...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday 7 October 2007

Pertahankan Kubu Terakhir Melayu


BERNAMA melaporkan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin berkata, program-program pembangunan bidang pertanian dan penternakan akan diberikan tumpuan oleh Risda dan Felcra dalam usaha menjayakan pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) nanti dalam usaha meningkatkan pendapatan pekebun dan petani di kawasan terbabit.

Ya…ini satu lagi pembangunan kerajaan BN untuk rakyat! Siapa yang tak mau pembangunan? Menurut Timbalan PM, pembangunan ECER yang meliputi Terengganu, Kelantan, Pahang dan daerah Mersing di Johor akan merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara negeri-negeri itu dengan kawasan Pantai Barat Semenanjung.
Hebat! Tentu rakyat di Pantai Timur tak mahu ketinggalan di belakang negeri-negeri di sebelah Pantai Barat. Mereka pasti mahukan pertumbuhan ekonomi yang sama dan setaraf.
Jika kenyataan-kenyataan itu dipegang sepenuhnya, menurut Siasah, menjelang perasmian ECER bulan ini, rakyat di Pantai Timur bolehlah berkira-kira untuk memetik bulan dan bintang.
Tetapi, berapa ramaikah orang-orang Melayu Pantai Timur yang sedar dan tahu bahawa antara perancangan utama ECER ialah pengambilalihan 66,736 km persegi tanah rezab Melayu yang merupakan 40 peratus kawasan ECER? Sebuah badan yang didakwa badan amanah akan ditubuhkan.
Blogger Maverick SM (maverickysm.blogspot.com - Cakap Tak Serupa Bikin) adalah orang yang pertama yang dikesan melahirkan kecurigaan terhadap selera besar di sebalik gagasan ECER itu.
Siasah membangkitkan, pemilik-pemilik tanah rezab Melayu tersebut hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, pemilik menukarkan tanah mereka dengan unit-unit saham dalam amanah tersebut. Kedua, menjual terus tanah mereka kepada amanah itu. Pilihan maut!
Memang benar ECER akan diuruskan oleh Petronas, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Tetapi, saham GLC juga boleh dimiliki oleh syarikat asing, terutama syarikat-syarikat dari Singapura yang mengamuk seperti singa kebulur untuk menelan syarikat-syarikat dalam negara ini. Contohnya, lima peratus saham TM Holdings pernah dijual kepada sayap pelaburan strategik Singapura, Temasek Holdings.
Adakah mereka tidak risau apa akan terjadi kepada badan amanah yang akan mengambilalih 66,736 km persegi tanah rezab Melayu itu jika tiba-tiba syarikat asing termasuk dari Singapura mempunyai pengaruh yang besar ke atas Petronas yang menguruskan ECER?
Persolannya, sebesar mana sahaja suara badan amanah itu jika syarikat asing mempunyai pengaruh yang besar dan tak terlawan? Banyak bukti boleh menyokong kekuatiran ini.
Kedah dan Perlis sudah disiytiharkan sebahagian dari Koridor Utara. Korporat yang menguruskan Koridor Utara ialah Sime Darby. Sime Darby semakin muktamad ditelan oleh Synergy Drive. Bagaimana kalau satu hari nanti Synergy Drive ditelan oleh sang bulur dari luar?
Persoalan yang lebih besar untuk difikirkan ialah apa akan terjadi kepada kubu terakhir orang-orang Melayu? Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ialah kubu terakhir orang-orang Melayu. Lebih tepat lagi, tanah-tanah rezab Melayu walau di mana pun, adalah kubu terakhir orang-orang Melayu dari segi wilayah. Adakah kita mahu menjadi penonton sahaja kepada keruntuhan kubu terakhir Melayu di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi di tanah-tanah rezab Melayu?

Ini bukan soal perkauman. Mempertahankan kepentingan bangsa sendiri, selagi tidak merampas dan menyamun hak bangsa lain, tidak sepatutnya menjadi satu kesalahan. Lebih dari itu, adakah bangsa-bangsa lain dalam negara ini akan hidup senang-lenang, mewah dan makmur jika orang-orang Melayu akhirnya miskin, merempat dan mengakibatkan pelbagai gejala sosial?
(disesuaikan dari sumber asal)

No comments: