...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 26 December 2007

Maka Berkatalah Jebat hendak-hendaknya

DARI JELEBU: Hishamuddin Rais

Arkian kesah maka Tun Hukum pun dibunuhlah oleh akan Raja Melaka. Maka gempar rakyat Melaka dodoi menangis hiba apabila mendengar sekian berita. Tidak terhingga sedih gulana rakyat Melaka hingga ada yang enggan turun ke laut, masuk ke hutan, ke ladang berhuma. Tersebarlah berita jauh melata hingga ke Riau dan Bangka.Rakyat Melaka pun mencari-cari Jebat. Di Hilir Melaka gendang dipalu tidak ketemu jua. Di Tanjung Keling disampaikan berita konon Jebat telah naik ke Bukit China.
Maka berkumpul berpusulah rakyat Melaka mendaki Bukit China mencari Jebat yang dikatakan sedang berkhalwat.Tercari-cari rakyat Melaka bagaikan seluang di gigi air. Tertanya-tanya si anu dan si polan di manakah Jebat sedang bertapa. Tidaklah mereka maklum mengetahui bahawa Jebat sedang berkhalwat menyiap diri untuk pekasa.Bilamana pun matahari mulai tenggelam maka letihlah rakyat Melaka maka mereka pun pulanglah ke rumah masing-masing. Duduk berlunjur memicit betis. Mencabut pacat, duri dan selumbar, putus asa mencari mencari Jebat.Tiba-tiba didengarlah seluruh Melaka tentang orang Tanjung Keling yang ramai mula keluar membawa jamong, colok dan pelita dan gegak gempitalah seru sekelian alam.
Maka tersebarlah berita ke seluas negeri tentang orang-orang Tanjung Keling yang berani membawa jamong dan pelita mencari Jebat di malam gelita.Maka sampailah berita ke Bandar Hilir maka orang di sana pun mencari jamong, damar dan getah perca. Maka didengar orang Hulu Melaka maka mereka pun beramai-ramai membuat unggun tempurung kelapa. Lalu didengari orang Pasir Hulu maka mereka pun mula mencari damar getah perca untuk membuat jamong obor membakar pelita.
Maka di riwayatkan pada ketika itu hari itu saat itu bulan pun keluar bersama mencari Jebat. Jamong, suluh, unggun dan pelita menerangi bandar Melaka. Maka hebohlah para peniaga Arab melihat api-api bagaikan bintang di padang pasir. Maka mereka pun sama-sama mencari Jebat.Berita pun sampai ke Serkam maka orang Serkam pun meninggalkan perahu dan layar lalu naik ke darat untuk membuat jamong dan obor. Maka teranglah cahaya hingga ke Pulau Besar.Orang-orang Melaka mencari Jebat ingin menyampai berita matinya Tun Hukum tunggak salasilah teromba adat istiadat orang-orang Melaka yang telah dibunuh Raja atas fitnah Sang Kitul Kerala yang bersubahat dengan Sang Linggam anak cucu Nina Marikan.
Maka orang-orang Melaka bergerak menuju ke Bukit China maka teranglah Bukit China disuluh jamong dan pelita.Lalu ternampaklah oleh mereka akan Jebat sedang duduk bersama Lekir, Lekiu dan Kasturi. Duduk bersama mereka ialah cucu Penghulu Bintan Tun Bersih. Di kiri Jebat tegak berdiri cucu Nina Gulam Sindata Penghulu Tanjung Keling. Di kanan Jebat tegak berdiri anak kepada Mangku Kelaut cucu tiri Hang Li Po pengawal Bukit China bersama sida dan juak-juaknya.Orang-orang Melaka tertungu-tunggu dan ternanti-nanti tidak sabar untuk menyampaikan berita tentang kematian Tun Hukum atas fitnahan Sang Kitul Kerala. Budak-budak kecil terlari-lari mematah belukar dan duri. Orang-orang tua ternanti-nanti mengipas agas dan kelkatu. Jamong dan suluh telah dua kali bertukar ganti.
Maka bangunlah Jebat dari duduknya. Maka berdiri samalah kiranya Lekir, Lekiu dan Kasturi. Maka sebarislah mereka berdiri besama cucu tiri Hang Li Po dan cucu Nina Gulam Sindata Penghulu Tanjung Keling. Jebat pun ke hadapan setapak orang-orang Melaka pun mengundur setapak. Setapak Jebat ke depan setapak orang-orang Melaka mengundur.Senyaplah malam itu. Chengkerik di Bukit China seperti diarahkan oleh roh Hang Li Po agar senyap tidak berbunyi. Kelilawar pun tidur tidak bergerak-gerak. Belatok malam tidak berbunyi hanya nafas dan denyutan nadi orang-orang Melaka yang berbunyi.Maka keluarkan suara dari mulut Jebat lantang dan kuat dari atas Bukit China hingga ke Hujung Pasir hingga ke Hulu Melaka hingga ke Bandar Hilir hingga ke Tanjung Keling hingga ke Serkam dapat didengar. Hanyalah orang di Pulau Besar yang tidur nyenak di gigit agas dan nyamuk.
Maka berkatalah Jebat hendak-hendaknya:Wahai orang-orang Melaka apabila kamu merasa tidak puashati atau tidak berkenan akan sesuatu maka hendaklah kamu memberitahu kepada anak isteri kamu, kaum keluarga kamu, sahabat taulan kamu, jiran tetanga kamu maka, orang-orang kampung kamu. Janganlah hendaknya tidak ada orang yang tidak kamu beritahu akan rasa geram hati kamu dan amarah kamu itu.Maka hendaklah kamu kumpulkan anak bini kamu, sanak-saudara kamu, sahabat taulan kamu, jiran tetangga kamu, orang kampung kamu, kumpulkan semua orang-orang Melaka dan bawalah berita itu hendaknya ke Lubuk China hingga ke Tanjung Tuan hingga ke Linggi hingga hendaknya sampai ke Rembau Labu dan Lukut dan hendaknya sampailah berita ini hingga ke Seri Menanti.Bawalah berita ini kepada Jakun dan Biduanda, Semelai dan Sakai agar hendaknya mereka sama mendengar kematian Tun Hukum dibunuh Raja Melaka difitnah Sang Kitul Kerala difitnah Sang Linggam anak cucu Nina Manikam. Hendak-hendaknya mereka akan bersama kita menyumpit yang jahat membuluh yang zalim.Wahai orang-orang Melaka pada malam ini di atas Bukit China maka berjanjilah kita semua dan ingat mengingatilah kita semua bahawasanya kematin Tun Hukum itu akan membawa bencana ke atas negeri Melaka.
Wahai-orang Melaka apabila kamu merasa tidak puashati maka kamu beraraklah dan berjamonglah beramai-ramai menuju ke istana. Maka hendaklah kamu mengepug istana dan jika sekiranya di jalan kamu bertemu sesiapa sahaja maka ajaklah mereka datang bersama-sama untuk pergi mengepung istana. Jika sekiranya kamu bertemu juak dan sida istana maka hendaklah kamu duduk bicara menerangkan angkara yang amarah kamu yang amat sangat terhadap raja.Hendaklah kamu membawa gendang dan palu agar raja yang sentiasa beradu akan bangun dan bertanya apakah angkara orang Melaka dimalam hari hingar dan bising. Apakah angkara hingar dan bising menggangu beta yang sedang nyenyak beradu.
Wahai orang-orang Melaka berkumpul dan beraraklah kita pada malam ini ke istana. Amarah kamu itu adalah amarah aku juga. Amarah aku itu adalah amarah seluruh roh di Bukit China. Amarah kamu itu adalah amarah cucu-cicit Penghulu Tanjung Keliang. Amarah kamu ini adalah amarah cucu-cicit Wan Empok Wan Melini anak cucu-cicit dari Bukit Seguntang Mahameru.Wahai orang-orang Melaka pada malam ini panglima kita telah segak siaga anak cucu-cicit Penghulu Sidata Tanjung Keling, anak cucu-cicit Hang Li Po dan panglima besar Tun Bersih. Bersama-sama sebahulah kamu wahai orang-orang Melaka.Inilah janji aku kepada kamu wahai orang-orang Melaka, bukan janji aku untuk menjadi raja bukan janji aku untuk menjadi tuan. Di atas Bukit China ini seperti Musa di atas Bukit Sinai seperti Isa di atas Bukit Zaiton inilah aku Jebat anak cucu-cicit Wan Empok Wan Melini dari Bukit Seguntang Mahameru asal usul keturunan aku raja Suran yang turun ke laut anak cucu kepada Iskandar Zulkarnian maka marilah kita bersama-sama mengepung istana raja Melaka.Akulah Jebat yang akan di ingat hendak-hendaknya oleh seru sekelian alam dengan kata-kata Raja Adil Raja Di Sembah Raja Zalim Raja di Sanggah. Marilah kita bersama-sama berarak pada malam ini dan ketika ini dengan obor jamong dan pelita mengepung istana raja.Ingatlah wahai orang-orang Melaka dunia ini hanya untuk mereka yang berani!!
(Ini adalah sebahagian dari teks ucapan Hang Jebat yang pada awalnya dianggap hilang terbakar dalam kapal Belanda Le Fluer dalam perjalanan dari Melaka ke Bengkulen. Teks ini telah saya temui secara tidak sengaja ketika saya membuat kajian ilmiah di University of Leiden pada tahun 1992 – teks asal masih tersimpan daalam arkib University Leiden)

Wednesday 19 December 2007

Pembunuhan Melayu Tak Ternama

Sekali lagi aku bercakap soal bangsa. Ah....sekali pandang macam sealiran puak ultra nasionalis. Sekali baca, semacam nak jadi jaguh bangsa sendiri.


Pembunuhan terhadap orang-orang Melayu yang tak ternama dan bernama sudah berlaku sejak zaman berzaman. Sejak orang Melayu mengenali pemimpin dan yang dipimpin. Duduk sekampong. Tinggal semuara. Hidup di tepi sungai. Berkeluarga di lembah. Barangkali begitu.


Rasanya dah jemu cerita tentang Hang Jebat, Laksamana Bentan ataupun Hang Nadim di Temasik. Rasanya pun dah jemu dengar cerita Tok Janggut, Dato' Maharajalela dlll. Ceritanya sama je. Orang Melayu yang tak ternama itu dibunuh oleh kuasa orang Melayu yang ternama.


Yang aku maksudkan orang ternama adalah merujuk kepada mereka yang diberi tempat dalam kitab sejarah ataupun ada metos`kehebatan' yang diwariskan kepada generasi hari ini. Manakala orang yang tak ternama - tentulah sebaliknya; orang yang adanya tak menambah, tiadanya pun tak mengurang. Pendikata, orang biasa-biasa.


Pembunuhan terhadap rakyat Melayu oleh pemimpin Melayu masih berlaku hingga hari ini. Satu demi satu rakyat Melayu dibunuh secara senyap dan terbuka. Cuma sedar tak sedar. Pembunuhan senyap ialah racun yang menjalar ke seluruh urat saraf tubuh Melayu itu sendiri.






Monday 17 December 2007

Rock Sekejap Beb!

Ok. Aku nak jawab soalan teman yang nak berkongsi tentang idea projek kebudayaan Islam.

Muzik? No problem beb! Aku tak nak bincang soal hukum-hakam kerana proses itu sudah berlalu sejak berzaman. PAS pun ada lagu rasmi. Ada muzik. Ada irama. Ada nada. Semangat beb bila korang dengar lagu rasmi tu! Setiap Muktamar Pemuda PAS Pusat, lagu rasmi PAS pasti akan menjadi agenda majlis perasmiannya. Sekurang-kurangnya sejak empat atau lima tahun kebelakangan ini.Aku yang sudah nak ingat lirik lagupun boleh hafal. Time menyanyi beramai-ramai, memanglah bersemangat –sampai serak-serak. Rocklah beb! Siapa sangka bahawa lirik lagu itu dicipta oleh Yang DiPertua PAS, Dato’ Asri Hj. Muda? Dato’ Onn pun tak buat lirik lagu. Tengku Deramanpun tak buat.....Tapi Dollah Badawi al Hadari buat – puisi kucari al Ghazali........

Dulu time Pop Yeh-yeh sedang kemuncak antara 60an hingga 70an. PAS dengan Perikatan buat kerajaan campuran 1973, ……..bagaimana parti Islam nak buat ni? Rakyatnya sedang beryeh…yeh..yeh…yeh. Kemudian, Ust. Hassan Shukri yang ketika itu jadi Ketua Pemuda PAS buat konsert El Suraya dan Orkes Medan terutama di kawasan rancangan Felda. Lagu-lagu macam Selimut Putih, Hidup Ibarat Pelita dan macam-macam mula masuk ke dalam muzik perdana semasa. PAS terpaksa import kumpulan nasyid daripada Indonesia untuk membawa perubahan muzik tanahair. Ini mungkin kerana anak-anak muda PAS pun sudah terpengaruh dengan pop yeh-yeh. Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Parit, Hashim Ghera dipecat kerana menari di dalam majlis perasmian pembukaan sidang parlimen Malaysia. Tindakan disiplin ke atas ahli parlimen PAS terpaksa dibuat kerana untuk menjaga nama baik parti. Walaupun sebenarnya, majlis macam itu adalah perkara biasa. Time itu, parlimen ada bar untuk ahli parlimen menongging. Aku tak pasti lepas minum, depa pi berbahas kat parlimen dalam keadaan bawah sedar ataupun mamai-mamai lagi. Korang boleh bayangkanlah time tu bagaimana keadaannya.

Bila aku sampai kat UK ni, ehhh… rap pun ada yang bawa mesej Islam? Soldier of Islam. Dengan pakaian Hip-hip mereka, mereka bawa mesej…..Kalau dengar lagu-lagu Ramli Sarip sejak kebelakangan ni…… wow memang ada mesej yang cukup mendalam. Dulu time Mawi datang buat konsert di Kota Bharu yang sedikit menimbulkan kegawatan, kerajaan Kelantan nak jemput Ramli Sarip tapi entah kenapa tak jadi. Akhirnya sifu Mawi yang datang – M. Nasir. Samada M. Nasir atau Ramli Sarip – kedua-duanya memiliki keunikannya tersendiri. Bukan lirik lagu sahaja yang bermakna tapi personalitinya juga menarik.

Pada fikiran aku tiada masalah nak buat konsert yang sebegini.

Jika nak buat projek kebudayaan dengan bertujuan untuk mempromosi Malaysia, tentu lebih menarik. Jika sasaran penonton kita adalah orang UK – mereka mahu sesuatu yang ori daripada Malaysia. Carilah budak-budak muda yang jarinya mampu menjinakkan gitar dengan lagu Melayu asli, zapin, keroncong ataupun ghazal. Mesti ada punya. Tak kan satu Bristol tak ada. Tak jumpa cari di Manchester ataupun di Nottingham. Rasanya tak perlulah import dari Malaysia semata-mata untuk mereaslisasikan projek ini.

Jika sasarannya orang kita sendiri – layan rockpun tak apa. Rock Ramli Sarip pun ada mesej la. Lagipun, ini agenda sampingan kerana katanya agenda utama adalah agenda makan. Aku teringat sewaktu aku menghadiri Persidangan AMSEC di Bogor, Indonesia – peserta persidangan itu adalah terdiri daripada pemuda-pemuda gerakan Islam di Asean. Time kami makan, kami dihidangkan dengan persembahan nyanyian live. Time tu, ada PAS, PKS, PPP, entah macam-macam lagi pertubuhan pemuda Islam. Muziknya sekadar-kadar itu je. Yang penting perbincangan kami semeja. Itu lebih rancak walaupun muziknya sentimental!

Kita mungkin boleh buat persembahan silat pencak ataupun tarian singa. Kita boleh buat tarian kuda kepang atau zapin jika berkemampuan. Nabi dan Aisyah pernah menyaksikan persembahan tarian sewaktu majlis pengantin. Ketika itu yang menari adalah dari kalangan perempuan. Nabi tak melarang persembahan itu. (Namun dalam konteks kita pada hari ini, aku fikir tangguhlah dulu – sebabnya kalau dibenarkan orang perempuan menari – gedik pula nantinya! – aku tak habis kaji lah bab ini)

Tarian kebudayan selain kebudayaan Melayu tiada masalah untuk dipersembahkan di khalayak ramai. Ini satu kaedah untuk memastikan projek kita dapat sokongan daripada pelbagai pihak. Projek sesama orang kita memang tak menjadikan projek kita grand.

Selain daripada itu, perkara yang penting selain daripada pengurusan yang baik, peralatan yang cukup, persembahan yang sudah dipastikan – publisiti mestilah kena kreatif dan effektif.

Berdasarkan tentative program – carilah satu acara yang dianggap unik dan menarik – jadikan ia sebagai satu daya tarikan untuk orang datang. Kalau tentative itu melibatkan orang popular – itu sudah senang. Tapi kalau tak ada, cuba cari persembahan yang popular dan unik seperti tarian kuda kepang, pencak silat, persembahan permainan tradisional sperti wau bulan dan gasing. Wayang kulit. Acara baca puisi – rasanya tak begitu menarik minat. Takut pembaca puisi syok sendiri!

Kadang-kadang tetamu juga boleh dijadikan bahan publisiti kita. Contohnya, jika ada tetamu istemewa yang dikenali ramai – jangan lepaskan untuk publisitikan kedatangan tetamu itu kerana dia akan membawa `peminat’ ataupun `penyokong’nya ke majlis kita. Kena main politik sikit beb! Kalau tetamu itu high sikit kerana berbeza fikiran dan pandangan – jemput dia naik ke pentas untuk baca pantun ke, - jangan panjang-panjang nanti merapu pula. Konon-kononnya kita ni menghargai `bakat’nya tapi sebenarnya untuk menarik kedatangan `peminat’ dan `penyokongnya’ datang ke majlis kita.

Aku bagi contoh pengalaman yang pernah aku lalui dulu. Kami buat Karnival HalalRia – tiga hari empat malam di kampong aku. Pesta sakan. Antaranya, kami buat acara pertandingan kompang - alaa......koman sungguh! Mana orang muda sekarang main kompang-kompang! Idea itu nampak agak ketinggalan zaman. Bila nak cari pengadil – mestilah dari kalangan pakar-pakar kompang yang semakin pupus di tenggelam zaman. Orang PAS – memang tak mainlah kompang-kompang ni. Orang UMNO? Ohhhhhh mestilah! Orang UMNO memang mempertahankan tradisi yang begini. Akhirnya, orang UMNO (Tok sidang, beb!) kita lantik jadi Ketua Pengadil Pertandingan Kompang di Markaz PAS. Dia panggi dua orang pembantu pengadil – mestilah daripada kalangan UMNOiun juga. Tengok dia datang bersongkok senget hari pertandingan itu!

Walaupun peristiwa itu bukanlah satu benda ajaib Malaysia. Tapi ini membuktikan bahawa semangat kekompangan mengatasi semangat kepartian! Akhirnya ramailah orang UMNO datang menyertai pertandingan itu. Akhirnya pantang orang UMNO masuk ke kawasan markaz PAS telah berlalu kerana `kebijaksanaan’ politik kita. Jangan pakat nak bolot semua orang kita kena buat. Tak upaya orang kita buat semua. Kalaupun ada kemampuan, itu bukan cara kita sebagai pemimpin. Bila kita menjadi pemimpin – kita kena menjadi pemimpin kepada penyokong dan pihak pembangkang kita. Barulah kita dilihat dan dianggap sebagai pemimpin berwibawa. Kalau masih menjadi pemimpin untuk orang kita sahaja – maka sama jugalah standard dengan Ketua JKKK!

Jadi, carilah sapa-sapa kat area korang yang bakal dijadikan `umpan’ untuk projek kita. Maya Karin datang ke Kota Bharu time Mini Festivel Filem Islam Kota Bharu – itu politik nak tarik orang ke festival itu. Sama juga dengan kedatangan Mawi ke Kota Bharu – itupun politik. Time tu tengah gila Mawi sakan – politiknya adalah kita jemput dia ke tempat kita. Kalau time tu ada pilihanraya dan Mawi bertanding – sah menang ! Sebab itu, bila pilihanraya kecil Pengkalan Pasir di Kelantan, BN dan PAS cuba usung mamat tu ke majlis kempen. Dia tak cakap politik – dia nyanyi dan nari je. Tapi ada faedah politik yang diperolehi oleh penganjur. Sayangnya, time tu PAS tak dapat nak bawa Mawi.

Aku fikir lah......jika nak tarik penonton daripada kalangan warga local – elok cari yang betul-betul ori daripda Malaysia. Aku teringat Pak Ungku Aziz cakap – cubalah korang (Persatuan Mahasiswa Islam UM) buat konsert ghazal – saya pun sokong, kata Pak Ungku bila kitaorang buat protes Konsert Headwind. Ini semua pakat nak protes dan boikot tapi suruh buat alternatif tak reti. Stupid betul! Inilah waktunya kita yang disebut sebagai wakil Barisan Alternatif buat alternatif kepada projek semasa. Memang survival beb!

Aku ingat – budak budak muda sekarang pun teringin nak tengok acara macam itu. – ghazal, wayang kulit, zapin, keroncong. Apa lebihnya Kitaro? Kan kerana keupayaan Kitaro mengaplikasikan instrument muzik asli dengan moden. Aku fikir tak menjadi masalah jika kita jemput pemuzik local buat persembahan. Contohnya kita jemput orkestra dari sekolah yang berhampiran kerana semua sekolah kat UK ni ada kumpulan orkestranya. Minta diaorang mainkan lagu-lagu Malaysia seperti lagu-lagu klasik, P. Ramli dan juga lagu popular semasa. Tapi mungkin kena bayar sikit – anggaplah itu sebagai perbelanjaan publisiti. Iklankan – pemuzik local mainkan lagu Malaysia! Contohnya – iklankan Lagu P.Ramli versi UK Orkestra. Kalau bayarannya berdasarkan berapa banyak lagu yang nak dimainkan – mintalah jumlah lagu yang paling minima.

Cuba bayangkan orang putih main muzik `Di Manakan Kucari Ganti’. Ataupun nikmati kerancakan irama lagu `Gelang Sepaku Gelang’. InsyaAllah boleh.





Berangan Buat Konsert


Alam berangan atau mimpi lebih luas dan mengasyikkan. Kadangkala tak terjangkau oleh akal, kita boleh melewati garis rasional. Mimpi menjadi raja. Itu semua boleh berlaku. Tapi mungkin dalam mimpi.

Alam bercakap juga agak luas dan sangat mudah. Cakap saja apa yang nak dicakap. Cakap selagi ada suara. Tak kisah samada ada yang nak dengar atau tidak. Kebebasan bercakap mungkin sama dengan kebebasan mendengar. Cakap yang betul atau rekaan akan bergantung kepada yang nak bercakap. Mungkin dia cakap betul tapi orang tak percaya. Ada yang cakap tak betul, tapi ada juga yang percaya.

Satu lagi alam yang aku nak tulis ialah alam amal. Alam nak buat. Ini satu lagi kerja yang agak susah. Berbanding alam cakap dan alam mimpi. Bercakap tentang Islam sebagai satu cara hidup – memang mudah. Semudah melepaskan kata-kata dari mulut tak berpagar. Cakaplah apa yang nak cakap. Contoh paling retorik ialah kembali kepada al Quran! Memang ungkapan itu betul dan tidak boleh dipertikaikan. Tapi soalnya bagaimana? Ini yang susah nak buat. Tukang cakap memang ramai kerana ia tidak memerlukan bakat ataupun kemahiran.

Selepas alam amal – adalah alam amal yang berkesan ataupun sesuatu pekerjaan yang dilakukan mencapai matlamatnya. Ini tentu lagi susah daripada alam amal. Buat kerja memang boleh tapi belum tentu berjaya. Kita susah-susah buat sesuatu benda tapi tak ada kesan ataupun tidak mencapai matlamatnya. Kita hanya merancang – Allah jua yang menentukannya.

Idea nak buat projek kebudayaan atas nama Islam? Ohhhhhh pening sekejap nak fikirkan beb! Tapi aku cuba berkongsi dengan kalian yang berminat nak buat projek ini. Ini projek memang tak masuk RMK9. Kerajaan Kelantan baru-baru ni buat Mini Festival Filem di Kota Bharu. Jemput Maya Karin dan Pengarah Filem Iran, Majid. Ok. Dulu YB. Husam minta aku buat sebelum aku pergi ke UK. Aku cakap, tak masalah. Dalam kepala aku sebenarnya masih `blurr’ lagi. Bukan kabur tapi kelabu nak cari konsep yang munasabah. Rizal marah kat aku sebab tak teruskan projek itu. Dia bilang nanti orang lain yang buat projek tu. Memang time tu, YB. Husam cari sapa-sapa yang boleh angkat projek filem itu sebagai projek kerajaan. Melepas kita, katanya.

Anual Bakri, Setiausaha Politik Tok Guru Nik Aziz ajak kami berjumpa dengan Tok Guru di Rumah Kelantan, KL. Tok Guru cadangkan pada Disman buat filem tentang kisah pembukaan kota Mekah. Tapi time tu, Dinsman dah serik buat filem kerana filemnya habis dicetakrompak oleh orang PAS sendiri! Ahhh... orang PAS pun cetak rompak? Bukan, ini kapitalis kecil-kecilan yang jual VCD dan kaset time ceramah PAS. Dinsman habis ribu-ribu ringgit kerana filem itu. Nasir Jani yang jadi pengarah filem itu bengang. Apatah lagi Ito Blues yang anti cetak rompak – dia lagi bengang sama. Kadangkala dia kata PAS UMNO sama je bila berhadapan dengan kes cetak rompak ni. Susahlah ko ni Ito....aku kata ini bukan soal PAS UMNO, ini soal kapitalis. Artispun bermasalah juga. Kerana dia nak nama, lantaklah soal cetak rompak. Dia ada persembahan pentas, konsert yang lebih menguntungkan. Nasir Jani kata, jangan risau tentang Ito......bluesss selamanya!

Kemudian, aku dengan Rizal jumpa Jeff Hazmin, seorang graduan muda UIA – pencipta lagu nasyid yang bekerja dengan satu stesyen televisyen swasta Islam (Ansar Channel) dekat area Wisma Imbi. Tanya ideanya. Sebelum itu, aku dengan Ust. Idris Ahmad serta Setiausaha aku, Safarizal jumpa Norman KRU di pejabatnya. Dia cadangkan agar kami buat tayangan amal untuk filemnya yang akan ditayangkan – Cicakman. Kah....kah....macamana ni beb?

Terakhir sekali aku bincang dengan kawan aku yang kini jadi orang kuat UMNO di PWTC. Dulu time kat kampus, tamrin sekali, demonstrasi sekali – tapi akhirnya dia masuk UMNO. Oleh kerana dia kerja dengan dengan Pak Menteri yang jaga Kementerian Penerangan, ahhhhh....seganlah aku nak bincang pasal idea-idea aku ni. Walaupun dia masih gunakan ana-anta-syeikh, aku sekadar perkenalkan Jeff dengan dia. Biarlah dia cari peluang seterusnya. Stop.

Akhirnya aku tingalkan tanahair – tinggallah idea itu.

Thursday 13 December 2007

Tangkap! Tangkap! Tangkap!

Siri penangkapan rakyat Malaysia kembali bermula. Satu tangkapan demi tangkapan sudah, sedang dan akan dibuat. Setakat dua tiga hari kebelakangan ini - kira-kira 40 orang sudah ditangkap termasuklah kanak-kanak yang berumur 13 tahun (Abdul Muhaimin Roslan). Ahhhh kita senama. Ok.ok tak apa. Teruskan.

Pada orang yang kena tangkap - ia tidak melemahkan. Tapi orang yang melihat orang lain kena tangkap mungkin ada yang semakin menjadi kecut dan menganut ajaran takusisme. Manakala yang satu lagi mungkin bertambah marah dan bersemangat - kerana tak kena tangkap!

Tangkap!

Tangkap!

Tangkap!

Biar atas nama apa pun. Jangan hitung lagi berapa lokap yang ada. Jangan hitung apa Akta dan Peruntukan mana yang hendak didakwa. Tangkap dulu. Soal lain, kemudian kira.

Tangkap demi penangkapan menunjukkan kesabaran sang penguasa sudah berakhir. Nampak seolah-olah mereka gagah tapi mereka dalam payah yang amat. Nampak mereka kuat tapi sebenarnya sedang menuju nazak.

Hanya kita yang bebas - perlu menangkap jalan-jalan ke arah perubahan yang membolehkan kita bebas dari penjajahan minda dan kerangka rasa takut yang panjang.

Monday 10 December 2007

Puisi Buat Si Bangsat: Revolusi Rakyat !

Revolusi Rakyat!

Saudara-saudaraku sedarah dan setanahair

Telah sekian lewat yang berlalu
Musim beredar dan pergi
Berkali-kali jatuh dan terluka
Terbaring kaku
Terperangkap pada akal yang singkat
Pada Sang Setan yang berkuasa

Bangun kalian yang disebut bangsat
Di bumi merdeka,
Atas nama keadilan dan kebebasan

Bangun kalian rakyat
Tumbangkan tembok keangkuhan
Lawan rasa ketidakpedulian
Takut yang panjang

Saudara-saudaraku senadi dan seurat

Berdiri kalian
Gelodakkan ombak umat
Berperang
Pada musuh tanah pusaka
Taruhkan tubuh dan jiwa kalian
Ayoh angkat pena, tangan dan fikiran
Catatkan warna merah
Pada satu lagi
Sejarah revolusi
manusia


10 dis. 07
alexandra tce
brynmill, swansea

Saturday 8 December 2007

Winter Sonata 1




Angin bertiup kencang. Bunyi seperti suara ombak mengempas ke pantai berbatuan keras. Berterusan bunyi yang kadang kala mengerunkan. Mengerikan. Mengingatkan kembali amuknya Tsunami pada suatu ketika dulu. Pokok-pokok yang tinggal batang dan ranting bergoyang ditiup angin. Tiada lagi daun yang berguguran.

Sejuk yang mengigit masih belum hilang meskipun kuhirup secawan dua teh panas. Malas nak keluar hari ini. Hujan masih turun. Biarpun rentik-rentik tapi cukup untuk menghilangkan keinganan untuk bersiar-siar. Langit terus kelam. Matahari sudah beberapa hari tak kelihatan. Kulepaskan pandangan mata ini ke luar tingkap dapur. Kaku seketika pandangan itu. Tingkap yang luas itu meluaskan pandangan mata meskipun sekadar sudut pandangan di belakang rumah jiran.

Malam terlalu cepat hadir. Siang pula semakin singkat. 4.15 petang sudah masuk waktu maghrib. 5.40 petang sudah Isya’. Mata pula seolah-olah terikat pada waktu yang kelam. Seperti sukar mengawal rasa mengantuk yang tiba-tiba serasi dengan rasa yang dingin dan keadaan yang kelam. Sesekali seharusnya aku bersyukur pada Allah yang memudahkan untuk aku melelapkan mata. Sesekali pula aku berdoa agar jangan terlalu dimudahkan mata aku melayan keinganan berehat panjang. Ya...sekadar untuk berehat, tentu tidak mengapa.

Buku-buku yang Dr. Dawoud pinjamkan masih tersusun pada rak. Baru dua tiga buku yang kubuka dan baca. Kubelek-belek helaian yang ratusan jumlahnya terasa seperti memualkan. Masih lagi tentang sejarah yang merumitkan. Cerita yang hanya merangang kekeliruan dan ketegangan fikiran. Masih lagi tentang persoalan yang berbolak balik tak kunjung padam dari dulu hingga sekarang. Namun, aku perlu duduk di sini. Menatap satu demi satu helai buku. Kekadang mengundang mimpi yang sukar difaham.

Buku `The Formation of Islam’ tulisan Berkey menyentuh tentang pengaruh Yahudi dan Nasrani pada ajaran Islam termasuklah di dalam al Quran. Termasuklah soal-soal ibadat orang Islam pada hari ini. Mereka tidak tahukah betapa Islam suatu ajaran yang bermula daripada Nabi Adam a.s. dan sempurnanya dengan hadirnya nabi yang bernama Muhammad s.a.w.? Abraham, Moses dan Jesus juga adalah nabi-nabi kami. Bahkan kami beriman pada kenabian dan kerasulan mereka. Kami beriman juga akan Torah, Talmud dan Bible sebagai wahyu Ilahi kepada nabi dan rasul-rasulNya. Beriman pada kitab yang asal. Biarpun sehingga kini aku tak pernah membaca kitab yang kalian katakan sebagai Torah, Talmud dan Bible.

Teringat aku pada buku Syed Qutb, `Milestone’ yang baru kubeli dari Amazon tentang acuan pemikiran barat yang rosak dan merosakkan. Rosakkah fikiran ini nantinya? Ahhh….kadangkala aku tidak mempercayai keupayaan akal aku berfikir yang lebih rasional.

Kemudian karya Era M. Lapidus, ‘A History of Islamic Society’ yang diterbitkan oleh Cambridge Univ. Press seolah-olah ingin mengocakkan keyakinan sejarah yang tertanam selama ini. Professor sejarah dari University of California, Barkeley. Rujukannya kebanyakan daripada buku-buku bahasa Arab, Perancis, German dan English. Dr. Dawoud, supervisor research aku suruh baca buku bahasa Arab. Aku cakap, aku tak tau berbahasa Arab. Dia Tanya, boleh ke aku baca al Quran. Tentulah aku cakap boleh. Dia buat kesimpulan mudah; kalau begitu kau boleh baca buku bahasa Arab! Lalu, dia serahkan tiga buah buku bahasa Arab. Akupun terima seperti tidak mahu menolak ego sendiri.

Teringat pula aku buku Hamka tentang sejarah Islam. Paling tidak buku Dasuki yang kubaca sewaktu tingkatan enam dulu. Entah kat mana buku-buku itu kuletak. Aku rasa dah lama tak nampak pada almari buku aku. Banyak pula buku sejarah yang perlu aku baca kali ini. Aku bukan nak buat kajian sejarah. Aku nak kaji kepimpinan politik. Kerana akibat kepimpinan politik terlalu besar kesannya pada ummah. Jika bukan kerana nakhoda yang bijak mengawal bahtera di laut samudara yang bergelora keras, tidak akan sampai ke pelabuhannya. Bijak mengawal kemudi, pintar menghadang angin, hikmah dalam mengatur awak-awak di kapal. Laut bergelora, angin berhempas bayu, lantai bahtera tetap lurus terbaring. Kaki nakhoda tak terangkat tapaknya. Matanya bersinar. Tangannya digengam panas.

Tapi sejarah juga akan menjadi sandaran pada kajian hadapan. Sejarah memenatkan. Kadangkala mengujakan. Terpulang bagaimana menentukan posisi aku membaca bahan itu. Sejarah sebagai sebuah novel. Sejarah adalah lukisan zaman yang penuh warna warni. Sejarah hanya sebuah puisi. Atau sejarah sekadar cerita picisan sang propaganda yang berkuasa.
Gambar: Mumbles Beach - jika kalian ke Swansea, barangkali di sini kita boleh mengirup secawan Cappicino di restauran Italy sambil berbual tentang Stalin, Leon Trosky, Che', Ali Syariati, Mawdudi, Syed Qutb atau mungkin juga Mat Sabu yang berfikiran kiri dan revolusi. Tentu dingin di Swansea akan hilang kerana hangat perbincangan kita itu.

M. Nasir & S.M Salim Berseloka Bangsa Melayu

Seloka Cak Kun Cak

Satu masa yang telah silam
Tak dapat diambil kembali
Melayu masyhur serata alam
Hidup mewah gagah sekali
Pahlawan kita ramai terbilang
Ditakuti ramai perwira
Melawan musuh tak terbilang
Keras semangat kerana bangsa
Gerak semangat kerana bangsa
Dialog itu orang dulu,
berani rajin
Kelekaan jangan dikenang
Lautan juga kelak direnang
hampir tinggal sehelai benang
bencana sengaja dipinang
jika perhati bangsa dagang kapak beliong,
di tangan memegang kekayaan hendaklah diregang
akhirnya saudagar pangkat dijulang
(korus)
Disulami syair termasyhur
usahlah berdengkur
Kita jua yang bertafakur
Yang mana khilaf
tegur menegur

laallalala

kulitnya bersih, hatipun bersih
budi yang baik hatinya pengasih
kulitnya bersih, hatipun bersih
memikul belati tiada yang memilih
Jadikan bersih, hatipun putih
Berkata benar bermulut fasih
Jadikan bersih, hatipun putih
Biarlah khazanah pintu terpilih

hohoohoh

Awak yang payah membelah ruyung
Orang bertandang yang beroleh untung
Akhirnya kita tak akan dihitung

Thursday 6 December 2007

Cerita Asal Usul Aku Melayu

Sudah ditakdirkan aku dilahirkan sebagai orang Melayu – Bumiputera di sebuah tanah yang disebut sebagai Tanah Melayu ataupun Malaysia. Nama Tanah Melayu ditukar menjadi Malaysia selepas pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 dengan wujudnya gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak – hampir-hampir Brunei menyertai gabungan ini.

Perkataan Malaysia adalah gabungan dua kosa kata Malay dan Sia. ‘Malay’ adalah perkataan Inggeris yang merujuk bangsa Melayu sebagai pribumi asal negeri ini dan ‘Sia’ adalah perkataan Latin yang bermakna negara. Orang Inggeris sebut Tanah Melayu sebagai Malaya. Suatu hari itu, waktu kami berjalan-jalan – terjumpa bekas Tentera Laut British yang berkhidmat di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke Dua. Pada mereka, Tanah Melayu sebagai Malaya. Kami kata dah tukar dah…..Malaysia! Oh baru dia tahu. (tak ikut perkembangan atau perkembangan kita tak berkembang luas?)

Apabila Singapura keluar daripada Persekutuan, maka yang tinggal hanyalah Sabah, Sarawak dan Malaya. Bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pengenalan, masyarakat telah dibiasakan dengan menggunakan istilah Malaysia Timur merujuk Sabah dan Sarawak dan Malaysia Barat merujuk Semenanjung Malaya. Kini istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur sudah hilang hasil daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan. Biarpun dari segi persepsi masih belum terhakis. Persepsi orang `Semenanjung’ masih tebal cuma dapat diseimbangkan dengan masalah pendatang asing terutama daripada Filifina.

Perlukah kita kembali kepada istilah asal: Persekutuan Tanah Melayu? Panjangnya nak sebut. Kan senang sebut Malaysia!

Apapun nama dia ataupun dari mana asal usul nama sesuatu itu, sekarang tidak begitu memberi makna. Bukan semua nama yang baik akan menjadi baik kerana namanya. Begitu juga sebaliknya. Ada nama Muhammad tapi jahat macam Abu Lahab. Namun tak ada orang tergamak nak letak anak mereka nama Abu Lahab.

Berbalik nama Malaysia – ia telah memberi makna baru selepas Merdeka. Malaysia adalah negara bersama – tanpa mengira kaum, agama dan etnik. Dasar mengutamakan Melayu sebagai bumiputera hanyalah kesepakatan sosial yang lalu. Biarpun tak bertulis tapi sejarahnya memberi peluang untuk pelbagai pihak mempersoal dan mempertimbangkannya. Hari-hari semakin berlalu, hari-hari semakin membuka kembali lembaran sejarah lama. Ada yang keciwa. Ada yang harap. Ada yang nampak `stupid’nya. Ada yang menaruh ada sesuatu. Tapi adalah. Jangan: Ada yang tak ada apa-apa!

Melayu terlalu diagungkan sehingga ia menjadi suci dan tidak boleh disentuh. Kerana hidup Melayu dibiarkan bertakhta atas impian dan perasaan dalam tempoh yang lama – akhirnya orang Melayu tenggelam dengan impian mereka sendiri. Dan akhirnya, namanya tenggelam dengan makna-makna yang baru.

Perkembangan muktahir memperlihatkan betapa makna-makna baru Malaysia semakin saling kukuh memperkukuhkan dan runtuh meruntuhkan!

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba bawakan
Kalau sungguh bagai dikata
Jiwa dan raga hamba serahkan!

Maaf itu bukannya pantun `cinta terlacur' Tun Teja dengan Hang Tuah tapi seiras pada sumpah Dr. Burhanuddin al Helmy tatkala negara bergelut dengan erti kemerdekaan. Merdeka atau Hidup Melayu?

Yang kupilih: Hidup derhaka!

Wednesday 5 December 2007

Fitnah Perkauman Bangkit Kembali?


Membaca puluhan artikel, berita dan e-mail muktahir ini - kita sebenarnya hampir terperangkap pada jerangkap perkauman. Membaca tajuk di atas juga sudah membayangkan betapa aku juga nyaris terjebak lembah fitnah itu.


Api perkauman spt api di dalam sekam. seperti fitnah yang tidur. Sesiapa yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur, Allah s.w.t. akan melaknatnya (begitulah kira-kiranya sebuah makna hadis yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Ust. Fadzil di Parlimen). Tindakan HINDRAF jika ibarat langkah menggerakkan fitnah yang sudah semakin tidak nyenyak. Samada ahli politik, akademik, pekerja ataupun rakyat biasa - memiliki tanggungjawab yang sama.



Kotak fikiran rakyat semakin disempitkan tidak seperti penjara yang semakin dibesarkan dan diperbanyakkan. Masing-masing terlalu memikirkan soal perutisme dan meminggirkan soal akal dan budi. Mungkin beberapa idea mudah di bawah boleh dikongsi sama:


1. Apabila datang kepada kamu membawa satu berita - maka periksalah berita itu. (kira-kira itulah maksud daripada sebuah hadis)


2. Sejarah - seperti kata Foucault, sejarah adalah produk orang yang `berkuasa' bukan daripada discovery of truth, traditional dictum in sc. and philosophy. Kekadang perang belum bermula, keris masih di pinggang, senapang belum berisi peluru tapi `yang berkuasa' sudah memukul gendang perang! Satu mainan emosi yang boleh membenamkan akal fikiran yang naif.


3. Apabila Si Jebat dan keturunannya sudah dibunuh, maka yang tinggallah di keliling istana Sultan hanya orang-orang seperti Si Kitul dan Si Mendaliar. Sultan tidak lagi bertakhta seperti Sultan Mahathir Muhammad yang autokratik (semestinya tidak demokratik) tetapi kini Sang penguasa bagai pengembala yang kehilangan kambingnya! Sekurang-kurangnnya Sultan Mahathir boleh menguasai dan bukan dikuasai. Aku tak merinduimu Sultan Mahathir tapi sekadar terasa agak nostagiatik (mungkin juga romantisme) bila di berada di tanah orang!


Sekadar lontaran fikiran yang memerlukan taakulan kalian sendiri.
Photo: Algarve beach - Portugal. Kucari waris Alfonso de al Burquerque.

Monday 3 December 2007

Universiti Made by UMNO

Semalam baru saja aku berbincang dengan kawan aku tentang universiti di Malaysia. Kemudian, akhbar arus perdana menyiarkan pandangan Bank Dunia tentang pendidikan tinggi Malaysia yang kritikal. (atau nazak?) Bank Dunia menyarankan, pembaharuan yang hendak dibuat perlu memberikan perhatian kepada beberapa perkara iaitu:
* Memilih model tadbir urus dan kewangan yang lebih efektif.
* Meningkatkan keseluruhan kualiti universiti dengan memberi fokus kepada program akademi, pengurusan fakulti, dan pembelajaran.
* Melengkapkan graduan dengan ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan.
* Mengukuhkan sistem inovasi kebangsaan dengan mewujudkan rangkaian kukuh antara firma-firma di Malaysia dan universiti-universiti.
Pandangan Bank Dunia itu dinyatakan dalam buku laporan berjudul Malaysia dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan: Membina Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia yang diterbitkan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
Bank Dunia mencadangkan beberapa tindakan untuk menggalakkan inovasi di kalangan universiti tempatan, antaranya:
* Pembiayaan penyelidikan secara kompetitif dan terpilih.
* Melibatkan universiti-universiti dalam pembangunan serantau.
* Mengukuhkan hubungan antara universiti dan industri.
* Mewujudkan kursus-kursus keusahawanan.
Ok. Cadangan itu memang bagus dan bukanlah suatu perkara baru. Aku fikir dah lama cadangan yang serupa disarankan sebelum ini. Cuma tinggal nak buat atau tidak. Bak kata Hemlet; To be or Not to be?

Pembinaan universiti seharusnya berasaskan falsafah universiti diwujudkan bukan disebabkan factor ekonomi dan politik. Meskipun kita tak dapat elak faktor-faktor tersebut namun jangan jadikan universiti medium utama politik dan ekonomi. (Kita bincang waktu lain tentang falsafah universiti)

Satu contoh yang mudah – universiti di Kelantan. Kata MB Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz, entah berapa kali dilancarkan universiti di Kelantan tapi batang tubuhpun tak ada lagi. Sebab apa? Sebab UMNO kalah di Kelantan. Cuba tengok di Terengganu, menang saja BN semasa Piliharanraya Ke 11, terus tubuhkan Universiti Darul Iman Walaupun sebenarnya cuma menaikkan taraf KUSZA sebagai kolej kepada universiti.

Sepatutnya UMNO mencontohi bagaimana MCA menubuhkan Universiti Tengku Abdul Rahman tanpa mengorbankan KTAR. Akhirnya MCA berjaya menubuhkan dua institusi pendidikan tinggi. Nasib KUSZA sepertilah juga dengan ITM. ITM dinaikkan taraf sebagai universiti sepertilah kisah rumah tukar cat! Universiti kosmetik jadinya nanti. Itulah Universiti Made In UMNO.

Polis UK Masuk Ke Rumah Kami!

Baru sebentar tadi, polis masuk ke rumah kami. Kerana kami bukan orang bersalah - oklah. Mereka datang kerana mereka dapat laporan ada dua orang `menceroboh' masuk ke pintu pagar belakang rumah kami. Haaaa? Isteri aku sejak tadi ada di dapur memasak untuk makan tengahari ni. Tak nampak apa-apa pun. Polis kata dalam 20 minit yang lalu. Kami kata tak perasan. Ok tak apa, kata polis tu yang berpuas hati selepas memeriksa pintu belakang rumah kami.

Cuma nak kongsi pengalaman. Kira-kira cekap ke atau peka ke atau betul tindakan polis tu berbanding dengan polis Malaysia?

Sunday 2 December 2007

Puisi Raudah II part 1 of 2

Puisi Raudah II part 2 of 2

Acara Membaca Luka Sebuah Bangsa di Nottingham City.

E-mail & E-group: Ukuran Kebebalan Sang Intelektual

Ada dua perkara yang aku nak cakap; bebal dan teknologi komunikasi. Arwah Prof. Hussin al Attas pernah menyuarakan konsep bebalisme dan prof. kangkung pada suatu ketika dulu. Dan aku cuba mengaitkan dengan perkembangan teknologi komunikasi yang popular; email dan e group.
Antara cara manusia di UK berhubung sesama kawan-kawannya adalah melalui yahoo group ataupun e mail. Penggunaan e-mail sudah seperti sms. Hampir tiap hari perlu tengok e-mail. Aku? Entahlah kadangkala menjemukan membuka dan membaca email. Jemu kerana isunya lebih merangsang emosi daripada untuk membina fikiran. Barangkali e-mail dijadikan suatu medan meluahkan kebosanan dan kebodohan sendiri. Maafkan, jika aku tak membuka e-mail terutama melihatkan tajuk-tajuk yang mengundang spekulasi jumud. Biarpun, e-mail itu datangnya daripada barisan hadapan para intelektual negara.
Biar kita bercakap tentang persepsi sendiri. Biar kita berhujah pada sandaran akal fikiran kita. Biar kita begitu daripada bercakap tentang sesuatu yang membuang waktu. Kerana masing-masing memiliki pendirian dan persepsi, seharusnya inilah yang perlu kita bina. Persepsi dan tanggapan yang saling berhujah akan membenihkan intelektual yang berkualiti dan beridentiti. Memang kita tak perlu mendabik dada sebagai sang intelektual tapi hakikatnya secara mudah barangsiapa yang belajar di universiti, situlah ukuran pada keintelektualan bermula. Mungkin yang membezakannya adalah tahap keintelektualannya. Mungkin ada yang tinggi dan mungkin juga yang rendah. Ini semua bergantung bagaimana seseorang itu menaakul, mentafsir dan menganalsis sesuatu.
Ada yang berfikir, isu politik satu racun dalam fikiran masyarakat. Jangan sebut soal politik dalam e-mail atau e-group. Ia seperti satu kelucahan yang melampau. Tapi kadangkala yang lucunya, isu-isu lucah atau semi lucah boleh diterima. Alangkah naifnya mereka ini! Begitulah politifobia yang diwujudkan pada sarang fikiran sesetengah manusia. Terlalu cepat latahnya sehingga membiarkan dirinya terlepas daripada kawalan.
Bercakap soal politik bukan bermakna bercakap soal kepartian. Meskipun kadangkala kita tak dapat memisahkan soal kepartian kerana politik itu sendiri bersifat kepartian - fragmental. Berpisah, berpecah untuk mewujudkan kesepakatan, kesefahaman dan kesatuan. Ahhh...terlalu falsafah dan idealistik! Tidak.
Bukan bila bercakap soal bersatu - orang Melayu PAS dan UMNO perlu bersatu, tak. Cina, India dan Melayu perlu ketepikan soal perkauman. Tak begitu. Islam, Kristian, Buddha, Hindu dll perlu toleransi. Tak. Itu soal lain. Soal bersatu pada aku adalah soal asas dalam kehidupan. Kita tidak boleh membuang garis pemisah biologi dan geografi yang sedia ada. Ia bukan sekadar satu tinggalan sejarah tapi suatu fitrah. Al Quran ada menyebutkan tentang diciptakan manusia yang berbilang bangsa untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain. Dan diakhiri frasa itu dengan harapan Allah s.w.t. agar kita menjadi orang yang beriman.
Pada aku bersatu adalah membawa maksud bersatu untuk memahami fitrah alam yang dijadikan Tuhan. Meskipun akan wujud kepelbagaian pandangan dan pendpat - itu juga suatu fitrah ke arah mencari kebenaran. Yang penting perlu wujud medan untuk menyuburkan pertentangan pendapat. Dalam mempertahankan pandangan dan persepsi, penggunaan kuasa seharusnya ditangguhkan. Hujah lawan dengan hujah. Tapi jika hujah lawan lokap atau ISA, susahlah
Aku mungkin lebih bertendensi pada soal politik kerana ia sekdar gambaran dari suatu posisi aku berdiri. Banyak petak-petak yang perlu kita melangkah dan berlari untuk berdiri. Jangan mengurung diri pada petak yang sempit itu. Oleh itu, seharusnya teknologi komunikasi menjadi pemangkin kepada pembinaan intelektual bukan menjadi media yang mempamerkan kebebalan sendiri.
Aku sedang melakarkan petak mana harus aku berdiri selepas ini!

Disember di Swansea

Terima kasih kawan-kawan yang mengutus email tapi aku jua yang lewat reply. Maafkanlah. Alhamdulillah berkat doa keluarga dan kawan-kawan, semuanya insyaAllah berjalan lancar. Jika ada kesukaran, itulah cabaran. Jika ada kesenangan, mngkin itu juga satu ujian.

Cerita Swansea? Biasa je. Musim beredar mcm biasa dan kini giliran sejuk yang mengigit ke tulang. Seperti manusia juga, ia terus bertukar dan berubah. Yang tak berubah adalah hukum alam. Ia tetap patuh pada perintah Tuhan.

Pada kawan yang baru selesai menyiapkan PhD (Nazeri dan Zawati), sekali lagi nak ucap tahniah - atas kesungguhan dan kejayaan mencapai hajat - PhD. Moga-moga ini menambahkan tekad kalian untuk menyumbangkan pada tanahair dan umat. Jika rasa bosan pada kerenah birokrasi, autokrasi, dan macam-macam tabii manusia, fikir-fikirkanlah penyelesaiannya. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri - lebih baik negeri sendiri. Rasanya elok dikongsi juga idea Ali Syariati, Iqbal dan Syed Jamaluddin Afgani tentang peranan intelektual dalam masyarakat. Universiti adalah medan intelektual, pencambahan minda bukannya penjara idea, pejabat urusan budak sekolah, atau kilang yang memperkukuhkan kuku kapitalis.

Ada kawan-kawan di universiti cerita tentang budaya intelektual di tanahair yang semakin `dikuduskan' dalam seperti menara gading yang terpisah dengan hidupan sang gajah dan anak buahnya di rimba liar. Entahlah, pengalaman aku dengan universiti sekadar menjadi mahasiswa tidak boleh menjadi kayu ukur pada `kehebatan' universiti tempatan. Teringat pada Prof. Dr. Rafiah Salim (NC UM) yang tersedu bila ranking universiti tertua itu semakin gedebok ke bawah. Kesihan pun ada. Padan mukapun ada! Mengapa begitu pula?

Aku tengok beberapa kawan-kawan yang studi kat UK ni, hebat-belaka kajian mereka. Daripada sains kejuruteraan bio hinggalah aerospace dan macam-macam ilmu, sains yang kdangkala aku pun terkial-kial untuk memahami keperluannya di tanahair. Mereka memang hebat. Seperkara lagi, banyak budaya di UK yang merangsangkan kehebatan mereka itu - kebebasan pemikiran, kesungguhan, sistem bekerja dan sebagainya. Tanpa menafikan ada juga budaya mereka yang menyosang dan menyesatkan. Jika semua ini menjadi faktor kepada pembinaan intelektual kawan-kawan kita yang belajar di UK, mereka akan kembali ke tanahair dengan seribu satu sentuhan ajaib! Jika tidak seperti tangan si Midas sekurang-kurangnya tidak seperti sekudung kehilangan tongkat!

Ada kawan aku cakap; belajar kat UK tapi otak macam Myanmar! Intelektual hebat - first class tapi tindakan macam negara mundur. Kawan aku yang lain bilang - ini kerana sistem negara memang menyebabkan kita terpaksa begitu. Ohhhh.....gitu ceritanya, aku sekadar meraikan pandangan pasifnya itu. Namun di dalam kusut begitu, kita lebih cenderung untuk memilih berdiam daripada berperang! Meskipun, dalam jiwa ini memberontak atas ketakutan yang tak berasas itu. Daripada mati di katil, lebih baik mati di medan pertempuran. Mati bermaruah. Walhal pertempuran ini bertempur tanpa menitiskan darah dan membunuh jiwa. Bertempur idea. Berpencak hujah. Bersilang dengan muslihat akal fikiran.

Inilah yang kadangkala kita enggan campur. Kita lebih memilih menjadi penonton yang melihat kesudahan pada sebuah kesimpulan kisah. Intelektual kita semakin tumpul. Daya akal kita semakin lemah. Berfikir untuk memilih antara ya atau tidak. Bukan berfikir untuk membina pilihan pada jalan penyelesaian. Layaknya seperti penonton tv di rumah yang sepi. Terasa meremang bulu roma bila menonton cerita seram, terasa berahi menonton versi romantisme dan terasyik dengan ilusi sang pengarah filem. Alangkah tragisnya kehidupan intelektual jika begitu.

Ahhhh....aku kadangkala mengarut sendiri. Maafkanlah jika begitu.

Doakan kami di sini terus diberkati Allah s.w.t. dan menjejaki langkah kalian. Jumpa nanti.