...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday, 28 June 2009

Bacalah Hikayat Ibrahim Ali


1. Orang ramai mengutuk Ibrahim Ali sebagai ahli politik tidak berprinsip, ataupun lebih teruknya digelar sebagai katak kerana gemar melompat parti.


2. Memang ramai ahli politik melompat dari satu kawasan ke kawasan lain atau melompat parti demi survival politiknya. Ibrahim Ali walaupun banyak melompat parti, dia hanya berada tempurung Pasir Mas dan lembah keMelayuannya.


3. Ramai orang PAS hangin dengan Ibrahim Ali sekarang. Tetapi anda perlu belajar dengan Ibrahim Ali bagaimana boleh mempengaruhi rakyat dan menguasai pemikiran pemimpin tertinggi pelbagai parti termasuk PAS? Dari Tengku Razaliegh Hamzah, Dr. Mahathir, Najib, Sultan Kelantan hingga kepada Tuan Guru Nik Aziz.


4. Siapa yang lebih licik berpolitik? Jangan sampai menepuk kuah dalam talam. Kena kat muka.

Friday, 26 June 2009

Kepada Salahuddin Ayub

Al Fatihah.

Aku dapat merasai betapa hilangnya seorang lelaki
yang bernama bapa.
Jasa dan ingatannya tidak akan mati
kerana di setiap degup jantung kita
adalah dia.
di setiap airmata dan keringat kita
adalah dia.
disetiap langkah dan layangan kita
adalah dia.


Swansea. UK.
Friday 26

Wednesday, 24 June 2009

Ayuh ke Sg Sumun!

1. Sg. Sumun selangkah dari kampung kelahiranku, Sg. Batang.

2. Sg. Sumun letaknya Madrasah Al Ulum Ashariah Batu 20, tempat Dewan Pemuda PAS ditubuhkan.

3. Selamat datang ke Sg. Sumun. Tebanglah segala semak-samun manusia dengan sekilas pedang bicara. Misbah, kau perlu datang walaupun Zahid tak mungkin datang.

Tuesday, 23 June 2009

Perpaduan - Kaum Yang Terbunuh


1. Puisi ini sudah lama aku tulis (2006). Sempena tenangnya kocak secangkir kopi, aku tuliskan kembali buat mereka. Pertama kali dibacakan di Demonstrasi di Pejabat Suhakam, di Pasir Salak dengan petikan gitar rocker Zua XPDC dan beberapa kali di Cardiff, Nottingham, Birmingham dan Doncaster.

2. Aku memang positif pada Idea 'Unity Government. Ini adalah secebis cetusan dari rasa sayang pada nasib 'kaum yang terbunuh'.

3. Aku harap, kalian dapat memahaminya. Perpaduan terus dicari di saat kaum berbunuhan sesama sendiri.



Kaum Yang Terbunuh


Aku adalah sisa
Dari kaum yang terbunuh
Mati di tanah sendiri
Permisi sebelum waktu

Berdiri aku di tanah pusaka
Yang berlembah hiba
Hilang sudah
Rimbun dedaun hijau
Tegak kota batu, pagar keluli
Yang meminggir ke penjuru
Seluruh desa permainanku

Semalam yang memanggil aku
Penuh dingin menikam sukma - berdarah
Menitis mengalir darah
Selendang merah luka bangsa

Jangan lagi bicara soal
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Kerana kaum ini
Telah hilang istilah dan peribadi sendiri

Telah roboh kotanya
Rebah madrasahnya
Ranap gedungnya
Dan remaja gersang hidup
Racun sang penguasa yang rakus
Sedang si tua hilang akal
Mengitung luka bertahun
Di tengah-tengah kamaruk pada pangkat dan harta secubit

Rela membunuh sesama rumpun
Mencabut damai
Memenjara lelayang
Yang bebas berterbangan

Suara ini semakin pudar
Hilang sudah susilanya
Mencari kata-kata yang sukar diberi makna
Seperti langkah
kehilangan gagah
Tidak persis lelaki sejati
Yang berani dan berahi
Mencabar zaman
Mengisi ruang

Dan kaum yang terbunuh
Terpinggir di bumi sendiri,
Lemah, dimamah
Terkapai, tak terbela,
Tenggelam, mati, hanyut
Si bangsat yang hilang
Buminya sendiri

Teringat aku pada hikayat lama
Bagaimana Temasik di langgar todak
Bisanya keris Laksamana Bentan
Amuk si Jebat derhaka
Titah berdarah Puteri Gunung Ledang
Ada lagi Musang Berjanggut,
Pak Pandir, Si Kadok menang sabung,
Kampong tergadai.

Aku menuntut hak kaum yang telah mati
Biar kuburnya bertanda akan
Ayat-ayat Tuhan yang hampir dilupakan
Kerana yang tinggal pada kaum ini
Hanyalah ingatan pada keyakinan yang samar
Akan ajaran lama yang ditinggalkan

Berdiri seakan bertafakkur
Kerana al Fatihah belum mampu dihabiskan

Aku terus berdiri dan melangkah
Kerana kau adalah sisa kaum yang terbunuh
Yang ingin hidup lebih bermakna.

Muhaimin Sulam
2006
Slim River - Swansea

Monday, 22 June 2009

Catatan London (UPDATED)

Maaf tulisan sebelum ini terlalu ringkas. Ini yang updated.

  1. Balik dari London. Aku dengar balik rakaman perbincangan dengan Tuan Guru. Lebih sejam perbincangan itu.

  1. Satu demi satu aku dengar berkali-kali rakaman itu. Ada perkara baru dan ada yang lama diberitahu oleh Tuan Guru Presiden. Yang lama, aku tak mau ulang lagi.

  1. Konsep Kerajaan Perpaduan adalah idea Presiden PAS yang harus dilihat pada latar belakangnya mengapa idea itu dilontarkan. Seperti juga idea Projek 16 September. Itu adalah idea Anwar Ibrahim sendiri. Rahsia dalam rahsia (istilah aku). Memanglah dalam hal ini, akupun setuju dengan Anwar. Tak kan nak heboh semua tentang perincian projek itu. Ini projek politik, bukan projek perumahan yang lengkap maklumatnya. Masalahnya, apabila ahli semua nak tahu apa pemimpin buat. Apa yang pemimpin fikir. Apa yang pemimpin impikan.

  1. Bagi Tuan Guru, Projek 16 September mestilah menguntungkan Islam. Majoriti yang menyokong mestilah daripada ahli Parlimen muslim. Ini bermakna, Projek 16 September mesti mendapat sokongan kuat daripada ahli Parlimen UMNO.

  1. Dalam siasatan oleh beberapa ahli Parlimen PAS (tak perlu sebut nama), antara lima ahli Parlimen BN yang hendak menyokong Projek 16 September, tidak begitu meyakinkan. Walaupun Anwar dakwa ada lebih 20 ahli Parlimen BN akan menyeberang.

  1. Pertemuan dengan pimpinan Umno selepas PRU 12 samada secara gelap atau terang, itu dilakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim dan juga beberapa pimpinan PAS. Yang gelap, diterang-terangkan. Yang terang, digelap-gelapkan oleh tangan yang tidak bertanggungjawab. Hati sudah gelap.Tidak mahu menerima penjelasan yang mudah.

  1. Mengapa boleh berlaku begini? Sebab ada `orang kita’ lebih senduk dari kuah (istilah aku) bila melihat idea orang lain. Kagum dengan parti lain. Tanpa melihat sejarah perjuangan parti yang tidak pernah khianat dalam berjuang. Terlalu ghairah dengan undi yang diterima dari bukan Islam semasa PRU 12. Takut hilang sokongan daripada mereka.

  1. Ada ‘cerita lain’ yang timbul daripada isu idea Kerajaan Perpaduan. Idea itu dijadikan alasan untuk menimbulkan keributan dalam parti. Cerita lain. Tuan Guru kata, kita sebagai manusia memang ada kelemahan. Tuan Guru sendiri sebut, beliau juga ada melakukan kesilapan. Itu kelemahan sebagai manusia. Cuma jangan kesilapan diselesaikan dengan kesilapan lain.

  1. Di penghujung pertemuan itu, aku minta pimpinan PAS 'lebih bijaksana' dalam melakukan tindakan terutama tindakan 10 ahli parlimen PAS membuat kenyataan di Parlimen. Aku sebenarnya tidak mahu sebut istilah `lebih bijaksana' itu. Macamlah kami kat sini hebat sangat. Nak nasihat orang yang lebih hebat. Tapi Tuan Guru berkata, ‘kena sebut itu (lebih bijaksana)!' Mungkin Tuan Guru kata begitu, untuk memberikan ingatan.

