...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Friday, 6 December 2013

Nelson Mandela Yang Pergi

Ceritanya menginspirasikan.  Kualiti kepimpinan dapat dirasai biarpun berbeza warna kulit, bahasa, agama dan tradisi.




Tuesday, 19 November 2013

Panduan Memilih Pimpinan PAS


Daripada pengamatan aku yang dangkal ini, dapatlah aku kategorikan beberapa ciri-ciri yang penting dan tidak penting dalam menentukan seseorang perwakilan memilih pimpinan parti dalam setiap muktamar. Mungkin ada beberapa kesilapan dalam mengkategorian ini, harap maaf.

1.  Pantai  Timur - Pantai Barat

Barangkali ini adalah pengaruh pemikiran geo politik yang tidak boleh diambil ringan.  Walaupun PAS ditubuhkan di Kepala Batas pada sesetengah qaul atau di Kuala Lumpur pada qaul lain, PAS subur di negeri-negeri Pantai Timur.

Kalau berdasarkan senarai AJK PAS Pusat yang lepas, pimpinan Pantai Timur adalah seperti Presiden, Wahid Endut, Ust. ABC, Dato KJ dan Nik Amar. Tapi Dato' KJ ni namanya orang Kelantan tapi dia banyak di KL.

2.  Bergelar dari gelaran istana

Orang Melayu dalam tetap memiliki semangat beraja ataupun sistem feudal. Cuma ada yang membezakannya hanyalah ketebalan atau kenipisan semangat. Gelaran pada nama tetap penting dalam pemikiran orang Melayu dan Malaysia. Memiliki gelaran daripada istana dapat mempamerkan rekod sumbangan mereka pada pembangunan negara. Cuma yang nak dapat mudah, boleh mengusahakannya di Kemboja ataupun di Filifina.

Mari kita check siapa yang ada gelaran dari istana; Dato' Seri Presiden, Dato Husam, Dato Mahfuz, Dato ABC, Dato' KJ, Dato' Mujahid, Dato' Taqi, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan banyak lagi la.....

Yang tak da gelaran dari istana, Bang Mat, Khalid Samad, Mazlan Aliman, Dr. Hatta, Dr. Dzul, Ustazah Nuridah, Dr. Maria, Hanifa, Asmuni, Sabki, ......aku pun tak da bergelar apa-apa dari istana.

3.  Ada title Dr atau Hj.

Ada orang belajar tinggi-tinggi bukan nak cari ilmu tapi cari title Doktor (Dr.).  Belajar apa subjekpun tak kisah asal pada akhirnya akan dapat title keramat itu. Ada yang sanggup beli Phd dari universiti palsu walaupun pada akhirnya orang akan tahu juga. Memilik gelaran Dr., terasa berjalan macam boleh mengepak. Ada yang dapat gelaran Dr. kerana anugerah. Rosmah pun ada gelaran jenis ni. Gelaran ini kononnya sangat berkaitan dengan keilmuan. Memiliki gelaran Dr. seolah-olah sudah macam Socrates atau cendiakawan terbilang yang layak menjadi pemimpin.  

Dalam AJK PAS Pusat yang ada title Dr. ni ramai, jadi title aku sebagai Dr. Phd tenggelam dengan lambakan title Dr. dalam AJK PAS Pusat.

4.  Lulusan Universiti Malaya atau Lulusan U U lain

Aku graduat dari UM. Aku tahu sentimen keUMan. Sikit-sikit nak budak UM. Maklumlah UM universiti tertua. Adalah egonya. Ni yang menyebabkan ada sesetengah lulusan U lain terasa hangin dengan setengah ahli yang bersentimen begini.

5.  Azhariun atau Lulusan  Universiti Barat

Masalah Azhariun ni semacam juga dengan masalah KeUMan. Sentimen. Mentang-mentang UM dan al Azhar universiti tersohor, tertua dan terhebat......maka para graduasinya beranggapan merekapun hebat-hebat juga......

6.  Ustaz atau bukan Ustaz

Dulu kat kampong, orang panggil aku Ustaz walaupun aku tidak pernah masuk sekolah agama. Masuk sekolah Arab waktu petang tu adalah. Aku dipanggil Ustaz sebab arwah bapa aku ustaz. Begitulah senangnya orang Melayu membuat perkiraan.

Dalam AJK PAS Pusat, walaupun Dr. Mujahid tu adalah Ustaz, orang akan panggil dia YB. Ada sesetengah panggil dia Dr. ataupun Ustaz. Tapi bagi Dr. Mahfodz, biasanya orang akan panggil Ustaz sahaja.

7.  Lulusan pengajian Islam atau Lulusan bukan Pengajian Islam

Ini ada kaitan dengan no. 5 dan 6.

8.  Gender

Ni tak payah tulis banyak-banyak. Sendiri boleh tahu.

9.  PAS totok atau pendatang (UMNO, ABIM, IRC dll)

Ha.... yang ni sensitif.  Ramai AJK PAS Pusat bukan daripada PAS totok macam aku. Akupun tak boleh kata totok PAS kerana pernah join Tabligh masa kat U. Yang daripada UMNO, Dato KJ. Yang daripada IRC, Mujahid, Dr. Dzul, Ir. Amiruddin, Dr. Maria kalau tak silap. Yang daripada ABIM, Hj. Anuar Tahir. Yang daripada PUM, Ust. Ghani Shamsuddin dan Dr. Mahfodz.

10. Aktivis, Profesional dan Ulama

Bab nilah yang paling hot sekali kerana kerangka ini bikinan UMNO yang paling laris digoreng dalam kuali orang PAS.

11.  Pandai Berceramah atau Tidak

Haaa... bab ni, Bang Mat terrer..... Mahfuz, Salahuddin, Tantawi, Hanifa, dan banyak lagi lah......... orang ini popular.  Mereka ni jenis round seluruh negara. Orang yang tak pandai ceramah (macam aku....) payah nak dipilih. Orang pun tak tahu siapa kita, kalau bagi microphone, nescayalah macam khatib baca khutbah Jumaat. Orang tidur!

12.  Banyak banyak muka dan beritanya di Harakah

Aku tak sempat nak belek-belek Harakah lama. Tapi inipun ada pengaruhnya.

13. Tengok rekod kerja dalam buku Laporan Tahunan

Yang ni, perwakilan kena semaklah sendiri.

Kesimpulan

Mungkin ada pengkategorian lain yang lebih munasabah. Aku tak larat nak tulis. Sebab aku fikir, pemimpin perlu dipilih bukan kerna warna kulit atau rambutnya, pakai cermin mata atau tidak, pakai kopiah putih atau bersongkok hitam.  Kepimpinan yang diperlukan akan berbeza dengan situasi semasa dan masyarakat. Ada waktu kepimpinan tertentu diperlukan pada situasi tersebut tetapi tidak sesuai pada setiap waktu. Itulah flexiblenya kepimpinan.

Yang nak kita pimpin ni bukan batu, bukan pokok. Kita nak pimpin negara yang ada gunung, laut, kilang, jalanraya, budak sekolah, pondan, raja, buruh, penoreh getah, perompak, penyanyi, ratu cantik, peniaga, pelacur, pelancong, orang Cina, orang sakit, doktor, orang gila, Gereja, Kuil, Melayu, Kadazan dsb.......

Kalau nak pimpin PAS. Pilihlah pemimpin yang kotak otaknya adalah PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,PAS, PAS,

Selamat Mengundi!










Tuesday, 24 September 2013

Menjawab Tulisan Dr. Mujahid Yusuf Rawa: Kecelaruan Istilah Dalam Parti

Memulakan dengan terma ‘ konservatif’ dan ‘reformis’ dalam membincangkan persaingan dalaman PAS memungkinkan suasana yang kurang selesa pada sesetengah pihak. Saya ingin merujuk tulisan sahabat saya, Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Saya memahami beliau cuba membawa keluar daripada kerangka dikotomi ulama-profesional yang memerangkap sebahagian besar khalayak parti. Usaha  memecah-mecahkan tekstur anggota parti kepada kepingan kertas ijazah, warna jubah, lokaliti dan sebagainya harus disokong. Walau bagaimanapun, pengkategorian pemikiran atau pendekatan ahli kepada kutub konservatif dan kutub reformis secara tidak cermat akan mengelirukan akhirnya.

Istilah ‘konservatif’ bermaksud bersikap mempertahankan adat, nilai yang menjadi tradisi ataupun kelaziman. Bahkan istilah ini juga membawa maksud tidak mudah menerima perubahan dan lebih ‘teruk’ ia memberi erti sebagai kolot dan tidak moden. Makna itu sendiri meletakkan konservatif pada sudut kelompok yang ‘bermasalah’ dengan perubahan. Tidak mesra perubahan. Berada pada takuk lama. Mandom.

Manakala istilah ‘reformis’ adalah golongan yang menganjurkan atau mengusahakan perubahan dan pembaikan dalam bidang-bidang tertentu. Akar kata reformis ini mempunyai nilai yang asing dengan budaya kita tetapi telah diberi nafas tempatan sehingga diterima sebagai suatu istilah yang baik. Jika dikorek dalam-dalam lagi, istilah ini adalah masalah agama Kristian!

Sayapun tidaklah berhasrat menambah-nambah kecelaruan yang sediada melainkan cuba memberi sedikit ruang untuk menjadi sebuah perbahasan yang mematangkan pimpinan dan ahli parti. Mungkin sebagai satu bata-bata bagi mewujudkan persekitaran parti yang sihat dan merangsangkan pemikiran.  

Dalam aspek kepimpinan politik, kita boleh melihat bagaimana kupasan James Mac Gregor Burns memahami pendekatan pemimpin. James Gregor Burns memang bukan seorang Muslim tetapi anggapkan ideanya sebagai suatu ‘hikmah’ yang tercicir.  Sebagai pengutip hikmah, tidak salah untuk mengambil manfaat untuk kepentingan bersama. Beliau membahagikan gaya dan pendekatan pemimpin secara umum dibahagikan kepada dua; transformational leadership dan transactional leadership.  Istilah ini masih muda dalam kamus pemikiran orang Melayu.

Secara umumnya, transformational leadership adalah seorang pemimpin yang memiliki keupayaan melebarluaskan ideanya, memberi inspirasi, mendidik ataupun membentuk pengikutnya dan memiliki tahap toleransi yang seimbang. Pendekatan kelompok ini tidak berkembang dengan keupayaan berpidato, retorika ataupun susuk tubuh pemimpin yang memiliki aura tersendiri. Perlu diakui, setiap pemimpin yang karismatik memiliki daerah auranya yang tersendiri. Semakin luas daerah auranya, semakin tinggilah nilai karismatiknya.

Inti kepada kepimpinan transformational adalah kekuatan idea dan proses pengembangan idea itu sendiri. Idea itu menjadi sumber kuasa yang merangsang para pengikut bekerja dan berjuang.  Pemimpin yang baik bukan sekadar mampu melontarkan idea yang bagus tetapi memahami proses menyampaikan idea secara berkesan.  Pemimpin bukan sahaja perlu ‘alim’ atau berpengetahuan secara asas agama tetapi dalam sebuah organisasi politik dan dakwah, PAS sebenarnya lebih memerlukan pemimpin yang ‘alim sosial’. Alim sosial adalah salah satu kualiti kepimpinan transformational. Mereka memahami keperluan sosial semasa dan mampu merangsang masyarakat bergerak sama. Kepimpinan transformational sentiasa bertolak ansur bagi memastikan idea besar mereka berkembang. Ini dapat dilakukan melalui sessi penerangan, pengajaran, pendidikan ataupun dalam konteks PAS disebut tarbiyyah.

Kepimpinan transformational ini tidak sangat bergantung kepada kuasa karismatik seorang pemimpin. Kekuatan mereka adalah bergantung kepada kekuatan idea yang dibawa oleh mereka. Idea inilah yang membentuk dan mewarnai pemikiran para pengikutnya.

Manakala, transactional leadership pula adalah seorang pemimpin yang memiliki keupayaan menggunakan kuasa dan kedudukannya dalam menggerakkan organisasi (jamaah atau parti) ke arah yang menjadi objektif perjuangan mereka. Pemimpin kelompok ini memiliki nilai karismatik melalui keupayaannya berpidato, berkomunikasi dengan pengikut mereka. Tentu sekali pemimpin ini memiliki daerah aura yang lebih luas. Daerah aura mereka dibentuk oleh tradisi pemikiran ahli atau pengikut yang sedia ada. Secara tradisinya, ia agak berbau feudal tetapi bukan kerana faktor darah tetapi kerana kedudukannya sebagai pemimpin. Kedudukan (jawatan) pada organisasi itu sendiri memberikan kelebihan pada seseorang pemimpin transactional bertindak.

Kepimpinan transactional bercakap atas kapasiti jawatan. Ini kerana jawatan dalam organisasi itu sendiri memiliki autoriti yang semacam perlu dipatuhi. Jawatan itu sebagai kuasa yang akan memberi ganjaran kepada pengikut jika mematuhi atau sebagai amaran jika pengikut mengambil sikap engkar.

Dalam konteks persaingan yang ada pada PAS, kepimpinan transactional akan menggunakan platform organisasi untuk menglegitimasikan idea dan tindakan mereka sebaliknya kepimpinan transformational menggunakan kekuatan idea itu sendiri. Siapa mereka dalam PAS yang boleh dikategorikan sebagai kepimpinan transformational dan transactional? Saya tidak mahu menjadi penyebab kepada pendikotomian parti.  Saya ringkaskan bahawa kita perlukan kepimpinan transformational bagi membawa parti berhadapan masa hadapan. Jawatan bukanlah satu-satunya sumber kuasa tetapi idea besar adalah kuasa penentu dalam melakar siasah tanahair.

Untuk akhirnya, maaflah kerana mengajak sidang pembaca pada nota universiti!







Wednesday, 31 July 2013

Kembali Menelaah Karya 'Syiah'

1. Syiah menjadi topik penting mutakhir ini. 

2. Marilah buka kembali buku Ali Syariati, Murtadha Muthahari, Kalim Siddique dan Sheikh al Azhar Mahmud al Syaltut. Kepada sesiapa yang pinjam buku 'Kerajaan' tulisan Imam Khomeini, tolong pulangkan!. 

3. Aku nak baca. Tak kan nak harap buku 'Kerajaan' tulisan Prof. Anthony Milner. Baca juga buku 'Kerajaan dan Khalifah', tulisan Maududi. 

4. InsyaAllah kalian akan menjadi Sunni yang setia.

Tuesday, 23 July 2013

'Malay For Sale'

1.  Hari ini memanglah hari mengundi di Kuala Besut. Selamat mengundilah pada yang mengundi. Selamat berkempenlah pada yang sibuk berkempen.

2.  Itu dari segi demokrasinya. Pilihanraya memberi peluang untuk pengundi memilih calon yang terbaik buat mereka.

3.  Taburan projek segera dan duit raya dilakukan siang malam secara terang dan gelap tanpa sebarang masalah.

4.  Rata-rata yang menerima habuan kebendaan adalah pengundi berbangsa Melayu yang kuat pegangan mazhab dan adat istiadat mereka.

5.  Hakikatnya, inilah waktu orang Melayu dijual sewenang-wenangnya dengan harga yang sangat murah.

Monday, 15 July 2013

TITAS di Universiti Swasta: Jalur Pemikiran Pemimpin DAP dan MCA

1.  Pendirian beberapa pimpinan DAP dan MCA yang mempersoalkan langkah kerajaan mewajibkan subjek TITAS (Tamadun Islam dan Tamadun Asia) atas alasan subjek tersebut bersifat indoktrinisasi dan pelajaran agama tidak boleh dipaksa untuk yang bukan Islam mempelajarinya.

2.  Dalam negara demokrasi, secara idealnya semua suara dibenarkan hatta suara anjing ataupun kura-kura. Sebutkan sahaja hujah kalian, nanti akan ada pihak lain pula yang membelasahnya. Jangan dihalang-halang bersuara. Nanti terencat pembangunan demokrasi di negara ini. Kononnya begitulah.

3. Ada beberapa perkara yang aku ternampak dalam sinar mentari yang terang benderang pagi ini. Pertama, ternyata bahawa naifnya ahli politik ini kerana menyedari bahawa baru sekarang pendidikan adalah proses pendoktrinisasi. Ternyata kerana sibuk bersiasah, tak sempat menelaah buku-buku anak-anak di sekolah atau di universiti. Hakikatnya, dari subjek Sains hinggalah Sejarah dan Pendididkan Islam memang mempunyai sarat nilai yang aku tafsirkan sebagai proses indoktrinisasi daripada beberapa aliran yang 'berkuasa'.

4.  Biasalah pemimpin politik akan mencari makanan yang boleh dikerumuni ramai orang. Lagi ramai yang datang pada hidangan mereka (meski yang datang mengerumuni itu adalah bertaraf 'otak lalat'), maka mereka mendapat markah tinggi. Boleh dapat kepujian. Hakikatnya, inilah yang terpaksa ditanggung oleh rakan kongsi siasah.

5. Apa doktrin yang hendak ditanam oleh parti politik sekarang? Menganut popular-ism?







    

Friday, 5 July 2013

Bukan Malang Morsi

1. Dalam sebuah negara demokrasi-republik seperti Mesir, tentera merupakan paksi kuasa yang tidak boleh diambil ringan. Tambahan pula, asas penubuhan republik itu sendiri daripada revolusi yang dicetuskan oleh tentera sendiri.

2. Presiden Gamal Nasir merampas kuasa mutlak raja King Farouk dan mendirikan sistem feudal tentera dengan pelantikan Anwar Sadat dan diwariskan kepada Hosni Mubarak.

3. Saat kejatuhan Hosni, rakyat Mesir beruntung kerana tentera bersikap neutral. Tatkala itu, rakyat beranggapan bahawa tentera bersama rakyat.

4. Morsi dijatuhkan oleh tentera dengan bertopengkan wajah rakyat.

Monday, 10 June 2013

Keretapi Malam Terakhir

Setiap kali menuju ibu kota, aku sepastinya ingin mudah sampai ke sana tanpa kerenah berbaris di sepanjang hiway yang mahal. Kerana nanti di sana, bicara kami sememangnya sudah tersedia memenatkan. Itupun belum tentu puas berlabun dari satu muka ke muka selanjutnya.

Keretapi malam terakhir adalah selimut buat aku yang kepenatan. Hari ini, keretapi tiada bunyi siren yang melayangkan fikiranku keluar dari sangkar kebiasaannya. Dingin penghawa keretapi mengeraskan kulitku yang nipis.

Aku ditelan malam dalam keretapi terakhir.

Monday, 3 June 2013

Doctor Zhivago

1.  Aku mula mengetahui novel Doctor Zhivago melalui A.Samad Said kira-kira hampir sepuluh tahun lalu. Katanya, itulah antara novel yang diminati. Tentulah menarik kerana novel itu sendiri diminati oleh seorang novelis seperti A. Samad Said.

2.  Aku menyaksikan drama tv lakonan Omar Sharif suatu ketika dulu. Dari situ, barulah kutahu lebih jelas novel epik dari Soviet Union itu.

3.  Semalam aku baru dapat baca novelnya. Itupun, anak aku belikan.

4.  Sebuah novel tulisan Boris Pasternak - dan lagu 'Somewhere My Love' nyanyian Andy William sudah memadai hebatnya karya ini.

Sunday, 26 May 2013

Himpunan Lawan Himpunan

1.  PR buat himpunan Blackout 505 di PJ. Lautan hitam manusia berkumpul mempamerkan solidariti untuk membersihkan sistem pilihanraya negara yang korup.

2.  Hari dan jam yang sama di Putrajaya, Najib dan KJ bersama lautan belia dalam Festival Belia 2013.

3. Sebutlah apa jua nama himpunan itu - pada akhir titik makhluk siasah adalah memperolehi sokongan dan menunjukkan kekuatan yang ada.

4.  Hari ini, esok aku ada himpunan keluarga. Pamerkan kekuatan kasih sayang. Eratkan perhubungan. Tingkatkan makrifat.

5.  Jangan takut untuk berhimpun, di jalanraya, di pasaraya, di balai raya. Jangan tunggu hari raya datang baru nak berhimpun.


Saturday, 25 May 2013

Kejujuran Dalam Berpolitik

1. Mstar melaporkan bahawa Anwar dan Najib ada membuat perjanjian sebelum PRU13. sumber Laporan ini juga diulas dalam WSJ.sumber

2. Ramai yang menyebutkan bahawa itulah kebijaksanaan Anwar.

3. Aku tidak meragui tetapi lebih memahami kejujuran dalam berpolitik.

4. Teringat pada Ust. Abd. Hadi Awang menghadapi isu UG pada 2008 dulu. Waktu tu, aku masih di UK. Kebetulan isu itu meletup tatkala Ustaz Hadi berada di London. Seminggu dua kali kami bertemu dengan beliau untuk mendapatkan lafaz langsung dari lidahnya sendiri.

5.  Ternyata jauh lebih bijaknya Ustaz Hadi berpolitik.

Thursday, 23 May 2013

Mentara Hari Sabtu

1. To be or not to be. Hamlet berfikir berkali-kali dalam novel William Shakespeare. Kira-kira akupun macam begitulah. Nak pi ke PJ atau tidak?

2. Aku dah cancel sessi 'Bedah Buku: Aku Melayu di Kota Inggeris' di SASS sempena Pesta Buku Selangor yang sepatutnya berlangsung 5 petang Sabtu. Memang rasa rugi tak berada di situ.

3. Setidak-tidaknya bolehlah hilang kempunan aku semasa di PWTC bulan lepas. Penganjur tidak benarkan kami meneruskan sessi bedah buku di saat aku sedang menyusun kata bicara di atas pentas.

4.  Katanya, himpunan di PJ itu akan jadi program raksasa macam filem kartun Jepun dulu-dulu. Raksasa itu akan membunuh raksasa yang ganas.

5.  Isham Rais kata, dia suruh orang pakai kasut masa turun di jalanraya. Adam Adli dah bebas. Tian, Haris danTamrin sedang menunggu giliran di lokap polis.

6.  Aku sedang menghafal mentara hari sabtu. Lupa. Jarang-jarang dibaca.




Tuesday, 21 May 2013

Matinya Seekor Monyet

1.  Seperti manusia, monyet juga makhluk yang ada titik mula dan akhirnya. Sudah tertulis pada kitab sebelum kelahirannya.

2.  Bagai buang tabiat seekor monyet ini apabila tidak memberi laluan pada aku. Langsung tiada rasa takut pada dirinya. Dia berdiri di belakang rumahku sedangkan rakan-rakan seusrahnya telah bertempiran lari melihat aku datang.

3. Pagi ini, kulihat monyet seekor tu terbaring di belakang rumahku, Kelopak matanya terbuka. Tangan kirinya memegang perutnya. Ada darah hitam pekat di lantai. Nyata monyet itu sudah mati.

4. Kurakamkan takziah pada warga monyet Kg. Padang Tembak atas kehilangan anggotanya. Melalui firasatku, monyet itu luka parah kerana bergaduh sesama mereka sewaktu berebut untuk pasang bendera semasa kempen PRU13 lalu.

5. Sekiranya kutahu monyet itu dalam kelukaan yang amat, tentu kurawat atau setidak-tidaknya boleh kudail 999 untuk rawatan kecemasan. Malangnya, aku tidak pernah tahu jeritan monyet tengahari semalam adalah panggilan terakhirnya.

6. Aku tidak boleh memusuhi monyet-monyet ini. Seharusnya begitu.

Monday, 20 May 2013

Biarkan Adam Adli Begitu

1.  Jika diikuti ceramah Adam Adli, tak banyak perubahan mesej yang nak disampaikan. Cuba cara dia berceramah semakin baik. Itu normal. Kebiasaan itu mengajar lebih mudah dan lancar.

2.  Sudah ditangkap anak muda itu dan disimpan dalam lokap untuk siasatan.  Biarkan polis buat kerja.  Adampun sudah boleh tidur selesa. Makan tidur free.

3.  Dia tak perlu tulis buku lepas ni, macam aku buat dulu. Cukup dia duduk dalam diam-diam.

4.  Sebab Adam sekarang sedang mengeram segunung telor untuk ditetaskan di Dataran Merdeka.

5.  Turun ke jalanraya, lupakan pilihanraya.

Saturday, 18 May 2013

Pergi Kau, Monyet!

1.  Rumahku memang di desa menghijau. Berdepan dengan kebun durian dan berbelakangkan puluhan kelapa sawit milik orang.

2. Setiap hari, segerombolan monyet-monyet melintasi laman rumah aku untuk bergayut di pohon durian yang tinggi menjulang.

3. Mas'ul atau Amirul Monyet itu mengarahkan anak-anak buahnya menyeberang laman aku sambil kepalanya memandang keliling kanan dan kiri.  

4. Monyet-monyet ni semua nak tunjuk betapa hebat ilmu aerobic yang dipelajari dari turun temurun sejak zaman aisbatu. Memang ada yang hampir-hampir terjatuh tapi sempat tangannya menyambar dahan.

5. Setakat nak lalu laman rumah, oklah tapi sampai naik atas bumbung kereta aku, berdansa dan bercanda monyet-monyet ni, ini sudah melampau.

6.  Satu hari aku ajak Amirul Monyet itu duduk berbincang dengan aku. Itupun aku terpaksa bagi pisang emas sesikat untuk menjemputnya ke meja perundingan.

7.  Selepas Amirul Monyet itu mendengar fakta aku (siap bernota kaki), diapun menjawab sambil menggaru kelapanya yang sebesar dua penumbuk, 'Beginilah tuan, sebenarnya tuan telah mengambil habitat kami tanpa sebarang habitat gantian yang setara.'

8. Amirul Monyet itu menyambung lagi, 'Tuan, manusia yang dikurniakan akal fikiran hanya mementingkan mata dan perut tuan. Tuan, gunakan geran-geran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah untuk menafikan hak azali kami. Tuan telah berlaku zalim kepada haiwan yang tidak berakal seperti kami'

9.  Pergi kau, monyet! sakit hatiku mendengar hujah bodoh monyet itu.

10. Amirul Monyet itupun beredar sambil mengepit baki pisang yang tak sempat dijamahnya tadi.


Thursday, 16 May 2013

Kalau UTP Sponsor......

1.  Ada hamba Allah s.w.t. bertanya pada aku.....kalau UTP sponsor hantar keluar negara, apa research nak  dibuat?

2.  Aku jawab. Memanjangkan pemikiran Prof. Syed Naquib al Attas tentang teori penyatuan masyarakat Malaysia melalui bahasa Melayu.

3.  Sebenarnya, aku baru menyelak helai awal buku Adab dan Peradaban, karya ahli falsafah itu. Tak habispun.

4.  Tidakkah itu cukup menggambarkan betapa 'nasionalis'nya aku?

Wednesday, 15 May 2013

Menzahirkan Batin Yang Rosak

1.  Sesiapapun yang melahirkan kata-kata dengan tidak bijak akan terperangkap dengan kata-kata yang dilontarkannya.

2.  Berapa banyak orang politik bercakap bagai halalintar lagaknya, hakikatnya ia sedang menzahirkan batinnya yang rosak, lemah dan naif.


Tuesday, 14 May 2013

Putus Sudah Kasih Sayang

1.  Kemarahan segelintir orang Melayu pada orang Cina hanya akan memutuskan hubungan yang sedia terjalin beratus-ratus tahun lamanya.

2.  Orang Cina yang berimigran (sensitif jika disebut berhijrah) ke Tanah Melayu seawalnya pada 1450 semasa Sultan Mansor Shah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po. Lalu dikurniakan pengiring Puteri Hang Li  Po sebuah bukit yang dikenali Bukit China sebagai tanda kasih sayangnya antara kuasa Kesultanan Melayu dengan Empayar Maharaja China.

3. Kumpulan kedua Cina imigran adalah semasa zaman keemasan bijih timah di Semenanjung Tanah Melayu.  Tatkala itu, buruh Cina adalah kuli batak pembesar Melayu dan tokey Cina yang berkerjasama dengan Inggeris.

4. Jika tidak kerana gajah Ngah Ibrahim terbenam dalam lembah yang penuh bijih tentu Lembah Kinta tidak segagah Ipoh pada hari ini.

5.  Lalu berhimpunlah kepala Melayu-Cina-India dan lain-lain semasa membentuk Perlembagaan Rakyat sebagai ganti Malayan Union 1946.  Dalam masa yang sama berhimpunlah juga kepala Melayu-Cina-India dan lain-lain di penjuru yang berbeza dan mengemukakan Perlembagaan Persekutuan 1948.

6. Begitulah akrabnya Melayu-Cina-India dan lain-lain termasuklah Kadazan, Iban, Orang Asal dan sebagainya membentuk sebuah negara dinamakan Malaya dan Malaysia.

7. Hampa baca sejarah tak?

8. Dah tu nak boikot-boikot - buat pa? Boikot Isreal pun masih terhegeh-hegeh....... piiiirahhhh!




 

Monday, 13 May 2013

Meruncingkan Perkauman

1.  Keputusan MCA Pusat untuk para ADUNnya tidak mengisi jawatan EXCO dan Menteri adalah suatu usaha meruncingkan wajah perkauman UMNO-BN.

2.  Barisan kabinet BN akan dilihat didominasikan UMNO dan Melayu. Secara politiknya, ini memang memudahkan Pakatan Rakyat melebar luaskan hujah bahawa UMNO adalah sebuah parti yang racist.

3.  Ini bukan kedudukan yang mudah bagi UMNO untuk meneutralkan wajah dan pendekatan politik mereka mendatang ini.

4.  Orang Melayu akan lebih sayangkan UMNO walaupun parti itu tidak memberikan apa-apa makna dalam kehidupan mereka melainkan kekenyangan emosi dan mimpi yang panjang.

5. PAS sebagai parti alternatif Melayu akan jauh tersingkir daripada kotak pemikiran orang Melayu yang sarat dengan kepompong perkauman.  

6.  Khabarnya, ada ADUN MCA di Johor bersedia mengisi jawatan EXCO. Harap ini sedikit menjernihkan politik Johor. Itupun dengan syarat, mengisi bukan kerana perut dan peribadi tapi mestilah kerana untuk mengendurkan ketegangan kaum yang semakin runcing.



Manifesto Tertangguh

1.  Membentuk satu manifesto yang indah dan menawan memerlukan kaki idea, pelukis grafik dan ahli bahasa, Lalu dipersembahkan dalam majlis gilang gemilang untuk diperlihatkan betapa seriusnya kitab manifesto itu.

2.  Menyediakan manifesto hanyalah satu butiran daripada beberapa butiran dan ketulan peluru yang ditala pada pengundi. Terpesona atau terpengaruh.

3.  Setelah gagal memperolehi kuasa, manifesto jadi bahan sejarah. Ia akan menjadi manifesto yang ditangguhkan pelaksanaannya kerana ketiadaan kuasa pada tangan.

4.  Yang memegang kuasa, akan berkata bahawa manifesto akan dilaksanakan berperingkat-peringkat sehingga akhirnya tertangguh juga!

5.  Lima tahun akan datang, kita buat lagi manifesto untuk sedia ditangguhkan!

Membuka Cerita Rahsia

1.  Mesyuarat biasanya sebelum membuat sesuatu keputusan, ada perbahasan. Ada yang menolak, ada  yang reverse dan ada bermacam hujah diberikan. Itu normal dalam mesyuarat yang berkesan. Aku banyak hal yang tak setuju dalam mesyuarat tetapi bila dah jadi keputusan, kena ikutlah.

2.  Seperti juga mesyuarat, perbincangan antara dua orang atau kawan dianggap sebagai mesyuarat. Sesi perkongsian pandangan.

3. Sebab mesyuarat adalah untuk membuat keputusan. Oleh itu, keputusan itulah yang paling penting.

4.  Malangnya, ramai tak tengok keputusan mesyuarat. Yang disibuk-sibukkan adalah proses membuat keputusan. Proses membuat keputusan bukan tak penting. Ia tetap penting selagi mengikut prosedur atau amalan kebiasaannya.

5.  Dari sinilah timbulnya penyakit membuka rahsia dalam mesyuarat.

6.  Akhirnya, bergaduh sakanlah orang di luar mesyaurat atau di luar perbincangan kerana mendapat episod berita yang tidak lengkap.


Saturday, 11 May 2013

Berbuahlah Pisang 13 kali!

1.  Aku cukup terkesan bila membaca bait puisi Usman Awang yang berbunyi; Berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi. Meski mengenal universiti, tapi masih berdagang di rumah sendiri!  Aku cuba bangkit dari mimpi panjang orang Melayu sebagaimana terungkap dalam lagu 'Nelayan' karya M. Nasir, mimpi tentang duyung, mimpi tentang untung.

2.  Dan kata-kata pak Hamka yang cukup merangsang aku sebagai lelaki;

Sekali dayung sudah di tangan
Layar sudah terbentang
Biar ombak besar datang

Untuk undur pulang ke pelabuhan
Jangan sebut aku anak jantan!

3. Akhirnya akupun tinggal di Swansea, UK empat tahun.

4. Mengutip hikmah. Mengukir rindu. 

Friday, 10 May 2013

Esei Selepas PRU13

1. Izinkan kali ini aku menceritakan sesuatu yang jarang kukongsi. Ada sesekali keceritakan juga. Sudah lama aku tidak menulis kebelakangan ini. Meninggalkan sehari menulis akan menjadikan otak kita beku dan kematu.  Aku cuba menulis biarlah sebaris kata.

2. Sewaktu aku pergi ke Bank Islam semalam, aku disapa oleh guru sastera aku semasa di sekolah menengah, Cikgu Naemah. Terasa kurang ajarnya aku kerana tidak sempat memberinya salam terlebih dahulu. Aku tahu dia sudah maklum tentang pemikiran dan pendirian politik aku. Diapun tak pernah ambil tahu. Dia lebih bertanya tentang keluargaku.

3. Berbulan-bulan kebelakangan ini, memang tanahair kita disaratkan dengan sampah politik yang menyemakkan pemikiran. Terasa membusung nanah bila hendak diceritakan.

4. Semalam aku ada masa mengemaskan kembali buku-buku di rak yang bersepah dan berdebu. Aku teringat banyaknya buku sejarah, budaya, sastera yang kubeli. Isteriku sudah naik rimas tengok bukuku melambak, tak da tempat nak park.



5. Tadi sebelum aku pulang dari mesyuarat di Ipoh, aku singgah di kampung bertemu dengan emak aku. Sudah berkali-kali emak aku berpesan untuk aku berehat. Aku diam dan menjawab dengan senyuman biasa. Sukar untuk menghuraikan panjang-panjang kerja kita pada emak kita.

6. Apa kaitan Cikgu Naemah, buku-bukuku, emak aku, isteri dan keluargaku dalam eseiku ini?

7. Inilah mukadimah untuk aku menghuraikan bagaimana kita sebagai orang Melayu bebas daripada kebergantungan hidup dengan subsidi, biasiswa, status bumiputra dan bla-bla yang dicipta oleh ahli politik (tak semua) yang sarat dengan kemunafikan.



 


Sunday, 21 April 2013

Aku Tetap Berbaju Biru Muda

1.  Letih dan jenuh menjawab persoalan yang biasa selepas hari penamaan calon.

2. Sejurus pengistiharan nama-nama calon yang akan bertanding di DUN Sg. Manik, DUN Kg. Gajah dan Parlimen Pasir Salak,  Ust. Mustafa Shaari, Timbalan Yang Dipertua PAS Pasir Salak mengetuai doa. Diaminkan oleh kita semua.

3.  Hari itu, aku tetap berbaju biru muda meski aku teringin memakai baju Melayu warna  merah pemberian ibu sewaktu di UK.

4.  Perhatian: warna adalah simbol bagi penyair.


Tuesday, 2 April 2013

Menjaring Sokongan

1. Tebarlah seluas-luasnya jaring kalian hingga ke tengah samudera. Akan kalian menjaring ombak dan angin masih.

2.  Jika masih ingin memancing, pancinglah dengan perahu yang boleh memudek ke kuala.

3. Umpannya hanya satu: puisi indah buat rakyat miskin.

Wednesday, 27 March 2013

Mengajar Pelajar Universiti

1.  Bertahun-tahun belajar di universiti adalah pengembaraan yang sungguh mengesankan.

2.  Tidak sampai tiga tahun aku mengajar di universiti, satu pengembaraan yang menyedarkan.

3.  Menyedarkan betapa universiti itu adalah sebuah ruang yang masih kecil untuk dihebahkan. Kerana masih  ramai para pelajar yang menagih markah tinggi untuk diisi pada skrol ijazah.

4.  Secalit yang ingin 'membaca yang tiada', 'membaca yang hilang' apatah lagi untuk 'membaca yang ditenggelamkan'.

5.  Aku sedikit terhanyut meski masih selamat dari telanan arus keras.

Menyuburkan Kebebalan Bangsa

1.  Ibu dan anak-anak ayam yang berkejaran mendapatkan dedak padi yang ditabur di halaman rumah adalah tamsilan mudah bagaimana umpan dalam politik memerangkap kecerdasan akal masyarakat.

2. Menghimpunkan segunung andaian yang tak rasional. Mengipas-ngipas rasa kebencian yang berputik tunas.

3. Menawarkan manifesto dari 'syurga' yang membikin negara bakal menjadi 'neraka'.

4. Adalah bagaimana manusia bersiasah untuk menyuburkan kebebalan bangsa.


Sunday, 24 March 2013

Pemurah Yang Memurah-murahkan Harga Diri

1.  Waktu inilah, sang jahil berlagak alim. Si kedekut berwajah pemurah dan yang berhidung tinggi, menjadi ahli sufi.

2.  Berlakonlah di depan cermin sebelum keluar rumah. Agar nanti, lakonan itu benar-benar hidup dan menghidupkan survival hidup anda sebagai ahli politik.

3.  Inilah saat untuk tabung dipecahkan untuk diagih-agihkan pada sang pengemis yang miskin. Kerana ada segunung emas yang masih belum terusik di seberang benua.

4. Para pengemis kini beratur-atur dengan perut kenyang dan poket yang penuh di hadapan rumah Sang Pemurah jadi-jadian. Pemurah musim-musiman. Lakon-lakonan.

5.  Mengapa harus berbaris panjang begini, kalau kalian sudah kenyang dan ada duit dalam poket? Aku bertanya dengan bayang mereka yang lebih mengerti perangai tuannya.

6.  'kami akan lapar dan kehabisan wang.....dan kami terpaksa menanti lima tahun lagi untuk berada di kaunter 'janji ditepati' ini'. Bayang-bayang itu tunduk malu sedang tuan pada bayang itu terus berdiri tegak menanti gilirannya sampai.


Bertemasyalah Melayu!

1.  Dalam sebuah lagu dalam filem klasik' Antara Senyum dan Tangis', Momo Latif ajak P. Ramlee 'bertemasya lah sayang' tapi P. Ramlee jawab 'sabarlah dulu Dinda'.

2.  Usman Awang menulis dalam puisinya yang bertajuk 'Melayu', orang Melayu kaya dengan temasyanya.

3.  Malam tadi, aku termacet di bandar Kuantan. Hotel-hotel fully booked dari Gambang, Teluk Cempedak, Indera Mahkota, Beserah dan Kuantan sendiri.

4.  Depan Hotel Green Leaf, berpuluh-puluh bas parking di tepi jalan. Bunga api mencarik-carik kegelapan malam yang bulannya separuh menyala. Dentuman mengegarkan.

5. Orang Melayu (kecik-besar-tua-muda-laki-perempuan) bert'shirt oren 'Janji Ditepati' melintas gagah di tengah-tengah kereta yang berbaris panjang.

6.  Di jari mereka ada beg-beg kertas berisi 'cenderamata' dari pemberrian anak bangsawan Pekan, bandar diRaja Pahang.

7.  Dari raut muka mak cik tua itu, puas hatinya aku!




Friday, 22 March 2013

Peristiwa: Membaca dan Mencipta

1.  Setiap saat, peristiwa penting berlaku samada disedari ataupun tidak. Hanya kita sahaja yang dapat menentukan ia penting atau tidak.

2.  Pada kebanyakan orang, mereka mengetahui peristiwa penting melalui pembacaan, menonton tv, mendengar ceramah, internet atau lain-lain.

3.  Bukankah yang penting; mencipta peristiwa penting!

Thursday, 21 March 2013

Bubarlah, agar bebas!

1.  Usah lagi berteka teki bila hendak parlimen dibubarkan. Kerana sudah tiada lagi keperluan untuk berteka-teki di saat-saat penghujung waktu.

2.  Bubar parlimen bermakna, perang pilihanraya diistiharkan.dan demam pilihanraya mula berwabak ke seluruh negara.

3.  Inilah kenduri demokrasi terbesar di tanahair. Tawaran dan keghairahan untuk rakyat disuap dengan janji, projek mee segera dan juga wang yang turun dari langit dan keluar daripada perut bumi.

4.  Inilah waktu-waktu rakyat bebas memilih parti, ahli politik mana yang akan mewakili aspirasi mereka.

5.  Bebas?

6. Jangan lupa; ada ubi ada batas, ada budi, ada balas! Kita dapat RM100 setahun, Mereka dapat RM100 seminit!




Saturday, 16 March 2013

Hidup Itu Kan Drama

1.  William Shakespeare pernah menulis, hidup itu satu drama, dunia itu pentas sandiwara, manusialah yang menjadi aktornya.

2.  Samada hidup itu satu lakonan atau tidak, kena tanya diri sendiri. Kadangkala boss arah yang bukan-bukan, melayani kerenah boss sedemikian, kadangkala perlu lakonan ringan yang mengurangkan tekanan.

3.  Episod Lahad Datu, hakikatnya kini latar belakang Lahad Datu telah menjadi drama bersiri. Cuma pengarahnya ramai dan stesyen medianya pun banyak. Bercabang-cabang.

4.  Menjelang demam pilihanraya, drama semakin banyak. Rakyat yang bijak tidak sekadar menjadi penonton pasif.




Friday, 15 March 2013

Tahniah Sasterawan Negara - Baha Zain

Semasa di Tingkatan 5, aku belajar Kesusasteraan Melayu. Buku 'Titian Zaman' susunan Usman Awang dan Ismail Ahmad adalah antara buku rujukan kami. Selain daripada Usman Awang, Latif Mohiden dan Chairil Anwar, Baha Zain adalah antara penyair yang aku suka.

Dalam buku 'Titian Zaman' itu, sebelah puisinya, aku conteng yang berbunyi...... sikap manusia tanpa mengira pangkat sudah pandai berpura2 dan tidak pernah berlaku benar....... Oleh itu kebenaran itu terletak pada diri sendiri bukan pd pagnkat atau nama.

Aku seharusnya berada di tengah kawan-kawan
atau berbicara dengan diplomat, professor atau peguam
semuanya memiliki kesukaan yang sama
berdusta pada perempuan, anak-anak dan sahabatnya
aku seharusnya tidak menulis puisi lagi......

Baha Zain, Menangguhkan Kebenaran. 1973. 

Wednesday, 13 March 2013

Membukukan 'Aku Melayu di Kota Inggeris'

1.  Buku 'Aku Melayu di Kota Inggeris' tidak mengambil mana-mana artikel dalam blog ini. Ia adalah beberapa himpunan sebahagian kecil daripada tulisan aku di Harakah dan Siasah sewaktu aku mengembara di bumi Hamlet.

2. Ada beberapa himpunan tulisan aku yang akan dibukukan dengan mengemaskinikan mengikut perkembangan terkini. Tetapi ini semua memerlukan masa yang bukan sedikit. Kadangkala agak membosankan membaca tulisan sendiri berkali-kali.

3.  Pak Din, ADUN Lubuk Merbau semalam bertanya mengapa lama sudah tidak menulis. Dia kata, sejak dulu lagi dia follow tulisan aku. Aku teringat, kata-kata daripada sebuah buku yang kulupa tajuknya, 'amat mudah menjadi seorang ahli politik tapi sukar sekali menjadi seorang penulis'. Tapi aku tak jawab pertanyaan  Pak Din itu.

4.  Menulis memang sukar. Menghargai penulis seperti kami oleh masyarakat umum lagi teramat sukar. Kesukaran yang tiada tolok bandingnya.

5. Tanyalah pada penulis, berapa orang yang berminat pada untuk membeli buku daripada menerima buku secara percuma?


Wednesday, 9 January 2013

Sebuah Buku Yang Telah Diterbitkan


1. Sewaktu aku membuat kajian untuk buku Mat Indera, aku mengharapkan sesuatu yang akhirnya tidak dapat dilaksanakan setelah buku itu berada di pasaran.

2.  Tentulah kecewa. Selepas penat lelah kita memikir dan melakar tapak kaki ke merata tempat, hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

3.  Ini bukan soal isi buku tersebut. Aku kira, inilah buku yang kutulis yang menggarapkan kerja-kerja akademik dan teknik penulisan secara yang lebih menyeluruh.

4. Sebagai penyelidik, aku akui bahawa kajian itu sudah memadai sebagai sebuah kajian ilmiah.

5. Akhirnya aku terpaksa menjual buku sendiri untuk mendapatkan kepuasan material.