...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday 2 October 2008

Aidil Fitri Tanpamu.....

Aidil Fitri ini kali kedua kami beraya di UK. Beraya berjauhan daripada keluarga tersayang memang merindukan. Tapi bukanlah tidak memeriahkan, cuma sedikit kehilangan yang selama ini tidak begitu difikirkan.

Ukuran kemeriahan Aidil Fitri bukan pada hidangan makanan yang pelbagai atau hiasan rumah seperti ingin mengadakan pesta keseronokan. Kemeriahan Aidil Fitri terletak sejauhmana falsafah madrasah Ramadhan itu dapat dimanfaatkan. Tidak pada solat terawih semata atau lapar dahaga.

Raya ini, sudah sebulan lebih pemergian almarhum ayahanda kami tercinta. Pergi tak kembali. Pergi menghadap Ilahi. Baru terasa betapa hebatnya pengorbanan seorang bernama AYAH yang kupanggil BAPAK. Yang berkorban demi kelangsungan perjuangan umat. Tidak pernah kenal jemu dan putus asa demi mendidik masyarakat. Enggan mengalah meski di saat nyawa di penghujungan jalan. Mendidik diri kami menjadi insan yang berjaya dan berjasa pada perjuangan. Tidak meninggalkan seinci bendang atau tanah perladangan tetapi mewarisi kami sebuah madrasah untuk kami bangunkan demi melahirkan anakbangsa yang beradab dan berilmu. Berpengetahuan sambil berjalan sepanjang kehidupan dengan pedoman.

Saat-saat begini baru kita memahami betapa kehidupan itu mesti dimanfaatkan untuk umat. Kerana di situ ada ruang untuk kehidupan diri kita yang sebenarnya yang lebih abadi. Mengetahui tidak sama memahami. Sepertilah juga memahami juga tidaklah sehebat menghayati satu kehidupan.

Selamatlah almarhum di pusara. Dibasahi dengan air syurga. Dilindungi awan yang bertasbihan. Sinarlah kegelapan bumi dengan nurNya. Tidakkan sendiri bersemadi. Bawalah ia bersama berhimpun dengan para mursalin, solihin dan anbiya'. Ampunlah dosa al marhum, terimalah ibadahnya, terimalah doa kami, panjangkanlah belas kasihanMu Ya Rahman, Ya Rahim pada almarhum ayahanda kami.

No comments: