...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday 6 January 2007

Politik Islam: Satu Imej atau Gerakan?



Siri 2

Muhaimin Sulam
(University of Wales, Lampeter)

Tulisan ini masih lagi berkisar soal `candu yang melemahkan gerakan rakyat’. Yang idealisnya, politik Islam adalah suatu gerakan yang membawa rakyat kepada pengabdian yang sebenarnya kepada Allah s.w.t. Namun, kegagalan memberikan tafsiran yang hidup, politik Islam dilihat sebagai satu imej yang membezakan dengan pesaing politik. Politik Islam tidak boleh hanya bergantung pada kekuatan simbol. Ini bergantung kepada sejauhmana tafsiran para pendokong gerakan Islam terhadap Islam.

Islam yang ditafsirkan pada pemimpin dan pendokong gerakan Islam mempunyai implikasi besar terhadap usaha merobah masyarakat. Tafsiran bukanlah sekadar suatu kata-kata yang diucapkan sahaja. Tafsiran yang lebih dekat dengan masyarakat adalah akhlak ataupun tabiat yang menjadi kebiasaan bagi pemimpin gerakan Islam. Inilah yang sering menjadi panduan kepada para penggerak untuk mentafsir tuntutan agama.

Siapapun tidak boleh menafikan betapa agama mempunyai pengaruh yang cukup besar. Sepanjang sejarah peradaban dan tamadun manusia, agama dianggap sebagai salah satu elemen utama yang mempengaruhi pemikiran masyarakat. Meskipun tafsiran terhadap makna agama agak sempit dan meliputi juzu’ kecil daripada yang sebenarnya. Ia tidak sebagaimana yang wujud dalam Islam yang menjadikan agama sebagai suatu sistem kehidupan.

Islam yang sempurna juga tidak lari daripada ditafsir oleh pemikiran manusia yang pelbagai pendekatan. Biarpun wujud satu disiplin yang kuat dan ketat dalam mentafsirkan ayat-ayat al Quran dan Hadis sebagai sumber utama perundangan Islam, ia masih jua terdedah dengan kepelbagaian pemikiran yang kadang kala boleh mengelirukan masyarakat.

Yang benar tetap satu. Dan ia pasti berlawanan dengan yang palsu. Walau bagaimanapun kadangkala kebenaran tidak dapat diungkapkan dengan suasana yang benar dan betul sehingga dilihat sebagai palsu dan lemah. Inilah kelemahan yang paling ketara wujud dalam gerakan Islam. Kebenaran akan sampai tetapi liku-likunya membingungkan dan kesudahannya memberi natijah yang buruk terhadap sesuatu perjuangan untuk menegakkan kebenaran.

Ungkapan `kembali pada al Quran dan al Hadis’ sering digunakan oleh kebanyakan pihak. Persoalan `kembali’ biasanya satu pendekatan simplistic dan lebih bersifat rethorik daripada penyelesaian yang mantap. Proses membumikan kedua-dua sumber tersebut pada akar umbi sesuatu masyarakat masih berada di lapisan atas yang nipis. Seharusnya proses tersebut mampu mengorek lebih jauh ke dalam akar umbi yang lebih hampir dengan persoalan sebenar.

As Syahid Abdul Kadir Audah menyebutkan betapa ulama-ulama di Mesir ketika berhadapan dengan British mempunyai pemikiran bersarung karat dengan mazhab masing-masing sehingga gagal berhadapan musuh yang jelas lagi nyata. Ulama-ulama tersebut malas berfikir dan tidak bertindak pada yang wajarnya. Begitu juga di Iran, Dr. Ali Syariati dan Murtada Mutahari menyebut betapa perlunya kaum cendiakawan dan ulama melakukan perubahan dalam pemikiran rakyat. Ungkapan yang sama juga pernah disuarakan lebih awal oleh Malek Bennabi, Iqbal, Sheikh Abduh, Sheikh Jamaluddin al Afghani.

Dalam konteks gerakan Islam, konsep kepimpinan ulama adalah sebahagian pendekatan yang mengisi tuntutan semasa. Walau bagaimanapun, konsep tersebut tidak seharusnya bersikap statik dan membentuk gaya kepimpinan yang stereotype. Ia sangat memerlukan kelenturan dan penyesuaian suasana dan tahap penerimaan masyarakat terhadap perjuangan Islam.

Bagi sesetengah pengiat politik, agama telah dianggap sebagai satu kelebihan jika dijadikan sebagai isu atau asas berpolitik. Kesedaran terhadap Islam yang menyeluruh menjadikan ia sebagai suatu yang bermakna. Walaupun wujud jurang antara pemahaman Islam sebagai satu sistem dengan Islam sebagai satu imej yang berpengaruh. Masyarakat yang inginkan agama sebagai asas kehidupan akan terdedah manipulasi kelompok yang menjadikan Islam sekadar sebagai suatu imej yang berpengaruh. Di sinilah kepentingan media dalam mempamerkan imej kepada masyarakat.

Imej adalah ibarat warna yang boleh disesuaikan dengan keperluan semasa. Ia satu kemahiran reka bentuk yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat. Imej yang bersih tidak semestinya menunjukkan sesuatu yang bersih. Ia hanyalah satu tafsiran awal atau `first impression’ yang bersifat sementara dan tidak mutlak. Walau bagaimanapun, ia sangat penting sebagai laluan awal untuk memberikan kefahaman yang selanjutnya.

Imej boleh diwujudkan melalui perkataan – ayat yang power! Cemerlang, Gemilang, Terbilang adalah salah satu contoh ayat yang memberi imej kepada BN menjelang pilihanraya ke 12. Tema ini berjaya menenggelamkan tema BA, Ke Arah Malaysia Yang Adil. Ia tidak bergantung sejauhmana ayat tersebut memberi makna kepada kehidupan masyarakat tetapi ia lebih bergantung kepada bagaimana ayat tersebut diungkap oleh pencetus ideanya.

Politik Islam kini lebih memerlukan pembinaan imej yang boleh membezakan dengan pesaing. Imej pemimpin yang baik banyak terletak pada sejauhmana rakyat dapat merasai gaya kepemimpinannya. Ramai di kalangan boleh menjadi pemimpin tetapi ia tidak lebih sekadar sebagai fungsi seorang ketua bukan sebagai pengurus, pengerak ataupun pencetus rasa dan inspirasi.

No comments: