...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday 5 July 2014

Bukan Menulis Kembali

Tulisan terakhir aku dalam blog ini lebih enam bulan lalu. Bukan tidak menulis. Tidak juga kerana idea yang kering. Barangkali era blog sudah hampir ke penghujungnya. Mungkin. Menulis bermakna kita mencatatkan sesuatu yang yang bergerak dalam pemikiran. Minda terus berkerja.

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, ada waktunya laju masa berlalu. Ada waktunya berhenti seketika dan masa melangkah perlahan. Jika berhenti terlalu lama.... ini menandakan penamat bagi satu kehidupan di dunia ini dan melangkau pada alam lain yang langkahnya tentu berbeza. 

Sepanjang perjalanan minggu ini memberi makna tentang peri pentingnya kehidupan yang berkualiti. Semua boleh faham kepentingannya. Tetapi untuk memperolehi saat itu adalah persoalan lain.  Bagaimana kehidupan berkualiti itu diraih? 

Degupan jantung yang luar biasa kencangnya mengajak aku memahami situasi itu adalah proses pelajaran bagi mereka yang sedang menjalani proses menjadi doktor perubatan. Sedangkan, si pemilik jantung itu seharusnya belajar makna nikmat memiliki degupan jantung yang normal. Mereka yang disekeliling pula adalah nota-nota kehidupan yang perlu dirujuk dan menjadi rujukan bagi memperolehi kehidupan yang berkualiti.

Entah berapa ramai pesakit menanti di rawat di bahagian kecemasan Hospital Teluk Intan. Semua menanti penuh debaran dan menaruh ada harapan masa hadapan. Pagi itu, aku dipilih untuk menyaksikan drama sebenarnya. Manusia sihat dan manusia yang sakit. Manusia yang terus hidup dan manusia yang akan menemui kematian. Takziah kepada biduanita negara, Sharifah Aini yang kembali menemui Penciptanya. 

Teknologi memang mudahkan. Sekerat pil sudah memadai menahan degupan jantung yang seakan berentakan menendang kulit-kulit leherku. Jarum besi menikam halus menyedut darah merah. Jarum besi menikam halus menuang air putih di tubuh lesu dan terbaring. Pasrah untuk dilakukan.

Satu tandatangan dan cop sang doktor sangat bernilai bagi seorang pesakit. Ia bukan sekadar sebuah tulisan. Tapi ia adalah tinta emas daripada khazanah perubatan yang digali zaman berzaman oleh tamadun manusia. Tinda emas itu terus mengalir membasahi lembah gersang.  

Untungnya aku miliki kad insuran yang tidak dimiliki oleh pak tani di kampong atau gelandangan di tepi jalan. Aku boleh melangkah berani di gedung perubatan yang dikunjungi oleh mereka yang kos sakitnya ditanggung oleh syarikat insuran. Syarikat tidak akan menanggung kesakitan, kepenatan dan kehilangan. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya ia meringankan.

Tidak seperti penoreh getah. Sakit demam mereka ditanggung oleh susu getah yang semakin murah. Tidak seperti nelayan di pantai bergelora. Sakit demam mereka tidak akan ditanggung oleh ombak yang besar. Merekalah yang akan menanggung daripada jualan ikan sebakul yang tak penuh.

Semalam sepatutnya aku berpuisi di Kuala Lumpur bersama dengan rakyat marhean dan orang Asal. Sudah kucatat sedikit beberapa rangkap puisi untuk mereka yang miskin. Aneh, aku tidak pasti apakah mereka kenyang dengan mendengar bait-bait puisi aku. Aku tidak dapat memenuhi acara itu. Kerana aku sendiri berada di Kuala Lumpur dalam usaha mengembalikan degupan jantung ku bergerak dengan sewajarnya.

Kilau lantai mozek IJN menyilau mata buat si miskin datang membawa jantungnya yang sakit. Aku melangkah perlahan kerana aku ada sekeping surat yang ditandatangan oleh sang penguasa. Tandatangan mereka sangat penting untuk rawatan ini percuma.

Ya. Sekeping surat bertandatangan.


 










2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Moga cepat sembuh Dr.

amal said...

Patut tak ada kelas minggu lepas.

Jantung juga hidup. Hidup pasang dan surut. Semoga jantung yang berdegup kembali seperti sedia kala, cikgu.