...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 13 April 2011

Perbezaan Parti Cap Ayam dan Cap Itik

Apakah itu Parti Politik?

Umumnya, parti politik adalah organisasi politik yang berusaha mendapatkan pengaruh dalam menentukan dasar-dasar negara. Kekuatan pengaruh politik itu diukur melalui proses pilihanraya yang diadakan mengikut perlembagaan sesebuah negara. Parti-parti politik akan menggunakan pendidikan, media, demonstrasi, persenjataan dan lain-lain kaedah.

Asas Pembentukan Parti

Tujuan utama pembentukan parti politik adalah untuk menjaga kepentingan kelompok tertentu dalam sesebuah negara atau wilayah. Meninjau tentang perkembangan parti politik di Malaysia khususnya, terdapat beberapa sebab penubuhan sesebuah parti. Antaranya adalah seperti berikut:

i. Agama, mazhab
ii. Kaum, etnik, kabilah
iii. Ideologi
iv. Wilayah, negeri
v. Kelas dalam masyarakat

Sesetengah kelompok mempunyai parti tertentu tetapi disebabkan krisis kepimpinan dalam parti, menyebabkan sesetengah pemimpin mewujudkan parti baru untuk membawa aspirasi perjuangan melalui wadah baru mereka. Semakin plural sifat dalam masyarakat, penubuhan lebih banyak parti politik yang berasaskan kepentingan kelompok merupakan fenomena sistem demokrasi.

Keadaan ini bertambah kritikal apabila wujudnya hubungan tidak harmonis antara kelompok yang saling berbeza budaya, agama, hak milik kekayaan dan sebagainya. Kelompok akan melihat perbezaan entity kelompok sebagai satu ancaman terhadap kewujudan entiti kelompok mereka. Persaingan politik yang positif mungkin terarah ketidaktentuan (anarki) sekiranya prasangka antara kelompok sangat tinggi.

Non Partisan

Dalam sistem non partisan, bukan pertubuhan politik mempunyai pengaruh politik terhadap isu dan dasar-dasar negara. Umumnya, organisasi-organisasi tersebut diasaskan bukan bermotifkan politik tetapi mempunyai kesan terhadap politik. Fungsi yang dimainkan Persatuan Pengguna seperti CAP, Persatuan Pengguna Islam Malaysia memberi kesedaran kepenggunaan kepada masyarakat boleh mempengaruhi ekonomi. Seperti juga peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam terhadap isu undang-undang boleh mempengaruhi warna politik tanahair. Kenyataan tokoh-tokoh bukan politik seperti A.Samad Said, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Prof Ungku Aziz dan personal yang popular memberi impak kepada politik.

Sudah menjadi kecenderungan parti-parti politik menaungi atau mendampingi beberapa pertubuhan non-partisan demi kepentingan politik mereka. Hal ini boleh dinilai dengan melihat perkembangan yang dimainkan oleh Teras, Persatuan Ulama Malaysia, Perkasa, Siqui, Suaram, Dewan Peniaga Cina Malaysia dan sebagainya.

Sistem Satu Parti

Dalam sistem satu parti, hanya sebuah parti politik yang dibenarkan bertanding dalam sesuatu pilihanraya. Kedudukan parti yang menguasai kerajaan melalui sistem satu parti dilaksanakan di China (Parti Komunis Cina), Syria (Parti Baath), suatu ketika dahulu di Iraq (Parti Baath), German (Parti Nazi).

Terdapat beberapa kekaburan perbezaan antara sistem satu parti yang menafikan kewujudan parti-parti lain di negara dengan sistem satu parti dominan. Dalam sistem satu parti dominan, parti pembangkang dibenarkan wujud dari segi perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang gagal memenangi atau menguasai keputusan pilihanraya. Parti yang dominan terus menguasai kerajaan dalam tempoh yang panjang. Kebiasaannya sistem satu parti dominan merupakan parti yang memperolehi kuasa selepas menerima kemerdekaan daripada kolonial. Sebahagian daripada parti tersebut mengunakan isu sumbangan perjuangan parti dalam menuntut kemerdekaan sebagai hujah yang menguatkan sokongan mereka.

Di samping itu, terdapat beberapa faktor lain yang memperkukuhkan pengaruh parti-parti berkenaan. Pertamanya, kedudukan parti pemerintah yang dapat mengawal jentera kerajaan. Oleh itu, dasar dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat mempengaruhi rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada parti.

Contohnya penguasaan Perikatan-BN sejak pilihanraya pertama 1955 hingga terkini (2008) menunjukkan betapa sistem parti dominan berlaku di Malaysia. Perkara yang sama dilihat pada pengalaman politik People Action Party (PAP) di Singapura (1965-2009), African National Congress (ANC) di Africa Selatan, Social Democrat Party (SDP) di Sweden, Golkar di Indonesia sejak awal 70an hingga era reformasi 1998 yang menyaksi tumbangkan kerajaan Suharto. Liberal Demokrat yang menguasai Jepun juga jatuh pada pilihanraya 2009 selepas menguasai kerajaan sejak 1955.

Sistem Dua Parti

Penguasaan Perikatan (1955) dan Barisan Nasional -BN (1973) hingga sekarang telah mengalami beberapa cabaran daripada parti-parti pembangkang. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang di Malaysia tidak pernah berjaya mewujudkan kesepakatan sebagaimana yang dilakukan oleh Perikatan dan BN. Kerjasama di kalangan parti –parti pembangkang lebih bersifat election pax yang sementara. Ini termasuklah penubuhan Gagasan Rakyat, Harakah Keadilan Rakyat (HAK), Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif. Penubuhan Pakatan Rakyat (PR) memungkinkan wujudnya sistem dua parti di Malaysia.

Sistem dua parti bermakna wujudnya dua parti utama yang saling menguasai kerajaan. Walaupun terdapat beberapa parti lain turut serta dalam proses pilihanraya, namun kelazimannya hanya dua parti utama sahaja yang menang. Manakala parti-parti lain hanya menang dalam jumlah yang kecil. Hal ini dapat dilihat melalui pengalaman demokrasi di UK (Konservatif- Buruh) dan USA (Republican-Democrat). Namun dalam pilihanraya 2010 di UK, kerajaan campuran antara Konservatif dan Liberal Demokrat berjaya menyingkirkan parti Buruh.

Dalam beberapa kes tertentu, parti ketiga atau multi parti terbentuk melalui penubuhan kerajaan campuran daripada pelbagai parti-parti kecil dan menyingkirkan parti yang dominan. Biasanya, kerajaan multi parti ini tidak kuat. Ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang lemah begini. Secara politiknya, parti yang kuat ialah apabila ia boleh menguasai kerajaan tanpa kerjasama dengan parti lain.

Jenis-Jenis Parti Politik

Parti Kader

Parti ini bersifat elit kerana hanya yang layak sahaja boleh menyertai sebagai ahli parti politik. Oleh itu, seseorang itu akan mengalami proses penapisan seperti melalui latihan kepimpinan dan ideologi. Ini dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Jami’ el Islami di Pakistan.

Walaupun dalam proses pilihanraya, parti kader memerlukan sokongan dan undi orang awam namun calon yang bertanding adalah di kalangan ahli parti yang sudah mengalami proses pengkaderan kepimpinan.

Parti Massa

Parti massa membuka keahlian kepada umum. Keperluan latihan kepimpinan ataupun proses pengkaderan mula dilihat oleh kebanyakan parti-parti di Malaysia. Oleh itu, proses pengkaderan ahli oleh parti massa mula menjadi trend sejak 1980an. Parti-parti mula menubuhkan akademik kepimpinan untuk memberikan latihan dan mencari lapisan kepimpinan masa akan datang parti.

No comments: