...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
Showing posts with label nota. Show all posts
Showing posts with label nota. Show all posts

Wednesday, 13 April 2011

Demokrasi atau Kukubesi

Demokrasi

`Kami datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan terhadap Allah’ Panglima Islam menjawab di hadapan pemimpin Parsi sewaktu bertanyakan motif Islam dalam peperangan.

Menjadi kesukaran pada hari ini untuk mencari persetujuan tentang definisi demokrasi. Dari pandangan kiri yang extreme dan golongan kanan extreme mempunyai tafsiran yang pelbagai dan saling bertentangan. Ini menimbulkan kekeliruan dalam memahami maknanya. Walau bagaimanapun, persoalan yang utama dalam melihat isu ini ialah mengapa demokrasi begitu penting oleh semua aliran pemikiran politik dunia hari ini?

Demokrasi hanya dianggap suatu istilah yang dihormati selepas perang dunia pertama (Hoffman, 1988:133). Sebelum itu pada abad ketujuh belas, amat kurang yang ingin mengelar diri mereka sebagai kumpulan pejuang demokrat. Istilah itu dilihat sesuatu yang buruk dan menyalahi norma kehidupan pada masa itu. Hitler menganggap demokrasi sebagai political counterpart kepada ekonomi komunis. Sebaliknya, sekutunya Musolini menyebut bahawa negara yang paling demokrat di dunia (ketika itu) ialah Itali dan Jerman. (Hoffman 1988:133). Manakala menurut Trotsky, Setiausaha Parti Komunis Soviet demokrasi akan menjadi irretrievably bourgeois dan counter-revolutionary. Kenyataan ini memperkukuhkan pandangan Karl Marx yang menyebut bahawa state adalah alat kepada kapitalis bagi menindas rakyat.

Istilah demokrasi bermakna pemerintahan rakyat dari rakyat untuk rakyat. Kuasa rakyat bukan sekadar memilih pemimipin tetapi menentukan dasar kerajaan yang memerintah agar memenuhi keperluan dan menjaga kepentingan rakyat. Idea demokrasi semakin berkembang luas dengan kepelbagaian makna dan pendekatan. Bahkan kebanyakan negara di dunia pada hari ini mengakui bahawa demokrasi itu sendiri sesuatu yang luhur untuk negara (John Dunn 1979:11).

Istilah demokrasi berasal daripada perkataan Latin `demokratia’ yang mengabungkan kata demos (people) dengan kratos (power). Dalam istilah kita disebut sebagai `kuasa rakyat’. Makhal Sakti. Ia wujud antara pertengahan abad 5-4 sebelum masihi di negara kota Greek dan mempunyai pengaruh besar di Athens pada 508 sebelum masihi. Ia berlawanan dengan sistem monarchy (pemerintahan individu), oligarchy (pemerintahan kelompok elit) dan timocracy (pemerintahan oleh tuan tanah). Namun dalam pada masa itu, amalan demokratik itu terhad kepada warganegara lelaki Athens yang telah menjalani ‘khidmat ketenteraan’. Manakala lelaki bawah 20 tahun, kaum wanita, hamba, pendatang luar tidak diberikan hak dalam sistem demokrasi klasik itu.

Amerika Syarikat sendiri di peringkat awalnya mempunyai takrifan demokrasi yang sempit. Pada tahun 1776, hak undi hanya diberikan kepada lelaki kulit putih yang dewasa. Manakala hamba, lelaki kulit hitam dewasa dan wanita dinafikan hak sebagai pengundi. Hanya selepas Perang Saudara (lewat 1860an), dan berlakunya pembebasan hamba yang banyak telah membuka ruang untuk diberikan hak undi kepada mereka. Namun itupun terhad kepada kaum lelaki sahaja. Ramai sarjana berpendapat bahawa Revolusi Perancis dianggap sebagai mercu tanda sistem demokrasi dipraktiskan di Eropah dan dunia pada hari ini.

Prinsip kebebasan dan keadilan merupakan istilah yang berkait rapat dengan demokrasi. Prinsip ini adalah terjemahan bahawa setiap warganegara mempunyai hak menentukan kuasa. Sebagai contoh dalam demokrasi berperwakilan, setiap undi mempunyai hak yang sama. Hak ini diperuntukkan dalam undang-undang dan dilindungi oleh perlembagaan.

Kebebasan pula diterjemahkan dalam bentuk kebebasan menyertai politik, bersuara dan berpersatuan. Kebebasan ini diimbangi antara kepentingan individu dnegan tanggungjawab sosial. Kebebasan yang melampau akan melewati tanggungjawab sosial menjurus negara ke dalam anarki (ketidaktentuan).

Dalam sistem demokrasi mempunyai makna yang saling bertentangan seperti; hak majoriti dengan hak individu, kerajaan terhad (limited government) atau kepentingan populariti (popular sovereignty) dan samada harta peribadi atau hak sosial. Hal ini akan menyebabkan timbul masalah penyertaan atau perwakilan, kolektif atau individu, sosialis atau kapitalis.

Dari segi analisa linguistik, istilah demokrasi, kapitalis dan liberalisme adalah perkataan yang memberi maksud yang sama. (Weldon 1953:86).

The Separation of Power

Antara idea demokrasi yang dominan adalah pemisahan kuasa kepada beberapa bahagian; kuasa legislative, executive dan judicative. Dalam sistem feudalisme, pemusatan kuasa kepada individu memungkinkan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap rakyat. Montesquieu mengemukakan idea pemecahan kuasa berdasarkan pengalaman gaya kepimpinan feudal Perancis.

Dalam sistem kerajaan Malaysia pada hari ini, legislative merujuk kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menggubal perundangan negara. Manakala pihak executive pula merujuk kepada parti yang menguasai kerajaan dan menjalankan dasar dan undang-undang yang diluluskan oleh pihak legislative. Manakala pihak judicative akan mentafsirkan perundangan yang diluluskan jika dibawa ke mahkamah.

Adapun pengalaman politik di Malaysia, konsep the separation of power itu lebih bersifat atas kertas daripada amalannya. Selepas isu yang melibatkan pemecatan Tun Salleh Abbas dan pindaan perlembagaan yang mengurangkan kekebalan raja-raja Melayu, executive begitu berkuasa.

Keadaan di Dewan Rakyat yang BN hilang kuasa 2/3 telah mengendurkan kuasa yang ada pada executive.

The Tyranny of the Majority

J. S. Mill dan Tocqueville mengutarakan persoalan kezaliman majoriti sebagai salah satu persoalan dalam demokrasi. Keadaan ini berlaku apabila hak individu tidak dapat dipertahankan dalam perlembagaan. Crick menyebutkan bahawa fenomena ini sebagai suatu yang kontra dengan kebebasan (paradox of freedom). Contohnya kemenangan Hitler dalam pilihanraya 1933 membawa Jerman ke kancah peperangan. Contoh lain yang diberikan oleh Barbara Goodwin (1997:289) ialah kemenangan Islamic Salvation Front (ISF) di Algeria dalam pilihanraya umum yang kemudian dinafikan oleh pihak tentera dengan satu rampasan kuasa. ISF dakwa pihak tentera kononnya berhasrat mendirikan sebuah negara Islam yang teokrasi dan bertentangan dengan demokrasi.

Kenyataan ini adalah lanjutan pemikiran purba Greek yang menyebut bahawa demokrasi adalah peraturan orang miskin yang mewujudkan istilah kezaliman popular (the popular of despotism). Ini berlaku dalam revolusi Perancis, Robespierre menyebut demokrasi sebagai pembela pengganas (the defenses of terror).

Pendemokrasian Politik

Kemaraan idea demokrasi dimarakkan dengan masalah ekonomi setempat telah menyebabkan beberapa regim ditumbangkan oleh rakyat. Sesetengah regim berundur atau terpaksa berundur dan menyerahkan kuasa kepada rakyat seperti yang berlaku di Spain, Portugal (1974), Argentina (1983), Bolivia, Uruguay (1984), Brazil (1985), Chile (1990) dan sebagainya.

Kejatuhan empayar kuasa Soviet Union adalah akibat daripada proses pendemokrasian politik yang dilaksanakan oleh Presiden Soviet Union. Kejatuhan ini menjadi domino demokrasi kepada negara-negara blok timur seperti Romania, Yoguslavakia, Bulgaria dan sebagainya. Sekaligus era ini menamatkan Perang Dingin antara dua blok yang saling bermusuhan sejak berpuluh-puluh tahun.

Perbezaan Parti Cap Ayam dan Cap Itik

Apakah itu Parti Politik?

Umumnya, parti politik adalah organisasi politik yang berusaha mendapatkan pengaruh dalam menentukan dasar-dasar negara. Kekuatan pengaruh politik itu diukur melalui proses pilihanraya yang diadakan mengikut perlembagaan sesebuah negara. Parti-parti politik akan menggunakan pendidikan, media, demonstrasi, persenjataan dan lain-lain kaedah.

Asas Pembentukan Parti

Tujuan utama pembentukan parti politik adalah untuk menjaga kepentingan kelompok tertentu dalam sesebuah negara atau wilayah. Meninjau tentang perkembangan parti politik di Malaysia khususnya, terdapat beberapa sebab penubuhan sesebuah parti. Antaranya adalah seperti berikut:

i. Agama, mazhab
ii. Kaum, etnik, kabilah
iii. Ideologi
iv. Wilayah, negeri
v. Kelas dalam masyarakat

Sesetengah kelompok mempunyai parti tertentu tetapi disebabkan krisis kepimpinan dalam parti, menyebabkan sesetengah pemimpin mewujudkan parti baru untuk membawa aspirasi perjuangan melalui wadah baru mereka. Semakin plural sifat dalam masyarakat, penubuhan lebih banyak parti politik yang berasaskan kepentingan kelompok merupakan fenomena sistem demokrasi.

Keadaan ini bertambah kritikal apabila wujudnya hubungan tidak harmonis antara kelompok yang saling berbeza budaya, agama, hak milik kekayaan dan sebagainya. Kelompok akan melihat perbezaan entity kelompok sebagai satu ancaman terhadap kewujudan entiti kelompok mereka. Persaingan politik yang positif mungkin terarah ketidaktentuan (anarki) sekiranya prasangka antara kelompok sangat tinggi.

Non Partisan

Dalam sistem non partisan, bukan pertubuhan politik mempunyai pengaruh politik terhadap isu dan dasar-dasar negara. Umumnya, organisasi-organisasi tersebut diasaskan bukan bermotifkan politik tetapi mempunyai kesan terhadap politik. Fungsi yang dimainkan Persatuan Pengguna seperti CAP, Persatuan Pengguna Islam Malaysia memberi kesedaran kepenggunaan kepada masyarakat boleh mempengaruhi ekonomi. Seperti juga peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam terhadap isu undang-undang boleh mempengaruhi warna politik tanahair. Kenyataan tokoh-tokoh bukan politik seperti A.Samad Said, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Prof Ungku Aziz dan personal yang popular memberi impak kepada politik.

Sudah menjadi kecenderungan parti-parti politik menaungi atau mendampingi beberapa pertubuhan non-partisan demi kepentingan politik mereka. Hal ini boleh dinilai dengan melihat perkembangan yang dimainkan oleh Teras, Persatuan Ulama Malaysia, Perkasa, Siqui, Suaram, Dewan Peniaga Cina Malaysia dan sebagainya.

Sistem Satu Parti

Dalam sistem satu parti, hanya sebuah parti politik yang dibenarkan bertanding dalam sesuatu pilihanraya. Kedudukan parti yang menguasai kerajaan melalui sistem satu parti dilaksanakan di China (Parti Komunis Cina), Syria (Parti Baath), suatu ketika dahulu di Iraq (Parti Baath), German (Parti Nazi).

Terdapat beberapa kekaburan perbezaan antara sistem satu parti yang menafikan kewujudan parti-parti lain di negara dengan sistem satu parti dominan. Dalam sistem satu parti dominan, parti pembangkang dibenarkan wujud dari segi perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang gagal memenangi atau menguasai keputusan pilihanraya. Parti yang dominan terus menguasai kerajaan dalam tempoh yang panjang. Kebiasaannya sistem satu parti dominan merupakan parti yang memperolehi kuasa selepas menerima kemerdekaan daripada kolonial. Sebahagian daripada parti tersebut mengunakan isu sumbangan perjuangan parti dalam menuntut kemerdekaan sebagai hujah yang menguatkan sokongan mereka.

Di samping itu, terdapat beberapa faktor lain yang memperkukuhkan pengaruh parti-parti berkenaan. Pertamanya, kedudukan parti pemerintah yang dapat mengawal jentera kerajaan. Oleh itu, dasar dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat mempengaruhi rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada parti.

Contohnya penguasaan Perikatan-BN sejak pilihanraya pertama 1955 hingga terkini (2008) menunjukkan betapa sistem parti dominan berlaku di Malaysia. Perkara yang sama dilihat pada pengalaman politik People Action Party (PAP) di Singapura (1965-2009), African National Congress (ANC) di Africa Selatan, Social Democrat Party (SDP) di Sweden, Golkar di Indonesia sejak awal 70an hingga era reformasi 1998 yang menyaksi tumbangkan kerajaan Suharto. Liberal Demokrat yang menguasai Jepun juga jatuh pada pilihanraya 2009 selepas menguasai kerajaan sejak 1955.

Sistem Dua Parti

Penguasaan Perikatan (1955) dan Barisan Nasional -BN (1973) hingga sekarang telah mengalami beberapa cabaran daripada parti-parti pembangkang. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang di Malaysia tidak pernah berjaya mewujudkan kesepakatan sebagaimana yang dilakukan oleh Perikatan dan BN. Kerjasama di kalangan parti –parti pembangkang lebih bersifat election pax yang sementara. Ini termasuklah penubuhan Gagasan Rakyat, Harakah Keadilan Rakyat (HAK), Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif. Penubuhan Pakatan Rakyat (PR) memungkinkan wujudnya sistem dua parti di Malaysia.

Sistem dua parti bermakna wujudnya dua parti utama yang saling menguasai kerajaan. Walaupun terdapat beberapa parti lain turut serta dalam proses pilihanraya, namun kelazimannya hanya dua parti utama sahaja yang menang. Manakala parti-parti lain hanya menang dalam jumlah yang kecil. Hal ini dapat dilihat melalui pengalaman demokrasi di UK (Konservatif- Buruh) dan USA (Republican-Democrat). Namun dalam pilihanraya 2010 di UK, kerajaan campuran antara Konservatif dan Liberal Demokrat berjaya menyingkirkan parti Buruh.

Dalam beberapa kes tertentu, parti ketiga atau multi parti terbentuk melalui penubuhan kerajaan campuran daripada pelbagai parti-parti kecil dan menyingkirkan parti yang dominan. Biasanya, kerajaan multi parti ini tidak kuat. Ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang lemah begini. Secara politiknya, parti yang kuat ialah apabila ia boleh menguasai kerajaan tanpa kerjasama dengan parti lain.

Jenis-Jenis Parti Politik

Parti Kader

Parti ini bersifat elit kerana hanya yang layak sahaja boleh menyertai sebagai ahli parti politik. Oleh itu, seseorang itu akan mengalami proses penapisan seperti melalui latihan kepimpinan dan ideologi. Ini dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Jami’ el Islami di Pakistan.

Walaupun dalam proses pilihanraya, parti kader memerlukan sokongan dan undi orang awam namun calon yang bertanding adalah di kalangan ahli parti yang sudah mengalami proses pengkaderan kepimpinan.

Parti Massa

Parti massa membuka keahlian kepada umum. Keperluan latihan kepimpinan ataupun proses pengkaderan mula dilihat oleh kebanyakan parti-parti di Malaysia. Oleh itu, proses pengkaderan ahli oleh parti massa mula menjadi trend sejak 1980an. Parti-parti mula menubuhkan akademik kepimpinan untuk memberikan latihan dan mencari lapisan kepimpinan masa akan datang parti.

Politik Adalah Bola Yang Kempis

Istilah politik sering disalahtafsirkan oleh pihak tertentu. Politik disempitkan pada ruang yang menyukarkan masyarakat untuk memahami lebih dalam erti sebenar politik. Keadaan ini timbul akibat salah faham dalam memahami maksud politik dan wujudnya kumpulan tertentu merencanakan agenda bagi kepentingan politik mereka sendiri. Secara umumnya, politik adalah seni mempengaruhi orang lain membuat sesuatu keputusan. Hari-hari kita membuat keputusan politik demi memenuhi kepentingan dan keperluan diri sendiri atau kelompok tertentu.

Kononnya, politik itu kotor. Memang dalam Kamus Dewan, antara makna politik ialah tipu muslihat. Tidak sesuai untuk orang baik menyertai. Ayat-ayat ini sebenarnya dicipta untuk menafikan hakikat yang kotor ialah manusia yang pengotor. Adapun, politik itu seperti bola. Kalau ditendang, melayanglah ia. Kalau dikempis, kemiklah.

Sememangnya, makna yang paling popular digunakan untuk istilah politik ialah bagaimana untuk mengurus negara dan kerajaan. Ini memang tidak boleh dinafikan. Menafikan makna lain, sebenarnya ada niat politik yang tidak baik. Sebab itulah, dalam Islam ada istilah siayah syariah. Ia bermakna, politik yang berasaskan al Quran dan as Sunnah.

Politik diambil daripada perkataan Greek (politicos) yang bermakna `citizen’, `rakyat’ adalah satu proses membuat keputusan oleh sekumpulan masyarakat tertentu. Ia lebih merujuk hubungan mengurus negara supaya tercapai maksud penubuhan sesebuah negara. Sebagaimana dinyatakan oleh Aristotle dalam bukunya tentang kerajaan bahawa politik adalah hal-hal yang berkaitan dengan kota. Asal kata, politicos itu sendiri adalah ‘polis’ yang bermaksud kota.

Kota merupakan wilayah yang memiliki kekuasaan sebagaimana ciri-ciri yang wujud dalam konsep sebuah negara pada hari ini. Istilah `kerajaan’ atau `kingdom’ merujuk kewujudan bersama antara raja dan kerajaan. Oleh itu, penubuhan sesebuah kerajaan perlu memenuhi ciri utama seperti berikut:

i. Raja (pemimpin)
ii. Rakyat (yang dipimpin)
iii. Wilayah – tanahair
iv. Perlembagaan
v. Kedaulatan

* Tajuk diatas tiada kena mengena dengan isi. Harap maklum.