...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 23 June 2009

Perpaduan - Kaum Yang Terbunuh


1. Puisi ini sudah lama aku tulis (2006). Sempena tenangnya kocak secangkir kopi, aku tuliskan kembali buat mereka. Pertama kali dibacakan di Demonstrasi di Pejabat Suhakam, di Pasir Salak dengan petikan gitar rocker Zua XPDC dan beberapa kali di Cardiff, Nottingham, Birmingham dan Doncaster.

2. Aku memang positif pada Idea 'Unity Government. Ini adalah secebis cetusan dari rasa sayang pada nasib 'kaum yang terbunuh'.

3. Aku harap, kalian dapat memahaminya. Perpaduan terus dicari di saat kaum berbunuhan sesama sendiri.



Kaum Yang Terbunuh


Aku adalah sisa
Dari kaum yang terbunuh
Mati di tanah sendiri
Permisi sebelum waktu

Berdiri aku di tanah pusaka
Yang berlembah hiba
Hilang sudah
Rimbun dedaun hijau
Tegak kota batu, pagar keluli
Yang meminggir ke penjuru
Seluruh desa permainanku

Semalam yang memanggil aku
Penuh dingin menikam sukma - berdarah
Menitis mengalir darah
Selendang merah luka bangsa

Jangan lagi bicara soal
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Kerana kaum ini
Telah hilang istilah dan peribadi sendiri

Telah roboh kotanya
Rebah madrasahnya
Ranap gedungnya
Dan remaja gersang hidup
Racun sang penguasa yang rakus
Sedang si tua hilang akal
Mengitung luka bertahun
Di tengah-tengah kamaruk pada pangkat dan harta secubit

Rela membunuh sesama rumpun
Mencabut damai
Memenjara lelayang
Yang bebas berterbangan

Suara ini semakin pudar
Hilang sudah susilanya
Mencari kata-kata yang sukar diberi makna
Seperti langkah
kehilangan gagah
Tidak persis lelaki sejati
Yang berani dan berahi
Mencabar zaman
Mengisi ruang

Dan kaum yang terbunuh
Terpinggir di bumi sendiri,
Lemah, dimamah
Terkapai, tak terbela,
Tenggelam, mati, hanyut
Si bangsat yang hilang
Buminya sendiri

Teringat aku pada hikayat lama
Bagaimana Temasik di langgar todak
Bisanya keris Laksamana Bentan
Amuk si Jebat derhaka
Titah berdarah Puteri Gunung Ledang
Ada lagi Musang Berjanggut,
Pak Pandir, Si Kadok menang sabung,
Kampong tergadai.

Aku menuntut hak kaum yang telah mati
Biar kuburnya bertanda akan
Ayat-ayat Tuhan yang hampir dilupakan
Kerana yang tinggal pada kaum ini
Hanyalah ingatan pada keyakinan yang samar
Akan ajaran lama yang ditinggalkan

Berdiri seakan bertafakkur
Kerana al Fatihah belum mampu dihabiskan

Aku terus berdiri dan melangkah
Kerana kau adalah sisa kaum yang terbunuh
Yang ingin hidup lebih bermakna.

Muhaimin Sulam
2006
Slim River - Swansea

2 comments:

lanterajiwa said...

salam... bro... jemput datang baca puisi di program aku kat sg. sumun...

Al-Manar said...

pohon pendapat dan penjelasan ikhlas dari tuan kepada hamba ini,yang mana lebih sukar? memberi faham tentang perjuangan pas(islam) kepada PAKATAN RAKYAT atau UNMO BN?
Kalau sudah faham, yang mana pulak akan lebih sukar diajak melaksanakan dasar islam antara dua gabungan tadi kerana faham tak semestinya mau laksana?pendek kata gabungan mana lebih menguntungkan perjuangan islam untuk jangka pendek dan panjang?