...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 19 June 2007

Al Hambra: Lambang Keagungan Atau Kejatuhan?


Maafkanlah jika kita mungkin berbeza pandangan tentang hal ini. Mungkin saya melihat dari sudut lain. Memang al Hambra selayaknya digelar sebagai salah satu benda ajaib di dunia seperti Taj Mahal, Pyramid, Tembok Besar Negeri Cina, Angkor Wat dan sebagainya. Memang menarik jika dipandang dari dekat dan jauh. Memang kita akan kagum dengan kehalusan dan kehebatan orang Islam di Andalucia mampu hasilkan. (Gambar: Aku berdiri di tepi tingkap di tingkat atas Palacios Nazaries al Hambra - di bawah sana adalah rumah rakyat)


Al Hambra terletak di kaki banjaran gunung Sierra Nevada yang menjadi tulang belakang wilayah itu. Melihat gagah dan kukuhnya Sierra Nevada terasa bagai nak menghempap orang yang memandang. Tinggi, cantik , indah, gayat dan menggerunkan. Semuanya ada pada Sierra Nevada. Aku tak berhasrat menceritakan lebih perinci tentang Sierra Nevada dan al Hambra masa ini. Nantilah, jika ada kesempatan.


Tiada siapapun akan menafikan hakikat keindahan al Hambra. Termasuklah aku!


Namun selepas kakiku melangkah pergi jauh dari al Hambra - hatiku mula teringat pada ingatan dan iktibar yang pernah dinukilkan oleh Ibnu Khaldun dalam bukunya - Mukadimah. Beliau menceritakan tentang ciri-ciri kerajaan yang akan jatuh. Antaranya yang disebut adalah tiba waktu pemerintah dan pemimpin berlumba-lumba membina istana yang indah dan berasingan dengan rakyat. Pemimpin mula berminat pada keindahan seni bina dan hiburan. Pemimpin sanggup mengeluarkan wang yang banyak semata-mata untuk membina istana milik mereka. Rakyat pula didodoikan dengan irama yang menghayalkan sehingga lupa akan perut yang lapar dan rumah yang usang. Rakyat terus pasrah pada pemimpin sehingga hilang pertimbangan akal budi. Rakyat yang bijak pandai - mungkin menjadi seperti Ibnu Rusyd.....mati dalam buangan.


Aku belum sempat lagi untuk membelek-belek buku tentang al Hambra - apakah pembinaannya seperti juga pembinaan Pyramid, ataupun Taj Mahal ataupun seperti Tembok Besar Negeri China. Mercu tamadun itu semua dibina atas darah dan nyawa rakyat yang tak berdosa. Berapa ribu jiwa terkorban dan dikorban oleh Firuan untuk membina Pyramid - tempat mereka selepas mati. Apakah para pengukir dan jurutera yang membina mengalami nasib yang sama ketika Taj Mahal dibina. Mata mereka dibutakan, tangan mereka dipotong sehingga mereka tak mampu lagi membuat Taj Mahal selepas ini. Shah Jehah walaupun sesat tetapi asal usulnya adalah beragama Islam. Bahkan kerajaannya juga adalah dianggap sebagai kerajaan Islam Mogul India. Sama kejam juga dengan Shih Huang Ti yang menanam hidup-hidup buruh paksa yang sakit ketika membina Tembok BEsar Negeri China.


Aku belum mempunyai sikap yang jelas terhadap al Hambra tetapi jiwa kecil ini seakan ingin menafikan kekaguman awal aku pada al Hambra. Seakan-akan aku nak sebut bahawa al Hambra adalah lambang kejatuhan kerajaan Ummayah di Andalucia. Jika kalian nak bersedih atau terasa pilu - usahlah bersedih akan istana yang indah itu menjadi milik orang tetapi bersedihlah kerana sikap pemimpin Islam yang miliki kuasa sehingga alpa pada amanah Allah. (Termasuklah pemimpin-pemimpin negara Islam hari ini - yang kaya, yang berkuasa tapi terus menjadi saksi buta pada umat Islam yang disembelih).


Maafkan, jika aku terus berfikiran begitu nantinya.



No comments: