...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday 29 October 2009

Bocor Dah Rahsia Meeting!

Setiap kali tamat apa jua jenis mesyuarat, samada ada keputusan itu bersifat rahsia, terhad, sulit dan sebagainya, ia akan berakhir dengan pembocoran. Darilah mesyuarat parti politik samada PAS, UMNO, PKR dll, hinggalah mesyuarat anak beranak. Yang sulitnya adalah menyimpan rahsia keputusan mesyuarat.

Sebagai penyelidik, memang sukar untuk dapatkan keputusan mesyuarat parti secara bertulis. Semua kata, ini rahsia parti. Rahsia kerajaan. Rahsia negara. Oii...... aku nak buat research bukan nak pejatuhkan orang! Aku tak ada apa kepentingan politik (he he he....)

Tetapi sebagai pembaca blog, aku boleh dapat semua keputusan dan jalan cerita mesyuarat daripada A - Z.

Memang orang kita berkecenderungan tidak berahsia bila berbicara. Mulut tempayan boleh ditutup, ini mulut orang! Sembang panjang lagi kawan! Tulislah blog panjang-panjang. Selak semua kain orang. Moga-moga aku dapat lagi rahsia dalam rahsia.

Friday 23 October 2009

Antara Membangun Dan Menyingkir Kepimpinan

Ibarat banjir belum surut, ais sudah pasang. Seperti demam belum kebah, sudah terasa sakit kembali. Tiba-tiba sahaja luka lama dalam PAS berdarah kembali. Rasa macam nak nyanyi lagu Alleycat.....

Kerja nak menyingkir kepimpinan memang mudah. Kerja budak tak da SRP pun boleh buat. Rasa tak berkenaan, buang. Singkir. Konon atas nama demokrasi. Atas kepentingan parti. Lebih-lebih lagi kalau bijak berselit hujah al Quran dan hadis.

Sebaliknya kerja membina kepimpinan adalah kerja pengorbanan, kebijaksanaan dan perjuangan yang panjang. Kepimpinan bukan boleh dilihat pada wajah yang tampak hebat, comel molek atau bijak mengatur bicara. Ketinggian ilmu dan budi belum memadai.

Tuesday 20 October 2009

Berita Palsu Tentang Saya (PENTING)

Saya terima panggilan telefon daripada rakan-rakan tentang email yang mengatakan saya berada dalam kesusahan di Nigeria dengan menggunakan email saya muhaiminsulam@hotmail.com. Email itu bukan daripada saya. Detail email saya telah diceroboh. Sebarang email diterima mulai 20 Okt. 2009 bukan daripada saya lagi.

Mulai tarikh itu juga, email tersebut tidak digunakan. Saya akan gunakan email baru: muhaiminsulam@gmail.com atau angin_jawa@yahoo.co.uk.

Alhamdulillah saya dan keluarga masih berada di UK dalam keadaan sihat walafiat. Terima kasih atas perhatian semua.


Harap maklum.

muhaimin sulam

Friday 16 October 2009

Berkatnya Pemimpin Kaya, Sabarnya Pengikut Miskin

Tuan-tuan pemimpin yang kaya,

Jangan takut kaya jika itu rezeki yang halal
Jangan kedekut harta bila kaya
Jangan pula tabur harta demi lagi berkaya kuasa

Si miskin papa kedana,

Jangan rasa marah pemimpin kaya
jika jalan mereka betul, harta teragih telus
asalkan usahanya murni, jalannya lurus
kenapa perlu membenci pemimpin kaya

Jangan kerana kita tidak kaya,
si kaya menjadi musuh.
Jangan kerana kita kaya,
si miskin terus menjadi bangsat.

Tuesday 13 October 2009

Post Mortem Panglima Yang Kecundang

Selepas bertarung tujuh hari tujuh malam, akhirnya Panglima itu tersungkur juga di tanah. Satu titis darah tidak tumpah meski selaut keringat membasahi tanah. Tubuh panglima, usahkan luka, tercalar sedikitpun tidak. Dia cuma tersungkur menyembah bumi selepas terbang tinggi menangkis serangan lawan. Panglima tidak kalah. Dia cuma terbaring. Senak perut ditelan sendiri. Tiada siapapun tahu.

Bagaimana untuk buat post mortem? Siapa berani untuk post mortem PAS kalah di Bagan Pinang.

Sunday 11 October 2009

Waktu Memungkiri Kata

Berjanjilah setinggi Ledang
dan sederas air terun Lata Kinjang
inilah waktu memungkiri segala janji
dari tanah merah selori
hingga sebidang tanah di hujung syurgawi
bila kuasa dalam tangan.

BN Wajar Menang

1. Memang wajar untuk Isa Samad menang di Bagan Pinang. Berapapun majoritinya, sukar untuk Zulkifli (PAS) untuk memintas.

2. PAS boleh menggariskan antara faktor kekalahan ialah jumlah undi pos yang banyak. Selain daripada itu, pendekatan provokasi UMNO dan fungsi media.

3. Isa Samad walaupun didapati bersalah dalam kes `rasuah = politik wang' dalam UMNO, dia sudah dihukum. Kira-kira sudah selesai. Tak perlu diungkit-ungkit. Macamlah tiada maaf bagimu.

Wednesday 7 October 2009

Bang Mat Sabu Bawa Hati Ke London

1. Hari ini Bang Mat Sabu dan Amiruslan, rakannya bertolak kembali ke tanahair setelah hampir seminggu membawa hati ke London dan Paris.

2. Sempat juga mereka singgah bermalam ke Swansea. Walaupun raya ini aku tak merasa lemang, ketupat atau sup kepala lembu, Bang Mat Sabu dengan sukarela masak untuk kami Nasi Arab dan sup kambing biri-biri. Berbekalkan resepi sewaktu Bang Mat di Kem Kamunting, aku dan beberapa rakan sangat enjoy menikmati masakan sup kambing biri-birinya.

3. Sambil makan, kami bersembang dan bergebang. Dari cerita isu kerajaan perpaduan hinggalah kepada cerita ikan salmon di laut Bangor. Dari kisah pemikiran feudal orang Melayu (samada dalam UMNO ataupun PAS) hinggalah otak kering intelektual Melayu. Kerana orang Melayu apabila sudah berkuasa, sibuk nak dapatkan title `Dato' dari kaum istana dan tinggikan pagar rumah masing-masing. Dari pemikiran Chin Peng hinggalah kesederhanaan hidup TG Nik Aziz dan TG Abdul Hadi Awang. Dari perangai pemimpin Arab hinggalah perjuangan Hizbullah di Lubnan.

4. Aku tanya, pasai apa Bang Mat bertanding Timb. Presiden? Nak lawan Ust. Nasa ke lawan Dato Husam? Dia tersenyum tak nak jawab. Aku bukan wartawan Bang Mat! Demokrasi katakan. Siapapun berhak untuk bertanding. Kesimpulan yang aku boleh buat, kepimpinan PAS memang diambang kritikal selepas kedua-dua Tok Guru tersebut. Ada kemungkinnan `civil war' di Kelantan. Kebergantungan kepada karismatik kedua-dua tokoh tersebut sepertilah PKR bergantung kepada kepimpinan Anwar Ibrahim. Ramai yang bergayut dengan jubah dan janggut mereka.

5. Idea kepimpinan ulama oleh Dewan Pemuda PAS dulu hanyalah sebagai satu usaha menjatuhkan kepimpinan Dato' Asri. Kini, idea tersebut gagal dihijaukan kembali untuk disesuaikan dengan keadaan. Aku kata. Banyak saranan untuk melestarikan idea kepimpinan ulama. Tapi yang banyak adalah usaha me'maksum'kan ulama daripada sebarang kesilapan membuat keputusan dan kenyataan politik. Banyak hujah yang boleh digunakan untuk membenarkan semua tindakan. Sewaktu Dr. Mahathir Mohamad berucap di Oxford, dia menyelar tindakan ulama yang membiarkan khalifah-khalifah menyimpan gundik di Topkapi hingga beratus-ratus orang dalam satu masa. Mesti ada ulama yang menyimpan kebenaran demi menjaga kedudukan. Walaupun dalam kepimpinan Dr. Mahathir, ramai ulama yang digunakan untuk mengesahkan tindakannya.

6. Penguasaan PAS dalam kerajaan negeri selepas PRU 2008 mendedahkan keupayaan ulama mempersembahkan konsep kepimpinan ulama dan negara Islam. Kesederhanaan Tok Guru Nik Aziz dan TG Abdul Hadi Awang hanya modal politik bukan sebagai model ikutan. Sudah berkurangan suara seperti pimpinan Pemuda PAS tahun 80an yang menyuarakan kesederhanaan hidup ulama seperti Imam Khomeini. Jika disentuh, ramai yang terkena batang hidung sendiri. Sudah wujud tafsiran Muawiyah yang membenarkan pemimpin memiliki kuda-kuda merah dan istana seperti raja-raja Byzantine dan Parsi. Pemikiran Abu Dzar sudah ditinggalkan di tengah-tengah padang gurun. Mungkin hampir mati pemikiran Abu Dzar yang bersendirian terbuang dalam PAS.

7. Perubahan-perubahan pendekatan kepimpinan Khulafa' ar Rasyidin hingga kepada gaya hidup khalifah Ummayyah, Abbasiah, Uthmaniah, Moghul dan sebagainya seperti sejarah yang tidak diambil iktibar. Khalifah-khalifah membina pemisah antara mereka dengan rakyat. Undang-undang di bawah kaki dan telunjuk jari mereka. Kemuncak kemarahan kepada khalifah apabila munculnya gerakan al Turk Muda yang dipimpin oleh Mustafa Kamal di Turki. Gerakan itu menjadikan Islam sebagai punca kemunduran dan apabila mereka berkuasa, segala perkara yang berkaitan Islam cuba dimusnahkan. Ini termasuk pengharaman pemakaian tudung, pelaksanaan azan dalam bahasa Turki dan sebagainya. PAS sebagai sebuah parti yang membawa mesej Islam harus belajar dari sejarah ini.

8. Apapun, Bang Mat masih berpendirian kepimpinan utama mesti dikalangan ulama. Tapi bagaimana kalau ulama tersebut tidak memiliki daya kepimpinan? Menurut al Mawardi, antara ciri kepimpinan ialah berlaku adil, berilmu, kebolehan mendengar dan berucap, cerdas membuat keputusan, bijaksana dan berpengaruh. Semua pemimpin boleh dakwa mereka mempunyai kriteria tersebut. Memang terdapat gerakan untuk melemahkan kredibiliti ulama. Tetapi perlu seimbang. Jangan sampai taksub sehingga menenggelamkan rasional.

9. Memang hati Bang Mat tertarik dengan kehidupan di sini. Apapun ini negeri orang, Bang Mat! Malam itu, aku bawa Bang Mat ronda ke pekan Swansea untuk cari teh panas. Maaf, pukul 12.00 mlm di sini sudah mati. Swansea bukan London, Paris atau Kuala Lumpur.

Thursday 1 October 2009

Double Raya

1. Raya kali ini disambung dengan kemeriahan pilihanraya di Bagan Pinang. Tentu banyak duit raya, projek raya, sambutan hari raya dan segala aneka yang boleh dikaitkan dengan raya dan piliharaya. Dan kita rayakan pilihanraya dan shawal ini dengan kempen, promosi dan propaganda untuk membenamkan lawan.

2. Maaf, zahir batin tidak terampun selagi kau belum kubenamkan.