...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday, 11 December 2008

Demokrasi Yang Mengorbankan Perjuangan


1. Sewaktu aku menemubual Tun Mahathir di Menara KLCC, dia tetap mempertahankan pendiriannya bahawa demokrasi tidak sesuai di Malaysia. Demokrasi menjadikan seseorang itu tidak menjadi dirinya. Mereka berjuang untuk suara teramai. Berjuang demi popular. Demi kuasa. Demokrasi sesuai untuk memilih artis macam Mawi (itu aku cakap).

2. Demokrasi menjadikan kita takut pada perjuangan diri kita yang sebenar. Demokrasi hanya makenisme memilih pemimpin. Beratus tahun pemerintahan dan kerajaan Islam berlangsung, demokrasi terlalu sedikit sumbangannya.

3. Ada dua pandangan utama; melalui majlis syura yang dikembangkan oleh ulama sunni. Namun, kerajaan sunni kebanyakannya tidak melaksanakan pendekatan tersebut melainkan mengunakan sistem warisan ataupun feudal berkerajaan. Kedua, pandangan ulama syiah khususnya Imam Khomeini yang menyebut kerajaan Islam adalah hak wilayahtul faqeh.

3. Ada sarjana berpendapat mesyuarat adalah sebahagian ciri demokrasi. Akan tetapi mesyuarat itu sendiri bukanlah demokrasi. Demokrasi adalah pilihan daripada orang ramai. Kebenaran adalah berdasarkan majoriti. Meskipun ada ulama berpendapat, umat Islam tidak akan bersama-sama dengan kebatilan secara majoriti.

4. Keghairahan untuk memperjuangkan demokrasi boleh membawa lupa tentang perjuangan yang sebenar. Berapa banyak pemimpin Melayu, Islam atau bangsa apapun akan hilang keMelayuannya, lupus keIslamannya, larut kebangsaanya demi harga sebuah demokrasi.

5. Demokrasi hanya untuk undi. Setelah dapat undi dan kuasa. Kuasa dan demokrasi akan memerangkap diri jika tidak kuat sokongan dan dokongan daripada para pejuang yang sebenar.

6. Berjuanglah atas perjuangan yang diyakini. Demokrasi hanya kesempatan yang ada seperti belajar di atas kitab sekular yang masih ada hikmah tertinggal. Asal jangan ditinggalkan al Quran yang tak terduga hikmahnya.

Wednesday, 10 December 2008

Orang Luar, Orang Dalam

1. Sedang kempen Pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan bermula, PAS sedang mengira calon yang bakal membawa mesej parti ke Dewan Rakyat kelak.

2. Terdapat beberapa nama yang dicadangkan, antaranya Hj. Muhammad Sabu yang sudah terbukti peranannya di Parlimen sejak beberapa penggal yang lalu. Namun oleh kerana beliau adalah `orang luar', maka peluangnya mungkin agak payah berbanding dengan calon-calon yang dianggap `orang dalam'.

3. Istilah `orang dalam' atau `orang luar' dari pengalaman pilihanraya yang lalu, memang perlu diambil kira. Masyarakat kita sudah terdidik dengan makna sempit itu. Asal sahaja seseorang itu `orang dalam' atau `orang kita', sebahagian penyelesaian masalah psikologi sudah selesai.

4. Perkiraan tentang orang itu benar-benar mendalami masalah rakyat ataupun 'orangnya' sudah tidak begitu penting. Asal pemimpin itu berbangsa Melayu, kitapun berasa senang hati. Walaupun pemimpin itu sedikit benar memperjuangkan Melayu ataupun mempertahankan kepentingan Melayu. Asal saja pemimpin itu beragama Islam, kitapun berasa senang hati. Walaupun pemimpin itu jauh benar hatinya dengan Islam.

5. Kita memang selalu kalah dalam menangani persoalan mentaliti jumud orang kita terhadap istilah yang dicipta untuk melemahkan rasional dan logik akal kita.

6. Kita selalu mencipta metos dan misteri dalam hidup kita. Akhirnya sesat dan menyesatkan.

5.

Tuesday, 9 December 2008

Meraikan Hari Raya Tanpa Lemang

1. Hari raya samada Raya Puasa ataupun Raya Haji dalam konteks orang Melayu mesti dikaitkan dengan makanan tradisional, balik kampong, duit raya, baju raya dan lagu raya.

2. Rasanya tidak 'sah' kalau tiada lemang, ketupat, lontong ataupun apa-apa yang biasa dikaitkan dengan Hari Raya. Kemudian adakan majlis makan-makan yang melimpah ruah seperti kuah satay yang tak larat dimakan. Ambil cuti seminggu atau dua tiga hari adalah satu kemestian seperti menukar langsir, perabot baru sebagai agenda utama dalam menyambut hari kebesaran.

3. Tahun ini, aku tak ambil cuti. Tak balik kampong. Tiada duit raya nak diberikan. Pakai baju lama. Dan dan dan....... Waktu beginilah nak merasai pengertian Hari Raya yang sebenarnya. Lupakan bunyi meriam atau mercun. Lupakan cerita kawan-kawan lama. Lupakan hasrat nak balik kampong. Lupakan.

4. Waktu beginilah mengingati Nabi Ibrahim, Ismail dan ibunya Siti Hajar berkorban. Kisah anak-anak Nabi Adam a.s. yang menyerahkan pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Kisah Nabi dan sahabat yang berlapar sewaktu melaungkan kalimah kebesaran Allah. Kisah Salahuddin Ayub berperang membebaskan BaitulMaqdis sewaktu bulan puasa. Beginilah kisah-kisah yang selalu dilupakan dan tak terasa sewaktu meraikan hari-hari kebesaran.

5. Hari Krismas menjelang tiba. Lagu mengagungkan Jesus sentiasa berkumandang. Namun, gereja tetap sepi menjelang pagi Krismas.

Sunday, 7 December 2008

Pesanan terakhir dari Ustaz Fadzil Mohd. Noor

1. Pada perenggan kedua terakhir dari Ucapan Dasar Presiden 2002 di Muktamar di PUTIK Kelantan, al marhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor, beliau menyebut tentang peranan ulama.

2. Katanya,

` Demi menjaga imej ulama, maka saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat, dan membuat ijtihad atas perkara-perkara yang perlukan pandangan terkini, termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti memimpin masyarakat agar dapat keluar daripada kemelut kehidupan ini, dengan keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.'

3. Berapa khazanah ilmu sudah digali oleh ulama? dan berapa banyak ijtihad sudah dibuat?

4. Selepas berkuasa di beberapa buah negeri dan ada ulama yang diberikan penghormatan berkuasa dan mengelilingi orang yang berkuasa, apakah semua itu sudah terlaksana?

5. Tentu ada sesuatu yang berbeza antara ulama parti sini dengan ulama parti sana. Atau kedua-duanya sama apabila kuasa ada pada mereka?

Wednesday, 3 December 2008

Bincang Demokrasi Malaysia di Oxford

1. Kawan aku ajak ke Oxford untuk berbincang soal 'Demokrasi di Malaysia' terutama mengenai pilihanraya 2008. Dr. Birdget Welsh daripada Universiti Johns Hopkins, US datang membentangkan pemikirannya.

2. Dr. Birdget Welsh bercakap tentang PRU 12. Kekalahan teruk UMNO/BN adalah kerana hegemoni dan kesombongan UMNO, kebangkitan rasa perkauman, infomarsi alternatif, ekonomi yang slow , peningkatan kerjasama parti pembangkang, kelemahan lapisan kepimpinan baru UMNO dan rasuah.

3. Aku hanya tambah, titah raja ada harganya juga jika dibandingkan sebelumnya itu. Aku seperti menjadi patek yang setia pada raja hari itu.

4. Balik ini, aku menung sorang-sorang. Teringat satu lagi. Kenapa tak sebut rakyat Malaysia sekarang semakin bijak berpolitik. Ataupun memang masih pada takut lama.

Selamat Datang dan Selamat Tinggal

1. Minggu lepas, Hafiz yang belajar di Highmead pulang ke tanahair. Sekampung Lampeter hantar dia ke rumah aku. Kenduri mengejut rumah aku hujung minggu itu. Nasib dia baik. Walaupun terbeli tiket bas untuk travel bulan lepas, driver bas itu kasi naik bas sebab tiket flight memang sah hari itu.

2. Minggu lepas juga, bekas mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin sekeluarga datang studi kat Universiti Lampeter. Kenal dari jauh.

3. Dua minggu lagi, kawan-kawan aku nak datang ke UK. Ziarah tarbiyyah khabarnya. Selamat datang.

4. Bila kawan datang dan pergi, aku teringat diri sendiri. Bila lagi? Datang dan pergi bak kata Ramli Sarip.

Monday, 1 December 2008

Haji,Korban dan Umat Islam

1. Hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Hari memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s.

2. Apabila tawaf di kaabah, itu mengingatkan pengorbanan Nabi Ibrahim mendirikan kaabah sebagai rumah Allah untuk umat manusia beribadat pada Tuhannya.

3. Apabila bersaie antara marwah dan safa, itu mengingatkan kesungguhan dan kecekalan Siti Hajar mencari air demi anaknya, Nabi Ismail a.s. yang kehausan kerana kehabisan bekalan makanan.

4. Apabila melontar ketiga-tiga jamrah, itu mengingatkan betapa syaitan sentiasa memperdayakan manusia hatta nabi sekalipun.

5. Apabila berada di padang Arafah, itu mengingatkan perhimpunan di mashyar kelak.

6. Berabad-abab umat Islam mengunjungi Kaabah, menunaikan korban dan solat Aidil Adha tetapi umat Islam terus menjadi mangsa korban segala-galanya di dunia ini. Korban perang, korban penipuan, korban politik, korban...........

7. Kerana kita sendiri adalah lebih selesa menjadi korban daripada memberi pengorbanan.