...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday, 30 October 2008

Melacur Cinta Tun Teja

1. Betapa hebat cinta Tun Teja kepada Hang Tuah, pemuda dari Melaka itu sehingga sanggup berputus tunang dengan Putera Mahkota Negeri Pahang Indera Mahkota, Raja Jamil. Sedang Hang Tuah tidak berharta, menumpang tinggal dengan Mak Andam yang sendiri di rumah pinggir desa.

2. Asal usul Hang Tuahpun Tun Teja tidak ketahui tapi lagak, suara dan budibahasa Hang Tuah cukup menyakinkan – itulah pemuda harapan yang mengisi sepi di hati.

3. Demi cintaku padamu, buang emak, buang saudara, tinggalkan kampong halaman, lari bersama lelaki gagah di tengah malam hari. Tun Teja tegar sekali.

4. Sesampainya di Melaka, Hang Tuah pun berkata, `Jikalau tuan hamba benar-benar cintakan hamba, berkahwinlah dengan Raja Melaka’

5. Lalu, makanlah Tun Teja sekapur sirih konon untuk hatinya hilang cinta pada Hang Tuah sambil mulutnya berkumat kamit membaca azimat cinta, `berkorban apa saja, harta ataupun nyawa….’

6. Sedang dalam firasat Hang Tuah, cinta Tun Teja akan jadi galang ganti kesetiaannya sebagai Laksamana Negeri kepada Sultan.

7. Maka bergembiralah akan Sultan Melaka beristerikan Tun Teja yang cantik jelita. Meski baginda sudah beristeri silih berganti.

8. Hang Tuah diberikan sepersalinan pakaian – berjenama antarabangsa. Kasut Clarks, Jam Rolex dan sapu tangan Voix.

9. Gembiralah Hang Tuah kerana melacurkan cinta tulus Tun Teja.

Tuesday, 28 October 2008

Berkongsi Fikir Dengan Anak Muda


1. Kini semakin kurang untuk meluangkan waktu, bertemu lutut dengan anak-anak muda. Tidak seperti dulu di tanahair. Bertapa. Uzlah. Macam begitulah kira-kiranya.


2. Bercakap tentang jiwa muda yang selalu menongkah arus, mencari dan mencipta. Memanglah menyeronokkan. Terasa semakin muda. Yang muda sahaja memasuki syurga. Alangkah bahagianya dan beruntung pemuda. Muda hanya sekali.


3. Cerita tentang cita-cita, cinta dan citra pada dunia.


4. Sembang pasal luka dan nanah bangsa. Susah anak muda yang boleh berbicara begitu melainkan asyik dengan muzik, sukan, gosip, politik, pelajaran yang membosankan.


5. Mereka anak muda sering menyimpulkan yang mudah. Tidak takut risiko. Oleh sebab itu, mereka buat apa tanpa banyak fikir. Beza orang tua. Mereka terlalu banyak fikir - sampai tak terbuat. Katanya, mereka banyak makan garam. Mereka ibarat kelapa tua. Banyak santannya. Begitulah. Lalu anak muda kekurangan garam dan tidak lemak. Setiap tindakan anak muda selalu dianggap tidak enak, kurang selesa, menganggu status quo dan .......


6. Sejarah dan pengalaman selalu mengikat pemikiran dan tindakan. Meskipun penting untuk panduan. Namun yang lebih utama adalah mencipta sejarah dan mencari pengalaman. Jangan takut.... Bukan anak muda jika tidak melakukan silap dan tiada kekurangan dalam diri mereka.


Monday, 27 October 2008

Aku Harap Benar


1. Hujung minggu ini, aku diberikan kesempatan untuk berkongsi seteguk `Socretes’s poison’ pada sekumpulan pelajar dari Bath, London, Nottingham dan Cardiff di Universiti of Cardiff. Aku percaya mereka bukan seperti penuntut ilmu yang taklid membabi buta.


2. Berkongsi cakap tentang sejarah yang dilupakan. Pencetus sejarah yang disisihkan. `HARTAL 20 Okt. 1947’.


3. Sebelum aku datang ke UK, kira-kira dua tahun lalu. Aku telah temui Pak Din Andika, seorang pejuang kemerdekaan yang mengusahakan bengkel membuat kompang dan rebana di Kg. Sayong, Kuala Kangsar.


4. Dan sempat aku beberapa minggu sebelum itu pergi menziarahi rumah Imam Majid Salleh di Kg. Sengat, Ipoh yang digenangi air setiap banjir melanda kawasan rumahnya.


5. Sewaktu aku duduk mendengar pengalaman mereka di rumah mereka ketika itu, seperti mendengar kata derita, kalimah berdarah dan bicara sengsaranya berjuang.


6. Kedua-dua itu adalah antara pejuang yang menjadi panelis dalam filem dokumentari karya Fahmi Redza, ‘10 Tahun Sebelum Merdeka’ yang memenangi Malaysian Feredom Film Festival beberapa tahun lalu.

7. Aku cuma sempat mengadakan satu pertemuan Pak Din Andika, Imam Majid Salleh dan rakan-rakannya dengan Presiden PAS, Ust. Abdul Hadi Awang di perkarangan bengkel Pak Din Andika. Sekurang-kurangnya agar PAS boleh memanjangkan riwayat perjuangan mereka di Parlimen. Sekurang-kurangnya.


8. Aku harap, kerajaan negeri Perak sekarang boleh memikirkan satu pengiktirafan kepada mereka yang telah dilupakan sejarah perjuangan mereka.


9. Aku harap benar.

Saturday, 25 October 2008

DUKLA 1944


1. DUKLA 1944 adalah merujuk satu pertempuran antara Nazi Jerman dengan rakyat Chezh yang dibantu Stalin Rusia pada Sept – Okt. 1944 yang melibatkan tentera sebanyak 70 ribu.


2. Dukla Pass terletak di sempadan Poland dan Slovakia merupakan sempadan antara dua kuasa besar ketika itu; Nazi Jerman dan Stalin Rusia.

3. Apabila dua gajah bertempur, kancil yang tersepit! Dua kuasa besar berperang, rakyat biasalah yang menjadi bahan korbannya.

4. Ketika itu, wilayah Chezh menjadi rebutan antara kedua-dua kuasa besar dunia. Akhirnya, kawasan tersebutlah yang menjadi lembah kematian kerana angka yang terkorban peperangan yang sangat tinggi sepanjang Perang Dunia Ke2. Stalin tidak mati di medan pertempuran sebagaimana Hitler hidup berkuasa. Rakyat yang kelaparan dan menderita.

5. Peperangan itu memusnahkan. Tetapi kita perlukan peperangan demi membunuh peperangan! Tiada perdamaian tanpa peperangan.

Wednesday, 22 October 2008

Bercakap Pasal Che' Guevara

1. Apabila bertemu dengan khalayak pelajar Medic, aku tidak akan lepaskan cerita tentang Ernesto Che' Guevara dan Jose Rizal. Dua doktor ini tetapi pencetus revolusi yang menyedarkan rakyat Amerika Latin, Asia dan juga dunia.



2. Bertemu dengan pelajar Medic Universiti of Charles di Prague - berkongsi cerita dengan mereka.



3. Aku dihampiri oleh salah seorang di kalangan mereka selepas bercakap sepatah kata. Khabarnya dia mengikuti pemikiran dan perjuangan ikon anak muda itu.



4. Ada yang tidak tahu, Che Guevara adalah seorang pejuang, revolusioner. Dia bukan penyanyi atau pemuzik.

Bukalah Pintu Kebenaran!

1. Hujung minggu lepas ke Prague, Czech Republic yang dulunya sebuah negara komunis. Kini dikhabarkan rakyatnya menikmati erti demokrasi dan kebebasan yang kononnya dulu tiada. Belum sempat untuk membezakan antara kesan tinggalan pemerintahan feudal Bohemian Empayar, Komunisme dan juga sekarang.
2. Kita perlu buka pintu itu untuk mendapatkan semuanya. Jangan baca akhbar atau buku semata. Apatah lagi sekadar menadah telinga buta ini!
3. Tapi yang pastinya, aku sudah ada idea untuk kupasakkan pada lantai bumi ini.

4. Bukankah manusia itu sentiasa cuba menguasai manusia lain? Atau manusia itu sekadar berdiam diri untuk dikuasai dan langsung menjadi hamba?

5. Bukakanlah pintu itu! Atau aku sendiri yang perlu membukanya?

Saturday, 11 October 2008

Belajar Menjadi Pemimpin

1. Datang belajar di UK, memanglah tak sama belajar di tanahair walaupun 'benda' yang dipelajari lebih kurang begitu. Tak sama kerana persekitaran, budaya dan sistem kehidupan di sini seperti merangsang proses pembelajaran dan pemikiran. Yang utamanya apabila berada jauh dari tanahair sendiri telah menjadikan kita lebih bersungguh-sungguh. Kita jadi pedagang. Maka hidup sebagai pedagang. Pedagang memang sifatnya bersungguh-sungguh.


2. London dan juga di kota-kota lain di UK mempunyai universiti yang tidak sekadar melahirkan intelektual ataupun teknokrat tetapi juga melahirkan pemimpin yang berkaliber. Kebanyakan pemimpin utama di UK pernah mendapat pendidikan samada University of Oxford ataupun Cambrige. Tony Blair adalah lulusan Oxford dan David Cameron yang dikatakan bakal menjadi PM Britain akan datang juga dari tempat yang sama. Seperti telah menjadi sebahagian daripada tradisi universiti di sini menganjurkan kebebasan berkarya dan berfikir. Pelajarnya diasuh dan dibentuk supaya menghargai kebebasan berfikir sehingga secara ekstrimnya mereka menolak sesuatu yang di luar rasional termasuklah agama. Pendekatan ini telah dimulakan sejak daripada kecil hinggalah ke peringkat universiti. Maka terbentuklah masyarakat yang sekular dan terasing jauh daripada kehidupan beragama. Akhirnya, sekular dan sains menjadi ‚agama baru’ kepada masyarakat yang berpegang pada rasionalsm.

3. Universiti-universiti di sini mempunyai koleksi tulisan yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan masa. Sebagai sebuah negara penjajah, kerajaan kolonial ini telah menghantar pegawai-pegawainya ke tanah jajahannya bukan sekadar pegawai biasa tetapi juga seorang diplomat dan intelektual yang hebat. Mereka membuat catatan sewaktu berkhidmat di tanah jajahan dan dibukukan dan dijadikan bahan rujukan kepada masyarakat dan generasi akan datang. Stamford Raffles, Frank Swetthenham dan lain-lain pegawai British di Tanah Melayu datang bukan sekadar pegawai tetapi datang sebagai penyelidik. Kini, buku-buku mereka menjadi rujukan para pelajar dari seluruh pelusuk dunia termasuk pelajar daripada Malaysia sendiri.

4. Lawrance of Arabia, seorang diplomat dan perisik British yang dihantar ke Arab yang menjadi penghasut kepada gerakan menentang Othmaniah oleh pemimpin Arab telah menulis buku `The Seven Pillars of Wisdom’ . Buku itu menjadi rujukan utama kepada para tentera British yang dihantar ke Timur Tengah. Saya tak pasti berapa banyak pegawai diplomat Malaysia yang menghasil buku pengalaman mereka untuk dibaca oleh rakyat Malaysia.

5. Marx yang berasal dari Jerman telah menghabiskan masanya untuk menelaah tentang sejarah dunia di Library Museum of London sehinggalah menghasilkan buku `Das Capital’ yang menjadi rujukan gerakan Komunisme seluruh dunia. Di sini Marx mendapat pelbagai maklumat dan idea untuk membangunkan hepothesisnya tentang ketidakadilan dan pembentukan masyarakat yang lebih adil. Pebagai aliran pemikiran dan falsafah yang berpusat di London. Keadaan ini sebenarnya menambahkan kematangan seseorang untuk memahami dan mencari sesuatu yang dijadikan sandaran kepada perjuangan mereka. Sekali pandang mungkin ia banyak membawa kekeliruan tetapi jalan kebenaran harus dimulakan dengan pelbagai kekeliruan dan ketidakfahaman.

6. Tun Abdul Razak Hussein sewaktu di London juga menganggotai Parti Buruh British bagi mengasah dan mendedahkan dunia politiknya. Bahkan ada yang menyebut beliau terpengaruh dengan kumpulan Fabian yang membawa aspirasi sosialis. Pengagihan tanah oleh Tun Razak kepada rakyat miskin di bawah program FELDA adalah salah satu program yang tercetus daripada idea sosialisme. Inilah kaedah untuk membangunkan masyarakat orang Melayu khususnya untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan yang disebabkan kekurangan modal utama; tanah.