...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday 19 May 2008

Jalan ke Arah Anarki Politik Malaysia

Mahathir tiba-tiba melepaskan lagi bom ke arena politik tanahair. Belum sempat reda peluru berpandu yang dilepaskannya dari Manchester, Mahathir terus mengamuk. Marah benar Mahathir pada Pak Lah Badawi. Selepas Suruhanjaya Pita Video Lingam keluar dan nama Mahathir tersenarai yang perlu disoalsiasat lanjut, Mahathir nampaknya sudah tidak boleh menoleh ke belakang dalam mempertajamkan pedang untuk bertempur secara mati-matian. Kini, tunggu siapa yang akan berundur. Jika dua-dua tak berundur, siapa yang akan mati?

Situasi ini, benar-benar meletakkan UMNO dalam situasi yang cukup tertekan. Sebahagian pimpinan UMNO Sabah mula bijak bermain politik di Parliamen. Ini juga memberikan satu tekanan kepada UMNO dan Pak Lah secara peribadi. Aku percaya dalam tempoh beberapa minggu, hari ataupun jam – politik tanahair akan meletup lagi.

Samada, berlaku peralihan kerajaan BN kepada kerajaan PR ataupun komposisi BN dan PR akan berubah mendadak. Dalam tempoh terdekat, akan berlaku ANARKI – situasi politik yang tak terkawal. Pimpinan tertinggi parti politik mula hilang kawalan dan rakyat dalam kebingungan. MCA, MIC, Gerakan dan PPP serta beberapa parti komponen BN mula mencari parti yang boleh berkongsi kuasa dengan mereka. Mereka telah hilang segala-galanya. Siapa yang boleh memberi nafas baru kepada mereka, parti itulah yang akan dijadikan payung baru kepada parti-parti yang kalah teruk semasa pilihanraya lepas.

PAS kini mempunyai `bargaining power’ yang besar. PAS boleh menentukan samada boleh terus berkerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan sedia ada sekarang atau sebaliknya PAS terus kekal sebagai pembangkang. Atau mungkin boleh menjadi parti kerajaan dengan bekerjasama dengan UMNO dan meninggalkan PR yang baru dibentuk. Politik serba memungkinkan sesuatu.

Masing-masing akan menawarkan peluang kepada pesaing demi kuasa berada di dalam genggaman. PAS dalam situasi ini perlu menilai keupayaan parti dalam menentukan dasar perjuangan akan diterima pakai dalam kerajaan yang dibentuk. Pengalaman PAS sewaktu berkerjasama dengan Perikatan dan masuk dalam BN tahun 1973 seharusnya dijadikan panduan. Kritikan terhadap kepimpinan PAS seperti Asri Hj. Muda telah membawa beliau mengundurkan diri sebagai Yang DiPertua PAS untuk memberi laluan kepada pemimpin baru.

Gerakan perubahan yang dipelopori oleh Dewan Pemuda PAS dengan slogan `kepimpinan ulama’ berjaya menyisihkan kepimpinan `konservatif’ PAS kepada pemimpin `radikal’ seperti Fadzil Mohd. Noor, Nik Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang dan sebagainya. Mustafa Ali sewaktu itu dilihat sebagai hero yang membawa perubahan Semua pemimpin yang membawa idea kepimpinan ulama masih hidup kecuali Fadzil Mohd. Noor. Mereka lebih maklum mengapa idea itu diketengahkan ataupun sekadar satu idea untuk menjatuhkan kepimpinan lama bagi menggantikan kepimpinan yang lebih dinamik? Sejarah akan membuktikan. Kita mentafsir daripada tingkahlaku pemimpin dan pengikut dalam menentukan keputusan mereka.

Perjuangan untuk menegakkan ’Daulah Islamiah’ semakin sempit dan seakan tidak realistik lagi jika PAS berada di dalam kerajaan PR, kerajaan BN ataupun kerajaan komponen parti yang baru. PAS terpaksa mengurangkan keinginan untuk menegakkan `Daulah Islamiah’ secara mentafsir semula istilah-istilah yang wujud dalam perlembagaan dan siasah syariah. Semua ini boleh dibuat dan dilakukan kerana ramai cendiakawan-cendiakawan Islam tradisi dan kontemporori memberikan pandangan yang membenarkan wujud kerjasama ini demi maslahat ummah. Konsep `maqasiq syariah’ akan terus berbuih bagi memberikan kefahaman keperluan setiap tindakan pimpinan.

PAS memang tidak boleh memerintah sendiri tanpa kerjasama dengan lain-lain parti. Ini realiti politik tanahair berdasarkan pemecahan kawasan pilihanraya. Setiap parti di Malaysia mempunyai peluang untuk menguasai kerajaan hanya melalui kerjasama dengan parti lain. Inilah sistem yang ditinggalkan oleh penjajah British bagi memastikan kuasa politik tidak berada pada satu kaum sahaja. Ironinya, selepas merdeka, SPR meneruskan dasar itu sehinggalah negeri orang Melayu seperti Kelantan dan Terengganu tidak mendapat pertambahan kerusi parlimen. SPR yang menjadi `tunggul kayu’ UMNO berkira bahawa kawasan MCA, MIC dan Gerakan akan menjadi sumber sokongan kepada UMNO. Pilihanraya yang lalu membuktikan, andaian itu salah. Melayu sekali lagi menjadi penyelamat nyawa UMNO.

Ahli dan penyokong PAS tentu akan terkejut dan bingung jika pemimpin mereka membuat keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan. Politik PKR masih belum dapat ditelaah walaupun rekod kepimpinan Anwar Ibrahim boleh dinilai. Begitu juga politik DAP. DAP terus komited dalam perjuangannya menuntut kesamarataan kaum. Semua istilah politik ini hanya retorik semata-mata sehinggalah ia benar-benar diwujudkan. Rousseou mengemukakan `kebebasan hak asasi manusia’ sebagai cara untuk menterjemahkan sikap peribadinya terhadap kerajaan masa itu. Sebagaimana Lenin, menggunakan idea Karl Marx semata-mata untuk mempengaruhi rakyat bersama-sama beliau dalam Revolusi Bolsevick. Lawrence of Arabia meniupkan semangat kebangsaan di kalangan qabilah Badwi Arab untuk menentang dominasi Turki di semenanjung Arab adalah bertujuan untuk menghancurkan kuasa khalifah Othmaniah. Akhirnya, sesama Islam berperang dengan kalimah `Allah Akbar!’ Begitulah anarki politik berlaku jika pemimpin hilang kawalan. Keadaan ini seperti sudah ada bau-bau akan berlaku di tanahair.

Ahli dan penyokong PAS tentu akan bingung jika dalam masa terdekat ini kerajaan BN akan tumbang. Apatah lagi ahli dan penyokong UMNO – tentu gila sakan mereka jadinya. Bertahun-tahun hidup sebagai kerajaan atau sebagai pembangkang tiba-tiba berubah posisi. Ini mengejutkan. Akan berlakulah beberapa keanehan kepada pemimpin dan ahli parti politik. Yang tak pernah berkereta mewah – terpaksa berlagak mewah. Cerita Ali Baba dan 40 Penyamun karya P. Ramlee boleh membayangkan gambaran itu. Berlatihlah berjalan sebagai orang kaya baru! Berlatih menjadi pemimpin baru.

Manakala pemimpin yang biasa mewah – terpaksa berkain pelekat, bergaul kembali dengan orang kampong demi meneruskan survival politik mereka. Ini akan mewujudkan anarki. Rakyat pastinya akan kebingungan sehingga mereka tak berapa kisah kalau harga beras dan petrol naik.
Bersiap siagalah kaliah di tanahair!

No comments: