...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 18 November 2014

CATATAN DARI SEBUAH MUNAQASAH

Malam di dalam bas, kembaliku menukilkan fikiran yang kukongsi di lerengan Pergunungan Croker yang dingin, nyaman dan menghijau damai.
Menghormati pemimpin bukan bermakna menelan semua pandangannya. Menyatakan sesuatu yang berlainan dengan pemimpin bukan bermakna kita lebih bijak daripadanya. Hanya yang perlu dinyatakan dengan adab dan budi sebagai orang Melayu. Susunlah ayat, pilihlah kata yang bermakna. Itulah keindahan berjuang dalam jemaah.
Apa makna kita menikam rakan sendiri dengan kata kata yang beracun, penuh terseksa sebelum ia mati? Ini pembunuhan nama. Ahh Melayu memang kejam. Pendendam. Keris beracun, berlekuk dan tumpul matanya menjadikan senjata itu menyiat siat daging dan kulit berhari hari sebelum menyembah ke bumi.
Apakah kerana gagal berhujah, kita segera ghairah menutup seluruh pintu perbahasan? Yang dituntut hanya menjadi pengikut tanpa soal. Kerana itu, tidak timbul bimbang dengan sebuah buku (tulisan Khalid Samad) yang pun belum dibaca. Alangkah naifnya hanya sebuah buku, ada yang semacam hilang keyakinan. Bacalah yang ada, yang tiada, yang hilang dan yang ditenggelamkan.

Tuesday, 11 November 2014

Aku dan Tok Guru




Gambar ini kuambil sewaktu mengiringi Tok Guru ke London sewaktu aku tinggal di Swansea. Dia ajak jalan-jalan cari kedai joran. Aku pun terkedu. Manalah nak cari kedai joran di pinggir kota London ini! Akupun tak minat memancing atau mencari ikan. Hanya makan ikan ok. Kami tidak jumpa kedai joran tapi kami jumpa kedai traveler. Aku ikut masuk kedai itu. Dibelek-beleknya beberapa barang di situ termasuk khemah camping, baju dan sebagainya. Tok Guru tak beli. Akupun ngekor keluar. 

Seingat aku, tiga atau empat kali aku bertemu Tok Guru sewaktu di UK. Dua tiga kali di London dan sekali di Bristol. Semasa di Bristol, beliau datang dengan Hanifa Maidin yang menguruskan saman Tok Guru pada salah sebuah akhbar UK. Aku lebih senang bersembang dengan Hanifa Maidin daripada Tok Guru. Bercakap dengan Tok Guru tidak boleh merapu macam aku bercakap dengan Hanifa. 

Aku mula mengenali namanya pertengahan tahun 1980an. Tok Guru datang ke Kg. Gajah. Aku pergi dengan bapa ke pekan kecil itu. Ramai orang yang datang. Aku tengok Tok Sidang Taib pun datang. Dia kata nak dengar ceramah Tok Guru. Aku tidak ingat apa yang disentuh dalam ceramahnya. Tetapi kehadiran  yang ramai telah menunjukkan bahawa pidatonya menarik perhatian umum.

Setelah di UM, aku mulai mengenali lebih lagi. Beberapa program pertemuan antara mahasiswa dengan Tok Guru memberikan kesempatan untuk kami menerima taujihadnya. Ceramahnya memang selalu dinanti-nantikan. Kami selalu juga pergi ke Masjid Rusila terutama untuk mendengar khubahnya, Kaset-kaset ceramah beliau yang dijual oleh penerbit Gedung Gua sentiasa laku. Masa itu, Gedung Gua ada kedai di kawasan Chow Kit Road. Di situlah kami dapatkan buku, kaset dan poster Tok Guru. 

Aku kekok kalau di sampingnya. Tok Guru hanya akan jawab jika kita bertanya. Dan Tok Guru akan cakap terus terang dan tidak panjang lebar. Aku pernah interview untuk kajian Phd aku dengan Tok Guru sewaktu di Parlimen. Banyak hal yang dikongsikan. Aku jarang duduk semeja atau sibuk menghampirinya. Ini kerana banyak masa aku berdiam daripada bersembang.

Kini, setiap bulan aku akan bermesyuarat dengannya. Selain daripada berjumpa dalam beberapa program, mesyuarat bulanan adalah kesempatan terbaik untuk aku meningkatkan hubungan antara aku dengan Tok Guru. Kesempatan inilah yang menjadikan aku lebih jujur dalam menyatakan sesuatu meski untuk menongkah fikirannya. 

Tok Guru memang seorang ulama dan pemimpin yang disegani bukan sahaja di negara bahkan di dunia. Perjuangan dan pengorbanannya tiada siapa yang boleh menafikan. Namun, itu bukanlah bermakna Tok Guru tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Adalah satu  kesilapan besar jikamembiarkan kesilapan itu terus membesar tanpa dihalang atau dicegah. Selain daripada memerlukan kejujuran dalam menongkah fikirannya, kita sebenarnya memerlukan budi dan bahasa yang menyenangkan. 



 

Thursday, 6 November 2014

Sokong Kau, Tun Mahathir!



Orang kata Tun nyanyuk. Tapi Tun terus cakap. Tun tak kira. Pagi, petang, siang atau malam. Kartunis Lat pernah buat lawak tentang Tun. Masa itu, Tun tengah cakap dalam tv. Tun terus bercakap walaupun wayar tv sudah dicabut!

Tun kata UMNO parti rasuah, pemimpin tunjuk kekayaan depan rakyat. Kata Tun, UMNO tak suka pemimpin berbakat.

Pemimpin yang suruh rakyat pertahan betis masing-masing dari serangan todak. Seorang demi seorang rakyat menderita dan terbunuh. Nasihat bodoh pembesar diterima. Si budak bijak pula menjadi mangsa. Itu aku cakap. Tun tak cakap dan mungkin pernah  cakap.

Pemimpin politik manapun (termasuk PAS) kalau ikut bontot UMNO, Kasi tendang je. Tak payah bersilat-silat lidah,

Wednesday, 5 November 2014

Setapak ke Pekan Cowboy



Sebuah kedai kopi di tengah tengah pekan itu. Aku bagai cowboy melangkah masuk pekan yang dikuasai segerombolan bandit yang sering bermaharajalela sekitar Lembah Kinta. Jari telunjukku sudah sedia memetik picu pistol di peha kakiku. Bandit itu mengganggu pekerja lombong bijih. Mereka mabuk mabuk... ahh inilah masanya aku menjadi hero...kan kulepaskan peluru ini satu persatu. Tepat di dahi bandit. Tapi bila kumasuk ke kedai kopi itu, kosong, sepi. Cuma ada seorang wanita Cina tercegat. 'Ya.... ada apa?' Ahh mengejutkanku dari lamunan. Aku di pekan lama Seputih rupanya. Tak jauh dari UTP.

Katanya, 20 pintu rumah kedai suatu ketika dulu ada 5 kedai kopi, 6 pusat mahjong, beberapa kedai runcit dan lain-lain. 

Monday, 13 October 2014

Hikayat Hang Tuah



Hikayat Hang Tuah, boleh dilihat sebagai karya sastera. Ia juga boleh dilihat sebagai sumber sejarah dan memahami kebudayaan masa silam. Ia juga boleh dilihat sebagai sebuah karya sains politik yang memperhitungkan tentang hubungan kerajaan dan rakyat.


Ini bukan kerana 'hebat'nya karya Hikayat Hang Tuah tetapi ini kerana wujudnya disiplin ilmu yang pelbagai. Kukira, di sini juga boleh dijadikan sumber bagi ilmu pengasih! Bacalah bab Hang Tuah melarikan Tun Teja.

Karya Hikayat Hang Tuah yang ada pada aku adalah terbitan DBP edisi 1975. Buku ini adalah hadiah penghargaan oleh sekolah menengah aku kerana 'cemerlang' dalam subjek Sejarah dalam SPM. Itupun, arwah bapa aku yang ambil. Aku dah berada di Ipoh, belajar di Tingkatan Enam. Kukira ketika itu, memang tidak mungkin kumiliki buku kerana mahal.  Aku hanya beli majalah 'Gila-Gila' yang murah. 

Hikayat Hang Tuah ini diselenggarakan oleh Dr. Kasim Ahmad yang kontroversi itu. Aku pernah berbual dengannya. Seorang yang berbicara penuh sopan, teratur dan lembut. Meski ada perkara yang tidak bersetuju, aku menghormati beliau sebagai seorang sarjana. Daripada kajiannya inilah, Dr. Kasim Ahmad menyebutkan bahawa Hang Jebatlah, pejuang keadilan. Bukan Hang Tuah!

Menurut Dr. Kasim Ahmad, buku yang diperolehi daripada kerabat Kelantan, Tengku Ibrahim yang berkemungkinan ditulis pada selepas 1641 tetapi sebelum 1736.  Sehingga sekarang, karya ini disimpan di Leiden, Singapura, Jakarta dan beberapa tempat lain. Kalau tak silap ingatanku, Tengku Ibrahim ini adalah keturunan Kesultanan Patani Darus Salam. 





Friday, 3 October 2014

Karya Novel Pak Hamka: Rakaman Sosial Untuk Teladan


Dan akan tercapai juga kemuliaan bangsaku, persatuan tanah airku. Hilang perasaan perbezaan dan kebencian dan tercapai keadilan dan bahagia’’– Pak Hamka, Tenggelamnya kapal van der wijck(1937)

Mukadimah

Aku mula mengetahui novel epik karya Pak Hamka, ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk’ sewaktu di Tingkatan Dua.  Tetapi bukan daripada pembacaan novelnya. Aku mengetahuinya melalui drama radio yang diadaptasi daripada novel karya Pak Hamka.  Waktu itu,  memiliki televisyen dianggap sebagai harta mewah bagi orang kampong seperti kami. Aku menjadi pendengar segmen drama radio yang setia ketika itu.

Nama Pak Hamka lebih awalku kenali kerana sewaktu kecil, nama ulama hebat Nusantara itu sering disebut oleh arwah bapaku. Arwah bapa menyimpan beberapa buku karya Pak Hamka. Yang masih ada dalam simpanan khutub khanah arwah bapa adalah ‘Merantau Ke Deli’.  Sehingga kini, kukira karya Pak Hamka yang benar-benar terkesan pada aku adalah ‘Falsafah Hidup’,  ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’ dan ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’. Karya terbesar Pak Hamka adalah ‘Tafsir al Azhar’ yang ditulisnya sewaktu merengkuk dalam tahanan regim Sukarno. Inilah harta warisan Pak Hamka yang sentiasa membasahi tanah hijau ini.

Susuk ulama besar Nusantara ini tidak sekadar seorang ulama yang terkurung dalam lingkungan madrasah atau masjid sahaja. Inilah susuk ulama yang melibatkan seluruh hidupnya pada Islam yang praktis. Dari segi politiknya, Pak Hamka seawal usianya menjadi ahli Sarekat Islam, berjuang kemerdekaan dan terpilih sebagai anggota Dewan Perundangan Jawa Tengah di bawah Parti Mahsyumi. Dipilih sebagai Ketua Umum pertama Majlis Ulama Indonesia. Pak Hamka juga menulis pelbagai bentuk penulisan yang mengupas banyak aspek kehidupan dari tafsir hingga ke novel.

Bagaimana seorang ulama besar menghasilkan novel cinta?

Rakaman Sosial: Kritikan Yang Membangkitkan

Kebelakangan ini, aku tidak begitu mengikuti sangat perkembangan novel popular di tanahair. Sesekali hujung bola mataku mencuri deretan novel-novel cinta pada rak kedai buku ternama. Tajuknya sudah cukup memualkan. Betapa banyak agama dan cinta digunakan sebagai perencah novel popular. Ia seperti filem dan drama di televisyen. Inilah satu siri pembebalan masyarakat yang berpanjangan dan kukira adalah episod doktrinisasi yang paling menyeksakan bagi sang pintar. Untuk perbincangan ringkas ini, aku memilih karya dua novel Pak Hamka (Tenggelamnya Kapal Van der Wijk dan Di Bawah Lindungan Kaabah) sebagai satu perkongsian sama dalam mengkaji rakaman sosial semasa untuk memahami peranan kita sebagai manusia di bumi Allah s.w.t. ini.

Kedua-dua novel Pak Hamka berkisar usaha mewujudkan kemerdekaan dalam diri dan memperjuangkan keadilan untuk masyarakat. Kritikannya terhadap masyarakat yang mewujudkan dua darjat berdasarkan perbezaan kekeluargaan, pangkat dan harta benda. Pak Hamka menulis novelnya dalam tahun-tahun akhir 1939. Ketika itu Nusantara masih dalam naungan dan penjajahan. Novel ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’ diterbitkan oleh Balai Pustaka dan terlepas daripada penapisan kerana dianggap sebagai karya agama.  Seperti disebut oleh pengkritik sastera Indonesia, H.B. Yassin, penulisan Pak Hamka sederhana tetapi berjiwa.

Sentuhan kata-kata Pak Hamka menjadikan novelnya sentiasa ‘hidup’ dan memberi jiwa pada pembaca. Ia menyedarkan bahawa peri pentingnya pemilihan isu, kata, bahasa dan tema persoalan dalam berkarya. Ia bukan karya syok sendiri tetapi satu karya yang mengangkat isu biasa sebagai satu persoalan penting untuk diinsafi oleh masyarakat.

Pak Hamka memilih pendekatan ‘pengakhiran yang menyedihkan’ dilihat seperti pasif. Namun kesedihan itulah titik tolak kebangkitan pada jiwa pembaca. Watak utama dalam novel-novelnya berakhir dengan tragedi. Novel ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’, adalah kisah tentang watak utama Zainuddin dan Hayati yang tidak dapat berkahwin kerana perbezaan darjat dan keturunan. Hayati meninggal selepas kapalnya tenggelam dalam pelayaran. Zainuddin juga akhirnya meninggal kerana kesedihan kehilangan kekasihnya itu.

Begitu juga dalam novel ‘Di Bawah Lindungan Ka’abah’ watak utama Hamid yang meninggal di hadapan kaabah setelah mengetahui kekasihnya Zainab meninggal dunia. Kedua-dua kekasih tidak dapat berkahwin kerana perbezaan darjat dan sistem pemikiran masyarakat semasa ketika itu. Aku tidak berhasrat untuk berkongsi sinopsis novel tersebut. Memadai untuk kunukilkan tentang keupayaan Pak Hamka mengkritik ketidakadilan masyarakat ketika itu terhadap masa hadapan anak muda.  Corak pemikiran dan sistem sosial yang sedemikian telah membunuh potensi anak muda untuk membangunkan masyarakat dan negara.

Zainuddin dan Hamid adalah watak anak muda yang milik kekuatan berkarya bagi membebaskan negara dari cengkaman penjajah dan seterusnya membangunkan negara baru  yang merdeka. Watak Zainuddin sebagai seorang penulis terkenal tetapi kecundang dalam bercinta. Begitulah juga watak Hamid yang merupakan seorang ilmuan dan memiliki peribadi untuk dicontohi dalam masyarakat juga gagal dalam menguasai cinta yang terhalang.

Kedua-dua anak muda adalah lambang mangsa kezaliman sosial yang diterima sebagai norma dalam masyarakat. Begitu juga watak Zainab dan Hayati yang mewakili kelompok lemah, mangsa dalam sebuah sistem nilai masyarakat yang tidak mengikuti syariat agama.  Melalui novel ini, Pak Hamka cuba menggarap potensi anak muda untuk masa hadapan negara yang akan merdeka. Mereka harus berani menongkah arus, berkerat rotan, berpangkal arang jika mahu mencapai keadilan dan kebahagian sejati.

Sebenarnya masyarakat di Malaya ketika itu mengalami situasi yang sama. Ia diterjemahkan oleh karya Seniman Agung P. Ramlee dalam filem epiknya ‘Penarik Beca (1955)’, ‘Antara Dua Darjat (1960)’ dan ‘Ibu Mertuaku (1962). Bezanya P.Ramlee bukanlah ulama seperti Pak Hamka. Namun, kedua-dua sang pengkarya ini telah menterjemahkan sosio semasa untuk dinilai secara halus melalui seni – filem dan novel. Sayangnya ramai asyik dengan kejelitaan seniwati Saadiah, Sarimah dan Zaiton dan kesyahduan lagu P. Ramlee daripada memahami tema filem tersebut. 


Ada yang menyebutkan bahawa ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’  adalahi ‘merayakan cinta, membangkitkan kesedaran berbangsa. 

Friday, 11 July 2014

Mengejar Markah

Semalam kelas aku ramai yang datang. Tidak semacam biasa. Ada muka yang rasanya tiada dalam kotak ingatan dan pandangan mata silam aku. Mungkin mereka tahu bahawa kali ini ada ujian sewaktu kelas. Kerana itu berbondong-bondong yang datang menagih markah.

Pelajar universiti jika menjadi pencandu markah, dia akan terperangkap dalam penjara yang membebalkan dirinya sendiri. Pelajar universiti yang menjadi pengejar markah, dia akan terseksa kotak fikirannya. 

Ini kerana soalan yang aku berikan bukanlah soalan yang perlu memerah otak tetapi di situ mereka akan mendapati jawapan tentang diri mereka sebenar. Itupun jika mereka faham dan ingin memahami mengapa aku buat ujian semalam.


Thursday, 10 July 2014

Tragedi Brazil

Aku memang minat Brazil sejak dulu lagi. Mungkin kerana ada Pele dan Zico. Tapi yang menariknya, aku minat Socreates salah seorang pemain bolasepak Brazil yang juga seorang doktor perubatan. Beliau mati ketika berusia dalam 50an. Seorang pejuang kebebasan dan menyokong perjuangan Che Guevara, Fidel Castro dan Gadafi. Socialist. Wajahnya yang berjambang memang sebiji macam patung ahli falsafah Socrates. Bezanya, Socrates pemain bolasepak ini jauh handsome daripada Socrates ahli falsafah yang miliki bibirnya yang tebal dan botak.

Walaupun beliau seorang doktor, dia seorang perokok dan kuat minum. Suatu yang jarang tapi kadang-kadang ada.

Aku terjumpa kata-katanya yang aku juga bersetuju:

Zico was the king. He was much better than everyone else. When there is a king, the rest fight to be close to the king. Where there is no king, everybody loses direction. Society is like that. So it was Zico who should lead. It was Machiavellian, but I was the prince and Zico the King.

Kekalahan Brazil dengan Jerman 1-7 adalah tragedi Brazil. Pepatah Melayu ada menyebut:

                   Menang sorak, kampong tergadai

Hari ini, Brazil bukan menang sorak, tapi menangis tujuh tahun tujuh bulan. Orang miskin gelandangan ditenggelamkan tangisan mereka sewaktu meraikan kehadiran penonton ke stadium. Kini giliran seluruh rakyat Brazil menangis.




Monday, 7 July 2014

Ke Mana Perginya Bahasa Melayu

Aku diminta untuk buat benchmark sebuah 'center' yang ada kaitan dengan Alam Melayu.

Awalnya aku terima 'tugasan' itu kerana aku diminta oleh orang atasan. Tapi ini satu kesempatan terbaik untuk aku melihat sebenarnya pengajian tentang 'Malay Archipelago' di dalam dunia akademik di seluruh dunia.  

Daripada tugasan itu, kudapati Singapura yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi Jabatan Pengajian Asia Tenggara, NUS menawarkan bahasa Indonesia sebagai salah satu subjek. Bahasa Melayu disebut dalam Perlembagaan Singapura tetapi praktisnya, bahasa Indonesia yang lebih diambil perhatian. 

Kedua-dua adalah 'sama' tetapi dari segi falsafah politiknya, ia tidak sama. Melayu hakikatnya luas berbanding dunia Indonesia. Meskipun Sukarno pernah menyebut, 'di mana ada pohon kelapa yang melambai, itulah tanah Indonesia!' 

Sama seperti di Leiden, SOAS, CSEAS di Uni. Michigan, Uni.Kyoto dan beberapa universiti terkemuka dunia menawarkan bahasa Indonesia berbanding untuk bahasa Melayu.  

