...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday 22 December 2008

Sandarkanlah Dengan Diri Sendiri

1. Biasanya apabila seseorang berhujah samada di dalam kedai kopi, di masjid, di pentas politik, atau di meja viva PhD, seseorang akan menguatkan hujah dengan beberapa pandangan orang yang lebih `senior' ataupun yang lebih `berautoriti'.

2. Mengapa? Ini kerana untuk menguatkan hujah yang tiada kekuatan. Dengan menyandarkan pandangan orang lain, kajian atau hujah kita akan dianggap hebat.

3. Aku berdebat dengan `seseorang' tentang sesuatu isu. Lalu aku perturunkan kata-kata makhluk suci dan agung, lalu `seseorang' itupun terdiam seketika. Mati hujah.

4. Suatu hari itu, aku berjumpa dengan TG. Nik Aziz Nik Mat, akupun hujah begini-begitu. Orang itupun terdiam. Dan seketika aku berjumpa dengan Tun Mahathir, akupun berhujah begini-begitu, orang itupun (yang lain) terdiam. Lepas ni, aku mahu jumpa Najib, Pak Lah ......senang berhujah.

5. Memang payah jika berhujah dengan orang keras otak dan pendek akal. Tetapi amat mudah jika kita tahu siapa makhluk suci dan agung bagi dirinya.

6. Pendek cerita, sandarkanlah dengan diri sendiri.

Saturday 20 December 2008

Blogger Buta

1. Kawan aku minta aku tengok beberapa blog yang dikatakan menarik untuk dibaca. Akupun tengah malas-malas begini pergilah baca blog berkenaan.

2. Baca blog orang makna membaca pemikiran orang lain. Bagaimana orang menulis dan berfikir kadangkala merisaukan pemikiran kita. Takut, diri kita terpesona atau terpengaruh dengan tulisan tersebut. Bacalah jangan risau asalkan tahu siapa yang menulis.

3. Bagi aku, sumbernya perlu ada autoriti. Ada beranilah. Kalau pakai nama samaran, itu Zorro bolehlah. Bukan nak promosi atau tonjolkan diri tapi kebertanggungjawapan.

4. Budak-budak kecilpun sekarang sudah boleh buat blog. Apatah lagi yang busuk hati, busuk perut dan akal sangkut.

5. Aku teringat sewaktu internet mula-mula masuk dalam masyarakat kita. Percaya cerita internet macam dapat `wahyu'.

Friday 19 December 2008

Siapa nak swastakan pesakit?

1. Tiba-tiba meletup sahaja kerajaan mahu tangguhkan pembelian IJN oleh Sime Darby. Barangkali mereka merancang dalam gelap.

2. Dr. Jayakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput pernah mengajak kami (aku sekali) pergi buat demonstrasi di Hospital Besar Ipoh kerana isu penswastaaan hospital. Aku minta beberapa pemuda lain pergi sekali bagi menunjukkan sokongan perjuangan tersebut.

3. Kawan aku kata, bila mereka edar handbill tentang projek nak swastakan hospital, ramai yang ambil tetapi tak baca. Katanya, susah hendak berhadapan dengan rakyat yang `tak berani'.

4. Sebab? Sebab yang mengedarkan risalah itupun tak baca risalah itu! Memang ramai 'berjuang' sekadar mengikut dan terikut.

5. Beberapa perkhidmatan di hospital sudah diswastakan. Aku harap ada sesiapa yang sukarela mengambil alih 'sakit' dan 'pesakit'. Biarlah 'sakit' dan 'pesakit' menjadi orang yang sihat dan memberi sumbangan dalam kehidupan mereka.

6. Hari ini, alhamdulillah aku dan keluarga aku sihat. Waktu beginilah aku sepatutnya mengambil peranan orang sakit yang tidak mampu berbuat apa-apa. Selagi aku sihat, insyaAllah.

Thursday 18 December 2008

David Arumugam Dapat Pingat

1. Tahniah kepada David Arumugam, vokalis Alleycat yang dianugerahkan pingat Persekutuan oleh Yang DiPertuan Agong. David memang ramai peminatnya, termasuklah aku.



2. Lagu-lagunya memang hit dan sangat terkesan. Dari lagu `Senandung Semalam' hinggalah lagu terkini, suara emasnya tidak pernah berubah.



3. Walaupun tak begitu fasih berbahasa Melayu tetapi lagu-lagu Melayunya diminati oleh orang Melayu.



4. Ini semua hasil kerjasama dan kombinasi ciptaaan lagu dan lirik daripada pengubah muzik yang hebat seperti M. Nasir, S. Amin Shahib.....

Wednesday 17 December 2008

Jangan Tolong

1. Ada ustaz beritahu aku, jika ingin mengetahui keikhlasan diri apabila kita menolong orang, kita tidak mengharapkan pembalasan. Jangan ada setitik dalam hati mahukan pembalasan. Ringkasnya, jangan mengarap sesuatu daripada orang yang kita tolong.

2. Kemudian aku terbaca kata-kata semacam falsafah, jangan mengharap syurga bila beramal. Yang kita mohon adalah keampunan dan RahimNya Allah s.w.t. Kerana takut syurga, kitapun beribadat. Itu tanda tidak ikhlas dalam beribadah. Kita beribadah semata-mata memenuhi perintah Allah s.w.t.

3. Rabiahtul Adawiah, seorang ahli sufi yang hebat pernah bersyair; `aku tidak layak untuk syurgaMu tapi aku tidak mampu menghadapi api nerakaMu.' Ibadah kita memang tidak melayakkan untuk ke jalan syurga. Syurga dan neraka adalah hak Allah s.w.t.

4. Sebagai manusia biasa. Kita kadangkala bila kita tolong orang, memang bukan nak balasan. Tapi kalau orang yang ditolong tak reti bahasa, bagaimana?

5. Sekadar renungan dari berita pagi ini di tanahair, pasukan yang menyelamat tanah runtuh di Bukit Antarabangsa berasa keciwa dengan tuduhan sesetengah penduduk yang mengatakan mereka mencuri dan kerja sambil lewa.

6. Tak payah tolonglah orang macam tu. Jangan tolong!

Tuesday 16 December 2008

Muntadar, Wartawan Hebat!


1. Ketika Bush sibuk mengatur kata manis kepada bonekanya di Iraq, seorang anak muda yang juga wartawan melempar kedua-dua kasutnya pada Bush. Biarpun, Bush dapat mengelak tetapi itu sudah memadai sebagai satu simbol penentangan anak muda, wartawan dan umat Islam pada dasar Imperialis Amerika. Tahniah, Muntadar. Akupun tak mampu buat.


2. Berapa banyak wartawan yang boleh menyuntik rasa berani dan kesedaran terhadap masalah bangsa, tanahair ataupun agamanya? Yang ramai - pengampu sang penguasa.


3. Berapa ramai anak muda bangun memimpin perubahan demi kehidupan yang lebih bermaruah, merdeka dan maju? - Yang ramai - tenggelam dalam dunia kekaguman diri sendiri.


4. Berapa umat Islam yang sanggup berkorban demi perjuangan agamanya? Saban tahun meraikan hari Raya Korban, atau menunaikan ibadah korban, pergi ke Mekah, tunai umrah, dan sebagainya. Ibadat sudah seperti tradisi yang menjadi warisan keramat. Diraikan seperti mandi di Sungai Ganges. Roh ibadah sudah hilang. Semangat zaman yang dipuja. Akhirnya, umat Islam hari-hari menjadi mangsa korban. Disembelih. Disiat. Dibunuh. Dikerat seribu belah.


5. Hanya kanak-kanak kecil Palestin yang berani menentang kereta kebal Israel dengan batu di tangan mereka. Hanya pemimpin gerakan Islam yang terpencil seperti Hamas dan Hezbullah sanggup menentang Yahudi zionis laknatulah. Orang miskin yang papa kedana dan tiada pekerjaan sibuk berdemontrasi menuntut keadilan.


6. Pemimpin-pemimpin Islam yang berkuasa dan kaya, sibuk mengira kantung dan perut mereka. Termasuklah kebanyakan daripada kalangan pemimpin negara Arab dan negara Islam lain. Sibuk mem`bunuh' pesaing politik mereka daripada ingin berhadapan dengan mustakbirin.


