...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 16 October 2007

Aidil Fitri: Perayaan Tradisi Atau Sambutan Fitrah Diri?

Setiap kali perayaan Aidil Fitri bermula – biasanya ia akan dimulai dengan agenda kapitalis. Seluruh gedung akan membuat promosi jualan hebat – harga luar biasa – potongan yang istemewa dan pelbagai tawaran yang menikam sukma pengguna. Belumpun Ramadhan bermula, tawaran daripada kapitalis lebih awal sampai pada halwa telinga.

Musim inilah para peniaga mengaut untung yang berlipat ganda daripada nafsu makan dan perhiasan yang meningkat secara luar biasa. Tiba-tiba sahaja pasar ramadhan timbul merata-rata bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tiba-tiba sahaja pelbagai jenis makanan dan minuman yang menyelerakan. Selera membeli. Selepas membeli, tidak semua makanan dijamah. Puas membeli. Kenyang membeli. Penat membeli. Begitulah adanya.

Biasanya Aidil Fitri dalam tradisi kita sering dikaitkan dengan masakan tradisi, lagu Sanisah Huri, Saloma atau P. Ramli. Dan bila bertakbir – takbir Melayulah yang cukup menghiris memori lama.

Balik kampong memang tradisi yang baik. Bertemu dan menziarahi ahli keluarga yang lama ditinggalkan. Kesunyian dan kesepian orang kampong terisi biarpun untuk setahun hanya sekali. Kerana itu, bila tiba hari raya – ketiadaan ahli keluarga amat dirasai. Terlalu sentimental untuk dirasainya. Air mata mengalir mengenangkan anak yang jauh di perantauan.

Ketupat, lemang, lontong, rendang, ketupat – masakan tradisi tiba-tiba sahaja cukup menyelerakan. Biarpun di perantauan – jauh dari bendang, serai dan pokok kelapa di kampong - kami tidak pernah lupa untuk membuat makanan tradisi itu. Inilah makanan yang membuktikan perayaan Aidil Fitri diraikan dengan penuh makna. Pergilah ke mana jua majlis hari terbuka – Cardiff, Lampeter, ataupun ke Birmingham, Manchester atau Dublin – menunya tetap sama seperti di Swansea – seperti di Teluk Intan ataupun di Kota Bharu.

Samalah juga hidangan telinga – lagu Dendang Perantau oleh P. Ramlee seperti tidak pernah luput dalam ingatan orang Melayu yang hendak berhari raya. Tambahan pula lagu Satu Hari oleh M. Nasir dan beberapa lagu lain mula mengusik ingatan. Makanlah dengan menikmati lagu raya – pasti terusik jiwa kita pada hari raya – terusik pada memori silam pada keluarga dan sahabat handai.

Tiba-tiba sahaja kita begitu akrab dengan bersongkok hitam, berbaju Melayu dan bersampin songket ataupun bagi wanitanya kelihatan sopan berbaju kurung, berkebaya, berkain songket dan bertudung. Semuanya kerana ingin menyambut hari raya. Semuanya kerana hebatnya hari raya – Aidil Fitri. Semuanya ingin kembali kepada tradisi. Semua ingin mempamerkan betapa asli dan tulinnya diri ini pada tradisi sendiri.

Hakikat kejayaan menikmati keberkatan bulan Ramadhan – ibadat yang berlipat ganda dan amalan yang tak terlaksana pada bulan lain – seperti dilupakan. Kejayaan mengikat nafsu diri dan meningkatkan ketaqwaan pada Allah s.w.t. seperti berlalu begitu sahaja. Ketekunan menanti hadirnya malam seribu bulan ganjaran bagai tidak bermakna. Keinsafan pada kesengsaraan pada penderitaan dan kelaparan pada mereka yang bernasib malang hanya sementara. Kita bagai diamuk dengan rasa keghairahan pada lepas bebanan Ramadhan yang menekan. Kita bagai bebas daripada amalan yang mengikat diri sendiri.

Seribu ayat yang kunukilkan – sebenarnya hanya mempunyai satu tujuan – kita sibuk merayakan hari raya tanpa memahami hakikat dan falsafah hari raya!

No comments: