...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday 5 February 2007

Malangnya Kerana Aku Melayu

Sajak ini aku tulis selepas aku mendengar secubit daripada keluhan seorang anak estet yang beberapa keturunannya dilahirkan di tanah ladang salah sebuah daerah di Kedah. Kini anak muda itu berhijrah di Wigon, England. - barangkali mencari kehidupan baru di bumi asing yagn lebih simpati daripada bumi sendiri - hujan batu bertalu-talu. Kebetulannya saya ziarah menyimpul salam persaudaraan. Ceritanya memang mengasyikkan tapi menyedihkan. Mudah sahaja ceritanya. Dia dan keluarganya diusir keluar dari tanah pusaka dan kini tinggal menyewa di Sungai Bakap - satu lagi daerah orang Melayu terpinggir di negeri yang maju. Diusir atas nama pembangunan dan kemajuan. Ada banyak lagi cerita yang sama dari orang yang berbeza. Yang samanya adalah mereka yang mengaku sebangsa dengan sang penguasa negara!


Malangnya Kerana Aku Melayu

Kerana aku Melayu
Aku terus malu untuk bersuara
jauh lebih daripada yang ada
berpada apa yang ada
memandang penuh ikhlas pada yang lepas dan terlepas

Kerana aku Melayu
ayat-ayat pada kitab perlembagaan negara
yang kononnya memberi hak untuk
kalian anak cucu Demang Lebar Daun mendapat apa yang disebut
sebagai biasiswa hanya cerita tawarikh yang tercatat
pada buku kebanggan negara

Kerana aku Melayu
Tanah aku semakin hari semakin menyempit
tidak lagi seluas seperti kangkang si kera di hutan
airnya pun semakin hitam
sesekali tak upaya membasuh merah darahku
yang mengalir di celah kelopak mata

Kerana aku Melayu
Aku semakin tidak berkuasa
untuk bersuara dan mengorak langkah
duduk membeku
diam kematu
menunggu sesuatu daripada langit
jika ada rezeki secupak
menggunung harap

Kerana aku Melayu
terluka dan terluka
berhari-hari pada bahasa sendiri
yang sukar diungkap
yang payah ditangkap

Kerana aku Melayu
terus mengaku Melayu
tidak malu menjadi Melayu
enggan lari dari Melayu
biar sekian lamanya Melayu
itu sekadar satu bangsa
yang megah pada nama
mekar pada suara
tapi lemah pada yang berkuasa
enggan melawan
pantang derhaka
meski merah darah mengalir
air mata telah kering
jerit sakit hilang tenggelam
pada ayat dan langkah yang melukakan




Sajak ini belum siap. Jadi tunggu lah.

No comments: