...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday 15 May 2008

Negara Kebajikan: Jangan Lupa Kebajikan Aktivis Parti





Konsep `Negara Kebajikan’ yang menjadi teras di dalam manifesto PAS sebenarnya telah lama dijadikan `ayat pilihanraya’ sejak beberapa pilihanraya yang lalu. Saya teringat, suatu ketika dahulu, Dato’ Mustafa Ali sewaktu menjadi Bendahari Agung PAS telah membentangkan satu kertas kerja tentang perlunya, aktiviti PAS menumpukan soal-soal kebajikan kepada rakyat. Gerakan Islam seluruh dunia seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jami al Islami di Pakistan dan Refah di Turki yang mengambil perhatian terhadap soal-soal kebajikan sebagai usaha menambat dan meraih sokongan rakyat.

Walaupun, aktiviti PAS sudah lama mengambil perhatian soal-soal kebajikan rakyat namun satu gerakan bersepadu telah dianjurkan dari parti sedikit sebanyak telah merangsang perubahan yang lebih besar terhadap pendekatan politik parti. Melalui Lajnah Kebajikan di setiap sayap parti, bergerak lebih aktif terutama jika timbul bencana alam ataupun musibah. Dalam hal ini, sekalung tahniah kepada kesungguhan Unit AMAL Dewan Pemuda PAS yang menjuarai dalam soal-soal memberi khidmat kebajikan. Gambar: Liverpool.UK - contoh negara yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Khidmat kebajikan PAS sudah tidak lagi tertumpu di kampung ataupun pinggir kota bahkan telah menjalar hingga ke kota dan ke luar negara. Dari banjir di Johor hinggalah gempa bumi di Pakistan atau tsunami di Acheh, Unit AMAL dan Yayasan AMAL khususnya telah membuktikan bahawa aktivis PAS memang berjiwa berkebajikan. Masyarakat dan badan kerajaan dan swasta di luar negara mengakui sumbangan keupayaan dan kemampuan badan kebajikan ini terhadap membangunkan konsep kebajikan di dalam gerakan Islam.

Tahun lepas, saya mengiringi Timbalan Presiden Yayasan AMAL berkunjung ke Islamic Foundation di London untuk bertukar-tukar fikiran dan pengalaman tentang misi kebajikan dan kemanusian global. Mereka juga cukup berbangga dengan kemampuan Yayasan AMAL. Di dalam lawatan Saudara Jamaluddin Elias selaku Timbalan Presiden Yayasan AMAL Malaysia ke beberapa buat bandar di UK seperti Dublin, Birmingham, Manchester dan Swansea, kebanyakan pelajar kita di luar negara begitu tertarik untuk menyertai kerja-kerja kebajikan anjuran Yayasan AMAL. Saya juga pernah merakamkan kesungguhan mereka di dalam skrip drama tv yang bertajuk `Menanti Perang Berakhir’ yang kini di dalam simpanan IKIM.

Kini selepas PRU ke 12, dan PAS dan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk lima kerajaan negeri tentulah mempunyai keupayaan yang lebih untuk meneruskan misi kebajikan kepada rakyat seluruhnya. Di Perak, portfolio kebajikan diamanahkan kepada wakil rakyat Lubuk Merbau daripada PAS, Hj. Mohd. Zainuddin Mohd. Yusuf, di Kedah, diamanahkan kepada Ustazah Hjh. Siti Ashah Hj. Ghazali dan beberapa contoh lain.

Sebenarnya ada suatu cabaran yang kritikal di dalam parti sendiri dan juga kerajaan Pakatan Rakyat di dalam memahami definisi dan fokus kebajikan. Adalah tidak adil untuk mengukur pemahaman pimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di dalam waktu yang singkat ini. Namun, beberapa persoalan yang perlu dilontarkan awal ini adalah bertujuan untuk memastikan soal kebajikan itu ada keseimbangan antara keperluan politik dan kebajikan aktivis.

Satu hakikat yang wujud di dalam lubuk hati aktivis dan penyokong parti di sebalik kemenangan Pakatan Rakyat di beberapa buah negara adalah soal kebajikan mereka sendiri perlu ada pembelaan. Keghairahan untuk meraih undi dan sokongan daripada pengundi, seringkali parti terlupa untuk melihat kebajikan aktivis parti yang berkorban apa saja untuk perjuangan. Kadangkala mereka memikul beras untuk diagih-agihkan kepada keluarga miskin dalam misi kebajikan PAS Kawasan tetapi rumah mereka sendiri sebenarnya lebih memerlukan. Namun demi soal perjuangan parti, hal-hal ini dipendamkan.

Apabila kuasa sudah berada di tangan, slogan `negara kebajikan’ terus memberi fokus kepada pengundi ataupun rakyat. Aktivis parti terus menelan kepahitan demi masa hadapan perjuangan. Yang lebih mengharukan apabila peluang-peluang daripada keadaan politik yang berubah, golongan berkepentingan segera mengambil kesempatan. Kewujudan golongan berkepentingan adalah suatu yang lumrah di dalam situasi begini dan harus ada berlapang dada bagi pemimpin dan aktivis parti. Sesetengahnya tak pernah ada di dalam program parti tiba-tiba kini muncul seperti lagak aktivis parti 24 jam!

Satu perkara yang perlu pimpinan sedari bahawa aktivis parti jarang ke hadapan untuk mengambil peluang melainkan diberikan. Mereka tidak meminta tetapi mereka memerlukan. Mereka segan bercakap tetapi hati mereka tetap berkocak. Mereka sanggup memberi tetapi sudah ditarbiyyah untuk tidak meminta apatah lagi menuntut. Bukankah aktivis parti juga manusia biasa yang mempunyai keinginan biasa. Mereka bukan malaikat atau jin yang boleh diarah, diperintah sepanjang waktu. Berbeza orang yang tidak mendapat tarbiyyah parti, mereka akan meminta, membodek atau juga mungkin mengugut.

Secara retoriknya, kerajaan Pakatan Rakyat menjadi pembela rakyat tetapi itu adalah roti untuk orang yang lapar politik. Hakikat di dalam politik, pembelaan terhadap rakyat adalah suatu slogan yang digunakan oleh semua parti. Hitler yang diktator juga mengatakan bahawa perjuangan Nazi adalah untuk kebajikan Jerman. Seperti juga Moa Tse Tung di China. Siapa kata Mugabe tidak memberikan kebajikan kepada rakyatnya? Barat menuduhnya semata-mata kerana faktor politik. Slogan seperti `Keadilan’, `Hak Asasi Manusia’, `Kebahagiaan’ adalah sekadar retorik di dalam politik. Makna semua slogan ini hanya wujud jika dapat dilaksanakan.

Pelaksanaan konsep `negara kebajikan’ Pakatan Rakyat hanya dapat direalisasikan jika soal-soal kebajikan pihak yang paling hampir dengan parti diberikan perhatian. Merekalah yang menggerakkan ke arah merealisasikan konsep kebajikan di negara. Kita memang berjiwa besar kerana memberikan peluang yang seimbang kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan juga parti. Parti lawan boleh memegang dan ditawarkan jawatan jika sanggup berkerjasama dengan kerajaan. Kita boleh membuka tangan seluas-luasnya kepada golongan berkepentingan yang mula tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun, kita ada kebijaksanaan dalam menentukan keutamaan politik dan survival perjuangan parti.

Jangan kuatir untuk memberikan sumbangan ataupun menawarkan jawatan kepada aktivis parti jika mereka mempunyai kelayakan dan perlu dalam merealisasikan perjuangan parti. Asasnya adalah merit yang ada pada mereka. Takut dituduh mengamalkan `kronisme’? Hakikatnya, `kronisme’ juga satu lagi produk retorik politik yang digunakan untuk menghakis kuasa dan pengaruh politik. Kita terlalu kagum pada slogan-slogan politik baru yang akhirnya memerangkap diri kita sendiri. Bolehkah kita mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. seorang pemimpin yang kronisme? Nabi Muhammad s.a.w. melantik kalangan sahabatnya seperti Abu Bakar, Umar, Ali dan sebagainya untuk beberapa jawatan penting di dalam pentadbiran kerajaan Madinah. Mereka bukan sekadar sahabat Nabi Muhammad bahkan mereka juga adalah keluarga Nabi. Tiada siapa yang mempersoalkannya – kerana Muhammad adalah Nabi kita. Bukankah begitu? Namun, itulah kaedah politik yang digunakan Nabi Muhammad s.a.w dalam memperkukuhkan jentera kerajaan dan pentadbiran. Mengapa kuatir kita mengikuti sunnah nabi ini semata-mata pertimbangan politik yang tidak tepat dan kabur?

Ringkasnya, kerajaan Pakatan Rakyat secara bijaksana perlu memberi perhatian terhadap kebajikan aktivisnya bermula daripada pimpinan atasan hinggalah di peringkat akar umbi. Sehingga kini, berdasarkan beberapa perkembangan pentadbiran di negeri-negeri Pakatan Rakyat - Jelaslah, masih ada pimpinan kita masih membujur lalu melintang patah untuk meneruskan survival hidup sebagai aktivis dan ketua keluarga. Malam berceramah atau mengajar, siang mengurus parti. Waktu bila nak cari wang? Percayalah, mereka tidak akan sesekali meminta kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Meski satu ayat!

1 comment:

mohd_r said...

Saya teringat pada satu cerita sahabat saya dari Canada yang melawat saya pada tahun 2006. Dia menceritakan semasa dia melawat singapore sebelum dia kemalaysia, dia menemui seorang saudaranya yang sakit barah usus serious sebelum ini yang mengikut doktor tak dapat di selamatkan. Katanya seorang warga indonesia telah memberi tahunya satu petua yang dilaku di indon ialah dengan dikisar(blend) daun sirih dan kunyit hidup di campur air. Lepas itu disejukkan dan dibiarkan sementara kekerohan settle di bawah. Air itu di minum untuk setiap hari. Saudaranya telah mencubanya untuk beberapa minggu, dan Alhamdulillah selepas tiga minggu penyakit kancer usus dia bertambah sembuh.
Petua ini saya tak pernah cuba, tapi, sahabat saya ini adalah orang yang bolih di percayai dan saya telah kenal beliau hampir dua puluh tahun dulu semasa dia masih di cina.
Wallahualam.