lupa; ada ubi ada batas, ada budi, ada balas! Kita dapat RM100 setahun, Mereka dapat RM100 seminit!




Saturday 16 March 2013

Hidup Itu Kan Drama

1.  William Shakespeare pernah menulis, hidup itu satu drama, dunia itu pentas sandiwara, manusialah yang menjadi aktornya.

2.  Samada hidup itu satu lakonan atau tidak, kena tanya diri sendiri. Kadangkala boss arah yang bukan-bukan, melayani kerenah boss sedemikian, kadangkala perlu lakonan ringan yang mengurangkan tekanan.

3.  Episod Lahad Datu, hakikatnya kini latar belakang Lahad Datu telah menjadi drama bersiri. Cuma pengarahnya ramai dan stesyen medianya pun banyak. Bercabang-cabang.

4.  Menjelang demam pilihanraya, drama semakin banyak. Rakyat yang bijak tidak sekadar menjadi penonton pasif.




Friday 15 March 2013

Tahniah Sasterawan Negara - Baha Zain

Semasa di Tingkatan 5, aku belajar Kesusasteraan Melayu. Buku 'Titian Zaman' susunan Usman Awang dan Ismail Ahmad adalah antara buku rujukan kami. Selain daripada Usman Awang, Latif Mohiden dan Chairil Anwar, Baha Zain adalah antara penyair yang aku suka.

Dalam buku 'Titian Zaman' itu, sebelah puisinya, aku conteng yang berbunyi...... sikap manusia tanpa mengira pangkat sudah pandai berpura2 dan tidak pernah berlaku benar....... Oleh itu kebenaran itu terletak pada diri sendiri bukan pd pagnkat atau nama.

Aku seharusnya berada di tengah kawan-kawan
atau berbicara dengan diplomat, professor atau peguam
semuanya memiliki kesukaan yang sama
berdusta pada perempuan, anak-anak dan sahabatnya
aku seharusnya tidak menulis puisi lagi......

Baha Zain, Menangguhkan Kebenaran. 1973. 

Wednesday 13 March 2013

Membukukan 'Aku Melayu di Kota Inggeris'

1.  Buku 'Aku Melayu di Kota Inggeris' tidak mengambil mana-mana artikel dalam blog ini. Ia adalah beberapa himpunan sebahagian kecil daripada tulisan aku di Harakah dan Siasah sewaktu aku mengembara di bumi Hamlet.

2. Ada beberapa himpunan tulisan aku yang akan dibukukan dengan mengemaskinikan mengikut perkembangan terkini. Tetapi ini semua memerlukan masa yang bukan sedikit. Kadangkala agak membosankan membaca tulisan sendiri berkali-kali.

3.  Pak Din, ADUN Lubuk Merbau semalam bertanya mengapa lama sudah tidak menulis. Dia kata, sejak dulu lagi dia follow tulisan aku. Aku teringat, kata-kata daripada sebuah buku yang kulupa tajuknya, 'amat mudah menjadi seorang ahli politik tapi sukar sekali menjadi seorang penulis'. Tapi aku tak jawab pertanyaan  Pak Din itu.

4.  Menulis memang sukar. Menghargai penulis seperti kami oleh masyarakat umum lagi teramat sukar. Kesukaran yang tiada tolok bandingnya.

5. Tanyalah pada penulis, berapa orang yang berminat pada untuk membeli buku daripada menerima buku secara percuma?