...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday 2 December 2007

E-mail & E-group: Ukuran Kebebalan Sang Intelektual

Ada dua perkara yang aku nak cakap; bebal dan teknologi komunikasi. Arwah Prof. Hussin al Attas pernah menyuarakan konsep bebalisme dan prof. kangkung pada suatu ketika dulu. Dan aku cuba mengaitkan dengan perkembangan teknologi komunikasi yang popular; email dan e group.
Antara cara manusia di UK berhubung sesama kawan-kawannya adalah melalui yahoo group ataupun e mail. Penggunaan e-mail sudah seperti sms. Hampir tiap hari perlu tengok e-mail. Aku? Entahlah kadangkala menjemukan membuka dan membaca email. Jemu kerana isunya lebih merangsang emosi daripada untuk membina fikiran. Barangkali e-mail dijadikan suatu medan meluahkan kebosanan dan kebodohan sendiri. Maafkan, jika aku tak membuka e-mail terutama melihatkan tajuk-tajuk yang mengundang spekulasi jumud. Biarpun, e-mail itu datangnya daripada barisan hadapan para intelektual negara.
Biar kita bercakap tentang persepsi sendiri. Biar kita berhujah pada sandaran akal fikiran kita. Biar kita begitu daripada bercakap tentang sesuatu yang membuang waktu. Kerana masing-masing memiliki pendirian dan persepsi, seharusnya inilah yang perlu kita bina. Persepsi dan tanggapan yang saling berhujah akan membenihkan intelektual yang berkualiti dan beridentiti. Memang kita tak perlu mendabik dada sebagai sang intelektual tapi hakikatnya secara mudah barangsiapa yang belajar di universiti, situlah ukuran pada keintelektualan bermula. Mungkin yang membezakannya adalah tahap keintelektualannya. Mungkin ada yang tinggi dan mungkin juga yang rendah. Ini semua bergantung bagaimana seseorang itu menaakul, mentafsir dan menganalsis sesuatu.
Ada yang berfikir, isu politik satu racun dalam fikiran masyarakat. Jangan sebut soal politik dalam e-mail atau e-group. Ia seperti satu kelucahan yang melampau. Tapi kadangkala yang lucunya, isu-isu lucah atau semi lucah boleh diterima. Alangkah naifnya mereka ini! Begitulah politifobia yang diwujudkan pada sarang fikiran sesetengah manusia. Terlalu cepat latahnya sehingga membiarkan dirinya terlepas daripada kawalan.
Bercakap soal politik bukan bermakna bercakap soal kepartian. Meskipun kadangkala kita tak dapat memisahkan soal kepartian kerana politik itu sendiri bersifat kepartian - fragmental. Berpisah, berpecah untuk mewujudkan kesepakatan, kesefahaman dan kesatuan. Ahhh...terlalu falsafah dan idealistik! Tidak.
Bukan bila bercakap soal bersatu - orang Melayu PAS dan UMNO perlu bersatu, tak. Cina, India dan Melayu perlu ketepikan soal perkauman. Tak begitu. Islam, Kristian, Buddha, Hindu dll perlu toleransi. Tak. Itu soal lain. Soal bersatu pada aku adalah soal asas dalam kehidupan. Kita tidak boleh membuang garis pemisah biologi dan geografi yang sedia ada. Ia bukan sekadar satu tinggalan sejarah tapi suatu fitrah. Al Quran ada menyebutkan tentang diciptakan manusia yang berbilang bangsa untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain. Dan diakhiri frasa itu dengan harapan Allah s.w.t. agar kita menjadi orang yang beriman.
Pada aku bersatu adalah membawa maksud bersatu untuk memahami fitrah alam yang dijadikan Tuhan. Meskipun akan wujud kepelbagaian pandangan dan pendpat - itu juga suatu fitrah ke arah mencari kebenaran. Yang penting perlu wujud medan untuk menyuburkan pertentangan pendapat. Dalam mempertahankan pandangan dan persepsi, penggunaan kuasa seharusnya ditangguhkan. Hujah lawan dengan hujah. Tapi jika hujah lawan lokap atau ISA, susahlah
Aku mungkin lebih bertendensi pada soal politik kerana ia sekdar gambaran dari suatu posisi aku berdiri. Banyak petak-petak yang perlu kita melangkah dan berlari untuk berdiri. Jangan mengurung diri pada petak yang sempit itu. Oleh itu, seharusnya teknologi komunikasi menjadi pemangkin kepada pembinaan intelektual bukan menjadi media yang mempamerkan kebebalan sendiri.
Aku sedang melakarkan petak mana harus aku berdiri selepas ini!

No comments: