...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday, 14 June 2009

Suara Hati Ustaz Hadi di London

1. Habis kerja jam 3 pagi, aku bersiap untuk ke London dengan isteri. Tolong isteri buat bekalan makan. Solat subuh sekarang pukul 3.30 pagi. Tak boleh tidur takut terlajak, kerana bas 6 pagi. Lebih 4 jam perjalanan, sampailah kami di Kota London. Makan tengah hari di tengah padang Hyde Park di bawah mentari cerah. Rehlah sebelum dengar kuliah. Sampai di Corus Hotel di Bayswater Road tempat program tersebut, rupanya kami orang pertama yang sampai. Wow semangatnya gue!

2. Menanti rombongan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, aku bersembang tidak kosong dengan beberapa orang yang hadir. Melayu, India, Benggali dan Cina pun ada. Semua datang dengan seribu satu soalan. Macam semua nak nasihat agar Presiden PAS itu berhenti bercakap tentang `Unity Government'. Bersungguh benar mereka. Naik gabra aku dibuatnya.

3. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berucap ringkas. Sebab beliau tahu, ramai yang datang bawa dengan soalan. Bukan datang dengan telinga atau kaki yang tak bermata. Pertama, sebagai pemimpin sebuah parti politik Islam, mesej beliau tidak boleh lari daripada Islam itu sendiri. Itulah juga yang dinyatakan oleh beliau sewaktu bertemu dengan Lee Kuan Yew sebelum berangkat ke London. Walaupun yang datang dalam majlis itu pelbagai kaum dan agama, Presiden PAS itu terus menyampaikan butir-butir al Quran sebagai asas ucapannya. Itulah yang dicakap samada dalam Pakatan Rakyat, Barisan Nasional ataupun yang tak tahu apa-apa tentang politik.

4. Kedua, Islam mengutamakan pembangunan insan tanpa menafikan keperluan ekonomi sebagai keperluan kesejahteraan hidup. Ilmu pengetahuan, tamadun dan keperibadian tinggi itulah yang mewujudkan kebijaksanaan manusia untuk hidup dengan saling bantu membantu, berhubungan antara satu sama lain. Manusia tidak boleh hidup sendiri untuk memenuhi keperluan mereka. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,
'kebijaksanaan adalah barang tercicir milik orang beriman'.

5. Kebijaksanaan itulah yang menjadikan kita berkongsi tamadun dengan tamadun bangsa dan agama lain. Tamadun China yang menemukan teknologi alat letupan dan kertas telah digunakan oleh dunia untuk membangunkan ketenteraan dan meningkatkan keselamatan mereka. Tamadun Yunani purba tentang pentadbiran seperti demokrasi digunakan oleh dunia untuk mengurus masyarakat dan negara. Manakala tamadun dan perkembangan sains dan ilmu pengetahuan di Baghdad dan Andalusia juga dimanfaatkan oleh dunia.

6. Kerajaan Islam memanfaatkan semua tamadun dunia untuk membangunkan masyarakat sehinggalah terdiri sebuah kerajaan yang kuat dan maju. Akhirnya, kerajaan Islam yang kuat dan maju itu sedikit demi sedikit meninggalkan Islam sebagai sumber kekuatan mereka. Kerajaan Islam menjadi zalim, menindas rakyat dan menyebabkan pemberontakan berlaku. Dari bangsa Quraish yang dianggap bangsa terkuat, telah berpindah kepada bangsa Kurdis, kemudian kepada bangsa Mogul. Inilah yang pernah disebut oleh Imam Mawardi tentang ciri kepimpinan yang ketujuh;berbangsa Arab Quraish. Bukanlah Imam Mawardi menyatakan hanya Arab Quraish mempunyai darah kepimpinan tetapi sebenarnya ia merujuk kepada kualiti kepimpinan semasa yang memiliki pengaruh luas.

7. Tuan Guru Presiden ada sebut istilah 16 Sep sepintas lalu. Terus kepala aku menangkap ada benda di sebalik itu yang beliau tak mahu ulas lanjut.Tetapi bagi aku penting. Namun barangkali, ada yang lebih penting mengapa beliau tak ulas.

8. Masyarakat mula naik angin bila perut mereka diganggu. Otak sudah letak bawah kaki. Masalah riba, rasuah, untung atas angin, monopoli, manipulasi dan sebagainya. Semua itu ditentang oleh Islam. Dalam menentang amalan riba, al Quran mengisytiharkan perang kepada yang mengamalkannya. Tapi riba adalah amalan lumrah dalam ekonomi. Mengapa manusia tidak menentangnya, sebab perut mereka masih terisi. Mereka tidak kisah kalau timbul masalah sosial sebab kerangka otaknya adalah perutisme. Ini istilah aku pinjam dari Dr. Siddiq Fadhil.

9. PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjasama dengan parti-parti politik pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kerjasama PAS dengan bukan Islam adalah dengan mewujudkan Kelab Penyokong PAS. Kemuncak kerjasama PAS dengan Umno ialah mewujudkan kerajaan campuran (1971) dan Barisan Nasional (1973). Tiada parti lain seluas pengalaman PAS di Malaysia dalam soal ini. Ini aku cakap.

10. Kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat adalah atas prinsip yang sama. PAS terus dengan dasarnya dan menghormati dasar parti rakannya yang lain. DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001, kerana tidak bersetuju dengan konsep negara Islam PAS. PAS tidak pernah berhenti dalam perjuangan yang melibatkan dasar parti . DAP dan PAS sekali lagi bertemu dalam Pakatan Rakyat yang diwujudkan selepas PRU12 .

11. Akhirnya, Tuan Guru bercakap tentang `Unity Government' . Menurutnya, konsep tersebut timbul sewaktu zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Dasar terbuka Abdullah terhadap institusi kehakiman, langkah pencegahan rasuah, keterbukaan kepimpinannya membuka ruang idea itu dikemukakan. Abdullah Badawi memang awalnya berminat tentang idea tersebut tetapi tekanan dalaman Umno akhirnya menyebabkan beliau terpaksa berundur dari jawatan PM.

12. Apakah itu `Unity Government'? Senang untuk difaham tetapi mengapa payah nak reti? Sebenarnya, inilah yang disebut sebagai `negara tanpa pembangkang' yang pernah diamalkan di UK selepas Perang Dunia, diperkenalkan oleh Nelson Mandela selepas menamatkan dasar apartied di Afrika Selatan dan sekarang diamalkan di Indonesia. Konsep ini berusaha untuk menamatkan perbalahan politik yang merugikan negara. Tiada kaitan langsung PAS masuk Umno seperti yang dihebohkan oleh media dan ramai ahli dan sesetengah pimpinan PAS. Media memang akan memanfaatkan setiap ayat yang boleh dimanipulasikan untuk kepentingan mereka.

13. Habis tu mengapa ramai ahli dan sesetengah pemimpin PAS menentang? Sebabnya mereka memahami konsep itu dalam zaman pemerintahan Najib Tun Razak. Tuan Guru Presiden jelaskan bahawa konsep itu tidak relevan di zaman Najib. Namun, Tuan Guru tidak menolak untuk berbincang dengan sesiapa termasuk Umno. Seperti juga PAS tidak pernah menolak untuk berbincang dengan DAP, PKR dan pihak lain. Memang ada perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat. Sama juga dalam PAS. Perbezaan pendapat bukan pergaduhan. Itu lebihnya dalam PAS. Mereka ada kebebasan suara.

14. Sambil menuding jari kepada Tuan Guru Presiden, mamat itu bertanya macam-macam. Kurang ajar betul (semangat sebenarnya) mamat ni. Lepas tamat majlis, mereka yang awal tadi tak puas hati dengan Tuan Guru nampaknya semakin jelas. Tiada jawapan yang skema dari Tuan Guru , tiada retorik atau janji politik kosong. Dia jawab dengan lurusnya sebagaimana ketika beliau menjawab soalan wartawan selepas muktamar. Bak kata Tuan Guru sebelum sesi soaljawab tu, yang boleh dijawab, dia jawab. Yang tak boleh, jangan temberang. Oleh kerana kami datang ingin mengetahui, kami faham. Kami dengar sendiri dari mulutnya. Sebaliknya jika yang datang nak mencari kesilapan, mereka akan buat berita yang mengelirukan orang.

15. Memang ada soalan yang tidak dijawab dan tidak menjawab pertanyaan. Bagi aku itu bukan isu sangat. Aku tak sempat nak sembang meski satu ayat dengan Tuan Guru selepas program tamat. Tapi aku sembang dengan Dr. Shamsuri dan Hj. Asmuni yang datang sekali. Agak tidak panjang. Nanti aku cerita kemudian.

Friday, 12 June 2009

Biar Aku Dengar Sendiri Dari Mulut Ustaz Hadi!

1. Esok, kami akan mengadakan pertemuan tidak sulit dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di London.

2. Biar telinga ini bernanah mendengarnya. Biar sakit. Memang dari dulu PAS itu susah.

3. Waktu susahlah kenal siapa kawan. Waktu senang, bertebaran mengaku kawan.

4. Oklah kawan-kawan, korang senang-senang main tikam-tikam. Dari belakang, dari depan. Depan cium tangan, belakang korek semua lubang!

Thursday, 11 June 2009

Apabila al Quran Di Hujung Tombak!

1. Apabila para sahabat dan keluarga Nabi berperang sesama sendiri, umat Islam di dalam fitnah yang cukup besar. Siapalah kita untuk dibandingkan Ummu Mukminin, Aisyah r.a dan Syaidina Ali kw. atau Amru al As, Zubair Awwam dan para sahabat lainnya.

2. Apabila ulama bercakaran sesama dalam parti, ini satu fitnah yang cukup besar. Media perdana dan akhbar parti menjadi medan pertempuran. Ahli yang sedia berkorban sekali lagi jadi korban pada pemimpin.

3. Sejarah telah tercatat. Seruan kembali kepada al Quran akan berkemundang di hujung-hujung pena dan mulut pemimpin dan para pewaris Abdullah Ubai.

Saturday, 6 June 2009

PAS Makin Kuat, Umat Islam Makin Tercabar.....

1. Muktamar PAS sudah di penghujungnya. Perjuangan masih panjang. Jalan masih berliku. Keputusan pemilihan kepimpinan sudah diketahui.

2. Menjelang PRU 1999, PAS terus mengorak langkah, melakukan engagement luar kelompok biasa dan akhirnya PRU 2008, PAS melalui Pakatan Rakyat telah menjelaskan keputusan daripada ijtihad pimpinan PAS.

3. Soalnya selepas itu, apa sudah jadi pada umat Islam dan orang Melayu amnya? Gejala murtad tidak berkurangan, serangan dan cabaran Islam semakin bertambah dan lantang, SAR terus lenyap, tahanan ISA yang dikaitkan dengan `Islam' terus ditahan lebih panjang, biasiswa hanya dalam perlembagaan, gejala sosial orang Melayu terus menakutkan, bahasa ibunda orang Melayu makin tenggelam dan terlalu banyak 'benda dan bukan benda' orang Islam di Malaysia telah hilang.

4. Politik orang Melayu samada PAS atau Umno terus sarat dengan sabar dan bertolak ansur. PAS jangan ghairah dengan sokongan orang bukan Islam yang kecewa dengan dasar perkauman kerajaan. Dasar dan pendekatan kerajaan BN sememangnya akan lebih liberal demi mendapatkan kembali setiap undi orang bukan Islam yang hilang.

5. PAS tidak boleh melangkah ke belakang semata-mata untuk kembali pada jalan lama. Jangan bersifat romantisme. Jalan PAS telah jauh ke hadapan. Pemimpin parti perlu meneroka lebih bijak dalam menarik rambut di dalam tepung. Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berkeciciran. Bagai si Kadok menang sorak, kampong tergadai.

6. Sewaktu aku dibelasah oleh seorang 'ulama non partisan' tentang masalah PAS semakin kuat, Islam semakin tercabar, aku hanya berdiam diri. Bukan aku seorang yang terlalu bertolak ansur tapi akupun setuju pandangan itu. Aku dibelasah hanya kerana aku orang PAS. Alangkah sadisnya ustaz itu.

7. Seronok tau, kita cakap yang itu salah, yang ini salah, sepatutnya begini, bukan begitu......

8. Buat kerjalah Pak khatib!

Thursday, 4 June 2009

Bravo Bang Mat Sabu !

1. Bila aku sokong Bang Mat Sabu, bukan bermakna aku tolak kepimpinan Ust. Nasaruddin atau Husam kalau antara mereka menang.

2. Bang Mat Sabu adalah lambang mustadafin (kaum yang tertindas) dalam PAS. Walaupun jawatannya sebagai Naib Presiden PAS, tapi parti melayan dia macam ahli parti biasa. Ada yang sekadar AJK PAS kawasan tapi dilayan macam Sultan!

3. Apatah lagi media perdana, langsung tak pandang siapalah makhluk yang bernama Mat Sabu. Orang hanya nak mulutnya sahaja bukan nak kepimpinannya, sejarah pengorbanannya dan misinya.

4. Aku tak salahkan ahli PAS yang kagum pada kulit buku. Cuma aku kesal pada pemimpin PAS yang berfikiran kulit, retorik, elit!

Tuesday, 2 June 2009

Muktamar Pemuda PAS Tanpa Pertandingan

1. Kali terakhir jawatan Ketua Pemuda PAS dipertandingkan ialah pada Muktamar tahun 1996 (kalau tidak silap). Jawatan ketua Pemuda itu kosong selepas Ustaz Abu Bakar Chik mengundurkan diri dan Mahfuz Omar dan Hatta Ramli bertanding. Ini bermakna sudah lebih sedekad Pemuda PAS tanpa pertandingan (khususnya jawatan Ketua Pemuda).

2. Semua diputuskan secara syura. Hanya kekuatan hujah digunakan untuk menilai kepimpinan seseorang. Dan sedikit rasa tolak ansur dalam membuat keputusan atas dasar yang hendak dipilih semua adalah kawan, my sahabat.

3. Kesannya apabila wujudnya pertandingan jawatan Timbalan Presiden, semacam hilang arah. Semua berhujah dengan kerangka luar. Buka seluar kawan. Tak baik beb! Pemuda mesti mempelopori agar syura yang menentukan kepimpinan parti, jika mahu syura itu sebagai makenisme menentukan kepimimpinan.

4. Atau Pemuda PAS harus belajar bertanding jika mahu matang menghadapi pertandingan di peringkat jawatan tertinggi parti. Jangan sebut Pemuda jika lontar batu, sembunyi tangan!

5. Apakah halangan mentaliti perwakilan Pemuda sekarang masih lagi dalam kerangka lama, mengukur pemimpin mengikut kepintaran berpidato sahaja?

Monday, 1 June 2009

Chin Peng Balik Kampong

1. Mahkamah sudah putuskan Chin Peng tak boleh balik ke Malaysia. Walaupun ada yang berhujah bahawa Rashid Maidin dibenarkan balik ke Gopeng, Musa Ahmad dibawa balik dari negara China oleh Kerajaan. Samalah dengan Shamsiah Fakeh. Mengapa Chin Peng tak boleh pula?

2. Sekali lagi pendekatan perkauman digunakan untuk mengiakan keputusan dan menidakkan keputusan.

3. Chin Peng tak boleh balik. Tapi ada beribu-ribu yang lebih merbahaya daripada Chin Peng sedang bermain api sekarang. Ia mungkin sedarah daging dengan Chin Peng atau mungkin tidak.

4. Zaman peluru sudah dingin. Sekarang zaman lontar batu, sembunyi tangan!