Saturday, 5 July 2014

Bukan Menulis Kembali

Tulisan terakhir aku dalam blog ini lebih enam bulan lalu. Bukan tidak menulis. Tidak juga kerana idea yang kering. Barangkali era blog sudah hampir ke penghujungnya. Mungkin. Menulis bermakna kita mencatatkan sesuatu yang yang bergerak dalam pemikiran. Minda terus berkerja.

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, ada waktunya laju masa berlalu. Ada waktunya berhenti seketika dan masa melangkah perlahan. Jika berhenti terlalu lama.... ini menandakan penamat bagi satu kehidupan di dunia ini dan melangkau pada alam lain yang langkahnya tentu berbeza. 

Sepanjang perjalanan minggu ini memberi makna tentang peri pentingnya kehidupan yang berkualiti. Semua boleh faham kepentingannya. Tetapi untuk memperolehi saat itu adalah persoalan lain.  Bagaimana kehidupan berkualiti itu diraih? 

Degupan jantung yang luar biasa kencangnya mengajak aku memahami situasi itu adalah proses pelajaran bagi mereka yang sedang menjalani proses menjadi doktor perubatan. Sedangkan, si pemilik jantung itu seharusnya belajar makna nikmat memiliki degupan jantung yang normal. Mereka yang disekeliling pula adalah nota-nota kehidupan yang perlu dirujuk dan menjadi rujukan bagi memperolehi kehidupan yang berkualiti.

Entah berapa ramai pesakit menanti di rawat di bahagian kecemasan Hospital Teluk Intan. Semua menanti penuh debaran dan menaruh ada harapan masa hadapan. Pagi itu, aku dipilih untuk menyaksikan drama sebenarnya. Manusia sihat dan manusia yang sakit. Manusia yang terus hidup dan manusia yang akan menemui kematian. Takziah kepada biduanita negara, Sharifah Aini yang kembali menemui Penciptanya. 

Teknologi memang mudahkan. Sekerat pil sudah memadai menahan degupan jantung yang seakan berentakan menendang kulit-kulit leherku. Jarum besi menikam halus menyedut darah merah. Jarum besi menikam halus menuang air putih di tubuh lesu dan terbaring. Pasrah untuk dilakukan.

Satu tandatangan dan cop sang doktor sangat bernilai bagi seorang pesakit. Ia bukan sekadar sebuah tulisan. Tapi ia adalah tinta emas daripada khazanah perubatan yang digali zaman berzaman oleh tamadun manusia. Tinda emas itu terus mengalir membasahi lembah gersang.  

Untungnya aku miliki kad insuran yang tidak dimiliki oleh pak tani di kampong atau gelandangan di tepi jalan. Aku boleh melangkah berani di gedung perubatan yang dikunjungi oleh mereka yang kos sakitnya ditanggung oleh syarikat insuran. Syarikat tidak akan menanggung kesakitan, kepenatan dan kehilangan. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya ia meringankan.

Tidak seperti penoreh getah. Sakit demam mereka ditanggung oleh susu getah yang semakin murah. Tidak seperti nelayan di pantai bergelora. Sakit demam mereka tidak akan ditanggung oleh ombak yang besar. Merekalah yang akan menanggung daripada jualan ikan sebakul yang tak penuh.

Semalam sepatutnya aku berpuisi di Kuala Lumpur bersama dengan rakyat marhean dan orang Asal. Sudah kucatat sedikit beberapa rangkap puisi untuk mereka yang miskin. Aneh, aku tidak pasti apakah mereka kenyang dengan mendengar bait-bait puisi aku. Aku tidak dapat memenuhi acara itu. Kerana aku sendiri berada di Kuala Lumpur dalam usaha mengembalikan degupan jantung ku bergerak dengan sewajarnya.

Kilau lantai mozek IJN menyilau mata buat si miskin datang membawa jantungnya yang sakit. Aku melangkah perlahan kerana aku ada sekeping surat yang ditandatangan oleh sang penguasa. Tandatangan mereka sangat penting untuk rawatan ini percuma.

Ya. Sekeping surat bertandatangan.