...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday 13 June 2008

Bila Semangat Kian Luntur

Iman manusia biasa seperti ombak. Sekali tinggi menjulang. Sekali bergelora. Sekali langsung tak bermaya. Kita tidak milik iman Nabi. Iman nabi sentiasa menjulang. Setiap waktu, setiap saat. Itulah kehebatan para nabi. Kita tidak juga malaikat. Imannya tetap. Tidak berubah. Tidak turun dan tidak naik. Iman manusia biasa, seperti ombak. Lihatlah ombak. Lihatlah awan. Lihatlah langit. Kemudian lihatlah diri sendiri.

Iman tak sama dengan semangat. Iman lahir dengan berasaskan keyakinan diri dan mengamalkannya. Iman bukan retorik. Iman bukan tugu. Iman juga bukan warisan. Tidak iman seorang ayah akan diwarisi oleh anak atau keturunannya. Tidak seperti harta dan pangkat. Iman dicari. Iman diuji. Meskipun, letaklah nama Nur Iman, Nurul Iman atau sebagainya......

Semangat adalah kocakan jiwa yang kadang kala tergeser akibat fizikal yang peka. Kadangkala, bila jasad sudah kematu, akal dan jiwa pula yang menjadi kayu ukur kepada pengesan dan penggugah semangat. Semangat semacam nafsu. Walaupun kadangkala ia adalah satu meski ada waktunya bukan satu. Semua manusia ada nafsu. Nafsu yang terbaik adalah nafsu yang dikawal oleh roh dan akal. Sebaliknya nafsu yang jahat - nafsu yang terbebas lepas daripada ikatan akal dan roh.

Semangat boleh mati. Tetapi semangat akan hidup kembali. Tidak seperti jasad. Sekali ia mati - ia terus pergi. Roh tidak akan mati. Adapun kematian adalah pemisahan roh dari jasad yang menjadi kenderaan melayari kembara dunia yang sejengkal zaman. Adapun roh akan kekal hingga akhir zaman. Sesetengah ulama berpendapat, zaman kebangkitan adalah zaman roh dan jasad kembali bersatu. Ada sesetengah tidak berfikiran begitu. Roh saja yang bangkit. Ada muktamar akbar kalangan roh-roh yang sejak diciptanya Adam hinggalah roh terakhir sewaktu nafiri berbunyi. Itulah hari mahsyar.

Semangat boleh hidup. Yang menghidupkan semangat adalah ilmu dan roh yang sentiasa dihidupkan dengan nyanyian zikirullah. Semangat boleh patah seribu tetapi dia boleh bangun bagai gunung memaksi bumi. Dulu, sewaktu aku bebal memahami matematik. Aku naik jemu dan bosan. Semangat untuk belajar mengira hampir ke penghujung. Namun sekali dapat temui jalan pengiraannya, semangat matematik itu tiba-tiba berpunca-punca ganda walaupun tak selalu begitu.

Jika semangat itu mati atau kian luntur - itu tanda kita adalah manusia biasa. Jika semangat itu terus berkobar tanpa berhenti. Itu mungkin luar biasa. Alexandra the Great sewaktu meluaskan empayar taklukannya, berhenti mara selepas sampai di India. Diberitakan dia berkahwin dengan puteri raja India. Dia sudah malas nak meneruskan empayarnya. ADa kawan aku berjenaka. Waktu itu, Alexandra the Great berfikiran bahawa bumi ini leper. Tidak bulat. Semakin dia jauh mengembara, semakin jauh daripada tanah kelahirannya. Lalu, dia membuat keputusan untuk berhenti meluaskan empayar. Entah betul, entahkan tidak. Tapi moralnya, ilmu menentukan kadar semangat perjuangan kita.

900 tahun berdakwah. Nabi Nuh tak pernah mengalah. Usahkan rakan atau masyarakatnya bersedia menerima dakwahnya, isteri dan ahli keluarganya sendiri menolak dakwahnya. Tapi nabi Nuh terus berjuang. Sebab Nabi fikir bukan soal angka yang ingin dicapai. Nabi Nuh fikir soal amanah yang tidak mempunyai nilai tertentu. Infiniti.

Bila semangat kian luntur. Tengoklah album dan biodata tokoh pejuang ternama. Jangan dibaca sejarah Jimi Hendrix atau Bob Marley. Kalau malas nak baca sirah nabi. Baca saja tokoh kapitalis atau sosialis yang percaya pada ideologi mereka. Mereka bermati-matian berjuang atas prinsip ideologi yang palsu. Ideologi itu palsu tetapi mereka yakin. Lalu keyakinan itulah membentuk pemikiran sehingga mereka melakukan tindakan seakan-akan skrip ideologi mereka sendiri.

Bila semangat kian luntur. Tibalah waktu kalian berundur untuk menelaah diri. Muhasabah

No comments: