...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday, 25 May 2007

Pusara di Sebuah Ladang

Oleh: Zuhdi Marsuki

Menguruskan jenazah bermula daripada memandikannya sehingga kepada
mengkebumikannya sudah menjadi satu perkara yang biasa semasa di
Tanah air. Tetapi perkara itu menjadi agak asing di bumi Lampeter,
Wales ini, disebabkan masyarakat Islam tidak begitu ramai sehingga
tidak memenuhi korum untuk solat Jumaat sebagaimana pandangan mazhab
Syafie. Sepanjang saya berada di sini tidak pernah saya menghadiri
solat jenazah sehinggalah pada Jumaat (3 May 2007) tiga minggu yang
lalu. Pada hari tersebut saya menyertai komuniti European Institute
of Human Sciences (EIHS) untuk menyembahyangkan dan mengkebumikan
jenazah seorang remaja 13 tahun, bernama Edward James.

Jenazah Edward ini bukan sekadar istemewa disebabkan ia adalah
merupakan pengalaman pertama saya di bumi Wales ini, kerana urusan
pengendalian jenazah tersebut agak lebih kurang seperti yang berlaku
di mana-mana pelusuk dunia Islam yang lain. Demikian juga
istimewanya pengalaman tersebut bukanlah disebabkan Edward
dikategorikan sebagai orang kurang upaya yang juga disebut oleh
sebahagian kita sebagai golongan istimewa. Tetapi pengalaman
tersebut begitu istimewa disebabkan ada hikayat benar yang berlaku
di sebalik manusia yang bernama Edward ini.

Keluarga Edward ini sememangnya tidak begitu dikenali oleh warga
Islam di Lampeter ataupun sekitarnya seperti Llanybydder bukan
disebabkan mereka mendiami kawasan yang agak terpencil di sebuah
ladang yang berada di ceruk, tetapi mereka tidak pernah menzahirkan
dan hadir bersama dalam program-program yang melibatkan warga Islam
di sini. Sehinggalah pada hari kematian Edward, ibunya datang ke
EIHS berjumpa dengan salah seorang daripada tenaga pengajar di sini
yang lebih dikenali dengan Abu Mus'ab. Ibunya meminta supaya Abu
Mus'ab menguruskannya dengan tatacara pengurusan jenazah Islam.
Bermula dari sini diketahui rupanya ada warga Islam lagi yang berada
di ceruk Wales.

Menurut Ibunya, mereka tidak mengetahui cara hidup Islam apalagi
untuk mengamalkannya. Cuma Ibunya berbangga mengisytiharkan mereka
Islam hanya disebabkan oleh surat wasiat bapanya. Menurutnya lagi,
bapanya telah menyertai tentera British dalam misi ke Palestine pada
tahun 1948 iaitu ketika berlaku pembentukan negara haram Israel.
Sekembalinya beliau dari Palestine beliau telah mengistiharkan
bahawa beliau memeluk Islam. Sewaktu beliau hampir mati, beliau
telah meninggalkan surat wasiat kepada anak perempuannya (Ibu
Edward) supaya berpegang teguh dengan Islam dan memastikan zuriat
keturunan mereka terus berpegang dengan agama tersebut.

Ibu Edward berpegang dengan wasiat bapanya, cuma mungkin komuniti
Islam yang tidak begitu ramai di sini menyebabkan beliau tiada
sumber untuk memahami lebih lanjut tentang Islam. Bila beliau
bertemu dengan kawan-kawan dan jiran-jirannya, beliau memberitahu
tentang keislamannya. Sehinggalah pada hari kematian Edward beliau
berusaha untuk mencari komuniti Islam bagi menyempurnakan jenazah
anaknya menurut Islam. Bagi beliau anak-anaknya adalah muslim,
walaupun suaminya adalah seorang kristian dan suaminya tidak
membantah tentang keislaman mereka. Perkara ini digambarkan daripada
persetujuannya untuk mengkebumikannya menurut cara Islam dan tidak
ditanam di perkuburan Kristian tetapi di ladang di keliling rumah
mereka.

Selepas menyembahyangkan jenazahnya, saya bersama dengan komuniti
EIHS yang lain mengiringinya ke pusara dan menimbus jenazahnya.
Setelah selesai Ibunya bertanya kepada Abu Mus'ab berapa kos upah
untuk mereka yang telah menguruskan jenazah tersebut. Abu Mus'ab
menyebut bahawa tiada kos upah kerana menguruskan jenezah tersebut
adalah fardu kepada orang yang hidup dan berdosa jika
mengabaikannya. Kami sempat berdoa di sisi pusara Edward dengan
harapan ALlah swt akan menempatkannya bersama dengan golongan yang
soleh. Kebetulan hari tersebut adalah hari Jumaat maka kami tidak
dapat lama di ladang tersebut kerana sudah masuk waktu Solat Zuhur.

Sememangnya kejadian ini begitu menyentuh nurani saya, kerana ketika
masyarakat bukan Islam di Malaysia khususnya begitu fobia dengan
Islam sehingga banyak kes-kes mahkamah yang melibatkan penentangan
terhadap kewibawaan Islam, ada seorang wanita dan anak-anaknya yang
begitu berbangga dengan Islam. Beliau tidak pernah mengetahui Islam
yang sebenar, mungkin hanya melalui media-media Barat yang umumnya
turut fobia dengan Islam. Beliau juga mungkin tidak beramal dengan
kehidupan Islam kerana tiada saluran untuk mendapatkan pendidikan
seumpama itu. Tetapi beliau tetap berbangga dengan Islam dan
berpegang dengan wasiat bapanya sehingga hari ini.

Saya meninggalkan ladang tersebut dengan penuh ketakjuban terhadap
firman Allah swt dalam surah al-Saff "Dan ALlah akan menyempurnakan
cahayanya (Islam) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir". Dan
apabila ALlah mengkehendaki memberi petunjuk kepada sesiapa yang
dikendaki, maka tiada siapa yang boleh menyesatkannya. Siapa sangka
ada manusia seperti Edward yang Muslim hanya kerana Ibunya berpegang
dengan wasiat bapanya supaya berpegang dengan Islam. Semoga ALlah
mencucuri rahmat kepada Edward James dan membimbing Ibunya ke arah
jalanNya yang diredhai, al-Fatihah.

Wednesday, 23 May 2007

Harga Barang Naik - Apa Perlu?

Kenaikan harga barang naik di Malaysia bukanlah cerita baru - bahkan ia selalu dikaitkan dengan faktor ekonomi dan pengaruh makro ekonomi. Ia jarang dikaitkan dengan kegagalan mengurus ekonomi negara yang semakin sakit. Memanglah, senang nak kritik. Cakap bolehlah. Tulislah apa yang kita nak, tak kisah.

Peniaga sering dikaitkan dengan golongan yang cuba mengambil kesempatan dengan keadaan ekonomi. Peniaga sering juga dianggap sebagai pihak yang mendapat keuntungan daripada sebarang perubahan ekonomi terutama tentang kenaikan harga barangan.

Manakala, pengguna macam mak bapak kita - sering dianggap sebagai mangsa kepada keadaan ekonomi. Mudahnya membuat kesimpulan dan andaian.

Memanglah menulis macam aku ni - mudah.

Apabila mandat politik diperolehi daripada kuasa ekonomi - maka sebarang keputusan politik sebenarnya berpaksi pada kehendak ekonomi bagi kelangsungan kuasa politik sedia ada.

Monday, 21 May 2007

Buku 13 Mei Yang Kontroversi atau.....



Rustam A Sani Sat May 19, 07 04:11:51 PM

Buku terbaru Dr Kua Kia Soong telah menimbulkan banyak kontroversi, selain kemungkinan akan diharamkan oleh kerajaan daripada beredar. Namun demikian, sementara belum diharamkan ini, penjualannya dikatakan laris sekali – termasuklah pesanan besar yang datang dari Singapura.

Namun, apa yang menyedihkan ialah kualiti perbincangan tentang buku itu, termasuklah tentang persoalan sosial dan politik negara yang menjadi mauduknya.
Saya mengharapkan bahawa dengan timbulnya semula isu Peristiwa 13 Mei itu dalam ruang wacana awam kita maka akan lebih mendalamlah dan lebih jitulah perbincangan dan perdebatan kita tentang sifat dan ciri-ciri politik perkauman yang telah menghantui negara ini selama setengah abad kita melaksanakan proses pembinaan bangsa (nation building).
Namun tidak ada jalur pemikiran baru – yang lebih mantap dan lebih jitu kerangka wacananya – yang terjelma dari wacana yang dicetuskan oleh penerbitan buku ini. Permainan kata-kata lama dalam bentuk menyalahkan dan menuduh kaum itu atau kaum ini tampaknya masih mendominasi suasana pemikiran politik kita.
Di kalangan ahli akademik kita pula tampaknya lebih banyak perhatian diberikan kepada sumber dokumen daripada kerangka pemikiran yang melatarbelakangi analisis sosial dan politik tentang Peristiwa 13 Mei yang getir itu.
Dilihat dari sudut ini, pada hemat saya penulis buku ini sejak semula lagi tidak kurang bersalahnya.
Baik dalam buku ini maupun dalam bahan-bahan promosi yang disiarkan oleh Malaysiakini.com sebelum pelancaran buku itu pada 13 Mei lalu, pengarangnya pada hemat saya telah membuat dakwaan yang terlalu tinggi berdasarkan ciri bahan yang telah dimanfaatkannya – yakni "declassified documents" yang terdapat di Public Records Office di London.
Oleh yang demikian, dari satu segi saya dapat bersetuju dengan pandangan profesor emeritus dari Universiti Malaya yang mengatakan bahawa fail polis (khusus cawangan khasnya) yang terdapat di negara ini akan lebih berguna daripada dokumen-dokumen di London itu.
Hanya saya ingin mengingatkan profesor emeritus itu bahawa bezanya ialah: Bahan yang ada di sini itu tidak akan pernah di”declassify”kan – demi melindungi versi rasmi penceritaan tentang Peristiwa 13 Mei itu yang telah dikeluarkan kerajaan sendiri.

Oleh kerana itulah, bagi saya yang penting bukanlah dari mana datangnya bahan itu, atau malah apakah cerita-cerita terperinci yang didedahkan bahan-bahan dan dokumen-dokumen itu tentang peristiwa tersebut, tetapi usaha melahirkan dan membentuk suatu analisis mantap tentang peristiwa itu sebagai suatu penjelamaan cuma daripada ciri yang lebih umum dan berterusan tentang hakikat politik perkauman yang mencirikan masyarakat kita.
Inilah, pada hemat saya, yang belum tergapai oleh pemikiran para akademik dan para cendekiawan kita.
Apa yang lebih menyedihkan, malah sebenarnya amat melucukan, ialah pandangan seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meragukan “nilai” akademik buku Dr Kua ini atas alasan bahawa manuskrip asal buku itu tidak diluluskan oleh dua orang pemeriksa sekurang-kurangnya – dan tidak pula diterbitkan oleh sebuah badan/syarikat penerbitan yang mempunyai reputasi (atau apakah maksudnya lesen?) sebagai penerbit akademik.
Alangkah menyedihkan tahap pemikiran seorang "profesor pentadbiran" yang seperti itu – yang tidak dapat membezakan antara nilai cendekia, nilai akademik, dan proses pentadbiran penerbitan sebuah karya akademik.
Apakah nilai akademik, kita mungkin boleh bertanya pada si profesor itu, sebuah buku teks universiti yang diluluskan oleh jemaah menteri berdasarkan laporan Menteri Pengajian Tinggi yang tidak pernah memperlihatkan kefahaman yang mendalam tentang institusi pengajian tinggi itu sendiri? - http://suara-rustam.blogspot.com/

Jet Pejuang ......mana yang lebih advance?

Oleh: Bai

(Latar Belakang Penulis Tetamu blog aku ni: bekas pejuang di medan pertempuran yang tidak melibatkan sebarang pertumpahan darah dan nanah ini mempunyai pengalaman yang luas dari segi cerita dan berita tentang politik, keselamatan, strategi, kepimpinan, sosio ekonomi dan macam-macam ada....... Sebagai anak muda yang berani dan berahi, beliau pergi meninggalkan tanahair kesayangan demi memperjuangkan maruah bangsa dan agama yang semakin terancam dan mengancam. Dia mohon dirahsiakan namanya kerana atas sebab-sebab keselamatan dan strategi. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan nasihat keselamatan dan strategi politik dan ketenteraan bolehlah aku uruskan. Katanya peluang dia sebagai penasihat keselamatan semakin cerah apabila pakar keselamatan negara - Abdul Razak Bakar Baginda sedang berada di penjara kerana dituduh membunuh Altuntuya - betul ke ejaannya ni!)


Timbul banyak persoalan mana yang lebih advance dari segi teknologi dan di medan pertempuran. Sebelum Perang Iraq 1990 ramai yang menganggap MiG milik Russia sebagai yang terbaik. Malahan negara-negara Eropah yang memanggil MiG sebagai Flanker menganggap ia merupakan 'burung' paling tangkas di udara. Namun semuanya terbongkar selepas Perang Iraq tersebut kerana jelas bahawa F-18, F-16 milik Amerika, Mirage milik Perancis dan negara-negara Eropah lain lebih hebat daripada pesawat juang milik Russia tersebut. Malaysia juga kini memiliki MiG29 dan bercadang membeli Sukhoi milik Russia ........ persoalannya berbaloikah Malaysia memiliki pesawat jenis ini memandangkan negara-negara di asia Tenggara seperti Singapura sudah memiliki F-16 .......................................

Sunday, 20 May 2007

Weh......raje mude kita dah kawin yop!


Istiadat Persandingan Diraja antara Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini malam ini, berjalan lancar dalam suasana sederhana tapi gilang-gemilang mengikut adat istiadat diraja Perak.

Maka seluruh para mediapun menjulukkan majlis istiadat perkahwinan sebagai Royal Wedding of the Year. Macam jugalah time Kak Siti kita kahwin dengan Dato’K, maka berduyun-duyun media menjuluknya begitu lah beginilah…….

Pasangan pengantin diraja yang masing-masing tampil menawan memakai busana tradisional berwarna kuning diraja berangkat tiba untuk memulakan acara bersanding di singgahsana tepat pukul 9 malam.

Selepas kerabat di Raja Perak dan Kedah menyempurnakan majlis menepung tawar, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pun tumpang sekaki. Khabarnya ini telah menambahkan semangat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengikuti langkah YM Raja Muda Perak itu.

Tuanku Zara dikhabarkan kelihatan terharu semasa ayahanda dan bondanya menyempurnakan upacara tepung tawar.

Selesai istiadat menepung tawar, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria membaca doa memohon keberkatan ke atas pasangan pengantin diraja itu agar dipanjangkan perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayat.

Majlis diakhiri dengan keberangkatan keluar pasangan pengantin dan tetamu majlis dari balairung seri menuju ke dewan santapan bagi memulakan acara santapan diraja.

Majlis persandingan yang merupakan kemuncak istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan lebih 700 tetamu dan orang kenamaan yang diundang.

Sementara itu, di Arena Square di sini berlangsung majlis jamuan bagi meraikan 5,000 tetamu tajaan putera berjiwa rakyat, Raja Dr. Nazrin. Suasana bandar Kuala Kangsar bertambah ceria dan meriah dengan pesta panjut dan pertunjukan bunga api setinggi 300 meter selama 30 minit tajaan MCA. Manakala UMNO pula…….. entahlah aku pun tak tau depa buat……

Tetamu di Arena Square dan di bandar raya Ipoh juga berpeluang menyaksikan Istiadat Persandingan Diraja itu secara langsung melalui tiga skrin gergasi yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Jadi le……tengok dari jauh……

Friday, 18 May 2007

Tentang Aku - Siri 2


Biar kali aku ceritakan tentang ayah aku pula. Sebagai anak yang sulong - aku ingat dulu ayah aku kerja sebagai tok siak masjid. Tiap-tiap pagi Jumaat, pasti dia ajak aku bersih dan kemaskan masjid. Aku dah tau apa kerja aku time tu. Ambil tikar dan sejadah dalam almari untuk dibentangkan. Time itu, masjid kat kampung aku (sebenarnya sebelah rumah aku je) terasa sesuatu je..... seram pun ada. Mungkin itu time aku budak kecil - fikiran aku mungkin dibuai oleh igauan yang tak munasabah. Bila selesai sahaja solat Jumaat, aku lah juga yang terpaksa tolong bapa aku kemaskan masjid. Begitulah seterusnya dan aku pun tak pernah mempersoalkan kenapa kami yang perlu buat kerja-kerja ini. Orang lain tak boleh buat ke? Satu kenangan yang masih ingat lagi - gigi aku patah ketika aku sibuk mengemaskan masjid. Entah macamana kakiku berlari atau berjalan - tak sedar aku dah terjatuh. Nasib baik gigi susu, tumbuhlah gigi tak susu.

Masa dah lama berlaku - akhirnya aku dapat jawapannya. Arwah atuk aku, Embah Mansor pernah berwasiat agar keluarga kami jaga masjid - imarahkan masjid. Mungkin sebab itulah, setiap waktu solat - ayah aku pasti ajak aku ke masjid - dirikan solat berjamaah, walaupun pernah juga kami berdua pada waktu itu. Yang susahnya tentulah time solat subuh!

Bapa aku selalu pesan - jangan tinggal sembahyang. Kemana pergi itulah pesannya. Sampai akau nak ke UK ni pun, dia ingatkan benda itu. Itulah yang terbekas dalam hidup ini. Aku menjadi setia pada amalan ini. Terasa berdosa selagi belum solat.

Kini aku menjadi bapa kepada kedua-dua anak perempuan aku. Aku seharusnya menekuni bagaimana bapa aku lakukan dulu. Jika tidak, bukanlah aku anak bapak!

Liberisasi Perdagangan - 1


Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 1)Pengenalan

Daripada: M. Zuhdi Marzuki - Univ. of Wales, Lampeter.


Saya ada menerima satu e-mail di samping artikel yang dikirimkan oleh sahabat saya Wan Saiful Wan Jan (WSWJ) tentang ‘Penghapusan Sekatan Perdagangan: Satu Kewajipan’. Setelah membaca artikel-artikel tersebut maka saya melihat perlunya dikemukakan pandangan Islam terhadap isu yang berkaitan dengan sekatan perdagangan tersebut. Secara umumnya mereka yang menyokong liberalisasi perdagangan ini mewarisi ideologi liberalisme dan dalam konteks masa kini dikenali sebagai Neo-Liberalisme yang merujuk kepada usaha untuk membangkitkan semula Liberalisme Klasik. Manakala golongan yang menentang liberalisasi perdagangan ini dikenali sebagai golongan yang mewarisi ideologi sosialisme dan setelah berakhirnya perang dingin mereka lebih dikenali sebagai pendukung sosial-demokrasi.


Sebagai sebuah cara hidup yang berpandukan kepada risalah daripada kitab Allah yang terakhir (al-Quran), maka Islam sememangnya diturunkan untuk menghadapi fenomena manusia pada umat akhir zaman. Kitab suci al-Quran adalah merupakan wahyu Allah yang terakhir kepada para utusannya justeru ia sememangnya sesuai untuk menangani permasalahan manusia zaman kini. Menyedari hakikat tersebut, isu berhubung dengan liberalisasi atau sekatan perdagangan seharusnya dilihat dari perspektif Islam bukannya dilihat dari perspektif Liberalisme atau Sosialisme dan pewaris-pewarisnya dalam desawarsa mutakhir. Betapa pula selepas teori Francis Fukuyama ‘The End of History’ dan diikuti oleh teori Samuel Huntington ‘The Clash of Civilization’, Islam dilihat sebagai satu kutub yang penting mengimbangi ideologi Liberalisme.


Asal-usul LiberalismePemikiran atau ideologi Liberalisme selalunya dirujuk kepada tokoh falsafah dan ekonomi Barat berbangsa Scotland iaitu Adam Smith yang begitu dikenali melalui karyanya The Wealth of Nations. Liberalisme dikenali sebagai satu ideologi politik dan falsafah yang menekankan kepada kebebasan individu, membataskan kuasa kerajaan dan dari segi ekonomi pula menyokong pasaran bebas dan persaingan bebas golongan pemodal (capitalist). Oleh sebab itu, Liberalisme dan Kapitalisme kadang-kadang dilihat sebagai ideologi yang sinonim disebabkan adanya perkaitan yang kuat dan saling sokong menyokong antara satu sama lain.


Dari sudut sejarah, kemunculan Liberalisme ini ada hubungannya dengan keruntuhan Feudalisme di Eropah bermula semasa zaman pencerahan mereka (The Age of Enlightenment) diikuti dengan gerakan politik semasa era Revolusi Perancis.Liberalisme yang dikaitkan dengan Adam Smith ini selalunya dikenali sebagai Leberalisme Klasik. Dalam konteks peranan kerajaan Liberalisme Klasik ini menekankan konsep Laissez-Faire yang bermaksud kerajaan yang bersifat lepas tangan. Konsep ini menekankan bahawa sesebuah kerajaan harus memberi kebebasan berfikir kepada rakyat, tidak menghalang pemilikan harta indidvidu atau kumpulan, kuasa kerajaan yang terbatas dan kebebasan rakyat. Manakala dari segi ekonomi pula menekankan pasaran dan persaingan bebas serta kebebasan individu dalam melaksanakan keperluan ekonomi mereka. Peranan ini sama sekali bertentangan dengan Feudalisme yang wujud sebelumnya yang mengawal hampir keseluruhan kegiatan rakyat sama ada berhubung dengan politik, ekonomi dan sosial.