...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday, 3 September 2008

Luar Biasa Politik Melayu Berfikir

Telah lebih dua bulan genap aku tak menulis dalam blog ini. Kali ini tamatlah tempoh gelap aku. Tak menulis seperti tak terbit matahari di pagi hari. Tak menulis seperti manusia yang terbaring menanggu waktu. Pasif.
Izinkan aku mulakan blog musim ini dengan karenah orang politik Melayu berfikir. Mereka berfikir standard cerita lisan klasik Pak Kaduk dan Si Lebai Malang. Ini berlaku baik di sebelah parti sini ataupun parti sana. Terlalu sukar untuk keluar daripada kepompong cerita lama ini. Kesimpulan dari akhir cerita itu adalah jenaka yang menikam diri sendiri.
Pemberian Kerajaan PR Perak 400 ekar tanah kepada sembilan SRJK Cina adalah contoh terbaik bagaimana orang Melayu berpolitik. Pemberian itu seolah-olah tanah di negeri Perak telah habis. Seperti orang Melayu tak punya tanah. Tanah Rizab Melayu di Perak yang sejumlah lebih kurang 5 juta hektar pada tahun 1957, kini khabarnya hanya tinggal 2.45 juta hektar. Walaupun Artikel 89, Perlembagaan Persekutuan memperuntukan undang-undang untuk menggantikan tanah Rizab Melayu yang diambil oleh pihak kerajaan dengan saiz dan tabi yang sama namun kerajaan Perak yang lalu tidak berbuat demikian.
Sedangkan dalam tempoh kerajaan Perak yang lalu memerintah, beratus ribu (mungkin berjuta) hektar tanah diberikan kepada individu bukan Melayu atas nama pembangunan tidak pernah dipersoalkan. Kadangkala, tanah anugerah diberikan oleh kerajaan Perak (lama) kepada individu Melayu (tentu sekali kepada pemimpin UMNO) tetapi mereka hanya transit untuk dipindahkan hak milik itu kepada peniaga bukan Melayu. Bila bercakap begini - agak perkauman nadanya. Banyak contoh boleh diberikan. Standard politik Melayu adalah menjadi broker dan transit kepada kekayaan ataupun matlamat kaum lain. Orang Melayu seperti buaya yang kena tipu dengan sang Kancil sewaktu mahu menyeberang sungai. Sudahlah kepala buaya (yang kononnya garang dan ganas) diketuk, ditipu hidup-hidup pula. Alangkah murahnya buaya atau politik Melayu itu.
Sementara itu, pemberian tanah sebagai modal politik juga harus difikirkan semula. Ini merupakan pendekatan lama yang perlu difikirkan kaedah yang lebih selamat dan menguntungkan semua pihak. Teringat pula cerita Sultan Kedah dengan Francis Light tentang hikayat hilangnya Pulau Mutiara. Begitu juga cerita Sultan Johor dengan Stamford Raffles tentang hikayat Temasik yang menjadi Singapura. Begitu juga sikap Raja Siam memberikan negeri Patani, Kelantan dan Terengganu kepada British bagi memastikan kuasa politik mereka terus kekal adalah satu lagi contoh.
Sewajarnya kita mempelajari bagaimana politik yang berkuasa untuk memperolehi modal tanah yang lebih luas dan bermakna. Bukan tanah yang dijadikan modal untuk memperolehi kuasa politik. Jepun meskipun mempunyai tanah subur yang sekangkang kera tetapi melalui teknologi mereka dapat memanfaatkan setiap inci tanah itu. Kuasa barat pada abad ke 16 yang menghadapi kekurangan tanah dan modal di bumi sendiri telah melancarkan pembesaran wilayah pengaruh mereka dengan menjajah bumi Timur. Ini adalah perkiraan politik yang bijak.
Ringkasnya, tanah bukan modal politik.
Harap kesimpulan ringkas ini dapat difahami semua.

No comments: