...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday 21 May 2010

Peguam Bukan Muslim: Cabaran Islam Untuk Semua

Victoria Jayaseele Martin yang berkelulusan Diploma Undang-undang dan Amalan Syariah UIA akhirnya berjaya menjadi peguam Mahkamah Syariah selepas Mahkamah Sivil memutuskan demikian. Sekaligus ini mengenepikan larangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang hanya membenarkan peguam beragama Islam menjadi peguam syariah. Victoria bukan beragama Islam. Mahkamah Syariah pula mahkamah khusus untuk orang Islam.

Mahkamah syariah Malaysia bukanlah boleh dikategorikan sebuah mahkamah syariah yang syarie sepenuhnya. Ia adalah sebahagian syariah. Syariah dalam konteks sekular adalah persoalan nikah cerai, faraidh, kematian dan sebagainya. Ruang yang agak terhad. Oklah juga daripada tak ada langsung. Tapi perlu dimantapkan dan diperluaskan lagi.

Penyertaan bukan Islam dalam sistem perundangan syariah memberikan gambaran lebih jelas tentang Islam. Bagaimana orang bukan Islam menggunakan sistem Islam untuk memberikan keadilan. Seharusnya langkah ini digalakkan. Victoria mempunyai kelayakan yang diperlukan oleh sebuah mahkamah syariah di Malaysia. Hanya agamanya sahaja yang menjadi halangan. Agama seharusnya menghapuskan diskriminasi kerana perbezaan agama.

Seperti analogi seorang lulusan jururawat bukan Islam yang tidak dibenarkan merawat orang Islam yang sakit. Bukankah itu satu kezaliman?

Monday 17 May 2010

Bapaku, Ustaz Sulam


Sebelum aku meninggalkan tanahair, bapaku memberikan sebuah kitab lama, `Dzadul Mutaalim' ataupun 'Bekalan Pelajar'. Dibelek-belek almari di biliknya untuk mencari kitab itu. Kitab inilah yang bapaku gunakan sewaktu mengajar budak-budak Maahad di masjid al Mansor, kampong aku, Sungai Lampam. Helaian awal kubaca, ayatnya sukar untuk difahami. Maklumlah, kitab tahun 1958. Bahasa kitab tua. Kubacakan kitab itu pada anak-anak aku di sini, ahh memang sukar untuk mereka memahami.

Kini kumengerti, hakikatnya kehidupan ini adalah belajar. Bekalan utama sebagai pelajar adalah tauhid, fiqah, tasawuf dan akhlak. Peganglah keempat-empat teras kehidupan ini. InsyaAllah akan selamat dunia akhirat. Tiada pusaka yang lebih berharga selain sebuah kitab tua ini. Aku khatam kitab ini semasa aku tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan yang sebenar. Aku masih kecil lagi. Yang kuingat adalah sifat 20 bagi Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu sehari semalam. Berpuasa di bulan ramadhan dan sebagainya. Memang kelihatan agak tradisional pendekatan kitab itu.

Sudah bertahun-tahun kutadah telinga mendengar bicaranya. Sewaktu duduk makan, selepas solat, tengah berbendang dan sedang memandu. Dari huruf Alif hinggalah kukenal erti kehidupan. Waktu gembira, saat berduka. Waktu bersama, kala bersendiri. Bapa tidak berhenti mengajar sehinggalah waktu aku memimpin bapa mengucapkan kalimah Allah di hujung sakaratul mautnya.

Sedari kecil, aku memang biasa mengikuti bapa pergi memberi ceramah maulid, maal hijrah dan mengajar di masjid. Dari motorsikal Suzuki hinggalah bapa mampu membeli kereta Opel kuning terpakai. Setidak-tidak menjadi teman bapa pulang di waktu malam. Aku masih ingat, bapa menepuk-nepuk aku yang tersenduk-senduk mengantuk ketika membonceng motorsikal. Memastikan aku tidak tidur. Kulawan juga mata ini daripada terlelap di tengah jalan. Aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Selepas pulang sekolah rendah, kami akan bersiap ke sekolah agama. Memang zaman itu, tidak ada istilah kelas tuisyen atau kelas tambahan.

Bapa mengajar untuk tidak bermusuh kerana parti politik. Memang sukar untuk mematuhi ajarannya bila aku sendiri aktivis politik. Politik semasa pula mengajar, merangsang politik sukuan, politik kauman, politik identiti dan politik untuk politik. Politik kita adalah hitam putih. Hanya ada dua pilihan. Tiada jalan ketiga. Bila bapa cenderung sedikit pada politik. Bapa terus menjadi mangsa.

Bertahun-tahun sebelum maut menjemputnya, bapa sudah memberi wasiat pada anak-anak muridnya. Ada lima wasiat yang tertulis di tembok pintu masuk ke Maahad al Islah. Itulah juga yang sering diungkapkan pada aku sewaktu aku kecil. Dua malam terakhirnya, bapa terus menasihati aku. Nasihat tidak pernah lekang dari mulut bapa biarpun aku sudah memutih helaian janggutku.

Bapa mengajar aku dengan rotan. Mendidik aku dengan cubitan. Menghukum aku dengan gigitan kerangge. Aku membuka lipatan al Quran perlahan-lahan sambil bapa mendengar bacaanku yang sering tersasar. Membetulkan dengan pandangan matanya yang tajam. Jenuh kuulang-ulang bacaan itu sehingga dia diam puas mendengarnya. Selalu bapa mengajar aku di depan tingkap. Sambil bersila menghadap bendang yang menghijau. Sambil melihat beburung berterbangan mencari padi.

Kini tiada lagi setapakpun bendang yang tinggal. Tiada lagi bendang yang pernah kuberkubang. Sudah tiada lagi kolam ikan keli atau sepat. Bapa dirikan bendang dengan madrasah. Dari madrasah yang dibina secara gotong royong bersama orang kampong hinggalah kerajaan turut bersama membesarkan madrasah. Hampir habis semua pohon mempelam ditebang. Hanya tinggal tiga empat pohon yang masih tertinggal. Bapa tinggalkan setapak kebun durian di penghujung tanah kami. Di situlah danau tempat bapa melelahkan penat berbendang dulu. Tempat berteduh tatkala mentari terik di langit. Minggu-minggu terakhirnya, kubawa bapa menghampiri kebun durian itu. Entah mengapa bapa minta aku menolak kerusi rodanya ke situ.

Madrasah ini adalah taman syurganya. Di sinilah benih ibadah itu berlanjutan tanpa henti, selagi masih ada mereka yang ingin belajar mengetahui. Selagi masih ada yang ingin beramal pada ilmunya. Inilah modal bapa. Inilah tanah bendang bapa yang subur. Subur dengan manusia yang beriman, ilmu dan beramal. Kini kusaksikan sendiri, anak-anak muridnya dari penoreh getah, penanam padi, budak pejabat hinggalah pegawai atasan yang berkuasa, usahawan yang berjaya, peguam, pensyarah lulusan Phd dan sebagainya. Bapa tidak pernah putus asa berdoa di sebalik kedegilan dan kenakalan anak muridnya. Didenda, digantung dan dibuang sekolah. Kusaksikan sendiri, saat mereka mencium tangan bapa di hospital bagai tanda kasih yang tidak pernah putus.

Jangan pulang sebelum tamat pengajian. Pesannya sebelum aku berlepas. Aku dengar dan faham betapa besar perbelanjaan yang diperlukan sekadar untuk pulang nanti. Dua tahun berlalu, kulanggar pesan bapa. Aku mahu pulang. Entah mengapa jiwaku mengajak kembali ke kampong biarpun sebentar. Tiba-tiba sahaja saat menanti tarikh pulang, aku terasa panjang. Seperti malam enggan melabuh tirainya.

Dan ketika aku pulang,
aku sebenarnya pulang untuk menghantar bapa pulang buat selama-lamanya.
Al Fatihah.

* Dedikasi buat semua guru.

Thursday 13 May 2010

Sifir Politik Negara Maju

Selepas berjaya mewujudkan kerajaan campuran di UK, David Cameron dan sekutunya Nick Clegg mula mengorak langkah yang meyakinkan. Gandingan pemimpin muda (PM termuda dalam sejarah UK. David Cameron, 43 tahun dan Nick Clegg, 42 tahun).

65 tahun lalu, kerajaan campuran UK (coalition government) disebut national government. Kerajaan campuran UK hari ini disebut sebagai kerajaan stabil dan responsibiliti. Atau mungkin kerajaan perpaduan. Itu hanya cap. Brand. Yang pentingnya, bagaimana kerajaan itu diterjemahkan dalam kehidupan rakyat.

