...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday 25 January 2008

Robohkan Tembok Itu!

Dua tiga hari ini, umat Palestin yang dihimpit krisis kemanusian nekad menyeberangi tembok antara bumi yang menjadi kiblat pertama umat Islam dengan tanah Firaun, Mesir. Pejuang Hamas telah meletupkan tembok yang menjadi masalah kepada mereka. Berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin membanjiri Mesir untuk mendapatkan makanan, bahan api dan segala keperluan harian. Israel telah menyekat masuk makanan dan barang keperluan ke wilayah yang dikuasai oleh Hamas. Bekalan elektrik diputuskan. Ini selepas beberapa lama bantuan kewangan dinafikan. Selepas selesai membeli, mereka kembali ke Palestin! Mereka tetap mempertahankan tanahair mereka walaupun azabnya hanya mereka sahaja yang merasai. Kita hanya cakap, kesian, tak patut lah, macamana…….tak habis-habis…

Kemenangan Hamas dalam pilihanraya di Tebing Barat dan Gaza, Palestin pada tahun 2006 sebenarnya menjadi satu lagi kayu pengukur kepada rasa kebersamaan negara Islam dengan isu Palestin. Selepas menang Hamas, kerajaan Mesir telah bertindak menutup semua sempadan antara Palestin dengan Mesir. Kononnya atas alasan tidak mahu pejuang Hamas memasuki Mesir jika diserang Israel. Kebanyakan negara Islam tidak mengiktiraf wakil Palestin daripada Hamas – termasuklah Malaysia.


Ketika peperangan antara Hezbullah dengan Israel, kebanyakan kerajaan yang disebut sebagai kerajaan Islam berpendirian berkecuali tetapi hakikatnya mereka mahu Hezbullah dikalahkan oleh Isreal Mereka takut jika Hezbullah menang, pengaruh Hezbullah akan menenggelamkan kuasa kerajaan Arab. Aku rasa spesis kerajaan Arab ini adalah tinggalan daripada aristocrat Abu Jahal. Bodoh tak boleh diajar! Cakap mereka ada keturunan nabi – ahlul bait, keturunan Bani Hashim……..jangan lupa Abu Jahal juga keluarga nabi, keturunan Bani Hashim.

Ada pula ulama’-ulama yang cakap jangan sokong Hezbullah kerana dia Syiah – sesat. Alahai kesihannya ulama’ kitab ni……. Terlalu naïf sekali! Masa Hamas menang, ngapa tak cakap sokong Hamas yang Sunni 100%? Sekurang-kurangnya berilah bantuan kemanusiaan sewaktu kerajaan Hamas diboikot oleh Israel dan negara-negara Arab.
1000 pence?

Thursday 24 January 2008

Takziah Pula Kepada Keluarga Dato' Megat Junid

Al Fatihah juga kita hadiahkan kepada arwah Dato' Megat Junid yang baru kembali ke rahmatullah. Walaupun aku taklah rapat dengan arwah tetapi sewaktu beliau menjadi ahli parlimen Pasir Salak, dia banyak kali juga mengunjungi tempat aku dan aku sendiri pernah menemani ayah aku berjumpa di rumahnya di Lorong Menteri, Kg. Bahagia, Teluk Intan. Setiausaha Politiknya, Pak Abu selalu menjadi orang perantara kami sebelum kami nak jumpa arwah. Dia ada sessi jumpa dengan rakyat di rumahnya setiap minggu. Time tu, ramailah yang datang berjumpa. Sebagai ahli parlimen kenalah begitu. Bukan sehari kena sediakan waktu untuk bertemu rakyat tetapi hari-hari. Sekarang ni lorong ke rumahnya di Teluk Intan, PAS Cawangan Kg. Bahagia buat markaz dan PASTI. Selepas markaz siap dibina, arwah tak jadi menteri pula. Tinggallah lorong yang menjadi menteri.
Sebagai wakil rakyat, arwah memang mudah didekati tidak sebagaimana MP atau ADUN lain. Mungkin juga kerana arwah pernah menjadi seorang guru. Adiknya, Cikgu Megat Khalid bertugas di PPD Daerah Hilir Perak. Diapun ok dengan aku walaupun kami berbeza pendirian dalam soal politik. Dia juga ramah macam arwah abangnya.
Karier politiknya terkubur di Parit. Arwah kalah dengan Ust. Basir Rahmat, YDP PAS Kawasan Parit. Siapa sangka arwah boleh kalah di Parit. Arwah time tu anggota kabinet. Aku dengar, dia dah cetak baju gambar arwah untuk Parlimen Pasir Salak tapi di saat akhir, arwah tercampak ke Parit. Dan jatuh. Kubunya di Pasir Salak diambil oleh Ramli Ngah Talib yang berpindah daripada DUN Kg. Gajah ke Parlimen Pasir Salak. Kalau tak, mungkin aku juga akan lawan arwah di Pasir Salak! Selepas itu, arwah tulis dua buku yang bertajuk, 'Getik' dan satu lagi `Gayat'. Arwah menulis bukan sekadar menulis tetapi mengkritik pimpinan UMNO yang dilihatnya sebagai sudah sampai kacang lupakan kulit. Antara yang dikritiknya, tentulah Dato Seri Ramli Ngah Talib!

Monday 21 January 2008

Allah Made Me Funny!

Melawak juga boleh dijadikan saluran untuk menyampaikan Islam? Ya. Begitulah adanya kepada tiga pelawak Muslim British; Moss, Azeem dan Azhar Osman. Sambil ketawa mendengar jenakanya, mereka menyampaikan mesej kepada pendengar yang tidak mengira kaum dan agama. Sesuai untuk seisi keluarga menontonnya. Mereka buat persembahan macam buat konsert. Dengan tema `Allah Made Me Funny' itu mereka tidak takut kehilangan penonton atau peminat. Bahkan, ini menambahkan keingingan masyarakat mengikuti persembahan mereka. Mereka telah mengadakan persembahan di kebanyakan negara seperti Canada, Australia dan Amerika.
Maafkan kalau ingin membandingkan pelawak di Malaysia - lawak kelas ketiga. Memang ketawa melihat jenaka mereka tetapi jenaka yang mempamerkan kedunguan masing-masing. Kita memang ramai bakat menjadi pelawak tetapi untuk menjadi seperti mereka bertiga, pelawak mestilah memahami sosiobudaya dari persepektif Islam. Mereka terjemahkan kehidupan harian masyarakat dari perseptif Islam supaya dapat dijadikan panduan kepada penonton.
Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari Youtube; Allah Made Me Funny.

Sunday 20 January 2008

Dua Cerita Tentang Ulama

Cerita Pertama

Aku pernah menonton filem Indonesia (lupa tajuknya), kisah seorang ulama yang asyik dengan berhujah tentang hukum halalnya memakan biawak. Ke mana-mana ulama itu pergi, dia pasti berhujah halalnya memakan biawak. Serban dan jubahnya tak pernah tanggal bagi memastikan legitimasinya sebagai seorang ulama (biarkan aku namakannya dengan nama Ulama berjubah). Kemudian dia berjumpa dengan seorang ulama yang berwatak agak jenaka. (aku sebutnya sebagai ulama humble). Ulama berjubah itupun berhujah dengan hadis dan sandaran-sandaran kepada ulama humble itu. Ulama humble itupun bilang, `yang ko bilang tu jika bener sekalipun, kan yang lebih utama sekarang adalah keadaan tanahair yang sedang dijajah oleh Belanda.’ Ulama berjubah itu terasa hina (kerana dia bekerjasama dengan Pak Lurah/Ketua Kampong yang jadi talibarut pada Belandadi Jawa). Ulama itupun bercakap, `Taatilah Allah, taatilah Rasul dan Ulil Amri di kalangan kamu....’ Ulama humble itu tersenyum.

Satu hari ulama berjubah itu sedang asyik berzikir semasa berjalan seorang diri. Mulutnya kumat-kamit dan jari jemarinya ligat mengira biji tasbih. Trrrrrrr.......Tiba-tiba dia terkejut sehingga terjatuh ke dalam parit. Apa tak terkejutnya kerana dilihat ulama humble itu naik motor (BSA), bertopi sambil menyandang senapang di belakangnya. `MasyaAllah….apa gila ko ni. Mau kiamat dunia!’ Ulama berjubah itu marah kerana pakaian ulama humble itu `mencemar’ ulama. Ulama humble itu pun pergi meninggalkan ulama berjubah yang basah lenjun. `Ehh...ko mau ke mana?’ Ulama berjubah itu sempat lagi bertanya. `Gue mau lawan Belanda!.....ha..ha...ha’, katanya tanpa memandang ulama berjubah itu yang terpinga-pinga. Bingung.

Cerita Kedua

Kisah ini aku dengar daripada pengisian yang diberikan oleh Ustaz Abdul Hadi Awang suatu ketika dulu. Arakiannya kisah ini bermula sewaktu British menjajah India. Kisah ulama di India yang bertelingkah soal samada sewaktu duduk tahiyat akhir, bagaimana cara yang sepatutnya keadaan jari telunjuk kita. Samada jari telunjuk kita terus tegak, turun selepas habis baca tahiyat, atau berpusing-pusing atau bagaimana yang sebenarnya. Maka turunlah para alim ulama India (walaupun tak seluruh India) berbincang soal itu. Berdebat sampai ke tahap patahkan jari telunjuk orang lain yang tak ikut kaedahnya. (nampak macam melampau, tapi realitinya memang begitu).

Masa itu aku nak tanya sesuatu tetapi terus terpadam. Aku nak tanya, begini: `Mana sepatutnya yang menjadi khalifah pertama, Abu Bakar atau Ali?’

Rasanya tak perlu kesimpulan daripada dua cerita di atas. Kalian boleh gunakan otak masing-masing. Berfikir.

Derhaka: Metos Dari Doktrin Sang Penguasa

"Pantang orang Melayu derhaka!" itulah kata-kata Melayu klasik yang masih banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu pada hari ini. Ketika Raja Muhammad membunuh Tun Besar anak kepada Bendahara Paduka Raja kerana tersepak kepala baginda semasa main sepak raga, Bendahara berkata `Pantang orang Melayu derhaka'. Bendahara terpaksa akur dengan tindakan putera mahkora Melaka itu demi mempertahankan doktrin sang penguasa Melayu. Begitulah juga apabila Sultan Mansor Shah jatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah, pahlawan Melayu itu akur menerima hukuman demi menunjukkan betapa taat setianya pahlawan sejati itu!



Apabila Hang Jebat menongkah arus, bangun menegakkan keadilan, menyanggah kezaliman Sultan - akhirnya dia terkorban di tangan saudara yang dipertahankannya; Hang Tuah. Mati Hang Jebat - mati penderhaka! Mati penuh hina zaman berzaman. Begitu juga apabila Tok Janggut menentang British di Kelantan, malangnya ulama' tersohor itu diistiharkan oleh istana Kelantan sebagai penderhaka! Tok Janggut - mati penderhaka! Mati penuh hina zaman berzaman. Sezaman yang hampir sama, pemberontakan Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang - juga dianggap penderhaka. Mat Kilau menyamar diri dengan nama Mat Siam berpuluh-puluh tahun takut Sultan masih murka padanya. Selepas Sultan Pahang memaafkan, Mat Siampun baru berani mengistiharkan diri sebenarnya sebagai Mat Kilau, pahlawan yang dianggap penderhaka! Selang beberapa hari, Mat Kilaupun meninggal dunia. Matinya tidak lagi mati sebagai penderhaka tetapi hampir seluruh hidupnya adalah hidup penderhaka!


Coup d'etat pertama dalam sejarah politik orang Melayu dilakukan oleh Raja Kasim yang merupakan abang tiri kepada Sri Parameswara Dewa Shah, Sultan Melaka ketika itu. Baginda membunuh adik tirinya dan Raja Rokan yang merupakan penasihat kepada Sultan Melaka yang masih kecil itu. Rampasan kuasa itu dibantu oleh Tun Ali yang akhirnya menjadi Bendahari kepada Raja Kasim.

Takziah kepada Keluarga Christopher Fernando

Mari kita bacakan al Fatihah buat Christopher Fernando yang baru meninggal dunia kerana serangan jantung. Aku tak pernah mengenalinya selain sekadar mengetahui tentang kehebatannya berhujah di mahkamah sewaktu membela kes Anwar Ibrahim. Teringat aku akan bait puisi Usman Awang; apabila peguam menang bicara......semuanya dari seorang guru biasa! (Lebih kurang begitulah). Sewaktu di bangku sekolah dulu, berangan juga aku mahu menjadi seorang peguam. Masa itu tak sebut peguam - tapi sebut lawyer!

Friday 18 January 2008

Aku Dan Ahli Parlimen Hamas

Seorang ahli Parlimen Hamas pernah datang ke Kuala Lumpur dan membuat siri penerangan kepada masyarakat Malaysia. Ketika itu, kerajaan Hamas belum sampai setengah tahun menang dalam pilihanraya kerajaan tempatan autonomi Palestin dengan mengalahkan PLO sekutu kuat Amerika-Israel. Sejurus Hamas menang, semua peruntukan ke Tebing Barat dan Gaza disekat sebagai hukuman kepada rakyat Palestin memilih Hamas sebagai kerajaan. Semua aset dibekukan. (sebijik semacam dengan kerajaan pusat Malaysia menghukum rakyat Terengganu dan Kelantan yang memilih parti pembangkang) Beberapa bulan kakitangan kerajaan tak menerima gaji!

Apa yang nak aku kongsi di sini adalah pengalaman mendengar ucapannya. Dia berucap dalam bahasa Arab sedangkan aku sendiri tak faham bahasa itu. Dia berucap penuh semangat sampai aku yang mendengar terasa tegak bulu tengkok aku – mendidih darah yang dingin ini. Biarpun ada terjemahannya, namun oleh kerana dia bercakap dengan bahasa perjuangan yang sebenar – tiba-tiba sahaja semangat itu terus menitis ke dalam kalbu. Benar. Terasa seperti dia bercakap terus ke dalam hati ini. Aku mungkin tak mampu untuk ke Palestin tapi sekurang-kurangnya aku nak dakap pejuang Palestin sebelum dia beredar. Orang terlalu ramai yang berebut nak bersalam – aku hanya sempat bersalaman sahaja. Cukup!

Beberapa minggu kemudian aku diberitahu bahawa ahli Parlimen itu datang hanya sehelai sepinggang! Hal ini mula disedari kerana dia asyik memakai pakaian yang sama dalam beberapa hari itu. Apabila ditanya mengapa begitu? Beliau berkata dalam perjuangan banyak perkara yang lebih utama dibelanjakan selain sekadar sehelai baju! Sekali lagi aku terasa meremang bulu romaku!

Namun, teman aku minta izin membelikan sehelai baju untuknya. Aku selalu memandang almari baju aku......ia terus terngiang-ngiang!

Al Fatihah Buat Syuhada Palestin

Sabtu lepas, di Swansea Univ. Mosque mengadakan majlis kesyukuran kerana beberapa para hujjah telah selamat kembali dari Baitullah Haram. Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Palestin Swansea turut dibuat sempena memperingati hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan ucapan daripada wakil Palestin dan hujjah. Wakil Palestin itu memulakan ucapan ringkasnya dengan membaca ayat yang menceritakan peristiwa Isra’ wal Mikraj – al Quds – kiblat pertama umat Islam masih di tangan Zionis Israel laknatullah. Kemudian Brother Asim dan Dr. Abdullah Yasin memberikan pengisian yang menarik. Di akhir program itu, kami membeli sehelai t’shirt Palestin dan dua helai mafla Palestin. Entahlah samada buat kenangan atau azimat perjuangan.

Namun tak sampai seminggu, aku dengar berita bahawa 15 orang telah syahid dalam serangan tentera Zionis Israel yang menggunakan kereta kebal dan helikopter. Al Fatihah. Antara yang terkorban adalah Hussam (24 tahun) anak Mahmoud Zahar, pemimpin kanan Hamas yang pernah menjawat Menteri Luar kerajaan Palestin. Hussam merupakan anak kedua beliau menemui syahid selepas empat tahun lalu anaknya juga menemui syahid. Mereka bukan bercakap soal kebebasan dan keadilan tetapi berjuang sehingga ke titisan darah terakhir!

Mahmoud Zahar pernah datang ke Malaysia sebagai wakil kerajaan Palestin sewaktu Persidangan OIC di Kuala Lumpur tahun lepas. Malangnya, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf wakil yang dipilih oleh rakyat Palestin melalui demokrasi pilihanraya secara sah. Sebaliknya, menganggap bahawa PLO yang kalah dalam pilihanraya di Palestin sebagai wakil untuk Palestin! Itulah mentaliti kerajaan Malaysia. Jangan cakap soal kebebasan Palestin jika kita sendiri menafikan hak rakyat Palestin. Atau ini sekadar khilaf atau ada hikmahnya?

Seperti juga pemimpin Hezbullah Lebanon, Syeikh Hassan Nasrullah juga terlebih dahulu membuktikan sebagai pemimpin rakyat apabila anaknya syahid dalam menentang Israel. Dan telah ribuan anak-anak muda Palestin syahid menentang Zionis Israel. Allahu Akbar!

Cukupkah kita sekadar membaca al Fatihah?

Thursday 17 January 2008

Academia - Agama (Krisitian) Terus Bertembung

Pope Benedict XVI dua tiga hari lepas terpaksa menangguhkan lawatan ke universiti tertua dan terbesar di Rom, La Spienza University kerana bantahan daripada para pelajar dan pensyarah universiti berkenaan. Lebih kurang 60 pelajar dan pensyarah yang menandatangani surat bantahan itu beranggapan lawatan Pope itu ke universiti berkenaan sebagai tidak sesuai kerana sewaktu Pope berucap di universiti yang sama pada 1990, beliau menganggap hukuman ke atas Galileo adalah munasabah dan adil.
Galileo Galilei berkata bahawa bumi beredar pada paksinya dan mengelilingi matahari adalah pendapat yang bertentangan dengan ajaran Kristian. Galileo dihukum penjara dan mati kerananya. Hukuman ini merupakan satu cabaran sains Barat sehingga menyebabkan sains memusuhi Kristian yang menjadi agama anutan majoriti masyarakat Barat. Marahnya kelompok sains terhadap agama melahirkan fahaman sekular yang kini sedang berkembang biak sebagai satu ideology yang sangat berpengaruh. Pengaruh sains sebagai ideology sudah sampai ke tahap membina doktrin keagamaan yang mempunyai unsur ritual dan falsafah. Sudah ada gereja khusus untuk penganut ajaran agama Sainstology.
Sebenarnya, pendapat Galileo jauh terlewat daripada penemuan oleh ahli sains Islam (aku lupa, tolong ingatkan namanya). Berbeza dengan budaya akademik Islam, ia selalu selari dengan al Quran dan as Sunnah. Semakin mendalam kajian mereka, semakin dalam penghayatannya dalam agama. Saling kukuh memperkukuhkan.
Seperkara lagi, hebatnya pelajar dan pensyarah universiti berkenaan! Aku sekadar membayangkan situasi itu di tanahair aku.

Wednesday 16 January 2008

Ayuh berkarya di Blog ini!

Di luar sana ada ribuan blog yang menawarkan kalian berkarya, bercoleteh, bercakap sendiri.....merintih! Barangkali sudah waktunya untuk blog aku ini membuka ruang sekangkang kera ini untuk kalian mempamerkan belang! Barangkali aku akan belajar bagi menghargai pendapat yang menongkah arus. Bukankah, ini blog yang menghasut kalian untuk menjadi berani?
Bincang saja apa topik dan tajuk. Dari soal politik hingga soal masak memasak - mungkin menjadikan blog ini rencam dan mengancam. Apapun yang penting - ia membangkitkan keaslian diri dan memasuki garis seorang yang berani!
Hantar semua itu ke - muhaiminsulam@hotmail.com

Itulah Masalahnya Sasterawan!

Sewaktu aku belajar sastera di bangku sekolah dulu; semakin sukar memahami sesuatu puisi atau ungkapan dalam novel - ahhh itulah yang dinamakan sastera! Naik pening kepala memikirkan `sajak kabur' dan puisi yang terlalu puitis sehingga aku sendiri semakin bodoh dan diperbodohkan oleh sang penyair! Namun, ketika itulah juga terputik dalam benak kepala aku, aku nak jadi sasterawan! Apabila aku mula menulis puisi, kadangkala ingin juga mendera otak pembaca. Alangkah kejamnya penyair ini! Kemudian aku cuba beralih kepada cara penyair mempamerkan `pemberontakan' nya. Yang ini aku selalu mencontohi gaya Chairil Anwar, penyair tanah seberang; Aku binatang jalan,dari kumpulan yang terbuang! Namun masyarakat aku yang dikatakan pentingkan sopan santun kurang menerima cara ini. Apatah lagi jika membaca novel Shit, karya Cikgu Shahnon. Tak sempat habis baca - meloyakan! Apatah lagi jika si pembaca itu hanyalah pelajar sekolah menengah.

Lalu menulis gaya romantisme, - tapi tidak seperti lelaki sejati!

Novel popular memang menarik - kerana ceritanya mengikut kehendak selera pembaca (biasanya stereotype). Tak mencabar intelektual, mungkin sekadar ada sedikit pengajaran (kepada yang nak cari pengajaran). Inikan dunia popular. Jadi jangan hairan kalau pegawai kerajaanpun mahu cari yang popular. Semua pakat cari yang popular - macam Malaysian Idol! Pihak berkuasa memang `manja'kan intelektual pelajar - bagi membentuk pelajar segera (sejenis mi segera yang sedap dimakan) Oleh itu, langkah kementerian yang bercadang nak ambil novel popular sebagai buku Komsas, bagi aku hanyalah gambaran kepada kegagalan penyair dan kalangan yang disebut sasterawan (biarpun ala kadar) berada di tengah masyarakat dan sekaligus kegagalan kerajaan mengangkat intelektual masyarakat.

Sasterawan sejati jangan duduk di atas kayangan, atas awan - mari turun ke bumi, berlembah selut! Bercakap dengan bahasa masyarakat, dengan nadi umat.

Terpulang samada mahu menerima atau tidak. Aku tak peduli!

Di sebalik Buku Klasik Jawa

Manuskrip Jawa tertua yang pernah ditemui adalah tulisan Mpu Prapanca yang bertajuk `a kekawin' ataupun lebih dikenali sebagai `Negarakeretagama' (1365). Manuskrip yang berbentuk puisi itu menceritakan tentang pemerintah Majapahit yang terkenal, Hayam Wuruk. Kemudian sebuah lagi karya agung Jawa klasik adalah Pararaton ataupun `Pustaka Raja' yang ditulis antara 1481 - 1600 dlm bahasa Kawi (Jawa Hindu Klasik). Walaupun hampir keseluruhan manuskrip klasik ini menceritakan kehebatan Ken Arok sebagai pengasas empayar Singhasari, namun ia juga menceritakan panduan pemerintahan yang berasaskan fahaman Hindu yang bercampur dengan fahaman pagansm Jawa. Ken Arok mendakwa dirinya adalah wakil kepada Yamadipati, salah `seorang' tuhan Jawa. Baginda juga mendakwa selepas kematiannya, baginda akan berada di syurga Vishnu dan kembali ke tanah Jawa sebagai Maharaja. Maka ternanti-nantilah rakyat kemunculan baginda selepas kemangkatan Ken Arok!
Dikatakan juga bahawa perkembangan intelektualism Jawa dan Melayu lama sewaktu pengaruh Hindu-Buddhism terhad pada kelompok kraton dan istana. Tradisi ilmu mereka bersifat eksklusif bagi mempamerkan jurang antara kasta yang dihalalkan dalam ajaran lama itu. Melalui kaedah inilah, kasta kraton dapat mengukuhkan kuasa dan menentukan `kesucian' kasta mereka daripada bercampur aduk dengan kasta pariah! Kasta pariah terus bodoh dan diperbodohkan demi memastikan otak mereka tak berkembang biak. Kasta pariah hanya membiakkan benih mereka untuk berkhidmat dengan kasta suci. Melahirkan zuriat pengikut, pekerja, rakyat yang taat dan setia - dalam erti kata lain ialah berkhidmat untuk negara!

Tuesday 15 January 2008

10 pelajaran daripada kebaikan perangai Orang Putih

1. Sentiasa senyum dan tak lokek untuk mengucapkan thank you, lovely, cheers, dan sebagainya.
2. Ramah dan suka bertegur sapa - biasanya topik yang paling menarik adalah cuaca!
3. Bila memandu di jalanraya, mereka suka beri jalan pada orang lain.
4. Jika mereka `highlight'kan lampu bermakna, mereka berikan laluan. Ia terbalik di Malaysia, itu tandanya mereka minta laluan!
5. Menepati waktu.
6. Berterus terang.
7. Utamakan warga tua, wanita dan orang istimewa.
8. Ikut betul peraturan, kalau memandu di jalanraya yang ada simbol kelajuan - kereta pasti berjalan perlahan. 30 mph.
9. Jika Polis trafik nak buat speedtrap, mereka tak perlu menyorok macam di Malaysia. Mereka akan parking di tepi jalan, dari jauh dah nampak. Jika kena saman, memang tak patut. Kat Malaysia, polis trafik pekena pemandu!
10. Menghargai pandangan orang lain walaupun dia tak suka.

Mungkin banyak lagi. Jika ada masa, perlu juga disenaraikan beberapa keburukan depa!

Saturday 12 January 2008

Lebih Baik Berdoa Daripada Tak Berdoa!

Beberapa hari lepas, aku terima beberapa email - doa awal muharam. Terima kasihlah. Kemudian aku dengar adalah pihak yang menyebut bahawa doa awal muharam ini tak ada dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Ini bidaah! Sesat! dan sebagainyalah. Alahai lemahnya otak fikiran yang asyik berdebat soal tak ada kena mengena untuk membangkitkan semangat dan kesedaran umat. Tak habis-habis sesat dan menyesatkan orang lain. Bukankah lebih baik berdoa daripada tidak berdoa!
Aku bukanlah anti atau pro pada golongan Wahabi ataupun nak kritik Ibn Taimiyyah. Dua-dua adalah ulama penting yang membuat reformasi. Tapi bila ada orang kutuk semacam dengan mengatakan dua ulama itu sesat - kenapalah mudahnya menyesatkan orang lain dengan menghukum sesat pada orang yang berjasa pada Islam. Aku fikir ini mungkin akal budak nakal yang belum akil baligh!
Kritik untuk memang dibenarkan. Kerana melalui kritikan, kita boleh memperbaiki diri dan berada pada landasan kehidupan yang betul. UMNO kuat kerana dikritik hebat oleh parti pembangkang lain - bagi mengekalkan kuasanya, mereka mesti mengambil kira semua itu. Begitu juga, PAS kuat kerana bersedia menerima kritikan. Apabila kedua-dua parti saling kritik mengkritik - hasilnya mereka mengetahui kelemahan mereka sendiri dan mestilah ada usaha untuk memperbaiki.
Jangan takut kritik tapi hindari terlalu cenderung untuk menghukum.

Friday 11 January 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah!

Terasa sepi saja sambutan Maal Hijrah di sini. Sesepi waktu malam yang dingin. Tak ada apa yang menarik untuk diraikan. Beberapa teman yang menghantar email dan sms - mengucapkan selamat tahun baru hijriah. Terima kasih kalian. Aku tak sempat nak balas sekadar membalas dalam blog ni je. (sebenarnya bukan tak sempat tapi malas).
Terasa baru saja terima ucapan selamat tahun baru 2008. Samada tahun hijriah atau masihi - bagi aku tetap sama. Setiap hari adalah setiap peluang yang perlu kita memanfaatkan. Setiap hari yang berlaku adalah waktu yang terlepas dan sekadar menjadi sejarah. Setiap hari mendatang belum pasti menjanjikan sesuatu. Pastikan hari-hari kita menyambut kedatangan hari! sebagaimana kita ghairah nak sambut tahun baru.
Bila waktu winter (musim sejuk) di mana malamnya lebih lama (13 - 14 jam) berbanding dengan waktu siang yang singkat (4 petang dah maghrib, matahari terbit 8 pagi) terasa lambatnya hari mendatang. Ketika waktu siang, terasa alangkah sedikit masa kita berbanding dengan kerja kita. Teringat itulah juga kata-kata dari asSyahid Hassan al Banna yang bercakap soal masa sewaktu membaca bukunya di kampus UM dulu.

Berdialog dengan non Muslim

Salah satu masalah berbincang dengan non-Muslim adalah kita terlebih awal membina halangan dengan mereka untuk berbincang. Antara halangan kita adalah kita menganggap mereka adalah salah dan perlu diperbetulkan. Ini bukan bermakna kita membenarkan iktikad mereka terhadap pegangan mereka selama ini.

Mereka seolah-olah dibicarakan bila berbincang dengan kita. Seolah-olah mereka sudah berada di kandang orang tertuduh. Mereka perlu menjawab pertuduhan yang kita berikan.

Untuk permulaan, rasanya adalah lebih baik kita membincangkan perkara-perkara yang dipersetujui sama. Carilah persaman di dalam perbezaan yang wujud. Ketepikan dahulu perbezaan kita. Ia hanya menambahkan jurang perbezaan dan menjadikan mereka semakin jauh. Wujudkan keyakinan dan persefahaman sebagai mukadimah kepada persoalan-persoalan yang lebih serius. Bincang saja soal kenaikan harga minyak masak. Bincangkan soal peperangan yang tak henti-henti. Atau bincang soal Beckham nak sertai Arsenal. Bincanglah dengan menghargai pandangannya. Bincanglah sesuatu isu yang sememangnya kita kuasai dan enjoy dengannya.

Sewaktu kami menghadiri kelas English, tutor kami, Linda meminta kami memberikan pandangan mengenai sesuatu isu. Kamipun berilah pandangan. Masing-masing memberikan yang pro dan kontra sesama kami. Semua diulasnya dengan kata-kata; brilliant, good, excellent, okey.......semuanya dipuji. Abis tu……mana yang salah? Mana yang betul? Kawan aku cakap; itulah cara orang Barat menghargai pandangan orang lain. Mereka tidak membuat keputusan dalam menentukan siapa yang betul dan siapa yang bersalah. Aku fikir kita perlu menilai kembali cara kita berfikir dan menilai.

Contohnya kalau dalam kontek budaya orang kita, persoalan begini selalu terdengar: `dia tu UMNO atau PAS’, `dia tu sokong siapa’, `dia tu orang kita atau jamaah lain’, `dia tu …..’ atau lebih ironinya, apabila berlaku kemalangan; `Melayu ke Cina ke India?’ Fikiran kita sudah dikotak-kotakkan mengikut garisan yang kita bina.

Persoalan keTuhanan dan Jesus mengikut Kristian dan Islam terlalu akademik untuk dibincangkan. Bincangkan sahaja bahawa Jesus adalah juga nabi kita. Antara kita dengan Kristian mempunyai nabi yang sama. Memang dari segi syariatnya berbeza namun sekurang-kurangnya mereka juga berbangga kita mengakui Jesus itu sebagai nabi kita. Manakala persoalan yang selanjutnya, aku fikir bukan waktu untuk kita membincangkan perbezaan yang wujud.


Jika Jesus menganjurkan kebebasan daripada perhambaan manusia sesama manusia kepada menjadi hamba Allah s.w.t., jika Moses menentang kezaliman Firaun, kecekalan Abraham mempertahankan prinsip ia adalah sama seperti Muhammad yang menganjurkan kebebasan, menentang kezaliman dan berpegang pada prinsip. Dalam suasana sekarang, apa yang harus kita lakukan? Ahhhhh lawan sahaja Firaun yang ada! Firaun tak mati, yang mati hanya Ramses!

Berbincanglah dengan bahasa mereka asal sahaja falsafahnya tetap pada prinsip kita. Jangan takut untuk menyebut Isa al Masih sebagai Jesus, Musa sebagai Moses, atau Ibrahim sebagai Abraham. Ia adalah sekadar satu simbol bahasa daripada watak yang sama.

Wednesday 9 January 2008

Menemui Islam di Barat

Ketika aku menghadiri kelas sirah di University Swansea Mosque, penceramah itu memberitahu bahawa Ahmad Deedat, seorang ulama' dari Afrika Selatan yang terkenal pernah menyebut, `aku nampak ramai orang Islam di Timur tetapi aku tidak nama Islam. Sebaliknya aku tak nampak orang Islam di Barat tetapi aku nama Islam'.
Sewaktu aku di tanahair dulu, aku selalu berfikiran betapa 'rosak'nya akhlak orang Barat. Aku menilai sekadar mendengar orang bercakap mengenainya (yang mungkin juga tidak pernah ke Barat tapi seolah-olah lebih memahami Barat daripada orang Barat sendiri) dan juga gambaran daripada media massa. Oleh kerana rakan-rakan aku memberitahu betapa selesanya menikmati kebebasan dan suasana pembelajaran yang sistematik di Barat, aku nekad untuk melanjutkan ke Barat.
Hati aku berdebar-debar juga apabila sampai di Manchester Airport, takut-takut diperiksa dan disoal siasat oleh pihak Imigresen dan Kastam. Kawan aku pesan agar, potong janggut untuk keselamatan. Aku akur. Teringat pula cerita penjara Guatanamao Bay, ngeri. Kapalterbang sudah landing, ahh pasrah saja.
Apabila sampai di kaunter pemeriksaan, tiba-tiba sahaja fikiranku 90% berubah. Mula pegawai itu memeriksa dokumen kami. Seorang sahaja. Mesra dan sopan sungguh dan tak lokek untuk menyebut, thank you, lovely, cheers...... Fikiranku terus melayang semasa transit di Doha; dengan keadaan kelam kabut, bertekak sesama pegawai di kaunter kastam - ahhh...alangkah bezanya. Fikiranku juga teringat sewaktu mengerjakan umrah dan haji dulu, sudahlah muka pegawai kastam itu mencuka, lembab dan kelam kabut, masalah yang kecil seolah-olah mereka sedang menghadapi masalah besar. Mulut celupar, nasib baik aku tak berapa faham sangat bahasa Arab. Asyik bergaduh sahaja. Patutlah tak habis-habis Arab berperang sesama mereka. Israel terus gagah. Orang Islam semakin lemah.
Baru-baru ini, kawan aku bilang dia dah give-up dengan tokey kedai barangan Islam di Swansea kerana bersikap tak sopan dengannya. Di Swansea ini, cuma ada empat kedai barangan Islam; Amman Food, Asia Market, Exotica dan Tariq. Satu lagi kedai besar, B & A Cash & Carry di Llamsamlet. Semuanya kedai itu lebih kurang standard layanannya. Jauh jika nak berbanding dengan kedai kecil yang dikendalikan oleh orang UK sendiri. Beli tak sampai sepoundpun, terima kasihnya pasti diiringi senyuman. Tak kira ikhlas atau tidak, kerana ikhlas itu kerja dalam hati.
Apakah orang Barat lebih memahami Islam daripada orang Islam sendiri? Islam mengajar umatnya agar bersopan dalam berinteraksi. Sayangnya mereka saling bermusuhan, bermasam muka, berprasangka, benci dan seumpamanya. Bagaimana orang Barat tertarik dengan Islam jika inilah cara hidup orang Islam?
Yaa...hidayah.

Tuesday 8 January 2008

Perjanjian Sosial atau Sial?

Dulu masa belajar `Sejarah Melayu' karya Tun Seri Lanang, pening kepala memahami bahasa Melayu klasik. Aku tak pasti samada karya tersebut masih termasuk dalam kurikulum SPM sekarang. Mungkin menarik juga untuk aku kutip kembali. Sekadar ingat mengingatkan.
Maka sembah Demang Lebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Di Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak'
Maka di persetujui oleh Sang Sapurba akan perjanjian itu dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat terbanyak berbangsa Melayu tetapi Sang Sapurba pula meminta satu janji dengan Demang Lebar Daun.
Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun'
Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah'
Tetapi bila tiba waktu kita sebut `yob ubah yob!'
Mereka akan menjawab. 'ehhh idak leh gamaknye! Bio le yang lame je...... Apakah ini kerana perjanjian silam itu atau ada masalah lain? Ahhh sial sungguh jika begitu!

Memahami Kebebasan Berpolitik (catatan 1)

Biarlah kita korek khazanah silam sistem nilai orang kita sebelum berbincang soal kebebasan politik kita pada hari ini. Mungkin agak historical tapi hakikatnya memang harus dimulakan begitu.

Dikatakan juga hubungan antara raja Melayu dengan rakyat adalah "hubungan bertimbal balik" di mana raja menyediakan kepimpinan dan keselamatan kepada rakyat sebagai balasan rakyat menyerahkan taat setianya dan tenaga kepada pemerintah. Inilah intipati penting dalam perjanjian antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Walaupun perjanjian itu tidak adil kerana kesalahan samada pada pihak rakyat atau raja, hanya dihukum melalui hukum karma. Tiada institusi seperti mahkamah yang menentukan kesalahan dan juga hukuman. Ini menyebabkan raja dan pembesar Melayu yang berkuasa menggunakan kedudukan untuk terus menekan rakyat.

Frank Swettenham juga melaporkan yang pembesar Melayu (waktu dia menulis) membelenggui rakyatnya dengan hutang. Dengan cara itu pembesar dapat menjadikan rakyatnya sebagai hamba. Gullick pula berpendapat, orang Melayu akan menyerahkan kebebasan mereka kepada tuannya. Ungkapan berpatek dan berhamba telah mengukuhkan betapa rendahnya kedudukan orang Melayu kebiasaan pada pembesar Melayu.

Institusi sosial juga bergantung kuat kepada nilai-nilai dalam masyarakat tersebut. Nilai masyarakat Melayu adalah menerima bahawa rakyat adalah hamba kepada raja. Berkhidmat kepada raja dianggap suatu kemuliaan bagi orang Melayu. Seperti komentar oleh Hugh Clifford bahawa rakyat tidak mempunyai hak ke atas harta, tanaman, anak dan isteri. Kesemuanya milik Raja termasuklah kebebasan dirinya!

Soalnya sekarang bagaimana nilai ini harus dikaji semula? Ungkapan `Raja zalim raja disanggah, raja adil raja disembah’ sebenarnya hanya berakar umbi daripada tradisi Hindu yang masih tebal berkarat. Biarpun kata `adil’ itu daripada kosa kata Arab yang menunjukkan pengaruh Islam namun tafsirannya itu sendiri masih lagi berasaskan Hindu!
Bukan sembahan kita hanya pada Allah s.w.t sahaja? Kalian tentu boleh memikirkan selanjutnya.

Surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall

Jan Van Der Putten and Al Azhar (ed): `Di Dalam berkekalan persahabatan, `In everlasting friendship’ Letter From Raja Ali Haji To Von de Wall (1857 -1872)

Sebanyak 113 pucuk surat yang ditulis oleh Raja Ali Haji kepada rakannya, Von de Wall selama 15 tahun memang menarik untuk difikirkan. Bukan kerana jumlahnya yang banyak. Akan tetapi yang harus dinilai adalah hubungan yang melewati batas rumpun bangsa dan bahasa. Biarpun Von de Wall pada awal kedatangannya sebagai penceroboh bumi Nusantara, namun bagi Raja Ali Haji ada ruang untuk beliau menyampaikan panahan idea yang lebih berbisa daripada lembing atau bedilan meriam.

Raja Ali Haji yang menulis Tuhfat al Nafis, Gurindam Dua Belas dan beberapa karya lain merupakan penasihat kepada Yam Tuan Muda Riau ketika itu. Beliau juga adalah seorang ulama, guru dan merupakan golongan bangsawan Riau.

Von de Wall (1807-1873) pula berasal dari Jerman yang berkerja dengan Syarikat Belanda, Hindia Timur sebagai tentera kemudian pentadbir dan akhirnya sebagai penyelidik. Hidup sebagai penyelidik, beliau cuba mendalami bahasa Melayu untuk dijadikan kamus bagi kegunaan pentadbiran syarikat Hindia Timur. Menurut J.M. Gullick, surat-surat mereka membincangkan soal bahasa, budaya dan kadangkala bercerita tentang perniagaan.

Surat-surat Raja Ali Haji disimpan dan dibinding dengan kulit oleh Von de Wall dan disalin dengan kertas yang berkualiti tinggi yang biasa digunakan di Eropah. Sayangnya aku belum melihatnya lagi.

Sunday 6 January 2008

Bahasa Inggeris Bukan Bahasa Sains dan Matematik Dunia

(Dipetik daripada Harakahdaily)
Oleh:

Shirzad Lifeboat

Pemimpin Umno/BN terdahulu memutuskan pengajaran sains dan matematik dilaksanakan bahasa Inggeris disebabkan kononnya bahasa Malaysia tidak sesuai. Di sebalik bantahan ramai pihak, termasuk dari kaum bukan Melayu sendiri, pemimpin Umno-BN mempertahankan kononnya inilah sahaja satu-satu cara anak Melayu dan generasi muda Malaysia boleh memperbaiki dan seterusnya menguasai bahasa Inggeris.


Mungkin kerajaan mahu ada orang Melayu nanti yang boleh menulis mungkin seperti William Shakespeare atau bertutur mungkin seperti watak Profesor Henry Higgins (dalam filem My Fair Lady, dari drama Pygmalion karya George Bernard Shaw).
Melihat dari keputusan yang tergesa-gesa ini, timbul persoalan apakah pihak yang membuat keputusan dalam Umno-BN ketika itu dan pemimpin-pemimpin Umno termasuk Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut yang rata-rata merupakan yesmen faham tentang peranan, selok belok, dan impak jangka panjang bahasa terhadap negara. Mengapa tidak ada kajian terperinci sebelum dilaksanakan? Atau memang sudah jadi amalan pemimpin Umno-BN yang suka membuat keputusan ad hod bagi mematuhi dasar pragmatik parti?
Untuk memahami persoalan aplikasi bahasa dan impaknya kepada negara dan masyarakat kita perlu melihat pengalaman orang lain. Misalnya kita mungkin mahu meneliti kembali apa yang dikatakan oleh ahli falsafah dan matematik British, Betrand Russell mengenai peranan bahasa dalam ilmu. Seperti ahli falsafah lain, Russell menganggap bidang matematik sebagai cabang kepada bidang falsafah. Dalam buku Principia Mathmatica yang ditulis bersama Alfred North Whitehead, Russell menghujahkan bahawa bahasa bukanlah asas yang penting untuk bidang falsafah (termasuk matematik). Baginya bahasa adalah tidak lebih daripada alat atau pangantar yang bersifat lutsinar (transparent).
Maknanya soal bahasa apa pun yang digunakan untuk berhujah atau untuk merakam dan menyebarkan ilmu bukanlah penting. Apa yang penting ialah bagaimana tradisi keilmuan dipupuk dan diadun oleh mereka yang berkuasa. Sekadar mendirikan lebih banyak universiti dan IPTA lain bagi menempatkan pertambahan pelajar disebabkan pertambahan penduduk, sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN dalam tempoh 50 tahun lalu tidak akan mewujudkan budaya ilmuan di kalangan rakyat.

Suka atau tidak kerajaan Umno-BN perlu akur kepada hakikat ini. Mereka boleh menghantar manusia pertama ke planet Marikh sekalipun menerusi teknologi yang dibina oleh bangsa lain dan pemimpin politik terlibat boleh merasa bangga kerana kononnya instrumental dalam projek berkenaan, tetapi ia tidak akan memberi apa-apa kesan dalam membentuk tradisi ilmu melainkan sorak-sorai yang bersifat sementara.
Hujah yang buat oleh Russell bukan ikut sedap mulut tetapi berdasarkan penyelidikan dan pengalaman dan pembuktian orang lain di masa lalu. Tengok sahaja Albert Einstein dan Erwin Schrodinger yang menuntut bidang fizik dalam bahasa Jerman. Ramai yang tahu siapa Einstein tetapi tidak ramai yang tahu Schrodinger yang melakukan eksperimen minda dengan memasukkan seekor kucing ke dalam kotak yang mempunyai alat yang boleh membunuh kucing tersebut. Dari eksperimen ini Schrodinger menyumbangkan persamaan gelombang (wave equation) yang kemudiannya dijadikan asas kepada Copenhagen Interpretation of Quantum Mechanics.

Seperti mereka berdua, ramai daripada ahli fizik dan matematik terkemuka dunia, tidak mempelajari sains dan mathematik, walaupun di peringkat universiti dalam bahasa Inggeris.
Einstein, penerima anugerah Nobel (Fizik, 1921) dan dinamakan oleh majalah Time (1999) sebagai Person of the Century mempelajari bidang itu dalam bahasa Jerman di Eidgenössische Technische Hochschule Zürich juga dikenali sebagai Swiss Federal Institute of Technology.
Walaupun nama beliau sering dikaitkan dengan budaya popular, namun kertas-kertas awal beliau mengenai fizik termasuk teori asas relativiti yang kesemuanya ditulis dalam bahasa Jerman memaksa dunia sains menganggap sains fizik (mekanik) yang diasaskan oleh ahli fizik dan ahli matematik Inggeris, Isaac Newton sebagai sudah lapuk dan tidak lagi relevan.
Jika di Malaysia dan dalam skop pemikiran dan budaya Melayu yang dibentuk oleh Umno, tokoh seperti Newton sudah tentu mendapat gelaran setidak-tidaknya Bapa Sains Malaysia. Namun dunia sains tidaklah begitu mendewa-dewakan Newton dan di England jasa dan sumbangannya dalam dunia sains diabadikan menerusi sebuah tugu di Trinity College, University of Cambridge dan pusara di Westminster Abbey (yang menempatkan Parlimen Great Britain).
Ironisnya, buku tulisan Newton yang meletakkannya sebagai pengasas sains mekanik dan fizik klasik, Philosophiæ Naturalis Principia Mathematica (diterbitkan pada tahun 1687) dan buku-buku selanjutnya adalah semuanya dalam bahasa Latin. Walaupun bahasa Latin merupakan bahasa kuno tetapi dasar pendidikan British pada satu ketika dulu mahukan bangsa Inggeris mempelajari bahasa Latin bagi pengukuhan minda dan budaya ilmu. Permohonan Allahyarham Tun Razak untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di University of London pernah ditolak walaupun biasiswanya telah diluluskan oleh kerajaan British Malaya yang memerintah ketika itu hanya kerana beliau tidak mempunyai kelayakan asas dalam bahasa Latin.

Oleh kerana minatnya begitu mendalam terhadap jurusan undang-undang dan azamnya untuk belajar di University of London begitu kuat, maka Abdul Razak sanggup menghabiskan masa hujung minggu dan hampir semua masa lapang yang dimilikinya untuk berulang-alik dari Raub ke Kuala Lipis hanya semata-mata untuk belajar bahasa tersebut dari Pegawai Daerah Kuala Lipis yang mahir bahasa tersebut.
Berbalik soal sains dan matematik, jika kita melihat satu bidang sahaja, iaitu fizik (kerana sains fizik paling memerlukan pengetahuan matematik yang menyeluruh termasuk pengetahun bidang kimia sebagaimana yang diperlukan dalam fizik nukliar).
Daripada sejumlah 132 orang penerima Anugerah Nobel dalam bidang ini sejak 1901 sehingga 2007, hanya 40 orang sahaja dari Amerika Syarikat, 28 dari United Kingdom dan seorang dari India (Chandrasekhara Venkata Raman penemu Raman Effect yang mempelajari Fizik di Presidency College, Madras dalam bahasa Inggeris) dan seorang dari Pakistan (Abdus Salam kerana sumbangannya dalam konsep matematik Electro-Weak Theory yang menuntut Fizik dalam bahasa Inggeris di St. John’s College, Cambridge.) Selebihnya, 62 orang saintis yang menerima anugerah ini menuntut Fizik (dari sekolah rendah hingga ke peringkat ijazah asas dan juga ijazah lanjutan termasuk ijazah doktor falsafah) atau membentangkan kertas-kertas mengenai penemuan mereka dalam bahasa ibunda masing-masing.
Antara yang paling terkemuka dan dikenali umum ialah Wilhem Rontgen, penerima 1901 (x-ray); Max Planck, penerima 1918 (tenaga quanta); Albert Einstein, penerima 1921 (Fizik Teoritikal, penjelasan kesan fotoelektrik), Erwin Schrodinger (rakyat Austria), penerima 1933 (penemuan bentuk produktif teori atom); Wolfgang Pauli (rakyat Austria), penerima 1945, Rudolf Massbauer, penerima 1961 (penemuan kesan Mossbauer); dan beberapa orang lagi warga Jerman yang menerima anugerah tersebut, membentangkan kertas penemuan masing-masing dalam bahasa Jerman.
Hendrik Lorentz, penerima tahun 1902 (penyelidikan mengenai pengaruh magnetism ke atas fenomena radiasi); Johannes Van de Waals, penerima 1910 (sumbangan terhadap persamaan matematik bagi bentuk gas dan cecair); Fritz Zernike, penerima tahun 1953 (penjelasan terhadap pembezaan fasa dan penciptaan mikroskop pembezaan fasa) membentangkan kertas masing-masing dalam bahasa Belanda.
Pierre dan Marie Curie, penerima tahun 1903 (penyelidikan fenomena radiasi yang ditemui oleh Henri Baquerel), Henri Bequerel juga penerima tahun 1903, (radioaktivi serentak), Pierre Raymond de Brogile, penerima tahun 1929 (penemuan sifat gelombang electron), Louis Felix Neel, penerima tahun 1970 (penemuan yang menghasilkan aplikasi penting bidang fizik bentuk padu), Pierre-Gilles de Gennes, penerima 1991 (penyelidikan terhadap cecair hablur dan polimer) serta berapa orang lagi penerima bidang ini dari warga Perancis membentangkan kertas mereka dalam bahasa Perancis.
Selain daripada itu, Guglielmo Marconi, penerima tahun 1909 (kemajuan telegraphy tanpa wayar) dan Enrico Fermi, penerima tahun 1938 (penemuan kewujudan unsur radioaktif baru terhasil dari sinaran) membentangkan penemuan mereka dalam bahasa Itali; Niel Bohr, penerima tahun 1922 (struktor atom dan radiasi dari atom) mengemukakan penemuannya dalam bahasa Denmark; Karl Siegbahn, penerima tahun 1924 (penyelidikan spektroskopi x-ray), dalam bahasa Sweden; Hideki Yusawa, penerima 1949 (ramalan kewujudan pi-meson dalam atom), Sin-Itoro Tomonaga, penerima tahun 1965 (elektrodinamik kuantum), walaupun membentangkan kertas mereka dalan bahasa Inggeris tetapi menuntut Fizik dalam bahasa Jepun di universiti-universiti di Jepun.
Chen Ning Yang dan Tsung-Dao Lee, penerima bersama tahun 1957 (penyelidikan hukum parity), membentangkan kertas mereka dalam bahasa Inggeris tetapi mempelajari Fizik peringkah ijazah sarjana muda dan sarjana di universiti-universiti di China dan kemudian melanjutkan pelajaran dan menulis thesis Ph.D. dalam bahasa Inggeris di Universiti of Chicago, Amerika Syarikat.
Pavel Alekseyevich Cerenkov, penerima tahun 1958 (penermuan kesan Cerenkov-Vavilov) dan Aleksandr Prokhorov, penerima tahun 1964 (sumbangan asas dalam elektronik kuantum) mempelajari Fizik dan membentangkan kertas masing-masing dalam bahasa Russia.
Ivan Giaever, penerima tahun 1973 (fenomena penerowongan elektron dalam pengalir super) mempelajari bidang kejuteraan mekanikal dalam bahawa Norway sebelum melanjutkan pelajaran ke Kanada.
Berdasarkan hakikat ini, tidak ada helah mengapa kerajaan Umno-BN perlu menggubal dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan kita boleh sahaja mempelajarinya dalam Bahasa Melayu.
Apakah pemimpin Umno terlupa bahawa pengasas algebra yang menjadi asas kepada semua cabang ilmu sains dan matematik adalah seorang ahli matematik Parsi, Muhammed ibn Musa al-Khowarizmi yang tak tahu berbahasa Inggeris dan buku Hisab al-jabr w'al muqabalah yang tanpanya tidak mungkin ada Einstein dan lebih 100 penerima Anugerah Nobel bidang Fizik juga tidak ditulis dalam bahasa Inggeris.
Apa lagi alasan yang perlu diberikan oleh Umno-BN bagi mempertahankan keputusan ini?
Ulasan: Aku dah`malas' nak ulas soal bahasa. Aku lebih berminat mengetahui siapa penerima anugerah hebat dunia itu. Berilah apa jua alasan. Selagi tak kena batang hidung sendiri. Dasar itu akan terus berlangsung. Ok, itu sahaja.

Friday 4 January 2008

Ulasan Puisi "Bacalah' Oleh GLKN

Salam.Terima kasih Amar, dan saya sangat bersetuju. Awas juga noktah dan tanda baca. Akan saya tegur setiap sajak, sampai la anda dengar kata. Degil betul ahli GKLN ni...ahah =D

Agak janggal sebenarnya rangkap kedua tu. Terutama meredah Sg Indus dan Tigris. Kalau belajar di Iraq, Iran, atau Timur Tengah, mungkin sesuai.

Rangkap satu lewah sangat. Cuba cari ekspresi lain menggambarkan sahabat handai dan jiran, dan kampung halaman. Ekspresi yang lebih kuat, dan bernada nostalgik. Sekadar menyenaraikan, merupakan salah satu punca sajak jadi lewah dan meleret2.... (ini tips.Salin =D ) Apatah lagi menyenaraikan langsung. Kampung, sahabat, jiran, cikgu, kucing, ayam sereban, awek seberang kampung, dan sebagainya. Senarai takkan habis. Cara nak atasi, gunakan simbol, metafora.Contoh:

Telah kau tinggalkan ladang nostalgia

Perlukan latihan...dan semestinya suntingan. Cara mudah nak kenal sajak itu draf kasar atau telah disunting, dengan melihat tanda baca dan ejaannya. Kebanyakan sajak di GKLN ni sajak mentah, iaitu belum disunting (not even once...) =)

Banyak tempat boleh diubah, khasnya untuk mengelakkan klise. Rangkai kata- 'Sang pencari Ilmu' tidak mengesankan. Kenapa perlu ada 'Sang', kerana anda masih guna perkataan yang langsung- 'pencari ilmu'. berdiri kalian di sini, takut membaca buku, karya silam....perkataan2 ini perlu improvisasi. Ganti supaya tidak klise dan lebih puitis.

Rangkap akhir saya suka, kuat untuk menyimpulkan puisi ini. Keep it up.

Jangan lupa, hantar butir diri kepada http://uk.f280.mail.yahoo.com/ym/Compose?To=adiba_308%40yahoo.com. Semua ahli, sila beri kerjasama.Pleaseeeeee. ......... .=DFahd RazyCavan General Hospital



amar amir omar <http://uk.f280.mail.yahoo.com/ym/Compose?To=amar_kun%40yahoo.co.uk> wrote:



salam..


saya ni tak reti sangat nak mengulas.. tp bolehlah dikatakan ini sebagai langkah pertama saya di jalan pengkritik puisi yang panjang ini..saudara muhaimin ada dua kesalahan ejaan, dan mengikut kata saudara fahd, kesalahan ejaan adalah satu kesalahan kepada sesuatu karya, apatah lagi karya puisi.


kampong = kampung
Machaivelli = Machiavelli
Laut Hindi = Lautan Hindi

oh ya, awak ada di Swansea? tolong kirim salam kepada pakcik saya di sana, Pakcik Radzi. Kalau awak suka ke masjid insyaAllah ada la rezeki jumpa dia.hehehe

Thursday 3 January 2008

Jangan Tangkap Pencuri Itu!

Jika kalian terlihat pencuri masuk rumah orang. Jangan bagitau sesiapa! Biarkan polis yang menyelesaikannya. Bolehkah begitu?
Jika kalian terlihat orang rasuah. Jangan bagitau sesiapa! Biarkan BPR yang menyelesaikannya. Nanti kalian macam Ezam Mohd. Noor - tak pasal-pasal kena masuk penjara free.
Jika kalian terlihat orang berzina, berkhalwat, rogol....... Jangan bagitau sesiapa! Biarkan Pencegah Maksiat atau Polis yang menyelesaikannya. Nanti kena tegur dek Mufti Perlis.
Bagaimana polis dan pihak berkuasa meneliti kes Chua Soi Lek sekadar menambah kuat bukti bahawa cara penyiasatan polis Malaysia lebih kepada penyelesaian masalah sampingan - bukan masalah pokok. Mengapa tak siasat siapa dan mengapa Chua Soi Lek membuat hubungan dengan wanita itu. Apa kaitan mereka berdua? Rakan baik atau rakan kongsi peluang politik dan perniagaan. Isu VCD Lingham belum lagi selesai kerana asyik nak mencari siapa punya kerja yang mengeluarkan VCD rahsia itu.
Itulah cara untuk menjadikan rakyat penakut, main surat layang, baling batu sembunyi tangan dan sebagainya. Kerana rakyat yang berani macam Hang Nadim - akan dibuang ke laut dalam - biar ia mati tenggelam ditelan ombak laut. Jangan lupa - jasadnya mungkin mati tapi keberanian itu tidak akan mati selagi belum qiamat!

Chua Soi Lek Letak Jawatan: Politik Bermoral?

Haaaaaa....................sekarang sudah tau siapa yang ada dalam VCD lucah itu! Semalam Menteri Kesihatan Malaysia bercakap dalam sidang media bahawa ia tetap iltizam pada jawatan yang sedia adanya. Tapi hari ini - dia sudah letak semua jawatan politiknya termasuklah jawatan menteri dah ahli parlimen. (eh...bukan senang beb nak jadi menteri dah ahli parlimen!) Belumpun reda soal VCD Lingham, Altantuya, kejutan terbaharu ini menambahkan episod paling meloyakan dalam kerajaan Malaysia. Perdana Menteri kita sebut, tindakan itu adalah wajar. Bagi Chua Soi Lek, peletakan jawatannya adalah untuk mengelakkan isu beliau menjadi beban kepada kerajaan dan parti. Jadi.......inikah yang dikatakan politik bermoral?
Sebelum ini isu skandal seks yang melibatkan `orang-orang besar negara' selalu dilindungi oleh suara dan kuasa suci negara. Yang selalu menjadi bahan berita sensasi adalah mat rempit atau minah karan kena tangkap basah. Tak habis-habis. Namun sejak era Islam Hadhari ini, kuasa itu tidak lagi sesuci sebagaimana zaman Mahazalim yang dikatakan autokratik. Apakah era Islam Hadhari ini lebih demokratik ataupun liberal berbanding dengan zaman sebelum itu? Atau sekarang ini zaman kerajaan dipimpin oleh MahaAlim? Maka sebab itu satu demi satu dibongkar. Terbongkar atau dibongkar bagi membuktikan MahaALIMnya itu.
Kesucian kerajaan UMNO semakin tercemar dengan pembongkaran ini tetapi secara moralnya dikatakan bahawa langkah meletakkan jawatan Chua itu satu langkah suci bagi mensucikan kesucian kerajaan UMNO. Rakyat akan terus menerima kesucian UMNO tanpa soal jawab kerana menentang bermakna jiwa tak suci, kotor, kolot dan tercemar. Menentang kerajaan UMNO bermakna berdosa seperti tidak diterima oleh makhluk di langit dan di bumi!
Rakyat biasa akan menganggap peletakan jawatan Chua sama seperti rakyat menganggap mahkamah syariah mengenakan denda RM1000 kepada pasangan yang didapati bersalah kerana berkhalwat. Ia sekadar berita biasa. Nanti bila pilihanraya umum jika pembangkang mainkan isu ini - aku fikir tak makanle. Buang masa.
Sebab apa? Nanti biar aku fikirkan sekejap..........................................................
.
.
.
.
.
.
Ahhhh.....rakyatpun tak ada moral politik, mereka ingin menjadi orang suci!

Tuesday 1 January 2008

Kisah Peniaga Nasi Lemak

(Menarik untuk dibaca hiba)
Oleh: Dari Bumi, Cheras

Di Bandar Tun Razak, Cheras, ada seorang peniaga Melayu Islam yang sudah tujuh tahun berniaga warung nasi lemak. Nasi lemak Mak Ton sangat sedap, sangat murah dan penjualnya sangat ramah dan baik hati, jujur dan amanah. Kita boleh minta sambal lebih, minta timun lebih atau kacang lebih; semua permintaan dilayan. Beliau memenuhi semua kriteria seorang peniaga Islam seperti yang disyariatkan Allah.

Warung Mak Ton terletak bertentangan dengan kedai mamak di hadapan Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, di bawah pokok besar. Pusat komuniti itu dekat dengan stesen LRT Bandar Tun Razak. Saya sendiri sudah 2 tahun membeli nasi lemak beliau, sangat kerap dalam seminggu. Hari itu, sedang saya memilih bahagian ayam untuk dimakan, datanglah lori DBKL dengan hampir 15 orang lelaki yang gagah-gagah. Ada yang memakai rantai leher, bermuka samseng, membuli orang tua ini. Mereka memberikan tiket saman, dan mengugut akan menyita warung makan Mak Ton.
Alangkah teruknya tingkah laku mereka. Tiada belas kasihan, bertindak seperti samseng terhadap seorang perempuan separuh usia yang menjual nasi lemak di bawah pokok, di tepi jalan. Sepanjang dua tahun membeli nasi lemak Mak Ton, saya belum pernah tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas, belum pernah ada masalah parking di situ.


Pendek kata, warung Mak Ton tidak pernah memberi saya sebarang masalah. Cuma mereka (DBKL) cuba memindahkan para peniaga di Cheras ke Pusat Komuniti Bandar Tun Razak yang tidak ramai pengunjung, tetapi mengenakan sewa bulanan mencecah RM1,700 sebulan.
Di sini, saya telah melihat ramai peniaga Melayu yang berpotensi 'terbunuh' apabila tidak mampu membayar sewa. Pengunjung sangat kurang berbanding tempat asal perniagaan mereka sebelum ini.


Saya kagum bagaimana Mak Ton berhadapan dengan pihak penguasa DBKL. Dia bersabar, profesional terhadap pelanggan walaupun menghadapi dugaan tersebut. Saya bertanya pada Mak Ton: "Macam mana ni Mak Ton?" Jawab beliau tegas: "Kita balas zalim dengan undi kita besok."


Saya teringat sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: "Jangan kamu cenderung terhadap orang yang zalim, kelak kamu disambar api neraka."
Tulisan di atas saya petik daripada Harakahdaily - Dalam hati kecil saya berkata;
1. Yang datang merobohkan warung `orang melayu' itu kemungkinan besar adalah `orang
melayu'
2. Yang memberikan arahan untuk dirobohkan warung `orang melayu' itu kemungkinan besar
adalah `orang melayu'
3. Yang datang memberi simpati pada penjual nasi lemak `melayu' itu kemungkinan besar
adalah `orang melayu'
Satu kemungkinan yang menjadi musykilah; mengapa orang melayu marah sangat pada orang Cina, India ataupun orang kafir?

Ingatan Pada KalianYang Hilang


Gambar: Aku ingat di Karachi tapi rupanya di Canterbury Street, Birmingham. Dari Bank Islam hinggalah kedai menjual bir. Dari Afrika hinggalah di Dunia Melayu - ada di sini.
Beberapa hari yang lepas - kami kembali berkembara - menuju daerah kelahiran William Shakespeare. Bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan semedan memang mengasyikkan. Berbincang senada dan sehaluan kerana dikatakan satu fikrah, satu mazhab, satu kroni, satu kotak atau satu parti. Samalah semua tu! Memanglah terlepas gian bercakap tanpa tapisan.
Masa memang sentiasa terlalu singkat dalam keadaan begini. Banyak pengalaman pahit manis berkarya yang perlu dikongsi sama. Bukan berkarya pada kertas tapi berkarya dan berkerja pada tanah negara yang gersang. Kami teruja bila bercakap soal - idealisme sewaktu dalam alam kampus. Cakap berdegar-degar bagai Sang Arjuna menentang Ramayana! Namun bila sudah masuk ke dalam alam bendang, kebun, pekan batu, kotaraya - semuanya semakin mengecil menjadi awang kenit dan akhirnya terus halimunan......................hilang ditelan zaman.


Barangkali rakan-rakan kami yang pernah makan setalam dan sebaris dalam solat tetapi entah ke mana pergnya telah hilang haluannya. Teringat aku pada bait lagu `Semalam di Malaya' - "Ke manakah, kawan lama yang sama berjuang." Ada yang asyik dengan hobi `baru'nya seperti bermain golf, makan malam di hotel lima bintang, mengilat kereta mewah atau berkebun pada tanah di pinggir kota. Kawan aku beritahu - mereka tak sempat merasai `kemanisan dunia' sewaktu awal muda dulu kerana konon dok ralit dengan 'ilmu' dan `perjuangan'. Kini bila kehidupannya sudah `sempurna' - sudah berkeluarga, berkerjaya, berpengaruh dan berpangkat - sedikit demi sedikit `perjuangan' lama semakin ditinggalkan dan akhirnya dilupakan.




Terasa seperti singkatnya hidup ini. Beberapa rakan-rakan aku di kampus sudah berstatus Professor, Professor Madya dan mungkin juga ada yang bergelar Dato'. Kepada mereka aku angkat tabik kerana terus berjuang dengan cara mereka untuk membantu perjuangan yang lebih besar. Jangan jadi cendiawan yang hebat tapi takut untuk mempertahankan kebenaran. Ahh...malu pada orang kampung yang tak berpelajaran - perjuangannya tak pernah hilang mesti kehidupannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ahhh........ malu pada nelayan yang dilambung lautan ombak kerana tak pernah kesal ke laut mencari rezeki untuk anak isteri dan sedikit diberikan pada tabung perjuangan.




Jangan kalian terus alpa pada keinginan mencari pangkat dan kewangan. Carilah tapi jangan sampai kalian tenggelam dihakis semangat dan keazaman menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Kalian memang boleh dapat apa yang kalian inginkan. Nabi sudah katakan - kalian akan dapat apa yang kalian niatkan. Jika kalian niatkan kedudukan - insyaAllah kalian akan dapat kedudukan itu. Jika kalian niatkan akan kewangan - insyaAllah kalian akan dapat kewangan itu. Niat kalian akan mendorong iltizam kalian bergerak seluruh kudrat yang ada untuk ke arah apa yang kalian niatkan






Kepada yang hilang pada medan perjuangan - mungkin tulisan ini sekadar satu ingatan dari kawan lama kepada kalian.










Bacalah

Telah kau tinggalkan kampong halaman
Dan taman sejiran
Keluarga tersayang dan sahabat handai

Telah kau lewati Selat Melaka
Dan Laut Hindi
Telah kau redah
Sungai Indus dan Sungai Tigris

Dan berdiri kalian di sini
Adalah atas nama sang pencari ilmu
Pada karya silam dan ilham yang datang

Jangan takut membaca buku
Marx, Mao atau Machaivelli
Jangan gusar dalam mencari kebenaran
Baca juga al Ghazali, al Farabi dan juga
Kitab tinggalan Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji

Bacalah yang ada
Bacalah juga yang tiada
Dan baca yang hilang
Yang ditenggelamkan


1 Jan 2008
Swansea

Kami Datang Padamu: 2008

Jam pada skrin komputer sudah menunjukkan 12.05 malam - sudah lima minit hari ini melangkah ke 2008. Yang kudengar dari tingkap rumah aku adalah suara pekikan dan bunyi bunga api yang berdentuman - malam di Swansea bergemerlapan dengan percikan bunga api. Beberapa minit yang lepas - kami sempat jua bersiar-siar ke tengah-tengah bandar Swansea - melihat bagaimana masyarakat di sini meraikan sambutan tahun baru. Kelab malam, restoran serta tempat makan penuh dengan pelanggan. Sebahagian pelanggan lepak-lepak di luar sambil minum beer, wain ataupun whisky serta merokok walaupun malam cukup dingin. Mungkin mereka menanti jarum jam melewati angka 12.
Malaysia sudah meraikan lebih awal. Namun acaranya lebih kurang sama. Barangkali di Dataran Merdeka penuh malam tadi. Atau mungkin juga di Menara Kembar Petronas sama. Ahhh....orang Teluk Intanpun berhimpun juga di depan Menara Condong - semua pakat tunggu angka 12. Hari ini angka 12 cukup bermakna kerana dinanti oleh jutaan manusia.
Mereka berhimpun sekadar menanti angka 12 itu datang.
Bagaimana budaya menyambut tahun baru ini begitu hebat pengaruhnya. Terasa seperti masuk pada alam lain. Terasa ada garis pemisah antara 2007 dengan 2008. Seolah-olah tahun baru itu mempunyai kelainan. Seperti planet yang terpisah.
Tidak. Aku sesekali tidak menanti kau wahai tahun 2008 tapi aku datang padamu 2oo8.
Tentu ada bezanya.