...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday, 22 December 2008

Sandarkanlah Dengan Diri Sendiri

1. Biasanya apabila seseorang berhujah samada di dalam kedai kopi, di masjid, di pentas politik, atau di meja viva PhD, seseorang akan menguatkan hujah dengan beberapa pandangan orang yang lebih `senior' ataupun yang lebih `berautoriti'.

2. Mengapa? Ini kerana untuk menguatkan hujah yang tiada kekuatan. Dengan menyandarkan pandangan orang lain, kajian atau hujah kita akan dianggap hebat.

3. Aku berdebat dengan `seseorang' tentang sesuatu isu. Lalu aku perturunkan kata-kata makhluk suci dan agung, lalu `seseorang' itupun terdiam seketika. Mati hujah.

4. Suatu hari itu, aku berjumpa dengan TG. Nik Aziz Nik Mat, akupun hujah begini-begitu. Orang itupun terdiam. Dan seketika aku berjumpa dengan Tun Mahathir, akupun berhujah begini-begitu, orang itupun (yang lain) terdiam. Lepas ni, aku mahu jumpa Najib, Pak Lah ......senang berhujah.

5. Memang payah jika berhujah dengan orang keras otak dan pendek akal. Tetapi amat mudah jika kita tahu siapa makhluk suci dan agung bagi dirinya.

6. Pendek cerita, sandarkanlah dengan diri sendiri.

Saturday, 20 December 2008

Blogger Buta

1. Kawan aku minta aku tengok beberapa blog yang dikatakan menarik untuk dibaca. Akupun tengah malas-malas begini pergilah baca blog berkenaan.

2. Baca blog orang makna membaca pemikiran orang lain. Bagaimana orang menulis dan berfikir kadangkala merisaukan pemikiran kita. Takut, diri kita terpesona atau terpengaruh dengan tulisan tersebut. Bacalah jangan risau asalkan tahu siapa yang menulis.

3. Bagi aku, sumbernya perlu ada autoriti. Ada beranilah. Kalau pakai nama samaran, itu Zorro bolehlah. Bukan nak promosi atau tonjolkan diri tapi kebertanggungjawapan.

4. Budak-budak kecilpun sekarang sudah boleh buat blog. Apatah lagi yang busuk hati, busuk perut dan akal sangkut.

5. Aku teringat sewaktu internet mula-mula masuk dalam masyarakat kita. Percaya cerita internet macam dapat `wahyu'.

Friday, 19 December 2008

Siapa nak swastakan pesakit?

1. Tiba-tiba meletup sahaja kerajaan mahu tangguhkan pembelian IJN oleh Sime Darby. Barangkali mereka merancang dalam gelap.

2. Dr. Jayakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput pernah mengajak kami (aku sekali) pergi buat demonstrasi di Hospital Besar Ipoh kerana isu penswastaaan hospital. Aku minta beberapa pemuda lain pergi sekali bagi menunjukkan sokongan perjuangan tersebut.

3. Kawan aku kata, bila mereka edar handbill tentang projek nak swastakan hospital, ramai yang ambil tetapi tak baca. Katanya, susah hendak berhadapan dengan rakyat yang `tak berani'.

4. Sebab? Sebab yang mengedarkan risalah itupun tak baca risalah itu! Memang ramai 'berjuang' sekadar mengikut dan terikut.

5. Beberapa perkhidmatan di hospital sudah diswastakan. Aku harap ada sesiapa yang sukarela mengambil alih 'sakit' dan 'pesakit'. Biarlah 'sakit' dan 'pesakit' menjadi orang yang sihat dan memberi sumbangan dalam kehidupan mereka.

6. Hari ini, alhamdulillah aku dan keluarga aku sihat. Waktu beginilah aku sepatutnya mengambil peranan orang sakit yang tidak mampu berbuat apa-apa. Selagi aku sihat, insyaAllah.

Thursday, 18 December 2008

David Arumugam Dapat Pingat

1. Tahniah kepada David Arumugam, vokalis Alleycat yang dianugerahkan pingat Persekutuan oleh Yang DiPertuan Agong. David memang ramai peminatnya, termasuklah aku.



2. Lagu-lagunya memang hit dan sangat terkesan. Dari lagu `Senandung Semalam' hinggalah lagu terkini, suara emasnya tidak pernah berubah.



3. Walaupun tak begitu fasih berbahasa Melayu tetapi lagu-lagu Melayunya diminati oleh orang Melayu.



4. Ini semua hasil kerjasama dan kombinasi ciptaaan lagu dan lirik daripada pengubah muzik yang hebat seperti M. Nasir, S. Amin Shahib.....

Wednesday, 17 December 2008

Jangan Tolong

1. Ada ustaz beritahu aku, jika ingin mengetahui keikhlasan diri apabila kita menolong orang, kita tidak mengharapkan pembalasan. Jangan ada setitik dalam hati mahukan pembalasan. Ringkasnya, jangan mengarap sesuatu daripada orang yang kita tolong.

2. Kemudian aku terbaca kata-kata semacam falsafah, jangan mengharap syurga bila beramal. Yang kita mohon adalah keampunan dan RahimNya Allah s.w.t. Kerana takut syurga, kitapun beribadat. Itu tanda tidak ikhlas dalam beribadah. Kita beribadah semata-mata memenuhi perintah Allah s.w.t.

3. Rabiahtul Adawiah, seorang ahli sufi yang hebat pernah bersyair; `aku tidak layak untuk syurgaMu tapi aku tidak mampu menghadapi api nerakaMu.' Ibadah kita memang tidak melayakkan untuk ke jalan syurga. Syurga dan neraka adalah hak Allah s.w.t.

4. Sebagai manusia biasa. Kita kadangkala bila kita tolong orang, memang bukan nak balasan. Tapi kalau orang yang ditolong tak reti bahasa, bagaimana?

5. Sekadar renungan dari berita pagi ini di tanahair, pasukan yang menyelamat tanah runtuh di Bukit Antarabangsa berasa keciwa dengan tuduhan sesetengah penduduk yang mengatakan mereka mencuri dan kerja sambil lewa.

6. Tak payah tolonglah orang macam tu. Jangan tolong!

Tuesday, 16 December 2008

Muntadar, Wartawan Hebat!


1. Ketika Bush sibuk mengatur kata manis kepada bonekanya di Iraq, seorang anak muda yang juga wartawan melempar kedua-dua kasutnya pada Bush. Biarpun, Bush dapat mengelak tetapi itu sudah memadai sebagai satu simbol penentangan anak muda, wartawan dan umat Islam pada dasar Imperialis Amerika. Tahniah, Muntadar. Akupun tak mampu buat.


2. Berapa banyak wartawan yang boleh menyuntik rasa berani dan kesedaran terhadap masalah bangsa, tanahair ataupun agamanya? Yang ramai - pengampu sang penguasa.


3. Berapa ramai anak muda bangun memimpin perubahan demi kehidupan yang lebih bermaruah, merdeka dan maju? - Yang ramai - tenggelam dalam dunia kekaguman diri sendiri.


4. Berapa umat Islam yang sanggup berkorban demi perjuangan agamanya? Saban tahun meraikan hari Raya Korban, atau menunaikan ibadah korban, pergi ke Mekah, tunai umrah, dan sebagainya. Ibadat sudah seperti tradisi yang menjadi warisan keramat. Diraikan seperti mandi di Sungai Ganges. Roh ibadah sudah hilang. Semangat zaman yang dipuja. Akhirnya, umat Islam hari-hari menjadi mangsa korban. Disembelih. Disiat. Dibunuh. Dikerat seribu belah.


5. Hanya kanak-kanak kecil Palestin yang berani menentang kereta kebal Israel dengan batu di tangan mereka. Hanya pemimpin gerakan Islam yang terpencil seperti Hamas dan Hezbullah sanggup menentang Yahudi zionis laknatulah. Orang miskin yang papa kedana dan tiada pekerjaan sibuk berdemontrasi menuntut keadilan.


6. Pemimpin-pemimpin Islam yang berkuasa dan kaya, sibuk mengira kantung dan perut mereka. Termasuklah kebanyakan daripada kalangan pemimpin negara Arab dan negara Islam lain. Sibuk mem`bunuh' pesaing politik mereka daripada ingin berhadapan dengan mustakbirin.


7. Satu sahaja yang ingin aku katakan: Penakut!

Sunday, 14 December 2008

Malam Yang Panjang

1. Malam pada musim sejuk memang panjang. Pukul 4 petang sudah maghrib dan 8 pagi baru habis Subuh. Satu wuduk untuk empat waktu sembahyang.

2. Masa terlalu singkat. Cepat benar seminggu berlalu. Terasa waktu pergi begitu sahaja.

3. Jika bekerja kerana cahaya matahari yang terang, pasti banyak tertangguh dan terlepas. Kegelapan malam perlu diredah meski payah. Ini kerana, sudah terdidik malam adalah waktu tidur. Waktu rehat.

4. Apabila waktu malam begini panjang, apakah rehat sahaja?

5. Malam yang panjang. Ilham belum datang. Mimpi tidak pernah habis. Cerita politik tanahair seperti Hikayat Sang Ramayana. Penuh dengan metos. Sarat dengan lagenda ciptaan.

6. Karya lewat malam menanti ketenangan datang.

Thursday, 11 December 2008

Di Mana Kawan Dulu Yang Sama Berjuang?

1. Sewaktu menghadiri persidangan AMSEC di Bogor beberapa tahun lalu, kami dipersembahkan dendangan lagu `Semalam Di Malaya’ ciptaan Saiful Bahri yang pernah dinyanyikan Sam D’Lloyds. Sekarang di sini, aku masih mengingati lagu itu. Malah bertambah-tambah kesannya bila merantau begini. Antara senikata lagu itu berbunyi:

Aku pulang
Dari rantau
Bertahun-tahun
Di negeri orang
Oh Malaya

Di mana dia
Kawan dulu
Yang sama berjuang


2. Sehari dalam politik adalah seribu kemungkinan yang berlaku. Apatah lagi jika meninggalkan dunia politik berbulan malah bertahun. Mungkin kehilangan akar umbi atau patron.

3. Untuk mencapai kembali tangga yang pernah berdiri adalah suatu cabaran baru apabila warna dan corak politik berubah.

4. Sewaktu di kampus, sama mengharung cabaran mahasiswa. Sanggup berdemonstasi tanpa kecuali. Hantar memorandum pada Pak Menteri. Lawan Polis dan FRU. Bertekak dengan HEP. Berpencak silat dengan jamaah lain. Konon atas nama idealisme perjuangan mahasiswa yang menggigit. Mahasiswa menggugat.

5. Setahun…dua tahun……selepas keluar dari universiti, yang bersuara lantang hilang ditelan kerjaya dan keluarga yang baru dibina (sesama pilihan jamaah). Yang aktif sampai tak lulus exam, akhirnya tenggelam mencari makan dan kedudukan.

6. Aku harap, kembali ke tanahair nanti aku masih ada lagi kawan-kawan dulu yang sama berjuang!

Demokrasi Yang Mengorbankan Perjuangan


1. Sewaktu aku menemubual Tun Mahathir di Menara KLCC, dia tetap mempertahankan pendiriannya bahawa demokrasi tidak sesuai di Malaysia. Demokrasi menjadikan seseorang itu tidak menjadi dirinya. Mereka berjuang untuk suara teramai. Berjuang demi popular. Demi kuasa. Demokrasi sesuai untuk memilih artis macam Mawi (itu aku cakap).

2. Demokrasi menjadikan kita takut pada perjuangan diri kita yang sebenar. Demokrasi hanya makenisme memilih pemimpin. Beratus tahun pemerintahan dan kerajaan Islam berlangsung, demokrasi terlalu sedikit sumbangannya.

3. Ada dua pandangan utama; melalui majlis syura yang dikembangkan oleh ulama sunni. Namun, kerajaan sunni kebanyakannya tidak melaksanakan pendekatan tersebut melainkan mengunakan sistem warisan ataupun feudal berkerajaan. Kedua, pandangan ulama syiah khususnya Imam Khomeini yang menyebut kerajaan Islam adalah hak wilayahtul faqeh.

3. Ada sarjana berpendapat mesyuarat adalah sebahagian ciri demokrasi. Akan tetapi mesyuarat itu sendiri bukanlah demokrasi. Demokrasi adalah pilihan daripada orang ramai. Kebenaran adalah berdasarkan majoriti. Meskipun ada ulama berpendapat, umat Islam tidak akan bersama-sama dengan kebatilan secara majoriti.

4. Keghairahan untuk memperjuangkan demokrasi boleh membawa lupa tentang perjuangan yang sebenar. Berapa banyak pemimpin Melayu, Islam atau bangsa apapun akan hilang keMelayuannya, lupus keIslamannya, larut kebangsaanya demi harga sebuah demokrasi.

5. Demokrasi hanya untuk undi. Setelah dapat undi dan kuasa. Kuasa dan demokrasi akan memerangkap diri jika tidak kuat sokongan dan dokongan daripada para pejuang yang sebenar.

6. Berjuanglah atas perjuangan yang diyakini. Demokrasi hanya kesempatan yang ada seperti belajar di atas kitab sekular yang masih ada hikmah tertinggal. Asal jangan ditinggalkan al Quran yang tak terduga hikmahnya.

Wednesday, 10 December 2008

Orang Luar, Orang Dalam

1. Sedang kempen Pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan bermula, PAS sedang mengira calon yang bakal membawa mesej parti ke Dewan Rakyat kelak.

2. Terdapat beberapa nama yang dicadangkan, antaranya Hj. Muhammad Sabu yang sudah terbukti peranannya di Parlimen sejak beberapa penggal yang lalu. Namun oleh kerana beliau adalah `orang luar', maka peluangnya mungkin agak payah berbanding dengan calon-calon yang dianggap `orang dalam'.

3. Istilah `orang dalam' atau `orang luar' dari pengalaman pilihanraya yang lalu, memang perlu diambil kira. Masyarakat kita sudah terdidik dengan makna sempit itu. Asal sahaja seseorang itu `orang dalam' atau `orang kita', sebahagian penyelesaian masalah psikologi sudah selesai.

4. Perkiraan tentang orang itu benar-benar mendalami masalah rakyat ataupun 'orangnya' sudah tidak begitu penting. Asal pemimpin itu berbangsa Melayu, kitapun berasa senang hati. Walaupun pemimpin itu sedikit benar memperjuangkan Melayu ataupun mempertahankan kepentingan Melayu. Asal saja pemimpin itu beragama Islam, kitapun berasa senang hati. Walaupun pemimpin itu jauh benar hatinya dengan Islam.

5. Kita memang selalu kalah dalam menangani persoalan mentaliti jumud orang kita terhadap istilah yang dicipta untuk melemahkan rasional dan logik akal kita.

6. Kita selalu mencipta metos dan misteri dalam hidup kita. Akhirnya sesat dan menyesatkan.

5.

Tuesday, 9 December 2008

Meraikan Hari Raya Tanpa Lemang

1. Hari raya samada Raya Puasa ataupun Raya Haji dalam konteks orang Melayu mesti dikaitkan dengan makanan tradisional, balik kampong, duit raya, baju raya dan lagu raya.

2. Rasanya tidak 'sah' kalau tiada lemang, ketupat, lontong ataupun apa-apa yang biasa dikaitkan dengan Hari Raya. Kemudian adakan majlis makan-makan yang melimpah ruah seperti kuah satay yang tak larat dimakan. Ambil cuti seminggu atau dua tiga hari adalah satu kemestian seperti menukar langsir, perabot baru sebagai agenda utama dalam menyambut hari kebesaran.

3. Tahun ini, aku tak ambil cuti. Tak balik kampong. Tiada duit raya nak diberikan. Pakai baju lama. Dan dan dan....... Waktu beginilah nak merasai pengertian Hari Raya yang sebenarnya. Lupakan bunyi meriam atau mercun. Lupakan cerita kawan-kawan lama. Lupakan hasrat nak balik kampong. Lupakan.

4. Waktu beginilah mengingati Nabi Ibrahim, Ismail dan ibunya Siti Hajar berkorban. Kisah anak-anak Nabi Adam a.s. yang menyerahkan pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Kisah Nabi dan sahabat yang berlapar sewaktu melaungkan kalimah kebesaran Allah. Kisah Salahuddin Ayub berperang membebaskan BaitulMaqdis sewaktu bulan puasa. Beginilah kisah-kisah yang selalu dilupakan dan tak terasa sewaktu meraikan hari-hari kebesaran.

5. Hari Krismas menjelang tiba. Lagu mengagungkan Jesus sentiasa berkumandang. Namun, gereja tetap sepi menjelang pagi Krismas.

Sunday, 7 December 2008

Pesanan terakhir dari Ustaz Fadzil Mohd. Noor

1. Pada perenggan kedua terakhir dari Ucapan Dasar Presiden 2002 di Muktamar di PUTIK Kelantan, al marhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor, beliau menyebut tentang peranan ulama.

2. Katanya,

` Demi menjaga imej ulama, maka saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat, dan membuat ijtihad atas perkara-perkara yang perlukan pandangan terkini, termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti memimpin masyarakat agar dapat keluar daripada kemelut kehidupan ini, dengan keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.'

3. Berapa khazanah ilmu sudah digali oleh ulama? dan berapa banyak ijtihad sudah dibuat?

4. Selepas berkuasa di beberapa buah negeri dan ada ulama yang diberikan penghormatan berkuasa dan mengelilingi orang yang berkuasa, apakah semua itu sudah terlaksana?

5. Tentu ada sesuatu yang berbeza antara ulama parti sini dengan ulama parti sana. Atau kedua-duanya sama apabila kuasa ada pada mereka?

Wednesday, 3 December 2008

Bincang Demokrasi Malaysia di Oxford

1. Kawan aku ajak ke Oxford untuk berbincang soal 'Demokrasi di Malaysia' terutama mengenai pilihanraya 2008. Dr. Birdget Welsh daripada Universiti Johns Hopkins, US datang membentangkan pemikirannya.

2. Dr. Birdget Welsh bercakap tentang PRU 12. Kekalahan teruk UMNO/BN adalah kerana hegemoni dan kesombongan UMNO, kebangkitan rasa perkauman, infomarsi alternatif, ekonomi yang slow , peningkatan kerjasama parti pembangkang, kelemahan lapisan kepimpinan baru UMNO dan rasuah.

3. Aku hanya tambah, titah raja ada harganya juga jika dibandingkan sebelumnya itu. Aku seperti menjadi patek yang setia pada raja hari itu.

4. Balik ini, aku menung sorang-sorang. Teringat satu lagi. Kenapa tak sebut rakyat Malaysia sekarang semakin bijak berpolitik. Ataupun memang masih pada takut lama.

Selamat Datang dan Selamat Tinggal

1. Minggu lepas, Hafiz yang belajar di Highmead pulang ke tanahair. Sekampung Lampeter hantar dia ke rumah aku. Kenduri mengejut rumah aku hujung minggu itu. Nasib dia baik. Walaupun terbeli tiket bas untuk travel bulan lepas, driver bas itu kasi naik bas sebab tiket flight memang sah hari itu.

2. Minggu lepas juga, bekas mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin sekeluarga datang studi kat Universiti Lampeter. Kenal dari jauh.

3. Dua minggu lagi, kawan-kawan aku nak datang ke UK. Ziarah tarbiyyah khabarnya. Selamat datang.

4. Bila kawan datang dan pergi, aku teringat diri sendiri. Bila lagi? Datang dan pergi bak kata Ramli Sarip.

Monday, 1 December 2008

Haji,Korban dan Umat Islam

1. Hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Hari memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s.

2. Apabila tawaf di kaabah, itu mengingatkan pengorbanan Nabi Ibrahim mendirikan kaabah sebagai rumah Allah untuk umat manusia beribadat pada Tuhannya.

3. Apabila bersaie antara marwah dan safa, itu mengingatkan kesungguhan dan kecekalan Siti Hajar mencari air demi anaknya, Nabi Ismail a.s. yang kehausan kerana kehabisan bekalan makanan.

4. Apabila melontar ketiga-tiga jamrah, itu mengingatkan betapa syaitan sentiasa memperdayakan manusia hatta nabi sekalipun.

5. Apabila berada di padang Arafah, itu mengingatkan perhimpunan di mashyar kelak.

6. Berabad-abab umat Islam mengunjungi Kaabah, menunaikan korban dan solat Aidil Adha tetapi umat Islam terus menjadi mangsa korban segala-galanya di dunia ini. Korban perang, korban penipuan, korban politik, korban...........

7. Kerana kita sendiri adalah lebih selesa menjadi korban daripada memberi pengorbanan.

Friday, 28 November 2008

Last Warning!

1. Kepada sesiapa yang berkenaan. Jangan jadikan blog aku laman iklan yang bukan-bukan. Siapapun tak mahu menjadi penyambung mungkar dan fitnah.

2. Mentaliti mengambil kesempatan adalah politik jahat yang perlu dihentikan.

3. Untuk itu, ruangan shoutbox aku hentikan.

4. Jika berminat untuk komen, sila isi ruang yang disediakan.

5. Terima kasih.

Tuesday, 25 November 2008

Perjuangan Papan Tanda

1. Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan pelbagai bahasa untuk papan tanda - heboh satudunia. Kerajaan Perak menarik balik cadangan hendak menggantikan Jalan Silibin kepada Jalan P. Patto. Dulu kerajaan Perak juga pernah menarik balik nama satu jalan yang diganti kepada Jalan Tabung Haji. Sekarang di KLIA ada juga tempat-tempat pelancongan, papan tanda ditulis dengan pelbagai bahasa.

2. Semasa gerakan mahasiswa universiti hebat, mahasiswa telah menconteng papan tanda yang tidak selaras dengan roh kemerdekaan dan bahasa kebangsaan.

3. Apakah sekarang kita terperangkap dengan perjuangan papan tanda? Jika kita benar memperjuangkan bahasa, silakan. Namun, apa yang aku lihat pada hari ini, ramai yang berjuang seperti papan tanda, sekadar satu lambang perjuangan untuk dilihat oleh masyarakat.

4. Yang anehnya, masyarakat tetap sesat mencari jalan kebenaran. Masih tidak memahami panduan yang diberikan. Masyarakat asyik bergantung kepada ahli politik papan tanda ataupun ahli perniagaan yang hebat iklannya. Ramai memperjuangkan slogan. Jual iklan. Janji manis. Manifesto berjilid-jilid.

5. Masyarakat, rakyat, kamu dan aku tidak boleh bergayut pada papan tanda yang beraneka warna dan slogan yang hebat.

Monday, 24 November 2008

PAFA: Bola dan Bulan


1. Tahniahlah kepada barisan kepimpinan baru PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) yang kini diketuai YAB. Dato' Seri Ir. Hj. Nizar Jamaluddin dan dibantu beberapa pimpinan PR dan ahli majlis lain.

2. Dari segi politiknya, memang patut orang politik ambil alih kepimpinan PAFA. Aku tengok nama-nama yang menang di peringkat daerahpun kebanyakan adalah pemimpin politik juga - samada kiri ataupun kanan.

3. Orang sukan atau kaki bola hanya pandai bermain bola, gelecik bola dan jaring gol. Sayangnya tidak ramai yang boleh mengawal permainan bola di luar stadium. Inilah masalah ahli sukan kita. Mereka hero di padang sahaja.

4. Aku teringat bagaimana Michael Platini (Perancis), Frank Beckenbauer (Jerman) dan sebagainya pemain di Barat (negara maju bolasepak) yang menguasai FIFA dan Kesatuan Bolasepak Eropah. Orang politik terpaksa akur permainan politik ahli sukan. Ini terbalik di Malaysia. Segala-galanya diserahkan kepada ahli politik.

5. Sekali lagi aku bilang - aku sokong ahli politik kawal semuanya untuk penguasaan politik masa hadapan. Demi survival politik.

6. Tapi belum tentu pada bidang sukan.

7. Teringat pula pada lagenda Syed Ahmad dan Ghani Minhat (gambar di atas). Di manakah mereka?

Sunday, 23 November 2008

Yoga: Fatwa dan Fakta

1. Pengharaman Yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini tidak menghairankan langsung. Memang wajar haram yang tersedia haram.

2. Tapi yang lurus bendulnya, ada yang keciwa tentang pengharaman itu. Haram yoga itu ada syaratnya. Jika ia ada kaitan dengan mantera dan aktiviti yang syirik. Jika tidak, Fatwa itu kata tak masalah.

3. Ramai yang tak baca Fakta. Yang dibaca Fatwa selapis.

4. Ada pula yang sibuk suruh Majlis Fatwa buat fatwa lain yang lebih utama - macam ISA ke, rasuah politik ke........

5. Laaaa, ini Fatwa Kebangsaan. Bukan Fatwa Pujangga.

6. Carilah idea lain.

Anjing dan Babi Juga Mulia

1. Heboh soal Kerajaan PR nak buat kilang memproses babi. Dulupun heboh juga. Tapi aku kesian kat babi itu. Binatang itupun hendak hidup. Kita sudah ditanamkan dalam fikiran tentang `keburukan' dua makhluk Allah yang tak berdosa ini; Anjing dan Babi.

2. Allah mengharamkan kita memakan babi dan anjing - itu adalah perintah Allah yang tiada kaitan untuk kita membenci binatang itu. Aku teringat masa kanak-kanak dulu, ada riwayat yang memberitahu, kalau bunuh cicak malam Jumaat, dapat pahala. Sibuklah kita membunuh cicak kat masjid daripada bersembahyang terawih berjamaah. (Aku ingat, diaorang nak pekena kami supaya tidak main mercun masa sembahyang). Ralit.

3. Di UK dan negara-negara Barat, kedua-dua binatang itu amat dihargai dan disayangi.

4. Silaplah kalau nak maki orang, kita sebut 'anjing' atau 'babi'. Sebab itu adalah binatang yang rapat dengan kehidupan mereka. Anjing mengisi kesepian orang. Yang setia menemani dan menjaga keselamatan tuannya. Babi sangat produktif, memberikan sumber makanan kepada mereka.

5. Yang hina sebenarnya perangai manusia yang macam anjing dan babi. Kerana manusia bukan anjing dan babi, maka oleh sebab itu manusia wajar bertindak dan berfikir secara manusiawi. Sekarang berapa banyak pemimpin yang menjadi anjing dan babi?

6. Aku pernah buat sajak sebelum PRU 12, Deklarasi Sang Anjing. Tak tersiar kat mana-mana cuma sempat aku baca kat Dublin.

Saturday, 22 November 2008

Menyambut Tangan Yang Memimpin dan Dipimpin

1. Kepimpinan bukan soal kedudukan, walaupun itulah yang difikirkan selalunya. Apabila bertanding di dalam PRU atau pemilihan parti atau pertubuhan, alasannya jawatan itu akan memudahkan misi perjuangan dilaksanakan. Itu separuh benar.

2. Kepimpinan bukan soal kemahiran atau bakat kebolehan, walaupun memang itu satu keperluan.

3. Kepimpinan adalah satu hubungan antara yang memimpin dan yang dipimpin. Hal ini tidak sukar sebelum berkuasa. Tetapi selepas berkuasa, ia sebenarnya agak sukar.

4. Kesukaran itu wujud kerana pemimpin akan menghadapi 1001 hubungan lain dan terpaksa membuka laluan kepada mereka yang sebelum ini tiada hubungan. Ini yang menyebabkan timbulnya, habis manis, sepah dibuang atau kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.......

5. Inilah yang kadangkala, pengikut tidak faham dan keciwa kepada pemimpin mereka. Hal ini jika berlaku akan menyebabkan sokongan terhadap kepimpinan akan merosot dan boleh menjejaskan kredibiti pemimpin itu sendiri.

6. Oleh itu, perhubungan pemimpin dengan pengikut mestilah dinamik. Segala strategi, skill, kaedah ataupun tindakan pemimpin akan sia-sia jika tidak wujudnya hubungan dan persefahaman yang baik.

7. Aku bercakap soal pemimpin Pakatan Rakyat yang hari-hari dihakiskan keyakinan kepimpinan mereka samada melalui serangan musuh mereka ataupun kealpaan pemimpin itu sendiri. Dan satu perkara lagi, keyakinan itu dihakis akibat daripada kematangan pengikut itu sendiri memahami erti kepimpinan. Ingat, Ceaser digulingkan oleh pengikut setianya - Brutus.

Thursday, 20 November 2008

Apa Sudah Jadi?

1. Kawan aku beritahu, tengok TV3. Cerita tentang MB Kedah yang.......

2. Soal itu betul atau tidak, bukan penting. TV3 ada peranannya sendiri. Seperti bloggers pada hari ini, wilayah pengaruh mereka sudah semakin luas.

3. Kalah Ketua Cawangan atau Bahagian yang hanya bermodalkan politik wang atau ayat-ayat suci al Quran jika bertanding dengan blogger kecil-kecilan.

4. Menjadi pemimpin yang mahu mendengar dan menghargai suara rakyat dan pengikut sebenarnya sukar. Terlalu sukar bila sudah berkuasa.

5. Tetapi kata Max De Pree, `The first responsibility of a leader is to define reality. The last is to say thank you'.

6. Para pemimpin dan pengikut perlu berhati-hati antara idealisme perjuangan dengan realiti yang ada.

7. Bukankah hikmah itu adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh umat? Jika temui, ambillah.

Sunday, 16 November 2008


Alexandra Solzhenitsyn, penyair dan ahli falsafah Rusia menyebut,

`Kalian menguasai rakyat selagi kalian tidak mengambil sesuatu daripada mereka.
Tetapi,
jika kalian merampas hak mereka,
kalian tidak dapat menguasai mereka lagi
dan
mereka akan bebas.’


Sekadar ingat-mengingatkan kawan-kawan.

Saturday, 15 November 2008

Perang Terus Berlaku


1. Laungan hentikan peperangan sama tua dengan panggilan ke medan peperangan. Dari sejarah anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, perang antara saudara, sesama manusia terus menerus hingga ke hari ini. Hingga qiamat.

2. Aku baru mendengar, rakan-rakanku Yayasan AMAL ke Mindanao. Menyaksikan kesan perang antara saudara - biar berlainan agama. Ratusan ribu menjadi pelarian di negeri sendiri. Sejuta kesengsaraan. Selaut luka dan dendam. (Gambar: Senyum Dalam Derita Kanak-kanak Mindanao)

3. Hampir 60% kekuatan tentera Filifina diturunkan pada bumi Mindanao. Daerah yang dekat tapi jauh di sudut hati kita.

4. Ini mengingatkan sewaktu aku menziarahi umat Melayu Islam di Patani, dua bulan selepas berlaku pembunuhan beramai-ramai di Masjid Keresik. Takutpun ada. Nak mengetahui dari mulut saudara sendiri lebih kuat, kamipun nekad pergi. Dari, Kota Bharu terus ke Takbai, Narathiwat, Patani dan Hadyai.
5. Waktu masih tegang tapi aku lihat macam aman. Rupa-rupanya, rakyat tidak berani bersuara. Dendam terus melakar. Perang tidak berkesudahan. Sekolah dibakar. Masjid dan tokong tidak lagi selamat.

6. Peperang mesti dihentikan. Tapi peperangan mesti dimulakan sekarang demi untuk menghentikan peperangan!

7. Gencatan senjata adalah peperangan yang malap. Jeritan tangisan kepedihan adalah peperangan sepanjang zaman. Bedilan bom, peluru adalah suara perang yang marak.


Thursday, 13 November 2008

Ya Ampun

Lagu ini dicipta oleh Kiai Kanjeng, budayawan Indonesia yang dianggap sebagai `wali songo' kerana menggunakan muzik sebagai medium dakwahnya. Lagu ini juga menjadi latar belakang blog aku. Tengah menanti, jika ada penyanyi atau pendakwah yang boleh menyanyikannya.


Ya Ampun

Ya ampun, zalimnya manusia
Ya ampun, bebalnya penguasa
Ya ampun, tuli telinganya
Ya ampun, dusta politiknya
Ya Allah, Ayyubkan hamba
Ya Allah, lebarkan dada
Ya Allah, Ya Allah,
Ya Allah, luaskan jiwa
Ya ampun, curang putusannya
Ya ampun, seenak udelnya
Ya ampun, bengkak ambisinya
Ya ampun, pusing rakyatnya
Irhamna jami’an War zuqna wasi’an
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Khaliqul anam
Ya ampun, buta hatinya
Ya ampun, gelap pandangannya
Ya ampun, bodoh ilmunya
Ya ampun, rendah budinya
Ya Allah, Ibrahimkan hamba
Pinjamkan kapak paduka
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah
Makarlah pada mereka

Ya ampun, lumpuh hukumnya
Tetapi angkuh sikapnya
Ya ampun, remeh karakternya
Ya ampun, kerdil mentalnya
Ya Allah, Daudkan hamba
Pinjamkan seruling paduka
Ya Allah, Ya Allah
Lantunkan puisi cinta

Hatiku tidak tegar
Memandang wajah mereka
Seharusnya disapa tapi diacuhkan saja
teguhkan hatinya agar bersabar
Dalam derita
Ya Allah, Ya Allah
Temanilah mereka

Hatiku tak tegar
Melihat nasib mereka
Seharusya dihibur
Tetapi disiksa
Ya Allah, Musakan hamba
Pinjamkan tongkat paduka
Ya Allah, Ya Allah
Untuk membelah samudera
Hatiku tak tegar
Mendengar suara mereka
Seharusnya dipikul
Tetapi dihina
Irham na jami’an
Warzuqna wasi’an
Ya Allah Ya Allah Khaliqul-anam

Sungguh tidak tegar
Kubalas seluruh cinta
Mati hidup hamba
Untuk tangis mereka
Ya Allah Ya Allah
Muhammadkan hamba
Taburkanlah syafaatnya
Ya Allah Ya Allah
Agar terkuak rahsia syurga

Tuesday, 11 November 2008

Fatimah Yang Dicintai Nabi

1. Nabi menerima lamaran Ali, sepupu rapatnya untuk menyunting anak kesayangan baginda – Fatimah al Zahra sebagai isteri.

2. Sedangkan Nabi mengetahui betapa Ali tidak berharta sebagaimana para sahabat lain. Yang ada pada Ali adalah sebuah pintu lautan ilmu dan sebatang pedang `Zulfiqar’ yang ditakuti musuh.

3. Dan sebuah perisai perang Ali yang dijual di pasar untuk dijadikan mas perkahwinan.

4. Sebuah rumah, sebuah penggiling tangan, satu mangkuk kayu dan sebuah permaidani kapas. Itulah sebuah mahligai indah anak kesayangan Nabi.

5. Fatimah di rumah sering kehabisan roti dan susu. Sedangkan anaknya Hasan dan Husin makin membesar.

6. Biarpun Nabi seorang pemimpin agung dan berjaya dalam banyak perang – namun satu dirham daripada harta ghanimmah tidak pernah jatuh ke lantai rumah Fatimah.

7. Apabila wafatnya Fatimah, tiada yang mengebumikan melainkan Ali, Hasan dan Hussein di tengah malam di perkuburan Baqi. Sehingga kini, tiada siapa yang mengetahui di mana pusara Fatimah yang dicintai Nabi.

Monday, 10 November 2008

Anda Dari Mazhab Mana?

1. Apabila kita bercakap soal kaum, kita sebenarnya terperangkap dengan kerangka pemikiran perkauman.

2. Bercakaplah tentang usaha membebaskan kerangka perkauman tapi hakikatnya ia akan lebih menjelaskan pemikiran karat perkauman.

3. Atau kita tukar kerangka kita kepada pemisahan antara kelas, antara agama, atau budaya?

4. Manusia memang cenderung berfikiran sectarian.

5. Lalu apabila kita bercakap, menulis atau berfikir, anda mewakili mazhab mana?

Cerita Lagi Pasal Tun Teja

1. Bila ada yang bertanya lagi tentang Tun Teja. Akupun semak sekejap buku Sulalatus Salatin. Hikayat Hang Tuah entah tersimpan kat mana. Kedua-dua ada beza sikit tapi lebih kurang sama.

2. Jika mengikut edisi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Tun Teja dibawa lari (dengan penuh rela) oleh Hang Nadim, politikus licik yang kepingin gelaran dan kedudukan dalam Empayar Melayu Melaka.

3. Cantiknya Tun Teja itu sukar diceritakan kerana dalam buku itu menyebut; 'jangankan manusia memandang dia, matahari dan bulan lagi tiada melihat dia!' Jadi, tak bolehlah nak hurai lebih lanjut kecantikan Tun Teja itu. Yang boleh dihuraikan adalah kebebalan Tun Teja!

4. Cuma ini sekadar mengingatkan betapa `yang hebat-hebat' hanya milik penguasa dan jargon mereka sahaja. Rakyat biasa tidak boleh mengetahui. Rasuah, peluang sesama kroni penguasa tidak mengapa. Jika seorang petani membonceng motor tanpa topi keledar, habis dimaki hamun sebelum disaman.

5. Satu ayat yang Hang Nadim gunakan sewaktu memujuk rayu Tun Teja untuk dikahwinkan dengan Sultan Mahmud Shah (Sebab Tun Teja risau juga kalau-kalau Hang Nadim yang ambil kesempatan),

Tun Teja Ratna Menggala.
Pandai membelah lada sulah;
Jikalau tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah.

6. Agama akan digunakan dan dipergunakan demi kepentingan sendiri. Macam acara sumpah-sumpah hari ini.

Sunday, 9 November 2008

Wind of Change


1. Klaus Meine, vokalis Scorpion nyanyikan lagu `Wind of the Change', dia mencatatkan tentang cita politik orang German yang mahukan perubahan selepas tamatnya Perang Dingin. German terpisah dua selepas Perang Dunia Kedua. Mereka satu bahasa, bangsa tetapi dipisahkan oleh tembok Berlin. Satu komunis - satu lagi kapitalis. Kini mereka Jerman sudah bersatu. Apakah rakyat biasa sudah berubah kehidupan mereka?
2. Barrack Obama, bakal Presiden Amerika mengunakan motto `The Change, We Need' sebagai kempen pilihanraya Presidennya. Kini, rakyat Amerika dikatakan telah melakukan perubahan dengan memilih seorang kulit hitam sebagai Presiden mereka. Apakah dasar Amerika terhadap Islam akan mengalami perubahan?

3. Aku juga pernah gunakan motto, `Berani Berubah' semasa pilihanraya 2004. Mengapa mereka tak mau berubah juga?

4. Ada beribu-ribu lagi melaungkan kalimah PERUBAHAN untuk mengubah diri mereka dan orang lain demi negara, agama, bangsa........

5. Namun, apabila perubahan datang - kita akan berubah. Ada sesuatu yang tidak berubah. Rakyat yang bodoh, bangsawan berkuasa, ugamawan lurus bendul dan para cendiakawan kangkong.


Thursday, 6 November 2008

Tun Teja: Watak Rakyat Yang Terpedaya

1. Ketika aku bercakap tentang Tun Teja dengan sekumpulan anak-anak muda yang sebahagiannya perempuan, aku nyatakan aku bukan feminist atau berfikiran genderism. Tun Teja hanya watak yang kebetulannya seorang perempuan. Watak Tun Teja mungkin saja boleh ada pada si Meon, si Ah Thong atau si Kupusami.

2. Tun Teja adalah watak sepanjang zaman. Watak yang masyarakat yang tertipu dengan retorik politik yang berdegar-degar hebatnya. Berjanjikan lautan yang indah, segunung permata atau sehidangan anggur syurga.

3. Watak masyarakat yang setia membabi buta tanpa mengambil kira soal kredibiliti diri.

4. Watak masyarakat yang sedia dikorbankan demi `kesetiaan’ dan `cinta’ yang dicipta untuk diperdagangkan. Manusia-manusia yang berwatak Tun Teja amat diperlukan menjelang pilihanraya atau hubungan diplomatik antara pemimpin.

5. Hari ini beribu-ribu Tun Teja dilacurkan demi kesetiaan atas nama ‘bangsa’ dan ‘agama’. Sedia untuk dipersembahkan!


Gambar Hiasan: Sekumpulan Orang-orang Melayu menyatakan taat setia dan melahirkan kebimbingan tentang nasib orang Melayu kepada DYMM Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. (Gambar daripada Utusan Malaysia)

Wednesday, 5 November 2008

Hari-Hari Terakhir Seorang Nabi Agung

1. Mendapati ayahanda tercintanya uzur yang amat sangat dan sudah ada tanda-tanda akhir hayatnya, Fatimah az Zahra bagai kehilangan kekuatan jiwanya. Ditenteramkan Nabi akan anak kesayanganya itu yang takut berpisah dengan orang yang memberikan kekuatan dirinya selama ini. Nabi juga memberitahu bahawa Fatimah bakal mengikutinya ke alam barzah lebih dahulu berbanding dengan orang lain. Senyumlah Fatimah mendengarkannya. (Enam bulan kemudian, wafatlah Fatimah, dikebumi tanpa kehadiran para sahabat nabi yang utama. )

2. Saat nabi uzur di perbaringan. Seperti dijanjikan ada perjumpaan dengan malaikat maut ke rumah Aisyah r.a. yang bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Saat getir begitu saat itulah Nabi menghantar bala tentera menentang tentera Rom yang hebat. Sedang bala tentera Islam yang sederhana pula diketuai seorang anak muda yang berusia 18 tahun. Pelantikan Usamah Zaid dibantah oleh beberapa sahabat tetapi Nabi terus menetapkan arahannya. Meskipun pemimpin-pemimpin hebat Islam seperti Abu Bakar, Umar dan sebagainya ada tetapi mereka hanya menjadi lasykar biasa.

3. Saat peperangan menghadapi musuh yang besar, Nabi pula meminta Ali k.w. menemani dan tinggal di Madinah. Bukankah Ali k.w. seorang panglima perang yang terkenal dan digeruni oleh musuh? Kenapa tidak diarahkan berperang? Tidak. Nabi ingin kewafatannya disaksikan oleh Ali dan ahli keluarganya. Kerana bagi Nabi, Ali adalah Harun bagi Musa.

4. Baginda meminta sekeping papan tulis dan pena untuk baginda menulis, `sesuatu supaya kamu tidak akan tersesat’. Malangnya ada sahabat yang membantah sehingga Nabi marah dan minta dibiarkan Nabi yang agung itu bersendirian.

5. Ketika Bilal mengingatkan nabi tentang masuknya waktu solat dan Nabi tidak mampu untuk bangun daripada katilnya, lalu nabipun bersabda, `Beritahu Ali supaya datang ke mari’. Lalu datanglah Ali menemui baginda yang baring, dilihat baginda wajah Fatimah, puteri kesayangannya dan Bilal, hamba yang berjiwa besar. Tanpa sepatah kata nabi berkata, akhirnya menyuruh mereka pergi. Itulah wajah-wajah yang terakhir dipandang oleh Nabi sebelum pergi buat selama-lamanya.

Apabila Ahli Parlimen Keluar Dewan

1. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini ahli Parlimen dan juga ADUN membuat protes dengan cara keluar dewan.

2. Memang nampak macho dan kelihatan popular. Inilah waktu press ambil perhatian. Sesetengah penyokong rasa berbangga dengan tindakan pemimpin mereka. Alangkah rendah akalnya penyokong itu.

3. Dulupun, arwah Ustaz Fadzil Mohd. Noor buat macam itu. Baru nampak belangnya Ustaz Fadzil Mohd. Noor. Jangan main-main dengan orang tua ni.....hebat.

4. Namun, masa sudah berlalu - apakah pendekatan tersebut masih sesuai selain daripada membuat kacau sewaktu ahli Parlimen lain berucap.

5. Sewaktu pergi ke Parlimen baru-baru ini, malupun ada, kelakar bodohpun ada. Pertengkaran ataupun perbalahan bukanlah isunya. Tetapi apa yang utama di sini adalah perkara yang dipertengkarkan adalah soal kecil. Antaranya soal pemilihan kata yang tidak sesuai, tidak ikut peraturan, keluar tajuk dan sebagainya.

6. Ketika itu aku sedang makan dengan seorang ahli parlimen di dewan banquet (dia belanjalah). Tak sempatpun lima suap masuk ke dalam mulut tiba-tiba dia melihatkan seorang ahli parlimen `macho' berucap. Lalu dia tinggalkan makanan dan aku untuk pergi menuju ke dewan untuk beradu hujah. Aku makanlah dengan kawan yang kebetulan sanggup menemani. Kami hanya menyaksikan dia bertarung kelakar melalui kaca tv yang ada di dewan itu.

6. Ahli Parlimen seharusnya menyiapkan diri dengan berbalah atau bertengkar secara ilmiah dan profesional. Memberikan hujah secara rasional tidak semestinya bermakna ilmiah.

7. Kadangkala, ia lebih kepada soal logik yang belum tentu ada kekuatan hujah emperikal atau falsafahnya. Falsafah pula bukan terletak pada susunan dan pilihan kata yang sukar difahami.

8. Entahlah, kalau aku jadi ahli parlimen - entah-entah lebih kurang begitu lagaknya.

Perubahan Sudah Berlaku Di USA

1. Kemenangan Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang berkulit hitam pertama adalah suatu perubahan dalam mentaliti politik dunia khususnya bagi rakyat Amerika

2. Ramai yang mengharapkan kemenangan ini akan disusuli perubahan dasar luar Amerika terhadap Asia Barat ataupun Islam khususnya.

3. Menaruh harapan tidak mengapa tetapi orang Islam sendiri seharusnya menaruh harapan yang tinggi pada potensi diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

4. Bolehkah kita bekerjasama dengan Amerika dalam menentukan masa hadapan umat Islam terutama dalam isu Palestin, Iraq, Sudan dan Afghanisthan?

5. Sanggupkah Obama mencabut segala kekuatan dan mata rantai yang tertanam di dalam kepala sebahagian pemimpin negara Islam demi melakukan perubahan?

6. Dasar Amerika mungkin tidak berubah meskipun kulit presidennya sudah berubah. Tapi tak salah untuk mengharapkan sesuatu perubahan yang baik. Cuma tidak terlalu mengharap.

Sunday, 2 November 2008

Kenapa Raja-Raja Melayu Dulu Macam Tak Bijak?

1. Bila kita selak balik sejarah Raja-raja Melayu dulu, terasa mengapa mudahnya mereka kena tipu hidup-hidup.

2. Memang ada Raja-raja yang bijaksana dan berhemah. Ada bukan tak ada. Terutama Raja-raja yang berilmu, ada pendidikan.

3. Mungkin kerana kuasa yang terlalu banyak pada mereka, sehingga penyelesaian masalah tidak menggunakan fikiran. Atau dikelilingi oleh para penasihat dan pembesar yang kurang akal fikirannya?

4. Budak-budak kecilpun kalau mereka baca sejarah, merekapun tak faham mengapa Raja-raja Melayu dulu begitu lakunya.

5. Paling yang agak dekat dengan kita - contoh Perjanjian Pangkor, Penyerahan Singapura dan Pulau Pinang.

6. Bila aku sampai kat UK, ada satu yang memungkinkan aku boleh terima cara Raja-raja Melayu berfikir.

7. Pegawai British cukup diplomatik, romantik, beretika, berdisiplin dan akhir sekali Raja-raja Melayu sendiri yang kena belit dengan kelemahan sendiri.

8. Untung Raja-raja Melayu berakyatkan orang Melayu yang setia tidak berbelah bahagi. Tambahan pula ada setengah ulama dan bijakpandai yang membenarkan kezaliman Raja.

Thursday, 30 October 2008

Melacur Cinta Tun Teja

1. Betapa hebat cinta Tun Teja kepada Hang Tuah, pemuda dari Melaka itu sehingga sanggup berputus tunang dengan Putera Mahkota Negeri Pahang Indera Mahkota, Raja Jamil. Sedang Hang Tuah tidak berharta, menumpang tinggal dengan Mak Andam yang sendiri di rumah pinggir desa.

2. Asal usul Hang Tuahpun Tun Teja tidak ketahui tapi lagak, suara dan budibahasa Hang Tuah cukup menyakinkan – itulah pemuda harapan yang mengisi sepi di hati.

3. Demi cintaku padamu, buang emak, buang saudara, tinggalkan kampong halaman, lari bersama lelaki gagah di tengah malam hari. Tun Teja tegar sekali.

4. Sesampainya di Melaka, Hang Tuah pun berkata, `Jikalau tuan hamba benar-benar cintakan hamba, berkahwinlah dengan Raja Melaka’

5. Lalu, makanlah Tun Teja sekapur sirih konon untuk hatinya hilang cinta pada Hang Tuah sambil mulutnya berkumat kamit membaca azimat cinta, `berkorban apa saja, harta ataupun nyawa….’

6. Sedang dalam firasat Hang Tuah, cinta Tun Teja akan jadi galang ganti kesetiaannya sebagai Laksamana Negeri kepada Sultan.

7. Maka bergembiralah akan Sultan Melaka beristerikan Tun Teja yang cantik jelita. Meski baginda sudah beristeri silih berganti.

8. Hang Tuah diberikan sepersalinan pakaian – berjenama antarabangsa. Kasut Clarks, Jam Rolex dan sapu tangan Voix.

9. Gembiralah Hang Tuah kerana melacurkan cinta tulus Tun Teja.

Tuesday, 28 October 2008

Berkongsi Fikir Dengan Anak Muda


1. Kini semakin kurang untuk meluangkan waktu, bertemu lutut dengan anak-anak muda. Tidak seperti dulu di tanahair. Bertapa. Uzlah. Macam begitulah kira-kiranya.


2. Bercakap tentang jiwa muda yang selalu menongkah arus, mencari dan mencipta. Memanglah menyeronokkan. Terasa semakin muda. Yang muda sahaja memasuki syurga. Alangkah bahagianya dan beruntung pemuda. Muda hanya sekali.


3. Cerita tentang cita-cita, cinta dan citra pada dunia.


4. Sembang pasal luka dan nanah bangsa. Susah anak muda yang boleh berbicara begitu melainkan asyik dengan muzik, sukan, gosip, politik, pelajaran yang membosankan.


5. Mereka anak muda sering menyimpulkan yang mudah. Tidak takut risiko. Oleh sebab itu, mereka buat apa tanpa banyak fikir. Beza orang tua. Mereka terlalu banyak fikir - sampai tak terbuat. Katanya, mereka banyak makan garam. Mereka ibarat kelapa tua. Banyak santannya. Begitulah. Lalu anak muda kekurangan garam dan tidak lemak. Setiap tindakan anak muda selalu dianggap tidak enak, kurang selesa, menganggu status quo dan .......


6. Sejarah dan pengalaman selalu mengikat pemikiran dan tindakan. Meskipun penting untuk panduan. Namun yang lebih utama adalah mencipta sejarah dan mencari pengalaman. Jangan takut.... Bukan anak muda jika tidak melakukan silap dan tiada kekurangan dalam diri mereka.


Monday, 27 October 2008

Aku Harap Benar


1. Hujung minggu ini, aku diberikan kesempatan untuk berkongsi seteguk `Socretes’s poison’ pada sekumpulan pelajar dari Bath, London, Nottingham dan Cardiff di Universiti of Cardiff. Aku percaya mereka bukan seperti penuntut ilmu yang taklid membabi buta.


2. Berkongsi cakap tentang sejarah yang dilupakan. Pencetus sejarah yang disisihkan. `HARTAL 20 Okt. 1947’.


3. Sebelum aku datang ke UK, kira-kira dua tahun lalu. Aku telah temui Pak Din Andika, seorang pejuang kemerdekaan yang mengusahakan bengkel membuat kompang dan rebana di Kg. Sayong, Kuala Kangsar.


4. Dan sempat aku beberapa minggu sebelum itu pergi menziarahi rumah Imam Majid Salleh di Kg. Sengat, Ipoh yang digenangi air setiap banjir melanda kawasan rumahnya.


5. Sewaktu aku duduk mendengar pengalaman mereka di rumah mereka ketika itu, seperti mendengar kata derita, kalimah berdarah dan bicara sengsaranya berjuang.


6. Kedua-dua itu adalah antara pejuang yang menjadi panelis dalam filem dokumentari karya Fahmi Redza, ‘10 Tahun Sebelum Merdeka’ yang memenangi Malaysian Feredom Film Festival beberapa tahun lalu.

7. Aku cuma sempat mengadakan satu pertemuan Pak Din Andika, Imam Majid Salleh dan rakan-rakannya dengan Presiden PAS, Ust. Abdul Hadi Awang di perkarangan bengkel Pak Din Andika. Sekurang-kurangnya agar PAS boleh memanjangkan riwayat perjuangan mereka di Parlimen. Sekurang-kurangnya.


8. Aku harap, kerajaan negeri Perak sekarang boleh memikirkan satu pengiktirafan kepada mereka yang telah dilupakan sejarah perjuangan mereka.


9. Aku harap benar.

Saturday, 25 October 2008

DUKLA 1944


1. DUKLA 1944 adalah merujuk satu pertempuran antara Nazi Jerman dengan rakyat Chezh yang dibantu Stalin Rusia pada Sept – Okt. 1944 yang melibatkan tentera sebanyak 70 ribu.


2. Dukla Pass terletak di sempadan Poland dan Slovakia merupakan sempadan antara dua kuasa besar ketika itu; Nazi Jerman dan Stalin Rusia.

3. Apabila dua gajah bertempur, kancil yang tersepit! Dua kuasa besar berperang, rakyat biasalah yang menjadi bahan korbannya.

4. Ketika itu, wilayah Chezh menjadi rebutan antara kedua-dua kuasa besar dunia. Akhirnya, kawasan tersebutlah yang menjadi lembah kematian kerana angka yang terkorban peperangan yang sangat tinggi sepanjang Perang Dunia Ke2. Stalin tidak mati di medan pertempuran sebagaimana Hitler hidup berkuasa. Rakyat yang kelaparan dan menderita.

5. Peperangan itu memusnahkan. Tetapi kita perlukan peperangan demi membunuh peperangan! Tiada perdamaian tanpa peperangan.

Wednesday, 22 October 2008

Bercakap Pasal Che' Guevara

1. Apabila bertemu dengan khalayak pelajar Medic, aku tidak akan lepaskan cerita tentang Ernesto Che' Guevara dan Jose Rizal. Dua doktor ini tetapi pencetus revolusi yang menyedarkan rakyat Amerika Latin, Asia dan juga dunia.



2. Bertemu dengan pelajar Medic Universiti of Charles di Prague - berkongsi cerita dengan mereka.



3. Aku dihampiri oleh salah seorang di kalangan mereka selepas bercakap sepatah kata. Khabarnya dia mengikuti pemikiran dan perjuangan ikon anak muda itu.



4. Ada yang tidak tahu, Che Guevara adalah seorang pejuang, revolusioner. Dia bukan penyanyi atau pemuzik.

Bukalah Pintu Kebenaran!

1. Hujung minggu lepas ke Prague, Czech Republic yang dulunya sebuah negara komunis. Kini dikhabarkan rakyatnya menikmati erti demokrasi dan kebebasan yang kononnya dulu tiada. Belum sempat untuk membezakan antara kesan tinggalan pemerintahan feudal Bohemian Empayar, Komunisme dan juga sekarang.
2. Kita perlu buka pintu itu untuk mendapatkan semuanya. Jangan baca akhbar atau buku semata. Apatah lagi sekadar menadah telinga buta ini!
3. Tapi yang pastinya, aku sudah ada idea untuk kupasakkan pada lantai bumi ini.

4. Bukankah manusia itu sentiasa cuba menguasai manusia lain? Atau manusia itu sekadar berdiam diri untuk dikuasai dan langsung menjadi hamba?

5. Bukakanlah pintu itu! Atau aku sendiri yang perlu membukanya?

Saturday, 11 October 2008

Belajar Menjadi Pemimpin

1. Datang belajar di UK, memanglah tak sama belajar di tanahair walaupun 'benda' yang dipelajari lebih kurang begitu. Tak sama kerana persekitaran, budaya dan sistem kehidupan di sini seperti merangsang proses pembelajaran dan pemikiran. Yang utamanya apabila berada jauh dari tanahair sendiri telah menjadikan kita lebih bersungguh-sungguh. Kita jadi pedagang. Maka hidup sebagai pedagang. Pedagang memang sifatnya bersungguh-sungguh.


2. London dan juga di kota-kota lain di UK mempunyai universiti yang tidak sekadar melahirkan intelektual ataupun teknokrat tetapi juga melahirkan pemimpin yang berkaliber. Kebanyakan pemimpin utama di UK pernah mendapat pendidikan samada University of Oxford ataupun Cambrige. Tony Blair adalah lulusan Oxford dan David Cameron yang dikatakan bakal menjadi PM Britain akan datang juga dari tempat yang sama. Seperti telah menjadi sebahagian daripada tradisi universiti di sini menganjurkan kebebasan berkarya dan berfikir. Pelajarnya diasuh dan dibentuk supaya menghargai kebebasan berfikir sehingga secara ekstrimnya mereka menolak sesuatu yang di luar rasional termasuklah agama. Pendekatan ini telah dimulakan sejak daripada kecil hinggalah ke peringkat universiti. Maka terbentuklah masyarakat yang sekular dan terasing jauh daripada kehidupan beragama. Akhirnya, sekular dan sains menjadi ‚agama baru’ kepada masyarakat yang berpegang pada rasionalsm.

3. Universiti-universiti di sini mempunyai koleksi tulisan yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan masa. Sebagai sebuah negara penjajah, kerajaan kolonial ini telah menghantar pegawai-pegawainya ke tanah jajahannya bukan sekadar pegawai biasa tetapi juga seorang diplomat dan intelektual yang hebat. Mereka membuat catatan sewaktu berkhidmat di tanah jajahan dan dibukukan dan dijadikan bahan rujukan kepada masyarakat dan generasi akan datang. Stamford Raffles, Frank Swetthenham dan lain-lain pegawai British di Tanah Melayu datang bukan sekadar pegawai tetapi datang sebagai penyelidik. Kini, buku-buku mereka menjadi rujukan para pelajar dari seluruh pelusuk dunia termasuk pelajar daripada Malaysia sendiri.

4. Lawrance of Arabia, seorang diplomat dan perisik British yang dihantar ke Arab yang menjadi penghasut kepada gerakan menentang Othmaniah oleh pemimpin Arab telah menulis buku `The Seven Pillars of Wisdom’ . Buku itu menjadi rujukan utama kepada para tentera British yang dihantar ke Timur Tengah. Saya tak pasti berapa banyak pegawai diplomat Malaysia yang menghasil buku pengalaman mereka untuk dibaca oleh rakyat Malaysia.

5. Marx yang berasal dari Jerman telah menghabiskan masanya untuk menelaah tentang sejarah dunia di Library Museum of London sehinggalah menghasilkan buku `Das Capital’ yang menjadi rujukan gerakan Komunisme seluruh dunia. Di sini Marx mendapat pelbagai maklumat dan idea untuk membangunkan hepothesisnya tentang ketidakadilan dan pembentukan masyarakat yang lebih adil. Pebagai aliran pemikiran dan falsafah yang berpusat di London. Keadaan ini sebenarnya menambahkan kematangan seseorang untuk memahami dan mencari sesuatu yang dijadikan sandaran kepada perjuangan mereka. Sekali pandang mungkin ia banyak membawa kekeliruan tetapi jalan kebenaran harus dimulakan dengan pelbagai kekeliruan dan ketidakfahaman.

6. Tun Abdul Razak Hussein sewaktu di London juga menganggotai Parti Buruh British bagi mengasah dan mendedahkan dunia politiknya. Bahkan ada yang menyebut beliau terpengaruh dengan kumpulan Fabian yang membawa aspirasi sosialis. Pengagihan tanah oleh Tun Razak kepada rakyat miskin di bawah program FELDA adalah salah satu program yang tercetus daripada idea sosialisme. Inilah kaedah untuk membangunkan masyarakat orang Melayu khususnya untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan yang disebabkan kekurangan modal utama; tanah.

Thursday, 9 October 2008

Wajah Baru, Hati Tetap Sama


1. Tengok depa buat blog – macam-macam dibuatnya. Kadangkala tak da idea. Sekadar mereka-reka design dan tampal gambar. Ceritalah satu persatu kisah di sebalik gambar. Memang menarik. Naik dengki dibuatnya. Aku? No time nak buat tu. Tapi tengah ada moderator sukarela nak buat – hantam sajalah!

2. Moderator tu, anak-anak aku. Dari dia orang buat blog dia macam-macam, lebih baik buat untuk bapanya.

3. Nak tukar stail tulis – ikut macam Tun Mahathir. Senang. Tapi isi tetap berbeza.

4. Time ni, isteri aku balik Malaysia – bapa mertua aku sakit – kena strok. Masuk ke Hospital Kota Bharu. Teringat waktu dia jaga arwah bapa aku yang menghadapi kanser, aku merasai betapa waktu itu – hati seorang bapa yang sedang sakit. Wajah dan usapan tangan kita adalah terapi buat mereka. Bapa dan mak kita ada satu. Maka hargailah – meski tiada harga yang boleh dibayar. Apatah lagi sehelai tiket flight!

5. Jangan lokek untuk berkorban demi bapa dan mak kita. Malu jika disingkap silam yang sarat perjuangan membina keluarga oleh bapa dan mak kita. Time raya, depa tak pakai baju baru - anak-anak diutamakan. Time anak di asrama kenyang - mak bapa entah lapar entah berpuasa. Anak-anak kadangkala tak tau atau tak ambil kisah. Itulah kisahnya si Tanggang.

6. Apapun doakan kesihatan dan keselamatan semua bapa dan mak kita.

Mencari Kebebasan Berpolitik Di Kota London

1. Jika Kota Paris dikaitkan dengan perkembangan fesyen terkini dunia, London pula adalah pusat perkembangan pemikiran global. Penduduk kota London kira-kira 14 juta merupakan kota pelbagai kaum, agama dan masyarakat. Seperti juga kota Mekah dan Madinah, ia tidak lagi kota untuk orang Arab tetapi kota semua Muslim yang merentasi bangsa dan kaum di seluruh dunia. British sebagai sebuah bekas empayar yang mempunyai ratusan wilayah yang dijajahnya mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Mekah dan Madinah. Penduduk kota Mekah dan Madinah dikaitkan dengan Islam sebagai faktor demografi sebaliknya di Kota London, faktor politiklah yang mencorakkan warna demografinya.

2. Sewaktu wilayah-wilayah yang dijajah oleh British belum merdeka, semua rakyat wilayah taklukan dan jajahannya dianggap sebagai rakyat kepada Queen of Great Britain. Queen menjadi payung kepada jutaan rakyat yang dijajah termasuklah orang Melayu sebelum diberikan kemerdekaan pada 1957. Sewaktu itu, ada juga sesetengah ulama-ulama di negeri Tanah Melayu mendoakan kesejahteraan kepada Queen. Kini, Kota London dipenuhi tidak sahaja orang British tetapi dari Eropah timur hinggalah ke benua Cina. Rencam sekali.

3. Sebahagian besarnya pada waktu siang berada di dalam tanah. Ini kerana kebanyakan penduduk kota London menggunakan keretapi bawah tanah (tube) yang menjalar ke seluruh kota seperti sarang labah-labah. Dengan membayar tiket lebih kurang £5, kita boleh menggunakan perkhidmatan keretapi bawah tanah untuk sehari. Seramai lebih kurang 27 juta setahun yang melancong ke London. Mereka datang dengan pelbagai tujuan selain sekadar melancong. Sebahagiannya meninjau keperluan untuk menjadikan kota London sebagai pentas penerus perjuangan mereka. Bagi negara-negara Komenwelth seperti Malaysia diberikan kelonggaran untuk tinggal selama enam bulan tanpa visa. Sekarang difahamkan, proses mendapatkan visa ke UK semakin sukar dan banyak prosedur yang perlu dipenuhi sebelum diluluskan. Walaupun bayaran pelajar luar Eropah tiga kali ganda dengan bayaran pelajar tempatan dan Eropah, namun sejak akhir-akhir ini kerajaan UK semakin mengetatkan permohonan untuk mendapatkan visa.

4. Gandhi, Lenin, Karl Marx dan banyak lagi pemimpin politik dunia memulakan karier politiknya di London. Kota London semacam memberi satu ruang atau kesempatan untuk seseorang membina rangkaian dan pemikiran politik. Sewaktu ditanya kepada Gandhi mengapa dia keluar negara (UK), dia hanya menyebut, `untuk mencapai cita-cita saya’. Akhirnya, Gandhi berjaya menjadi seorang peguam dari University College of London. Pergaulannya dan pemikirannya berubah menjadi lebih prihatin terhadap nasib negara yang terjajah. Semua ini membentuk pemikiran kepada gerakan kemerdekaan India daripada British.

5. Beberapa pimpinan gerakan Islam yang berada dalam buangan berada di London ataupun di sekitar kota-kota di United Kingdom (UK). Antaranya seperti Rashid Ghanuaschi, Saiful Islam Hassan al Banna, dan lain-lain menyebarkan idea politik mereka dari UK. Bahkan pemimpin Hindraf sedang cuba mendapat perlindungan di kota London. Jika dia balik ke Malaysia, ISA kemungkinan sedang menanti di pintu imigesen KLIA. Cuma ada bezanya orang dalam buangan dengan orang yang tak mahu berjuang di tanahair. Ada beberapa kecenderungan di kalangan sesetengah ahli politik yang lebih selesa ’berjuang’ di UK berbanding di tanahair sendiri. Mereka mengaturkan beberapa alasan untuk ’berjuang’ dari jauh walaupun keadaan tanahair mereka sebenarnya adalah selamat. Hakikatnya, kehidupan di UK lebih selesa dan memenuhi selera orang yang sering mendakwa mereka ’berjuang’ hakikatnya mereka adalah golongan `yang gugur dalam berjuang’.

6. Pada kebanyakan pemimpin negara-negara sedang membangun dan mundur di Asia dan Afrika menggunakan pendekatan kepimpinan diktator untuk memastikan keamanan negara terjamin. Penangkapan dan penyisihan musuh-musuh politik sangat berleluasa terutama di negara-negara benua Afrika dan Asia Barat. Bukan sekadar tidak mendapat keadilan tetapi penyiksaan dan penindasan yang dilakukan sesetengah regim sukar dikesan oleh masyarakat. Setakat ini, keadaan politik Malaysia tidak sedemikian rupa. Oleh itu, tidak wajar untuk orang Malaysia melarikan diri ke London.

7. UK terus menjadi medan penyebaran idea demokrasi dan kebebasan walaupun dalam masa yang sama kerajaan UK cuba mengawal syarat-syarat kemasukan pendatang. UK terus menjadi lubuk buat mereka yang terpaksa melarikan diri daripada negara asal demi meneruskan perjuangan mereka. Ini tidak sekadar pemimpin politik seperti Thaksin, tetapi juga penulis, penyair, pemuzik, pelukis dan bekas tentera. Mereka menulis ataupun berkarya bagi mencipta satu lagi gelombang kebangkitan rakyat di negara mereka melalui karya mereka di negara asing. Mereka terus bersuara samada melalui tulisan, lukisan dan muzik.

Thursday, 2 October 2008

Aidil Fitri Tanpamu.....

Aidil Fitri ini kali kedua kami beraya di UK. Beraya berjauhan daripada keluarga tersayang memang merindukan. Tapi bukanlah tidak memeriahkan, cuma sedikit kehilangan yang selama ini tidak begitu difikirkan.

Ukuran kemeriahan Aidil Fitri bukan pada hidangan makanan yang pelbagai atau hiasan rumah seperti ingin mengadakan pesta keseronokan. Kemeriahan Aidil Fitri terletak sejauhmana falsafah madrasah Ramadhan itu dapat dimanfaatkan. Tidak pada solat terawih semata atau lapar dahaga.

Raya ini, sudah sebulan lebih pemergian almarhum ayahanda kami tercinta. Pergi tak kembali. Pergi menghadap Ilahi. Baru terasa betapa hebatnya pengorbanan seorang bernama AYAH yang kupanggil BAPAK. Yang berkorban demi kelangsungan perjuangan umat. Tidak pernah kenal jemu dan putus asa demi mendidik masyarakat. Enggan mengalah meski di saat nyawa di penghujungan jalan. Mendidik diri kami menjadi insan yang berjaya dan berjasa pada perjuangan. Tidak meninggalkan seinci bendang atau tanah perladangan tetapi mewarisi kami sebuah madrasah untuk kami bangunkan demi melahirkan anakbangsa yang beradab dan berilmu. Berpengetahuan sambil berjalan sepanjang kehidupan dengan pedoman.

Saat-saat begini baru kita memahami betapa kehidupan itu mesti dimanfaatkan untuk umat. Kerana di situ ada ruang untuk kehidupan diri kita yang sebenarnya yang lebih abadi. Mengetahui tidak sama memahami. Sepertilah juga memahami juga tidaklah sehebat menghayati satu kehidupan.

Selamatlah almarhum di pusara. Dibasahi dengan air syurga. Dilindungi awan yang bertasbihan. Sinarlah kegelapan bumi dengan nurNya. Tidakkan sendiri bersemadi. Bawalah ia bersama berhimpun dengan para mursalin, solihin dan anbiya'. Ampunlah dosa al marhum, terimalah ibadahnya, terimalah doa kami, panjangkanlah belas kasihanMu Ya Rahman, Ya Rahim pada almarhum ayahanda kami.

Sunday, 14 September 2008

Jadilah Pulau!

Berkecamuk memikir soal kemelut politik. Bergaduh soal kuasa yang tak pernah surut. Awal-awal seperti berpatah arang berkerat rotan tapi kemudian 180% berubah menelan ludah sendiri. Jilat najis sendiri. Sebenarnya tiada kerasionalannya dalam berpolitik. Kadangkala atau mungkin selalunya kuasa `bawah sedar' itulah yang mengatur strategi orang politik. Aku tak marah pada orang politik kerana aku sendiri sedang bereksperimen tentang metos dan dongeng politik. Arwah Ustaz Fadzil kata, khurafat terbesar sekarang adalah mempercayai UMNO sebagai pelindung keamanan, kesejahteraan dan rezeki orang Melayu.

Pun demikian, kita juga jangan jadi terus taqlid pada pemimpin politik yang membuat pertimbangan salah. Salah pada kita mungkin tak salah pada orang lain. Kalau PAS fikir tidak perlu menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat, PAS perlu memilik peranan tersendiri dan penting. Banyak perkara yang memungkinkan pendekatan ini boleh berlaku. Kan ini politik. Yang jelas, saf kepimpinan PAS tidak sebulat dalam hal ini seperti bulan purnama yang menjadi simbol parti. Sekerat bercakap soal moral, maruah dari memperolehi kuasa dari `rampasan kuasa'. Sekerat pula berhujah, untuk apa disandarkan maruah pada demokrasi yang sistemnya sudah korup?

Situasi begini memang memerlukan pemimpin yang tegas dan kuat pendirian. Presiden PAS, Ust. Hadi Awang jelas membina kembali kepercayaan diri selepas Muktamar untuk membuat sebarang keputusan untuk masa hadapan parti dan perjuangan Islam di tanahair. Memang terdapat khilaf tentang samada terus menyertai Pakatan Rakyat, berkecuali dan tentu sekali tidak berada di celah kangkang UMNO. Respon Cikgu Mustafa Ali tentang moral perjuangan perlu juga difikirkan. Meskipun ada pihak yang mempersoalkan cara sesetengah pemimpin tertinggi (ia merujuk Ust. Nasaruddin Mat Isa) bermukabalah atau bermuzakarah dengan pemimpin UMNO juga satu tindakan tidak bermoral! Biarpun sudah ada penjelasan dari Majlis Syura namun pandangan Mursyidul Am yang mengetuai Majlis Syura tidak sehaluan. Manakala sesetengahnya berfikiran PAS sudah berada di landasan yang tepat apabila masyarakat bukan Islam mulai menyokong. Meskipun belum pasti ukuran sokongan itu bersifat protes atau proses pembinaan keyakinan politik PAS. Jika PAS meninggalkan jalan berpakat dengan Pakatan Rakyat, ia seperti membuang air di daun keladi. Tentu sekali, Murshidul Am, Dato KJ, Dr. Ramli Hatta, Dr. Dzul dan rakan-rakannya yang lain tak mahu hal ini berlaku.
Abang Mat Sabu, Ust Idris Ahmad, Mahfuz Omar dan Salahuddin masih belum jelas stand tentang isu ini. Kita raikan khilaf ini. Ya, inilah kebijaksanaan pemimpin. Namun, hakikatnya rakyat semakin kelabu.

Sewaktu saya di tanahair, seorang pemimpin DAP Perak meluahkan kesalnya pada `adegan mukabalah'. Seolah-olah lepas ini, mereka tidak mahu lagi mempercayai PAS! Nadanya seperti jenaka walaupun berbaur ugutan ringan. Manakala pemimpin akar umbi terus berdendam dengan UMNO sepertilah marah kepada Abu Jahal dan Abu Lahab. Abadan! UMNOpun perlu belajar daripada keputusan pilihanraya. Untuk menafikan peranan UMNO dalam pembinaan negara tidaklah adil. Seperti tidak adilnya UMNO berfikir bahawa tiada peranan parti-parti pembangkang lain dalam membina demokrasi dan negara merdeka ini.

Di tengah-tengah masyarakat hampir tenggelam dengan tsunami politik tanahair, kita perlu jadi pulau. Menjadi penyelamat rakyat yang hampir kelemasan dipukul ombak, tertelan air masin laut dan sejuk angin. Kitalah pulau yang menjadi pelantar kepada berlabuhnya bahtera yang dilambung ombak. Pemimpin politik tanahair hari ini berkejaran seperti mengejar atau dikejar bayang-bayang dan impian. Rakyatpun ikut berlari bertempiran tak tentu hala. Penangkapan ISA menambahkan ketidaktentuan meskipun nampaknya seperti terhenti sebentar kekalutan dan keceluparan. Tapi ini mungkin permulaan anarki tahap yang lebih kritikal. Kenaikan kos kehidupan menambahkan lagi tajamnya anarki kali ini.

Jika sebaliknya ingin terus bersama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru - jangan pula di pulaukan. Terpinggir jauh. Melukut di tepi gantang. Ada tak menambah, tiada tak mengurang. Ketika ini - PAS perlu menjadi sejalur banjaran yang menjadi tulang belakang kekuatan tanah besar. Menjadi benteng kekuatan kepada rakyat dan segala makhsul negara. PAS perlu dilihat dari sudut mana sekalipun sebagai sumber kekuatan rakyat itu. Macam memandang Banjaran Titiwangsa atau Sierra Nevada dari runtuhan kota Madinatul Az Zahra di Cordoba.

Macam penting sangat peranan PAS dalam politik Malaysia! Jangan tanya aku!











Wednesday, 3 September 2008

Luar Biasa Politik Melayu Berfikir

Telah lebih dua bulan genap aku tak menulis dalam blog ini. Kali ini tamatlah tempoh gelap aku. Tak menulis seperti tak terbit matahari di pagi hari. Tak menulis seperti manusia yang terbaring menanggu waktu. Pasif.
Izinkan aku mulakan blog musim ini dengan karenah orang politik Melayu berfikir. Mereka berfikir standard cerita lisan klasik Pak Kaduk dan Si Lebai Malang. Ini berlaku baik di sebelah parti sini ataupun parti sana. Terlalu sukar untuk keluar daripada kepompong cerita lama ini. Kesimpulan dari akhir cerita itu adalah jenaka yang menikam diri sendiri.
Pemberian Kerajaan PR Perak 400 ekar tanah kepada sembilan SRJK Cina adalah contoh terbaik bagaimana orang Melayu berpolitik. Pemberian itu seolah-olah tanah di negeri Perak telah habis. Seperti orang Melayu tak punya tanah. Tanah Rizab Melayu di Perak yang sejumlah lebih kurang 5 juta hektar pada tahun 1957, kini khabarnya hanya tinggal 2.45 juta hektar. Walaupun Artikel 89, Perlembagaan Persekutuan memperuntukan undang-undang untuk menggantikan tanah Rizab Melayu yang diambil oleh pihak kerajaan dengan saiz dan tabi yang sama namun kerajaan Perak yang lalu tidak berbuat demikian.
Sedangkan dalam tempoh kerajaan Perak yang lalu memerintah, beratus ribu (mungkin berjuta) hektar tanah diberikan kepada individu bukan Melayu atas nama pembangunan tidak pernah dipersoalkan. Kadangkala, tanah anugerah diberikan oleh kerajaan Perak (lama) kepada individu Melayu (tentu sekali kepada pemimpin UMNO) tetapi mereka hanya transit untuk dipindahkan hak milik itu kepada peniaga bukan Melayu. Bila bercakap begini - agak perkauman nadanya. Banyak contoh boleh diberikan. Standard politik Melayu adalah menjadi broker dan transit kepada kekayaan ataupun matlamat kaum lain. Orang Melayu seperti buaya yang kena tipu dengan sang Kancil sewaktu mahu menyeberang sungai. Sudahlah kepala buaya (yang kononnya garang dan ganas) diketuk, ditipu hidup-hidup pula. Alangkah murahnya buaya atau politik Melayu itu.
Sementara itu, pemberian tanah sebagai modal politik juga harus difikirkan semula. Ini merupakan pendekatan lama yang perlu difikirkan kaedah yang lebih selamat dan menguntungkan semua pihak. Teringat pula cerita Sultan Kedah dengan Francis Light tentang hikayat hilangnya Pulau Mutiara. Begitu juga cerita Sultan Johor dengan Stamford Raffles tentang hikayat Temasik yang menjadi Singapura. Begitu juga sikap Raja Siam memberikan negeri Patani, Kelantan dan Terengganu kepada British bagi memastikan kuasa politik mereka terus kekal adalah satu lagi contoh.
Sewajarnya kita mempelajari bagaimana politik yang berkuasa untuk memperolehi modal tanah yang lebih luas dan bermakna. Bukan tanah yang dijadikan modal untuk memperolehi kuasa politik. Jepun meskipun mempunyai tanah subur yang sekangkang kera tetapi melalui teknologi mereka dapat memanfaatkan setiap inci tanah itu. Kuasa barat pada abad ke 16 yang menghadapi kekurangan tanah dan modal di bumi sendiri telah melancarkan pembesaran wilayah pengaruh mereka dengan menjajah bumi Timur. Ini adalah perkiraan politik yang bijak.
Ringkasnya, tanah bukan modal politik.
Harap kesimpulan ringkas ini dapat difahami semua.

Thursday, 26 June 2008

Euro 2008: Nak Sokong Jerman, Spain atau Rusia?



Euro kali ni memang satu game pun aku tak tengok. Bukan tak minat. Rakan sekerja berbincang soal Euro. Mereka keciwa pasal Turki kalah dengan Jerman pada last minit. Mereka harap Turki menang. Penjaga gol Turki khabarnya memang hebat. Mereka sebenarnya sokong Turki lebih kepada sentimen Islam. Turki satu-satu negara Islam yang bertanding di dalam kejohanan itu. Mereka harap Turki memecah tradisi pakatan negara kristian itu. Akhirnya, Turki terkeluar daripada senarai untuk ke perlawanan akhir. Namun, pencapaian Turki ke peringkat separuh akhir sudah memadai untuk dibanggakan. Kira banggalah berkibar bendera Turki yang bersimbolkan bulan sabit dan bintang lima putih berlatar belakang warna merah. Macam bendera Kelantan je..... rasa macam nak takbir je bila Turki menang. Tambahan pula, Turki sekarang diperintah oleh parti Islam - Parti Keadilan pimpinan Tayyip Erdogan.


Walaupun Jerman memiliki pemain yang baik dan hebat, tapi tak minat nak sokong. Mungkin sebab Jerman selalu dikaitkan dengan Hitler dan gambaran media terhadap sejarah lamanya. Rusia pun mengalami nasib yang sama. Rusia itu jahat - komunis. Lenin dan Stalin.

Spain - lebih kurang semangkuk juga. Penjajah paling rakus di dunia. Memusnahkan pribumi yang dijajah dan memusnahkan tamadun dan khazanah Islam di Andalusia.

Menyokong Turki - bukan kerana bola tapi kerana politik. Agenda politik Turki melalui Euro 2008 yang membawa panji-panji kemegahan Islam terhenti di sini. Kalau Turki masuk final - aku rasa kebanyakan negara Islam akan sokong Turki - sebab agama dan politik. Bukan sebab bola!



Wednesday, 25 June 2008

PAS mahu bergabung dengan UMNO atau berpakat?

Beberapa kawan-kawan memberitahu bahawa kemungkinan itu akan berlaku. Walaupun sudah wujud perbincangan secara tak rasmi ataupun tindakan peribadi sesetengah pemimpin PAS sejurus selepas keputusan Pilihanraya Umum ke 12, nampaknya bunyi itu semakin kuat. Entah telinga aku yang semakin sensitif atau hentak kaki sesetengah pemimpin semakin kuat.
Terbaharu, kunjungan Presiden PAS dengan diiringi Ust. Harun Taib dan Mustafa Ali ke UK ada dikaitkan dengan cerita itu. Mereka akan datang ke UK, hujung minggu ini. Ada kaul yang menyatakan bahawa kunjungan itu untuk bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan pimpinan Ikhwanul Muslimun. Berbincang soal keahlian bukan muslim ke dalam parti. Ada juga yang menyebut bahawa perbincangan juga tertumpu kepada untuk mewujudkan pakatan dengan UMNO.
Sewaktu Timb. PM Malaysia, Najib Tun Razak ke London awal bulan ini, katanya ada pimpinan PAS bertemu dengannya. Entahlah. Aku tak pasti. Namun persoalan itu bukan mustahil. London memang pusat pertemuan pemimpin seluruh dunia. Mereka bertemu di Kota London tetapi kerja mereka sebenarnya untuk Kota Putrajaya ataupun kota-kota lain. Jika bertemupun, lama-kelamaan orang aku tahu. Cuma yang agak susah adalah mauduk pertemuan dan perbincangan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Azik Nik Mat awal-awal sudah isytihar pertemuan dan perbincangan dengan UMNO dalam soal untuk mewujudkan kerjasama adalah bakal menimbulkan musibah pada parti. Cukuplah sejarah yang mengajar. Ust. Ahmad Awang, Naib Presiden PAS pernah menolak cadangan Mufti Perak agar PAS Perak berpakat dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri. Walaupun kini, MB Perak di kalangan PAS dan kabinet dan ahli penyokong kerajaan kebanyakan adalah bukan muslim, PAS masih boleh bertahan. Jika pemimpin PAS dan UMNO bijak dan matang berpolitik - orang Islam juga akan mendapat keuntungan. Keuntungan itu tidak semestinya berpakat atau bergabung. Bertengkar juga kadangkala boleh menguntungkan!

Friday, 20 June 2008

Tembak Musuh Sebelum Dia Membunuh

Sekonyong-konyong, BPR pula akan menyiasat dakwaan rasuah Yong Teck Lee sewaktu menjawat Ketua Menteri Sabah. 5 juta ringgit Malaysia beb! Bukan sikit duit. Siaplah ko kali ini. Kami sebagai rakyat - tengok siapa yang rasuah - siapa dapat rasuah - dan siapa yang memelihara perasuah. Menjaga fail pak menteri rupa-rupanya lebih bermakna menjaga pintu peti duit. Lebih-lebih lagi kalau pak menteri bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan seumpamanya - senang buat peluru sewaktu keadaan getir sebegini.
Rasuah dan kuasa adalah suatu yang saling berkaitan.
Dakwaan ini dikatakan sebagai satu ugutan atas keberanian Yong Teck Lee mengugut untuk mengusulkan undi tak percaya Isnin nanti di Parlimen. Betul, ugut kena lawan dengan ugut. Pedang lawan dengan parang. Baru adil. Peranglah demi sebuah kuasa. Kuasa akan menentukan keadilan. Kuasa akan menetapkan kebenaran. Jika aqidah itulah yang menjadi sandaran. Kuasa itulah juga akan menenggelamkan!

Menanti Saat Kejatuhan Empayar BN

Belum ada mana-mana parti politik yang berkuasa lebih 50 tahun di dunia ini selain daripada BN ataupun Perikatan. Mungkin ada sebuah parti di salah sebuah negara di Amerika Latin. Tapi aku tak berapa ingat. Hasrat sebuah parti kecil Sabah yang hendak memberontak dengan mengusulkan undi tak percaya kepada PM, Isnin ini tentu mengundang seribu satu penantian. Semua parti pembangkang sudah mula menyatakan sokongan terhadap usul itu. Hanya menanti. Satu jam sudah berlalu. Satu sejarah akan berlaku.
Samada usul itu dapat menjatuhkan empayar yang berkuasa atau tidak, bukan soalnya. Yang utama di sini adalah perebutan kuasa antara parti-parti politik akan terbuka luas. Apabila Mahajara sudah lemah, maka pahlawan akan menjadi tuan. Tukang jaga pintu istana tiba-tiba menjadi pereka revolusi terbaharu di tanahair. Sejarah kewujudan dinasti-dinasti di saat Kerajaan Ummayah lemah perlu diteladani. Waktu khalifah-khalifah yang berpegang atas amanah agama hilang pedoman dan tidak sensitif terhadap amanah yang dipikulnya - inilah waktu hamba-hamba datang memberontak. Lalu terbentuklah, dinasti yang diasaskan oleh bekas hamba khalifah.

Bayangkan apabila hamba-hamba sahaya menjadi raja. Bayangkan apabila penjaga pintu istana memegang tampuk kerajaan yang kaya raya.
Lupakan Maharaja yang sudah melarikan diri ke luar negara. Mencari perlindungan. Membentuk kerajaan dalam buangan. Yang kita nak tengok adalah bagaimana munculnya maharaja baru...............................

Thursday, 19 June 2008

Budayawan: Mari Berkarya di Bumi Tuhan!

Aku selalu juga membaca tulisan dan karya Faisal Tehrani. Faisal sebagai penulis anak muda tentu sekali menawarkan sesuatu yang dikehendaki oleh aku sebagai anak muda. Kritikannya juga tidak membatas pada persoalan budaya dan sastera tetapi terus melewati batas politik. Apabila aku menyertai Group Karyawan Luar Negara, rupa-rupanya peminat Faisal Tehrani begitu ramai sekali. Hebat.

Terakhir kritikannya terhadap Pemuda PAS Selangor terhadap konsert yang akan diadakan. Aku fikir tak perlu nak ulang kembali apa yang dikritiknya. Aku dulupun, makhluk jenis yang suka demonstrasi bagi menunjukkan bantahan. Walaupun aku minat lagu-lagu Scorpion tapi apabila Pemuda PAS anjur bantahan di Stadium Negara, aku pergi. Walaupun aku minat lagu Sudirman, tapi aku juga pergi bantah sewaktu arwah buat konsert di UM dulu. Aku membantah sekali kehidupan hippies yang pernah dipopularkan oleh Beatles sewaktu ketika dulu. Tapi, bila aku pergi ke Liverpool, aku teringatkan Beatles!

Mungkin waktu aku agak terhad. Untuk berkarya sebagaimana rakan-rakan lain yang rajin menulis novel, puisi atau sebagainya. Kritikan, bantahan dan demostrasi kita tidak bermaksud untuk kita memutuskan hubungan segala-galanya. Apabila kami kritik artis, kami juga jalinkan hubungan dengan artis tanpa memilih. Kritikan itu sebagai amanah dan tanggungjawab nahi mungkar. Namun dalam masa yang sama, kita teruskan kerja-kerja macam Hezbullah seperti mendekati artis dan budayawan dan sebagainya. Mungkin ada kekekangan. Tapi soalnya, kita lakukan.

Kerja mengkritik memang senang dan mudah. Tapi kritik suatu yang diperlukan dalam sebuah negara yang hendak membangun. Apatah lagi jika kita nak bangunkan konsep hiburan alternatif ini. Namun yang paling diperlukan sekarang adalah komitmen untuk melaksanakan. PAS daripada sebuah parti yang dianggap konservatif hinggalah mampu memperolehi sokongan sekarang, bukan ukuran parti itu sudah sempurna.

Kalianlah yang sewajarnya menjadi batu penyempurna ke arah pelaksanaan konsep hiburan, karyawan yang berasaskan keredhaan Allah s.w.t. Cukuplah menjadi pengguna industri hiburan atau sastera. Marilah kita hiburkan mereka. Dengan cara kita.

Friday, 13 June 2008

Bila Semangat Kian Luntur

Iman manusia biasa seperti ombak. Sekali tinggi menjulang. Sekali bergelora. Sekali langsung tak bermaya. Kita tidak milik iman Nabi. Iman nabi sentiasa menjulang. Setiap waktu, setiap saat. Itulah kehebatan para nabi. Kita tidak juga malaikat. Imannya tetap. Tidak berubah. Tidak turun dan tidak naik. Iman manusia biasa, seperti ombak. Lihatlah ombak. Lihatlah awan. Lihatlah langit. Kemudian lihatlah diri sendiri.

Iman tak sama dengan semangat. Iman lahir dengan berasaskan keyakinan diri dan mengamalkannya. Iman bukan retorik. Iman bukan tugu. Iman juga bukan warisan. Tidak iman seorang ayah akan diwarisi oleh anak atau keturunannya. Tidak seperti harta dan pangkat. Iman dicari. Iman diuji. Meskipun, letaklah nama Nur Iman, Nurul Iman atau sebagainya......

Semangat adalah kocakan jiwa yang kadang kala tergeser akibat fizikal yang peka. Kadangkala, bila jasad sudah kematu, akal dan jiwa pula yang menjadi kayu ukur kepada pengesan dan penggugah semangat. Semangat semacam nafsu. Walaupun kadangkala ia adalah satu meski ada waktunya bukan satu. Semua manusia ada nafsu. Nafsu yang terbaik adalah nafsu yang dikawal oleh roh dan akal. Sebaliknya nafsu yang jahat - nafsu yang terbebas lepas daripada ikatan akal dan roh.

Semangat boleh mati. Tetapi semangat akan hidup kembali. Tidak seperti jasad. Sekali ia mati - ia terus pergi. Roh tidak akan mati. Adapun kematian adalah pemisahan roh dari jasad yang menjadi kenderaan melayari kembara dunia yang sejengkal zaman. Adapun roh akan kekal hingga akhir zaman. Sesetengah ulama berpendapat, zaman kebangkitan adalah zaman roh dan jasad kembali bersatu. Ada sesetengah tidak berfikiran begitu. Roh saja yang bangkit. Ada muktamar akbar kalangan roh-roh yang sejak diciptanya Adam hinggalah roh terakhir sewaktu nafiri berbunyi. Itulah hari mahsyar.

Semangat boleh hidup. Yang menghidupkan semangat adalah ilmu dan roh yang sentiasa dihidupkan dengan nyanyian zikirullah. Semangat boleh patah seribu tetapi dia boleh bangun bagai gunung memaksi bumi. Dulu, sewaktu aku bebal memahami matematik. Aku naik jemu dan bosan. Semangat untuk belajar mengira hampir ke penghujung. Namun sekali dapat temui jalan pengiraannya, semangat matematik itu tiba-tiba berpunca-punca ganda walaupun tak selalu begitu.

Jika semangat itu mati atau kian luntur - itu tanda kita adalah manusia biasa. Jika semangat itu terus berkobar tanpa berhenti. Itu mungkin luar biasa. Alexandra the Great sewaktu meluaskan empayar taklukannya, berhenti mara selepas sampai di India. Diberitakan dia berkahwin dengan puteri raja India. Dia sudah malas nak meneruskan empayarnya. ADa kawan aku berjenaka. Waktu itu, Alexandra the Great berfikiran bahawa bumi ini leper. Tidak bulat. Semakin dia jauh mengembara, semakin jauh daripada tanah kelahirannya. Lalu, dia membuat keputusan untuk berhenti meluaskan empayar. Entah betul, entahkan tidak. Tapi moralnya, ilmu menentukan kadar semangat perjuangan kita.

900 tahun berdakwah. Nabi Nuh tak pernah mengalah. Usahkan rakan atau masyarakatnya bersedia menerima dakwahnya, isteri dan ahli keluarganya sendiri menolak dakwahnya. Tapi nabi Nuh terus berjuang. Sebab Nabi fikir bukan soal angka yang ingin dicapai. Nabi Nuh fikir soal amanah yang tidak mempunyai nilai tertentu. Infiniti.

Bila semangat kian luntur. Tengoklah album dan biodata tokoh pejuang ternama. Jangan dibaca sejarah Jimi Hendrix atau Bob Marley. Kalau malas nak baca sirah nabi. Baca saja tokoh kapitalis atau sosialis yang percaya pada ideologi mereka. Mereka bermati-matian berjuang atas prinsip ideologi yang palsu. Ideologi itu palsu tetapi mereka yakin. Lalu keyakinan itulah membentuk pemikiran sehingga mereka melakukan tindakan seakan-akan skrip ideologi mereka sendiri.

Bila semangat kian luntur. Tibalah waktu kalian berundur untuk menelaah diri. Muhasabah

Tuesday, 10 June 2008

Sokong Membawa Rebah

Tiba-tiba Sanusi Junid, pelopor idea Mat Jenin moden dipecat sebagai Presiden UIA. Alasannya mudah. Politik. Buatlah apa jua alasan, hanya otak bawah lutut sahaja yang boleh terima bahawa tindakan itu tidak bermotif politik.
Politik memang kuasa yang mengancam. Keselamatan masyarakat dan bangsa juga terancam angkara politik yang ekstrim. Khir Toyo, bekas Menteri Besar yang kini menjadi Ketua Pembangkang di Selangor pula mengapi-apikan agar rakyat tak bayar cukai pintu. Dari seorang pemimpin negeri yang berwawasan tiba-tiba beralih lagak sebagai hero pemberontak dari hutan Ulu Bernam. Dalam isu kenaikan minyak, ramai menteri menegaskan kewajaran kenaikan itu demi kebaikan negara. Sebelum ini, Azlina cadang nak boikot negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat daripada menikmati pendekatan pelancongan yang dianjurkan oleh kementeriannya. Muhyidin Yasin dan Rais Yatim secara terangan kritik kepimpinan nombor wahid mereka. Tiba-tiba pula, Ezam masuk UMNO. PKR tak hairan dan tak berapa kisah. PAS tak komen banyak. DAP diam je. Biarlah Ezam terjun. Biarkah. Biarkan.
Ehhhh...banyak yang pelik berlaku sejak akhir-akhir ni.
Kepala otak aku fikir begini: mereka nak jatuhkan Abdullah Badawi dari dalam ke? Rasa-rasanya inilah yang disebut sebagai sokong membawa rebah.
Jika Abdullah Badawi jatuh - siapalah yang akan sempat menerpa untuk membantunya agar tidak jatuh terjelepuk ke lantai?
Aku? Aku jauh yob!

Sunday, 8 June 2008

Teringat Akan Arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor


Entah tiba-tiba aku teringat akan arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor. Walaupun hari-hari aku membaca persoalan kepimpinan yang berkaitan dengan Ust. Fadzil Mohd. Noor tetapi kali ini aku memang terasa begitu kuat ingatan itu. Tak semena-semena. Mungkin cerita politik tanahair sedikit mengusik nostalgia aku. Atau kerana ziarah beberapa kawan ke rumah beberapa hari ini menyentuh kenangan itu.


Malam itu, sewaktu aku bekerja - langit Swansea terang - sinar bulan yang hampir purnama. Malam itu memang mengingatkan aku malam kembalinya arwah ke sisi Allah s.w.t. Malam itu, kami sekeluarga tinggalkan pusara yang masih basah merah. Ramai lagi yang masih setia menunggu di tepi pusara sambil membaca ayat-ayat al Quran. Hari sudah hampir penghujungnya. Tubuh baru terasa melekit. Peluh seharian.tak bermandi.

Lautan manusia, sungai mengalir sepi. Sawah menghijau. Gunung Jerai berdiri teguh. Saksi lautan manusia tak pernah mati.

Malam itu sepi. Purnama betul-betul menyinari pusaranya. Seakan-akan turut menerangi kegelapan dalam perut bumi. Kami mencari hotel. Tak upaya untuk kami meneruskan perjalanan dari Pokok Sena ke Teluk Intan. Pagi itu, kami memang merancang untuk pergi ziarah arwah di Hospital UKM Cheras. Hati aku terasa tak sedap. Walaupun khabar angin menyebutkan bahawa keadaan arwah semakin baik tetapi hati aku terasa tak sedap juga. Pagi-pagi itu kami berangkat ke Kuala Lumpur. Terasa perlahan kereta aku berjalan.


Kami isi petrol di stesyen Petronas pekan kecil Bidor. Walaupun ada yang menyebut, kualiti minyak Shell lebih baik daripada Petronas tetapi aku pilih Petronas - itu syarikat negara. Itu syarikat milik orang kita. Alangkah patriotiknya aku. Walaupun aku tahu, Petronas tak pernah tahu siapa aku. Melalui jalan lama lebih baik daripada melalui lebuhraya yang memaksa kami membayar tol. Jalan lama antara Bidor ke Tanjung Malim sudah banyak dibaiki. Lebih baik kami menggunakan jalan lama - lebih menjimatkan.


Tapi hati aku tak sedap. Aku nak cepat ke Kuala Lumpur. Aku nak ziarah Presiden PAS. Paling tidak mendoakan dari luar biliknya jika aku tak dapat masuk melawat. Siapalah aku waktu itu. Tentu orang yang lebih penting dan utama akan diberikan keutamaan untuk melawat arwah. Tak kisah, sebagai ahli biasa - aku juga mempunyai hak untuk mengasihi dan menyayangi pemimpin. Aku membatalkan hasrat untuk menggunakan jalan lama. Aku membelokkan kereta ke arah pondok tol Sungkai. Tiba-tiba, telefon aku berdering. Tertera nama `Raja' - bila aku angkat telefon, ayat pertamanya menyebut nama Ustaz Fadzil...........hatiku tiba-tiba menyambut `dia sudah meninggal'. Betul, itulah yang Raja cakapkan. Aku terus memberhentikan kereta di tempat letak kereta Plus. Nak tau cerita lanjut.


Selepas itu, aku beritahu ayah aku tentang berita sedih itu. Aku semacam hilang semangat. Mati seketika. Binggung seketika. Kemudian tak berhenti-henti aku terima sms daripada rakan memberitahu berita yang sama. Kami buat keputusan untuk terus ke Pokok Sena. Kami tak jadi ke KL. Biar kami tunggu jenazah arwah di Kedah. Aku memang tak rapat dengan arwah tetapi arwah tetap mesra dengan aku.


Baru sekarang aku sering mengingat-ingatkan waktu-waktu kami pernah bersama. Waktu makan di Kg. Gajah. Ceramah di kawasan Pasir Salak. Arwah datang memberi sokongan sewaktu aku didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Aku dan keluarga aku sempat bergambar dengannya. Itulah satu-satu gambar yang sempat aku buat. Sedangkan, aku mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Namun, satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan sewaktu kami berada di atas pentas dalam Muktamar Pemuda di PUTIK, Kelantan. Arwah yang diiringi Ust. Nasaruddin Mat Isa melihat pemuda bermuktamar, arwah duduk di hadapan kami. Selepas itu, arwah pergi beredar dan memberikan lambaian kepada kami. Bendahari Pemuda PAS waktu itu, Hj. Roslin membisikkan kepada kami - itu macam lambaian terakhir........




Saturday, 7 June 2008

Mencari Sahabat


Waktu dulu aku suka sekali baca buku tentang persahabatan. Bercakap dengan sahabat serumah, sekuliah atau sefikrah - syeikh, akhi, anta........ Istilah sahabat diambil daripada sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sahabat adalah para sahabat yang pernah hidup sezaman dengan Nabi. Selepas generasi sahabat, ia dikenali sebagai Tabi' dan Tabiin. Sahabat Nabi yang terkenal semua dah maklum. Ada hadis yang menyebut 10 sahabat yang dijamin masuk syurga.


Di sini, ramai yang menyebut `brother' ataupun dalam istilah kita - 'saudara' untuk menyapa sesama kenalan. Mungkin, istilah ini diambil daripada pengaruh `ikhwanul muslimin'. Apapun istilahnya, sahabat adalah membayangkan satu perhubungan yang ikhlas dan sejati. Ramai ada pengalaman yang sama terutama sesiapa yang pernah terlibat dalam tanzim tarbiah sewaktu di universiti. Sahabat memang tak ramai. Sahabat memang terpilih. Sahabat memang sedikit. Namun dalam sedikit itu tidak semestinya memahami dan menghayati makna persahabatan.


Masa beredar, waktu berlalu. Sahabat-sahabat yang pernah setarbiah, sefikrah dan seperjuangan sudah mempunyai fikiran dan keperluan sendiri. Masing-masing sudah membina kematangan dan kefahaman tersendiri. Ada yang masih berada dalam perjuangan. Setia dalam medan. Tarbiahnya terus menjadi laluan memandu masa hadapannya. Ada yang berhenti di tengah jalan. Ada yang berpatah balik. Ada yang maju. Ada yang masih keliru. Itu semua ada dalam kamus persahabatan.


Dalam perjuangan politik, sahabat memang selalu diuji. Ujian persahabatan sewaktu masa susah mungkin berbeza dengan sewaktu masa senang. Waktu susah bersama, insyaAllah ujian persahabatan akan mampu dihadapi. Ujian waktu senang, insyaAllah mungkin akan dapat dikawal. Namun, ujian sewaktu berbeza keadaan; satu senang dan satu lagi susah - mungkin di sini akan memperlihatkan erti persahabatan.


Sewaktu Abdullah Badawi meneruskan karier beliau sebagai PM dengan pelbagai cabaran yang ada, berapa menteri dan ahli parti yang sanggup mempertahankan beliau sebagai pemimpin parti kalaupun tidak sebagai PM. Waktu beginilah, Abdullah akan mengenali siapa sahabat pada dirinya yang sebenar. Ada yang menikam dari depan, dari belakang dan dalam gelap dan dalam terang.


Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan - ke mana perginya sahabat-sahabatnya yang berkongsi kuasa. Yang jadi 'orang kuat' Anwar Ibrahim adalah orang kecil-kecil. Orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim sewaktu menjadi TPM hilang entah ke mana. Yang dah kenyang - semakin jauh. Samalah juga seperti Tun Mahathir Muhammad. Itu cerita tentang orang politik. Cerita orang niaga atau lain-lain sama je.


Waktu susah biasanya akan dapat menilai siapa sahabat sejati. Nabi pernah sabda yang bermaksud lebih kurang bahawa kita dapat mengenali sahabat bila kita makan, tidur dan kembara bersama. Waktu itulah, kita dapat mengenali diri sahabat kita.