...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday 11 October 2008

Belajar Menjadi Pemimpin

1. Datang belajar di UK, memanglah tak sama belajar di tanahair walaupun 'benda' yang dipelajari lebih kurang begitu. Tak sama kerana persekitaran, budaya dan sistem kehidupan di sini seperti merangsang proses pembelajaran dan pemikiran. Yang utamanya apabila berada jauh dari tanahair sendiri telah menjadikan kita lebih bersungguh-sungguh. Kita jadi pedagang. Maka hidup sebagai pedagang. Pedagang memang sifatnya bersungguh-sungguh.


2. London dan juga di kota-kota lain di UK mempunyai universiti yang tidak sekadar melahirkan intelektual ataupun teknokrat tetapi juga melahirkan pemimpin yang berkaliber. Kebanyakan pemimpin utama di UK pernah mendapat pendidikan samada University of Oxford ataupun Cambrige. Tony Blair adalah lulusan Oxford dan David Cameron yang dikatakan bakal menjadi PM Britain akan datang juga dari tempat yang sama. Seperti telah menjadi sebahagian daripada tradisi universiti di sini menganjurkan kebebasan berkarya dan berfikir. Pelajarnya diasuh dan dibentuk supaya menghargai kebebasan berfikir sehingga secara ekstrimnya mereka menolak sesuatu yang di luar rasional termasuklah agama. Pendekatan ini telah dimulakan sejak daripada kecil hinggalah ke peringkat universiti. Maka terbentuklah masyarakat yang sekular dan terasing jauh daripada kehidupan beragama. Akhirnya, sekular dan sains menjadi ‚agama baru’ kepada masyarakat yang berpegang pada rasionalsm.

3. Universiti-universiti di sini mempunyai koleksi tulisan yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan masa. Sebagai sebuah negara penjajah, kerajaan kolonial ini telah menghantar pegawai-pegawainya ke tanah jajahannya bukan sekadar pegawai biasa tetapi juga seorang diplomat dan intelektual yang hebat. Mereka membuat catatan sewaktu berkhidmat di tanah jajahan dan dibukukan dan dijadikan bahan rujukan kepada masyarakat dan generasi akan datang. Stamford Raffles, Frank Swetthenham dan lain-lain pegawai British di Tanah Melayu datang bukan sekadar pegawai tetapi datang sebagai penyelidik. Kini, buku-buku mereka menjadi rujukan para pelajar dari seluruh pelusuk dunia termasuk pelajar daripada Malaysia sendiri.

4. Lawrance of Arabia, seorang diplomat dan perisik British yang dihantar ke Arab yang menjadi penghasut kepada gerakan menentang Othmaniah oleh pemimpin Arab telah menulis buku `The Seven Pillars of Wisdom’ . Buku itu menjadi rujukan utama kepada para tentera British yang dihantar ke Timur Tengah. Saya tak pasti berapa banyak pegawai diplomat Malaysia yang menghasil buku pengalaman mereka untuk dibaca oleh rakyat Malaysia.

5. Marx yang berasal dari Jerman telah menghabiskan masanya untuk menelaah tentang sejarah dunia di Library Museum of London sehinggalah menghasilkan buku `Das Capital’ yang menjadi rujukan gerakan Komunisme seluruh dunia. Di sini Marx mendapat pelbagai maklumat dan idea untuk membangunkan hepothesisnya tentang ketidakadilan dan pembentukan masyarakat yang lebih adil. Pebagai aliran pemikiran dan falsafah yang berpusat di London. Keadaan ini sebenarnya menambahkan kematangan seseorang untuk memahami dan mencari sesuatu yang dijadikan sandaran kepada perjuangan mereka. Sekali pandang mungkin ia banyak membawa kekeliruan tetapi jalan kebenaran harus dimulakan dengan pelbagai kekeliruan dan ketidakfahaman.

6. Tun Abdul Razak Hussein sewaktu di London juga menganggotai Parti Buruh British bagi mengasah dan mendedahkan dunia politiknya. Bahkan ada yang menyebut beliau terpengaruh dengan kumpulan Fabian yang membawa aspirasi sosialis. Pengagihan tanah oleh Tun Razak kepada rakyat miskin di bawah program FELDA adalah salah satu program yang tercetus daripada idea sosialisme. Inilah kaedah untuk membangunkan masyarakat orang Melayu khususnya untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan yang disebabkan kekurangan modal utama; tanah.

No comments: