...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
Showing posts with label Election. Show all posts
Showing posts with label Election. Show all posts

Tuesday, 7 April 2009

Menang Jua Akhirnya

1. Samada BN atau PR, kedua-dua lebih menaruh harapan menang di Bukit Gantang. Banyak faktor mengapa kedua-dua perlu menang di situ berbanding di Bukit Selambau dan Batang Ai.

2. Akhirnya, PAS menang dengan kelebihan majoriti berbanding PRU 12 dan meletakkan DS Ir Nizar Jamaluddin sebagai calon PR adalah satu tindakan tepat meski risikonya tinggi. Siapa yang berani berumah di tepi pantai, jangan takut dilambung ombak.

3. Biar perubahan berlaku di saat-saat akhir waktu kempen, mood pengundi tidak dapat dipengaruhi oleh pendekatan drastik BN seperti kembalinya Tun Mahathir ke dalam Umno dan perubahan dalam kabinet Umno. Mungkin, tidak sempat meninggalkan kesan dalam masa yang begini singkat.

4. Referundum rakyat sudah dibuat. Restu rakyat sudah diperolehi. Kini waktu pemimpin meneraju bahtera ke lautan yang lebih luas. Kelasi jangan lalai, nakhoda jangan angkuh, layar jangan terus biar berkembang, takut angin membawa jauh. Ada waktu layar beralih arah, agar tidak melanggar ombak besar. Tujulah ke pelabuhanNya dengan jaya.

5. Selamatlah kalian semua berjuang.

Friday, 3 April 2009

Politik Silap Mata

1. Beta ada kuasa. Apakah Tuhan kamu lebih berkuasa? Tanya Namrud pada nabi Ibrahim a.s. Tuhan kami berkuasa daripada yang lebih berkuasa. Dia boleh menghidup dan mematikan. Kalau begitu, beta pun boleh menghidup dan mematikan. Lalu dibawa dua orang banduan yang dijatuh hukuman mati. Seorang dibunuh dan seorang dibebaskan. Lalu, Namrud itupun bertitah, `bukankah aku ini tuhan yang berkuasa mengidup dan mematikan manusia'.

2. Lalu, nabi Ibrahim a.s. menyebut bahawa, Tuhannya adalah yang mengarahkan matahari terbit di timur dan tenggelam di barat. Lalu, nabi Ibrahim a.s. meminta agar Namrud mengalihkan agar matahari terbit di barat, dan tenggelam di timur. Akhirnya Namrud kalah dengan rasional nabi Ibrahim a.s. dan mengajak nabi Ibrahim berperang dengan bala tenteranya..........hinggalah Allah s.w.t. menghantar seekor nyamuk untuk menamatkan keangkuhan sang Maharaja Namrud.

3. Aku boleh haramkan, boleh gantung, boleh tangkap - dan sekarang aku berkuasa untuk membenarkan Harakah dan Suara Keadilan diterbitkan seperti biasa. Aku bebaskan tahanan ISA demi keterbukaan politik baru aku pada rakyat aku. Bukankah aku seorang pemimpin yang berkuasa dan berfikiran jauh ke hadapan?

4. Ketika api menjulang membakar nabi Ibrahim a.s., rakyat Babilyon berasa hebatnya kuasa Namrud. Namun setelah api padam dan susuk nabi Ibrahim kelihatan utuh, kebesaran Allah s.w.t. terus terserlah. Hingga anak Namrud, Puteri Razia mengakui Tuhan nabi Ibrahim adalah Tuhan semesta alam. Tuhan yang sebenar yang lebih berkuasa dari segala-gala yang berkuasa.

5. Lalu api fitnah menyala-nyala terbakar di kaca tv, radio dan akhbar. Membakar rasionaliti dan adab sesama sendiri. Berhari-hari Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai dan seluruh jiran tetangganya dihujani air kebencian, kemarahan, kepalsuan dan keamarahan yang panjang.

6. Aku sedang mencari pengertian `nyamuk' dalam politik sekarang.

Tuesday, 31 March 2009

Kempen Bodoh Pengundi

1. Setiap kali tiba kempen pilihanraya, semua parti akan membuat satu pendekatan yang mudah dan cepat.

2. Jika pengundi hendak tanah merah, bagikan tanah merah. Jika mereka hendak buat majlis kenduri, buat tahlil, mereka datang bawakan imam untuk baca doa. Jika mahukan tar, malam buta pun boleh dibuat.


3. Naik ke pentas kempen tentang keburukan musuh dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Tayang tv atau pasang radio, internet cerita yang sama.


4. Semua menjanjikan jambatan emas, syurga dan seribu cerita 1001 malam.


5. Undi parti kami, tolak parti lawan.


6. Waktu yang genting begini memang tidak perlu berpantun seloka. Kalau ada keperluan, tembak terus. Biar burung yang terbang itu mati melayang. Kalau ada kesempatan, balun habis. Biar semut itu mati ditelan perut bumi.


7. Pengundi masih lagi bodohkah atau pemimpin politik yang membodohkan diri mereka sendiri?

Sunday, 29 March 2009

PAS Sudah Lain

1. Selepas melewati usia lebih 60 tahun, PAS sudah banyak berubah. Sudah lain dari asalnya. Memang lain sekali.


2. Asalnya dari sebuah parti bernama Persatuan Ulama Se Tanah Melayu yang dianggotai oleh alim ulama. Yang DiPertua Agong pertamanya seorang ulama terkenal, Tuan Hj. Ahmad Fuad Hasan. Ulama kaum tua, berpengaruh dalam istana, belajar di Mekah dan berkawan rapat dengan Dato' Onn Jaafar. Semua AJK pertama persatuan itu adalah ulama.


3. Dalam Persidangan Persatuan Ulama Se Tanah Melayu ke 3 yang bertempat di Titi Serong, perwakilan bersetuju menukar nama kepada Persatuan Islam Se Tanah Melayu agar dapat melewati pengaruh politik di luar kawalan ulama. Akhirnya, masuklah Dr. Burhanuddin al Helmy, Dr. Zulkifli Muhamad, Mohammad Taha Talu, Khatijah Sidek, Abdullah Zawawi dan beberapa ahli politik kiri jika tidak sosialis tapi mereka lebih nasionalis.


4. Penentangan mereka terhadap Jus Soli daripada Perlembagaan 1946 Malayan Union hingga Perlembagaan Persekutuan 1948 terus konsisten. Pembentukan Malaysia 1963, ditentang oleh PAS kerana menyebabkan orang Melayu semakin mengecil samada dari segi demografi, ekonomi dan juga politik. Sepanjang 60an hingga pilihanraya 1969, agenda perjuangan PAS adalah mempertahankan hak kepentingan orang Melayu Islam daripada ancaman bukan Melayu. Kecaman dan kritikan terhadap Perikatan-Umno kerana mengkhianati amanah bangsa Melayu kepada mereka.


5. Selepas Tragedi 13 Mei, pimpinan PAS bagai mengubah haluan dari sebuah parti pembangkang di peringkat nasional kepada sebuah parti kerajaan setelah bersetuju mewujudkan kerajaan campuran PAS-Perikatan dan seterusnya membentuk BN pada 1973. Bersama-sama dengan Umno untuk membangunkan Islam dalam kerajaan dan negara.

6. Peralihan kepimpinan Umno dari Tun Razak kepada Hussein Onn mempengaruhi akhirnya perubahan kepimpinan dalam PAS dari Dato' Asri kepada Yusuf Rawa yang bertemakan kepimpinan ulama. PAS menjadi lebih konservatif, tradisionalis dan lebih radikal dengan idea negara Islam.

7. Sebaliknya dalam keradikalan itu, PAS menghulurkan salam persahabatan dengan masyarakat bukan Islam dan mewujudkan kerjasama politik melalui CCC. Meski gagal dan menyebabkan Ustaz Nakhaie letak jawatan dan berundur dari parti. Idea tahaluf siasi dikembangkan dari untuk masyarakat bukan Islam kepada parti-parti politik serpihan seperti S46, Hamim dan Berjasa.

8. Tahun 1998, PAS secara rasmi berkerjasama politik dengan DAP yang sejak 1963 (PAP) 1965 (DAP), yang selama ini berlaga arus. DAP yang menentang konsep `negara Islam' berada dalam satu barisan dengan PAS yang menentang konsep `Malaysia Malaysian'.

9. Pilihanraya 2008, pertama kali wanita India menjadi calon PAS di Johor. Ini tidak pernah berlaku. Dr. Mariah menang di Parlimen Bukit Raja, kawasan majoriti bukan Islam. Berpuluh ribu lagi menjadi ahli Kelab Penyokong PAS di seluruh negara. Orang bukan Islam dan Melayu tanpa rasa bimbang mengibarkan bendera PAS, melaungkan `Allahuakbar' dan sanggup ber`jihad' demi Islam.

10. PAS sudah lain. Lain dari yang lain.