Aminuddin, kawan aku seorang peguam muda di pekan kecil Slim River sakit hati bila pihak sekolah anaknya mengadakan cabutan bertuah sempena Mesyuarat PIBG Sekolah. Pihak sekolah mengadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah untuk menarik kedatangan ibubapa ke mesyuarat PIBG. Memanglah ramai ibubapa yang datang ke mesyuarat itu. Tapi dia rasa seperti diperbudak-budakkan oleh pihak sekolah. Dia memang celupar sikit. Dia pun bercakap dalam mesyuarat itu untuk melahirkan rasa hinanya. Terasa digula-gulakan oleh pihak sekolah. Lepas itu, aku dengar sekolah itu tak buat lagi acara itu. Tapi aku tak tau samada ibubapa masih ramai lagi datang ke mesyuarat PIBG atau tidak.
Sebagai peguam, dia selalu berpendirian bahawa dia adalah betul. Sebab itu, aku selalu bertekak dengan dia. Kalau dah tak lalu nak lawan, dia akan buka cermin jeepnya - merokoklah! Aku tau, dia sedang mencari jalan untuk membidas kembali hujah aku. Aku tak kisah. Aku kalahpun tak mengapa. Tapi sebagai peguam, dia pantang dicabar. Dia akan lawan. Sebab itu, susah kawan dengan peguam ini! Asyik dia yang menang. Itulah cara peguam menjerat manusia.
Kawan aku seorang lagi yang duduk di Midland. Tak perlu sebut namalah. Dia selalu buat acara makan-makan di rumahnya. Dia akan jemput orang baru dan orang lama makan sambil sembang. Dia kata, inilah cara untuk memperbanyakkan rangkaian kawan. Memang dia ramai kawan. Tak macam aku. Aku selalu kata, itu menjerat orang. Di kampung dulu, bila nak buat ceramah politik, mereka akan cari tuan rumah yang bersedia untuk buat kenduri. Duit belanja parti bayar. Tuan rumah cuma jemput orang datang. Bila waktu kenduri tiba, sebelum makan mereka terpaksa mendengar ceramah politik. Kah! Kah! Kah! Terjerat lagi mereka.
Aku ingat masa kecil-kecil dulu. Bapa aku suruh tangkap ayam untuk disembelih. Aku akan tabur padi di hadapan tangga rumah sambil mulutku mengecit-gecit memanggil ayam yang akan menjadi mangsa. Ayam walaupun ada otak, dia tak pakai sangat. Akhirnya tertangkap juga sewaktu leka mematuk padi. Ayam itu kami sembelih buat makan istemewa tengahari itu.
Rupa-rupanya bila difikirkan, manusia yang kena jerat dengan makanan setaraf dengan ayam yang aku tangkap itu! Sebab itu, aku tak setuju bila buat kenduri yang ada`udang di sebalik batu'. Dulu bila Abang Mat Sabu datang ke rumah. Aku panggil kekawan di Swansea bukan untuk makan tapi untuk bersembang dengan Abang Mat Sabu. Aku tak mau perangkap atau jerat mereka. Kesihanlah kena sembelih hidup-hidup.
Sewaktu aku bersama Unit AMAL Perak ke Acheh kerana misi kemanusiaan untuk mangsa Tsunami, aku terjumpa seorang sukarelawan berbangsa Eropah dikerumuni budak-budak kerana berebut untuk mendapatkan gula-gula. Orang tuapun tumpang sekaki berebut dengan budak-budak itu. Kamipun mengedar-edarkan gula-gula kepada anak-anak sewaktu di masjid. Yang ironinya, makcik-makcik di balik tabir itupun meluru ke hadapan kami menghulur tangan - mahu gula-gula!
Begitu juga jika ada kesempatan makan free di hotel mewah. Semua aneka lauk pauk akan dilonggokkan ke dalam pinggan. Segunung Uhud nasi yang ditenggelami lauk pauk, sayur mayur dan serba macam juadah. Semacam tak pernah makan sebulan. Ini bukan budak kampung atau penoreh getah tetapi ini perangai pegawai kerajaan, swasta ataupun yang berpendidikan tinggi.
Bila tercetusnya Tragedi 13 Mei, kerajaan membuat kesimpulan antara punca kekacauan perkauman itu kerana ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Kaum Melayu yang menjadi pribumi semikin sungguh. Lalu dilancarkan Dasar Ekonomi Baru untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Maka bermulalah acara memperkayakan orang Melayu sehingga lahirlah Melayu Kelas Menengah yang sebahagiannya kapitalis sifatnya. Golongan kapitalis Melayu yang berpakat dengan sang politikus inilah yang menjerat orang-orang Melayu untuk terus berada dalam kepompong politik Melayu yang sempit. Sehingga apabila UMNO kalah dalam mana-mana pilihanraya - kesimpulan yang dibuat adalah orang Melayu sudah hilang kuasa. Inilah jerat politik yang mudah dibaca tetapi payah untuk bebas dari khurafat mengarut ini. Slogan ini sudah berkemundang sejak berakhirnya PRU ke 12 yang lalu.
Manusia walaupun tinggi mana pintarnya - bila kelaparan, mereka akan kehilangan akal dan akhirnya terjerat. Dari rasa lapar dan susah - kita akan mengenal siapa kawan yang sebenarnya. Waktu sedang makan - kenyang - senang - semua dianggap kawan. Sebab itu pernah nabi bersabda yang lebih kurang bermaksud, kita akan mengenali kawan kita yang sebenar apabila dapat makan, tidur dan mengembara sekali. Elok juga kawan kita berlapar sama!