  1. Satu lagi, beliau menjelaskan beberapa parti dan gerakan Islam di Jordan, Turki, Indonesia, Kuwait berpecah, hilang pengaruh setelah menang kerana merasa partinya kuat, pendiriannya betul, menghukum musuh berlebihan dan sebagainya. PAS jangan sampai begitu.

10. Itu sahaja. Bacalah dengan jiwa yang tenang, lapang dan berhikmah.

Saturday, 20 June 2009

Semerah London Ustaz Hadi

1. Cerita sesetengah pimpinan dan ahli PAS di Malaysia sehari dua ini menyebabkan kami di sini terasa.

2. Kami putuskan untuk bertemu kembali dengan Tuan Guru Presiden sebelum pulang ke tanahair. Sepanjang ziarah beliau ke Eropah, parti bergelandangan tidak karuan. Bagai budak kelaparan, itek kehilangan ibu, mentari dilindung mendung.

3. Beberapa jam sebelum Tuan Guru meninggalkan Manchester untuk ke London, kami buat keputusan untuk bertemu juga, meski sebentar. Tujuannya hanya untuk beri sokongan usaha Tuan Guru Presiden untuk jernihkanlah dan padamkanlah api fitnah yang membakar.... Siapalah kami.

4. Keretapi Swansea ke London bertolak tepat 3.39 pagi. Aku satu coach dengan anak muda yang sedang mabuk. Riuh rendah coach pagi itu. Tempat duduk aku dah diaorang kebas. Aku hanya duduk dicelah-celah keriuhan dan bau arak yang masam. Girang sungguh mereka menyanyi beramai-ramai macam keretapi bapak diaorang punya. Yang menyanyi itupun sebahagiannyapun sudah tidak sedar diri. Kawannya mengusung bila berjalan. Mereka tahu, arak itu mabuk, tapi itulah yang mereka minum. Mereka tahu mabuk itu menyakitkan, tapi itulah yang mereka lakukan. Ahhhh macam orang politik yang sudah mabuk. Menyusahkan!

5. Sampai di London Paddington 8.00 pagi. Hujan renyai. Agak dingin tapi masih menyenangkan. Bas 198 menuju ke Wembley Park terasa macam bas Mara Sungai Manik dulu. Lambatnya bergerak. Janji 10.00 untuk bertemu, pukul 9.45 masih terkura-kura bas bergerak. Pukul 10.15 aku sampai di Hotel Premier Inn. Standard Sri Malaysia. Atas sikit.

6. Beberapa sahabat aku dah lama menanti, Dr. Shamsuri, Setiausaha Politik Tuan Guru dan Hj. Asmuni Awi terus membawa kami ke bilik Tuan Guru Presiden yang sederhana hingga kami duduk bagai bertemu lutut. Aku duduk bersila di bawah, Tuan Guru duduk di atas katil. Bercakap penuh semangat. Jika kulihat wajah redup Tuan Guru bercakap, rasa bersalah aku tidak menulis dalam blog aku yang entah dibaca, entahkan tidak.

7. Rasa tidak sabar nak pulang. Tapi tiket untuk pulang, esok pagi. Menumpang berteduh, bilik hotel yang ditinggalkan oleh Tuan Guru. Berjalan-jalan di Edgware Road, jumpa Cybercafe, singgah untuk menaip cerita.

8. Tuan Guru Presiden terus mengulangi konsep Unity Government yang...

Tuan Guru Hj Hadi Di London Tambah Semangat (1)

1. Beberapa jam lagi Tok Guru akan berlepas pulang ke tanahair.

2. Setelah berjumpa dengan kami di Manchester,Dublin dan London, Tok Guru pulang semula ke tanahair dengan penuh semangat.

3. Aku masih di London bersama Tok Guru, nanti sambung..

Thursday, 18 June 2009

Ayat-Ayat Untuk Salahuddin, Mahfuz ...

Di Ladang Ini

(Maaf keranaku terpaksa ghairah juga seperti kalian
bercakap di hadapan wartawan)

Saudara,

Saudara miliki ruang
tanah sendiri seumpama ladang
suburnya menghijau tidak pernah gersang
situlah kalian berdiri
situlah kalian berlari

tidak seperti aku
sudahlah jauh di negeri orang
tinggal merawat luka sendiri
merapat malam dengan siang
melakar warna langit yang hilang
entah dipandang, entahkan tidak.


Alangkah indahnya
jika tanah ini kembali berhuma
jika sungai itu mengalir air yang jernih
jika denai itu kembali ceria
jika kaki saudara masih setia
pada ini ladang

bukanlah saudara
memimpin dengan meminta
kempen,
perancangan tersusun
atau
munajat panjang

bersuaralah dalam ladang itu
semailah benih
bajaklah pandangan
tuailah keputusan

hidangkan pada aku sepinggan
meski nasi tanpa lauk
tanpa sayur
tanpa garam

kerana aku tidak pernah meminta
lebih daripada itu
sekadar huma
dari ladang kita


Swansea. UK

Wednesday, 17 June 2009

Video Ustaz Hadi di London

1. Terima kasih pada IH mediacs yang merakam video ini.

2. Yang nak cari kebenaran,mudah-mudahan Allah permudahkan anda menemui kebenaran.

3. Yang nak cari salah orang, tengoklah jubah,janggut,serban dll Ust Hadi...mesti jumpa kan.

4. Ustaz Abdul Hadi will give his lecture tomorrow 18th June 2009, 8.00pm - 10.30pm at Park-Inn Victoria Hotel, 4, Cheetham Hill Road, M4 4EW Manchester. LET`S GO!













Brutus Bunuh Caeser Demi Rom!

1. Tragedi politik Rom itu pernah berlaku di Soviet zaman Stalin, sahabat seusrahnya, Bukharin digantung sampai mati, manakala Leon Trotsky terpaksa membuang diri. Che Guevara direhatkan oleh rakan karibnya, Fidel Castro. Untungnya Castro, Guevara sempat belajar 10 Rukun Baih Hasan al Banna.

2. Sejarah siasah Islam awal tidak kurang contohnya. Abu Dzar, meninggal dibuang daerah di tengah gurun panas. Mengapa Syaidatina Fatimah az Zahra berwasiat pada suaminya Syaidina Ali kw., agar tidak membenarkan para sahabat untuk menziarahinya sewaktu hari kewafatannya.

3. Apa yang saya lakukan semua ini demi parti, demi kepentingan negara, demi perjuangan yang suci.......demi more...

4. Sekarang pisau Brutus sudah banyak dalam PAS. Gambar : Caeser dibunuh beramai oleh Brutus dan rakan sekonspirasinya di Dewan Senat Rom. Depan tv beb!

Tuesday, 16 June 2009

Soalan Aku Yang Ustaz Hadi Tak Jawab

1.Waktu Ustaz Hadi berucap di Corus Hotel London, aku duduk baris depan sekali sebaris dengan student dari Nottingham.

2.Aku bangun untuk memberikan soalan yang mudah. Apalah ertinya kita perjuangkan demokrasi di Malaysia, setelah kita menikmati sedikit kebebasan bersuara, demokrasi agak terbuka, rakyatpun mula sedar sikit tetapi dalam masa yang sama hak kita semakin terhakis? Senang-senang orang boleh kutuk Islam, gejala murtad, Melayu berkelahi sesama sendiri, SAR kena naya dsb…..

3.Ustaz Hadi hanya jawab mengapa perlu kita perjuangkan demokrasi di Malaysia. Bahagian hujung soalan, tidak dijawab. Aku tahu bukan Ustaz Hadi tak mahu jawab atau tak tau nak jawab.

4.Aku tak kisah soalan aku tak dijawab. Bagi aku soalan itu hanyalah luahan aku tentang resah melihat orang Timur taajub dan ghairah sangat dengan demokrasi Barat.

5.Takut jadi seperti penoreh getah tahun 40an di Malaya, duit banyak kerana harga getah tinggi, beli peti ais Kelvinator untuk buat almari baju.

Monday, 15 June 2009

Antara 16 Sept. dengan Unity Government

1. Antara idea 16 September dengan Unity Government, ada persamaan di sebalik perbezaan yang wujud. Satu idea daripada Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan idea unity government adalah cetusan idea Presiden PAS.


2. Kedua-dua melibatkan kerjasama dengan PR dan juga BN/Umno secara peribadi demi mendapatkan kuasa. Kedua-dua pemimpin PR bersetuju bahawa tanpa BN/Umno, peralihan kuasa tidak boleh berlaku pada masa sekarang. Oleh sebab itulah, Tuan Guru Mursyidul Am menolaknya kerana melibatkan Umno, tambahan pula langkah 16 September dianggap tidak bermaruah. Namun, ada pihak yang cuba melegitimasikan bahawa itu adalah keperluan dalam suasana yang terdesak. Dururiah.


3. Abdullah Ahmad Badawi dan BN/Umno naik kecut. Ahli Parlimen mereka dibawa melawat sambil belajar di Taiwan secara mengejut. Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga turut bergegas ke Taiwan untuk cuba membuat rundingan. Jika ada ahli Parlimen BN/Umno yang setuju berpaling tadah semasa 16 September bermakna mereka `berkerjasama’ dengan perjuangan Pakatan Rakyat. Mereka akan dianggap sebagai perwira perjuangan Pakatan Rakyat. Tetapi 16 September berlalu seperti hari-hari yang selalu.


4. Walaupun 16 September tidak berlaku. Untungnya, Anwar tidaklah dilanyak oleh pengikutnya. Namun yang lebih beruntung ialah Najib Tun Razak yang berjaya praktiskan idea tersebut di Perak. Tidak seperti nasib Presiden PAS, jadi cacamarba dalam parti. Idea unity government berhadapan dengan ketidaktentuan dalam membuat pandangan. Mengapa bersikap double standard apabila melihat dua isu yang sama? Aku percaya, semua ada hujah dalam mempertahankan pendirian masing-masing. Membaca sesuatu perkara bermula dengan persepsi sendiri memang akan memperkukuhkan persepsinya. Di saat itulah idea seorang pengarang mati apabila tulisannya dibaca mengikut fikiran pembaca.

5. Orang yang khatam Usul 20 Hasan al Banna, tidak faham-faham wala' & siqah. Yang tak pernah reti apa itu menatang wala' & siqah, boleh takjub dengan 16 September yang tak menjadi. Demokrasi katakan. Kita bebas bersuara
.

Sunday, 14 June 2009

Suara Hati Ustaz Hadi di London

1. Habis kerja jam 3 pagi, aku bersiap untuk ke London dengan isteri. Tolong isteri buat bekalan makan. Solat subuh sekarang pukul 3.30 pagi. Tak boleh tidur takut terlajak, kerana bas 6 pagi. Lebih 4 jam perjalanan, sampailah kami di Kota London. Makan tengah hari di tengah padang Hyde Park di bawah mentari cerah. Rehlah sebelum dengar kuliah. Sampai di Corus Hotel di Bayswater Road tempat program tersebut, rupanya kami orang pertama yang sampai. Wow semangatnya gue!

2. Menanti rombongan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, aku bersembang tidak kosong dengan beberapa orang yang hadir. Melayu, India, Benggali dan Cina pun ada. Semua datang dengan seribu satu soalan. Macam semua nak nasihat agar Presiden PAS itu berhenti bercakap tentang `Unity Government'. Bersungguh benar mereka. Naik gabra aku dibuatnya.

3. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berucap ringkas. Sebab beliau tahu, ramai yang datang bawa dengan soalan. Bukan datang dengan telinga atau kaki yang tak bermata. Pertama, sebagai pemimpin sebuah parti politik Islam, mesej beliau tidak boleh lari daripada Islam itu sendiri. Itulah juga yang dinyatakan oleh beliau sewaktu bertemu dengan Lee Kuan Yew sebelum berangkat ke London. Walaupun yang datang dalam majlis itu pelbagai kaum dan agama, Presiden PAS itu terus menyampaikan butir-butir al Quran sebagai asas ucapannya. Itulah yang dicakap samada dalam Pakatan Rakyat, Barisan Nasional ataupun yang tak tahu apa-apa tentang politik.

4. Kedua, Islam mengutamakan pembangunan insan tanpa menafikan keperluan ekonomi sebagai keperluan kesejahteraan hidup. Ilmu pengetahuan, tamadun dan keperibadian tinggi itulah yang mewujudkan kebijaksanaan manusia untuk hidup dengan saling bantu membantu, berhubungan antara satu sama lain. Manusia tidak boleh hidup sendiri untuk memenuhi keperluan mereka. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,
'kebijaksanaan adalah barang tercicir milik orang beriman'.

5. Kebijaksanaan itulah yang menjadikan kita berkongsi tamadun dengan tamadun bangsa dan agama lain. Tamadun China yang menemukan teknologi alat letupan dan kertas telah digunakan oleh dunia untuk membangunkan ketenteraan dan meningkatkan keselamatan mereka. Tamadun Yunani purba tentang pentadbiran seperti demokrasi digunakan oleh dunia untuk mengurus masyarakat dan negara. Manakala tamadun dan perkembangan sains dan ilmu pengetahuan di Baghdad dan Andalusia juga dimanfaatkan oleh dunia.

6. Kerajaan Islam memanfaatkan semua tamadun dunia untuk membangunkan masyarakat sehinggalah terdiri sebuah kerajaan yang kuat dan maju. Akhirnya, kerajaan Islam yang kuat dan maju itu sedikit demi sedikit meninggalkan Islam sebagai sumber kekuatan mereka. Kerajaan Islam menjadi zalim, menindas rakyat dan menyebabkan pemberontakan berlaku. Dari bangsa Quraish yang dianggap bangsa terkuat, telah berpindah kepada bangsa Kurdis, kemudian kepada bangsa Mogul. Inilah yang pernah disebut oleh Imam Mawardi tentang ciri kepimpinan yang ketujuh;berbangsa Arab Quraish. Bukanlah Imam Mawardi menyatakan hanya Arab Quraish mempunyai darah kepimpinan tetapi sebenarnya ia merujuk kepada kualiti kepimpinan semasa yang memiliki pengaruh luas.

7. Tuan Guru Presiden ada sebut istilah 16 Sep sepintas lalu. Terus kepala aku menangkap ada benda di sebalik itu yang beliau tak mahu ulas lanjut.Tetapi bagi aku penting. Namun barangkali, ada yang lebih penting mengapa beliau tak ulas.

8. Masyarakat mula naik angin bila perut mereka diganggu. Otak sudah letak bawah kaki. Masalah riba, rasuah, untung atas angin, monopoli, manipulasi dan sebagainya. Semua itu ditentang oleh Islam. Dalam menentang amalan riba, al Quran mengisytiharkan perang kepada yang mengamalkannya. Tapi riba adalah amalan lumrah dalam ekonomi. Mengapa manusia tidak menentangnya, sebab perut mereka masih terisi. Mereka tidak kisah kalau timbul masalah sosial sebab kerangka otaknya adalah perutisme. Ini istilah aku pinjam dari Dr. Siddiq Fadhil.

9. PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjasama dengan parti-parti politik pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kerjasama PAS dengan bukan Islam adalah dengan mewujudkan Kelab Penyokong PAS. Kemuncak kerjasama PAS dengan Umno ialah mewujudkan kerajaan campuran (1971) dan Barisan Nasional (1973). Tiada parti lain seluas pengalaman PAS di Malaysia dalam soal ini. Ini aku cakap.

10. Kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat adalah atas prinsip yang sama. PAS terus dengan dasarnya dan menghormati dasar parti rakannya yang lain. DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001, kerana tidak bersetuju dengan konsep negara Islam PAS. PAS tidak pernah berhenti dalam perjuangan yang melibatkan dasar parti . DAP dan PAS sekali lagi bertemu dalam Pakatan Rakyat yang diwujudkan selepas PRU12 .

11. Akhirnya, Tuan Guru bercakap tentang `Unity Government' . Menurutnya, konsep tersebut timbul sewaktu zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Dasar terbuka Abdullah terhadap institusi kehakiman, langkah pencegahan rasuah, keterbukaan kepimpinannya membuka ruang idea itu dikemukakan. Abdullah Badawi memang awalnya berminat tentang idea tersebut tetapi tekanan dalaman Umno akhirnya menyebabkan beliau terpaksa berundur dari jawatan PM.

12. Apakah itu `Unity Government'? Senang untuk difaham tetapi mengapa payah nak reti? Sebenarnya, inilah yang disebut sebagai `negara tanpa pembangkang' yang pernah diamalkan di UK selepas Perang Dunia, diperkenalkan oleh Nelson Mandela selepas menamatkan dasar apartied di Afrika Selatan dan sekarang diamalkan di Indonesia. Konsep ini berusaha untuk menamatkan perbalahan politik yang merugikan negara. Tiada kaitan langsung PAS masuk Umno seperti yang dihebohkan oleh media dan ramai ahli dan sesetengah pimpinan PAS. Media memang akan memanfaatkan setiap ayat yang boleh dimanipulasikan untuk kepentingan mereka.

13. Habis tu mengapa ramai ahli dan sesetengah pemimpin PAS menentang? Sebabnya mereka memahami konsep itu dalam zaman pemerintahan Najib Tun Razak. Tuan Guru Presiden jelaskan bahawa konsep itu tidak relevan di zaman Najib. Namun, Tuan Guru tidak menolak untuk berbincang dengan sesiapa termasuk Umno. Seperti juga PAS tidak pernah menolak untuk berbincang dengan DAP, PKR dan pihak lain. Memang ada perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat. Sama juga dalam PAS. Perbezaan pendapat bukan pergaduhan. Itu lebihnya dalam PAS. Mereka ada kebebasan suara.

14. Sambil menuding jari kepada Tuan Guru Presiden, mamat itu bertanya macam-macam. Kurang ajar betul (semangat sebenarnya) mamat ni. Lepas tamat majlis, mereka yang awal tadi tak puas hati dengan Tuan Guru nampaknya semakin jelas. Tiada jawapan yang skema dari Tuan Guru , tiada retorik atau janji politik kosong. Dia jawab dengan lurusnya sebagaimana ketika beliau menjawab soalan wartawan selepas muktamar. Bak kata Tuan Guru sebelum sesi soaljawab tu, yang boleh dijawab, dia jawab. Yang tak boleh, jangan temberang. Oleh kerana kami datang ingin mengetahui, kami faham. Kami dengar sendiri dari mulutnya. Sebaliknya jika yang datang nak mencari kesilapan, mereka akan buat berita yang mengelirukan orang.

15. Memang ada soalan yang tidak dijawab dan tidak menjawab pertanyaan. Bagi aku itu bukan isu sangat. Aku tak sempat nak sembang meski satu ayat dengan Tuan Guru selepas program tamat. Tapi aku sembang dengan Dr. Shamsuri dan Hj. Asmuni yang datang sekali. Agak tidak panjang. Nanti aku cerita kemudian.

Friday, 12 June 2009

Biar Aku Dengar Sendiri Dari Mulut Ustaz Hadi!

1. Esok, kami akan mengadakan pertemuan tidak sulit dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di London.

2. Biar telinga ini bernanah mendengarnya. Biar sakit. Memang dari dulu PAS itu susah.

3. Waktu susahlah kenal siapa kawan. Waktu senang, bertebaran mengaku kawan.

4. Oklah kawan-kawan, korang senang-senang main tikam-tikam. Dari belakang, dari depan. Depan cium tangan, belakang korek semua lubang!

Thursday, 11 June 2009

Apabila al Quran Di Hujung Tombak!

1. Apabila para sahabat dan keluarga Nabi berperang sesama sendiri, umat Islam di dalam fitnah yang cukup besar. Siapalah kita untuk dibandingkan Ummu Mukminin, Aisyah r.a dan Syaidina Ali kw. atau Amru al As, Zubair Awwam dan para sahabat lainnya.

2. Apabila ulama bercakaran sesama dalam parti, ini satu fitnah yang cukup besar. Media perdana dan akhbar parti menjadi medan pertempuran. Ahli yang sedia berkorban sekali lagi jadi korban pada pemimpin.

3. Sejarah telah tercatat. Seruan kembali kepada al Quran akan berkemundang di hujung-hujung pena dan mulut pemimpin dan para pewaris Abdullah Ubai.

Saturday, 6 June 2009

PAS Makin Kuat, Umat Islam Makin Tercabar.....

1. Muktamar PAS sudah di penghujungnya. Perjuangan masih panjang. Jalan masih berliku. Keputusan pemilihan kepimpinan sudah diketahui.

2. Menjelang PRU 1999, PAS terus mengorak langkah, melakukan engagement luar kelompok biasa dan akhirnya PRU 2008, PAS melalui Pakatan Rakyat telah menjelaskan keputusan daripada ijtihad pimpinan PAS.

3. Soalnya selepas itu, apa sudah jadi pada umat Islam dan orang Melayu amnya? Gejala murtad tidak berkurangan, serangan dan cabaran Islam semakin bertambah dan lantang, SAR terus lenyap, tahanan ISA yang dikaitkan dengan `Islam' terus ditahan lebih panjang, biasiswa hanya dalam perlembagaan, gejala sosial orang Melayu terus menakutkan, bahasa ibunda orang Melayu makin tenggelam dan terlalu banyak 'benda dan bukan benda' orang Islam di Malaysia telah hilang.

4. Politik orang Melayu samada PAS atau Umno terus sarat dengan sabar dan bertolak ansur. PAS jangan ghairah dengan sokongan orang bukan Islam yang kecewa dengan dasar perkauman kerajaan. Dasar dan pendekatan kerajaan BN sememangnya akan lebih liberal demi mendapatkan kembali setiap undi orang bukan Islam yang hilang.

5. PAS tidak boleh melangkah ke belakang semata-mata untuk kembali pada jalan lama. Jangan bersifat romantisme. Jalan PAS telah jauh ke hadapan. Pemimpin parti perlu meneroka lebih bijak dalam menarik rambut di dalam tepung. Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berkeciciran. Bagai si Kadok menang sorak, kampong tergadai.

6. Sewaktu aku dibelasah oleh seorang 'ulama non partisan' tentang masalah PAS semakin kuat, Islam semakin tercabar, aku hanya berdiam diri. Bukan aku seorang yang terlalu bertolak ansur tapi akupun setuju pandangan itu. Aku dibelasah hanya kerana aku orang PAS. Alangkah sadisnya ustaz itu.

7. Seronok tau, kita cakap yang itu salah, yang ini salah, sepatutnya begini, bukan begitu......

8. Buat kerjalah Pak khatib!

Thursday, 4 June 2009

Bravo Bang Mat Sabu !

1. Bila aku sokong Bang Mat Sabu, bukan bermakna aku tolak kepimpinan Ust. Nasaruddin atau Husam kalau antara mereka menang.

2. Bang Mat Sabu adalah lambang mustadafin (kaum yang tertindas) dalam PAS. Walaupun jawatannya sebagai Naib Presiden PAS, tapi parti melayan dia macam ahli parti biasa. Ada yang sekadar AJK PAS kawasan tapi dilayan macam Sultan!

3. Apatah lagi media perdana, langsung tak pandang siapalah makhluk yang bernama Mat Sabu. Orang hanya nak mulutnya sahaja bukan nak kepimpinannya, sejarah pengorbanannya dan misinya.

4. Aku tak salahkan ahli PAS yang kagum pada kulit buku. Cuma aku kesal pada pemimpin PAS yang berfikiran kulit, retorik, elit!

Tuesday, 2 June 2009

Muktamar Pemuda PAS Tanpa Pertandingan

1. Kali terakhir jawatan Ketua Pemuda PAS dipertandingkan ialah pada Muktamar tahun 1996 (kalau tidak silap). Jawatan ketua Pemuda itu kosong selepas Ustaz Abu Bakar Chik mengundurkan diri dan Mahfuz Omar dan Hatta Ramli bertanding. Ini bermakna sudah lebih sedekad Pemuda PAS tanpa pertandingan (khususnya jawatan Ketua Pemuda).

2. Semua diputuskan secara syura. Hanya kekuatan hujah digunakan untuk menilai kepimpinan seseorang. Dan sedikit rasa tolak ansur dalam membuat keputusan atas dasar yang hendak dipilih semua adalah kawan, my sahabat.

3. Kesannya apabila wujudnya pertandingan jawatan Timbalan Presiden, semacam hilang arah. Semua berhujah dengan kerangka luar. Buka seluar kawan. Tak baik beb! Pemuda mesti mempelopori agar syura yang menentukan kepimpinan parti, jika mahu syura itu sebagai makenisme menentukan kepimimpinan.

4. Atau Pemuda PAS harus belajar bertanding jika mahu matang menghadapi pertandingan di peringkat jawatan tertinggi parti. Jangan sebut Pemuda jika lontar batu, sembunyi tangan!

5. Apakah halangan mentaliti perwakilan Pemuda sekarang masih lagi dalam kerangka lama, mengukur pemimpin mengikut kepintaran berpidato sahaja?

Monday, 1 June 2009

Chin Peng Balik Kampong

1. Mahkamah sudah putuskan Chin Peng tak boleh balik ke Malaysia. Walaupun ada yang berhujah bahawa Rashid Maidin dibenarkan balik ke Gopeng, Musa Ahmad dibawa balik dari negara China oleh Kerajaan. Samalah dengan Shamsiah Fakeh. Mengapa Chin Peng tak boleh pula?

2. Sekali lagi pendekatan perkauman digunakan untuk mengiakan keputusan dan menidakkan keputusan.

3. Chin Peng tak boleh balik. Tapi ada beribu-ribu yang lebih merbahaya daripada Chin Peng sedang bermain api sekarang. Ia mungkin sedarah daging dengan Chin Peng atau mungkin tidak.

4. Zaman peluru sudah dingin. Sekarang zaman lontar batu, sembunyi tangan!