...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 26 December 2006

musim yang berbeza


Selepas kutinggalkan tanahair yang tercinta, musim terus berubah
detik kaku seketika
bukan berhenti
tapi kami yang pergi
melewati waktu

Angin tidak lagi selembut dan sedingin pagi
seperti dulu lagi

Desiran angin bagai mengigit kulit yang kering dan bibir yang bergetar
Dedaunan layu kekuningan
berguguran
berterbangan
Mentari bagai enggan bangun
resah kami menanti siang
malam semakin kelam dan panjang

Tidak sekali aku berubah
cuma musim yang berbeza

Sunday 24 December 2006

Rabindranath Tagoer: Penyair Yang Membangkit Kesedaran Rakyat



Ramai pejuang rakyat yang tertindas bertitik tolak dari siri pengembaraan mereka. Jika Che’ Guevara mengembara ke seluruh benua Amerika Latin telah membentuk fikiran revolusionernya, begitulah juga dengan Mao Tze Tung yang memulakan `gerakan besar bermula dari langkah kaki yang pertama’, dan ini pernah dilakukan oleh Gandhi dengan mengembara India dengan menaiki keretapi, mereka dapat merasai denyup derita rakyat yang tertindas. Begitulah juga yang berlaku pada Rabindranath Tagore, seorang penyair dari benua India yang terkenal. Beliau pernah ke Tanah Jawa, selain ke Eropah, Australia, Amerika Syarikat dan tentu sekali di tanahairnya sendiri.

Selepas lama berkelana di merata tempat, akhirnya dia merindui kampung halaman. Dia kembali ke kambung halaman. Selama empat puluh tahun terakhir hayatnya, Tagore berterusan menjadi seorang guru di sekolah yang didirikannya di kampung halamannya, Santiniketan. Pada awalnya, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka yang bermasalah ke sekolah tersebut. Bagi ibubapa yang merasa sudah tidak mampu untuk mendidik mereka di rumah, maka sekolah Tagore menjadi tempat mereka. Guru tidaklah dianggap begitu penting dalam masyarakat India berbanding dengan Raja dan juga pembesar yang kaya. Ukuran mereka masih lagi berkait rapat dengan material.

“Saya percaya kepada kehidupan hanya bila ia maju dan kepada kemajuan bila ia selaras dengan kehidupan. Saya menganjurkan kebebasan manusia dari perhambaan sesama manusia, yang tidak manusiawi”. Tagore percaya melalui pendidikanlah, rakyat India dapat dibebaskan fikirannya daripada kejumudan, ketahyulan dan kesesatan.

“mereka menyebutmu gila
tunggulah esok hari dan tetap diam
mereka melemparkandebu ke atas kepalamu
tunggulah esok hari dan
mereka akan mempersembahkan bunga untukmu”

Syair yang ditulis sendiri oleh Rabindranath Tagore itu membayangkan cabaran dalam perjuangannya pada kaca mata masyarakat India. Kritikannya terhadap masyarakat India ketika itu memang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang India sendiri. Tagore mengambil sikap tidak memusuhi Barat sebagaimana kebiasaan pada ahli politik yang menuntut kemerdekaan. Kerana itu, dia dianggap sebagai pembuka mata Barat untuk menjadi jambatan bagi mengenali wajah India yang sebenarnya. Manakala bagi masyarakat India, beliau dianggap sebagai seorang suci yang menjadi penghubung antara dunia manusia dengan Tuhan Yang Maha Pencipta.

Bagi Tagore, India bukan lagi sekadar negara yang penuh misteri, romantis dan bersifat antic dan unik tetapi sebuah takdir untuk saling mewujudkan berkerjasama antara dunia Barat dengan dunia Timur. Barat seharusnya tidak terus ghairah meranapkan ketamadunan Timur dan dunia Timur pula seharusnya bangkit sebagai bangsa yang bermanusiawi. Dunia Timur bukan medan perhambaan bagi dunia Barat. Inilah idea asas yang Tagore cuba terapkan ke dalam masyarakat India. Dia dianugerahkan Hadiah Nobel atas sumbangannya dan ini merupakan suatu pencapaian yang hebat bagi orang di sebelah Asia.

Tagore pernah menasihati para nelayan dengan katanya, “Jangan takut pada gelombang laut, tapi waspadalah pada hempasan di dalam dirimu sendiri”. Baginya, penjajahan India di bawah Inggeris bukanlah atas disebabkan oleh sikap Inggeris yang suka menjajah melainkan sememangnya rakyat India sendiri suka dijajah. Rakyat India sudah hilang keyakinan diri dan tidak percaya pada kemampuan pada diri sendiri. Rakyat India lebih suka mencari sesuatu sisa daripada suapan orang lain daripada mencari suapan sendiri.

Dalam syairnya yang bertajuk Sang Juru Taman, beliau berkata:

“Kala pagi kutebarkan jalaku ke laut.

Dan dari bilik tabir kegelapan kutarik benda-benda ajaib beraneka rupa dan beranike warna- ada yang bersinar bagai senyuman, ada yang kemilau seperti air mata, dan ada yang berseri memerah bagaikan pipi seorang pengantin.

Ketika hari itu aku pulang sambil membawa hasil pencarian, kekasihku sedang duduk di taman bermain-main dengan bunga-bunga dan dedaunan.

Aku tertegun sejenak, lalu kuletakkan di kakinya segala yang bisa aku dapatkan hari itu. Sementara aku tetap diam tanpa berkata-kata. Apa gunanya benda-benda seperti ini?!”

Aku tertunduk malu dan berbagai pemikiran berkecamuk di kepalaku, “Benda-benda ini memang bukan hasil kerja keras, dan bukan pula aku beli di pasar malam: ini bukan hadiah yang sesuai untuknya.”

Ketika kegelapan datang bersama malam, kulemparkan benda-benda itu satu demi satu ke atas jalan.

Kala pagi tiba lewatlah para pengembara: lalu mereka pungut benda-benda ajaib itu dan mereka bawa ke negeri-negeri yang jauh.”

Anekdot dari syair ini menjelaskan sikap rakyat India ketika itu yang tidak menghargai sesuatu kurniaan kerana kejahilannya sendiri. Sedangkan orang lain (mungkin beliau ingin merujuk British) lebih menghargai dan dimanfaat sepenuhnya. Membaca syair terjemahannya memang menarik apatah lagi jika memahami bahasa asalnya.

Tangkap Saja Pencuri Itu!


23-12-2006 09:00:19 PM (mStar)

BATU PAHAT: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang ramai bekerjasama membantu membanteras kejadian kecurian yang berlaku di kawasan-kawasan yang dilanda banjir tanpa perlu menunggu tindakan daripada pihak berkuasa.
Perdana Menteri, yang menyifatkan kejadian kecurian kecil-kecilan itu sebagai sesuatu yang amat malang, berkata orang ramai boleh melakukan tangkapan "citizen arrest" kerana polis tidak boleh berada di semua tempat pada setiap ketika.
"Terdapat kejadian kecurian tetapi ia tidak berleluasa. Ada curi barangan dan masuk rumah ketika mangsa menderita dan ditimpa kesusahan akibat banjir. Ini adalah amat malang.
"Kita tidak boleh menunggu polis untuk bertindak. Orang ramai dan semua yang bekerja sukarela perlu membantu. Jika ia (kecurian) berlaku, kita perlu membanterasnya,"
katanya................................

.......orang ramai boleh melakukan tangkapan "citizen arrest" kerana polis tidak berani tangkap mereka yang terlibat meluluskan penggabungan ECM Libra-Avenue Capital yang banyak kecacatan dari segi undang-undang dan peraturan.

Tuesday 19 December 2006

Tidak Kutinggalkan Tanahairku.

Tidak kutinggalkan tanahairku. Tidak jua kutinggalkan keluarga dan kampong halaman. Hanya semata-mata mencari sesuatu yang wujud dalam diri yang telah hilang, yang tercicir di perjalanan hidup. Kumencari diri sendiri. Kerana diri inilah adalah anugerah Tuhan Yang Maha Agung. Diri ini masih terhutang pada Tuhan akan ketauhidan yang masih goyah. Terasa dunia Tuhan terlalu kecil sedangkan kaki ini terus berdiri kaku dan mata enggan memandang ke hadapan.
Jika Hamzah Fansuri mencari kebenaran Tuhan ke muka kaabah, akhirnya ia temui di tanah Fansur, kampong halamannya. Ibn Khaldun mengembara dan memahami sosiobudaya manusia semasa, Laksamana Cheng Ho belayar membina ikatan persaudaraan dan politik antarabangsa, kini kulewati garis-garis peta dengan jiwa merdeka.

Jika muzik itu makanan cinta, maka mainkanlah! Kata-kataWilliam Sheaksepear itu kuterbaca dalam majalah kapalterbang. Menarik.

Terlalu banyak yang perlu kuucapkan terima kasih, khususnya kepada keluarga yang memberikan sokongan, rakan-rakan yang setia memahami diri ini. Memang kekurangan diri ini menjadikan seperti suatu cabaran dalam diri kita. Keluar daripada diri yang sedia ada kepada kerangka yang lebih memantapkan diri.

Saturday 16 December 2006

Selamilah Aku - Asal Saja Jangan Kau Yang Tenggelam

Betapa mudahnya berhubung dengan dunia yang terasing dan asing jika kita menguasai diri. Betapa cepatnya manusia memikirkan sesuatu yang lebih mudahkan kehidupan manusia. Terasa seperti ditinggalkan bila sesekali berpaling pada arah yang lain. Sungguhpun, teknologi maklumat sudah ada dalam diri ini, tetapi ia terlalu pantas sehingga menjadi sayup.

Aku cuba memahami dan memafaatkan teknologi maklumat sebagai wasilah pertemuan kita. Kita berbincang. Kita berbahas. Berdebat. Berhujah asal sahaja jangan sampai melampau batas. Aku yakin kalian tak akan terpengaruh dengan mudah tanpa adanya kekuatan dalam berbincang dan mengemukakan idea. Kalian tak akan tenggelam dalam kolam fikiranku.........mungkin kerana ia cetek lagi atau......kalian lebih mengerti! Tidak kuajar itik berenang tapi yang kuinginkan adalah berenang bersama!