...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday 16 July 2007

Panglimg Awang:Memecah Mitos Magellan

Kisah Panglima Awang pernah dinovelkan oleh Harun Amirulrashid pada 1958. Sayangnya aku tak pernah berkesempatan untuk membaca karya itu. Nama Enrique de Malacca dicatat dalam dairi Antonio Pigaffetta, seorang sukarelawan Itali yang menyertai pengembaraan hebat kerajaan Sepanyol itu.

Meskipun sejarah mengganggap bahawa Ferdinand Magellan (Fernao de Magalhaes) yang berketurunan Portugis tetapi belayar atas panji kerajaan Sepanyol adalah orang pertama mengelilingi dunia. Ekspedisi pelayaran tersebut melibatkan lima buah kapal iaitu San Antonio, Conception, Victoria, Santiago dan kapal utamanya Trinidad, 270 anak kapal dan memulakan pelayarannya pada 20 September 1519 di pelabuhan Sancular de Barrameda. Walaubagaimanapun, hanya sebuah kapal Victoria yang diketuai Sebastian Del Cano bersama 17 anak kapal yang berjaya kembali ke Sepanyol pada 8 September 1522.

Pigaffetta menyebut bahawa Panglima Awang adalah orang Melayu yang tinggal di Melaka tetapi berasal dari Zamatra (Sumatera).

Magellan adalah salah seorang anak kapal sewaktu Diego Lopez de Sequeira belayar pertama kali ke Mekala pada 1 September 1509. Rombongan itu ke Melaka sebagai satu misi risikan dengan membawa alasan untuk membuat perniagaan di Melaka. Tetapi Sultan Melaka ketika itu dapat menghidu niat jahat mereka dan menangkap sebahagian daripada mereka. Selepas itu, Alfonso de albuquaerque dating membawa bantuan dari Goa untuk menyerang Melaka. Magellan juga terlibat dalam peperangan menawan Kota Melaka pada 1511.

Ketika itu, Panglima Awang baru berumur belasan tahun dibeli sebagai hamba tawanan perang. Ada kemungkinan Panglima Awang adalah antara ribuan tentera kerajaan Sultan Melayu Melaka yang cuba mempertahankan kedaulatan kerajaan Melayu Islam daripada jatuh ke tangan kerajaan Kristian. Ataupun mungkin hamba milik raja yang mempunyai ratusan hamba sahaya di istana baginda. Sultan Mahmud sahaja mengikut rekod Portugis mempunyai lebih tiga ratus hamba sahaya. Kebanyakan hamba istana merupakan tawanan perang dan ada kemungkinan Panglima Awang adalah hamba tawanan perang sewaktu Melaka menyerang Sumatera, tempat asal Panglima Awang. Sebagai hamba tawanan, kebebasan hidupnya telah hilang - dia telah dibaptiskan sebagai penganut Kristian dan diberi nama Enrique of Malacca, lalu terpisahlah dirinya dengan Islam.

Selepas misi menjatuhkan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka terlaksana, Magellan kembali ke Lisbon pada 1512 melalui Laut Hindi dan menuju ke benua Africa bersama Panglima Awang. Sesampainya di Portugal, Di Portugal, Magellan dihantar untuk menentang orang-orang Moor di Maghribi. Dalam misi tersebut, Magellan telah cedera yang menyebabkan dia tempang. Magellan mengambil keputusan untuk berhenti berkhidmat dengan raja Portugal itu selepas dituduh melakukan rasuah. Dia pergi ke Sepanyol dan membawa bersama Enrique untuk berkhidmat dengan raja Charles I Sepanyol pula pada 1517.

Beliau memberitahu bahawa kerajaan Portugal telah menguasai kawasan Timur India selepas kejatuhan Melaka dan mencadangkan agar kerajaan Sepanyol melebarkan kuasanya di timur. Magellan juga memberikan alasan bahawa dia mempunyai orang yang bercakap dengan bahasa di sana dan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk ekspedisi tersebut. Orang tersebut adalah Panglima Awang.

Sejak itu, hubungan Magellan dengan Panglima Awang tidak lagi sebagai tuan dengan hamba sebaliknya telah menjadi akrab sebagai kawan dan akan dibebaskan sebagai hamba selepas ekspedisi tersebut. Bahkan, Magellan telah meninggalkan sejumlah harta yang banyak kepada Panglima Awang sebagai tanda penghargaannya.