Musuhnya musuh adalah kawanku. Begitulah sifir dalam politik. Nick dan David banyak tidak sehaluan. Tetapi politik itu menyatukan. Bukan memecahkan. Yang berpecah adalah mereka yang dangkal berpolitik. Politik haiwan. Membunuh musuh bagai mangsa yang rangup.

Perbincangan utama dalam rangka mewujudkan kerjasama antara Konservatif dan Lib Demokrat, isunya adalah mengurus perbezaan manifesto. Bukannya berapa banyak kerusi kabinet yang bakal diperoleh. Memang ada manifesto yang terpaksa digugurkan.

Parti yang besar tidak cuba menarik ahli parlimen yang menang untuk melompat ke dalam parti mereka demi menubuhkan kerajaan. Mereka bincang antara parti dengan parti. Bukan antara pemimpin parti dengan pemimpin politik. Tidak seperti senaif idea 16 September atau coup d etat Perak. Politikorup.

Bahasa yang retorik tidak lagi penting untuk dinilai keupayaan dan kesungguhan. Masyarakat menilai bahasa badan pemimpin.

Gordon Brown balik kampong di Scotland. Orang kampongnya pun dah tolak dia. Brown kata, dia nak penuh kehidupan peribadinya. Letak jawatan Perdana Menteri dan ketua Parti Buruh. Biarlah pemimpin muda lain yang memimpin parti untuk membawa cabaran masa hadapan.

Sekali lagi, berilah peluang kepada orang muda.

Orang muda!

Friday 7 May 2010

Keputusan Pilihanraya Kawasan Aku

Aku mengundi di Parlimen Swansea West. Berikut adalah keputusannya.


Geraint Davies (Labour)12,335 (34.7) -7.2
Peter May (Liberal Democrat)11,831 (33.2) +4.3
Rene Kinzett (Conservative)7,407 (20.8) +4.8
Harri Roberts (Plaid Cymru) 1,437 (4.0) -2.5
Alan Bateman (British National Party)910 (2.6) +2.6
Tim Jenkins (UK Independence Party)716 (2.0) +0.2
Keith Ross (Green)404 (1.1) -1.1
Ian McCloy (Independent)374 (1.1) +1.1
Rob Williams (Trade Unionist & Socialist Coalition) 179 (0.5) +0.5

Majority 504 (1.4)
Turnout 35,593 (58.0) +1.3

Thursday 6 May 2010

Pengundian Di UK

Bermula jam 7 pagi hingga 10 malam ni, semua yang mendaftar sebagai pengundi bolehlah mengundi di tempat mengundi yang disediakan.

Sebagai warganegara bekas jajahan Britain, aku diberikan peluang untuk mengundi bagi menentukan siapa peneraju kepimpinan Britain. Aku sekeluarga dah mengundi dua hari lepas - undi pos. Bukan pengundi hantu. Pengundi sah.

Samada Labour atau Konservatif, kedua-duanya lebih kurang sama. Liberal Demokrat, parti pertengahan. Orang kata, parti yang sederhana. Kanan tidak, kiripun tidak. Walaupun calon Liberal Demokrat kawasan Swansea West adalah jiran aku, aku tidak pernah jumpa. Calon Konservatif, Rene pula seorang gay. Calon Labour, aku tidak kenal. BNP, parti racist. Parti Green pun bertanding. Tapi tiada kena mengena dengan PAS yang hijau. Undi aku separuh rahsia.

Sekolah tidak cuti. Pejabatpun tidak cuti. Pusat pengundian dibuat di gereja, dewan awam dan ada juga di tempat letak kereta. Budak-budak sekolah yang berumur 18 tahun mengundi di sekolah (18 tahun layak mengundi). Pelajar universiti pun mengundi di universiti.

Syarikat judi menawarkan pakej perjudian yang menarik. Ramai yang tak undi tapi berjudi. Pub-pub sudah menyediakan tong beer untuk meraikan kemenangan.

Tiada pondok panas. Jauh lagi perayu undi. Tiada bendera atau poster. Tiada caci maki antara penyokong parti. FRU kalau ke sini, tak ada kerja. Polis sekadar tukang pacak. Ke hulu ke hilir. Boring gila. Tak boleh main tembak-tembak macam......koboi.