...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday, 14 August 2020

Charles Darwin, Alfred Russel Wallace dan Buang Muhamad Ali

 

Buang atau nama panggilan Inggerisnya Ali Wallace hidup membesar bersama dengan abangnya, Panglima Putad yang mahir dalam perubatan tradisional yang diwarisi daripada bapa mereka. Seorang lagi abang Buang ialah Panglima Seman adalah orang kuat dan kepercayaan James Brooke. Ini memudahkan Buang bergaul dengan masyarakat Barat di Sarawak. Alfred Russel Wallace menemui Buang melalui hubungannya dengan James Brooke yang mempunyai kenalan dengan orang tempatan di Sarawak.

Buang mengikut ekspedisi Alfred Russel Wallace di Singapura, Bali, Ternate, Surabaya, Betawi, Makasar, Lombok, Aru, Bangka dan Palembang. Buang Muhamad Ali akhirnya menetap di Ternate, kampong halaman isterinya dan dipercayai meninggal dunia di situ juga.

Mengikut tulisan Charles Brooke dalam bukunya ‘Ten Years in Sarawak’, beliau menganggap bahawa kebanyakan orang Melayu sebagai teruk kecuali Panglima Seman dan Panglima Putad. Charles Brooke memuji kedua-dua abang Buang itu. Panglima Seman telah dianugerahkan tanah oleh James Brooke sehingga menyebabkan ada pembesar Melayu lain berasa dengki. Akibatnya, Panglima Seman telah dituduh cuba membuat penentangan keluarga Brooke secara senyap-senyap.

Khabar angin itu sedikit sebanyak mempengaruhi keluarga Brooke dan hubungan antara mereka semakin renggang. Tambahan pula, Panglima Seman mempunyai bengkel besi yang memungkinkan menjadi tempat membuat senjata api yang boleh mengancam kuasa keluarga Brooke. Akhirnya, Panglima Seman telah menghilangkan diri pergi ke Sambas untuk mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Ketika itu, keluarga Brooke semakin mencengkam kuasa dan menjarah khazanah pribumi di bumi  Sarawak.

 

Thursday, 6 August 2020

Ali Wallace: Saintis Melayu yang terbuang

Teori evolusi yang dikemukakan oleh Charles Darwin sebenarnya bermula dari Alam Melayu melalui usaha pengumpulan species tumbuhan dan binatang oleh Alfred Russel Wallace. Alfred Russel Wallace mengembara di Alam Melayu pada tahun 1855 hingga 1862. Sepanjang pengembaraan dan penyelidikan beliau telah dibantu oleh ramai orang tempatan. Hasil kajian Wallace dihantar ke Charles Darwin di England.

Antara pembantu Wallace yang sering disebut dalam bukunya ‘The Malay Archipelago’ dan ‘My Life’ adalah Ali atau nama sebenarnya Buang Bin Muhamad Ali yang berasal dari Sarawak. Menjadi kelaziman orang Inggeris memanggil nama keluarga sebagai nama seseorang. Buang membahasakan dirinya sebagai ‘Ali Wallace’ terutama di kalangan orang Barat bagi memudahkan hubungannya dengan mereka.

Seorang pembantu Alfred Russel Wallace adalah Baderoon, remaja Melayu dari Makasar. Wallace juga mempunyai pembantunya yang berbangsa Inggeris bernama Alllen dan ramai pembantu tempatan lain namun Ali dianggap sebagai orang kepercayaan Walace dan memiliki kehebatan ilmu tentang alam dan masyarakat.

Sayangnya, nama Buang Bin Muhammad Ali seperti ‘terbuang’ dalam lipatan sejarah sains evolusi yang telah meledakkan satu revolusi intelektual Barat.  Sebuah artikel yang bertajuk ’I am Ali Walace’ The Malay Assistant of Alfred Russel Wallace’  tulisan John Van Wyhe dan  Gerrel M. Drawhorn dalam JMBRAS Vol. 88 Part 1 (2015) menyebut tentang remaja Melayu Islam bernama Buang yang menjadi pembantu ahli sains Inggeris itu. Buang bertugas dengan Wallace ketika berusia 15 tahun dan tinggal di Kampong  Jaie, Santubong di pinggir Sungai Sarawak.

Buang mula bertugas dengan Walace pada 1855 dan tidak menyertai semua ekspedisi Wallace di kepulauan Nusantara. Pada 1869, Buang berkahwin dengan gadis Melayu Ternate dan terus menetap di Ternate meneruskan kajian sainsnya di situ. Beliau membina makmal dan membuat banyak eksperimen dan catatan sains.

Seorang jurnalis Perancis pada 2015, Dr Isabella Desjeux telah membuat satu dokumentari tentang saintis hebat ini. Penemuan kehebatan Buang bermula apabila dengan penemuan kotak besi yang tertanam dalam tapak pembinaan sekolah di Ternate. Kotak tersebut mengandungi buku-buku catatan Buang Bin Muhamad Ali yang mengandungi kajian sains. Catatan-catatan itu telah disimpan dan dikaji oleh Dr. Ola Madunagu, University of Abuja, Nigeria.

 

Sumber:

https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/

https://www.thepatriots.asia/ali-wallace-buang-saintis-melayu-sarawak-yang-dilupakan/

 


Kebangkitan Semula Aku Melayu di Kota Inggeris di blogspot.com

Kali terakhir saya menulis di blog 'Aku Melayu di Kota Inggeris' ialah pada 2015.  Ketika itu, saya beralih ke medium Facebook dan sedikit demi sedikit saya tinggalkan blogspot.com. Saya mula menulis di talian blogspot pada 2006 ketika saya berada di Swansea. Teknologi cepat berubah dan berkembang. Sebagai penulis kadangkala tiada masa untuk mengikuti kecenderungan semasa. Namun sebagai penulis tiada pilihan. Penulis akan mencari medium yang ideanya dapat dibaca. Ini kerana tanggungjawab penulis bukan sekadar menulis sahaja.  

Saya cuba menulis kembali di blogspot.com.  

Thursday, 16 April 2015

Mau Jadi Pekebun

1. Aku dan Wak Jali dah sepakat nak tanam kunyit di perkebunan kami di Kota Tinggi.
2. Kunyit adalah herba yang baik untuk penyakit hati. Simpton penyakit hati yang sakit adalah muntah, kekuningan dan lemah shahwat.
3. Bila muntah, mulutnya berbuih yang menjadi racun dan mampu membunuh sesiapa yang menghidunya.
4. Hendak dijadikan cerita, muntah itu sudah menjadi macam sungai mengalir. Usahkan yang dahaga, akan keracunan, yang cuba mendekati sungai itupun, tumbang terkena bisa racun puaka itu.

* sepatutnya cerita ini ditulis awal.  

PEMBUNUHAN BERSIRI DI PERKEBUNAN

1. Hujung minggu lepas, di kebunku yang menghijau terpercik darah merah ke daun daun yang meliputi lantai tanah.
2. Terkulai sekujur jasad mati terbunuh di hadapan orang Kampung Sepening Lalat. Semua berbisik sesama sendiri. Satu demi satu, jasad yang terkulai layu bertambah. Bukan satu!
3. Mereka mesti dibunuh. Secara terbuka atau sulit. Jangan ditinggalkan bakanya.
4. Mereka semua musykil mengenai status makhluk yang terbunuh itu. Apakah makhluk itu mamalia, amfibia, reptilia ataupun belum dipastikan jenisnya.
5. Lalu seorang Pak Lebai yang lilitan serbannya sepemeluk tong drum mengingatkan bahawa peristiwa hujung minggu lepas sebagai amaran dari langit.
6. Salah seorang ahli kariah Kg. Sepening Lalat bertanya pada Pak Lebai tentang bagaimana makhluk itu terbunuh.
7. Lalu dijawab oleh Pak Lebai, mereka dibunuh dengan santau terkini: media sosial.
8. Bahkan kerja pembunuhan itu sangat mulia kerana disempurnakan dengan bacaan mentara suci semasa leher mereka disembelih hidup-hidup.
9. Pembunuhan ini adalah usaha mulia. Ini saringan dalam sayembara untuk mendapat bidadari dan air syurga. Lalu, anak monyet yang belum berbulu kulitnya telah mendaftar diri sebagai pembunuh berlesen.
10. Siri pembunuhan itu telah disempurnakan dengan jayanya. Semua makhluk yang tiada bernyawa disimpan......

Tuesday, 18 November 2014

CATATAN DARI SEBUAH MUNAQASAH

Malam di dalam bas, kembaliku menukilkan fikiran yang kukongsi di lerengan Pergunungan Croker yang dingin, nyaman dan menghijau damai.
Menghormati pemimpin bukan bermakna menelan semua pandangannya. Menyatakan sesuatu yang berlainan dengan pemimpin bukan bermakna kita lebih bijak daripadanya. Hanya yang perlu dinyatakan dengan adab dan budi sebagai orang Melayu. Susunlah ayat, pilihlah kata yang bermakna. Itulah keindahan berjuang dalam jemaah.
Apa makna kita menikam rakan sendiri dengan kata kata yang beracun, penuh terseksa sebelum ia mati? Ini pembunuhan nama. Ahh Melayu memang kejam. Pendendam. Keris beracun, berlekuk dan tumpul matanya menjadikan senjata itu menyiat siat daging dan kulit berhari hari sebelum menyembah ke bumi.
Apakah kerana gagal berhujah, kita segera ghairah menutup seluruh pintu perbahasan? Yang dituntut hanya menjadi pengikut tanpa soal. Kerana itu, tidak timbul bimbang dengan sebuah buku (tulisan Khalid Samad) yang pun belum dibaca. Alangkah naifnya hanya sebuah buku, ada yang semacam hilang keyakinan. Bacalah yang ada, yang tiada, yang hilang dan yang ditenggelamkan.

Tuesday, 11 November 2014

Aku dan Tok Guru




Gambar ini kuambil sewaktu mengiringi Tok Guru ke London sewaktu aku tinggal di Swansea. Dia ajak jalan-jalan cari kedai joran. Aku pun terkedu. Manalah nak cari kedai joran di pinggir kota London ini! Akupun tak minat memancing atau mencari ikan. Hanya makan ikan ok. Kami tidak jumpa kedai joran tapi kami jumpa kedai traveler. Aku ikut masuk kedai itu. Dibelek-beleknya beberapa barang di situ termasuk khemah camping, baju dan sebagainya. Tok Guru tak beli. Akupun ngekor keluar. 

Seingat aku, tiga atau empat kali aku bertemu Tok Guru sewaktu di UK. Dua tiga kali di London dan sekali di Bristol. Semasa di Bristol, beliau datang dengan Hanifa Maidin yang menguruskan saman Tok Guru pada salah sebuah akhbar UK. Aku lebih senang bersembang dengan Hanifa Maidin daripada Tok Guru. Bercakap dengan Tok Guru tidak boleh merapu macam aku bercakap dengan Hanifa. 

Aku mula mengenali namanya pertengahan tahun 1980an. Tok Guru datang ke Kg. Gajah. Aku pergi dengan bapa ke pekan kecil itu. Ramai orang yang datang. Aku tengok Tok Sidang Taib pun datang. Dia kata nak dengar ceramah Tok Guru. Aku tidak ingat apa yang disentuh dalam ceramahnya. Tetapi kehadiran  yang ramai telah menunjukkan bahawa pidatonya menarik perhatian umum.

Setelah di UM, aku mulai mengenali lebih lagi. Beberapa program pertemuan antara mahasiswa dengan Tok Guru memberikan kesempatan untuk kami menerima taujihadnya. Ceramahnya memang selalu dinanti-nantikan. Kami selalu juga pergi ke Masjid Rusila terutama untuk mendengar khubahnya, Kaset-kaset ceramah beliau yang dijual oleh penerbit Gedung Gua sentiasa laku. Masa itu, Gedung Gua ada kedai di kawasan Chow Kit Road. Di situlah kami dapatkan buku, kaset dan poster Tok Guru. 

Aku kekok kalau di sampingnya. Tok Guru hanya akan jawab jika kita bertanya. Dan Tok Guru akan cakap terus terang dan tidak panjang lebar. Aku pernah interview untuk kajian Phd aku dengan Tok Guru sewaktu di Parlimen. Banyak hal yang dikongsikan. Aku jarang duduk semeja atau sibuk menghampirinya. Ini kerana banyak masa aku berdiam daripada bersembang.

Kini, setiap bulan aku akan bermesyuarat dengannya. Selain daripada berjumpa dalam beberapa program, mesyuarat bulanan adalah kesempatan terbaik untuk aku meningkatkan hubungan antara aku dengan Tok Guru. Kesempatan inilah yang menjadikan aku lebih jujur dalam menyatakan sesuatu meski untuk menongkah fikirannya. 

Tok Guru memang seorang ulama dan pemimpin yang disegani bukan sahaja di negara bahkan di dunia. Perjuangan dan pengorbanannya tiada siapa yang boleh menafikan. Namun, itu bukanlah bermakna Tok Guru tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Adalah satu  kesilapan besar jikamembiarkan kesilapan itu terus membesar tanpa dihalang atau dicegah. Selain daripada memerlukan kejujuran dalam menongkah fikirannya, kita sebenarnya memerlukan budi dan bahasa yang menyenangkan.