Selepas mengharungi gelombang lautan Pasifak yang mencabar, akhirnya pada 16 Mac 1521, mereka telah sampai di Samar salah sebuah pulau tertimur daripada kepulauan Filifina. Beberapa hari di sana, mereka telah bertemu dua kapal panjang yang dipenuhi oleh beberapa lelaki dan manakala seorang sedang duduk di bawah bumbung yang beratap. Panglima Awang telah bercakap bagi pihak Magellan dan Raja Sepanyol dengan rombongan dua kapal panjang itu. Rupa-rupanya yang lelaki yang duduk di bawah bumbung itu adalah Raja Humabon, raja bagi wilayah Cebu.

Mereka bercakap soal kedudukan tempat, pertukaran barangan untuk perniagaan, menawarkan perdamaian dan ancaman peperangan. Raja Humabon yang menguasai wilayah Cebu telah meminta bantuan daripada Magellan untuk memerangi pemberontakan yang diketuai oleh seorang panglimanya yang bernama Lapu Lapu di perkampungan Mactan. Magellan bersetuju untuk membantu Raja Humabon. Pada 27 April 1521, dengan kekuatan 60 lelaki bersenjatakan meriam, senapang panjang, busar dan pedang menentang 1500 tentera Lapu-Lapu yang bersenjatakan buluh dan anak panas beracun.

Dalam catatan Pigafetta menjelaskan bahawa tentera Lapu-Lapu menyerang Magellan dan anak panah beracun Lapu-Lapu terkena pada kaki dan kemudian bahunya terkena tombak. Pada saat genting itu, meriam kapalnya pula gagal berfungsi dan tiada sebarang bantuan diterima daripada anak-anak kapalnya yang lain. Kemudian, ramai pula anak-anak kapalnya lari menyelamatkan diri dan Panglima Awang sendiri telah cedera.

Selepas kematian Magellan, Panglima Awang dicatat oleh Pigafetta hanya berselimut dan tidak mahu berbuat apa-apa. Tempat Magellan diambil alih Duarte Barbosa seorang Portugis yang berganggapan bahawa Panglima Awang tetap sebagai hamba. Ini bertentangan dengan janji Magellan sebelum ini. Duarte memberi kata dua kepada Panglima Awang samada mahu mendarat atau meneruskan pelayaran tersebut. Panglima Awang terasa dirinya telah dikhianati. Namun pada masa itu, dia hanya mendiamkan diri sahaja.

Pigafetta mendakwa bahawa Panglima Awang membuat rancangan kegagalan Magellan dan anak-anak kapal di dalam peperangan di Mactan tetapi tidak menghuraikan lebih lanjut sebabnya. Sementara itu, Panglima Awang mungkin beranggapan bahawa ada rancangan di sebalik kematian Magellan kerana tiada bantuan diterima sewaktu mereka memerlukannya. Diapun menaruh ketidakyakinan kepada Duarte yang mungkin mempunyai niat jahat terhadap Magellan dan dirinya.

Panglima Awang memberitahu kepada Duarte Barbosa bahawa Humabon telah menyediakan permata dan hadiah untuk dikirim kepada Raja Sepanyol. Oleh itu, mereka perlu turun untuk pergi menghadap Raja Humabon. Duarte Barbosa bersama beberapa anak kapal dengan diiringi Panglima Awang telah mendarat untuk menghadap Raja Humabon tetapi telah diserang hendap. Menurut Pigafetta tiada yang selamat dalam serang hendap itu kecuali penterjemah - Panglima Awang!

Apapun alasannya, plot tersebut bermula selepas tiga hari kematian Magellan. Pigafetta mencatatkan bahawa Panglima Awang bertemu Humabon dan memberitahu bahawa kapal Sepanyol itu akan meneruskan pelayaran segera. Dalam catatannya menjelaskan rancangan tersebut ‘ ….but, if he would follow his advice, he would gain all their ships merchandise….and so they plotted a conspiracy’.

Namun rekod rasmi Sepanyol mencatatkan bahawa Enrique of Malacca adalah antara 27 lelaki yang terbunuh dalam serangan itu dan ini jelas bertentangan dengan cataan Pigafetta yang menyebut Enrique seorang yang selamat. Di sini mungkin ada yang belum dapat dijelaskan oleh sejarah.

Mungkin Panglima Awang terus tinggal di Cebu, atau kembali ke Melaka ataupun pulang ke Sumatera. Apapun semua itu......faktanya Panglima Awang adalah orang pertama yang mengeliling dunia dan bukannya Magellan ataupun del Cano seperti yang didakwa sebelumnya ini oleh para sejarawan dunia.










No comments: