...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday 28 April 2011

Cis Polis Tipu la!

1. Baru semalam dua, polis kata tak main sorok-sorok nak perangkap pemandu yang pandu kereta laju.

2. Baru tadi......aku ternampak dua anggota polis menyorok bawah pokok kelapa sawit dekat Sri Iskandar. Siap dengan kameranya menuju ke arah aku yang memandu secara aman sentosa.

3. Mana yang betul?

Wednesday 27 April 2011

Menghidupkan Utusan Malaysia

1. Utusan Malaysia berasal dari Utusan Melayu yang ditubuhan pada 29 Mei 1939 di Singapura. Kini ibukandung Utusan Malaysia, Utusan Melayu dalam tulisan Jawi sudah ke liang lahat. Bersemadi tak kembali.

2. Demi menghidupkan Utusan Malaysia terus, bangkitkanlah hantu-hantu perkauman dan kesempitan pemikiran agama dan marakkan api kebencian.

3. Long Live Utusan Malaysia!

Tuesday 26 April 2011

Polis Tak Perangkap Lagi!

1. Di UK, cara polis memantau kelajuan pemandu di lebuhraya bagus untuk Polis di Malaysia ambil contoh.

2. Mereka parking van yang ada kemera di tepi lebuhraya. Dari jauh sudah nampak. Dua tiga batu dari van itu, simbol amaran had laju tersedia terpampang di tepi lebuhraya. Memang jarang sekali kami kena saman laju. Kebanyakannya pemandu akur pada peraturan jalanraya. Kamipun terikut cara mereka, berdisiplin bila memandu. Kuranglah pendapatan negara. Kurang saman.

3. Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Khalid Abu Bakar bahawa polis sudah tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya.

4. Baguslah, kesihan polis yang bertugas.

5. Kesihan juga kat kami yang kena saman.

Monday 25 April 2011

Jalan Machiavelli (1)

1. Ada dua cara berjuang: melalui undang-undang dan satu lagi melalui kekerasan. Kaedah pertama bersifat manusiawi dan tidak memadai untuk berkuasa melainkan perlukan kaedah kedua; kekerasan yang lebih bersifat kehaiwanan.

2. Pemimpin perlu menguasai kedua-dua pendekatan ini untuk terus berkuasa. Menguasai satu kaedah sahaja akan menyerlahkan kebebalan pemimpin itu sendiri.

3. Pemimpin perlu dilihat seperti manusia walaupun jiwa politiknya bernafas binatang.

Sunday 24 April 2011

Sejarah Bermulanya Konsep Kepimpinan Ulama

1. Konsep `kepimpinan ulama' bermula dari idea tiga pimpinan Pemuda PAS semasa Muktamar Pemuda PAS Pusat pada 1982 diadakan secara berasingan dengan Muktamar PAS Pusat di salah sebuah rumah pimpinan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hasan Salahudin (Rujukan: Hj. Subky Latif)

2. Memandangkan tiada usul tertentu dari perwakilan negeri-negeri, mereka memutuskan untuk mengadakan satu usul bagi pihak AJK Pemuda PAS Pusat. Ini merupakan langkah susulan memberi isyarat supaya Dato' Asri berundur dari tampuk kepimpinan. Sebelum itu, beberapa pimpinan Pemuda PAS telah pergi melawat ke Iran selepas revolusi. (Rujukan: Cikgu Mustafa Ali).

3. Tanpa menafikan, revolusi Islam Iran telah sedikit sebanyak mencorakkan idea awal konsep kepimpinan ulama yang ingin dibawa oleh Pemuda PAS Pusat. Personaliti Imam Khoimeini amat menarik minat pada delegasi Pemuda PAS yang pergi.

4. Mereka mahu, pemimpin PAS macam kepimpinan revolusi Islam Iran yang sederhana hidupnya terutama merujuk kepada personaliti Imam Khoimeini. (Rujukan: Ustaz Salahuddin Abdullah).

5. Muktamar Pemuda PAS Pusat di Madrasah Masriyyah, Bukit Mertajam dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd. Noor. Ketika Cikgu Mustafa Ali mengemukakan idea `konsep kepimpinan ulama', Ustaz Fadzil Mohd. Noor pada asasnya bersetuju walaupun tidak begitu jelas konsep itu secara lebih detail. (Rujukan: Hj. Subky Latif)

5. Bagi Dato' Asri Hj. Muda, konsep `kepimpinan ulama' adalah signal untuk menyingkirkan kepimpinannya. Tanpa menafikan, sebelum itu sudah ada retak yang menanti belah dalam krisis antara kepimpinan PAS waktu itu. (Rujukan; Cikgu Rahim Kota Bharu)

6. Ketika itu, Pemuda PAS melihat susuk kepimpinan anak muda yang baru kembali ke tanahair sebagai alternatif kepimpinan baru PAS. Mereka dilihat begitu karismatik sekali. Pidatonya mempersonakan dan menyakinkan. Penampilan personalititinya hampir menyamai dengan personaliti Imam Khoimeini.

7. Pemimpin muda itu ialah Ustaz Nik Aziz Nik Mat dan Ustaz Abdul Hadi Awang. Pemuda PAS Kelantan mempelopori usaha membawa Ustaz Nik Aziz Nik Mat ke persada politik nasional. Antaranya memujuk beliau untuk bertanding Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan beliau akhirnya menang. Secara peribadi, itu merupakan satu pengalaman yang cukup terkesan sehingga hari ini. Terasa tidak wajar untuk beliau menentang seorang ulama yang cukup disegani ketika itu. (Rujukan; TG Nik Aziz Nik Mat).

8. Kemuncak konsep kepimpinan ulama diletupkan ketika ucapan dasar Yang Dipertua PAS, Dato Asri ditolak oleh muktamar PAS Pusat di DBP, Kuala Lumpur. Dato' Asri meletakkan jawatan dan bermulalah satu episod bentuk kepimpinan yang dianggap `lebih segar dan baru' pada waktu itu - Kepimpinan Ulama.

9. Sambung malam nanti......

Saturday 23 April 2011

Menjelang Muktamar PAS

1. Mat Sabu tidak boleh jadi Timbalan Presiden. Dia ada kes dulu. Lagipun dia bukan ulama. Seorang teman berhujah. Aku diam. Tidak tidur atau akur. Sekadar memahami tabiat dan pemikiran ahli parti yang berasaskan Islam.

2. Ustaz Nasarudin Mat Isa memang ulama. Dia boleh bertutur banyak bahasa. Tambah kawan lain. Akupun pening, apa mengena antara banyak bahasa dengan kepimpinan?

3. Tapi Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sudah awal-awal tak mahu bertanding Timbalan Presiden. Kalau dia ikut bertanding, Ustaz Nasaruddin dan Bang Mat Sabu akan kalah. Itu hitung mudah.

4. Husam Musa mungkin kali ini sokong Bang Mat Sabu. Tapi Husam tidak banyak penyokong di Kelantan. Dia national figure. Kelantan tak berapa nak terima. Harap tiada warlord selepas ketiadaan Tok Guru Nik Aziz nanti. Dunia pasti ada penghujungnya.

5. Pimpinan PAS Perak jarang menang dalam pemilihan (kecuali Hj. Nizar Jamaluddin) walaupun ada AJK PAS Pusat adalah berasal dari Perak.

6. Walaupun Perak antara negeri yang mempunyai perwakilan banyak dalam setiap muktamar, suaranya tidak dapat disatukan. Mungkin perwakilan Perak tidak berfikiran kenegerian. Mungkin.

Memperbaharui Hari

Akhiri malam ini
gelap yang menidurkan
dan perbaharui esok
dengan
bangun di awal pagi

lalu menapaklah
di bumi yang luas ini

Friday 22 April 2011

Politik Pembangunan dan Politik Kebencian

Di pedalaman desa
suburlah politik pembangunan.
di kota membangun,
dirikan politik
kebencian.

mengapa
begitu politiknya, tuan.

Berseluar Jeans Pagi Ini

Pagi ini aku berseluar jeans dan t'shirt biru
bersarapan segelas air madu
Di pinggir jalan menuju ke pekan
masih bisa kau temui lelaki berbaju
bagai setahun tak berbasuh

Sedang sang pemimpin
membicarakan apakah pakaian
yang sesuai dipakai oleh rakyat

Izinkan kubuka t'shirt ini
untuk lelaki itu

Mohon ijin.

Thursday 21 April 2011

Pengikut Pakatan Rakyat Bertepuk Sebelum Majlis Tamat

1. Kertas siasatan tentang kes video Dato' T telah siap dihantar kepada Peguam Negara. Ada kemungkinan, mereka akan didakwa kerana mengedar video lucah kepada awam.

2. Mendengar khabar itu, maka sebahagian pengikut PR menarik lega dan bertepuk tangan kegembiraan. Senjata makan tuan. Tambah mereka lagi.

3. Drama belum habis lagi la, kawan! Jangan cepat bertepuk tangan, majlis masih berlangsung biarpun pengerusi tertidur keletihan.

Wednesday 20 April 2011

DAP: The Chinese Protector

1. Keputusan Pilihanraya Sarawak menjelaskan bahawa DAP telah berjaya meneruskan legasi political tsunami 2008nya selama tiga tahun berterusan.

2. Bahkan mengambil kira perkiraan Briget Welsh, melalui pilihanraya Sarawak menunjukkan PR mendapat peningkatan undian di semua tempat dan kaum. Namun peningkatan tersebut tidak memadai untuk melakukan perubahan total.

3. SUPP yang dikatakan mewakili kepentingan kaum Cina di Sarawak hilang banyak kerusi yang dipertandingkan termasuk kerusi Presidennya, George Chan. Lapan kerusi SUPP yang kalah, tujuh daripadanya adalah kawasan majoriti kaum Cina. Manakala kerusi yang menang di kawasan lebih 50 majoriti Cina, SUPP menang dengan majotiri kecil.

4. GERAKAN dan MCA sudah tidak dilihat sebagai taikun yang melindungi kepentingan kaum Cina di Malaysia. Apabila hilang, Hai San dan Ghee Hin di Larut, pada tahun-tahun 30- 40an, parti Komunis dan Koumintang menjadi pelindung pada kaum Cina di Malaya. MCA mula mengambil peranan menjelang pilihanraya pertama Malaya 1955.

5. GERAKAN pula mengambil peranan MCA pada tahun 1969 selepas rundingan antara Tun Razak dengan pimpinan GERAKAN Pulau Pinang untuk membentuk kerajaan campuran.

6. Pilihanraya Umum 12, menunjukkan kaum Cina telah memilih DAP sebagai `the Chinese Proctetor'.

7. Sementalahan itu, PAS masih belum menemui ramuan untuk menggantikan UMNO sebagai `pelindung kaum Melayu'. Orang Melayu berada 50-50 untuk memilih PAS dan terus meninggalkan UMNO. Rasa mengenang jasa telah menguburkan rasional masa hadapan.

Laluan Liku Bang Mat Sabu Untuk Timbalan Presiden

1. Confirm secara lisan dari mulut Bang Mat Sabu, ia akan bertanding jawatan nombor dua dalam parti Islam - PAS pada muktamar akan datang ini.

2. Bagaimana kalau ada pertandingan tiga penjuru, seperti Muktamar pemilihan dua tahun lalu? Bang Mat Sabu seperti yakin, kali ini dua penjuru sahaja. Husam dan Tuan Ibrahim Tuan Man sudah mengesahkan untuk tidak bertanding jawatan nombor dua itu.

3. Sebulan setengah dalam politik adalah seribu tahun. Apa-apa boleh berlaku. Kita tidak boleh jangka.

4. Awal bulan depan, Bang Mat Sabu akan melancarkan Mat Sabu Fan Club di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur. Itu strategi politik meraih undi. Aku sedang memikirkan untuk datang. Tapi Dr. Google akan turut hadir. Selain itu, mungkin Lim Guan Eng juga akan turut serta. Depa memang bukan ahli PAS, tapi ahli PAS mungkin teruja pendekatan begini.

Hikayat Muara Tuang, Sarawak

1. Kg. Murut dan Kg. Jawa mengambil masa sejam dari Kuching jika menaiki kereta dengan kelajuan biasa.

2. Program penerangan di Kg. Jawa dibatalkan disaat akhir kerana tuan rumah tidak sanggup menahan tekanan politik. Pertemuan dengan kaum Murut di Kg. Murut pula tergendala kerana penduduk sedang mabuk dengan arak free daripada parti politik yang kaya raya. Mereka berkongsi faedah kekayaan.

3. Takut dan hilang akal, senjata paling ampuh dalam politik.

Sunday 17 April 2011

Selamat Tinggal Sungai Sarawak

Sungai Sarawak kutinggalkan riak kilat di wajah kelam malam
gerai ikan bakar penuh dengan pelanggan
tengah malam dalam renyai hujan
kami mencari jika masih ada ruang untuk bersembang
sambil menikmati sepinggan atau sehidang ikan bakar.

Seperti biasa, kami bincang tentang siasah tanahair
dan bagaimana mahu memperkasakan perjuangan,
menambah sokongan sambil mencari ruang-ruang
untuk mengintai kemungkinan-kemungkinan
membentuk kerajaan yang telah hilang,
menyambung angan tentang masa depan

Kami pulang tanpa kemenangan
penerbangan belon petang
sebelah ku Pak Syed Muhamad duduk
asyik memperbetulkan tongkatnya
aku melukis dan menulis kata-kata
yang begini....


Friday 15 April 2011

Aku Datang Padamu, Sarawak

Subuh meredah lebuhraya.
Merentas laut Cina Selatan yang tenang
Pagi di lapangan terbang Kucing.
Rumah besar di tepi jalan
Rumah kecil di celah hutan

Ingin kujaja, puisi luka
agar darah
mengalir
di Sungai Rejang

Thursday 14 April 2011

Waktu Tukang Kata-Kata Berkata

Waktu Tukang Kata-kata berkata
telah bermula
tiada nokhtah
kerana masih ada
mendengar setia
penuh harap
meski
sekian lama tertairap
pada seluruh sudut hidup


* Sajak Untuk Pengundi Sarawak

Wednesday 13 April 2011

Demokrasi atau Kukubesi

Demokrasi

`Kami datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan terhadap Allah’ Panglima Islam menjawab di hadapan pemimpin Parsi sewaktu bertanyakan motif Islam dalam peperangan.

