...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday 14 September 2008

Jadilah Pulau!

Berkecamuk memikir soal kemelut politik. Bergaduh soal kuasa yang tak pernah surut. Awal-awal seperti berpatah arang berkerat rotan tapi kemudian 180% berubah menelan ludah sendiri. Jilat najis sendiri. Sebenarnya tiada kerasionalannya dalam berpolitik. Kadangkala atau mungkin selalunya kuasa `bawah sedar' itulah yang mengatur strategi orang politik. Aku tak marah pada orang politik kerana aku sendiri sedang bereksperimen tentang metos dan dongeng politik. Arwah Ustaz Fadzil kata, khurafat terbesar sekarang adalah mempercayai UMNO sebagai pelindung keamanan, kesejahteraan dan rezeki orang Melayu.

Pun demikian, kita juga jangan jadi terus taqlid pada pemimpin politik yang membuat pertimbangan salah. Salah pada kita mungkin tak salah pada orang lain. Kalau PAS fikir tidak perlu menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat, PAS perlu memilik peranan tersendiri dan penting. Banyak perkara yang memungkinkan pendekatan ini boleh berlaku. Kan ini politik. Yang jelas, saf kepimpinan PAS tidak sebulat dalam hal ini seperti bulan purnama yang menjadi simbol parti. Sekerat bercakap soal moral, maruah dari memperolehi kuasa dari `rampasan kuasa'. Sekerat pula berhujah, untuk apa disandarkan maruah pada demokrasi yang sistemnya sudah korup?

Situasi begini memang memerlukan pemimpin yang tegas dan kuat pendirian. Presiden PAS, Ust. Hadi Awang jelas membina kembali kepercayaan diri selepas Muktamar untuk membuat sebarang keputusan untuk masa hadapan parti dan perjuangan Islam di tanahair. Memang terdapat khilaf tentang samada terus menyertai Pakatan Rakyat, berkecuali dan tentu sekali tidak berada di celah kangkang UMNO. Respon Cikgu Mustafa Ali tentang moral perjuangan perlu juga difikirkan. Meskipun ada pihak yang mempersoalkan cara sesetengah pemimpin tertinggi (ia merujuk Ust. Nasaruddin Mat Isa) bermukabalah atau bermuzakarah dengan pemimpin UMNO juga satu tindakan tidak bermoral! Biarpun sudah ada penjelasan dari Majlis Syura namun pandangan Mursyidul Am yang mengetuai Majlis Syura tidak sehaluan. Manakala sesetengahnya berfikiran PAS sudah berada di landasan yang tepat apabila masyarakat bukan Islam mulai menyokong. Meskipun belum pasti ukuran sokongan itu bersifat protes atau proses pembinaan keyakinan politik PAS. Jika PAS meninggalkan jalan berpakat dengan Pakatan Rakyat, ia seperti membuang air di daun keladi. Tentu sekali, Murshidul Am, Dato KJ, Dr. Ramli Hatta, Dr. Dzul dan rakan-rakannya yang lain tak mahu hal ini berlaku.
Abang Mat Sabu, Ust Idris Ahmad, Mahfuz Omar dan Salahuddin masih belum jelas stand tentang isu ini. Kita raikan khilaf ini. Ya, inilah kebijaksanaan pemimpin. Namun, hakikatnya rakyat semakin kelabu.

Sewaktu saya di tanahair, seorang pemimpin DAP Perak meluahkan kesalnya pada `adegan mukabalah'. Seolah-olah lepas ini, mereka tidak mahu lagi mempercayai PAS! Nadanya seperti jenaka walaupun berbaur ugutan ringan. Manakala pemimpin akar umbi terus berdendam dengan UMNO sepertilah marah kepada Abu Jahal dan Abu Lahab. Abadan! UMNOpun perlu belajar daripada keputusan pilihanraya. Untuk menafikan peranan UMNO dalam pembinaan negara tidaklah adil. Seperti tidak adilnya UMNO berfikir bahawa tiada peranan parti-parti pembangkang lain dalam membina demokrasi dan negara merdeka ini.

Di tengah-tengah masyarakat hampir tenggelam dengan tsunami politik tanahair, kita perlu jadi pulau. Menjadi penyelamat rakyat yang hampir kelemasan dipukul ombak, tertelan air masin laut dan sejuk angin. Kitalah pulau yang menjadi pelantar kepada berlabuhnya bahtera yang dilambung ombak. Pemimpin politik tanahair hari ini berkejaran seperti mengejar atau dikejar bayang-bayang dan impian. Rakyatpun ikut berlari bertempiran tak tentu hala. Penangkapan ISA menambahkan ketidaktentuan meskipun nampaknya seperti terhenti sebentar kekalutan dan keceluparan. Tapi ini mungkin permulaan anarki tahap yang lebih kritikal. Kenaikan kos kehidupan menambahkan lagi tajamnya anarki kali ini.

Jika sebaliknya ingin terus bersama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru - jangan pula di pulaukan. Terpinggir jauh. Melukut di tepi gantang. Ada tak menambah, tiada tak mengurang. Ketika ini - PAS perlu menjadi sejalur banjaran yang menjadi tulang belakang kekuatan tanah besar. Menjadi benteng kekuatan kepada rakyat dan segala makhsul negara. PAS perlu dilihat dari sudut mana sekalipun sebagai sumber kekuatan rakyat itu. Macam memandang Banjaran Titiwangsa atau Sierra Nevada dari runtuhan kota Madinatul Az Zahra di Cordoba.

Macam penting sangat peranan PAS dalam politik Malaysia! Jangan tanya aku!











1 comment:

Anonymous said...

ramai yang lebih suka jadi gunung berapi..bila marah jadi merah

salam kenal