...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday 26 June 2008

Euro 2008: Nak Sokong Jerman, Spain atau Rusia?



Euro kali ni memang satu game pun aku tak tengok. Bukan tak minat. Rakan sekerja berbincang soal Euro. Mereka keciwa pasal Turki kalah dengan Jerman pada last minit. Mereka harap Turki menang. Penjaga gol Turki khabarnya memang hebat. Mereka sebenarnya sokong Turki lebih kepada sentimen Islam. Turki satu-satu negara Islam yang bertanding di dalam kejohanan itu. Mereka harap Turki memecah tradisi pakatan negara kristian itu. Akhirnya, Turki terkeluar daripada senarai untuk ke perlawanan akhir. Namun, pencapaian Turki ke peringkat separuh akhir sudah memadai untuk dibanggakan. Kira banggalah berkibar bendera Turki yang bersimbolkan bulan sabit dan bintang lima putih berlatar belakang warna merah. Macam bendera Kelantan je..... rasa macam nak takbir je bila Turki menang. Tambahan pula, Turki sekarang diperintah oleh parti Islam - Parti Keadilan pimpinan Tayyip Erdogan.


Walaupun Jerman memiliki pemain yang baik dan hebat, tapi tak minat nak sokong. Mungkin sebab Jerman selalu dikaitkan dengan Hitler dan gambaran media terhadap sejarah lamanya. Rusia pun mengalami nasib yang sama. Rusia itu jahat - komunis. Lenin dan Stalin.

Spain - lebih kurang semangkuk juga. Penjajah paling rakus di dunia. Memusnahkan pribumi yang dijajah dan memusnahkan tamadun dan khazanah Islam di Andalusia.

Menyokong Turki - bukan kerana bola tapi kerana politik. Agenda politik Turki melalui Euro 2008 yang membawa panji-panji kemegahan Islam terhenti di sini. Kalau Turki masuk final - aku rasa kebanyakan negara Islam akan sokong Turki - sebab agama dan politik. Bukan sebab bola!



Wednesday 25 June 2008

PAS mahu bergabung dengan UMNO atau berpakat?

Beberapa kawan-kawan memberitahu bahawa kemungkinan itu akan berlaku. Walaupun sudah wujud perbincangan secara tak rasmi ataupun tindakan peribadi sesetengah pemimpin PAS sejurus selepas keputusan Pilihanraya Umum ke 12, nampaknya bunyi itu semakin kuat. Entah telinga aku yang semakin sensitif atau hentak kaki sesetengah pemimpin semakin kuat.
Terbaharu, kunjungan Presiden PAS dengan diiringi Ust. Harun Taib dan Mustafa Ali ke UK ada dikaitkan dengan cerita itu. Mereka akan datang ke UK, hujung minggu ini. Ada kaul yang menyatakan bahawa kunjungan itu untuk bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan pimpinan Ikhwanul Muslimun. Berbincang soal keahlian bukan muslim ke dalam parti. Ada juga yang menyebut bahawa perbincangan juga tertumpu kepada untuk mewujudkan pakatan dengan UMNO.
Sewaktu Timb. PM Malaysia, Najib Tun Razak ke London awal bulan ini, katanya ada pimpinan PAS bertemu dengannya. Entahlah. Aku tak pasti. Namun persoalan itu bukan mustahil. London memang pusat pertemuan pemimpin seluruh dunia. Mereka bertemu di Kota London tetapi kerja mereka sebenarnya untuk Kota Putrajaya ataupun kota-kota lain. Jika bertemupun, lama-kelamaan orang aku tahu. Cuma yang agak susah adalah mauduk pertemuan dan perbincangan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Azik Nik Mat awal-awal sudah isytihar pertemuan dan perbincangan dengan UMNO dalam soal untuk mewujudkan kerjasama adalah bakal menimbulkan musibah pada parti. Cukuplah sejarah yang mengajar. Ust. Ahmad Awang, Naib Presiden PAS pernah menolak cadangan Mufti Perak agar PAS Perak berpakat dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri. Walaupun kini, MB Perak di kalangan PAS dan kabinet dan ahli penyokong kerajaan kebanyakan adalah bukan muslim, PAS masih boleh bertahan. Jika pemimpin PAS dan UMNO bijak dan matang berpolitik - orang Islam juga akan mendapat keuntungan. Keuntungan itu tidak semestinya berpakat atau bergabung. Bertengkar juga kadangkala boleh menguntungkan!