Menjadi kesukaran pada hari ini untuk mencari persetujuan tentang definisi demokrasi. Dari pandangan kiri yang extreme dan golongan kanan extreme mempunyai tafsiran yang pelbagai dan saling bertentangan. Ini menimbulkan kekeliruan dalam memahami maknanya. Walau bagaimanapun, persoalan yang utama dalam melihat isu ini ialah mengapa demokrasi begitu penting oleh semua aliran pemikiran politik dunia hari ini?

Demokrasi hanya dianggap suatu istilah yang dihormati selepas perang dunia pertama (Hoffman, 1988:133). Sebelum itu pada abad ketujuh belas, amat kurang yang ingin mengelar diri mereka sebagai kumpulan pejuang demokrat. Istilah itu dilihat sesuatu yang buruk dan menyalahi norma kehidupan pada masa itu. Hitler menganggap demokrasi sebagai political counterpart kepada ekonomi komunis. Sebaliknya, sekutunya Musolini menyebut bahawa negara yang paling demokrat di dunia (ketika itu) ialah Itali dan Jerman. (Hoffman 1988:133). Manakala menurut Trotsky, Setiausaha Parti Komunis Soviet demokrasi akan menjadi irretrievably bourgeois dan counter-revolutionary. Kenyataan ini memperkukuhkan pandangan Karl Marx yang menyebut bahawa state adalah alat kepada kapitalis bagi menindas rakyat.

Istilah demokrasi bermakna pemerintahan rakyat dari rakyat untuk rakyat. Kuasa rakyat bukan sekadar memilih pemimipin tetapi menentukan dasar kerajaan yang memerintah agar memenuhi keperluan dan menjaga kepentingan rakyat. Idea demokrasi semakin berkembang luas dengan kepelbagaian makna dan pendekatan. Bahkan kebanyakan negara di dunia pada hari ini mengakui bahawa demokrasi itu sendiri sesuatu yang luhur untuk negara (John Dunn 1979:11).

Istilah demokrasi berasal daripada perkataan Latin `demokratia’ yang mengabungkan kata demos (people) dengan kratos (power). Dalam istilah kita disebut sebagai `kuasa rakyat’. Makhal Sakti. Ia wujud antara pertengahan abad 5-4 sebelum masihi di negara kota Greek dan mempunyai pengaruh besar di Athens pada 508 sebelum masihi. Ia berlawanan dengan sistem monarchy (pemerintahan individu), oligarchy (pemerintahan kelompok elit) dan timocracy (pemerintahan oleh tuan tanah). Namun dalam pada masa itu, amalan demokratik itu terhad kepada warganegara lelaki Athens yang telah menjalani ‘khidmat ketenteraan’. Manakala lelaki bawah 20 tahun, kaum wanita, hamba, pendatang luar tidak diberikan hak dalam sistem demokrasi klasik itu.

Amerika Syarikat sendiri di peringkat awalnya mempunyai takrifan demokrasi yang sempit. Pada tahun 1776, hak undi hanya diberikan kepada lelaki kulit putih yang dewasa. Manakala hamba, lelaki kulit hitam dewasa dan wanita dinafikan hak sebagai pengundi. Hanya selepas Perang Saudara (lewat 1860an), dan berlakunya pembebasan hamba yang banyak telah membuka ruang untuk diberikan hak undi kepada mereka. Namun itupun terhad kepada kaum lelaki sahaja. Ramai sarjana berpendapat bahawa Revolusi Perancis dianggap sebagai mercu tanda sistem demokrasi dipraktiskan di Eropah dan dunia pada hari ini.

Prinsip kebebasan dan keadilan merupakan istilah yang berkait rapat dengan demokrasi. Prinsip ini adalah terjemahan bahawa setiap warganegara mempunyai hak menentukan kuasa. Sebagai contoh dalam demokrasi berperwakilan, setiap undi mempunyai hak yang sama. Hak ini diperuntukkan dalam undang-undang dan dilindungi oleh perlembagaan.

Kebebasan pula diterjemahkan dalam bentuk kebebasan menyertai politik, bersuara dan berpersatuan. Kebebasan ini diimbangi antara kepentingan individu dnegan tanggungjawab sosial. Kebebasan yang melampau akan melewati tanggungjawab sosial menjurus negara ke dalam anarki (ketidaktentuan).

Dalam sistem demokrasi mempunyai makna yang saling bertentangan seperti; hak majoriti dengan hak individu, kerajaan terhad (limited government) atau kepentingan populariti (popular sovereignty) dan samada harta peribadi atau hak sosial. Hal ini akan menyebabkan timbul masalah penyertaan atau perwakilan, kolektif atau individu, sosialis atau kapitalis.

Dari segi analisa linguistik, istilah demokrasi, kapitalis dan liberalisme adalah perkataan yang memberi maksud yang sama. (Weldon 1953:86).

The Separation of Power

Antara idea demokrasi yang dominan adalah pemisahan kuasa kepada beberapa bahagian; kuasa legislative, executive dan judicative. Dalam sistem feudalisme, pemusatan kuasa kepada individu memungkinkan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap rakyat. Montesquieu mengemukakan idea pemecahan kuasa berdasarkan pengalaman gaya kepimpinan feudal Perancis.

Dalam sistem kerajaan Malaysia pada hari ini, legislative merujuk kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menggubal perundangan negara. Manakala pihak executive pula merujuk kepada parti yang menguasai kerajaan dan menjalankan dasar dan undang-undang yang diluluskan oleh pihak legislative. Manakala pihak judicative akan mentafsirkan perundangan yang diluluskan jika dibawa ke mahkamah.

Adapun pengalaman politik di Malaysia, konsep the separation of power itu lebih bersifat atas kertas daripada amalannya. Selepas isu yang melibatkan pemecatan Tun Salleh Abbas dan pindaan perlembagaan yang mengurangkan kekebalan raja-raja Melayu, executive begitu berkuasa.

Keadaan di Dewan Rakyat yang BN hilang kuasa 2/3 telah mengendurkan kuasa yang ada pada executive.

The Tyranny of the Majority

J. S. Mill dan Tocqueville mengutarakan persoalan kezaliman majoriti sebagai salah satu persoalan dalam demokrasi. Keadaan ini berlaku apabila hak individu tidak dapat dipertahankan dalam perlembagaan. Crick menyebutkan bahawa fenomena ini sebagai suatu yang kontra dengan kebebasan (paradox of freedom). Contohnya kemenangan Hitler dalam pilihanraya 1933 membawa Jerman ke kancah peperangan. Contoh lain yang diberikan oleh Barbara Goodwin (1997:289) ialah kemenangan Islamic Salvation Front (ISF) di Algeria dalam pilihanraya umum yang kemudian dinafikan oleh pihak tentera dengan satu rampasan kuasa. ISF dakwa pihak tentera kononnya berhasrat mendirikan sebuah negara Islam yang teokrasi dan bertentangan dengan demokrasi.

Kenyataan ini adalah lanjutan pemikiran purba Greek yang menyebut bahawa demokrasi adalah peraturan orang miskin yang mewujudkan istilah kezaliman popular (the popular of despotism). Ini berlaku dalam revolusi Perancis, Robespierre menyebut demokrasi sebagai pembela pengganas (the defenses of terror).

Pendemokrasian Politik

Kemaraan idea demokrasi dimarakkan dengan masalah ekonomi setempat telah menyebabkan beberapa regim ditumbangkan oleh rakyat. Sesetengah regim berundur atau terpaksa berundur dan menyerahkan kuasa kepada rakyat seperti yang berlaku di Spain, Portugal (1974), Argentina (1983), Bolivia, Uruguay (1984), Brazil (1985), Chile (1990) dan sebagainya.

Kejatuhan empayar kuasa Soviet Union adalah akibat daripada proses pendemokrasian politik yang dilaksanakan oleh Presiden Soviet Union. Kejatuhan ini menjadi domino demokrasi kepada negara-negara blok timur seperti Romania, Yoguslavakia, Bulgaria dan sebagainya. Sekaligus era ini menamatkan Perang Dingin antara dua blok yang saling bermusuhan sejak berpuluh-puluh tahun.

Perbezaan Parti Cap Ayam dan Cap Itik

Apakah itu Parti Politik?

Umumnya, parti politik adalah organisasi politik yang berusaha mendapatkan pengaruh dalam menentukan dasar-dasar negara. Kekuatan pengaruh politik itu diukur melalui proses pilihanraya yang diadakan mengikut perlembagaan sesebuah negara. Parti-parti politik akan menggunakan pendidikan, media, demonstrasi, persenjataan dan lain-lain kaedah.

Asas Pembentukan Parti

Tujuan utama pembentukan parti politik adalah untuk menjaga kepentingan kelompok tertentu dalam sesebuah negara atau wilayah. Meninjau tentang perkembangan parti politik di Malaysia khususnya, terdapat beberapa sebab penubuhan sesebuah parti. Antaranya adalah seperti berikut:

i. Agama, mazhab
ii. Kaum, etnik, kabilah
iii. Ideologi
iv. Wilayah, negeri
v. Kelas dalam masyarakat

Sesetengah kelompok mempunyai parti tertentu tetapi disebabkan krisis kepimpinan dalam parti, menyebabkan sesetengah pemimpin mewujudkan parti baru untuk membawa aspirasi perjuangan melalui wadah baru mereka. Semakin plural sifat dalam masyarakat, penubuhan lebih banyak parti politik yang berasaskan kepentingan kelompok merupakan fenomena sistem demokrasi.

Keadaan ini bertambah kritikal apabila wujudnya hubungan tidak harmonis antara kelompok yang saling berbeza budaya, agama, hak milik kekayaan dan sebagainya. Kelompok akan melihat perbezaan entity kelompok sebagai satu ancaman terhadap kewujudan entiti kelompok mereka. Persaingan politik yang positif mungkin terarah ketidaktentuan (anarki) sekiranya prasangka antara kelompok sangat tinggi.

Non Partisan

Dalam sistem non partisan, bukan pertubuhan politik mempunyai pengaruh politik terhadap isu dan dasar-dasar negara. Umumnya, organisasi-organisasi tersebut diasaskan bukan bermotifkan politik tetapi mempunyai kesan terhadap politik. Fungsi yang dimainkan Persatuan Pengguna seperti CAP, Persatuan Pengguna Islam Malaysia memberi kesedaran kepenggunaan kepada masyarakat boleh mempengaruhi ekonomi. Seperti juga peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam terhadap isu undang-undang boleh mempengaruhi warna politik tanahair. Kenyataan tokoh-tokoh bukan politik seperti A.Samad Said, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Prof Ungku Aziz dan personal yang popular memberi impak kepada politik.

Sudah menjadi kecenderungan parti-parti politik menaungi atau mendampingi beberapa pertubuhan non-partisan demi kepentingan politik mereka. Hal ini boleh dinilai dengan melihat perkembangan yang dimainkan oleh Teras, Persatuan Ulama Malaysia, Perkasa, Siqui, Suaram, Dewan Peniaga Cina Malaysia dan sebagainya.

Sistem Satu Parti

Dalam sistem satu parti, hanya sebuah parti politik yang dibenarkan bertanding dalam sesuatu pilihanraya. Kedudukan parti yang menguasai kerajaan melalui sistem satu parti dilaksanakan di China (Parti Komunis Cina), Syria (Parti Baath), suatu ketika dahulu di Iraq (Parti Baath), German (Parti Nazi).

Terdapat beberapa kekaburan perbezaan antara sistem satu parti yang menafikan kewujudan parti-parti lain di negara dengan sistem satu parti dominan. Dalam sistem satu parti dominan, parti pembangkang dibenarkan wujud dari segi perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang gagal memenangi atau menguasai keputusan pilihanraya. Parti yang dominan terus menguasai kerajaan dalam tempoh yang panjang. Kebiasaannya sistem satu parti dominan merupakan parti yang memperolehi kuasa selepas menerima kemerdekaan daripada kolonial. Sebahagian daripada parti tersebut mengunakan isu sumbangan perjuangan parti dalam menuntut kemerdekaan sebagai hujah yang menguatkan sokongan mereka.

Di samping itu, terdapat beberapa faktor lain yang memperkukuhkan pengaruh parti-parti berkenaan. Pertamanya, kedudukan parti pemerintah yang dapat mengawal jentera kerajaan. Oleh itu, dasar dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat mempengaruhi rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada parti.

Contohnya penguasaan Perikatan-BN sejak pilihanraya pertama 1955 hingga terkini (2008) menunjukkan betapa sistem parti dominan berlaku di Malaysia. Perkara yang sama dilihat pada pengalaman politik People Action Party (PAP) di Singapura (1965-2009), African National Congress (ANC) di Africa Selatan, Social Democrat Party (SDP) di Sweden, Golkar di Indonesia sejak awal 70an hingga era reformasi 1998 yang menyaksi tumbangkan kerajaan Suharto. Liberal Demokrat yang menguasai Jepun juga jatuh pada pilihanraya 2009 selepas menguasai kerajaan sejak 1955.

Sistem Dua Parti

Penguasaan Perikatan (1955) dan Barisan Nasional -BN (1973) hingga sekarang telah mengalami beberapa cabaran daripada parti-parti pembangkang. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang di Malaysia tidak pernah berjaya mewujudkan kesepakatan sebagaimana yang dilakukan oleh Perikatan dan BN. Kerjasama di kalangan parti –parti pembangkang lebih bersifat election pax yang sementara. Ini termasuklah penubuhan Gagasan Rakyat, Harakah Keadilan Rakyat (HAK), Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif. Penubuhan Pakatan Rakyat (PR) memungkinkan wujudnya sistem dua parti di Malaysia.

Sistem dua parti bermakna wujudnya dua parti utama yang saling menguasai kerajaan. Walaupun terdapat beberapa parti lain turut serta dalam proses pilihanraya, namun kelazimannya hanya dua parti utama sahaja yang menang. Manakala parti-parti lain hanya menang dalam jumlah yang kecil. Hal ini dapat dilihat melalui pengalaman demokrasi di UK (Konservatif- Buruh) dan USA (Republican-Democrat). Namun dalam pilihanraya 2010 di UK, kerajaan campuran antara Konservatif dan Liberal Demokrat berjaya menyingkirkan parti Buruh.

Dalam beberapa kes tertentu, parti ketiga atau multi parti terbentuk melalui penubuhan kerajaan campuran daripada pelbagai parti-parti kecil dan menyingkirkan parti yang dominan. Biasanya, kerajaan multi parti ini tidak kuat. Ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang lemah begini. Secara politiknya, parti yang kuat ialah apabila ia boleh menguasai kerajaan tanpa kerjasama dengan parti lain.

Jenis-Jenis Parti Politik

Parti Kader

Parti ini bersifat elit kerana hanya yang layak sahaja boleh menyertai sebagai ahli parti politik. Oleh itu, seseorang itu akan mengalami proses penapisan seperti melalui latihan kepimpinan dan ideologi. Ini dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Jami’ el Islami di Pakistan.

Walaupun dalam proses pilihanraya, parti kader memerlukan sokongan dan undi orang awam namun calon yang bertanding adalah di kalangan ahli parti yang sudah mengalami proses pengkaderan kepimpinan.

Parti Massa

Parti massa membuka keahlian kepada umum. Keperluan latihan kepimpinan ataupun proses pengkaderan mula dilihat oleh kebanyakan parti-parti di Malaysia. Oleh itu, proses pengkaderan ahli oleh parti massa mula menjadi trend sejak 1980an. Parti-parti mula menubuhkan akademik kepimpinan untuk memberikan latihan dan mencari lapisan kepimpinan masa akan datang parti.

Politik Adalah Bola Yang Kempis

Istilah politik sering disalahtafsirkan oleh pihak tertentu. Politik disempitkan pada ruang yang menyukarkan masyarakat untuk memahami lebih dalam erti sebenar politik. Keadaan ini timbul akibat salah faham dalam memahami maksud politik dan wujudnya kumpulan tertentu merencanakan agenda bagi kepentingan politik mereka sendiri. Secara umumnya, politik adalah seni mempengaruhi orang lain membuat sesuatu keputusan. Hari-hari kita membuat keputusan politik demi memenuhi kepentingan dan keperluan diri sendiri atau kelompok tertentu.

Kononnya, politik itu kotor. Memang dalam Kamus Dewan, antara makna politik ialah tipu muslihat. Tidak sesuai untuk orang baik menyertai. Ayat-ayat ini sebenarnya dicipta untuk menafikan hakikat yang kotor ialah manusia yang pengotor. Adapun, politik itu seperti bola. Kalau ditendang, melayanglah ia. Kalau dikempis, kemiklah.

Sememangnya, makna yang paling popular digunakan untuk istilah politik ialah bagaimana untuk mengurus negara dan kerajaan. Ini memang tidak boleh dinafikan. Menafikan makna lain, sebenarnya ada niat politik yang tidak baik. Sebab itulah, dalam Islam ada istilah siayah syariah. Ia bermakna, politik yang berasaskan al Quran dan as Sunnah.

Politik diambil daripada perkataan Greek (politicos) yang bermakna `citizen’, `rakyat’ adalah satu proses membuat keputusan oleh sekumpulan masyarakat tertentu. Ia lebih merujuk hubungan mengurus negara supaya tercapai maksud penubuhan sesebuah negara. Sebagaimana dinyatakan oleh Aristotle dalam bukunya tentang kerajaan bahawa politik adalah hal-hal yang berkaitan dengan kota. Asal kata, politicos itu sendiri adalah ‘polis’ yang bermaksud kota.

Kota merupakan wilayah yang memiliki kekuasaan sebagaimana ciri-ciri yang wujud dalam konsep sebuah negara pada hari ini. Istilah `kerajaan’ atau `kingdom’ merujuk kewujudan bersama antara raja dan kerajaan. Oleh itu, penubuhan sesebuah kerajaan perlu memenuhi ciri utama seperti berikut:

i. Raja (pemimpin)
ii. Rakyat (yang dipimpin)
iii. Wilayah – tanahair
iv. Perlembagaan
v. Kedaulatan

* Tajuk diatas tiada kena mengena dengan isi. Harap maklum.


Demi Keselamatan Kita Bersama

1. Sang kuasawan selalu menjaja betapa usaha membangunkan negara yang aman adalah suatu tekad yang berterusan. Segala dasar, pendekatan dan undang-undang adalah demi kebaikan bersama.

2. Sebaliknya, bagi meneruskan kuasa di tangan kuasawan, dasar, pendekatan dan undang-undang yang menakutkan dan membebal rakyat adalah pilihan utama. Pun demikian, ia dicantikkan dengan ayat berayat agar rakyat pasrah penuh rela.

3. Sementara sebahagian rakyat terus asyik mengira berapa banyak wang dan tanah yang hendak dihimpunkan. Bukan untuk dibawa ke Padang Mahsyar tetapi untuk disumbat dalam usus perut yang membuncit.

Tuesday 12 April 2011

Sarawak Dalam Bahaya

1. Segala kudrat keringat pasti berdarah parah dua tiga hari ini. Carilah ayat dan madu untuk ditanam pada setiap inci bumi Sarawak.

2. PKR ulangilah kalimah `keadilan' pada pengundi. DAP berpidatolah kalian akan tiraninya sang penguasa yang ada. PAS berwiridlah akan kedaulatan Islam.

3. Sementalahan, BN akan meratib pembangunan, pembangunan sebanyak sembilan ratus sembilan puloh sembilan kali di hadapan Sungai Rajang.

4. Penan di hutan belantara memburu rusa, Iban di rumah panjang menganyam tikar, Melanau menanak nasi di rumah kayu, tokey Cina terus mengira duit niaga hari ini.......

5. Sarawak dalam bahaya!

6. Masing-masing pergilah sembahyang. Berdoalah panjang-panjang.

Monday 11 April 2011

Sayang Sarawak

Sayang Sarawak, sampannya sempit
nakhoda kapal bersusah hati
hendak kubawa, perahu kusempit
nak kutinggalkan sayang, tak sampai hati.

Sayangnya Sarawak, sungainya luas
banyak perahu pergi ke seberang
sekali pandang, rasa tak puas
hati terkenang, siang dan malam.

Saturday 9 April 2011

Mengangkat Kembali Pemikiran Pemimpin Silam PAS

1. Setidak-tidak tiga idea besar pemimpin lama PAS yang perlu diperhalusi dalam konteks semasa. Iaitu, idea Dr. Burhanuddin al Helmy tentang idea Melayu Raya dan pandangan Dr. Zulkifli Muhammad mengenai keahlian bukan Islam dan memdayakan budaya baru dalam masyarakat.

2. Kerjasama gerakan Islam atau Melayu serantau seharusnya diperkasakan lagi. Ia tidak dilihat hubungan peribadi pemimpin parti tetapi seharusnya menjangkau kepada pemimpin akar umbi. Manakala idea Dr. Zulkifli Muhammad yang jauh ke hadapan masih belum mampu keluar daripada kerangka pemikiran sempit. Masyarakat bukan Islam secara sosiologinya masih dianggap sebagai ancaman biarpun dari segi politiknya, ia menguntungkan.

3. Budaya pula diberi makna yang semakin sempit. Apabila Bob Lokman masuk PAS, peranannya sebagai penceramah. Seolah-olah ingin dijadikan orator Bang Mat Sabu ataupun Nasaruddin Tantawi.

4. Kembali mengkaji pemikiran pemimpin lama PAS (termasuk Dato Asri Hj. Muda) tidak sesekali menjadikan parti itu mundur.


Friday 8 April 2011

Memulakan Revolusi Budaya

1. Antonio Gramsci menjelaskan mengapa rakyat terus memilih kerajaan atau pemimpin yang korup, zalim dan tidak memberi manfaatkan kepada negara sebagai pemimpin mereka. Sebagai anak muda yang idealis, Gramsci melihat idea Karl Marx tidak dapat diaplikasikan di Itali kerana tidak melihat yang lebih luas persoalan politik masyarakat.

2. Beliau mengemukakan konsep 'hegemoni' yang menghuraikan lanjut tentang fenomena ini. Hegemoni ini diasaskan melalui norma budaya masyarakat. Norma ini menjadi peraturan dalam masyarakat yang perlu dipatuh secara kebiasaan. Budaya ini digerakkan melalui sistem pendidikan, media, perundangan dan sistem pemerintah.

3. Gerakkan mengubah budaya memerlukan usaha yang bersungguh. Kenyataan ini pernah disebut panjang lebar oleh Dr. Zulkifli Muhammad, timbalan Yang DiPertua PAS sewaktu parti itu dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al Helmy.

4. Gramsci mati ketika usia 46 tahun selepas hidup sengsara dipenjara oleh regim Musollini selama 25 tahun. Mula ditangkap seusia 21 tahun. Separuh kehidupannya berada di dalam penjara. Sebaliknya orang yang diluar penjara, fikirannya terpenjara!

4. Bacalah idea orang perjuangan.