7. Satu sahaja yang ingin aku katakan: Penakut!

Sunday 14 December 2008

Malam Yang Panjang

1. Malam pada musim sejuk memang panjang. Pukul 4 petang sudah maghrib dan 8 pagi baru habis Subuh. Satu wuduk untuk empat waktu sembahyang.

2. Masa terlalu singkat. Cepat benar seminggu berlalu. Terasa waktu pergi begitu sahaja.

3. Jika bekerja kerana cahaya matahari yang terang, pasti banyak tertangguh dan terlepas. Kegelapan malam perlu diredah meski payah. Ini kerana, sudah terdidik malam adalah waktu tidur. Waktu rehat.

4. Apabila waktu malam begini panjang, apakah rehat sahaja?

5. Malam yang panjang. Ilham belum datang. Mimpi tidak pernah habis. Cerita politik tanahair seperti Hikayat Sang Ramayana. Penuh dengan metos. Sarat dengan lagenda ciptaan.

6. Karya lewat malam menanti ketenangan datang.

Thursday 11 December 2008

Di Mana Kawan Dulu Yang Sama Berjuang?

1. Sewaktu menghadiri persidangan AMSEC di Bogor beberapa tahun lalu, kami dipersembahkan dendangan lagu `Semalam Di Malaya’ ciptaan Saiful Bahri yang pernah dinyanyikan Sam D’Lloyds. Sekarang di sini, aku masih mengingati lagu itu. Malah bertambah-tambah kesannya bila merantau begini. Antara senikata lagu itu berbunyi:

Aku pulang
Dari rantau
Bertahun-tahun
Di negeri orang
Oh Malaya

Di mana dia
Kawan dulu
Yang sama berjuang


2. Sehari dalam politik adalah seribu kemungkinan yang berlaku. Apatah lagi jika meninggalkan dunia politik berbulan malah bertahun. Mungkin kehilangan akar umbi atau patron.

3. Untuk mencapai kembali tangga yang pernah berdiri adalah suatu cabaran baru apabila warna dan corak politik berubah.

4. Sewaktu di kampus, sama mengharung cabaran mahasiswa. Sanggup berdemonstasi tanpa kecuali. Hantar memorandum pada Pak Menteri. Lawan Polis dan FRU. Bertekak dengan HEP. Berpencak silat dengan jamaah lain. Konon atas nama idealisme perjuangan mahasiswa yang menggigit. Mahasiswa menggugat.

5. Setahun…dua tahun……selepas keluar dari universiti, yang bersuara lantang hilang ditelan kerjaya dan keluarga yang baru dibina (sesama pilihan jamaah). Yang aktif sampai tak lulus exam, akhirnya tenggelam mencari makan dan kedudukan.

6. Aku harap, kembali ke tanahair nanti aku masih ada lagi kawan-kawan dulu yang sama berjuang!

Demokrasi Yang Mengorbankan Perjuangan


1. Sewaktu aku menemubual Tun Mahathir di Menara KLCC, dia tetap mempertahankan pendiriannya bahawa demokrasi tidak sesuai di Malaysia. Demokrasi menjadikan seseorang itu tidak menjadi dirinya. Mereka berjuang untuk suara teramai. Berjuang demi popular. Demi kuasa. Demokrasi sesuai untuk memilih artis macam Mawi (itu aku cakap).

2. Demokrasi menjadikan kita takut pada perjuangan diri kita yang sebenar. Demokrasi hanya makenisme memilih pemimpin. Beratus tahun pemerintahan dan kerajaan Islam berlangsung, demokrasi terlalu sedikit sumbangannya.

3. Ada dua pandangan utama; melalui majlis syura yang dikembangkan oleh ulama sunni. Namun, kerajaan sunni kebanyakannya tidak melaksanakan pendekatan tersebut melainkan mengunakan sistem warisan ataupun feudal berkerajaan. Kedua, pandangan ulama syiah khususnya Imam Khomeini yang menyebut kerajaan Islam adalah hak wilayahtul faqeh.

3. Ada sarjana berpendapat mesyuarat adalah sebahagian ciri demokrasi. Akan tetapi mesyuarat itu sendiri bukanlah demokrasi. Demokrasi adalah pilihan daripada orang ramai. Kebenaran adalah berdasarkan majoriti. Meskipun ada ulama berpendapat, umat Islam tidak akan bersama-sama dengan kebatilan secara majoriti.

4. Keghairahan untuk memperjuangkan demokrasi boleh membawa lupa tentang perjuangan yang sebenar. Berapa banyak pemimpin Melayu, Islam atau bangsa apapun akan hilang keMelayuannya, lupus keIslamannya, larut kebangsaanya demi harga sebuah demokrasi.

5. Demokrasi hanya untuk undi. Setelah dapat undi dan kuasa. Kuasa dan demokrasi akan memerangkap diri jika tidak kuat sokongan dan dokongan daripada para pejuang yang sebenar.

6. Berjuanglah atas perjuangan yang diyakini. Demokrasi hanya kesempatan yang ada seperti belajar di atas kitab sekular yang masih ada hikmah tertinggal. Asal jangan ditinggalkan al Quran yang tak terduga hikmahnya.

Wednesday 10 December 2008

Orang Luar, Orang Dalam

1. Sedang kempen Pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan bermula, PAS sedang mengira calon yang bakal membawa mesej parti ke Dewan Rakyat kelak.

2. Terdapat beberapa nama yang dicadangkan, antaranya Hj. Muhammad Sabu yang sudah terbukti peranannya di Parlimen sejak beberapa penggal yang lalu. Namun oleh kerana beliau adalah `orang luar', maka peluangnya mungkin agak payah berbanding dengan calon-calon yang dianggap `orang dalam'.

3. Istilah `orang dalam' atau `orang luar' dari pengalaman pilihanraya yang lalu, memang perlu diambil kira. Masyarakat kita sudah terdidik dengan makna sempit itu. Asal sahaja seseorang itu `orang dalam' atau `orang kita', sebahagian penyelesaian masalah psikologi sudah selesai.

4. Perkiraan tentang orang itu benar-benar mendalami masalah rakyat ataupun 'orangnya' sudah tidak begitu penting. Asal pemimpin itu berbangsa Melayu, kitapun berasa senang hati. Walaupun pemimpin itu sedikit benar memperjuangkan Melayu ataupun mempertahankan kepentingan Melayu. Asal saja pemimpin itu beragama Islam, kitapun berasa senang hati. Walaupun pemimpin itu jauh benar hatinya dengan Islam.

5. Kita memang selalu kalah dalam menangani persoalan mentaliti jumud orang kita terhadap istilah yang dicipta untuk melemahkan rasional dan logik akal kita.

6. Kita selalu mencipta metos dan misteri dalam hidup kita. Akhirnya sesat dan menyesatkan.

5.

Tuesday 9 December 2008

Meraikan Hari Raya Tanpa Lemang

1. Hari raya samada Raya Puasa ataupun Raya Haji dalam konteks orang Melayu mesti dikaitkan dengan makanan tradisional, balik kampong, duit raya, baju raya dan lagu raya.

2. Rasanya tidak 'sah' kalau tiada lemang, ketupat, lontong ataupun apa-apa yang biasa dikaitkan dengan Hari Raya. Kemudian adakan majlis makan-makan yang melimpah ruah seperti kuah satay yang tak larat dimakan. Ambil cuti seminggu atau dua tiga hari adalah satu kemestian seperti menukar langsir, perabot baru sebagai agenda utama dalam menyambut hari kebesaran.

3. Tahun ini, aku tak ambil cuti. Tak balik kampong. Tiada duit raya nak diberikan. Pakai baju lama. Dan dan dan....... Waktu beginilah nak merasai pengertian Hari Raya yang sebenarnya. Lupakan bunyi meriam atau mercun. Lupakan cerita kawan-kawan lama. Lupakan hasrat nak balik kampong. Lupakan.

4. Waktu beginilah mengingati Nabi Ibrahim, Ismail dan ibunya Siti Hajar berkorban. Kisah anak-anak Nabi Adam a.s. yang menyerahkan pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Kisah Nabi dan sahabat yang berlapar sewaktu melaungkan kalimah kebesaran Allah. Kisah Salahuddin Ayub berperang membebaskan BaitulMaqdis sewaktu bulan puasa. Beginilah kisah-kisah yang selalu dilupakan dan tak terasa sewaktu meraikan hari-hari kebesaran.

5. Hari Krismas menjelang tiba. Lagu mengagungkan Jesus sentiasa berkumandang. Namun, gereja tetap sepi menjelang pagi Krismas.

Sunday 7 December 2008

Pesanan terakhir dari Ustaz Fadzil Mohd. Noor

1. Pada perenggan kedua terakhir dari Ucapan Dasar Presiden 2002 di Muktamar di PUTIK Kelantan, al marhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor, beliau menyebut tentang peranan ulama.

2. Katanya,

` Demi menjaga imej ulama, maka saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat, dan membuat ijtihad atas perkara-perkara yang perlukan pandangan terkini, termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti memimpin masyarakat agar dapat keluar daripada kemelut kehidupan ini, dengan keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.'

3. Berapa khazanah ilmu sudah digali oleh ulama? dan berapa banyak ijtihad sudah dibuat?

4. Selepas berkuasa di beberapa buah negeri dan ada ulama yang diberikan penghormatan berkuasa dan mengelilingi orang yang berkuasa, apakah semua itu sudah terlaksana?

5. Tentu ada sesuatu yang berbeza antara ulama parti sini dengan ulama parti sana. Atau kedua-duanya sama apabila kuasa ada pada mereka?

Wednesday 3 December 2008

Bincang Demokrasi Malaysia di Oxford

1. Kawan aku ajak ke Oxford untuk berbincang soal 'Demokrasi di Malaysia' terutama mengenai pilihanraya 2008. Dr. Birdget Welsh daripada Universiti Johns Hopkins, US datang membentangkan pemikirannya.

2. Dr. Birdget Welsh bercakap tentang PRU 12. Kekalahan teruk UMNO/BN adalah kerana hegemoni dan kesombongan UMNO, kebangkitan rasa perkauman, infomarsi alternatif, ekonomi yang slow , peningkatan kerjasama parti pembangkang, kelemahan lapisan kepimpinan baru UMNO dan rasuah.

3. Aku hanya tambah, titah raja ada harganya juga jika dibandingkan sebelumnya itu. Aku seperti menjadi patek yang setia pada raja hari itu.

4. Balik ini, aku menung sorang-sorang. Teringat satu lagi. Kenapa tak sebut rakyat Malaysia sekarang semakin bijak berpolitik. Ataupun memang masih pada takut lama.

Selamat Datang dan Selamat Tinggal

1. Minggu lepas, Hafiz yang belajar di Highmead pulang ke tanahair. Sekampung Lampeter hantar dia ke rumah aku. Kenduri mengejut rumah aku hujung minggu itu. Nasib dia baik. Walaupun terbeli tiket bas untuk travel bulan lepas, driver bas itu kasi naik bas sebab tiket flight memang sah hari itu.

2. Minggu lepas juga, bekas mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin sekeluarga datang studi kat Universiti Lampeter. Kenal dari jauh.

3. Dua minggu lagi, kawan-kawan aku nak datang ke UK. Ziarah tarbiyyah khabarnya. Selamat datang.

4. Bila kawan datang dan pergi, aku teringat diri sendiri. Bila lagi? Datang dan pergi bak kata Ramli Sarip.

Monday 1 December 2008

Haji,Korban dan Umat Islam

1. Hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Hari memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s.

2. Apabila tawaf di kaabah, itu mengingatkan pengorbanan Nabi Ibrahim mendirikan kaabah sebagai rumah Allah untuk umat manusia beribadat pada Tuhannya.

3. Apabila bersaie antara marwah dan safa, itu mengingatkan kesungguhan dan kecekalan Siti Hajar mencari air demi anaknya, Nabi Ismail a.s. yang kehausan kerana kehabisan bekalan makanan.

4. Apabila melontar ketiga-tiga jamrah, itu mengingatkan betapa syaitan sentiasa memperdayakan manusia hatta nabi sekalipun.

5. Apabila berada di padang Arafah, itu mengingatkan perhimpunan di mashyar kelak.

6. Berabad-abab umat Islam mengunjungi Kaabah, menunaikan korban dan solat Aidil Adha tetapi umat Islam terus menjadi mangsa korban segala-galanya di dunia ini. Korban perang, korban penipuan, korban politik, korban...........

7. Kerana kita sendiri adalah lebih selesa menjadi korban daripada memberi pengorbanan.