Friday 20 June 2008

Tembak Musuh Sebelum Dia Membunuh

Sekonyong-konyong, BPR pula akan menyiasat dakwaan rasuah Yong Teck Lee sewaktu menjawat Ketua Menteri Sabah. 5 juta ringgit Malaysia beb! Bukan sikit duit. Siaplah ko kali ini. Kami sebagai rakyat - tengok siapa yang rasuah - siapa dapat rasuah - dan siapa yang memelihara perasuah. Menjaga fail pak menteri rupa-rupanya lebih bermakna menjaga pintu peti duit. Lebih-lebih lagi kalau pak menteri bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan seumpamanya - senang buat peluru sewaktu keadaan getir sebegini.
Rasuah dan kuasa adalah suatu yang saling berkaitan.
Dakwaan ini dikatakan sebagai satu ugutan atas keberanian Yong Teck Lee mengugut untuk mengusulkan undi tak percaya Isnin nanti di Parlimen. Betul, ugut kena lawan dengan ugut. Pedang lawan dengan parang. Baru adil. Peranglah demi sebuah kuasa. Kuasa akan menentukan keadilan. Kuasa akan menetapkan kebenaran. Jika aqidah itulah yang menjadi sandaran. Kuasa itulah juga akan menenggelamkan!

Menanti Saat Kejatuhan Empayar BN

Belum ada mana-mana parti politik yang berkuasa lebih 50 tahun di dunia ini selain daripada BN ataupun Perikatan. Mungkin ada sebuah parti di salah sebuah negara di Amerika Latin. Tapi aku tak berapa ingat. Hasrat sebuah parti kecil Sabah yang hendak memberontak dengan mengusulkan undi tak percaya kepada PM, Isnin ini tentu mengundang seribu satu penantian. Semua parti pembangkang sudah mula menyatakan sokongan terhadap usul itu. Hanya menanti. Satu jam sudah berlalu. Satu sejarah akan berlaku.
Samada usul itu dapat menjatuhkan empayar yang berkuasa atau tidak, bukan soalnya. Yang utama di sini adalah perebutan kuasa antara parti-parti politik akan terbuka luas. Apabila Mahajara sudah lemah, maka pahlawan akan menjadi tuan. Tukang jaga pintu istana tiba-tiba menjadi pereka revolusi terbaharu di tanahair. Sejarah kewujudan dinasti-dinasti di saat Kerajaan Ummayah lemah perlu diteladani. Waktu khalifah-khalifah yang berpegang atas amanah agama hilang pedoman dan tidak sensitif terhadap amanah yang dipikulnya - inilah waktu hamba-hamba datang memberontak. Lalu terbentuklah, dinasti yang diasaskan oleh bekas hamba khalifah.

Bayangkan apabila hamba-hamba sahaya menjadi raja. Bayangkan apabila penjaga pintu istana memegang tampuk kerajaan yang kaya raya.
Lupakan Maharaja yang sudah melarikan diri ke luar negara. Mencari perlindungan. Membentuk kerajaan dalam buangan. Yang kita nak tengok adalah bagaimana munculnya maharaja baru...............................

Thursday 19 June 2008

Budayawan: Mari Berkarya di Bumi Tuhan!

Aku selalu juga membaca tulisan dan karya Faisal Tehrani. Faisal sebagai penulis anak muda tentu sekali menawarkan sesuatu yang dikehendaki oleh aku sebagai anak muda. Kritikannya juga tidak membatas pada persoalan budaya dan sastera tetapi terus melewati batas politik. Apabila aku menyertai Group Karyawan Luar Negara, rupa-rupanya peminat Faisal Tehrani begitu ramai sekali. Hebat.

Terakhir kritikannya terhadap Pemuda PAS Selangor terhadap konsert yang akan diadakan. Aku fikir tak perlu nak ulang kembali apa yang dikritiknya. Aku dulupun, makhluk jenis yang suka demonstrasi bagi menunjukkan bantahan. Walaupun aku minat lagu-lagu Scorpion tapi apabila Pemuda PAS anjur bantahan di Stadium Negara, aku pergi. Walaupun aku minat lagu Sudirman, tapi aku juga pergi bantah sewaktu arwah buat konsert di UM dulu. Aku membantah sekali kehidupan hippies yang pernah dipopularkan oleh Beatles sewaktu ketika dulu. Tapi, bila aku pergi ke Liverpool, aku teringatkan Beatles!

Mungkin waktu aku agak terhad. Untuk berkarya sebagaimana rakan-rakan lain yang rajin menulis novel, puisi atau sebagainya. Kritikan, bantahan dan demostrasi kita tidak bermaksud untuk kita memutuskan hubungan segala-galanya. Apabila kami kritik artis, kami juga jalinkan hubungan dengan artis tanpa memilih. Kritikan itu sebagai amanah dan tanggungjawab nahi mungkar. Namun dalam masa yang sama, kita teruskan kerja-kerja macam Hezbullah seperti mendekati artis dan budayawan dan sebagainya. Mungkin ada kekekangan. Tapi soalnya, kita lakukan.

Kerja mengkritik memang senang dan mudah. Tapi kritik suatu yang diperlukan dalam sebuah negara yang hendak membangun. Apatah lagi jika kita nak bangunkan konsep hiburan alternatif ini. Namun yang paling diperlukan sekarang adalah komitmen untuk melaksanakan. PAS daripada sebuah parti yang dianggap konservatif hinggalah mampu memperolehi sokongan sekarang, bukan ukuran parti itu sudah sempurna.

Kalianlah yang sewajarnya menjadi batu penyempurna ke arah pelaksanaan konsep hiburan, karyawan yang berasaskan keredhaan Allah s.w.t. Cukuplah menjadi pengguna industri hiburan atau sastera. Marilah kita hiburkan mereka. Dengan cara kita.

Friday 13 June 2008

Bila Semangat Kian Luntur

Iman manusia biasa seperti ombak. Sekali tinggi menjulang. Sekali bergelora. Sekali langsung tak bermaya. Kita tidak milik iman Nabi. Iman nabi sentiasa menjulang. Setiap waktu, setiap saat. Itulah kehebatan para nabi. Kita tidak juga malaikat. Imannya tetap. Tidak berubah. Tidak turun dan tidak naik. Iman manusia biasa, seperti ombak. Lihatlah ombak. Lihatlah awan. Lihatlah langit. Kemudian lihatlah diri sendiri.

Iman tak sama dengan semangat. Iman lahir dengan berasaskan keyakinan diri dan mengamalkannya. Iman bukan retorik. Iman bukan tugu. Iman juga bukan warisan. Tidak iman seorang ayah akan diwarisi oleh anak atau keturunannya. Tidak seperti harta dan pangkat. Iman dicari. Iman diuji. Meskipun, letaklah nama Nur Iman, Nurul Iman atau sebagainya......

Semangat adalah kocakan jiwa yang kadang kala tergeser akibat fizikal yang peka. Kadangkala, bila jasad sudah kematu, akal dan jiwa pula yang menjadi kayu ukur kepada pengesan dan penggugah semangat. Semangat semacam nafsu. Walaupun kadangkala ia adalah satu meski ada waktunya bukan satu. Semua manusia ada nafsu. Nafsu yang terbaik adalah nafsu yang dikawal oleh roh dan akal. Sebaliknya nafsu yang jahat - nafsu yang terbebas lepas daripada ikatan akal dan roh.

Semangat boleh mati. Tetapi semangat akan hidup kembali. Tidak seperti jasad. Sekali ia mati - ia terus pergi. Roh tidak akan mati. Adapun kematian adalah pemisahan roh dari jasad yang menjadi kenderaan melayari kembara dunia yang sejengkal zaman. Adapun roh akan kekal hingga akhir zaman. Sesetengah ulama berpendapat, zaman kebangkitan adalah zaman roh dan jasad kembali bersatu. Ada sesetengah tidak berfikiran begitu. Roh saja yang bangkit. Ada muktamar akbar kalangan roh-roh yang sejak diciptanya Adam hinggalah roh terakhir sewaktu nafiri berbunyi. Itulah hari mahsyar.

Semangat boleh hidup. Yang menghidupkan semangat adalah ilmu dan roh yang sentiasa dihidupkan dengan nyanyian zikirullah. Semangat boleh patah seribu tetapi dia boleh bangun bagai gunung memaksi bumi. Dulu, sewaktu aku bebal memahami matematik. Aku naik jemu dan bosan. Semangat untuk belajar mengira hampir ke penghujung. Namun sekali dapat temui jalan pengiraannya, semangat matematik itu tiba-tiba berpunca-punca ganda walaupun tak selalu begitu.

Jika semangat itu mati atau kian luntur - itu tanda kita adalah manusia biasa. Jika semangat itu terus berkobar tanpa berhenti. Itu mungkin luar biasa. Alexandra the Great sewaktu meluaskan empayar taklukannya, berhenti mara selepas sampai di India. Diberitakan dia berkahwin dengan puteri raja India. Dia sudah malas nak meneruskan empayarnya. ADa kawan aku berjenaka. Waktu itu, Alexandra the Great berfikiran bahawa bumi ini leper. Tidak bulat. Semakin dia jauh mengembara, semakin jauh daripada tanah kelahirannya. Lalu, dia membuat keputusan untuk berhenti meluaskan empayar. Entah betul, entahkan tidak. Tapi moralnya, ilmu menentukan kadar semangat perjuangan kita.

900 tahun berdakwah. Nabi Nuh tak pernah mengalah. Usahkan rakan atau masyarakatnya bersedia menerima dakwahnya, isteri dan ahli keluarganya sendiri menolak dakwahnya. Tapi nabi Nuh terus berjuang. Sebab Nabi fikir bukan soal angka yang ingin dicapai. Nabi Nuh fikir soal amanah yang tidak mempunyai nilai tertentu. Infiniti.

Bila semangat kian luntur. Tengoklah album dan biodata tokoh pejuang ternama. Jangan dibaca sejarah Jimi Hendrix atau Bob Marley. Kalau malas nak baca sirah nabi. Baca saja tokoh kapitalis atau sosialis yang percaya pada ideologi mereka. Mereka bermati-matian berjuang atas prinsip ideologi yang palsu. Ideologi itu palsu tetapi mereka yakin. Lalu keyakinan itulah membentuk pemikiran sehingga mereka melakukan tindakan seakan-akan skrip ideologi mereka sendiri.

Bila semangat kian luntur. Tibalah waktu kalian berundur untuk menelaah diri. Muhasabah

Tuesday 10 June 2008

Sokong Membawa Rebah

Tiba-tiba Sanusi Junid, pelopor idea Mat Jenin moden dipecat sebagai Presiden UIA. Alasannya mudah. Politik. Buatlah apa jua alasan, hanya otak bawah lutut sahaja yang boleh terima bahawa tindakan itu tidak bermotif politik.
Politik memang kuasa yang mengancam. Keselamatan masyarakat dan bangsa juga terancam angkara politik yang ekstrim. Khir Toyo, bekas Menteri Besar yang kini menjadi Ketua Pembangkang di Selangor pula mengapi-apikan agar rakyat tak bayar cukai pintu. Dari seorang pemimpin negeri yang berwawasan tiba-tiba beralih lagak sebagai hero pemberontak dari hutan Ulu Bernam. Dalam isu kenaikan minyak, ramai menteri menegaskan kewajaran kenaikan itu demi kebaikan negara. Sebelum ini, Azlina cadang nak boikot negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat daripada menikmati pendekatan pelancongan yang dianjurkan oleh kementeriannya. Muhyidin Yasin dan Rais Yatim secara terangan kritik kepimpinan nombor wahid mereka. Tiba-tiba pula, Ezam masuk UMNO. PKR tak hairan dan tak berapa kisah. PAS tak komen banyak. DAP diam je. Biarlah Ezam terjun. Biarkah. Biarkan.
Ehhhh...banyak yang pelik berlaku sejak akhir-akhir ni.
Kepala otak aku fikir begini: mereka nak jatuhkan Abdullah Badawi dari dalam ke? Rasa-rasanya inilah yang disebut sebagai sokong membawa rebah.
Jika Abdullah Badawi jatuh - siapalah yang akan sempat menerpa untuk membantunya agar tidak jatuh terjelepuk ke lantai?
Aku? Aku jauh yob!

Sunday 8 June 2008

Teringat Akan Arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor


Entah tiba-tiba aku teringat akan arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor. Walaupun hari-hari aku membaca persoalan kepimpinan yang berkaitan dengan Ust. Fadzil Mohd. Noor tetapi kali ini aku memang terasa begitu kuat ingatan itu. Tak semena-semena. Mungkin cerita politik tanahair sedikit mengusik nostalgia aku. Atau kerana ziarah beberapa kawan ke rumah beberapa hari ini menyentuh kenangan itu.


Malam itu, sewaktu aku bekerja - langit Swansea terang - sinar bulan yang hampir purnama. Malam itu memang mengingatkan aku malam kembalinya arwah ke sisi Allah s.w.t. Malam itu, kami sekeluarga tinggalkan pusara yang masih basah merah. Ramai lagi yang masih setia menunggu di tepi pusara sambil membaca ayat-ayat al Quran. Hari sudah hampir penghujungnya. Tubuh baru terasa melekit. Peluh seharian.tak bermandi.

Lautan manusia, sungai mengalir sepi. Sawah menghijau. Gunung Jerai berdiri teguh. Saksi lautan manusia tak pernah mati.

Malam itu sepi. Purnama betul-betul menyinari pusaranya. Seakan-akan turut menerangi kegelapan dalam perut bumi. Kami mencari hotel. Tak upaya untuk kami meneruskan perjalanan dari Pokok Sena ke Teluk Intan. Pagi itu, kami memang merancang untuk pergi ziarah arwah di Hospital UKM Cheras. Hati aku terasa tak sedap. Walaupun khabar angin menyebutkan bahawa keadaan arwah semakin baik tetapi hati aku terasa tak sedap juga. Pagi-pagi itu kami berangkat ke Kuala Lumpur. Terasa perlahan kereta aku berjalan.


Kami isi petrol di stesyen Petronas pekan kecil Bidor. Walaupun ada yang menyebut, kualiti minyak Shell lebih baik daripada Petronas tetapi aku pilih Petronas - itu syarikat negara. Itu syarikat milik orang kita. Alangkah patriotiknya aku. Walaupun aku tahu, Petronas tak pernah tahu siapa aku. Melalui jalan lama lebih baik daripada melalui lebuhraya yang memaksa kami membayar tol. Jalan lama antara Bidor ke Tanjung Malim sudah banyak dibaiki. Lebih baik kami menggunakan jalan lama - lebih menjimatkan.


Tapi hati aku tak sedap. Aku nak cepat ke Kuala Lumpur. Aku nak ziarah Presiden PAS. Paling tidak mendoakan dari luar biliknya jika aku tak dapat masuk melawat. Siapalah aku waktu itu. Tentu orang yang lebih penting dan utama akan diberikan keutamaan untuk melawat arwah. Tak kisah, sebagai ahli biasa - aku juga mempunyai hak untuk mengasihi dan menyayangi pemimpin. Aku membatalkan hasrat untuk menggunakan jalan lama. Aku membelokkan kereta ke arah pondok tol Sungkai. Tiba-tiba, telefon aku berdering. Tertera nama `Raja' - bila aku angkat telefon, ayat pertamanya menyebut nama Ustaz Fadzil...........hatiku tiba-tiba menyambut `dia sudah meninggal'. Betul, itulah yang Raja cakapkan. Aku terus memberhentikan kereta di tempat letak kereta Plus. Nak tau cerita lanjut.


Selepas itu, aku beritahu ayah aku tentang berita sedih itu. Aku semacam hilang semangat. Mati seketika. Binggung seketika. Kemudian tak berhenti-henti aku terima sms daripada rakan memberitahu berita yang sama. Kami buat keputusan untuk terus ke Pokok Sena. Kami tak jadi ke KL. Biar kami tunggu jenazah arwah di Kedah. Aku memang tak rapat dengan arwah tetapi arwah tetap mesra dengan aku.


Baru sekarang aku sering mengingat-ingatkan waktu-waktu kami pernah bersama. Waktu makan di Kg. Gajah. Ceramah di kawasan Pasir Salak. Arwah datang memberi sokongan sewaktu aku didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Aku dan keluarga aku sempat bergambar dengannya. Itulah satu-satu gambar yang sempat aku buat. Sedangkan, aku mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Namun, satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan sewaktu kami berada di atas pentas dalam Muktamar Pemuda di PUTIK, Kelantan. Arwah yang diiringi Ust. Nasaruddin Mat Isa melihat pemuda bermuktamar, arwah duduk di hadapan kami. Selepas itu, arwah pergi beredar dan memberikan lambaian kepada kami. Bendahari Pemuda PAS waktu itu, Hj. Roslin membisikkan kepada kami - itu macam lambaian terakhir........




Saturday 7 June 2008

Mencari Sahabat


Waktu dulu aku suka sekali baca buku tentang persahabatan. Bercakap dengan sahabat serumah, sekuliah atau sefikrah - syeikh, akhi, anta........ Istilah sahabat diambil daripada sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sahabat adalah para sahabat yang pernah hidup sezaman dengan Nabi. Selepas generasi sahabat, ia dikenali sebagai Tabi' dan Tabiin. Sahabat Nabi yang terkenal semua dah maklum. Ada hadis yang menyebut 10 sahabat yang dijamin masuk syurga.


Di sini, ramai yang menyebut `brother' ataupun dalam istilah kita - 'saudara' untuk menyapa sesama kenalan. Mungkin, istilah ini diambil daripada pengaruh `ikhwanul muslimin'. Apapun istilahnya, sahabat adalah membayangkan satu perhubungan yang ikhlas dan sejati. Ramai ada pengalaman yang sama terutama sesiapa yang pernah terlibat dalam tanzim tarbiah sewaktu di universiti. Sahabat memang tak ramai. Sahabat memang terpilih. Sahabat memang sedikit. Namun dalam sedikit itu tidak semestinya memahami dan menghayati makna persahabatan.


Masa beredar, waktu berlalu. Sahabat-sahabat yang pernah setarbiah, sefikrah dan seperjuangan sudah mempunyai fikiran dan keperluan sendiri. Masing-masing sudah membina kematangan dan kefahaman tersendiri. Ada yang masih berada dalam perjuangan. Setia dalam medan. Tarbiahnya terus menjadi laluan memandu masa hadapannya. Ada yang berhenti di tengah jalan. Ada yang berpatah balik. Ada yang maju. Ada yang masih keliru. Itu semua ada dalam kamus persahabatan.


Dalam perjuangan politik, sahabat memang selalu diuji. Ujian persahabatan sewaktu masa susah mungkin berbeza dengan sewaktu masa senang. Waktu susah bersama, insyaAllah ujian persahabatan akan mampu dihadapi. Ujian waktu senang, insyaAllah mungkin akan dapat dikawal. Namun, ujian sewaktu berbeza keadaan; satu senang dan satu lagi susah - mungkin di sini akan memperlihatkan erti persahabatan.


Sewaktu Abdullah Badawi meneruskan karier beliau sebagai PM dengan pelbagai cabaran yang ada, berapa menteri dan ahli parti yang sanggup mempertahankan beliau sebagai pemimpin parti kalaupun tidak sebagai PM. Waktu beginilah, Abdullah akan mengenali siapa sahabat pada dirinya yang sebenar. Ada yang menikam dari depan, dari belakang dan dalam gelap dan dalam terang.


Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan - ke mana perginya sahabat-sahabatnya yang berkongsi kuasa. Yang jadi 'orang kuat' Anwar Ibrahim adalah orang kecil-kecil. Orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim sewaktu menjadi TPM hilang entah ke mana. Yang dah kenyang - semakin jauh. Samalah juga seperti Tun Mahathir Muhammad. Itu cerita tentang orang politik. Cerita orang niaga atau lain-lain sama je.


Waktu susah biasanya akan dapat menilai siapa sahabat sejati. Nabi pernah sabda yang bermaksud lebih kurang bahawa kita dapat mengenali sahabat bila kita makan, tidur dan kembara bersama. Waktu itulah, kita dapat mengenali diri sahabat kita.




Thursday 5 June 2008

Time Rakyat Naik Minyak!

Aku tak mau ulas tentang sebab dan kesan kenaikan harga petroleum di tanahair. Banyak yang pro-kontra keputusan tersebut. Semua ada hujah. Seorang ahli ekonomi akan menggunakan angka bagi membuktikan hujah mereka. Bagi ahli politik, mudah sahaja. Susunkan kata-kata yang membakar emosi dan tenggelamkan kelojikan - insyaAllah boleh dikira mashyuk.
Cuma yang aku nak tulis kat sini adalah; bagaimana kalau kita naik minyak sama-sama swaktu getir begini. Kita berarak ke jalan raya, padang dan parlimen. Kita bakar jiwa dan akal kita beramai-ramai. Biar api emosi itu membakar. Api dalam sekam sudah terbongkar. Lupakan tangisan Batu Putih atau Pulau Pisang. Lupakan sengketa Grand Saga dengan penduduk tempatan. Kita fokus pada hantu baru. Maut baru buat sang penguasa. Maut juga untuk kita.
Sewaktu ahli parlimen Borneo berangan-angan untuk menyeberang ke Putrajaya bersama bot panjang bikinan Anwar Ibrahim dan rakyat masih asyik berkenduri dengan kemenangan pilihanraya di negeri Pakatan Rakyat - ada lagi satu temasya kemarahan rakyat secara mega akan berlaku. Inilah waktu menjadi hero jadi-jadian. Yang mungkin akan menjadikan seseorang itu hero sebenarnya. Spiderman, Superman boleh bermula daripada sekarang.
Aku belum terlupa akan kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Marah Mahathir pada nyamuk hingga dibakar kelambunya. UMNO semakin nazak. PKR mula mengidam makan besar. DAP ambil peluang. PAS tunggu dan lihat. Rakyat memang sejak awal lagi kebingungan. Mahasiswa dan intelektual - bijak tak boleh dikongsi. Saudagar terus menyimpan syiling emas dalam perut masing-masing. Ulama mula mencari payung kebesaran untuk membuka kitab hukum.
Jalan kemusnahan dan anarki di tanahair semakin hampir.
Aku mula risau untuk pulang ke tanahair. Apa yang perlu kubawa nanti di tanahair? Buku revolusi `What Is To Be Done?' Lenin atau Che Guevara. Atau kitab al Mawardi. Buku 'Thriving on Chaos' tak sempat kubaca habis.
Atau kupilih sahaja hidup dalam buangan?
Aku tak pernah rasai apa makna ungkapan `hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri'. Agak nasionalis ungkapan itu. Terasa bersalahan dengan kata hikmah Jamaluddin Afghani yang kembaranya merentas benua. Tapi teringat pula kata-kata Burhanuddin al Helmy, di bawah robohan Kota Melaka, kita bina jiwa merdeka.
Ah, harga minyak benar-benar membuatkan aku merepek-repek hari ini. Anarki hari ini.