...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday, 28 November 2008

Last Warning!

1. Kepada sesiapa yang berkenaan. Jangan jadikan blog aku laman iklan yang bukan-bukan. Siapapun tak mahu menjadi penyambung mungkar dan fitnah.

2. Mentaliti mengambil kesempatan adalah politik jahat yang perlu dihentikan.

3. Untuk itu, ruangan shoutbox aku hentikan.

4. Jika berminat untuk komen, sila isi ruang yang disediakan.

5. Terima kasih.

Tuesday, 25 November 2008

Perjuangan Papan Tanda

1. Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan pelbagai bahasa untuk papan tanda - heboh satudunia. Kerajaan Perak menarik balik cadangan hendak menggantikan Jalan Silibin kepada Jalan P. Patto. Dulu kerajaan Perak juga pernah menarik balik nama satu jalan yang diganti kepada Jalan Tabung Haji. Sekarang di KLIA ada juga tempat-tempat pelancongan, papan tanda ditulis dengan pelbagai bahasa.

2. Semasa gerakan mahasiswa universiti hebat, mahasiswa telah menconteng papan tanda yang tidak selaras dengan roh kemerdekaan dan bahasa kebangsaan.

3. Apakah sekarang kita terperangkap dengan perjuangan papan tanda? Jika kita benar memperjuangkan bahasa, silakan. Namun, apa yang aku lihat pada hari ini, ramai yang berjuang seperti papan tanda, sekadar satu lambang perjuangan untuk dilihat oleh masyarakat.

4. Yang anehnya, masyarakat tetap sesat mencari jalan kebenaran. Masih tidak memahami panduan yang diberikan. Masyarakat asyik bergantung kepada ahli politik papan tanda ataupun ahli perniagaan yang hebat iklannya. Ramai memperjuangkan slogan. Jual iklan. Janji manis. Manifesto berjilid-jilid.

5. Masyarakat, rakyat, kamu dan aku tidak boleh bergayut pada papan tanda yang beraneka warna dan slogan yang hebat.

Monday, 24 November 2008

PAFA: Bola dan Bulan


1. Tahniahlah kepada barisan kepimpinan baru PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) yang kini diketuai YAB. Dato' Seri Ir. Hj. Nizar Jamaluddin dan dibantu beberapa pimpinan PR dan ahli majlis lain.

2. Dari segi politiknya, memang patut orang politik ambil alih kepimpinan PAFA. Aku tengok nama-nama yang menang di peringkat daerahpun kebanyakan adalah pemimpin politik juga - samada kiri ataupun kanan.

3. Orang sukan atau kaki bola hanya pandai bermain bola, gelecik bola dan jaring gol. Sayangnya tidak ramai yang boleh mengawal permainan bola di luar stadium. Inilah masalah ahli sukan kita. Mereka hero di padang sahaja.

4. Aku teringat bagaimana Michael Platini (Perancis), Frank Beckenbauer (Jerman) dan sebagainya pemain di Barat (negara maju bolasepak) yang menguasai FIFA dan Kesatuan Bolasepak Eropah. Orang politik terpaksa akur permainan politik ahli sukan. Ini terbalik di Malaysia. Segala-galanya diserahkan kepada ahli politik.

5. Sekali lagi aku bilang - aku sokong ahli politik kawal semuanya untuk penguasaan politik masa hadapan. Demi survival politik.

6. Tapi belum tentu pada bidang sukan.

7. Teringat pula pada lagenda Syed Ahmad dan Ghani Minhat (gambar di atas). Di manakah mereka?

Sunday, 23 November 2008

Yoga: Fatwa dan Fakta

1. Pengharaman Yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini tidak menghairankan langsung. Memang wajar haram yang tersedia haram.

2. Tapi yang lurus bendulnya, ada yang keciwa tentang pengharaman itu. Haram yoga itu ada syaratnya. Jika ia ada kaitan dengan mantera dan aktiviti yang syirik. Jika tidak, Fatwa itu kata tak masalah.

3. Ramai yang tak baca Fakta. Yang dibaca Fatwa selapis.

4. Ada pula yang sibuk suruh Majlis Fatwa buat fatwa lain yang lebih utama - macam ISA ke, rasuah politik ke........

5. Laaaa, ini Fatwa Kebangsaan. Bukan Fatwa Pujangga.

6. Carilah idea lain.

Anjing dan Babi Juga Mulia

1. Heboh soal Kerajaan PR nak buat kilang memproses babi. Dulupun heboh juga. Tapi aku kesian kat babi itu. Binatang itupun hendak hidup. Kita sudah ditanamkan dalam fikiran tentang `keburukan' dua makhluk Allah yang tak berdosa ini; Anjing dan Babi.

2. Allah mengharamkan kita memakan babi dan anjing - itu adalah perintah Allah yang tiada kaitan untuk kita membenci binatang itu. Aku teringat masa kanak-kanak dulu, ada riwayat yang memberitahu, kalau bunuh cicak malam Jumaat, dapat pahala. Sibuklah kita membunuh cicak kat masjid daripada bersembahyang terawih berjamaah. (Aku ingat, diaorang nak pekena kami supaya tidak main mercun masa sembahyang). Ralit.

3. Di UK dan negara-negara Barat, kedua-dua binatang itu amat dihargai dan disayangi.

4. Silaplah kalau nak maki orang, kita sebut 'anjing' atau 'babi'. Sebab itu adalah binatang yang rapat dengan kehidupan mereka. Anjing mengisi kesepian orang. Yang setia menemani dan menjaga keselamatan tuannya. Babi sangat produktif, memberikan sumber makanan kepada mereka.

5. Yang hina sebenarnya perangai manusia yang macam anjing dan babi. Kerana manusia bukan anjing dan babi, maka oleh sebab itu manusia wajar bertindak dan berfikir secara manusiawi. Sekarang berapa banyak pemimpin yang menjadi anjing dan babi?

6. Aku pernah buat sajak sebelum PRU 12, Deklarasi Sang Anjing. Tak tersiar kat mana-mana cuma sempat aku baca kat Dublin.

Saturday, 22 November 2008

Menyambut Tangan Yang Memimpin dan Dipimpin

1. Kepimpinan bukan soal kedudukan, walaupun itulah yang difikirkan selalunya. Apabila bertanding di dalam PRU atau pemilihan parti atau pertubuhan, alasannya jawatan itu akan memudahkan misi perjuangan dilaksanakan. Itu separuh benar.

2. Kepimpinan bukan soal kemahiran atau bakat kebolehan, walaupun memang itu satu keperluan.

3. Kepimpinan adalah satu hubungan antara yang memimpin dan yang dipimpin. Hal ini tidak sukar sebelum berkuasa. Tetapi selepas berkuasa, ia sebenarnya agak sukar.

4. Kesukaran itu wujud kerana pemimpin akan menghadapi 1001 hubungan lain dan terpaksa membuka laluan kepada mereka yang sebelum ini tiada hubungan. Ini yang menyebabkan timbulnya, habis manis, sepah dibuang atau kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.......

5. Inilah yang kadangkala, pengikut tidak faham dan keciwa kepada pemimpin mereka. Hal ini jika berlaku akan menyebabkan sokongan terhadap kepimpinan akan merosot dan boleh menjejaskan kredibiti pemimpin itu sendiri.

6. Oleh itu, perhubungan pemimpin dengan pengikut mestilah dinamik. Segala strategi, skill, kaedah ataupun tindakan pemimpin akan sia-sia jika tidak wujudnya hubungan dan persefahaman yang baik.

7. Aku bercakap soal pemimpin Pakatan Rakyat yang hari-hari dihakiskan keyakinan kepimpinan mereka samada melalui serangan musuh mereka ataupun kealpaan pemimpin itu sendiri. Dan satu perkara lagi, keyakinan itu dihakis akibat daripada kematangan pengikut itu sendiri memahami erti kepimpinan. Ingat, Ceaser digulingkan oleh pengikut setianya - Brutus.

Thursday, 20 November 2008

Apa Sudah Jadi?

1. Kawan aku beritahu, tengok TV3. Cerita tentang MB Kedah yang.......

2. Soal itu betul atau tidak, bukan penting. TV3 ada peranannya sendiri. Seperti bloggers pada hari ini, wilayah pengaruh mereka sudah semakin luas.

3. Kalah Ketua Cawangan atau Bahagian yang hanya bermodalkan politik wang atau ayat-ayat suci al Quran jika bertanding dengan blogger kecil-kecilan.

4. Menjadi pemimpin yang mahu mendengar dan menghargai suara rakyat dan pengikut sebenarnya sukar. Terlalu sukar bila sudah berkuasa.

5. Tetapi kata Max De Pree, `The first responsibility of a leader is to define reality. The last is to say thank you'.

6. Para pemimpin dan pengikut perlu berhati-hati antara idealisme perjuangan dengan realiti yang ada.

7. Bukankah hikmah itu adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh umat? Jika temui, ambillah.