...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday 27 April 2012



Subuh tadi, Ustaz Amin mengajar tajwid dan tafsir. Dibacakan ayat 86-90 Surah At Taubah. '...mereka berjihad dengan harta dan diri mereka, dan mereka itulah yang memperolehi kebaikan dan mereka itulah yang beruntung....' Ayat itu jelas menyentuh hati saat aku mencari jawapan dari manakah sumber kewangan untuk Dana PRU 13. Program Makan Malam Perakite yang diamanahkan aku menjadi Pengarahnya adalah satu mekanisme mengembalikan kuasa PR di Perak khususnya dan Putrajaya. InsyaAllah.

Malam tadi, sepanjang jalan pulang daripada Universiti, aku berkongsi fikiran dengan beberapa sahabat. Mencari jalan yang paling praktikal. Satu demi satu kuhubungi mereka. Kudengar satu persatu bicara mereka. Sekembali di rumah pertengahan malam itu, kubentangkan idea-idea pada sang isteri tersayang. Benarlah, subuh segar tadi kuterima jawapan dari kuliah Ustaz Amin di Masjid Taqwa.

Kupanjangkan catatan ini padamu kalian para sahabat seperjuangan. Jika bukan sekarang, jangan terkemudian. Caranya mudah. Beli satu meja (10 orang) dengan nilaian RM1000. Masukkan ke dalam akuan PAS Perak yang tertera dalam iklan. Kemudian, maklumkan pada aku. Call 0196647110. Lagipun dah lama tak call. Itu sahaja.

Demikianlah maksud mesej ini yang ingin kusampaikan. Tiada siapalah yang mampu membuka minda dan jiwamu sahabat, melainkan Allah Yang Maha Kaya.

Thursday 19 April 2012

Pendidikan Percuma Bukan Cuma-Cuma

1. Memanglah setiap percuma, lumayan dinikmati. Apatah lagi mengenai pendidikan di negara kita.

2. Untuk menjadi kelompok 'cerdikpandai' dalam masyarakat, mahasiswa perlu berhutang.

3. Melalui PTPTN, mahasiswa dapat belajar di universiti hingga lulus sebagai graduan yang bertanggungjawab membangunkan negara.

4. Lalu, universiti memperolehi wang daripada PTPTN bagi membesarkan karung perbendaharaan univerisiti dan tuan milik universiti, manakala mahasiswa mendapat angka hutang PTPTN.

5. Pendidikan percuma bukan bermakna mahasiswa belajar secara cuma-cuma.

6. Perlu ada keseimbangan dalam menuntut pendidikan percuma dengan tanggungjawab pemerintah menyediakan pendidikan percuma.

7. Jangan hendaknya tercipta golongan peminta-minta dalam masyarakat dan pemimpin berhati kapitalis.


Thursday 5 April 2012

Dari Naguib Mahfouz

Naquib adalah novelis terkenal Mesir. Novel yang bertajuk 'Bermula dan Berakhir' berlatar belakangkan Mesir pada tahun 1930an.

'Adakah kau pernah mendengar ada orang mati kelaparan di Mesir ini?' Katanya perlahan sekali.

'Itu hanyalah kerana orang kita sudah biasa dengan kelaparan!'

Tamat petikan itu.





Monday 2 April 2012

Alam Adalah Rumah Kita

Alam adalah Rumah Kita

Alam adalah rumah kita

Adalah tanah kita

Adalah daulah

Adalah sekolah

Adalah masjid

Adalah pusara kita

Kami menuntut kehidupan yang mengimbangi kemajuan

dan kesejahteraan alam

menyantuni para sang jiwa yang tinggal mengirup nafas

pada gunung, laut dan lembah

pada langit tinggi, pada bumi yang basah.

Kita perlukan ringgit yang tidak menggigit, merobek dan mencekik

Hingga sukar untuk bernafas di wilayah sendiri

Atau akan bersegera mati sebelum waktunya

Ayuh bangkitkanlah para sang jiwa yang ada hari ini

Padamkan amarah ringgit yang menggila

Dengan tangan, lenggan, kaki dan badan

Biar kita hukum dengan kudrat sendiri

Himpunkan jiwa-jiwa yang terluka

Ayuh angkat pena berdarah

Bersuaralah dengan gemersik bicara

Kibarkan panji merah

Satu lagi revolusi yang tertangguh

atau menanti karma alam akan datang

atau hamparkan tubuh kalian pada bumi

Sujud menyembah Sang Pencipta alam

Tunggulah saat kehancuran pada mereka

Yang tidak pernah menyimpan rasa belas pada alam

Rasa kasih pada alam

Aku tidak sekadar berdoa!

Sekali kuingatkan

Tidak sekadar berdoa!

Muhaimin Sulam . Teluk Rubiah 31 Mac 2012 – Save our Teluk Rubiah Rally